View Categories

(9) Surah Ibrahim: Ayat 24-27

13 min read

Bandingan Kalimah Toyyibah Dengan Kalimah Yang Buruk, Iman VS Kufur & Orang Beriman Tetap Pendirian

Live Pagi Khamis 12/03/2026 / 22 Ramadhan 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ibrahim (09) Ayat [24-27]

Full video: https://youtu.be/u9jEqdUsL5E?si=PIFEAf0rBvps7Iwe

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ibrahim dengan ayat 24 sehingga ayat 27 dalam juzuk ketigabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bandingan- misal kalimah toyyibah (كَلِمَةًۭ طَيِّبَةًۭ) dari orang yang berbahagia iaitu yang beriman & mengucapkan kalimah syahadah lalu beramal dengannya.

Dengan kalimah yang buruk, iaitu kalimah syirik kepada Allah s.w.t maka itu adalah orang yang celaka!

  1. Yakni Allah bawa dua bandingan iaitu pertembungan antara iman vs kufur.
  2. Bagi orang beriman Allah akan tetapkan pendirian mereka;

i- hidup dengan kalimah (لا إله إلا الله) yang bermaksud “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah”.

ii- Apabila nak mati pun dengan kalimah ini dan bangkit dari kubur dengan kalimah ini hatta keluar dari kubur juga;

iii- kemudian ketika nak melintas Sirat tetap dengan kalimah (لا إله إلا الله) ini lalu selamat tidak jatuh ke dalam neraka!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang keadaan orang yang baik & orang yang celaka.
    Juga pertembungan antara syaitan & manusia juga perbalahan sesama ahli neraka- na’uzubillah.

ii- maka Allah bawa dalam ayat ini bandingan kalimah yang baik dengan kalimah yang tidak baik!
Pastilah tidak sama dan amat berbeza kesan & faedahnya.
Satu jenis buah pun ada berjenis spesisnya seperti durian itu!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ ‎﴿٤٢﴾‏

Ayat 24- {Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.} (Ibrahim 14:24)

  1. Dalam ayat ini Allah bawa analogi yang jelas dengan bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w apakah kamu lihat yakni apakah kamu tahu bagaimana Allah buat satu perbandingan antara:

i- kalimah yang baik {كَلِمَةًۭ طَيِّبَةًۭ} iaitu kalimah tauhid (شهادة أن لا إله إلا الله)

ii- bandingannya seperti sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya atau akar tunjangnya tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.

  1. Pokok yang baik ini mengikut kebanyakan ahli tafsir adalah pokok kurma.
    Ini kerana pokok kurma adalah satu pokok yang teguh terpasak dalam tanah, panjang umurnya tidak mudah bergoyang serta daunnya menjulang tegak ke langit.
  2. Imam Nawawi menyatakan bahawa:
    i- Para ulama berkata: Pokok kurma diibaratkan seperti seorang Muslim kerana banyaknya kebaikannya, keteduhannya yang berterusan, dan buahnya yang enak serta tersedia sepanjang masa.
    Dari saat buahnya muncul, ia terus dimakan sehingga kering, dan setelah kering, ia masih memberikan banyak manfaat.
    Batang, daun, dan rantingnya digunakan untuk pelbagai kegunaan seperti batang, kayu api, tongkat, bakul, tali, bekas, dan lain-lain.

Selain itu juga, bijinya dimanfaatkan sebagai makanan untuk unta, dan keindahan tumbuhannya, serta keindahan rupanya.
Ia adalah manfaat dan kebaikan serta keindahan semuanya.

ii- Justeru, perumpamaan seorang mukmnin itu seperti pohon kurma menggambarkan bahawa seorang mukmin itu memiliki sifat kekuatan dan ketahanan dalam iman, serta sentiasa memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain sepanjang masa.

