SEMBAHAN KAFIR TIDAK BERGUNA, ASALNYA MANUSIA SEMUA BERTAUHID & KAFIR MINTA NABI SAW BAWA MUKJIZAT.
Full video : https://youtu.be/Jclx7RBraAo?si=_AhvJcAA65T578p5
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir Surah Yunus dengan ayat 18 sehingga 20 dalam juz kesebelas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa sembahan puak kafir tidak berguna, lansung tidak ada faedah, tidak memberi manfaat & tidak memberi mudharat di dunia ini.
Mudharatnya kepada penyembahnya akan diazab kerana telah melakukan syirik kepada Allah SWT!
- Puak kafir ini kononnya nak mendekatkan diri kepada Allah lalu menggunakan perantaraan seperti berhala.
Kita orang beriman Allah telah nyatakan tak perlu perantaraan bahkan kita kena direct terus kepada Allah untuk bertaubat atau memohon apa-apa doa.
Kecuali dosa yang berkait dengan makhluk, kena selesaikan & minta maaf.
- Allah menyatakan asalnya manusia satu, semuanya bertauhid kepada Allah SWT. Kemudian syaitan datang mengacau dan menghasut & merosakkan manusia dari jalan yang benar kepada syirik dan lain-lain penyembahan selain dari Allah.
- Puak kafir masih lagi tak habis dalam siri cabarannya; kali ini kafir minta Nabi SAW bawa mukjizat yang mereka minta, seperti minta bukit Safa jadi emas, sungai mengalir di padang pasir dan lain-lain yang mereka nak.
Sedangkan banyak sudah mukjizat yang Allah berikan kepada Rasulullah SAW.
Lalu Nabi SAW menyatakan bahawa mukjizat itu dari Allah, Baginda hanya penyampai, bukan perekanya!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kafir minta dari Nabi SAW al-Quran baru atau ubah ayat-ayat, tukar buang yang menghina, mengecam agama & berhala mereka.
Jika tukar baru mereka nak terima kononnya.
ii- Jadi datang ayat ini Allah nyatakan tak perlu tukar atau baiki apa; barang sembahan mereka itu tidak dapat memberi manfaat atau mudharat.
Ayat ini beri kata putus kepada kafir untuk tinggalkan sembahan berhala dan sembahlah Allah SWT yang maha kuasa.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 18- {DAN MEREKA MENYEMBAH YANG LAIN DARI ALLAH, SESUATU YANG TIDAK DAPAT MENDATANGKAN MUDARAT KEPADA MEREKA DAN TIDAK DAPAT MENDATANGKAN MANFAAT KEPADA MEREKA DAN MEREKA PULA BERKATA: “MEREKA (YANG KAMI SEMBAH ITU) IALAH PEMBERI-PEMBERI SYAFAAT KEPADA KAMI DI SISI ALLAH”. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “ADAKAH KAMU HENDAK MEMBERITAHU KEPADA ALLAH AKAN APA YANG IA TIDAK MENGETAHUI ADANYA DI LANGIT DAN DI BUMI (PADAHAL ALLAH MENGETAHUI SEGALA-GALANYA)? MAHA SUCI ALLAH DAN TERTINGGI KEADAANNYA DARI APA YANG MEREKA SEKUTUKAN.”} (YUNUS 10:18)
- Allah menegaskan berhala-berhala dan segala sembahan puak kafir itu sama ada berhala, jin tidak memberi apa-apa manfaat dan faedah kepada mereka dunia & Akhirat.
Bahkan membawa mudharat kepada mereka kerana menjadi penyebab mereka diazab di Akhirat kelak!
- Mereka menjawabnya mencari alasan mengatakan mereka tahu berhala itu tiada kuasa tetapi apa yang mereka sembah itu ialah pemberi-pemberi syafaat kepada mereka di sisi Allah {شُفَعَـٰٓؤُنَا عِندَ ٱللَّهِ}.
