View Categories

(4) Surah Yusuf: Ayat 07-10

13 min read

Kisah Nabi Yusuf Penuh Ibrah, Abang-abangnya Buat Komplot & Nak Campak Yusuf Ke Dalam Telaga.

♥ Live Pagi Sabtu 03/01/2026 / 13 Rajab 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (04) Ayat [07-10]♥

Full video: https://youtu.be/9GPW0_Pr3Y0?si=_BJQXfGIYG5Skybw

Muqaddimah: #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita sambung pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 07 sehingga ayat 10 dalam juzuk kedua-belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kisah nabi Yusuf yang penuh ibrah dan pengajaran.
    Nabi Yusuf melalui pelbagai ujian sejak dari kecil lagi akibat perbuatan saudara-saudaranya.
  3. Allah ceritakan bagaimana10 orang abang-abangnya buat komplot untuk bunuh Yusuf kerana nak pisahkannya dari bapa mereka.
    Puncanya kerana hasad dengki, merasakan bapa mereka lebih menyayangi Yusuf & melebihkannya daripada mereka.
  4. Salah seorang yang agak baik dari kalangan mereka beri cadangan agar jangan bunuh tetapi campakkan saja Yusuf ke dalam telaga, agar ditemui & diambil pengembara yang melaluinya.
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- Dalam ayat yang lepas pada awal Allah s.w.t nyatakan dua muqaddimah iaitu: tentang pengenalan sifat al-Quran & tentang mimpi Nabi Yusuf- yang bermimpi dan menceritakan kepada bapanya.

Bapanya menafsirkan dan menasihatinya agar jangan menceritakan mimpi itu kepada saudaranya yang lain.

ii- Kemudian datang ayat menceritakan kisah nabi Yusuf yang seterusnya.

Bermula episod Yusuf menjadi mangsa hasad saudaranya.
Allah datangkan kisan nabi Yusuf ini supaya Rasulullah s.a.w membacanya dan untuk orang terkemudian.

Ini untuk menenangkan hati Baginda yang juga menghadapi tentangan dari kaum keluarganya seperti Abu Lahab bapa saudaranya dan lain-lain.

Betapa nabi Yusuf dizalimi oleh keluarga terdekat juga iaitu adik-beradiknya sendiri.

Kerana itu kata ahli syair:

وَظُلمُ ذَوي القُربى أَشَدُّ مَضاضَةً

عَلى المَرءِ مِن وَقعِ الحُسامِ المُهَنَّدِ


“Kezaliman yang dibuat oleh orang yang dekat dengan kita lebih dahsyat daripada tusukan mata pedang yang tajam!”


TAFSIR AYAT #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

 لَّقَدْ كَانَ فِى يُوسُفَ وَإِخْوَتِهِۦٓ ءَايَٰتٌ لِّلسَّآئِلِينَ ‎﴿٧﴾‏

Ayat 7- {Demi sesungguhnya! (Kisah) Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya itu mengandungi beberapa pengajaran bagi orang-orang yang bertanya (tentang hal mereka untuk mengambil iktibar).} (Yusuf 12:7)

  1. Allah ceritakan kepada Nabi s.a.w lagi: Ketahuilah kamu sesungguhnya kisah tentang nabi Yusuf & saudara-saudaranya ini mengandungi beberapa pengajaran bagi orang-orang yang bertanya.
  2. Iaitu orang yang bertanya dan ingin mengambil tahu tentang hal mereka untuk mengambil iktibar pengajaran tentangnya.

إِذْ قَالُوا۟ لَيُوسُفُ وَأَخُوهُ أَحَبُّ إِلَىٰٓ أَبِينَا مِنَّا وَنَحْنُ عُصْبَةٌ إِنَّ أَبَانَا لَفِى ضَلَٰلٍ مُّبِينٍ ‎﴿٨﴾

Ayat 8- {(Kisah itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): “Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata.”} (Yusuf 12:8)

  1. Kisah in bermula apabila saudara-saudara Yusuf berkata sesama mereka:

i- Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita.

