BANDINGAN DUNIA YANG CEPAT HILANG, SEPERTI TANAMAN DI ATAS BUMI & ALLAH SWT JEMPUT KE SYURGA.
Full video : https://youtu.be/9MdZYUcUR9w?si=f_bJXsRIIhKsRDcN
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 24 dan ayat 25 dalam juz kesebelas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa dunia yang mempersonakan ini cepat hilang, nampak cantik tetapi cepat rosak maka jangan kita terpedaya & lagha dalam mengejarnya!
- Allah buat bandingan dunia yang mudah hilang & rosak itu seperti tanaman di atas bumi, yang cepat tumbuh, hidup sebentar kemudian mati!
Seperti sayuran yang sebentar saja kitaran hidupnya.
- Kemudian Allah SWT jemput ajak kita semua ke syurga.
Maka kita berdoa kepada Allah moga beri petunjuk & hidayah kepada kita, buka lorong, tunjukkan jalan untuk sampai ke syurga & selamat dari godaan dunia.
- Ini kerana jalan ke syurga itu amat banyak godaannya maka kita sentiasa berdoa minta agar Allah sentiasa tunjukkan kita kepada jalan-Nya yang lurus & benar, jalan yang membawa kepada keredhaan-Nya.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas (23) Allah SWT nyatakan bahawa kezaliman & kejahatan yang kamu buat akan terpelanting naik atas kepala kamu sendiri semula!
ii- Jadi datang ayat Allah menyatakan kenapa manusia boleh jadi takabbur & sombong begitu; kerana manusia ini seronok sangat ikut nafsu & ikut kehendak masyarakat.
Orang yang tahu dan ada ilmu tak berani nak nyatakan kebenaran kerana takut hilang pangkat & jawatan.
Maka Allah bawa ayat ini untuk peringatkan & kenalkan dunia kepada kita, bahawa dunia ini hanyalah seperti tumbuhan yang tumbuh sekejap selepas hujan, kemudian akan hilang dimakan tumbuhan atau manusia kemudian hilang dengan segera!
Yakni cantik & indah di mata tetapi tidak akan kekal lama, akan hilang musnah tidak lama.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 24- {SESUNGGUHNYA BANDINGAN KEHIDUPAN DUNIA HANYALAH SEPERTI AIR HUJAN YANG KAMI TURUNKAN DARI LANGIT, LALU (TUMBUHLAH DENGAN SUBURNYA) TANAMAN-TANAMAN DI BUMI DARI JENIS-JENIS YANG DIMAKAN OLEH MANUSIA DAN BINATANG – BERCAMPUR-ADUK DAN BERPAUT-PAUTAN (POKOK-POKOK DAN POHONNYA) DENGAN SEBAB AIR ITU HINGGA APABILA BUMI ITU LENGKAP SEMPURNA DENGAN KEINDAHANNYA DAN BERHIAS (DENGAN BUNGA-BUNGAAN YANG BERWARNA-WARNI), DAN PENDUDUKNYA PUN MENYANGKA BAHAWA MEREKA DAPAT BERBAGAI-BAGAI TANAMAN SERTA MENGUASAINYA (MENGAMBIL HASILNYA) DATANGLAH PERINTAH KAMI MENIMPAKANNYA DENGAN BENCANA PADA WAKTU MALAM ATAU PADA SIANG HARI LALU KAMI JADIKAN DIA HANCUR-LEBUR, SEOLAH-OLAH IA TIDAK ADA SEBELUM ITU. DEMIKIANLAH KAMI MENJELASKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI SATU PERSATU BAGI KAUM YANG MAHU BERFIKIR (DAN MENGAMBIL IKTIBAR DARIPADANYA).} (YUNUS 10:24)
- Allah menyatakan dunia yang cepat hilang ini hanya indah di mata seperti air hujan yang turun lebat dari langit lalu menumbuhkan pelbagai tanaman-tanaman di bumi, seperti pokok menjalar dan pokok yang melata di muka bumi.
Ada jenis-jenis yang dimakan oleh manusia seperti bijiran, buah-buahan & sayuran dan dimakan binatang seperti rumput dan pokok renek.
- Begitu juga air hujan menjadikan bumi itu subur, lalu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias dengan tumbuhnya bunga-bungaan yang berwarna-warni lagi indah yang menyenangkan hati manusia.
- Lalu Allah buat bandingan; demikianlah juga dunia ini akan mudah rosak & hilang seperti mana air hujan yang segera hilang meresap dalam perut bumi, seperti tumbuhan yang akan hilang segera apabila dimakan manusia atau haiwan, atau akan layu kecut & gugur dengan sendirinya selepas beberapa ketika.