Yakni sebagai perantaraan mereka dengan Allah, sebagai orang tengah untuk memberi syafaat kepada mereka dan mendekatkan diri kepada Allah!
- Kata al-Wahidi: Makna {شُفَعَـٰٓؤُنَا عِندَ ٱللَّهِ}-Mereka sangka sembahan berhala itu menguatkan lagi mereka untuk mengagungkan Allah.
Kita orang Islam jangan ada perantaraan antara kita dengan Allah, hakikatnya ada seperti menggosok batu nisan, batu-batu kubur dan seumpamanya.
Bahkan ada yang bawa gendang ke kubur untuk menghiburkan orang mati, Allahu al-Musta’an, dahsyatnya ajaran yang pelik datang dari pera pemuja kubur!!
- Nabi SAW diperintahkan untuk bertanya lagi kepada puak kafir ini: Adakah kamu hendak mengajar Allah akan apa yang Ia tidak mengetahui adanya di langit dan di bumi padahal Allah mengetahui segala-galanya!
Yakni ayat ini tempelak kepada kafir; Allah sudah tahu segalanya, tak perlu lagi kamu nak ajar Tuhan, nak ajar Allah!
- Di akhir ayat ini Allah menyatakan bahawa Maha suci Allah maha tinggi keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan.
Ilmu Allah meliputi segala-galanya!
AYAT 19- {DAN (KETAHUILAH BAHAWA) MANUSIA PADA MULANYA TIDAK MEMELUK MELAINKAN AGAMA YANG SATU (AGAMA ALLAH), KEMUDIAN (DENGAN SEBAB MENURUT HAWA NAFSU DAN SYAITAN) MEREKA BERSELISIHAN. DAN KALAU TIDAKLAH KERANA TELAH TERDAHULU KALIMAH KETETAPAN DARI TUHANMU (UNTUK MENANGGUHKAN HUKUMAN HINGGA HARI KIAMAT), TENTULAH TELAH DIPUTUSKAN HUKUMAN DI ANTARA MEREKA (DENGAN SEGERANYA DI DUNIA) MENGENAI APA YANG MEREKA PERSELISIHKAN ITU.} (YUNUS 10:19)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat lepas Allah nyatakan dalil-dalil batilnya penyembah berhala, tidak ada faedah di dunia atau di Akhirat.
Berhala sembahan mereka itu sendiri lemah tidak mempunyai apa-apa kuasa!
ii- Datang ayat ini menyatakan sebab manusia berpecah sedangkan asalnya manusia di atas landasan tauhid yang satu.
Iaitu syaitan datang menghasut dan menggoda manusia kepada syirik dan kufur kepada Allah.
- Perbincangan kita dari awal surah sehingga ke sini; apa yang dibuat oleh ahli Makkah mendustakan wahyu & tak terima Nabi SAW adalah sama seperti perangai puak terdahulu yang menentang & mendustakan nabi mereka serta mereka juga minta dijatuhkan azab segera, sama seperti umat terdahulu.
- Allah nyatakan asalnya manusia ini semuanya bersatu atas tauhid kepada Allah {كَانَ ٱلنَّاسُ إِلَّآ أُمَّةًۭ وَٰحِدَةًۭ} sejak dari zaman nabi Adam AS lagi.
Kemudian datang syaitan mengacau dan menghasut sehingga mereka berbeza pandangan lalu ada yang menjadi syirik & kafir.
- Hadis: Rasulullah SAW bersabda: كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Maksudnya: Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. [HR al-Bukhari: 13855.].
- Kisah bagaimana syaitan memulakan fahaman syirik & penyembahan berhala atas muka bumi ini: Bila ada orang soleh dari kalangan mereka yang mati syaitan ajar untuk buat gambar, kemudian patung untuk mengingati mereka.
