View Categories

(4) Surah Ar-Ra’d: Ayat 8-11

15 min read

lmu Allah S.W.T Meliputi Semua, Janin Dalam Rahim, Malaikat Bertugas & Mengubah Nasib Kaum Yang Derhaka.

Live Pagi Rabu 04/02/2026 / 16 Sya’ban 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ar-Ra’d (04) Ayat [08-11]

Full video: https://youtu.be/I9Bt6TJSx18?si=uTKJXRnwAuA7WK_r

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ar-Ra’d dengan ayat 08 sehingga ayat 11 dalam juzuk ketigabelas.
  2. Dalam ayat yang mulia ini Allah s.w.t nyatakan ilmu Allah S.W.T itu meliputi semua perkara- yang besar yang lecil yang di atas langit & di bumi, di dalam gelap dalam cerah, dalam laut atau daratan, semuanya di bawah ilmu & kekuasaan Allah.
  3. Allah sebut secara khas hatta apa yang ada rahim seorang perempuan.
    Allah tahu tentang janin, perkembangan dan pembesarannya semuanya di bawah ilmu Allah!
  4. Kemudian Allah nyatakan tentang malaikat yang bertugas setiap, menjaga manusia terdapat 4 iaitu 2 malaikat hafazah, dan 2 malaikat lagi mencatat segala amalan perbuatan manusia tidak tertinggal satu pun!
  5. Allah nyatakan juga mana-mana kaum yang menderhaka kepada Allah itulah kaum yang mengubah nasibnya sendiri.
    Kaum yang derhaka merekalah yang merosakkan diri mereka sendiri dengan memilih dari tenang aman kepada derhaka dan azab.
  6. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang keadaan puak kafir yang telah lihat bukti tentang kekuasaan & keagungan Allah s.w.t; tetapi tetap tidak mahu terima adanya Allah sebagai Tuhan yang Esa, tetap menolak adanya kebangkitan semula & hari Pembalasan.

ii- lalu datang ayat ini Allah beri peringatan kepada puak kafir agar jangan buat perangai pelik kerana Allah tahu semua yang berlaku, apa yang kamu makan apa yang kamu minum. Bahkan tentang janin dalam rahim isteri kamupun Allah tahu kejadian & perkembangannya!

  1. Munasabah kedua:
    i- apabila puak kafir mengugut dan meminta Rasulullah s.a.w mengadakan mukjizat yang pelik-pelik yang tidak munasabah.

ii- maka datang ayat ini Allah ceritakan secara terperinci dalam al-Quran sebagai mukjizat terhebat Nabi s.a.w; Allah dengan detail tentang proses kejadian manusia bermula dari pertemuan sperma bapa dan telur ibu, menjadi anak sehingga kepada perkembangan janin di dalam rahim ibunya sehingga keluar ke dunia ini!

Semua ini Allah ceritakan untuk kita semak semula, cek balik kefahaman kita tentang Allah- bahawa segala perbuatan kita dan perkara yang berlaku adalah di bawah ilmu Allah s.w.t!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

ٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَحْمِلُ كُلُّ أُنثَىٰ وَمَا تَغِيضُ ٱلْأَرْحَامُ وَمَا تَزْدَادُ ۖ وَكُلُّ شَىْءٍ عِندَهُۥ بِمِقْدَارٍ ‎﴿٨﴾

Ayat 8- {Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih. Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu.} (Ar-Ra’d 13:8)

  1. Allah nyatakan Dia mengetahui semua yang dikandung oleh seorang ibu- samada ibu manusia atau haiwan- juga tentang tempoh waktu kandungan seorang ibu!

Allah tahu semua tentang sifat dan kejadiannya, besar kecil panjang pendek, bahkan tentang nasib taqdir perjalanan hidupnya Allah telah tetapkan!

  1. Banyak sekali ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allah mengetahui tentang janin yang terkandung dalam rahim ibu:

i- ayat kita ini- {Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih. …..} (Ar-Ra’d 13:8).

ii- {Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.
Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya.
Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (A-li’Imraan 3: 5-6)

iii- {Dan Allah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian Ia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan).
Dan tiada mengandung seseorang perempuan (juga seekor betina), dan tidak pula satu-satunya melahirkan (anak yang dikandungnya) melainkan dengan keadaan yang diketahui Allah. Dan tidak diberikan seseorang berumur panjang, juga tidak dijadikan seseorang pendek umurnya, melainkan ada kadarnya di dalam Kitab Ilahi. Sesungguhnya yang demikian itu mudah sahaja kepada Allah.} (Faatir 35:11)

iv- {Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Ia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.} (An-Najm 53:32)