- Kata ahli ilmu: Dunia ini tempat kita meninggalkan (legasi, nama baik & amal baik) tetapi bukan tempat tinggal yang kekal!
Kerana itu jangan kamu terpedaya mengejar dunia yang sementara dan cepat rosak ini!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.} (Al-Hajj 22:5)
- Semua keindahan & subur pokok-pokok itu membuatkan penduduknya pun gembira menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya, dapat mengambil hasilnya yang banyak!
Padi menguning tunggu nak dituai, buah-buahan masak ranum tunggu nak dipetik, sayur-sayur menghijau lebat, bunga berkembang mekar berwarna-warni, membuatkan para petani bersemangat untuk memetik & menuai hasilnya!
- Lalu Allah menjalankan apa yang ditetapkannya; maka datanglah perintah & ketentuan Allah menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu dijadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu.
Yakni musnah binasa semuanya seolah tidak pernah tumbuh pun semua itu sebelumnya!
Terdapat satu bala yang dipanggil ja’ihah (الجائحة) bala/wabak yang menimpa tanaman yang hampir masak; memusnahkannya sama ada dengan banjir, kemarau, angin kencang, serangga perosak atau penyakit.
- Semua itu adalah penjelasan ayat-ayat Allah, satu persatu bagi manusia yang berfikir & mengambil iktibar darinya!
- Nota: Oleh kerana biasanya ini berlaku kerana manusia lebih mementingkan kesenangan & kehidupan dunia walaupun berlaku zalim, melampui batas, atau menyembunyikan kebenaran, diam tidak berani menyampaikan kebenaran kerana semata-mata nak jaga kedudukan dunia & melupakan Akhirat.
Lalu dalam ayat suci ini diingatkan bahawa kesenangan dunia yang mereka puja-puja itu adalah tidak kekal dan akan lenyap dalam tempoh yang sekejap mungkin 24 jam atau tidak sampai, sekali datang air bah sekali pasir berubah, sekali angin melanda habis rosak binasa semuanya.
- Di akhir ayat Allah nyatakan bahawa ujian dan bala ini datang kerana Allah mahu manusia berfikir bahawa dunia ini ibarat seperti pokok yang boleh tumbang bila-bila masa, seperti tumbuhan yang boleh musnah sekejap saja!
Jadi kita jangan dok kejar dunia ini, dia datang kita ambil, dia lari kita jangan kejar, dia dekat kita cuit, dia menjauhi kita relaks jangan gelabah!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.} (Al-Hadid 57:20)
- Maka kita hendaklah sentiasa beringat agar kita tidak terlajak & terjebak dengan dunia, satu mata benda yang sangat memperdayakan, permainan & hiburan yang melalaikan, tempat manusia berlumba memperbanyakkan harta & keturunan.
AYAT 25- {(ITULAH DIA KESUDAHAN KEHIDUPAN DUNIA), DAN SEBALIKNYA ALLAH MENYERU MANUSIA KE TEMPAT KEDIAMAN YANG SELAMAT SENTOSA, DAN DIA SENTIASA MEMBERI PETUNJUK HIDAYAHNYA KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT UNDANG-UNDANG PERATURANNYA) KE JALAN YANG BETUL LURUS (YANG SELAMAT ITU).} (YUNUS 10:25)
- Begitulah kesudahan dunia & kehidupan atas dunia ini, akan rosak, mudah binasa & hilang dalam sekelip mata sahaja.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan tentang dunia, godaannya & betapa cepat hilangnya!
ii- Maka datang ayat ini Allah beri kata-kata motivasi agar kamu tidak terpedaya dengan dunia.
Ingat letakkan dunia hanya di tangan atau di dalam poket; jangan masukkannya ke dalam hati!
Jika tidak akan binasalah seorang itu dengan kerosakan dunia.
- Allah pangil seru kamu untuk masuk ke dalam syurga yang penuh nikmat kesenangan dan selamat (aman) daripada segala kesusahan & kepayahan.
Dalam syurga hanya ada nikmat semata-mata.
- Kamu jangan tuntut atau kejar dunia & isi kandungannya kerana dunia ini penuh dengan penyakit, kesusahan & ujian serta ia mudah punah, rosak & hilang.
- Ulama’ membincangkan tentang maksudnya perkataan {دَارِ ٱلسَّلَـٰمِ}.
Ada yang kata ia adalah nama syurga.
Kerana apabila masuk dalam syurga kita akan selamat tidak ada sakit susah-payah yang ada hanya nikmat yang berkekalan!
