View Categories

(15) Surah Yunus: Ayat 34-36

14 min read

ITHBAT KEBANGKITAN SEMULA, ALLAH SWT MENCIPTA AWAL MAKHLUK DAN MENGEMBALIKANNYA & ALLAH MEMBERI HIDAYAH.

Full video : https://youtu.be/VlgZQWOtFMk?si=_sWMzg5MdH-JJOnd

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 34 sehingga ayat 36 dalam juz kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa ithbat kebangkitan semula manusia, di mana selepas kematian mereka atas dunia ini mereka akan dibangkitkan semula. 
  1. Allah SWT yang berkuasa mencipta manusia dari awal penciptaan makhluk dan mengembalikannya semula bangkit di Mahsyar yang ada perhitungan & pembalasan.
    Orang yang taat syurga manakala yang kafir neraka tempatnya.
  1. Allah juga menyatakan tidak ada siapa dapat memberi hidayah taufiq kepada manusia kecuali Allah SWT!
    Ayat-ayat ini adalah dalam bentuk dialog (uslub hiwar, tanya & jawab antara Rasulullah SAW & golongan kafir. 
    Soalan-soalan ini adalah untuk menyentap & menyedarkan puak kafir akan kesesatan agama mereka.
  1. Tanya untuk suruh mereka menjawab & mengaku bahawa Allah yang mencipta makhluk dari awalnya maka Dia juga berkuasa untuk menghidupkannya balik!! 
    Pelik apanya! Allah yang membawa kebenaran maka kenapa kamu mencari yang lain! 
    Akhirnya Allah nyatakan agama pauk kafir ini agama ikutan semata-mata bukan agama fakta atau agama yang diwahyukan oleh Azza wa Jalla. 

MUNASABAH DENGAN AYAT SEBELUMNYA:

    1. Dalam ayat yang lepas Allah SWT suruh Nabi SAW kepada puak kafir beberapa soalan seperti siapakah yang mencipta langit dan bumi ini, mereka menjawabnya semuanya Allah! 
      Yakni mereka mengakui Allah Pencipta alam ini tetapi dalam masa yang sama mereka tetap syirik kepada Allah menyembah selain dari-Nya!!!
    1. Maka datang ayat ini Allah taqrirkan siapa yang mula-mula mencipta dunia ini? 
      Iaitu Allah, kemudian ia akan diulang balik apabila Kiamat kelak, manusia yang sudah mati hancur tulang-temulangnya akan dibangkitkan hhidup semula di Akhirat kelak!
      Semua dalil-dalil telah digunakan, dalil pancaindera, dalil yang boleh dilihat dengan mata kepala, tengok langit matahari & difikir oleh hati digunakan semuanya; maka datang ayat ini Allah nak ungkit balik bahawa kamu semua akan kembali kepada Allah, dibangkitkan semula maka jangan sesekali kamu melakukan perkara yang tidak baik!!!!

    أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

    AYAT 34- {BERTANYALAH (KEPADA MEREKA WAHAI MUHAMMAD): “ADAKAH DI ANTARA MAKHLUK-MAKHLUK YANG KAMU SEKUTUKAN DENGAN TUHAN ITU, SESIAPA YANG MULA MENCIPTAKAN SESUATU KEJADIAN KEMUDIAN IA MENGEMBALIKAN ADANYA SEMULA (PADA HARI KIAMAT)? “KATAKANLAH: ALLAH JUALAH YANG MULA MENCIPTAKAN SEKAMU MAKHLUK KEMUDIAN IA MENGEMBALIKAN ADANYA SEMULA (UNTUK MENERIMA BALASAN); OLEH ITU, MENGAPA KAMU RELA DIPALINGKAN (KEPADA MENYEMBAH YANG LAIN)?”} (YUNUS 10:34)