  1. Kerana itu Nabi s.a.w apabila menyebut tentang hikmah waqaf Baginda s.a.w bersabda bahawa siapa yang nak pahala waqaf yang berterusan maka waqafkah pokok kurma yang kamu tanam!
  2. Sama seperti kalimah tauhid yang terpasak berakar umbi dalam hati orang yang beriman- tidak akan goyah atau mudah tercabut. Manakala amalannya adalah seperti cabang daunya pula.
  3. Amalan yang baik orang boleh nampak- di masjid ada, di tempat kematian & kubur ada, ziarah orang sakit dan seumpamanya!

Jika begitulah gaya hidup kita- kita muncul di tempat yang Allah nak tengok kita & kita jauhi tempat yang Allah benci- maka alhamdulillah!
Amalan kiat melebar luas menjulang ke langit dengan amalan-amalan yang baik!

  1. Rugi besarlah seorang hamba Allah, apabila dipanggil ke masjid, tapi dia tidak menjawab seruan azan 5 waktu itu! Tetapi di tempat lain dia boleh pergi!

تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا ۗ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ ‎﴿٥٢﴾

Ayat 25- {Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).} (Ibrahim 14:25)

  1. Nota [472]- “Kalimah yang baik” ialah seperti kalimah tauhid, kalimah Qur’an, kalimah sabdaan Rasul, atau secara umum tiap-tiap kalimah yang membuktikan iman dan taat kepada Allah ‘Azza wa jalla.

“Kalimah yang baik” itu ibarat sebatang pohon yang baik, yang tegak berdiri dengan gagahnya; pangkalnya bertunjang di bumi dan pucuknya menjulang ke langit.
Ia sentiasa mengeluarkan buah yang lazat dengan izin Allah.

Demikian juga halnya orang-orang yang beriman yang tetap teguh imannya dan tidak putus-putus amal kebajikannya, akan mencapai kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

  1. Yakni apabila iman seseorang itu tertanam teguh dengan mantap maka ia akan mengeluarkan buah atau hasil yang baik- amalan yang baik, ucapan perkataan & perbuatan yang baik juga!

Sama seperti pokok yang baik akan mengelurkan buah yang baik sepanjang masa tak kira waktu sejuk atau panas!

  1. Hadis teka teki tentang pokok tamar/kurma:

Pada suatu hari, para sahabat sedang duduk bersama dengan Rasulullah s.a.w.

Tiba-tiba, datang seorang sahabat. Dia membawa umbut pohon kurma. Baginda mengambil umbut itu. Kemudian baginda memakannya kemudian bersabda:

“Ada satu pokok. Daunnya tidak luruh. Keberkatan yang ada pada pokok ini, sama seperti berkat yang ada pada seorang seorang muslim.
Siapa boleh beritahu saya, pokok apakah itu?” sambung baginda lagi.

Orang ramai yang ada menekanya dengan jenis-jenis pokok yang ada luar kota.

Abdullah bin Umar r.a tidak. Dia rasa pokok yang Nabi maksudkan adalah pokok kurma.

Pada mulanya, Ibnu Umar mahu jawab soalan Nabi itu. Dia mahu katakan, “Jawapannya pokok kurma, wahai Rasulullah!”.
Dia pandang orang lain yang ada di situ. Semuanya lebih berumur dari dirinya.
Dia orang yang paling muda!

Tambahan pula, Abu Bakar dan ayahnya, Umar r.a.h. turut berada di situ.

Mereka berdua tidak menjawab. Jadi , Ibnu Umar segan untuk menjawab.

“Beritahulah kami, Rasulullah!
Pokok apakah itu?” akhirnya para sahabat minta Nabi s.a.w. berikan jawapannya.
“Pokok kurma,” jawab Baginda s.a.w.

Selepas itu, Abdullah ada ceritakan kepada ayahnya, Umar bin al-Khattab. Tentang dia tahu jawapan teka-teki nabi.
Namun, dia segan untuk menjawabnya ketika itu.
“Kalaulah kamu jawab ketika itu, sudah tentu ayah rasa lebih seronok dari mendapat harta paling mahal!” balas Umar. [HR Bukhari].

