View Categories

(14) Surah Ar-Ra’d: Ayat 41-43

14 min read

Allah S.W.T Beri Kemenangan Kepada Islam, Perancangan Jahat Kafir Ditolak & Allah Saksi Nabi S.A.W Benar.

Live Pagi Isnin 02/03/2026 / 12 Ramadhan 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ar-Ra’d (14) Ayat [41-43]

Full video: https://youtu.be/wgUBa8cR28M?si=PLiQ3pm9bznPYusb

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri terakhir tafsir kepada Surah Ar-Ra’d dengan ayat 41 sehingga ayat 43 dalam juzuk ketigabelas.

Alhamdulillah tamatlah surah yang penuh sarat pengajaran ini.

  1. Dalam siri ini Allah S.W.T nyatakan bahawa Allah S.W.T beri kemenangan kepada umat Islam.

Bumi yang dijajah dan ditakluk oleh puak kafir- akan sedikit demi sedikit diambil oleh umat Islam & dijadikan dar-tauhid.

  1. Puak kafir sentiasa membuat perancangan jahat tetapi Allah gagalkannya dan perancangan kafir ditolak dan Allah beri kemenangan & kekuatan kepada hamba-Nya yang beriman!
  2. Isu ketiga- puak kafir menolak dan tidak percaya akan kenabian Rasulullah s.a.w lalu Allah kata cukuplah Dia menjadi saksi Nabi S.A.W benar dan bahawa agama yang Allah terima hanya Islam.

Cukuplah semua itu memberi keyakinan kepada kita orang beriman kerana sudah dapat pengiktirafan dari Allah bahawa agama yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam.

  1. Walaupun Islam tidak mengajar kita untuk menghina agama lain tetapi kita tidak sesekali boleh mengiktirafnya!

Orang yang tidak beriman kepada Allah tetap dikira ajaran mereka kufur sesat kepada Allah s.w.t!

Walaupun hidup dalam toleransi tetapi kita tetap mengatakan bahawa pegangan & aqidah mereka itu sesat!

Kita orang beriman hidup atas dunia ini biarlah berprinsip dan teguh berpegang kepada kebenaran yang diakui oleh Allah!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t janjikan kepada Rasul-Nya bahawa Allah akan tunjukkan kepada Nabi s.a.w sebahagian dari kemenangan umta Islam di depan matanya sebelum Baginda s.a.w wafat.

Seperti peperangan Badar menang, Uhud diuji, Ahzab berlawan, Khaibar & Pembukaan Kota Makkah satu kemenangan!

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa hasil daripada kemenangan itu beberapa tanda yang zahir yang menunjukkan kekuatan umat Islam dengan datangnya pertolongan dari Allah.

Bukan kerana kita sendiri kuat tetapi kerana kita layak menerima pertolongan itu maka kita menang.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

 أَوَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّا نَأْتِى ٱلْأَرْضَ نَنقُصُهَا مِنْ أَطْرَافِهَا ۚ وَٱللَّهُ يَحْكُمُ لَا مُعَقِّبَ لِحُكْمِهِۦ ۚ وَهُوَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ ‎﴿١٤﴾‏

Ayat 41- {Mengapa mereka yang kafir itu masih berdegil dan tidak mahu memerhatikan bahawa kekuasaan kami sentiasa menakluk bumi (yang mereka diami) dengan menjadikan dia kurang sedikit demi sedikit dari kebaikannya dan kemuliaannya?

  1. Allah nyatakan kenapakah puak kafir itu masih berdegil keras kepala tidak mahu memerhati akan kekuasaan Allah atas muka bumi ini yang melenyapkan sedikit demi sedikit kekuasaan mereka yang dulu gah atas muka bumi- yakni makin kurang penaklukan mereka.
  2. Nota [462] Yakni tidakkah mereka melihat perubahan yang sentiasa berlaku di muka bumi – berapa banyak umat-umat yang masyhur dan negeri-negeri yang makmur telah binasa dan hilang lenyap silih berganti, atau telah dikuasai oleh umat-umat yang lain?