    1. Sebagaimana dinyatakan tadi ayat ini adalah dalam bentuk uslub hiwar iaitu tanya & jawab.
      Allah perintahkan Nabi SAW untuk bertanya kepada puak kafir itu akan kekuasaan berhala sembahan mereka yang sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kekuasaan, kebaikan atau manfaat lansung! 
      Apakah mereka boleh mencipta manusia & dunia ini daripada tiada kepada ada; mematikan kemudian menghidupkan balik semua manusia ini sebagaimana Allah SWT???? 
    1. Pertanyaan ini bukan kerana ingin tahu apa, tetapi soalan sentap untuk menyedarkan mereka, untuk membawa dalil-dalil & hujjah ke atas puak kufur itu!!! 
      Supaya mereka berfikir ingat kembali kepada Allah yang Maha berkuasa!!
    1. Kemudian Allah suruh Nabi SAW jawab balik, mengatakan kepada puak kafir bahawa: Allah jualah yang mula menciptakan segala benda & makhluk daripada tiada kepada ada, kemudian Ia mengembalikan adanya semula pada hari Kiamat kelak selepas kematian mereka atas dunia ini untuk menerima balasan.
      Allah buat semua ini dengan zat & kuasa-Nya yang mulia, tiada pembantu sekutu atau partner!!
    1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
      {Dan Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah mereka mati), sedang perlaksanaan yang demikian amatlah mudah bagiNya. Dan bagiNyalah jua sifat yang tertinggi di langit dan di bumi, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (Ar-Rum 30:27)
    1. Ini untuk menunjukkan bahawa jika kita fikir dengan otak yang rasional & ikut logik akal; untuk mengulang balik benda yang sudah ada adalah lebih baik & lebih mudah bagi Allah daripada nak memulakan penciptaan dari awal, dari tiada apa-apa kepada ada!
      Walaupun bagi Allah segalanya adalah mudah & senang!!!!
    1. Untuk menceritakan kepada manusia bahawa secara logiknya semua itu adalah mudah bagi Allah SWT kerana nak hidupkan balik yang telah ada adalah lebih mudah daripada nak cipta atau buat sesuatu yang belum ada. 
      Sedangkan Allah telah mencipta manusia semenjak dari awal penciptaan lagi, daripada tiada kepada ada dan sebaliknya!!!
    1. Pada akhir ayat dikatakan lagi kepada mereka: Oleh itu, mengapa kamu rela dipalingkan daripada kebenaran kepada menyembah yang lain, sedangkan kamu tahu & akui bahawa Allah yang berkuasa mencipta segala ini??? 
      Mengapa kamu lari kebenaran kepada kesesatan!
    1. Sekali lagi mereka ditanya untuk menyentap hati mereka, untuk buka hati & minda mereka supaya mereka sedar apa yang mereka buat itu adalah salah! 
      Agar mereka sedar insaf & beirman kepada Allah SWT lalu selamatlah di Akhirat kelak!

    AYAT 35- {BERTANYALAH (WAHAI MUHAMMAD): “ADAKAH DI ANTARA MAKHLUK-MAKHLUK: YANG KAMU SEKUTUKAN DENGAN TUHAN ITU, SESIAPA YANG DENGAN MEMBERI PETUNJUK KEPADA KEBENARAN? “KATAKANLAH: “ALLAH JUALAH YANG MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADA KEBENARAN; (KALAU SUDAH DEMIKIAN) MAKA ADAKAH YANG DAPAT MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADA KEBENARAN ITU, LEBIH BERHAK DITURUT, ATAUPUN YANG TIDAK DAPAT MEMBERI SEBARANG PETUNJUK MELAINKAN SESUDAH IA DIBERI HIDAYAH PETUNJUK? MAKA APAKAH ALASAN SIKAP KAMU ITU ? BAGAIMANA KAMU SANGGUP MENGAMBIL KEPUTUSAN (DENGAN PERKARA YANG SALAH, YANG TIDAK DAPAT DITERIMA OLEH AKAL)?”} (YUNUS 10:35)

    1. Munasabah ayat:
      i- Dalam ayat sebelumnya Allah nyatakan bahawa segala jenis berhala yang tidak bergerak, tidak berkelip mata itu tidak ada kuasa lansung untuk mencipta manusia atau memberi kebaikan & keburukan kepada manusia penyembahnya!!