- Hadis: Malaikat datang & Nabi SAW sedang tidur:
Jabir bin Abdullah RA berkata, beberapa malaikat telah datang kepada Nabi SAW semasa Baginda SAW sedang tidur. Lantas sebahagian daripada mereka berkata, “Dia sedang tidur.” Sebahagian yang lain pula berkata, “Sesungguhnya hanya matanya yang tidur, hatinya sedar.” Kemudian mereka berbual semasa mereka, “Sesungguhnya bagi sahabat kamu ini (Muhammad SAW) ada perumpamaan. Terangkanlah perumpamaan itu di hadapannya.” Sebahagian daripada mereka berkata, “Dia sedang tidur (maka tiada faedah menerangkan perumpamaan itu).” Yang lain pula berkata, “Sesungguhnya matanya sahaja yang tidur tetapi hatinya sedar.” Kemudian para malaikat itu bercakap-cakap antara mereka, “Perumpamaannya ialah ada seorang yang membina sebuah rumah dan menyediakan jamuan dan dia menghantar seorang penyeru untuk memanggil orang ramai. Sesiapa yang menyahut seruan penyeru itu akan memasuki rumah dan makan jamuan tersebut dan sesiapa yang tidak menyahut seruan penyeru itu, tidak akan memasuki rumah dan tidak makan jamuan tersebut.” Mendengarkan itu, para malaikat berkata sesama mereka, “Terangkanlah kepadanya perumpamaan itu supaya dia memahaminya.” Sebahagian daripada mereka berkata, “Dia sedang tidur (maka tiada faedah menerangkan perumpamaan itu).” Yang lain pula berkata, “Sesungguhnya matanya sahaja yang tidur tetapi hatinya sedar.” Maka kata mereka, “Rumah itu ialah syurga (yang dicipta oleh Allah dan Dia telah menyediakan pelbagai nikmat sebagai hidangan) dan penyeru (kepada syurga) itu ialah Muhammad SAW. Maka sesiapa yang mentaati Muhammad SAW, sesungguhnya dia mentaati Allah. (Oleh sebab itu dia akan memasuki syurga dan akan mendapat nikmatnya) dan sesiapa yang mengingkari Muhammad SAW sesungguhnya dia mengingkari Allah (maka dia terlepas dari nikmat syurga) dan Muhammad SAW telah membahagikan manusia kepada dua bahagian (orang yang taat dan orang yang tidak taat).” [HR Bukhari].
Bandingan siapa tak terima jemputan & tak datang jamuan akan rugi; begitulah orang yang tak beriman, terima dakwah & ajaran Nabi SAW akan kerugian di Akhirat kelak!
Kita ni apabila mata tidur hati pun terus tidur, parah lagi walaupun mata celik tak tidur tetapi hati sentiasa tidur.
- Di akhir ayat Allah kata Dia akan beri petunjuk & hidayah untuk hamba-Nya yang dikehendaki dari kalangan orang Islam, jalan yang lurus yang akan membawa pengikutnya sampai ke syurga!
Siapa yang tak ikut jalan Nabi ini akan ke neraka!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 24- {Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi…}-
Allah buat bandingan kehidupan dunia ini seperti air hujan yang turun dari langit, yang menumbuhkan tumbuhan; lalu tumbuhan itu dimakan oleh manusia & haiwan atau mati kering begitu saja.
Ayat ini mengandungi suatu bandingan yang cukup cantik iaitu bagaimana keadaan dunia yang begitu cepat rosak & hilang, cantik tetapi tak tahan lama!
Seperti pokok-pokok bunga & sayur yang tumbuh sementara, indah tetapi tak tahan lama!
Kata DDAAM: Dunia ini memperdaya & mempesonakan tetapi dia akan hilang, cepat rosak & tak kekal.
Maka jangan kita terpengaruh sangat dengan dunia, nak kejar keindahannya sehingga tak kira halal haram.
Ingat dunia ini tak kekal, yang bertahannya adalah iman dalam hati kepada Allah SWT.
- Ayat 24- {Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi,…}-
Allah buat bandingan dunia ini seperti air hujan yang turun dari langit menumbuhkan pokok-pokok di bumi.
Tetapi kenapa Allah sebut dalam ayat ini air hujan sebagai air dari langit bukan air dari bumi???
Kata ulama’: Air dari langit kita tidak boleh kawalnya, kita hanya boleh terimanya apabila Allah hantar & turunkannya; tak kira sama ada kita nak atau tak nak!
Tiada kuasa & pengetahuan manusia untuk campur-tangan nak hujan banyak atau sikit, bila atau di mana!
Kadang-kadang kita nak hujan tetapi hujan tak turun, kita nak hujan skit tetapi hujan turun banyak sehingga memusnahkan!
Antara kunci ilmu ghaib yang di bawah kuasa Allah ialah manusia tak tahu bila & di mana hujan akan turun, ramalan & kajian cuaca itu ada tetapi tetap tidak tepat!