Demikian juga halnya golongan yang menentang Islam, akan mengalami nasib yang sama.

  1. Sebagaimana kuasa Rom & Parsi yang mula goyah, golongan yang menentang Islam para musyrikin Makkah yang gugur penuh kehinaan seperti Abu Jahal dan gengnya serta dengan kenaikan kuasa Islam satu demi satu!

*Hari ini kita lihat sekali lagi zionis dan sekutunya menyerang umat Islam pada bulan Ramadhan!

Semoga rakyat Palestin selamat dari kejahatan mereka tahun ini dengan tumpuan mereka teralih ke lain!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Maka tidakkah mereka melihat bahawa kami datangi daerah bumi yang mereka kuasai dengan menguranginya sedikit demi sedikit dari sempadan-sempadannya? Jika demikian halnya, maka adakah mereka yang akan menang?} (Al-Anbiyaa’ 21:44)

*Yakni mengapa kaum yang kafir itu masih menentang nabi Muhammad s.a.w., tidakkah mereka melihat negeri-negeri mereka dikuasai oleh Islam sedikit demi sedikit, dan dengan yang demikian, sudah tentu mereka akan kalah kesudahannya.

  1. Walaupun ada yang mendakwa ayat ini adalah Makkiyyah- maka negeri mana yang berkurang atau bertambah kuasa Islam kerana Nabi s.a.w masih berada di Makkah?

Maka ia tidak menjadi masalah kerana:
i- jika bukan negeri di bawah Nabi s.a.w- boleh jadi ia merujuk kepada negeri di bawah kuasa nabi-nabi lain yang terdahulu sebelum ini sebagaimana Nabi Musa a.s yang berjaya menewaskan Fir’aun dan akhirnya negara Mesir dan negeri-negeri sekitarnya jatuh di bawah kekuasaan Islam.

ii- atau boleh jadi juga ayat ini ditujukan kepada penduduk Makkah- wahai Quraisy tidakkah kamu lihat dalam perjalanan rehlah kamu satu demi satu negara yang kufur telah dihancurkan Allah s.w.t.

Maka jika kamu buat perangai yang sama- maka tanah air yang kamu pijak ini akan diambil oleh Rasulullah s.a.w – dan ia menjadi satu kenyataan pada bulan Ramadhan tahun ke-8H dengan Pembukaan Kota Makkah oleh umat Islam.

Ayat 41- …{Dan (ingatlah) Allah menghukum menurut apa yang dikehendakiNya; tiada sesiapapun yang dapat menghalang hukumNya, dan dia lah juga yang amat cepat hitungan hisabNya.} (Ar-Ra’d 13:41)

  1. Apabila Allah hendak menghukum atau melakukan sesuatu- kehendak-Nya adalah mutlak- apabila Allah nak sesuatu berlaku tiada siapa yang boleh ubah, tukar, menyekat atau menghalangnya!
  2. Semua yang dikehendaki Allah akan berlaku samada dari sudut Syar’iyy atau Qadari.

Allah nak kita beriman & taat- di mana sesiapa yang taat akan dapat syurga & sesiapa yang derhaka akan dapat neraka- maka pastilah ia akan berlaku!

  1. Allah juga yang amat cepat hitungan hisabNya, segera untuk membalas semua perbuatan manusia yang baik atau yang buruk semuanya di bawah ilmu & kuasa Allah s.w.t!
  2. Nota [463] Yakni oleh kerana Allah Ta’ala telah menetapkan (bahawa Nabi Muhammad s.a.w., akan berjaya menguasai pihak yang menentangnya), maka hukum Allah itu tetap berlaku.

*Yang pasti dan jelas sekali adalah kejatuhan kota Makkah ke bawah kekuasaan Rasulullah s.a.w dan menjadi negara Islam.

  1. Maka jelaslah negara manapun yang Allah berikan kepada Nabi s.a.w atau kepada para anbiya’ terdahulu- ianya di bawah ilmu & kuasa kehendak Allah Azza wa Jalla!