  1. Allah bawa bandingan ini supaya berfikir dan mengambil iktibar pengajaran serta mengingati kepada Allah!
    Jangan menjadi lemah pemikiran dan lembik fizikal juga!
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini juga:
    i- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran ini, supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran.} (Az-Zumar 39:27)

ii- {Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.} (Al-Hasy-r 59:21)

  1. Sebagaimana kebiasaan uslub al-Quran apabila dicerita yang baik akan dibawa juga tentang yang sebaliknya iaitu yang buruk pula ada positif pasti ada negatif.
    Ini agar kita dapat melihat perbezaannya dan membuat pilihan yang tepat!

وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ اجْتُثَّتْ مِن فَوْقِ الْأَرْضِ مَا لَهَا مِن قَرَارٍ ‎﴿٦٢﴾

Ayat 26- {Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.} (Ibrahim 14:26)

  1. Nota [*] “Kalimah yang jahat-buruk” ialah kalimah kufur dan syirik.

Bandingannya samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna, yang mudah terbongkas akar-akarnya dan tidak bertapak untuk hidup.

Demikian halnya orang kafir tidak mempunyai tapak pendirian yang menjamin keselamatannya.

Dan sebagaimana pohon yang tidak berguna itu tidak mengeluarkan melainkan buah yang pahit maka demikianlah pula amal perbuatan orang yang kafir tidak mendatangkan sebarang faedah kepadanya pada hari akhirat kelak.

  1. Bandingan dengan pokok yang buruk ini :
    i- Ibnu Jarir berkata: Ulama’ tafsir mencari apakah bandingan pokok yang buruk ini. Mereka mengatakan ia adalah pokok yang bernama hanzhal.

ii- Ibnu ‘Atiyyah berkata: Pokok yang buruk itu – menurut kebanyakan ahli tafsir – ialah pokok hanzhal (labu pahit).

  1. Pokok ini mudah tumbang dan terbongkah akarnya kerana tak kukuh umbi; demikianlah orang kafir, asasnya tak kuat, amalannya tak naik ke langit bahkan rohnya pun ditendang tak boleh naik ke langit!

يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ ۖ وَيُضِلُّ اللَّهُ الظَّالِمِينَ ۚ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ ‎﴿٧٢﴾‏

Ayat 27- {Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.} (Ibrahim 14:27)

  1. Munasabah ayat:
    i- apabila Allah buat bandingan pokok yang baik & pokok yang buruk, yang haq & yang batil;

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa hanya orang beriman yang teguh pendiriannya.

  1. Orang mukmin adalah orang yang baik & yang benar, tidak berbohong & menipu, perkataannya perkataan yang benar, jiwanya tenang & yang paling ialah berpegang dengan kalimah syahadah dan mati dalam husnul-Khatimah, itulah ahli syurga yang dijanjikan Allah!

*Kita berdoa agar Allah teguhkan iman kita atas dunia & termasuk dalam golongan ini di Akhirat kelak!

  1. Maksud ayat: {Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat} ialah sebagaimana nota [473]; Yakni sehingga mereka tidak dapat dipesongkan imannya oleh sebarang di’ayah dan hasutan, dan mereka dapat menjawab segala pertanyaan yang dikemukakan kepada mereka di dalam kubur dan pada hari akhirat.
  2. Maksud ayat: {… dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.} ialah sebagaimana nota [474]; Yakni Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan Dialah juga yang berkuasa menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya).
  3. Hadis Rasulullah S.A.W bersabda:
    “Apabila seseorang hamba telah dikebumikan dan sahabat-sahabatnya berpaling meninggalkannya, dia pasti mendengar suara selipar mereka. Maka datanglah kepadanya dua malaikat, lalu mendudukkannya dan bertanya: Siapa Tuhanmu? Apa agamamu? Siapa nabimu?…”. [HR Bukhari & Muslim].

