Sifat Orang Jahat, Rezeki Allah S.W.T Tentukan & Kafir Minta Bukti.

♥ Live Pagi Isnin 09/02/2026 / 21 Sya’ban 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ar-Ra’d (08) Ayat [25-27] ♥
Full video: https://youtu.be/9yccBR854aI?si=YSFVBxd9qgPX2iZi
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ar-Ra’d dengan ayat 25 sehingga ayat 27 dalam juzuk ketigabelas.
- Dalam ayat-ayat ini Allah s.w.t nyatakan sifat orang jahat, iaitu orang yang membatalkan perjanjian, yang memutuskan hubungan yang Allah perintah supaya dihubungkan dan yang melakukan kerosakan atas muka bumi.
*Ini adalah sifat yang sebaliknya dengan sifat Ulul Albab, orang cerdik dalam ayat sebelumnya.
- Kemudian Allah nyatakan kuasa Allah s.w.t tentukan rezeki manusia: Siapa yang kaya, siapa yang miskin, siapa yang pemurah, siapa yang bakhil.
Kita boleh kenal melalui pergaulan dengan mereka! - Puak kafir apabila nak lawan hujjah tak mampu- mereka datang minta bukti dengan Nabi s.a.w walaupun bukti yang ada sudah banyak dan jelas di depan mata mereka.
Tetapi apa boleh buat apabila buta mata hati segalanya jadi tak nampak.
*Kata penyair, al-Mutanabbi:
قول المتنبي: ومَنْ يَكُ ذا فَمٍ مُرٍّ مَرِيضٍ يَجدْ مُرّاً بهِ المَاءَ الزُّلالا
Air yang manis akan jadi pahit apabila lidah itu sudah sakit.
**Begitulah juga hati manusia yang sakit; mereka tak boleh terima apa yang dibawa oleh Nabi s.a.w.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang 9 sifat orang yang baik, orang cerdik iaitu ulul Albab.
Uslub al-Quran seperti biasa akan bawa lawannya juga, apabila disebut yang baik kan disebut juga yang baik.
ii- maka datang ayat ini bawa sifat yang buruk pula serta dibawa juga janji akan azab balasan yang buruk di Akhirat kelak.
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَٱلَّذِينَ يَنقُضُونَ عَهْدَ ٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ مِيثَٰقِهِۦ وَيَقْطَعُونَ مَآ أَمَرَ ٱللَّهُ بِهِۦٓ أَن يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِى ٱلْأَرْضِ ۙ أُو۟لَٰٓئِكَ لَهُمُ ٱللَّعْنَةُ وَلَهُمْ سُوٓءُ ٱلدَّارِ ﴿٥٢﴾
Ayat 25- {Dan (sebaliknya) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya dan memutuskan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, serta mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, – mereka itu beroleh laknat, dan mereka pula beroleh balasan hari akhirat yang seburuk-buruknya.} (Ar-Ra’d 13:25)
- Allah menyatakan dalam ayat ini beberapa sifat yang buruk;
Pertamanya mereka ini akan mencabul perjanjian dengan Allah setelah mereka berjanji dengan teguhnya- siap dengan watikah dan seumpama! Atau janji sesama manusia juga di khianati.
Ini adalah salah satu sifat munafiq amali dan berlawan dengan sifat mukmin yang sejati! - Sifat buruk yang kedua ialah memutuskan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan:
i- hubungan dengan Allah inilah yang paling besar wajib kita jaga.
Apabila kita mengucap dua kalimah syahadah- wajib jaga solat, tunai zakat, puasa, kerjakan haji jika mampu!
ii- hubungan keluarga iaitu silaturrahim.
Jangan lupa dan abaikannya- dengan keluarga tidak mesra dengan kawan-kawan baik.
Atau lebih parah lagi sesama Islam berbalah dan benci tetapi dengan orang kafir hormat dan sayang!
Orang beriman akan berkasih sayang sesama Islam keras tegas terhadap orang kafir- tetapi di akhir zaman ini sebaliknya; berkelahi sesama Islam.
- Sifat buruk ketiga ialah membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, samada:
i- kerosakan rohaniyah iaitu dengan melakukan kezaliman ke atas diri sendiri dengan kufur kepada Allah!