Awalnya hormat saja, mula-mula digosok-gosok, proses penyembahan sedikit demi sedikit berlaku, kemudian tunduk hormat akhirnya sembah sujud maka berlakulah penyembahan secara penuh, na’uzu billah!
Ada disebut nama-nama orang soleh yang awal dari zaman Nabi Nuh yang telah dijadikan berhala oleh pengikut selepas kematian mereka.
- Tetapi apa boleh buat Allah sudah janjikan umat Nabi Muhammad SAW ini tidak akan dibinasakan secara menyeluruh seperti umat terdahulu.
Cuma sudah ada peringatan dalam skala yang tidak besar & hanya tertentu kepada sesuatu kaum.
- Jadi Allah biarkan saja puak kafir ini sehingga hari Kiamat, yakni tangguhkan azabnya atas dunia ini.
Ini kerana sama ada:
i- Allah nak beri peluang mereka bertaubat.
ii- Allah mahu makin hari makin bertambah kejahatan mereka.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.
Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah)); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)”.} (Hud 11: 118-119)
AYAT 20- {DAN MEREKA YANG INGKAR ITU BERKATA: “MENGAPA TIDAK DITURUNKAN KEPADA (MUHAMMAD) SATU MUKJIZAT DARI TUHANNYA? “MAKA JAWABLAH (WAHAI MUHAMMAD): “SESUNGGUHNYA PERKARA YANG GHAIB ITU TERTENTU BAGI ALLAH; OLEH ITU TUNGGULAH (HUKUMAN ALLAH), SESUNGGUHNYA AKU JUGA DI ANTARA ORANG-ORANG YANG MENUNGGU.} (YUNUS 10:20)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah ceritakan tentang kafir yang sembah benda yang tidak memberi faedah.
Mereka jawab dengan mengatakan sembahan mereka hanya sebagai perantaraan, mereka nak ajar Tuhan & kondemnya seolah tak tahu & tak reti.
ii- Maka datang ayat ini menyatakan mereka lawan Nabi SAW pula dengan mencabarnya untuk bawa mukjizat pelik-pelik yang mereka minta.
Sedangkan mukjizat terbesar Nabi SAW iaitu al-Quran sudah ada di depan mata mereka, tetapi mereka tetap tak mahu terimanya!
- Permintaan cabaran kafir kepada Nabi SAW ini Allah rakamkan dalam firman-Nya ini:
i- {Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, di dalam Al-Quran ini, dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); dalam pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima selain dari kekufuran.
Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami.
Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus.
Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya.
Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya”.
Katakanlah (wahai Muhammad):” Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?} (Al-Isra’ 17: 89-93)
ii- {Dan mereka pula berkata: “Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya (sebagai saksi yang membenarkannya).
“Atau diberikan perbendaharaan harta benda kepadanya, atau ia mempunyai sebuah kebun untuk ia makan hasilnya”. Dan orang-orang yang zalim itu berkata pula (kepada orang-orang yang beriman): “Sebenarnya kamu hanyalah menurut seorang yang tidak siuman”.} (Al-Furqan 25: 7-8)
Begitulah apa yang kafir minta itu lebih kepada kebendaan & materialisma, nak projek untuk penuhkan poket & perut.
Kita orang Islam jangan begitu, kita nak mencari bukti kekuasaan Allah bukan nak memburu kebendaan harta dunia.
- Apabila mereka cabar Allah suruh Nabi SAW menjawab: “Sesungguhnya perkara yang ghaib itu tertentu bagi Allah.” Yakni bukan aku yang berkuasa mengadakannya, aku tidak mampu, aku hanya menurut perintah Allah, menerima & menyampaikan apa yang diwahyukan.
- Nota: Kaum kafir musyrikin sengaja tidak mahu percaya mukjizat yang telah banyak Allah kurniakan kepada Nabi SAW termasuk juga mukjizat yang besar sekali iaitu al-Quran.
Lalu mereka minta yang lain.