      ii- Datang ayat ini dan selepasnya dinyatakan kelemahan yang selain daripada Allah itu; Allah nyatakan hanya Allah yang berkuasa yang kekal, yang berhak disembah & dapat memberi hidayah taufiq kepada manusia.
    1. Soalan sentap berikutnya Allah suruh Nabi SAW bertanya kepada puak kafir: 
      Apakah ada dikalangan makhluk sembahan kamu semua itu yang dapat memberi petunjuk kepada kebenaran kepada kamu wahai kafir???
    1. Nabi SAW diarahkan untuk menjawab & mengatakan kepada musyrikin: “Allah SWT yang Esa & Tunggal’ Dia jualah yang memberi hidayah petunjuk & taufiq kepada kebenaran, kepada sesiapa yang dikehendakinya; bukan orang lain atau segala sembahan mereka itu!!!
    1. Ayat ini di ditafsirkan dengan firman Allah ini:
      {Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya). (Al-Baqarah 2:213) 
    1. Hadis dari Ali RA: Bahawa Nabi SAW apabila bangun untuk solat akan mulainya dengan doa iftitah:
      وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا، وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صَلَاتِي، وَنُسُكِي، وَمَحْيَايَ، وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ، اللهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَنْتَ رَبِّي، وَأَنَا عَبْدُكَ، ظَلَمْتُ نَفْسِي، وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي ذُنُوبِي جَمِيعًا، إِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، وَاهْدِنِي لِأَحْسَنِ الْأَخْلَاقِ لَا يَهْدِي لِأَحْسَنِهَا إِلَّا أَنْتَ، وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا لَا يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلَّا أَنْتَ، لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِي يَدَيْكَ، وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ، أَنَا بِكَ وَإِلَيْكَ، تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ
      Maksudnya: “Aku hadapkan wajahku kepada Zat yang Maha Pencipta langit dan bumi sebagai Muslim yang ikhlas dan aku bukan termasuk dalam kalangan orang yang mensyirikkan Allah. Sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku, hanya semata-mata untuk Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya. 
      Oleh kerana itu, aku patuh kepada perintah-Nya, dan aku termasuk dalam kalangan orang yang aku berserah diri. 
      Ya Allah, Engkaulah Maha Penguasa. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Maha Suci Engkau dan Maha Terpuji.
      Engkaulah Tuhanku dan aku adalah hamba-Mu. 
      Aku telah menzalimi diriku sendiri dan akui dosa-dosaku. 
      Maka, ampunilah semua dosa-dosaku. Sesungguhnya, tidak ada yang boleh mengampuni segala dosa melainkan Engkau.
      Tunjukilah aku akhlak yang paling terbaik. Tidak ada yang dapat menunjukkannya melainkan hanya Engkau. 
      Jauhkanlah dariku akhlak yang buruk. Kerana sesungguhnya tidak ada yang sanggup menjauhkannya melainkan hanya Engkau. 
      Aku patuhi segala perintahMu, dan aku tolong agama-Mu. 
      Segala kebaikan berada di tangan-Mu. Sedangkan kejahatan tidak datang daripada-Mu. 
      Aku berpegang teguh denganMu dan kepada-Mu. 
      Maha Suci Engkau dan Maha Tinggi. Kumohon ampun dariMu dan aku bertaubat kepada-Mu. 

      [HR Muslim no. 201].

      Boleh lihat bacaan ini dan lain-lain bacaan untuk doa iftitah yang dibaca Nabi SAW dalam buku Perisai Muslim ini:
      https://dartaibah.com/…/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan…
      Jika tak pernah dengar, ini kerana kita tak belajar & tak tambah nilai (upgrade) doa dan zikir-zikir kita.
    1. Nabi SAW juga berdoa dengan doa yang amat indah & bermanfaat antaranya riwayat dari ‘Abdullah bin ‘Amru bin Al ‘As RA., beliau berkata: Rasulullah SAW berdoa: اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ “Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu!” (HR Muslim)
      Bila kita taat kita akan selamat insya’ Allah!
    1. Doa-doa seperti ini, minta akhlak yang baik, agar tetap pendirian atas godaan dunia & ancaman puak kafir ini amat penting untuk zaman kita yang penuh kecelaruan ini. 
      Moga Allah tunjukkan jalan, tunjukkan apa yang Dia redhai & suka, kita akan akur & taat apa yang Allah nak itu insya’ Allah!
    1. Pada akhir ayat Allah kata: Maka jika sudah demikian kamu tahu bahawa segala sembahan itu adalah makhluk yang lemah, tidak dapat memberi hidayah petunjuk apa, tetapi kenapa kamu masih pilih kebatilan yang besar iaitu menyamakan Allah dengan makhluk. 
      Inilah yang dipanggil syirik kepada Allah!

