View Categories

(3) Surah Ibrahim: Ayat 4

11 min read

Rasul Diutuskan Dengan Bahasa Kaumnya, Kuasa Allah S.W.T Menyesat Atau Memberi Petunjuk Kepada Hamba-Nya.

♥ Live Pagi Khamis 05/03/2026 / 15 Ramadhan 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ibrahim (03) Ayat [04]♥

Full video: https://youtu.be/lxSj6CdQT4o?si=iXNZcxnIvKxc-pDg

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ibrahim dengan ayat 04 dalam juzuk ketigabelas.
    Walaupun satu ayat perbincangannya agak panjang & terperinci!
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa setiap Rasul itu diutuskan dengan bahasa kaumnya.

Ini kerana tujuan dakwah & kitab ini untuk difahami dan diyakini- maka bahasa dapat menyatukan sesuatu kaum itu.

*Cuma kepada Rasulullah s.a.w diturunkan dalam bahasa Arab kerana Baginda diutuskan di kalangan kaum Quraisy yang berbahasa Arab, tetapi kemudiannya ia telah menjadi satu bahasa bagi umat Islam untuk memahami al-Quran.

  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa kuasa Allah s.w.t menyesatkan seseorang manusia itu, tidak menunjukkan kepadanya jalan yang diredhai Allah lalu mereka tak jumpa jalan- siratul-mustaqim yang menyebabkan mereka sesat & jauhlah dia dari Allah.
  2. Allah juga yang memberi petunjuk hidayah kepada hamba-Nya untuk memilih jalan yang benar.
    Samada taufiq sepenuhnya atau taufiq separuh sahaja- tunjuk untuk pilih jalan ini tetapi lemah untuk beribadat & berbuat kebaikan.
  3. Yakni Allah jadikan manusia ini ada yang menzalimi diri sendiri, ada yang pantas melakukan kebaikan, ada yang bercampur antara keduanya- maksiat & ibadat!

Semoga Allah memberi taufiq kepada kita untuk memilih & menerima semua yang terbaik!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- Allah s.w.t nyatakan di awal surah pada ayat yang pertama bahawa fungsi al-Quran ini ialah untuk mengeluarkan manusia daripada gelap kufur kepada cahaya keimanan.

Ayat ini menjadi satu nikmat kepada Rasulullah s.a.w- Allah serahkan kepada Baginda satu tugas yang sangat besar & agung- menjadi seorang rasul!

Dari seorang anak yatim yang dipelihara datuk & bapa saudaranya kemudian dilantik menjadi seorang Rasul!

*Ramadhan adalah satu zikrayat yang besar bagi Baginda dari seorang Muhammad bin Abdullah ditabalkan kepada Muhammad Rasulullah s.a.w bermula pada bulan ini!

ii- maka datang ayat ini menyatakan nikmatnya al-Quran kepada kaumnya sebagai penerima al-Quran, kerana ia datang dengan bahasa mereka sendiri, bahasa yang mereka dapat fahaminya.

Fungsi al-Quran ialah memberi kefahaman kepada masyarakat bukan sekadar bacaan seperti mentera, jampi serapah yang hanya dibaca tanpa dapat difahami dan tidak memberi apa-apa manfaat!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

مَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ ۖ و

Ayat 4- {Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.} (Ibrahim 14:4)

  1. Allah nyatakan bahawa Dia tidak mengutus seorang rasul kepada kaumnya kecuali dengan membawa ajaran dalam bahasa mereka sendiri.

Ini supaya rasul itu dapat menjelaskan hukum-hukum Allah kepada mereka & mereka dapat memahaminya tanpa masalah atau buat alasan tidak faham lalu tidak beriman.

  1. Nota [466]- Tiap-tiap seorang Rasul diutus oleh Allah Ta’ala dengan membawa wahyu (Kitab Suci) menurut bahasa kaumnya sendiri supaya mereka mudah memahami hukum-hukum Allah, dan untuk menjadi hujjah (alasan yang kuat) supaya mereka tidak dapat berdalih.

Barangkali ada orang yang menyatakan kemusykilan dengan berkata: Hal ini mudah difahami, memikirkan sekalian Nabi-nabi yang terdahulu daripada Nabi Muhammad s.a.w hanya diutus kepada kaum masing-masing.

Bagaimana pula halnya Nabi Muhammad yang diutus oleh Allah Ta’ala kepada umat manusia seluruhnya, sedang Al-Qur’an hanya diturunkan dalam bahasa Arab?