  1. Hadis daripada ‘Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Rasulullah S.A.W yang benar lagi dibenarkan telah menceritakan kepada kami:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ في بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ في ذلك عَلَقَةً مِثْلَ ذلك ثُمَّ يَكُونُ في ذلك مُضْغَةً مِثْلَ ذلك ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فيه الرُّوحَ وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أو سَعِيدٌ فَوَا الَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حتى ما يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عليه الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا وان أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حتى ما يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عليه الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap orang daripada kamu, dihimpunkan ciptaannya di dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian dalam tempoh itu menjadi segumpal darah seperti itu juga, kemudian dalam tempuh itu menjadi seketul daging seperti itu juga. Setelah itu diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan ke dalamnya ruh dan diperintahkan dengan 4 perkara: ketentuan rezeki, ajal, amalan, bahagian atau sengsara…” (HR Bukahri & Muslim)

  1. Allah juga menyatakan Dia mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih – yakni tempoh usia kandungan juga semua itu di bawah ilmu Allah s.w.t!
  2. Nota – Yakni samada yang dikandung itu satu atau kembar (2 atau 3 dan sebagainya), atau kurang atau lebih anggotanya, atau tempoh masa kandungannya- lama atau kurang semua di bawah ilmu Allah s.w.t!
  3. Hadis riwayat dari Abu Hurairah dari Rasulullah s.a.w, bersabda:
    “Kunci-kunci semua yang ghaib jumlahnya lima, tidak ada yang dapat mengetahui lima perkara ini terkecuali Allah.
    “Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang hari kiamat dan Dialah yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok hari. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” – (Surah Luqman:34). [HR al-Bukhari.]
  4. Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu- yakni setiap perkara Allah telah taqdirkan pada wakunya; tiada siapa boleh tukar atau undurnya! Semuanya ekslusif di bawah ilmu & kuasa Allah s.w.t!

عَٰلِمُ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَٰدَةِ ٱلْكَبِيرُ ٱلْمُتَعَالِ ‎﴿٩﴾

Ayat 9- {Dia lah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah jua Yang Maha Besar, lagi maha Tinggi (Yang mengatasi segala-galanya).} (Ar-Ra’d 13:9)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa Allah tahu semua perkara:

ii- maka dalam ayat ini Allah nyatakan ilmu Allah meliputi semua termasuk perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata semua sama di sisi Allah!

  1. Allah tahu apa yang kamu tak tahu; samada yang tersembunyi (ghaib) atau yang zahir lagi nyata!

Ada orang bermula dengan susah berakhir dengan senang, ada orang yang sebaliknya semua di luar pengetahuan kita manusia.

  1. Allah itu Dia lah jua yang bersifat:
    i- Yang Maha Besar, tiada yang dapat mengatasinya!

ii- lagi maha Tinggi Yang mengatasi segala-galanya!

سَوَآءٌ مِّنكُم مَّنْ أَسَرَّ ٱلْقَوْلَ وَمَن جَهَرَ بِهِۦ وَمَنْ هُوَ مُسْتَخْفِۭ بِٱلَّيْلِ وَسَارِبُۢ بِٱلنَّهَارِ ‎﴿٠١﴾

Ayat 10- {Sama sahaja kepadaNya: sesiapa di antara kamu yang merahsiakan kata-katanya dalam hati dan yang menyatakannya; juga yang bersembunyi pada waktu malam dan yang keluar berjalan pada waktu siang.} (Ar-Ra’d 13:10)

  1. Munasabah ayat: Ayat ini nak ta’kid menguatkan lagi kenyataan bahawa Allah s.w.t mengetahui semua perkara- ilmu-Nya meliputi segala sesuatu!
  2. Yakni Allah juga mengetahui semua yang ada dalam hati kita, apa yang kita niatkan!

Yakni samada yang tersembunyi dalam hati atau yang kamu luahkan di mulut kamu- sama saja levelnya di sisi Allah- Allah tahu belaka!!

*Kerana itu kita perbetulkan niat kita kerana Allah mengetahui segalanya samada niat baik atau buruk!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah set:
    {Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”.
    Katakanlah lagi: “Dia lah yang mengembangkan kamu di bumi, dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan”.} (Al-Mulk 67: 23-24)
  2. Hadis- Aisyah r.a. berkata:
    “Mahasuci Zat Yang pendengaran-Nya meliputi segala suara. Sungguh demi Allah, ada seorang perempuan datang mengadukan suaminya kepada Rasulullah s.a.w., sedang waktu itu aku berada di samping rumah, dan perempuan itu menyembunyikan sebahagian perkataan-Nya dariku.
    Lalu Allah S.W.T menurunkan ayat:
    {Sungguh, Allah telah mendengar ucapan perempuan yang mengajukan gugatan kepadamu (Muhammad) tentang suaminya, dan mengadukan (halnya) kepada Allah, dan Allah mendengar percakapan antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Maha Melihat.} (al-Mujaadilah: 1) [Athar ini Sabit].
  3. Allah juga mengetahui tentang apa yang bersembunyi pada waktu malam dan yang keluar berjalan pada waktu siang. Iaitu samada dalam gelap atau cerah, waktu ada orang atau tiada orang- sama saja bagi ilmu Allah yang meliputi segalanya!