Atau dengan membuat maksiat.
Ini adalah sesuatu yang buruk kerana apabila buat maksiat dia akan menghilangkan perkara yang baik- maksiat lawanya taat.
Sebagaimana bid’ah adalah berlawanan dengan Sunnah.
Maka kita kena sebarkan amalan Sunnah Nabi s.a.w yang ditinggalkan Nabi s.a.w dan celikkan mata manusia akan Sunnah yang sahih dan beramal dengannya!
ii- kerosakan fizikal- seperti melakukan kerosakan dan pencemaran alam sekitar yang dapat membawa keburukan kepada kehidupan dan alam.
Akibat kerakusan manusia nak mengejar pembangunan dan kemajuan sehingga sanggup merosakkan ekosistem alam yang menyebabkan bencana ke atas diri kita sendiri seperti gejala banjir besar, lumpur, tanah runtuh dan sebagainya!
Sebagaimana firman Allah:
{Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).} (Ar-Ruum 30:41)
- Ini semua adalah sifat yang berlawan dengan sifat baik yang diceritakan dalam ayat sebelum ini.
Kita kena tahu juga yang buruk kerana jika tidak kenal yang buruk macamana kita nak kenal yang baik!
- Seorang sahabat Huzaifah Ibnu al-Yamani berkata:
كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُوْنَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْخَيْرِ،
وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنِ الشَّرِّ مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِي. أخرجه البخاري ومسلم.
*Kita ucapkan terima kasih kepada Huzaifah kerana dengan sebab dia tanya- kita pun ikut tahu!
- Jadi kita kena ajar dan jelaskan kepada anak-anak kita apa yang baik & apa yang buruk. Biar mereka kenal dan tahu untuk bezakannya!
- Kita tahu naluri dan nafsu manusia sukakan hiburan seperti muzik & lagu- maka jangan sesekali kita beri peluang atau mendedahkan mereka kepada perkara mungkar & maksiat itu!
Nafsu boleh dikawal dengan dididik dan diajar bukan dibiarkan bebas nak buat apa saja dengan diberi ruang dan peluang!
- Terdapat pula laporan dari imam-imam kawasan tertentu bahawa ada acara atau tradisi lama yang telah dihapuskan sebelum seperti makyong, main puteri dan seumpamanya ini muncul timbul balik atas nama adat & budaya!
Besarlah dosa orang yang menghidupkan semula sesuatu maksiat dan kemungkaran yang telah mati dan dihapuskan!
- Kemudian di akhir ayat Allah nyatakan apa balasan mereka yang jahat ini:
i- mereka itu beroleh laknat Allah atas dunia ini;
ii- dan mereka pula beroleh balasan hari akhirat yang seburuk-buruknya.
للَّهُ يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقْدِرُ ۚ وَفَرِحُوا۟ بِٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ إِلَّا مَتَٰعٌ ﴿٦٢﴾
Ayat 26- {Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak, kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat.} (Ar-Ra’d 13:26)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang sebelumnya Allah menyatakan sesiapa yang membatalkan perjanjian dan memutuskan hubungan yang Allah suruh akan dilaknat di dunia dan akan diazab di Akhirat kelak!
*Kemudian timbul persoalan jika Allah laknat mereka atas dunia kenapa mereka senang dan kaya atas dunia ini????
ii- maka datang ayat ini Allah menjelaskan bahawa kaya atau miskin tiada kaitan dengan kufur atau iman.
Ini kerana atas dunia ini untuk mengumpul bahan bukti; di Akhirat kelak untuk menerima pembalasan.
Yakni lagi kaya kamu dengan sebab zalim rasuah dan penipuan; lagi kuat kena hentam dengan malaikat!
Dunia ini tempat ujian, dunia bukannya kekal tetapi tempat untuk meninggal- kamu tinggal yang baik maka alhamdulillah jika tinggal yang buruk maka terimalah!
- Yakni Allah-lah yang berkuasa meluaskan dan menyempitkan rezeki sesiapa yang dikehendaki-Nya mengikut hikmat-Nya!