Yakni jika orang beriman dia akan dapat menjawab dengan mudah kerana Allah telah isbatkan dalam hatinya!

  1. Hadis Abu Said al-Khudri yang ikut Nabi s.a.w ke kubur untuk mengebumikan kenazah & Nabi s.a.w beri tazkirah dan menasihati sahabat, untuk memohon perlindungan daripada azab kubur.
    Baginda menekankan azab kubur sebagai fasa pertama akhirat yang getir…. [HR Ahmad].

*Perhatian kita jangan jadikan pula trend tazkirah dikuburan ini- ia biasanya berlaku secara spontan saja.

  1. Di akhir ayat Allah menegaskan bahawa:
    i- Allah akan menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri dengan kufur & syirik;

ii- dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya bukan apa yang kita hendak!

  1. Para jemaah semua ingatlah kita duduk di bawah kekuasaan & kasih sayang Allah!

Jika kita nak jadi orang yang baik biarlah kita menjadi orang yang layak mendapat cinta & keredhaan Allah jika tidak kerugian besar!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 24- {Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik,..}- ayat ini menjadi satu anologi yang baik bagi menunjukkan kepada pokok iman.

Pokok iman apabila:
i- umbi atau akarnya yang telah tertanam teguh dalam hati tidak akan bergoyah bergoncang.

ii- ranting atau dahannya adalah amalan-amalan kita.
Besar mana amalan kita sebesar & setinggi itulah dahannya!

iii- manakala buahnya yang baik adalah kesan iman itu yang melahirkan amalan & perbuatan yang baik.

Kata ulama’ kalimah yang baik {كَلِمَةًۭ طَيِّبَةًۭ} itu ialah kalimah Syahadah yang telah terpasak tidak akan terkeluar lagi dari hati orang yang beriman.
Yang keluar hanya kesannya sahaja iaitu buah-buah yang baik melalui amalan yang baik juga!

Contohnya: Ahli sihir Fir’aun yang apabila telah beriman kepada Allah, apabila masuk iman tertanam dalam hati mereka; tidak berganjak & goyah lagi iman mereka walaupun diancam untuk diseksa dan dibunuh oleh Fir’aun!

Manakala yang lari dan berpaling murtad atau yang jadi munafiq itu ialah yang belum masuk terpacak lagi akar imannya di dalam hati.

  1. Ayat 24- {Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik,…}- perbandingan antara pokok dan hati manusia ini terdapat rahsia, ilmu, makrifat yang wajib kita korek carinya!

Sebagaimana sebatang pokok itu ada akar, batang, ranting dan buahnya;

Demikianlah juga pokok iman & Islam pasti ada:
i- akarnya iaitu ilmu, makrifat & keyakinan.
ii- batangnya ialah ikhlas.
iii- rantingnya ialah segala amalan kebajikan.
iv- buahnya ialah semua kebaikan yang terzahir dari iman itu seperti jujur, ikhlas, keyakinan dan semuanya.

Maka bandingan yang Allah buat di sini dan dalam hadis riwayat Ibnu Umar tadi sangat mantap sebagai satu analogi tentang kesan kebaikan iman dalam kehidupan manusia!
Jika tidak kita tidak akan jumpa sesuatu yang sebaik ini!

Pokok tidak akan subur tanpa air, baja, cahaya & penjagaan yang baik.

Begitu juga iman tidak akan subur tanpa baja & penjagaan.
Baja iman ialah dengan tadabbur al-Quran, majlis ilumu tazkirah & nasihat serta lain-lain amalan!

Pokok yang baik memberi manfaat kepada manusia sama seperti iman yang baik memberi manfaat kepada manusia.

Sebagaimana pokok yang ada musuh seperti penyakit- hati juga ada musuhnya iaitu penyakit hati yang pelbagai seperti riya’ sombong hasad dengki dan seumpamanya!

Maka jika kita nak pokok iman agar sihat & molek maka kita kena jaga & bajai hati kita!