*Bukan kata jika buat maksiat dalam gelap Allah tak tahu!

لَهُۥ مُعَقِّبَٰتٌ مِّنۢ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِۦ يَحْفَظُونَهُۥ مِنْ أَمْرِ ٱللَّهِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا۟ مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوْمٍ سُوٓءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥ ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ ‎﴿١١﴾

Ayat 11- {Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.} (Ar-Ra’d 13:11)

  1. Munasabah ayat:
    i- apabila Allah nyatakan bahawa ilmu-Nya sama saja dalam apa jua keadaan & perkara:

ii- maka dalam ayat ini Allah nyatakan Dia juga bawa malaikat sebagai penjaga & perekod amalan kita sebagai bahan bukti untuk perbicaraan di Akhirat kelak!
Ini menunjukkan keadilan Allah dan tiada manusia yang dizalimi!

  1. Allah nyatakan bagi tiap-tiap seorang manusia itu:
    i- ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya.
    Tugasnya untuk mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah.

[442] Yakni mengawalnya dari segala arah: kiri kanan dan depan belakang.

*Yakni dua malaikat hafazah (penjaga) yang bertukar ikut shift siang & malam untuk menjaga manusia dari segala bahaya dan mudharat.
Tetapi apabila Allah nak timpakan apa-apa- mereka akan meninggalkan kita pada waktu itu- na’uzubillah!

ii- ada dua malaikat lagi yang ditugaskan untuk merekod mencatat amalan manusia baik atau jahat!

  1. Nota: [443] Tiap-tiap seorang sentiasa dijaga dan diawasi oleh malaikat-malaikat yang bergilir-gilir siang dan malam.

Malaikat-malaikat ini ialah yang dikatakan “Malaikat Hafazah – حَفَظَة” menurut Syarak.

Mereka adalah lain dari malaikat “Kiraaman Kaatibiin” (Raqiib – رقيب dan ‘Atiid – عتيد) yang menulis amal yang baik dan yang buruk.

  1. Allah juga menyatakan bahawa: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.

Iaitu contohnya:
i- satu kaum itu dalam keadaan aman damai apabila mereka taat kepada Allah.
Kemudian mereka kafir & buat maksiat maka bala Allah akan datang!

ii- atau mereka dulu dalam keadaan kafir dan zalim hidup mereka dalam huru-hara dan musibah.

  1. Nota: [444] Yakni mana-mana kaum yang hidup senang lenang dan aman damai, disebabkan oleh iman dan taat kepada Allah ‘Azza wa Jalla, juga oleh akhlak yang mulia dan terpuji, maka Allah Ta’ala tidak akan mengubah keadaan mereka yang baik itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dari iman dan taat, kepada kufur dan maksiat, dan dari akhlak yang mulia kepada akhlak yang keji, kerana segala sifat-sifat dan perbuatan yang jahat dan keji itulah sebab-sebab yang membawa kehancuran.

Demikian “Sunnatu’llah” atau “Undang-undang peraturan Allah” yang tetap berlaku kepada sekalian makhluk-Nya.
*Ingat jangan sesekali politikkan ayat ini!

  1. Allah tegaskan bahawa apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana disebabkan kesalahan mereka sendiri maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu!
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendakinya.} (Al-Buruuj 85:16)
  3. Di akhir ayat sekali lagi Allah tegaskan bahawa: tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka yang akan ditimpa azab bencana selain daripadaNya!
  4. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.} (Yunus 10:107)

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 8- {Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih.}-

Allah tahu apa yang dikandung oleh seorang wanita dan Allah tahu bilangan anak dan tempoh kandungannya!

Para ulama’ mengatakan ini maksudnya: Kandungan seorang perempuan itu ada tempohnya yang hanya diketahui Allah- ada yang kurang ada yang lebih daripada tempoh yang ditetapkan sebagai kebiasaan.

Tempoh paling lama kandungan wanita ada pelbagai pendapat ikut ulama’- bahkan ada yang kata sehingga 4- 5 tahun!

Tetapi mengikut kajian ilmiah perubatan hari ini seorang janin tidak boleh berada dalam perut ibunya melebihi dari 305 – 308 hari iaitu 10 bulan!

Manakala persoalan tentang wanita hamil ada haidh atau tidak- ada ulama’ yang kata perempuan hamil ada haidh seperti mazhab Syafei. Mazhab Abu Hanifah tidak ada.