    AYAT 36- {DAN KEBANYAKAN MEREKA, TIDAK MENURUT MELAINKAN SESUATU SANGKAAN SAHAJA, (PADAHAL) SESUNGGUHNYA SANGKAAN ITU TIDAK DAPAT MEMENUHI KEHENDAK MENENTUKAN SESUATU DARI KEBENARAN (IKTIQAD). SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN APA YANG MEREKA LAKUKAN.} (YUNUS 10:36)

    1. Munasabah ayat:
      i- Setelah Allah SWT ajar kepada Nabi SAW untuk berhujjah, berdialog dengan puak kafir dengan hujjah yang mantap, tentang Allah yang mencipta makhluk dari awal kemudian ulang-baliknya, serta memberi petunjuk kepada manusia, semuanya di bawah kuasa Allah!

      ii- Maka setengah ayat ini jika kamu tak mahu ikut yang benar, mahu ikut yang ramai walaupun salah & tidak benar. 
      Ingatlah ajaran & pegangan kamu itu bukan yang benar ia hanya ikutan, tekaan & sangkaan yang tidak akan naik taraf kepada keyakinan.
    1. Allah kata ramai manusia, kebanyakan mereka kafir yang syirik itu tidak berpaksikan kepada fakta, kepada apa yang diajar oleh Allah SWT, tetapi mereka hanya berpegang dengan sangkaan yang lemah semata-mata! 
      Tiada dalil untuk menyokong apa yang mereka percaya, ia tidak ada nilai! 
    1. Sangkaan mereka itu bukan kebenaran. Sedangkan iktiqad kita mesti berpegang dengan keyakinan, dari Allah & Rasulullah SAW, bukan zhon sangkaan semata-mata!
      Pegangan atau agama tidak boleh dengan zhon, ia kena ada keyakinan!
    1. Kata ulama’ tafsir: Sesungguhnya syak, ragu, tidak yakin; tidak akan boleh memberi keyakinan.
      Seperti mereka kata berhala itu Tuhan yang akan memberi syafaat kepada mereka di Akhirat kelak, berhala itu sebagai zulfa, iaitu mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT! 
      Itu semua hanya sangkaan & rekaan mereka sendiri yang tiada nilai di sini Allah kerana tanpa ada dalil & hujjah yang menjadi sumber sangkaan mereka itu!
    1. Sedangkan agama kita bukan agama sangkaan; tetapi adalah agama yang berpaksikan kepada dalil, ada dalam al-Quran, ada dalam Sunnah Nabi SAW, ada dalam tafsiran ulama’ Islam yang muktabar; maka kita pegang! 
      Jika kita hanya berpandu kepada logik akal manusia; kita tidak akan sampai ke jalan yang benar sebagaimana yang dikehendaki Allah.
    1. Allah sentap sekali lagi: Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan dan di Akhirat kelak akan didedahkan segalanya & tidak akan terlepas segala hukuman.
      Walaupun mungkin terlepas di dunia ini tetapi di Akhirat tidak akan selamat lagi dari kekuasaan Allah!

    PENUTUP & FAEDAH :

    1. Ayat 34- {Bertanyalah (kepada mereka wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian kemudian ia mengembalikan adanya semula (pada hari kiamat)? “Katakanlah: Allah jualah yang mula menciptakan sekamu makhluk kemudian Ia mengembalikan adanya semula (untuk menerima balasan); oleh itu, mengapa kamu rela dipalingkan (kepada menyembah yang lain)?”}-

      Dalam ayat ini Allah SWT suruh Nabi SAW tanya kemudian Nabi sendiri yang jawabnya.
      Apakah faedahnya cara soal-jawab ini dalam kepentingan dakwah Islam? 
      Iaitu faedah dengan hujjah untuk menyatakan tentang kebenaran Islam & keimanan kepada Allah SWT: 
      i- Ini kerana apabila kita bertanya akan sesuatu yang sudah diketahui & jelas hukumnya, tetapi apabila kita guna kaedah bertanya kepada mereka & dijwab pula oleh penanya itu sendiri, maka ia akan lebih memberi kesan kepada minda & hati orang yang ditanya!!!