Yusuf dan adiknya Bunyamin adalah anak kepada isteri kedua nabi Ya’qub yang bernama Rahil (راحيل) (Rachel).

ii- Padahal kita ini satu kumpulan yang ramai dan berguna.

Sedangkan abangnya yang 10 orang ini adalah anak kepada isteri pertama Ya’qub dan mereka sudah besar & dewasa.

Mereka merasakan mereka ramai dan lebih berguna kepada bapa mereka daripada Yusuf & adiknya!

*Tidak pelik memang begitulah biasanya ibu bapa dengan anak-anak yang terakhir atau bongsu, yang lahir ketika mereka sudah berusia.

  1. Lalu kerana itu mereka mengatakan lagi:
    Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata.

Inilah punca perbalahan & pertikaian yang akan menimbulkan hasad dengki apabila seseorang anak itu merasakan ibu bapanya tidak adil, bias terhadap mereka.

  1. Realitinya begitulah; dalam kalangan kita ada ibu bapa yang senyap-senyap tukar nama beri harta/tanah kepada anak-anak yang mereka sayang atau rasa telah berhidmat & menjaga mereka semasa hidupnya.

Sedangkan kepada anak lain tidak beri- ini pastilah satu pembahagian yang tidak sama-rata & tidak adil.

  1. Sepatutnya semua anak lelaki atau perempuan mesti diberi dengan sama-rata atau ikut faraidh dan dengan persetujuan semua atau jika terpaksa buat undian.

Yang pentingnya carilah solusi yang tidak akan menimbulkan perbalahan dan kedengkian.

Inilah perlunya sikap ketelusan seorang bapa walau setara mana dia sayang kepada satu-satu anak itu- dia tidak boleh melebihkannya dalam pemberian harta & perhatian.

  1. Kita balik kepada firman Allah ini:
    {bu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.} (An-Nisaa’ 4:11)
  2. Allah kata kamu jangan lihat yang zahir kerana kita tak tahu siapa yang akan memberi kebaikan & manfaat kepada kamu kelak.
    Begitulah sepatutnya keadaan & pembahagian.
  3. Tetapi apa boleh itulah yang terjadi kerana Allah nak ajar kepada kita banyak perkara dari kisah Nabi Yusuf ini.
    Pengajaran & ibrah tentang kesabaran, kesetiaan, sifat pemaaf dan lain-lain,

ٱقْتُلُوا۟ يُوسُفَ أَوِ ٱطْرَحُوهُ أَرْضًا يَخْلُ لَكُمْ وَجْهُ أَبِيكُمْ وَتَكُونُوا۟ مِنۢ بَعْدِهِۦ قَوْمًا صَٰلِحِينَ ‎﴿٩

Ayat 9- {(Ramai di antara mereka berkata):” Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna”.}

  1. Munasabah ayat ini jelas- apabila timbul perasaan tidak puas hati akan timbullah konspirasi, perancangan buruk!

Yaknip bila mereka tak puas hati mereka pun merancang perbuatan jahat ke atas Yusuf.

  1. Ramai daripada mereka yang bersetuju untuk dibunuh Yusuf atau membuangnya di tempat yang jauh agar dia hilang dari hidup mereka & bapa mereka!

Lalu perhatian & kasih-sayang bapa mereka tertumpu kepada mereka semata-mata.
Begitulah pada pandangan mereka- mereka tak tahu selepas itu bapa mereka menangis sehingga buta mata sedihkan Yusuf.

  1. Syaitan mengajar lagi- selepas dari itu (perbuatan jahat mereka terhadap Yusuf) dan selepas ketiadaan Yusuf, mereka semua bolehlah insaf bertaubat & menjadi orang yang baik!
  2. Itulah ajaran syaitan yang menghasut mereka!!!
    Yakni: Tak mengapa kamu buat jahat dulu- selepas itu boleh bertaubat!

Bapa kamu pun akan menyayangi & menumpukan perhatiannya kepada kamu! Kamu pun akan jadi orang yang soleh selepas itu!