Tetapi mengikut kajian sains perubatan- tidak akan ada haidh kerana sudah tidak keluar telur pada waktu hamil!

  1. Ayat 9- {Dia lah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah jua Yang Maha Besar, lagi maha Tinggi (Yang mengatasi segala-galanya).}-

Allah nyatakan bahawa Dia mengetahui segala perkara samada yang ghaib tersembunyi atau yang jelas nyata!

Jadi kita tak perlu fikir samada yang dalam gelap atau dalam cerah, kena guna mikroskop atau kanta- semua itu di bawah ilmu Allah yang sama saja bagi-Nya!

Allah s.w.t dengan sifat-Nya Yang Maha Besar, lagi maha Tinggi; maka Kuasa & keagungan Allah tiada siapa yang boleh melawan & mengatasinya!

  1. Ayat 11- {Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu,}- ini adalah iradah Kauniyyah- iaitu ketetapan Allah yang asli lagi; iaitu apabila Allah nak ia berlaku ia akan berlaku!

Seperti berlaku bala, banjir, pertukaran kerajaan dan apa-apa saja; tiada siapa boleh halang, tiada siapa boleh sekat kerana ia di bawah kuasa Allah!

Namun Allah peringatkan kepada kita bahawa Allah juga tidak akan ubah perjalanan hidup manusia ini kecuali mereka sendiri yang ubahnya dari iman kepada kufur, dari taat kepada maksiat!

Kerana kata ulama’: Dosa akan menghilangkan nikmat.

Maka sesiapa yang buat maksiat maka akan hilanglah nikmat iman & ketaatan Allah darinya!

Maka apabila manusia itu sombong tak ingat kepada nikmat Allah s.w.t- ketika itulah akan hilang nikmat & kesenangan bahkan akan diberi bala bencana yang menakutkan.

Ayat ini jelaslah bahawa segala perkara itu di bawah ilmu Allah s.w.t.

Ayat ini tentang iman, tentang taat, tentang dosa & pahala jangan kita nak politikkannya!

  1. Ayat 11- {Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah.}-

Allah nyatakan bagi manusia itu ada malaikat penjaga yang turun naik!

Yakni malaikat yang bergilir naik turun dari langit ke bumi; bertugas menjalankan perintah Allah!

Malaikat ini ada 2 shiftnya- bergilir bertugas:
i- yang bertugas pada waktu siang turun pada waktu subuh dan naik pada waktu asar.

ii- kemudian yang bertugas pada waktu malam begitu juga; turun pada waktu asar dan naik kembali pada waktu subuhnya!

Setiap manusia ada empat malaikat yang sentiasa bersamanya setiap masa:

i- dua malaikat hafazah- penjaga yang jaga depan & belakang.

ii- dua lagi penulis kebaikan & keburukan- kiraman katibin yang berada di sebelah kiri & kanan.

*Kecuali pada waktu manusia masuk tandas dan berjimak malaikat akan tinggalkan sebentar- kerana itu jangan lupa membaca doa yang telah diajar oleh Nabi s.a.w.

Jadi dalam ayat ini Allah nak suruh kita syukur nikmat kerana ada security- malaikat yang menjaga kita serta jangan lupa buat kebajikan tinggallkan maksiat kerana kita ada malaikat yang mencatat!

Kata ahli fikir: Suratan amalan yang kita nak baca di Akhirat kelak kitalah penulisnya!
Yakni kita buat malaikat akan tulisnya satu perstau!

  1. Ayat 11- {Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.}- apabila Allah nak jatuhkan hukuman tiada siapa yang boleh halang!

Banyak realitinya jika kita lihat kepada sejarah umat Islam dahulu:

i- sesuatu Kerajaan itu apabila rakyat dan pemimpinnya bersatu, beriman dan taat kepada Allah maka negaranya akan aman damai dan kuat!

ii- tetapi apabila maka mula kacau, buat perkara yang tidak baik; maka akan datanglah bala bencana samada musuh yang datang menyerang lalu runtuhlah kekuasaan.

Kita beringatlah jangan sampai perbuatan kita mengundang kemurkaan & bala Allah!

Jangan hidupkan amalan-amalan dalam masyarakat yang jelas bercanggah dengan ajaran Syari’ah agama kita atas nama budaya atau seni!!

Jangan sampai budaya menjadi tipu-daya syaitan.

Ingat jangan sampai Allah ubah keadaan kita yang aman damai ini bertukar menjadi porak puranda.

Pihak yang berkuasa bertindaklah untuk menyekat perkara-perkara yang tidak baik, yang bercanggah dengan Syari’ah dan nilai murni akhlak mulia!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 04/02/2026 / 16 Sya’ban 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top