View Categories

(3) Surah Ar-Ra’d: Ayat 5-7

13 min read

Musyrikin Ingkar Bangkit Semula, Minta Segera Azab & Cabar Bawa Mukjizat. #

♥Live Pagi Selasa 03/02/2026 / 15 Sya’ban 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ar-Ra’d (03) Ayat [05-07]

Full video: https://youtu.be/Nng2Q80ZkS4?si=rOybFhTQpVdhTJNm

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ar-Ra’d dengan ayat 05 sehingga ayat 07 dalam juzuk ketigabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang golongan musyrikin yang ingkar akan kebangkitan semula, tak mahu, tak percaya & tak terima mereka!
  3. Apabila mereka tak percaya, tak terima mereka lalu berani mencabar dan minta disegerakan azab yang dijanjikan Rasulullah s.a.w, inilah manusia yang sombong, angkuh & degil.
  4. Mereka juga mencabar menuntut agar Rasulullah s.a.w membawa mukjizat yang pelik-pelik seperti ada sungai di Makkah, bukit jadi emas dan seumpamanya.
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang dalil-dalil yang begitu mantap & yang begitu kuat bahawa manusia perlu yakin dan percaya bahawa langit bumi ini ada tuan, ada Pencipta & Pentadbirnya!

ii- oleh kerana mereka tetap ingkar dan tidak percaya juga maka dalam ayat ini Allah ceritakan kepada Nabi s.a.w- bagi puak yang tak percaya ini macamana kita lawan hujjah mereka yang mengingkari kebangkitan semula ini.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَإِن تَعْجَبْ فَعَجَبٌ قَوْلُهُمْ أَءِذَا كُنَّا تُرَٰبًا أَءِنَّا لَفِى خَلْقٍ جَدِيدٍ ۗ أُو۟لَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِرَبِّهِمْ ۖ وَأُو۟لَٰٓئِكَ ٱلْأَغْلَٰلُ فِىٓ أَعْنَاقِهِمْ ۖ وَأُو۟لَٰٓئِكَ أَصْحَٰبُ ٱلنَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَٰلِدُونَ ‎﴿٥﴾‏

Ayat 5- {Dan jika engkau merasa hairan (wahai Muhammad), maka sungguh menghairankan perkataan mereka yang kafir itu (yang mengatakan): “Adalah apabila kami telah menjadi tanah betulkah kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu?” Mereka itulah orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan mereka, dan merekalah yang dibelenggu dengan belenggu-belenggu pada leher mereka; dan merekalah juga ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.} (Ar-Ra’d 13:5)

  1. Allah nyatakan kepada Nabi s.a.w bahawa jika dia berasa pelik akan perangai puak kafir itu; Allah mengiakan bahawa memang pelik sekali keadaan puak kafir itu; yang sudah tengok bukti & dalil masih tidak mahu percaya. Peliklah kita rasa.
  2. Kepelikan itu datang dari hati yang tersumbat tidak mahu beriman.

Punca kerosakan manusia atas ini adalah kerana hati itu tertutup tak mahu terima hidayah Allah s.w.t.

  1. Mereka tidak percaya dan mengingkari bahawa manusia akan bangkit hidup semula di Akhirat dengan mengatakan apakah setelah kami mati menjadi tanah apakah kami akan bangkit semula dalam bentuk yang baru???
  2. Lalu Allah s.w.t jatuhkan ke ats mereka tiga hukuman:

i- mereka adalah orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan mereka, lalu akan binasa.

Ini hukuman atas dunia- Allah jatuhkan hukuman mereka sebagai orang kafir & syirik! Jauh dari nikmat Allah dan akan binasa.

ii- dan mereka akan dibelenggu dengan belenggu-belenggu pada leher mereka dengan rantai daripada api neraka; ini hukuman di Akhirat.

iii- dan merekalah juga ahli neraka, mereka kekal di dalamnya tak keluar-keluar.