وَقَدْ مَكَرَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلِلَّهِ ٱلْمَكْرُ جَمِيعًا ۖ يَعْلَمُ مَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ ۗ وَسَيَعْلَمُ ٱلْكُفَّٰرُ لِمَنْ عُقْبَى ٱلدَّارِ ‎﴿٢٤﴾‏

Ayat 42- {Dan sesungguhnya orang-orang kafir yang sebelum mereka telah melancarkan rancangan jahat (terhadap Nabi-nabi mereka): oleh itu, (janganlah engkau bimbang kerana) bagi Allah jualah kuasa menggagalkan segala jenis rancangan jahat. Ia mengetahui apa yang diusahakan oleh tiap-tiap diri; dan orang-orang yang kafir akan mengetahui bagi siapakah balasan (yang baik dan yang buruk) pada hari akhirat kelak.} (Ar-Ra’d 13:42)

  1. Sebelum musyrikin Makkah buat kejahatan ke atas Nabi Muhammad s.a.w; puak kafir sebelum ini juga telah membuat pelbagai kejahatan dan perancangan buruk ke atas para nabi mereka juga!
  2. Kafir zaman Nabi atau kafir zaman kita sekarang ini juga begitulah!

Jika nak kira betapa banyak dan kuatnya konspirasi, strategi, teori perancangan jahat yang kafir & yahudi buat seolah Islam tak akan wujud lagi atas dunia ini!

Tetapi tidak berlaku sedemikian kerana ia bukan kehendak Allah s.w.t!

Kita orang Islam kena sedar & yakin dengan pertolongan Allah s.w.t!

  1. Ingatlah bahawa apa saja yang kamu buat semuanya diketahui Allah!

Maka pada hari Akhirat kelak puak kafir akan tahu siapa yang betul siapa yang salah!

Siapa yang dapat balasan & hukuman atas kejahatan yang dibuat!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan beberapa firman Allah ini:
    i- {Dan (dengan demikian) mereka telah merancangkan rancangan jahat, dan Kami pula rancangkan balasannya dengan seburuk-buruk balasan, sedang mereka tidak menyedarinya.} (An-Naml 27:50)

ii- {Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun.} (Ibrahim 14:46)

*Inilah janji Allah bahawa bukan semua teori & konspirasi yang dibuat oleh puak kafir akan berjaya- tidak sesekali!

  1. Sekarang ini ada pemimpin kafir yang rakus dan cuba mempermainkan umat Islam maka jangan lupa sempena bulan Ramadhan yang mulia ini kita doakan agar Allah selamatkan umat Islam dan semua negara umat Islam dari semua perancangan jahat puak kafir.
  2. Kita yakin Allah akan gagalkan rancangan puak kafir.

Maka atas dunia ini jangan kamu tunjuk angkuh tunjuk sombong- sekali Allah sentap tak cukup inci atas bumi ini untuk kamu larikan diri!

  1. Allah tahu semua yang kamu buat; yang zahir atau yang batin, yang benar atau yang salah, yang taat atau yang kufur, yang Sunnah atau yang bid’ahnya- dan semua itu di bawah ilmu Allah & balasan akan diberi mengikut amalan kamu!
  2. Puak kafir yang mungkin atas dunia ini sentiasa menang dan berkuasa- tetapi di Akhirat kelak mereka akan tahu siapa sebenar yang betul- lalu bagi siapakah balasan yang baik dan yang buruk pada hari akhirat kelak!!!

*Maka kita umat Islam bersatulah jangan saling berbalah sesama kita menghabiskan masa dengan perkara yang memporak-perandakan umat bukan yang menyatukan!

وَيَقُولُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَسْتَ مُرْسَلًا ۚ قُلْ كَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِيدَۢا بَيْنِى وَبَيْنَكُمْ وَمَنْ عِندَهُۥ عِلْمُ ٱلْكِتَٰبِ ‎﴿٣٤﴾‏

Ayat 43- {Dan orang-orang yang kafir itu berkata: “Engkau bukanlah seorang Rasul dari Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan juga disaksikan oleh orang-orang yang ada ilmu pengetahuan mengenai Kitab Allah”.} (Ar-Ra’d 13:43)

  1. Munasabah ayat:

i- dalam ayat 27 yang lepas- puak kafir minta nak bukti tanda mukjizat nabi s.a.w serta di sini mereka cabar pula bahawa Nabi s.a.w bukan seorang rasul!

ii- lalu dalam ayat ini Allah bawa saksi membatalkan dakwaan jahat mereka itu bahawa cukuplah Allah menjadi saksi tentang kebenarannya, dan juga disaksikan oleh orang-orang yang ada ilmu pengetahuan mengenai Kitab Allah- apa yang mereka kata tentang Nabi s.a.w.

  1. Nota [464] Orang-orang kafir itu tidak mahu mengakui nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang rasul yang diutus oleh Allah ‘Azza wa Jalla.

Tetapi sikap mereka tidak menjadi hal, kerana cukuplah Allah menjadi saksi yang membenarkan kerasulannya, sebagaimana yang tersebut di dalam Kitab Allah: Al-Qur’an, dan Kitab-kitab yang lain: Taurat dan Injil; dan diakui juga oleh orang-orang yang jujur yang ada ilmu pengetahuan mengenai Kitab-kitab Allah yang tersebut.

  1. Orang kafir Quraisy menafikan dan menolak bahawa Nabi s.a.w adalah seorang rasul- menghina mengatakan bahawa Baginda hanyalah anak seorang pengembala kambing!

Lalu Allah s.w.t ajar kepada Nabi s.a.w untuk menjawab- cukuplah untuk Allah menjadi saksi atas aku & kamu!

  1. Kata ulama’ Allah menjadi saksi ini melalui tiga dimensi:
    i- dengan kata-katanya (بقوله) iaitu al-Quran itu adalah semua firman Allah s.w.t.

ii- dengan amali (بعمله)- dengan perbuatan-Nya iaitu dengan memberi kemenangan kepada Nabi s.a.w.

iii- dengan ikrar (بـإقراره) atau akuan dari Allah bahawa Allah akui Dia terima Rasulullah s.a.w ini sebagai Rasul-Nya dan Allah suruh kita terima & ikut nabi s.a.w sebagai seorang Rasul!

*Jika ada yang tidak percaya juga maka apa nak buat lagi!

  1. Saksi kedua ialah orang-orang yang ada kitab iaitu Yahudi yang ada Taurat & nasrani yang ada Injil.

Mereka ini apabila tengok Nabi s.a.w mereka tahu dengan jelas bahawa Baginda adalah seorang rasul & nabi sebagaimana yang disebut dalam kitab mereka itu!

  1. Kebanyakan ulama’ kata saksi yang dimaksudkan itu ialah Abdullah bin Salam- Tetapi Ibnu kathir kata pendapat ini ganjil kerana ayat ini adalah Makkiyyah sedangkan Abdullah bin Salam berada di Madinah & belum berjumpa dengan Nabi s.a.w lagi!
  2. Atau ada juga ulama’ kata saksi yang dimaksudkan itu ialah ahli kitab yang berada di Madinah atau ahli kitab kaum yahudi yang dirujuk oleh puak musyrikin Makkah.
  3. Kata Ibnu Asyur seorang ahli Kitab yang masyhur di Makkah ialah Waraqah bin Naufal, sepupu kepada UM Khadijah! Kepada dialah UM Khadijah bawa Nabi s.a.w setelah Baginda menerima wahyunya yang pertama dan setelah mendengar cerita Baginda- kenal bahawa malaikat yang datang itu ialah Namus (Jibril) dan dia mengakui kebenaran Nabi s.a.w.

*Maka kata ulama’ tafsir- ahli Kitab yang relevan di sini ialah Waraqah.