      Contoh kita tanya:
      i- Wahai anak apakah solat itu wajib? 
      Hukumnya sudah diketahui, dia akan jawab wajib. 
      Maka kita tanya balik, jadi kenapa kamu tak solat? 
      Kerana kita nak pasakkan lagi kesedaran itu ke dalam hati mereka.

      ii- Kita tanya kepada muslimat yang tak tutup aurat; Apakah kamu tahu tutup aurat itu wajib? Jika dia jawab ya tahu, maka kita tanya balik jadi kenapa kamu tak tutup aurat???
      Kerana kita nak pasakkan lagi hujjah ke atas mereka. 
      Perkara yang sudah jelas hukumnya, ia makin kuat kesannya ke atas jiwa orang ditanya itu kerana mereka nak jawab itu mereka kena fikir dulu, lalu dapat merasakan apa yang mereka buat itu salah! 
      Yang benarnya duduk pada Islam, ikut Sunnah dan bukan duduk pada dia!
    1. Ayat 34- {Bertanyalah (kepada mereka wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian kemudian ia mengembalikan adanya semula (pada hari kiamat)?} –

      Allah suruh tanya lagi: Apakah sekutu-sekutu yang kamu sembah & kamu kata partner kepada Allah itu boleh mencipta dari awal kejadian kemudian mengulangnya balik??
      Tiada siapa yang akan jawab selain daripada semuanya akan kata: Allah!!!
      Jadi kita kata wahai kafir: Jika kamu dah tahu & percaya bahawa sembahan kamu tidak ada apa-apa kuasa & tiada hujjah jadi kenapa kamu sembah juga ia??? 
      Ini menunjukkan bahawa kafir itu keras kepala, pembohong, mereka-reka amalan yang memang tidak diajar oleh Allah Azza wa Jalla.
      Ayat ini jelas menzahirkan dan menyerlahkan untuk menyentap puak kafir supaya mereka berfikir & sedar berhala atau patung-patung mereka itu tiada faedah!
      Ini untuk membuatkan puak kafir itu berfikir bahawa berhala mereka itu tidak memberi apa-apa faedah! 
      Maka ingatlah bahawa agama kamu itu agama rekaan yang tiada faedah kerana berhala kamu itu tidak ada apa-apa kuasa!
    1. Ayat 34- {Bertanyalah (kepada mereka wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian kemudian ia mengembalikan adanya semula (pada hari kiamat)?}-

      Soalan ini dituju kepada puak kafir yang kita sudah tahu tidak percaya kepada bangkit semula, pembalasan dan Akhirat semuanya tidak ada.
      Mereka anggap apabila sudah mati kita akan jadi tanah, hancur segala jasad & tulang!
      Jadi apa faedah kita tanya semua ini kepada mereka????

      Jawapan:
      Jangan gopoh!! Sebagaimana yang kita baca dalam ayat yang lepas, bahawa puak kafir itu tahu sembahan mereka tidak ada kuasa, mereka akui kekuasaan Allah. 
      Lihat apa yang terjadi ketika bahtera mereka dilambung ombak di lautan, mereka tak panggil berhala mereka tetapi mereka seru nama Allah & minta pertolongan dari-Nya.
      Para ulama’ kata: Jadi tujuan bertanya ini bukan saja-saja & sia-sia tetapi kerana sudah ada asasnya dalam jiwa mereka, mereka tahu ada Tuhan.
      Tujuan bertanya untuk menghidupkan balik kepercayaan & asas yang telah ada jauh di sudut hati mereka agar lebih jelas dan mereka berfikir lgi.
      Inilah pentingnya uslub perbincangan & dialog dengan orang kafir!
    1. Ayat 35- {Bertanyalah (wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk: yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang dengan memberi petunjuk kepada kebenaran? “Katakanlah: “Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran;..}-