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t ini:
    {Iaitu orang-orang yang mendustakan Al-Quran dan segala yang dibawa oleh Rasul-rasul Kami yang telah Kami utus; maka mereka akan mengetahui kelak.
    Ketika belenggu dan rantai dipasung di leher mereka, sambil mereka, diseretKe dalam air panas yang menggelegak; kemudian mereka dibakar dalam api neraka;} (Ghaafir 40: 70-72)
  2. Ulama’ kata belenggu itu adalah samada:
    i- dosa amalan buruk mereka dulu yang dicampakkan ke ats kepala mereka.

ii- atau pun memang rantai besi tali neraka yang membelenggu mengikat mereka! Wal ‘iyazu billah!

iii- mereka juga akan kekal di dalam neraka selamanya!

  1. Inilah fahaman kita ahli Sunnah wal Jamaah bahawa orang kafir yang tidak beriman akan kekal di dalam neraka- sama seperti ahli syurga yang akan kekal di dalam syurga juga selama-lamanya!
  2. Manakala orang beriman yang ada iman dalam hati mereka; tetapi masuk neraka akibat dosa & maksiat mereka apabila habis tempoh azab akan dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga juga akhirnya.

*Tetapi jangan sesekali kita ingat jika sebentar saja tak mengapa- neraka adalah satu tempat yang tidak terperi azabnya.

وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِٱلسَّيِّئَةِ قَبْلَ ٱلْحَسَنَةِ وَقَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِمُ ٱلْمَثُلَٰتُ ۗ وَإِنَّ رَبَّكَ لَذُو مَغْفِرَةٍ لِّلنَّاسِ عَلَىٰ ظُلْمِهِمْ ۖ وَإِنَّ رَبَّكَ لَشَدِيدُ ٱلْعِقَابِ ‎﴿٦﴾

Ayat 6- {Dan mereka meminta kepadamu menyegerakan kedatangan perkara buruk (azab yang dijanjikan) sebelum mereka memohon kebaikan; padahal sesungguhnya telah berlaku sebelum mereka peristiwa-peristiwa azab yang telah menimpa orang-orang yang kafir seperti mereka. dan (ingatlah) sesungguhnya Tuhanmu Amat melimpah keampunanNya bagi manusia (yang bertaubat) terhadap kezaliman mereka, dan sesungguhnya Tuhanmu juga amatlah keras balasan azabNya (terhadap golongan yang tetap ingkar).} (Ar-Ra’d 13:6)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan satu ancaman kepada puak kafir bahawa mereka di dunia akan dijatuhkan hukuman sebagai kafir manakala di Akhirat kelak akan dibelenggu, dirantai, diazab dan dicampakkan ke dalam neraka!

ii- tetapi apa boleh buat bukannya mereka nak percaya & beriman, bukan menyedarkan mereka tetapi mereka datang pula mencabar meminta segala ancaman dan azab yang buruk itu!

  1. Allah nyatakan kepada Nabi s.a.w bahawa puak kafir umatmu ini bukannya nak takut dan insaf tetapi datang mencabar meminta azab yang dijanjikan kepada mereka!

Puncanya kerana hati kufur, hati tidak beriman, degil keras kepala beranilah mereka minta azab!

  1. Kita orang beriman jangan begitu kerana kita percaya & yakin akan apa yang dijanjikan oleh Nabi s.a.w. Tetapi kita katakan ada juga orang beriman yang buat-buat berani???

Iaitu mereka yang berani juga buat maksiat dan perkara mungkar yang dilarang Allah walaupun tahu ia adalah sesuatu yang berdosa dan akan mengundang kemurkaan Allah!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: “Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.} (Al-Anfaal 8:32)
  2. Sedangkan mereka telah lihat & tahu sejarah umat terdahulu yang kafir dan ingkar akan rasul mereka!

Mereka buat lupa, buat tak tahu bahawa orang yang kafir sebelum mereka telah dikenakan azab dan binasa!

Telah ada tanda bukti & dalil tentang perkara ini tetapi mereka tak ambik iktibar pengajaran!

Maka di Akhirat akan menyesal yang tidak berkesudahan!