Berbeza dengan air dalam bumi ini, manusia masih boleh kawalnya seperti di mana kita nak korek telaga, boleh kita nak kumpulkam airnya buat empangan & ke mana kita nak alirkan airnya dengan buat parit & saliran, dan seumpamanya!
Maklumat tambahan:
Tasik Kenyir, tasik buatan terbesar di Asia Tenggara, terletak di Terengganu dan terbentuk akibat pembinaan Empangan Kenyir pada tahun 1985 untuk penjanaan hidroelektrik.
Tasik ini berkeluasan 260,000 hektar dengan lebih 340 pulau kecil, menawarkan biodiversiti yang kaya, serta menjadi tumpuan pelancongan untuk aktiviti seperti memancing, jungle trekking, lawatan air terjun dan gua. Tasik ini juga berfungsi sebagai pintu masuk ke Taman Negara.
Kedalaman Tasik Kenyir adalah tidak seragam kerana ia merupakan sebuah tasik buatan manusia yang besar dengan kedalaman maksimum 146 meter.
Kedalaman tasik berbeza-beza bergantung kepada kawasan, manakala anggaran kedalaman purata tasik ini ialah 42 meter.
Kita boleh berjalan melihat keindahan alam sambil berfikir akan kekuasaan & kehebatan Allah dalam mencipta alam, inilah dipanggil ayat-ayat manzurah- tanda-tanda kekuasaan Allah yang boleh dilihat.
Tetapi amat malang jika berjalan atas muka bumi ini melihat keindahan alam sama ada di dalam hutan bukit atau di atas air lautan bercampur dengan perbuatan maksiat atau lagha, tidak menjadikan kita makin dekat dengan Allah tetapi makin jauh akibat perbuatan maksiat & lagha itu.
- Ayat 24- {… datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu.}-
Semua pokok yang indah & kejadian yang menawan tadi, jika Allah hantar bala bencana-Nya, dengan kehendaknya malam atau siang segalanya akan hancur musnah seolah tidak pernah wujud sebelum ini!
Maka ketika berada di dalam hutan, atas air & bot, jangan galak sangat & lalai dari mengingati Allah kerana sekali Allah nak ambil tindakan sebentar sahaja!
Ayat ini menunjukkan kehendak Allah itu ada dua:
i- Iradah kauniyah qadariyah, penciptaan makhluk dan taqdir Allah yang telah ditetapkan awal sebelum penciptaan langit & bumi lagi.
ii- Iradah Syar’iyyah, Allah jemput manusia semua untuk beriman kepada-Nya.
Maka kita orang beriman sentiasa kena ingat, jangan berani keras kepala nak buat dosa & maksiat.
Kerana apabila Allah nak binasakan sesuatu; sekali Allah hantar bala semuanya akan hancur musnah, kun fayakun.
Allah nyatakan itu adalah arahan Allah {perintah Kami- أَمْرُنَا}- Allah nak hantar yang baik pun boleh, Allah nak hantar yang buruk pun boleh dengan cepatnya!
- Ayat 25- {(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa,…}-
Betapa Allah ajak panggil kita semua ke syurga, negeri yang kekal sejahtera penuh nikmat!
Iaitu Allah seru panggil semua manusia untuk beriman kepada-Nya lalu akan masuk syurga!
Jika manusia masih enggan menerima ajakan & tawaran istimewa dari Allah ini; masih nak ikut jalan nafsu yang membawa kepada kesesatan dan kebinasaan, maka itu adalah kerugian atas manusia, maka kamu sendiri yang pilih kebinasaan daripada keselamatan!
- Ayat 25- {.. Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa…}-
Allah SWT umumkan seruan dakwah ini tetapi hidayah itu hanya khas & terpilih.
(عم الدعوة وخاصة الهداية)
Yakni Allah panggil & seru semua untuk beriman; tetapi Allah hanya akan beri hidayah kepada orang yang Dia pilih saja!
Hidayah juga ada dua jenis:
i- Hidayah irsyad, membimbing manusia kepada jalan yang benar itu kerja para rasul, ustaz pendakwah, tok haji, tok lebai & semua sesama manusia yang ada ilmu agama!
ii- Hidayah taufiq, hanya milik Allah & di bawah kuasa Allah semata-mata, manusia tidak ada kuasa ini!
Kerana itu dalam ayat ini Allah nyatakan dakwah adalah umum untuk semua manusia, manakala hidayah khas iaitu hidayah taufiq duduk di bawah kuasa Allah semata-mata.
Kita memohon kepada Allah untuk beri hidayah kepada kita, kepada jalan yang lurus, jalan yang diredhai-Nya bukan jalan yang sesat yang dimurkai Allah.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