Begitulah orang yang keras kepala, tak dengar kata, mencari alasan untuk menolak & menentang!
- Di akhir ayat Allah suruh Nabi SAW sekali lagi mengatakan kepada kafir itu jika kamu tak percaya tak mahu beriman maka:
{Oleh itu tunggulah (hukuman Allah), sesungguhnya aku juga di antara orang-orang yang menunggu.}
Yakni kita serahkan kepada Allah & Allah akan bawa hukuman kepada orang yang batil, yang tidak betul itu & Allah akan beri pertolongan kepada orang benar!
Kita tengok siapa yang benar & apakah hukuman-Nya.
- Ayat ini sedih sekali apabila kita mendengarnya, Nabi Muhammad SAW datang untuk berdakwah nak menyampaikan kebenaran kepada mereka tetapi kaum kafir sedaya upaya cuba nak sekat jalannya.
- Sama juga dengan realiti hari ini apabila orang nak berdakwah bawa al-Quran, bawa Sunnah tetapi disekat dengan dibuat pelbagai tuduhan dan label-melabel, disekat dan dilarang dengan tidak diberi permit dan lain-lain.
Sekatlah atas dunia ini, kita tunggu di Akhirat kelak siapa yang benar.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 18- {Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: “Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah”.}-
Orang musyrik kata mereka akui berhala & lain-lain sembahan itu tiada kuasa cuma dijadikan sebagai perantaran antara mereka & Tuhan.
Kata ulama’ tadabbur: Perbuatan menjadikan satu perantara dengan Allah satu asas amalan syirik.
Kononnya untuk mendekatkan diri pada Allah, diri sendiri tidak mampu kerana banyak dosa maksiat dan lain-lain.
Ini adalah satu fahaman yang sesat & salah kerana Syari’ah mengajar manusia minta secara terus dengan Allah, tidak perlu syafaat.
Contoh: Jika kita tersalah melakukan dosa, terus istighfar, bertaubat, minta ampun kepada Allah.
Begitu juga jika nak berdoa minta sesuatu, kita orang beriman wajib terus memohon kepada Allah tidak perlu mencari orang tengah, mencari perantaraan.
Semua ini mudah & simple sahaja jika ikut ajaran & perintah Allah SWT.
- Ayat 18- {Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka…}-
Mereka menyembah sesuatu yang tidak ada kuasa, tidak boleh memberi kebaikan atau keburukan kepada mereka.
Mereka juga tahu keadaan ini tetapi buat juga, lihatlah betapa cerdiknya perbuatan itu!
Kata ulama’ tafsir: Ini adalah kemuncak kejahilan bila mereka sudah tahu berhala itu tiada kemampuan, tak boleh bergerak, berkelip mata atau berkata-kata tetapi tetap menjadikan barang sembahan itu sebagai wasaatah, perantaraan dengan Allah.
Ini adalah satu kepelikan!!!
Jadi dalam ayat ini Allah beri amaran kepada puak kafir bahawa benda yang kamu sembah itu tidak memberi mudharat dan tidak beri manfaat.
Jadi kenapa kamu sembah juga, ini adalah satu ayat sentap, Allah nak mengingatkan orang kafir bahawa apa yang mereka buat itu tidak ada faedah.
Di kalangan orang Islam juga terjadi hal dan perkara pelik begini seperti minta pertolongan dengan orang mati di dalam kubur!!
Anak sakit dibawa ke kubur, minta penghuni kubur doakan kesembuhan anaknya!
Sedangkan sepatutnya orang hidup yang mendoakan untuk kebaikan & kesejahteraan mayat di dalam kubur itu!
Ini terbalik dan satu perbuatan yang sia-sia lagi menyesatkan.
- Ayat 18- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang Ia tidak mengetahui adanya…}-
Allah nyatakan bahawa puak kafir itu nak ajar Tuhan, nak ajar Allah benda yang Allah tak tahu!