Bagi menjawabnya:
Dalam hal ini tidak sepatutnya timbul sebarang kemusykilan.
Soal Nabi Muhammad s.a.w diutus oleh Allah Ta’ala kepada umat manusia seluruhnya tidak ada seseorang yang jujur dapat menyangkalnya, kerana dalilnya ada ditegaskan di dalam Al-Qur’an (ayat 158, surah Al-A’raaf dan juga dalam beberapa ayat yang lain).

Tentang turunnya Al-Qur’an dalam bahasa Arab ialah supaya Baginda lebih dahulu mendapat sokongan daripada bangsanya sendiri – bangsa Arab – untuk memudahkan Baginda menyiarkan Islam ke seluruh dunia, dan inilah yang telah berlaku sesudah nabi wafat.

Orang-orang Arablah pelopor – yang mula-mula menyiarkan Islam ke negeri-negeri yang lain.

Kalaulah Al-Qur’an diturunkan dalam segala bahasa umat manusia yang ada dalam dunia ini, tentulah akan menimbulkan perpecahan di antara umat Islam sesama sendiri, sedang tujuan Islam hendak menyatu-padukan umatnya yang terdiri dari berbagai bangsa kepada umat yang satu – umat Islam.

Orang-orang Islam yang tidak mengetahui bahasa Arab (bahasa Al-Qur’an dan Hadith-hadith Nabi) perlu mempelajarinya.

Jika keadaan tidak membenarkan, memadai dengan mengetahui makna Al-Qur’an dan Hadith-hadith Nabi itu melalui terjemahannya, dan inilah yang sedang diamalkan oleh umat Islam di seluruh dunia.

Hal ini berlaku semenjak zaman Nabi hingga hari ini dan seterusnya.

  1. Beberapa dalil firman Allah s.w.t bahawa Rasulullah s.a.w diutuskan kepada seluruh manusia sekelian alam & zaman:

i- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan.} (Al-A’raaf 7:158)

ii- {Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam.} (Al-Furqaan 25:1)

iii- {Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).} (Saba’ 34:28)

  1. Yakni kitab-kitab terdahulu turun dalam bahasa setempat khusus hanya untuk kaum itu sahaja.
    Sedangkan al-Quran turun dalam bahasa Arab untuk semua dan akhirnya difahami oleh semua bangsa sedunia- bahasa Arab sebagai bahasa induk bagi agama Islam yang perlu dipelajari untuk membaca al-Quran dan memahami ajarannya.

*Jika al-Quran dalam masing-masing bahasa bagaimana kita nak menegur antara satu sama lain jika ada salah & umat akan berpecah.

فَيُضِلُّ اللَّهُ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ ‎﴿٤﴾‏

Ayat 4- {Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (Ibrahim 14:4)

  1. Kemudian isu yang kedua; setelah dijelaskan hukum & tauhid antara iman & syirik, antara taat & kufur, antara Sunnah & bid’ah maka manusia akan terbahagi kepada dua:

i- satu kumpulan yang tak terima Islam- tetap atas kekufuran & kesesatan mereka.

ii- satu kumpulan lagi Allah buka hati mereka untuk menerima Islam yakni Allah beri hidayah kepada mereka maka terimalah dia Islam.

  1. Kita ucapkan alhamdulillah kerana kita antara yang terpilih untuk mendapat hidayah petunjuk dari Allah untuk beriman dan menjadi Islam!
  2. Allah nyatakan bahawa sesuatu kaum itu tidak akan dibinasakan kerana tidak beriman kecuali setelah diberi penjelasan & kefahaman dengan diutuskan rasul kepada mereka dari kalangan mereka sendiri!

Yakni syurga & neraka itu tidak datang kecuali setelah dakwah & bimbingan!

  1. Setelah penjelasan diberi oleh Allah tentang Islam yang nyata- tidak boleh lagi kita berdolak-dalih menyatakan tak tahu atau mendakwa bahawa kita tidak faham dengan dakwah yang dibawa oleh Nabi s.a.w.
  2. Begitu juga orang kafir dengan kemajuan zaman ini tidak boleh lagi membuat alasan tidak tahu tentang Islam.

Mereka bukan tak tahu tetapi telah dimomok-momokkan dengan keburukan Islam, menjadikan fenomena Islamophobia.

Apabila sebut Islam ingat kepada terrorist keganasan, kepada kemunduran, kemiskinan dan kemalasan.

  1. Al-Quran jika dibaca saja tetapi tidak ditadabbur & dihayati; pasti masih tidak faham kerana tidak memberi kesan.

Ini kerana al-Quran itu makin dibaca & difahami makin manis seperti buah kurma yang makin dikunyah makin manis!