*Yang penting ulama’ bani Israil ada maklumat tentang sifat dan perwatakan Nabi s.a.w serta perjalanan hidupnya!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 41- {Mengapa mereka yang kafir itu masih berdegil dan tidak mahu memerhatikan bahawa kekuasaan kami sentiasa menakluk bumi (yang mereka diami) dengan menjadikan dia kurang sedikit demi sedikit dari kebaikannya dan kemuliaannya?}-

Allah tanya wahai manusia kamu tak tengok ke satu demi satu negara kafir yang jatuh?

Inilah bukti yang jelas lagi nyata bahawa Allah telah beri kemenangan kepada Nabi s.a.w sebagai satu pengiktirafan-Nya.

Kemudian apabila Allah s.w.t menjatuhkan sesuatu hukum; tidak ada siapa yang boleh kritik kondem, tukar atau ubah hukum Allah.

Sempurnanya hikmah, ilmu & kemuliaan Allah maka tiada siapa boleh persoal atau tanya tentang hikmah Syari’ah Allah!

Jangan tanya kenapa-kenapa kerana Allah s.w.t tidak akan buat sesuatu itu secara sia-sia atau tanpa tujuan & hikmah!

Allah buat tiap sesuatu itu ada manfaatnya tiada siapa boleh lawan atau nafi, jika lawan dia akan kalah!

Kamu buatlah apa yang diperintahkan Allah & kamu akan dipersoalkan di Akhirat nanti akan segala perbuatan & perkataan kamu.

  1. Ayat 42- {Dan sesungguhnya orang-orang kafir yang sebelum mereka telah melancarkan rancangan jahat (terhadap Nabi-nabi mereka): oleh itu, (janganlah engkau bimbang kerana) bagi Allah jualah kuasa menggagalkan segala jenis rancangan jahat.}-

Allah kata orang kafir buat perancangan jahat tetapi semua perancangan jahat itu di bawah kuasa Allah!

Yakni orang kafir buat segala perancangan, konspirasi, strategi dan segala plan jahat tetapi Allah gagalkan semua perancangan mereka.

Dalam ayat ini seolah macam kontra;
i- Allah kata kaum kafir buat perancangan jahat tetapi;
ii- Allah nafikan dengan kata semua perancangan itu di bawah pengetahuan dan kuasa Allah.

Macamana kita nak selarikannya?
Jawapan:
Orang kafir buat segala perancangan, konspirasi, strategi dan segala plan jahat tetapi semua perancangan yang dibuat makhluk itu hanya perancangan & tidak akan berlaku tanpa izin & kehendak Allah.

Allah nafikan kuasa manusia tetapi Allah tak nafikan usaha manusia- kesannya memang hanya kembali & terletak di bawah kuasa Allah!

Kerana itu Allah kata mereka telah buat perancangan {وَقَدْ مَكَرَ} tetapi semua perancangan itu di bawah kuasa Allah {فَلِلَّهِ ٱلْمَكْرُ جَمِيعًۭا}.

Perancangan jahat kafir itu hanya akan berjaya atau Allah luluskan apabila Allah nak uji kita orang Islam.

Sebagaimana yang berlaku sekarang di Ghazzah, di Iran dan seumpamanya.

Allah nak tengok macamana kesatuan umat Islam dan tindakan mereka dalam menghadapi ujian ini!

*Cuma peringatan:
Jangan kita terlalu over memuji memuja memberi title “asy-syahid” kepada orang yang pegangan mereka & mulut mereka mengutuk menghina para sahabat.

Hati-hatilah jangan sampai kita terperangkap dalam talbis iblis, jangan sampai kita mengangkat orang yang mencerca sahabat seolah merekalah yang akan membawa kita ke syurga manakala sahabat yang dicerca tiada pembelaan!

  1. Ayat 43- {Dan orang-orang yang kafir itu berkata: “Engkau bukanlah seorang Rasul dari Allah”.}- puak kafir kata Nabi s.a.w bukan seorang rasul yang diutus Allah!

Baginda hanyalah anak seorang pengembala kambing yang hina, tak layak untuk mengetuai mereka!

Pengajaran juga bagi kita jangan mudah percaya dan dengar buah orang.