Ini adalah sesuatu yang terbalik & pelik kerana Allah tidak perlu diajar, hanya manusia yang perlu diajar dan belajar.
Sepatutnya kita yang belajar dari ayat-ayat Allah SWT kemudian kita patuh, taat & akur akan segala perintah-Nya.
Sangat ajaib apabila tiba-tiba kafir nak ajar Tuhan pula dengan mengatakan kena ada orang tengah sebagai perantaraan antara mereka & Tuhan.
Jika sesama manusia memang perlu saling tegur-menegur dengan kebenaran & dengan baik.
Ilmu Allah meliputi segalanya, Allah SWT mengetahui segala yang di langit & di bumi, yang kecil atau besar.
Begitulah bahayanya perasaan rasa lebih pandai daripada orang lain ini!
- Ayat 19- {Dan (ketahuilah bahawa) manusia pada mulanya tidak memeluk melainkan agama yang satu (agama Allah),…}-
Ayat ini menjadi dalil kepada ulama’ yang berpandangan bahawa asal manusia itu beriman dan lahir atas fitrah kemudian ibu bapanya yang mencorakkannya; sebagaimana hadis Nabi SAW tadi.
Yakni Allah tegaskan bahawa yang benar itu satu sahaja, iaitu ajaran yang Nabi SAW bawa, yang para sahabatnya bawa, itu satu saja!
Yang lain-lain itu kena perbetulkan mengikut apa yang ditinggalkan oleh Nabi, berdasarkan Sunnahnya SAW.
Jangan sesekali minta sesuatu yang pelik & tidak ada faedah.
Sebagaimana yang telah kita nyatakan tadi sebab atau punca berlakunya syirik atas muka bumi ini ialah melampaui (ghuluw) dalam menghormati orang soleh yang telah mati!
- Ayat 20- {Dan mereka yang ingkar itu berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) satu mukjizat dari Tuhannya?}-
Mereka meminta tanda-tanda, bukti kebenaran Nabi SAW.
Ini menunjukkan degil & betapa keras kepalanya puak kafir ini.
Mukjizat dan segala dalil & tanda keterangan yang Allah beri kepada Nabi SAW, telah ada di depan mata mereka tetapi mereka tidak mahu yang itu, mahu yang lain yang mereka sendiri minta & mahu.
Hadis riwayat dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
نْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا مِنَ الأَنْبِيَاءِ نَبِيٌّ إِلَّا أُعْطِيَ مَا مِثْلهُ آمَنَ عَلَيْهِ البَشَرُ، وَإِنَّمَا كَانَ الَّذِي أُوتِيتُ وَحْيًا أَوْحَاهُ اللَّهُ إِلَيَّ، فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَكْثَرَهُمْ تَابِعًا يَوْمَ القِيَامَةِ
“Setiap nabi diberikan mukjizat yang membuat manusia beriman kepadanya. Mukjizat yang diberikan kepadaku adalah wahyu yang diturunkan Allah (al-Quran), maka aku berharap menjadi nabi yang paling banyak pengikutnya di hari kiamat”. [HR Bukhari & Muslim].
Yakni mukjizat itu membuatkan manusia yang lembut dan celik hatinya akan menerima & beriman.
Yang keras tetap menolaklah datang apa sekalipun.
Apabila mereka minta beberapa perkara yang tak masuk akal tadi – Allah suruh Nabi SAW mengatakan semua perkara ghaib & yang pelik itu adalah di bawah kuasa Allah.
Kemudian Allah nyatakan tak mengapalah jika begitu keadaan kamu tak mahu terima tetap degil, kita tunggulah ketentuan Allah SWT di Akhirat kelak.
Kerana berbalah atas dunia ini tidak faedahnya. Kita tunggulah hari Akhirat yang akan mendedahkan segalanya & mengadili semuanya pada hari perbicaraan yang cukup dahsyat.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