  1. Sedangkan Allah sudah ajar kita perkara yang tidak baik itu usahkan buatnya- untuk menghampirinya pun Allah larang.

Seperti firman Allah: {Jangan sesekali kamu hampiri zina} [Al-Isra’ 17: 32].

*Ini tidak, Syaitan ajar suruh buat dulu kemudian taubat- cerdiknya ajaran atau kekarutan syaitan laknatullah!!!!

قَالَ قَآئِلٌ مِّنْهُمْ لَا تَقْتُلُوا۟ يُوسُفَ وَأَلْقُوهُ فِى غَيَٰبَتِ ٱلْجُبِّ يَلْتَقِطْهُ بَعْضُ ٱلسَّيَّارَةِ إِن كُنتُمْ فَٰعِلِينَ ‎﴿٠١

Ayat 10- {Salah seorang di antara mereka berkata: “Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam pergi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu”.}

  1. Berkata pula salah seorang dari mereka yang agak cerdik, yang masih berfikiran waras, abang yang tidak tergamak untuk membunuh adik mereka:

i- Janganlah kamu membunuh Yusuf, ini kerana perbuatan membunuh itu satu kesalahan yang besar!

ii- tetapi buanglah dia ke dalam pergi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir yang lalu di situ.

Abang itu memberi cadangan yang lebih ringan, yang tidak akan membunuh atau mencederakan Yusuf tetapi tetap akan dibuang.

  1. Inipun kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu.

Yakni fikir baik-baik dulu; jika nak buat juga- pilihan ini adalah lebih ringan, lebih baik dan sesuai bagi mereka!

  1. Tetapi malangnya tiada seorang dari kalangan 10 orang itu yang betul-betul cerdik menjadi penasihat melarang perbuatan mungkar dan jahat itu.
    Kesemua mereka dapat dihasut & diperdaya syaitan, sepakat untuk membuang Yusuf.

*Kita minta Allah jaga dan selamatkan kita & semua anak cucu keturunan kita daripada menjadi mangsa syaitan ini dan perangai buruk ini.

  1. Begitulah bijaknya syaitan berlindung disebalik perbuatan baik yang akan dibuat nanti bagi menghapus kejahatan.

Ini realiti yang berlaku betapa ramai orang yang selepas buat maksiat & ke mungkar, selepas mkan riba & rasuah; pergi ke Makkah untuk mensucikan diri kononnya- seolah mesin basuh diri.

  1. Kata ulama’ tadabbur, dari segi bahasa maksud beberapa perkataan ini:

i- telaga {غَيَـٰبَتِ ٱلْجُبِّ} ini ialah lubang takungan air- bukan dalam air telaga, seolah gua dalam tanah sebagai tempat tadahan air di padang pasir dan ada tempat berteduh.

Jika orang berhenti untuk ambil air di situ akan jumpanya.

*Perkataan {ٱلْجُبِّ} ini dua kali Allah sebut dalam al-Quran.

ii- buanglah dia {وَأَلْقُوهُ}- bukan dengan maksud campakkan atau lempar tetapi letakkan.
Jika dilemparkan pastilah akan jatuh dengan kuat dan cedera Yusuf.

  • Yakni letakkan dia baik-baik dalam lubang air yang dikumpulkan dan tunggu musafir yang lalu untuk menjumpai & menyelamatkannya.

iii- maksud perkataan {ٱلسَّيَّارَةِ} pula ialah kumpulan pengembara/kafilah yang bermusafir- bukan dengan maksud kereta seperti zaman kita hari ini.

*Lihatlah betapa indah & halusnya bahasa al-Quran- melalui tadabbur ini menghuraikan segala persoalan yang mungkin timbul dalam minda.

  1. Pengajaran daripada kisah Yusuf ini adalah bahayanya hasutan syaitan yang berpunca dari perasaan tidak puas hati abang-abang Yusuf akan bapanya- KERANA sikap bias bapa mereka yang melebihkan Yusuf dalam kasih-sayangnya!

Allah kata kisah Nabi Yusuf ini menjadi tanda-tanda bagi orang yang bertanya!