  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa Allah tetap bersifat Pemaaf & Pengampun, menghapuskan dosa-dosa orang yang insaf & bertaubat dan menutup keaiban!

Siapa yang bertaubat daripada kezalimannya itulah orang yang akan selamat!

  1. Taubat di sini samada:
    i- taubat sepenuhnya seperti taubat nasuha, insaf meninggalkan segala dosa maksiat & beriman kepada Allah.
    Maka Allah akan beri keampunan kepadanya.

ii- atau taubat sementara seperti orang kafir yang bertaubat tak buat kezaliman dan kejahatan ke atas manusia lain walaupun hatinya tetap tidak beriman kepada Allah- tetap kafir iktiqad tetapi tak buat kejahatan.

Maka kerana dia berhenti buat jahat azab tak datang & Allah tangguhkan azab di dunia ini.

  1. Yakni Allah masih lagi memberi ruang & peluang untuk manusia kembali bertaubat kepada-Nya! Ini adalah galakan (targhib- الترغيب) untuk bertaubat.
  2. Tetapi jika masih lagi keras kepala tetap ingkar menolak maka ingatlah: sesungguhnya Tuhanmu juga amatlah keras balasan azabNya terhadap golongan yang tetap ingkar!
    Ini adalah ancaman (tarhib- الترهيب) terhadap mereka yang ingkar dan degil keras kepala.
  3. Inilah uslub al-Quran- ada dua-dua- galakan dengan lembut- jika menolak tak mahu juga maka datanglah ancaman yang keras.

Begitu juga uslub dakwah kena ada dua-dua- bukan hanya cerita tentang syurga saja- kena cerita juga tentang neraka agar manusia takut untuk buat jahat.

وَيَقُولُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَوْلَآ أُنزِلَ عَلَيْهِ ءَايَةٌ مِّن رَّبِّهِۦٓ ۗ إِنَّمَآ أَنتَ مُنذِرٌ ۖ وَلِكُلِّ قَوْمٍ هَادٍ ‎﴿٧﴾

Ayat 7- {Dan berkatalah orang-orang yang kafir: “Mengapa tidak diturunkan kepada Ayat 17- { (Muhammad) sesuatu mukjizat dari Tuhannya?” Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang Rasul pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), dan tiap-tiap umat (yang telah lalu) ada Nabinya yang memimpin ke jalan yang benar.} (Ar-Ra’d 13:7)

  1. Munasabah ayat:
    i- apabila puak kafir mula memperlekehkan Nabi s.a.w, tidak percaya kepada dakwahnya dan minta azab yang dijanjikan;

ii- maka datang ayat ini pula mereka menuntut supaya Nabi s.a.w bawa sesuatu mukjizat yang pelik bagi menyokong dakwaannya itu jika dia benar!

  1. Yakni sekarang puak kafir secara keras kepala dan sombong (menganyi) meminta dari Nabi s.a.w: Jika kamu benar maka bawalah tanda-tanda yang dapat menyokong dakwaan kamu itu!
    Ini kerana mereka tidak percaya!
  2. Nota [440] Kaum kafir pada zaman nabi kerana degil dan ingkar, tidak mahu mengakui mukjizat-mukjizat yang telah dikurniakan oleh Allah Ta’ala kepada nabi Muhammad s.a.w.

Mereka mahu seperti mukjizat-mukjizat Nabi Musa a.s. mengubah tongkat menjadi ular, dan mukjizat Nabi Isa a.s. yang menghidupkan orang mati.

Atau seperti yang mereka minta kepada nabi Muhammad s.a.w. supaya mengubah gunung-ganang negeri Makkah menjadi sungai-sungai yang mengalir di negeri yang kering kontang itu.

Bagi menjawabnya, Allah Ta’ala menegaskan dalam ayat ini bahawa nabi Muhammad s.a.w. hanyalah seorang Rasul seperti Rasul-rasul yang lain yang hanya memberi nasihat dan memberi amaran.
Sesiapa yang beriman: selamatlah dia, dan sesiapa yang ingkar: buruklah balasannya.