Tiada siapa yang dapat menghalang dan mempertikaikannya! - Apabila diberi rezeki yang banyak jika syukur alhamdulillah tetapi jika kamu kufur nikmat Allah, angkuh dan sombong maka tunggulah azab siksanya.
Fenomena ini bermula dengan Qarun lagi yang berasal dai orang yang baik tetapi berubah menjadi angkuh sombong setelah mendapat harta.
- Sebagaimana kita lihat hari ini betapa ramai anak muda yang cepat kaya dan senang hasil menggunakan platform medsos samada sebagai influencer atau pemungut derma di alam maya atau menjuak produk!
Jika menggunakan jalan yang benar selamat tetapi jika salah-guna kepercayaan yang diberi maka tunggulah saat kehancuran dan keruntuhan- tak kena di dunia di Akhirat pasti menanti.
*Ini adalah hasil kebaikan dan kemurahan hati masyarakat atau netizen yang kurang tahu kebenaran sebenar- mereka derma untuk masjid atau puasat pengajian bukan untuk peratus yang diambil oleh pengutip derma yang membina empayar atas dasar sedekah orang ramai!
- Dunia ini hanya sementara dan kesenangannya hanya kecil sahaja berbanding dengan Akhirat:
i- firman Allah s.w.t:
{Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.} (At-Taubah 9:38)
ii- Sabda Nabi s.a.w:
وَاللهِّ مَا الدُّنْيَا فِي الآخِرَةِ إِلاَّ مِثْلُ مَا يَجْعَلُ أَحَدُكُمْ إِصْبَعَهُ فِي الْيَمِّ فَلْيَنْظُرْ بِمَ يَرْجِعُ؟
“Demi Allah, tidaklah dunia dibandingkan akhirat kecuali seperti seseorang dari kalian mencelupkan jarinya ke laut, maka lihatlah apa yang tersisa di jarinya jika ia keluarkan dari laut?” (HR Muslim no 2868).
ii- Rasulullah S.A.W bersabda:
الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” [HR Muslim (715)]
وَيَقُولُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَوْلَآ أُنزِلَ عَلَيْهِ ءَايَةٌ مِّن رَّبِّهِۦ ۗ قُلْ إِنَّ ٱللَّهَ يُضِلُّ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِىٓ إِلَيْهِ مَنْ أَنَابَ ﴿٧٢﴾
Ayat 27- {Dan orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) satu mukjizat dari Tuhannya? “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi petunjuk ke jalan agamanya, sesiapa yang rujuk kepadaNya,} (Ar-Ra’d 13:27)
- Puak kafir ini sifatnya tak puas hati sentiasa. Mereka berkata jika betul Nabi Muhammad s.a.w adalah benar kenapa Allah tidak turunkan mukjizat- sesuatu yang pelik yang dapat membuatkan mereka boleh percaya kepadanya!
*Sedangkan sudah begitu banyak tanda-tanda dalil bukti dan mukjizat akan kebenaran Nabi s.a.w. di depan mata mereka tetapi mereka minta yang pelik-pelik juga, yang duniawi ikut kehendak mereka.
- Nota [454]- Walaupun Rasulullah s.a.w. telah dikurniakan oleh Allah Ta’ala dengan berbagai mukjizat yang terang nyata, tetapi kaum kafir pada zamannya, kerana degil dan ungkal (bodoh), buat-buat tidak nampak mukjizat tersebut, dan mereka bertanya pula mengapa tidak diturunkan sesuatu mukjizat kepadanya.
- Allah ceritakan permintaan puak kafir ini dengan detail dalam firman-Nya:
{Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami.
Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus.
Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya.
Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya”.
Katakanlah (wahai Muhammad):” Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?} (Al-Israa’ 17: 90-93)
- Kemudian Allah ajar Nabi s.a.w untuk menjawab kepada puak kafir itu bahawa jika kamu tak mahu percaya maka kamu telah sesat.
Ini kerana mereka bukan nak beriman saja nak mencabar melawan saja:
i- Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya),
ii- dan memberi petunjuk ke jalan agamanya, sesiapa yang rujuk kepadaNya!