  1. Ayat 26- {Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.})

Kalimah buruk { كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍۢ} yang paling buruk adalah syirik dan zalim kepada diri sendiri, kemudian maksiat kepada Allah & perkataan buruk lain seperti memaki, mengata orang, mencarut iaitu semua yang tidak layak untuk berada dalam jiwa seorang muslim yang baik!

Maka kita perbetulkan perjalanan hidup kita, jagalah pokok iman kita ini biar mantap jangan biarkan begitu saja!

Kata ulama’: Perbandingan yang Allah buat ini adalah agar kita berfikir tentang benda baik & benda buruk!

  1. Ayat 27- {Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat;..}-
    Allah akan tetapkan pendirian orang yang beriman.
    Ketika hidup atas dunia tetap- ketika mati pun tetap!

Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini juga mahu mengisbatkan azab kubur seperti beberapa hadis Nabi s.a.w di atas.

Maka sebagai orang beriman yang percaya akan azab kubur maka kita buatlah persiapan awal-awal lagi.

Kerana itu Nabi s.a.w ajar kepada kita dalam doa di akhir solat (dalam tahiyyat akhir):

اَلْلَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ القَبْرِ
وَمِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا وَالمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ المَسِيْحِ الدَجَّالِ

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari seksa neraka jahanam dan seksa kubur serta dari fitnah kehidupan dan kematian dan dari kejahatan fitnahnya Dajjal.”

  1. Ayat 27- {Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.}- orang beriman Allah tetapkan imannya dengan menjadikannya:

Ketika hidup sentiasa mengucapkan kalimah (لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله), ketika nak mati lidahnya menyebut (لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله), di dalam kubur juga kemudian nak bangkit keluar dari kubur kalimah (لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله) ini juga yang disebutnya!!!

Maka jagalah aqidah kita, amalan kita agar Allah tetapkan hati & iman kita ketika nak mati nanti!

Antara doa yang baik yang diajar oleh Rasulullah s.a.w:

i- يَا مُقَلِّبَ القُلُوْبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِيْنِكَ –
Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.

ii- اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمْرِي آخِرَهُ، وَخَيْرَ عَمَلِي خَوَاتِيمَهُ، وَخَيْرَ أَيَّامِي يَوْمَ أَلْقَاكَ فِيهِ
(Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku adalah pada hujungnya, sebaik-baik amalku adalah pada akhirnya, dan sebaik-baik hariku adalah hari saat aku bertemu dengan-Mu [wafat]).

iii- اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الخَاتِمَة-
“Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik) dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk.”

iv- اللَّهُمَّ اجْعَلْ آخِرَ كَلَامِي مِنَ الدُّنْيَا لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ-
“Ya Allah, jadikanlah akhir perkataan aku di dunia ini kalimah La ilaha illallah.”

Kemudian yang paling menakutkan di akhir ayat ini Allah kata: {dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri);}- kita minta Allah selamatkan kita dari perkara yang tidak baik- jika tidak kita tidak tahu apa akan terjadi kepada kita ke mana kita akan tuju!

Semoga Allah selamatkan kita di dunia dan aman di Akhirat.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya


Infaq #

Sempena 10 Akhir Ramadhan ini perbanyakkan sedekah- Alhamdulillah, Hari ini kita melancarkan Tabung Iqra’.

Mengambil kesempatan 10 akhir Ramadhan semoga Allah menggerakkan hati setiap kaum muslimin yang mendengar seruan ini dapat berinfaq walaupun sedikit.

Keterangan Lanjut Sila Berhubung Dengan:
Tuan Hj Khosim bin Ismail HP: +60136314355.
Presiden Pertubuhan Muafakat Dakwah Malaysia ( PMDM )
No Akaun Maybank: 552116250249.

Jazakumullahu Khaira!

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 12/03/2026 / 22 Ramadhan 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] & Surah Ibrahim (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top