Jika tidak dikunyah kita tidak akan dapat merasanya!

  1. Allah jualah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan kita berdoa memohon kepada Allah untuk mendapat petunjuk hidayah-Nya ini dalam solat kita setiap kali sekurang-kurangnya 17 kali sehari yang rasmi!

Kita minta agar Allah berikan kita jalan yang lurus, jalan yang benar iaitu jalan yang diredhai-Nya.

  1. Dia akhir ayat Allah nyatakan sifat-Nya:
    i- Dia lah jua Yang Maha Kuasa- Allah s.w.t adalah Maha Kuat Yang Tiada Terkalahkan, tiada siapa boleh sekat & halang-Nya.

Apa yang Dia kehendaki terjadilah, dan apa yang tidak Dia kehendaki tidak akan terjadi.

*Antaranya ialah tiada siapa boleh halang- Allah berkuasa memberi hidayah & tidak memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

ii- lagi Maha Bijaksana- Allah SWT juga Maha Bijaksana dalam segala tindakan dan perbuatan-Nya iaitu meletakkan setiap perkara pada tempatnya.
Tindakan-Nya penuh dengan hikmah & keadilan!

  1. Maka atas kuasa Allah untuk menyesat dan memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya kita jangan tanya kenapa, mengapa!

Yang penting tugas kita untuk sentiasa berdoa memohon petunjuk Allah untuk diberi yang terbaik!

Penutup & Faedah: #

  1. Ayat 4- {Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.]-

Allah bagi jaminan bahawa setiap rasul akan diutus dengan bahasa kaumnya!

Ulama’ mengatakan ini menunjukkan betapa pentingnya bahasa yang difahami!

Ini untuk orang didakwah atau memahami apa yang hendak disampaikan!

Manusia kena faham apa yang diutuskan oleh Allah barulah boleh ditegakkan hujjah ke atasnya!

Kita faham bahawa setiap rasul diutuskan untuk setiap kaumnya dengan bahasa mereka yang satu.

Tetapi kenapa Nabi Muhammad s.a.w diutuskan dengan bahasa Arab sedangkan dalam dunia ini ada pelbagai ribuan bahasa lagi???

Jawapan:
Kitab ini tidak bercanggah dengan ayat ini.
Ini kerana walaupun al-Quran asalnya dalam bahasa Arab untuk kaum Quraisy; tetapi kita ada terjemahannya kepada seluruh bahasa dalam dunia ini.

Jadi tidak ada masalah bahkan apabila berlaku ikhtilaf atau perselisihan- orang boleh balik rujuk kepada bahasanya yang asal iaitu bahasa Arab!

Setiap kitab itu ada terjemahan dan huraiannya oleh ulama’ masing-masing mengikut bahasa masing-masing untuk menjelaskan apa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t!

  1. Ayat 4- {Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.}- belajar bahasa Arab dengan segala cabang tata-bahasanya nahu, soraf, balaghah dan lain-lain; ini semua sebagai wasilah untuk mengorek dan mengkaji & menghayati makna al-Quran.

Kata ulama’: Setiap alat atau ilmu yang boleh menyebabkan kita memahami Kalamullah & Rasulullah s.a.w itu dituntut.

Jadi sebagai satu wasilah & usaha untuk memahami al-Quran- belajar bahasa Arab adalah dituntut.
Jangan kata buat susah atau tidak perlu.

Seperti mana yang dipelajari oleh para pelajar Pondok dulu- segala kitab nahu bermula dari yang kecil sehingga yang sebesar-besarnya; ini semua sebagai alat untuk memahami al-Quran & Sunnah itu dituntut dan dapat pahala insya’ Allah!

Maka disyorkan kepada para jemaah semua yang masih belum faham bahasa Arab boleh mula mendaftarkan diri untuk belajarnya!

Kita tidak akan rugi- bahkan makin kita faham al-Quran makin terasa nikmatnya sebagaimana kurma tadi makin dikunyah makin manis rasanya.

  1. Ayat 4- {Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.}-

Ayat ini juga tidak boleh menjadi hujjah kepada orang bukan Arab (Ajam) untuk mengatakan al-Quran bukan turun untuk mereka kerana ia bukan bahasa mereka maka mereka tidak faham.

Tiada hujjah kerana dengan bahasa apa sekalipun diterjemah al-Quran & difahami maknanya maka ia akan menjadi hujjah.