*Yakni mereka sesat bukan kerana Nabi s.a.w tak bawa mukjizat yang mereka pinta tetapi kerana mereka memang tak mahu lihat kebenaran yang telah jelas di depan mata!
- Sebagaimana telah dinyatakan bahawa hidayah itu ada jenis:
i- hidayah irsyad iaitu untuk memberi bimbingan dan ajaran- setiap kaum ada pembimbing dan pengasuh yang mengajar mereka kepada jalan yang benar.
ii- Hidayah taufiq- membuka hati manusia untuk beriman dan beramal soleh itu milik Allah!
Penutup & Faedah #
- Ayat 25- {Dan (sebaliknya) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya dan memutuskan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan,…}-
Ini adalah sifat pertama yang Allah sebut tentang orang jahat ini.
Iaitu suka membatalkan perjanjian yang telah diteguhkan!
Allah perintahkan kita apabila buat perjanjian kena tunaikan!
Mereka juga suka memutuskan hubungan yang diperintahkan Allah untuk hubungkannya iaitu samada:
i- hubungan dengan Allah- iaitu sombong angkuh dengan ingkar & tidak taat akan perintah Allah!
Ini putus hubungan dengan Allah!
ii- atau sesama manusia terutama yang mempunyai hubungan keluarga (silaturrahim).
Kena jaga dan hubungkan selalu jangan sampai putus.
Inilah sifat yang tidak baik- lawan kepada ulul Albab.
Kita minta jauh dari sifat buruk ini, sifat manusia celaka yang mana akan menyebabkan hidup di dunia tidak senang & di Akhirat akan mendapat laknat Allah Azza wa Jalla!
Nasihat AAM:
Anak-anak yang masih ada ibu bapa, ambil pedulilah akan kebajikan mereka.
Orang tua jangan biarkan mereka menghabiskan sisa usia mereka begitu saja tanpa perhatian dan jagaan yang sepatutnya.
i- Jika sudah terlantar atau sakit jangan biarkan mereka tidak terurus, jaga kebersihan, makan-minum, ibadat dan kebajikan mereka!
Jika tidak mampu jaga atau uruskan boleh hubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan, samada bantuan kewangan atau pengurusan.
Jangan sampai orang tua duduk dalam sampah, dalam najis yang penuh kekotoran- ajaran Islam tidak begitu!
Perbuatan begitu boleh termasuk dalam memutuskan silaturrahim!
Jiran atau masyarakat sekeliling kena cakna dan peka akan keadaan jiran atau ahli qaryah, jika ada kes-kes yang perlu bantuan, tolong laporkan untuk disalurkan kepada pihak yang bertanggung-jawab seperti pemerintah atau pihak kebajikan masyarakat.
ii- manakala jika ibu bapa masih sihat boleh uruskan diri- jangan biarkan dia duduk saja di rumah tanpa arah tujuan dok tengok TV dengar radio habiskan masa tanpa memberi manfaat!
Kita cari dan hantarlah mereka ke pusat-pusat pengajian atau pondok untuk orang tua warga emas yang menyediakan kemudahan agar mereka dapat beribadat dengan mudah dan tenang, tanpa gangguan duniawi- menunggu kematian yang husnul-khatimah insya’ Allah!
Kita mencari husnul-khatimah insya’ Allah dengan usaha untuk beribadat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dan beramal dengan Sunnah Nabi s.a.w.
- Ayat 25- {… serta mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi,}- sifat kedua ialah orang yang melakukan kerosakan di muka bumi!
Manusia itu juga dikira derhaka jika melakukan sebarang maksiat dan kejahatan atas muka bumi ini!
Buat kerosakan ini adalah dengan pelbagai dimensi samada:
i- secara kerohanian dengan berbuat kekufuran dan kemaksiatan, serta menghalangi manusia dari jalan Allah dan menginginkannya menjadi sesat.
ii- Secara fizikalnya mereka menyondol segala bukit-bukau, korek tasik, sungai dan sebagainya demi hasil bumi yang lumayan tanpa memperdulikan kesan buruk yang teruk dan akibatnya mereka memusnahkan alam ciptaan Allah S.W.T.