Penutup & Faedah: #

  1. Ayat 7- {Demi sesungguhnya! (Kisah) Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya itu mengandungi beberapa pengajaran bagi orang-orang yang bertanya (tentang hal mereka untuk mengambil iktibar).}-

Allah kata kisah Yusuf ini beri faedah bagi orang yang bertanya & mengkaji kisah nabi Yusuf ini.

Kata ulama’ tadabbur: Kelebihan & faedah pengajaran dari cerita Nabi Yusuf ini hanyalah bagi orang yang baca, tadabbur & kaji surah ini.
Inilah bezanya orang yang mengaji saja dengan orang yang mengkaji!

Jadi hanya orang yang bertanya tentang ibrah ini & mengkaji saja akan dapat faedah-

Ya Allah jadikan kami dari orang yang sentiasa bertanya dari setiap ayat al-Quran yang kita baca dan mendapat faedah ilmu.

Orang yang enggan tak mahu tak akan dapat apa-apa!

Orang yang baca (mengaji) saja akan dapat pahala baca saja!
Orang yang baca & tadabbur akan dapat pahala keduanya!
Kita mahu jadi orang yang dapat keduanya!

Kisah Yusuf ini memberi pengajaran akan keadilan di dalam keluarga & kesabaran berpisah & sabar dipisahkan- keduanya sedih.

Nabi Ya’qub tidak tahu ke mana hilang anaknya, apakah selamat atau tidak- Yusuf pula masih kecik sudah dipisahkan dari bapa & keluarganya tanpa apa-apa amaran & persediaan!!

Amat menyedihkan dan ujian yang amat besar!!!

Ibrah dari cerita nabi Yusuf ini amat besar bagi orang yang bertanya!

  1. Ayat 8- {(Kisah itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): “Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita,..}- yakni dalam hati mereka ada perasaan dengki & nak marah akan apa yang berlaku dalam keluarga mereka!

Ulama’ tadabbur kata ada dua perkara yang perlu kita kaji di sini:

i- Perasaan anak-anak atau adik-beradik yang nampak tenang tetapi rupanya bergelora di dalam hati!

Orang tua buat ibarat seperti itik di dalam air- nampak tenang dia atas tetapi sebenarnya kaki itik itu tak duduk diam mengais berenang agar tetap timbul badannya.
Anak-anak rupanya memendam perasaan dan merajuk.

ii- Persoalan: Ya’qub seorang nabi kenapa dia buat juga perbuatan yang seolah tidak adil terhadap anak-anaknya ini????

Jawapan:
i- Daripada 10 orang saudara atau adik-beradik Yusuf tidak ada seorang pun yang menjadi nabi dengan sebab perbuatan mereka yang buruk itu!

Manakala Nabi Yusuf sifat & akhlaknya tidak tercalar & terjaga dari awal lagi!

ii- Mahabbah- perasaan cinta & sayang ini soal hati- sesuatu yang tidak boleh dikawal, sesuatu yang batin dalam hati tidak boleh ditipu.
Maka diberi kemaafan kepada nabi Ya’qub dimaafkan!

Cuma dari segi zahir jangan nampak kecenderungan itu- jangan terlalu menzahirkan perasaan itu!

Dalam sebuah hadis Nabi S.A.W telah bersabda:

اللهم هذا قَسْمي فيما أملِكُ، فلا تلُمْني فيما تملِكُ ولا أملِكُ

Maksudnya: “Ya Allah hanya inilah sekadar kemampuan yang aku miliki, janganlah Engkau mencelaku atas perkara yang Engkau miliki dan tidak aku miliki.” (HR Abu Daud)

  1. Ayat 8- {Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata.”}- saudara-saudara nabi Yusuf mengatakan bapa mereka berada dalam ketidak-adilan.

Kerana itu kata ulama’- sifat adil itu perlu ada bagi semua orang dari pelbagai peringkat; para pemimpin tertinggi seperti raja, presiden, khalifah atau apa saha gelaran kena adil terhadap rakyat di bawahnya.