  1. Contoh permintaan karut puak kafir terhadap Nabi s.a.w adalah sebagaimana firman Allah ini:

{Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami.
Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus.
Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya.
Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya”. Katakanlah (wahai Muhammad):” Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?} (Al-Israa’ 17: 90-93)

  1. Kerja Nabi s.a.w hanyalah menyampaikan, membimbing dan mengajak manusia untuk beriman kepada Allah; siapa dengar & ikut dia selamat- siapa tak dengar kata maka dia akan binasa!
  2. Bagi setiap kaum/umat ada rasulnya yang mengajar dan mengajak mereka kepada tauhid untuk beriman kepada Allah dan menyembah beribadat kepada-Nya semata-mata, berakhlak dengan akhlak yang mulia, meninggalkan syirik & mungkar serta menjauhi segala yang buruk & maksiat! Inilah yang sepatutnya!
  3. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    i- {Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.} (Al-Nahl 16:36)

ii- {Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus.} (Asy-Syuura 42:52)

  1. Kerja kita dan semua pendakwah selepas itu teruskan tugas dakwah Nabi s.a.w ini menyampaikan dakwah kebenaran; orang terima alhamdulillah orang tolak kita teruskan perjuangan.
    Orang tentang kita sabar; orang sekat kita berhenti & serahkan kepada Allah.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 5- {Dan jika engkau merasa hairan (wahai Muhammad), maka sungguh menghairankan perkataan mereka yang kafir itu (yang mengatakan): “Adalah apabila kami telah menjadi tanah betulkah kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu?”}- jika kamu (wahai Muhammad s.a.w) berasa pelik akan sikap orang kafir yang ingkar itu- pelik lagi sikap mereka yang mendustakan kebangkitan semula Setelah melihat dalil & bukti yang dibawa.

Itu adalah sesuatu yang pelik kerana mereka berani ingkar lagi kebangkitan semula walaupun mereka telah lihat bukti-bukti dalil tanda kekuasaan dan keagungan Allah s.w.t!

Sama seperti kita yang hari-hari dengar kematian bahkan kita pernah hantar jenazah keluarga & saudara sendiri ke kubur tetapi masih tak insaf tetap begitu juga sebaik kembali dari kubur!

Telah mati perasaan takut kepada Allah dan mati perasaan insaf dengan apa yang ada!

Begitulah puak kafir yang telah lihat bukti tetapi tidak mahu beriman, telah lihat tanda kebinasaan umat terdahulu tetap tidak memberi kesan.
Jika orang kafir ingkar kita orang beriman pula insaf iaitu tidak solid keinsafan dan rasa takut kepada Allah!

  1. Ayat 5- { Mereka itulah orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan mereka, dan merekalah yang dibelenggu dengan belenggu-belenggu pada leher mereka; dan merekalah juga ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.}- orang yang ingkar kufur ini- Allah akan jatuhkan tiga hukuman ke atas mereka.

Tiga hukuman yang akan dijatuhkan kepada mereka:
i- atas dunia ini akan dijatuhkan hukuman sebagai golongan kafir & syirik!

ii- di dalam kubur akan dibelenggu dengan rantai
iii- di Akhirat kelak mereka akan dicampakkan ke dalam neraka!

Semua orang akan tengok apa yang terjadi ini!

Apabila membaca ayat-ayat tentang azab ini: Kita orang beriman sepatutnya takut terkencing mendengar ancaman Allah ini tetapi apa boleh buat hati apabila sudah keras tidak akan terasa apa lagi.

Hati orang kafir terus keras seperti batu lalu tidak beriman & tidak percaya!

  1. Ayat 6- {Dan (ingatlah) sesungguhnya Tuhanmu Amat melimpah keampunanNya bagi manusia (yang bertaubat) terhadap kezaliman mereka, dan sesungguhnya Tuhanmu amatlah keras balasan azabNya (terhadap golongan yang tetap ingkar (terhadap golongan yang tetap ingkar}-
    Allah nyatakan dua sifat-Nya yang bertentangan:

i- Allah Aamat melimpah keampunanNya bagi manusia yang bertaubat terhadap kezaliman mereka,

ii- tetapi jika kamu ingkar- ingatlah Allah amat keras balasan azab-Nya terhadap golongan yang tetap ingkar!