Kesimpulannya, orang yang buat maksiat adalah orang yang derhaka dan melakukan kerosakan atas muka bumi dengan sebab maksiat yang dibuat.
Begitu juga orang yang memang merosakkan alam secara fizikal!
- Ayat 26- {Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya.}-
Allah nyatakan memberi rezeki adalah kerja Allah, banyak atau sikit semuanya di bawah kuasa dan hikmah Allah.
Kerja kita sebagai manusia adalah berusaha mencari rezeki; jangan kata kerana rezeki telah ditetapkan Allah; kita tak perlu berusaha bekerja, hanya dok diam tunggu rezeki datang bergolek banyak atau sedikit!
*Nak makan nasi pun kena usaha- bermula beli beras, memasak nasi dan seterusnya!
Allah perluaskan rezeki atau sempitkannya adalah sebagai satu ujian kepada manusia:
i- Allah meluaskan rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dengan memberi harta yang banyak- nak uji tengok dia syukur atau tidak- dengan dia tak bakhil, dia sedekah, infaq fi-sabilillah dengan buat kebajikan yang banyak guna pada jalan yang diredhai Allah!
ii- orang kaya ada harta tetapi salah guna hartanya, hanya healing situ sini tanpa mengeluarkan haknya, dia bakhil tak infaq maka itu adalah orang yang kufur dan dia cari penyakit!
Rezeki luas atau sempit adalah ujian- Allah meluaskan dan menyempitkannya kepada siapa yang Dia kehendaki.
Rezeki bukan ukuran kasih atau murka Allah. Kaya bukan bererti Allah sayang- miskin bukan bererti Allah benci!!!
Ingatlah rezeki kita di bawah kuasa Allah- maka jangan takut untuk menyatakan kebenaran kerana takut orang marah lalu tersekat rezeki—bukan manusia yang beri kamu rezeki tetapi Allah Azza wa Jalla!
- Ayat 26- {… sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak, kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat.}-
Allah nyatakan bahawa manusia ini mudah terpedaya dengan kebendaan/material dunia.
Dunia ini manis hijau- manusia akan mudah terperangkap & terpedaya dengan godaan syaitan.
Sebagaimana semut mati dalam gula, lalat mati dalam madu.
Manusia begitu juga akan lalai dalam godaan syaitan.
Dunia ini hanya sementara sebagaimana yang telah dibuat bandingan oleh Nabi s.a.w dalam hadis di atas tadi.
Kegembiraan orang yang lalai terhadap dunia adalah kegembiraan sementara.
Akhirat tetap lebih baik dan lebih kekal.
- Ayat 27- {Dan orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) satu mukjizat dari Tuhannya?}- pauk kafir begitulah kerja mereka!
Mereka mencabar dan memerli Nabi s.a.w untuk bawa tanda dalil ayat untuk membuktikan kebenaran Baginda s.a.w. tetapi apabila bukti telah ada di depan mata mereka- mereka tetap tidak beriman!!!
Kerana itulah Allah kata di bawah kuasa-Nya menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya menurut undang-undang peraturan-Nya dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya!
Jadi usaha kita para pendakwah, murabbi, guru dan ibu bapa semua; tugas kita mendidik anak-anak supaya memahami ilmu tentang Allah & tentang Rasul.
Ajar mereka tentang Sunnah Nabi s.a.w; beritahu mereka inilah bacaan atau doa yang dibaca oleh Nabi, ini amalan yang diajar oleh Nabi s.a.w- orang ikut alhamdulillah- orang tak ikut kita telah lepas tanggung-jawab!
Kita juga cuba mendidik masyarakat untuk kenal Sunnah Nabi s.a.w dan ajar mereka untuk beramal dengannya!
Bukan mudah nak mendidik; tetapi dengan kecintaan kita kepada Nabi s.a.w, dengan kita menyebarkan Sunnah Nabi s.a.w, kita berharap Nabi s.a.w sayang kepada kita, kita layak mendapat syafaat Baginda dan duduk di bawah panjinya di Akhirat kelak!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 09/02/2026 / 21 Sya’ban 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=876084375242084&set=pb.100085215893583.-2207520000
Semoga Bermanfaat!