Para ibu bapa kena adil terhadap anak-anak samada dari segi pemberian & kasih sayang, guru kena adil dengan murid, yang pandai atau tidak- jangan sesekali tidak adil!

Jika ada yang lebih daripada ini- tidak akan stabil keamanan, akan rosak keharmonian rumah-tangga dengan sebab itu.

Menjadi kewajipan ibu bapa untuk memberi penjagaan, kasih-sayang dan keadilan kepada semua anaknya secara zahir!

Jangan nampak kecenderungan hati & kasih sayang yang berlebihan kepada salah seorang daripada mereka.

Kerana ini boleh membawa perbalahan dan merugikan keluarga yang besar!

  1. Ayat 8- {(Kisah itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): “Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita…}- saudara-saudara Yusuf merasakan bahawa bapa mereka lebih menyayangi & melebihkan Yusuf daripada mereka.

Ayat ini menunjukkan bahawa: Punca kerosakan utama atas dunia ini datang dari hasad dengki.

Pepatah Arab, sebagaimana kata ulama’:

الحسود لا يسود أبدا

Orang dengki ini tidak boleh menjadi ketua!

Ayat ini menjadi pengajaran satu contoh tentang satu akhlak buruk yang perlu kita tangani & hapuskannya daripada hati kira.

Kena tanamkan kesedaran kepada anak-anak: Jangan ada sifat dengki dalam kalangan adik beradik!

Contoh jika nampak seolah kita tidak adil antara anak lelaki & anak perempuan; kita jelaskan kerana ibu ayah sayangkan kamu anak perempuan, nak jaga kamu dari terdedah kepada sesuatu yang tak sepatutnya.

Seperti tidak pergi belajar jauh; Abang-abang kamu dulu lelaki- tidak mengapa naik bas sorang-sorang pada waktu malam tak bimbang sangat, terpaksa pula turun diperhentian terpencil atau tiada orang pada waktu malam sebelum subuh dan lain-lain maslahat.

Insya’ Allah apabila tahu sebab hilanglah kepelikan!

Yang penting akhlak buruk perlu ditangani dengan cara yang baik & ibu bapa juga jaga diri mereka serta berterus-terang dengan anan-anak supaya tidak timbul perkara yang tidak diingini.

  1. Ayat 9- {… dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna”.}- selepas berbuat dosa tidak mengapa kamu taubat & jadilah orang soleh selepas itu.

Inilah kejahatan tipu-daya syaitan yang menghasut manusia untuk berbuat jahat dulu dengan janji untuk bertaubat & buat baik selepas itu.

Dia hasut kemudian dia bukan peluang untuk mencuci dosa.

Seperti ke Makkah dan buat apa saja amal ibadat sebagainya untuk tebus dosa & maksiat yang telah sengaja dibuat sebelum ini.

Maka sesiapa yang ikut hasutan syaitan ini dia adalah orang yang bodoh!

Ada juga yang agak baik di kalangan saudara Yusuf yang merancang untuk membunuh Yusuf itu.

Dia kata jika kamu nak buat juga perkara itu; buatlah yang ringan sikit.

Maka kita pun jika nak jatuhkan hukuman atau apa-apa tindakan, jika boleh & ada pilihan; pilih yang lebih ringan dulu.

Seperti jentik telinga anak kecil tak solat dulu sebelum merotannya.

Ini memberi kaedah kepada kita: Jika ada cara yang lebih ringan risikonya kita pilih yang lebih ringan itu lebih baik & berhikmah daripada kita menyesal yang tak sudah!

Begitulah mainan syaitan- dia punya talbis iblis itu begitu bijak & menarik- kamu buat jahatlah dulu kemudian bertaubat.

Alhamdulillah tamatlah tafsir kita secara ringkas, semoga bertambah kefahaman dan keimanan.

Wallahu a’lam.

#UAM ✎Catatan Kuliah Subuh Sabtu 03/01/2026 / 13 Rajab 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link nota https://www.facebook.com/photo.php?fbid=847121764805012&set=pb.100085215893583.-2207520000&type=3

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top