Kadang-kadang apabila datang orang bawa fitnah dan jadi batu api- habis rosak satu negeri satu negara dengan sebab percaya belaka kepada batu api atau tukang fitnah itu!

Lalu penguasa menjatuhkan hukuman dan berlakulah kezaliman ke atas orang yang tidak bersalah!

Maka dalam ayat ini Allah bawa dua jenis saksi di sini akan kebenaran Nabi Muhammad s.a.w:

i- Allah sendiri sebagai saksi bahawa Nabi s.a.w itu benar dengan memberinya kemenangan!

ii- orang yang diberi kitab dari kalangan yahudi & nasrani.

Jika di Makkah dia adalah seperti Waraqah bin Naufal yang mengakui akan malaikat yang datang membawa wahyu kepada Baginda atau jika di Madinah seperti Abdullah bin Salam.

Namun secara umum & secara globalnya puak yahudi dan nasrani memang mereka datang ke Madinah untuk menunggu kebangkitan rasul yang terakhir sebagaimana tanda-tanda yang ditunjukkan dalam kitab mereka.

Tetapi apakan daya kerana hasad & dengki mereka terpaksa menolak kebenaran yang jelas di depan mata mereka lalu memilih untuk terus menjadi kafir & penentang!

  1. Ayat 43- {… dan juga disaksikan oleh orang-orang yang ada ilmu pengetahuan mengenai Kitab Allah”.}-

Allah kata orang yang ada ilmu tentang Kitab sahaja yang layak menjadi saksi akan kebenaran Rasulullah s.a.w.

Kata ulama’: Ayat ini menunjukkan kelebihan ahli ilmu iaitu orang yang ada ilmu!

Tak kira ilmu orang dulu iaitu ahli kitab- ilmu kita sekarang ini al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.

Orang yang ada ilmu layak untuk menjadi saksi di hadapan Allah s.w.t. Tak kira sebagai saksi dalam apa saja isu samada hal keduniaan atau ukhrawi- wajib seseorang itu ada ilmu!

Maka untuk menjadi orang yang mulia marilah kita menjadi seorang yang berilmu.
Orang yang tiada ilmu tak masuk dalam kira- wal ‘iyazu billah!

  1. Ayat 43- {Katakanlah (kepada mereka): “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan juga disaksikan oleh orang-orang yang ada ilmu pengetahuan mengenai Kitab Allah”.}- ayat ini juga menunjukkan bahawa ilmu itu diwarisi!

Nabi s.a.w menerima wahyu yakni ilmu dari Allah, kemudian Nabi ajarnya kepada para sahabat, para sahabat mengajarnya kepada para penuntut ilmu sehingga tiba kepada kita dan seluruh umatnya yang lain sehingga ke hari Kiamat.

Maknanya ilmu kita ini turun-temurun tidak akan putus sehingga ke hari Kiamat!

Kitab kita ini kitab bersanad yang tidak akan putus- al-Quran & Sunnah Nabi adalah dari Rasulullah s.a.w kepada para sahabat kepada para ulama’ dan imam-imam sehinggalah kepada kita.

Ilmu kita yang ada ini adalah ilmu yang dipusakai dari Nabi s.a.w.

Setiap perkara ini kena kembali kepada para alim ulamak setiap generasi- apa yang mereka huraikan apa yang mereka sampaikan itulah yang kita nak pegang!

Alhamdulillah pada hari ini tamatlah kita dengan 14 siri kuliah tafsir untuk surah Ar-Ra’d ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Surah Ar-Ra’d ini mengandungi banyak dalil-dalil tentang tauhid & aqidah sebagaimana sinonimnya sebagai surah-surah Makkiyyah!

Doa #

Doa yang masyhur bagi bulan Ramadhan ini ialah:

اَللهُمَّ اجْعَلْنَا مِنْ عُتَقَائِكَ مِنَ النَّارِ

“Ya Allah, jadikanlah kami dari kalangan mereka yang Engkau bebaskan daripada api neraka”.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis Isnin 02/03/2026 / 12 Ramadhan 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=893859703464551&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top