Yakni dalam ayat ini Allah kumpulkan dua uslub iaitu:

i- wa’dun (وَعْد)- janji baik untuk orang beriman,
ii- wa’id (وَعِيد)- janji buruk untuk orang kafir.

Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Al-An’aam 6:165)

  1. Ayat 6- {Dan (ingatlah) sesungguhnya Tuhanmu Amat melimpah keampunanNya bagi manusia (yang bertaubat) terhadap kezaliman mereka, dan sesungguhnya Tuhanmu juga amatlah keras balasan azabNya (terhadap golongan yang tetap ingkar}- dalam ayat ini Allah mulakan dengan keampunan kemudian baru datang ancaman.

Hikmahnya kerana ayat ini adalah tawaran kepada orang kafir untuk beriman!

Jika kamu beriman maka dosa yang lepas akan diampunkan sepenuhnya!

Ini kerana puak kafir itu minta azab, cabar Nabi s.a.w- maka Allah beri tawaran; tak perlu kamu minta azab- tetapi minta dan carilah keampunan Allah s.w.t!

Ayat ini mahu memujuk atau tackle puak kafir itu agar insaf & beriman!
Inilah uslub al-Quran yang begitu indah dan menarik.

  1. Ayat 7- {Dan berkatalah orang-orang yang kafir: “Mengapa tidak diturunkan kepada { (Muhammad) sesuatu mukjizat dari Tuhannya?”}- puak kafir meminta pelbaga tanda mukjizat kepada Rasulullah s.a.w.

Allah mengajar kepada Nabi s.a.w agar tak pelru melayan puak kafir ini!

Mereka hanya minta semua ini sebagai ujian atau perlian saja bukan kerana benar-benar mahu beriman.

Kita katakan: Bawalah rimau gajah sekalipun mereka tetap tidak akan beriman!
Yang kafir itu tetap kafir di situlah tak berubah apa!

Kemudian Allah tegaskan: {Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang Rasul pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), dan tiap-tiap umat (yang telah lalu) ada Nabinya yang memimpin ke jalan yang benar.}- dalam ayat ini tegaskan bahawa:
i- kerja kamu wahai Muhammad s.a.w hanya sebagai pembimbing yang memberi galakan untuk beriman dan amaran jika kufur kepada mereka!

ii- bagi setiap umat itu Allah kata ada Nabi yang akan memberi hidayah memimpin mereka ke jalan yang benar!

Sebagaimana yang selalu kita nyatakan hidayah itu ada dua jenis:

i- hidayah irsyad iaitu untuk memberi bimbingan dan ajaran- setiap kaum ada pembimbing pengasuh yang mengajar mereka kepada jalan yang benar.

ii- Hidayah taufiq- membuka hati manusia untuk beriman dan beramal solh itu milik Allah!

Sebagaimana Allah nafikan dalam firman-Nya ini:
{Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).} (Al-Qasas 28:56)

Hidayah nak buka hati orang hanya Allah saja yang mempunyai kuasa ini.

Manakala tugas para rasul dan disambung oleh semua pendakwah hanyalah untuk mengajar dan membimbing & memberi petunjuk ke arah kebaikan dan jalan yang di redhai Allah s.w.t!

Semoga kita termasuk dalam golongan yang mengajak orang kepada kebaikan, mendidik manusia supaya beriman & beramal dan memurnikan amalan manusia berdasarkan kepada al-Quran & Sunnah.

Kita tak mahu mencampur amalan kita ini dengan yang pelik-pelik yang tidak sahih, cari sahih bukan yang pelik.

Ini kerana:
Beramal dengan Sunnah; hati tenang pahala confirm dapat insya’ Allah!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 03/02/2026 / 15 Sya’ban 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top