      Dalam ayat ini kita nak pegang asal fitrah dalam jiwa setiap manusia iaitu fitrah mereka akui dulu semasa alam zuriat bahawa Allah SWT adalah Tuhannya.
      Jika kamu dah tahu berhala semua itu tidak berfungsi & mengakui bahawa hanya Allah yang boleh memberi rezeki, boleh memberi petunjuk hidayah & bimbingan ke jalan yang benar! 
      Jadi kenapa kamu pergi tukar dengan menyembah selain dari Allah seperti berhala dan lain-lain???
      Mereka jawab pula: Bukan begitu kami bukan menyembah yang lain, kami hanya menjadikan sembahan itu sebagai wasitah, perantaraan atau sokongan!
      Kita kata tidak begitu, tak perlu wasitah perantaraan kepada Allah!!!! 
      Ayat ini mengajar kepada kita nak berdoa nak meminta ampun dan apa saja kita hanya perlu direct kepada Allah SWT! 
      Cuma kita perlu guru untuk mengajar membimbing menunjuk kita kepada jalan yang benar!
    1. Ayat 36- {Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja,…}-

      Kebanyakan puak kafir itu agama mereka hanya rekaan, sangkaan dan rekaan yang tidak jelas.
      Kata ulama’ tadabbur: Dalam al-Quran apabila Allah sebut zhon, sangkaan {ٱلظَّنَّ} ia bermakna sesuatu yang tidak betul! 

      Ada tiga peringkat sangkaan atau keraguan ini:
      i- Yang dipanggil waham (الوهم)-iaitu 30% saja kepercayaan.

      ii- Syak (الشك) iaitu tengah dalam 50-50%, antara percaya & tidak.

      ii- Ketiga ialah zhon (الظن) iaitu 60-70% percaya.

      iv- Ghalabatuz- zhon (غلبة الظن) iaitu hampir yaqin, 90%.
      Barulah sampai kepada yakin(اليقين) iaitu 100% percaya.
      DI dalam al-Quran apabila disebut zhon {ٱلظَّنَّ} puak kafir ia adalah sesuatu sangkaan yang buruk, waswas rekaan dan agama yang tidak betul. 

      Kenapa Allah kata: {Dan kebanyakan mereka…}- kebanyakan puak kafir yakni bukan semua mereka.
      Jawapan: Ayat ini memberi satu harapan moga ada di kalangan puak kafir itu sekarang ini akan menjadi mereka yang ikut kebenaran dan bertaubat serta akan jadi manusia yang baik pada masa depan insya’ Allah!
      Contoh sangat jelas sahabat seperti Abu Sufyan RA dan lain-lain.
      Ada ulama’ kata semua manusia.

      Kesimpulan daripada ayat yang telah kita baca ini:
      i- Allah Pemberi rezeki & yang menciptakan manusia dan pancaindera mereka.

      ii- Allah menciptakan yang lebih besar lagi iaitu langit & bumi. 

      iii- Allah nyatakan bahawa hidayah taufiq hanya milik Allah Azza wa Jalla!
      Betapa kaitan mencipta manusia & memberi hidayah itu sangat besar.

      Manakala 3 nikmat yang Allah ulang sebut dalam al-Quran, yang tidak terjadi dengan usaha manusia semata, iaitu:
      i- Nikmat Allah cipta kita.

      ii- Nikmat Allah beri taufiq & hidayah dan jadikan kita Islam, cintakan al-Quran & Sunnah.

      iii- Nikmat akan datang iaitu syurga yang Allah janjikan untuk orang beriman. 

    Alhamdulillah kita sudah dapat dua hidayah ini iaitu Allah cipta & kita Islam, cintakan al-Quran & Sunnah Nabi SAW. 
    Kita tunggu nikmat yang ketiga insya’ Allah!
    Allah cela puak kafir yang menolak kebangkitan semula dengan dua celaan iaitu:
    i- Allah kata sembahan mereka itu lemah, tiada faedah & tidak beri manfaat & mudharat.

    ii- Hidayah ini di bawah milik & kuasa Allah tetapi kenapa kamu tidak minta dengan Allah tetapi minta dengan berhala sembahan kamu yang tiada kuasa? 
    Maka kamu tidak akan dapatnya apa yang sepatutnya kamu dapat atas dunia ini!

    Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

    Wallahu a’lam.

    Powered by BetterDocs

    Leave a Reply

    Scroll to Top