Sabda Rasulullah s.a.w:
Dari Abu Hurairah r,a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Demi jiwaku di tangan-Nya, tidak ada seorang pun dari umat ini (manusia) sama ada Yahudi mahupun Nasrani yang mendengar tentangku, kemudian dia mati dan tidak beriman dengan apa yang aku bawa, melainkan dia akan menjadi ahli neraka.” (HR. Muslim No. 153).

Yakni tiada alasan bagi a’jam (bukan Arab) untuk mengatakan bahawa mereka tidak ada kena mengena dengan al-Quran yang berbahasa Arab.

Ini kerana dengan bahasa apa sekalipun al-Quran terjemahan boleh difahami maka kamu kena terima.

  1. Ayat 4- {Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.}- pentingnya harakah terjemahan al-Quran.

Kata ulama’: Ini menunjukkan pentingnya gerakan menterjemah makna al-Quran- bukan terjemah al-Quran itu sendiri kerana ia sukar.

Agar dapat difahami oleh semua manusia dari pelbagai bahasa & bangsa.

Alhamdulillah, sebuah pusat terjemahan yang besar & lengkap telah dibuka iaitu Kompleks Percetakan Al-Quran Raja Fahd di Madinah Al-Munawwarah/ Ia telah dirasmikan oleh Almarhum Raja Fahd pada tahun 1985.

Ia merupakan kilang percetakan al-Quran terbesar di dunia yang mengeluarkan lebih 10 juta naskhah setahun, dengan lebih 55 terjemahan bahasa, serta menjadi pusat rujukan utama umat Islam.

Bahasa Melayu sendiri pun ada- bukan hanya bahasa Indonesia.
Dr Abu Anas Madani & Dr Ahmad Najib serta beberapa pelajar Universiti Madinah yang ada pada waktu itu terlibat dalam semakan bahasanya Alhamdulillah.

Ia amat berguna untuk para pendakwah kita yang berdakwah kepada non-muslim- menyampaikan kepada mereka yang membaca dan mengkaji al-Quran yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa mereka.

Maka orang Islam membaca mengkaji dan memahami lalu mereka menerima Islam.

Kerana itulah dikatakan orang bukan Islam mengkaji al-Quran sebelum mengaji.

Manakala kita orang Islam pula hanya mengaji al-Quran tetapi kajinya tidak- maka kefahaman tidak bertambah dan dari sudut amalannya lemah!

Maka jangan lupa ikut kelas tadabbur al-Quran.

  1. Ayat 4- { Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya);}-

Allah menyatakan kuasa-Nya memberi hidayah taufiq kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyekat kebaikan itu daripada sesiapa yang dikehendaki-Nya!

Sebagaimana yang kita sentiasa sebut hidayah itu ada dua:

i- Hidayah taufiq- membuka hati manusia untuk beriman dan beramal soleh itu milik mutlak Allah semata-mata.

ii- hidayah irsyad iaitu untuk memberi bimbingan dan ajaran- setiap kaum ada pembimbing dan pengasuh yang mengajar mereka kepada jalan yang benar.

Tugas ini Allah serahkan kepada para Nabi s.a.w para sahabat, tabi’en dan para ulama’ selepasnya sehingga ke zaman kita hari ini.

Maka kita jangan lupa jangan lalai & lagha bahawa kita semua ini akan dipersoalkan di hadapan Allah Azza wa Jalla di Akhirat kelak!


Insya Allah sedekah kita minggu ini:

Pihak jawatankuasa telah mengenal pasti tanah seluas 2.2 ekar dengan kos sebanyak RM200,000.00 untuk dibeli sebagai wakaf kubur.

Projek ini dibawah naungan Masjid Ar-Rahman, Pondok Sungai Durian Mmpsd MMPSD.

Pihak jawatankuasa membuka peluang kepada para dermawan bagi turut sama membeli saham tanah wakaf ini.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun berikut:
Nama: Tanah Perkuburan Islam Sungai Durian
No Akaun: 2006-7010-0026-9962 (Agro Bank).

Makluman dan pertanyaan boleh hubungi (call & whatsapp):
HP: 019 9198299 Haji Hashim Bin Yahya (Pengerusi).

جَزًاكُمُ الله خَيْرًا!

Link poster:
https://www.facebook.com/share/p/17goRknJBV/

Serta jangan lupa esok hari Jumaat- ingat Jumaat ingat selawat ke atas Nabi s.a.w, baca surah al-Kahfi, datang awal ke masjid dan banyakkan sedekah.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 05/03/2026 / 15 Ramadhan 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] & Surah Ibrahim (setakat siri yang ada) boleh dilihat di YouTube Abu Anas Madani
Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top