Surah Ibrahim – سورة إبراهيم
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Muqaddimah Dan Intisari Surah & Munasabah Dengan Surah Ar-Ra’d.

Live Pagi Selasa 03/03/2026 / 13 Ramadhan 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ibrahim (01) Ayat
Full video: https://youtu.be/ajNf23l3RmE?si=MS5H27iLoF7k3REe
Muqaddimah Surah Ibrahim – سورة إبراهيم #
- Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini kita dapat mulakan pengajian tafsir bagi Surah Ibrahim – سورة إبراهيم, surah yang keeempat belas dalam al-Quran & dalam juzuk yang ketiga-belas.
- Surah ini diturunkan di Makkah, sebelum hijrah Nabi s.a.w ke Madinah mengandungi 52 ayat.
Secara umumnya, ijma’ ulama’ tafsir mengatakan ia adalah surah Makkiyyah, kecuali beberapa ayat:
i- kata Ibnul Jauzi rhm: Surah ini secara umumnya adalah Makkiyyah tetapi ada riwayat dari Ibnu Abbas kecuali dua ayat Madani iaitu ayat 28 & ayat 29.
ii- manakala kata al- Fairuz al-Abadi pula: Surah in iMakkiyah kecuali satu ayat saja iaitu ayat 28 adalah Madaniyyah.
Islam yang menghadapi ancaman dan tekanan pada permulaan Islam.
Nama Surah #
- Dinamakan Surah Ibrahim – سورة إبراهيم (Perihal Nabi Ibrahim alaihissalam) kerana kisah & ceritanya ada disebut dalam ayat 35 dan selepasnya.
Bermula dengan doa Nabi Ibrahim yang tugasnya selain berdakwah ialah banyak berdoa.
i- Allah ceritakan dalam surah ini bagaimana kisah nabi Ibrahim meninggalkan anaknya Ismail yang masih bayi dengan ibunya Hajar di lembah yang kering kontang, tapak Ka’bah di Makkah.
ii- Allah juga menceritakan nabi Ibrahim yang bersyukur kerana dia dikurniakan dua zuriat walaupun pada penghujung usianya.
Anaknya Ishaq yang lahir dari Sarah menjadi jalur bani Israil serta Ismail dari ibunya Hajar menjadi jalur keturunan bangsa Arab di Makkah.
- Kata Ibnu Asyur dalam tafsirnya kenapa surah ini dinamakan surah Ibrahim sedangkan kisah nabi Ibrahim ada dalam banyak surah lain juga:
i- Ini kerana surah ini bermula dengan ayat {الٓر} maka untuk membezakan antara surah-surah yang bermula dengan {الٓر} ini maka dinisbahkan setiap satu surah ini kepada seorang nabi yang terdapat ceritanya dalam surah itu atau tempat seorang nabi seperti surah al-Hijr, nama sebuah tempat iaitu dikenali sekarang al-‘Ula atau dengan Mada’in Soleh.
**Terdapat 5 surah dalam Al-Quran yang dimulakan dengan huruf muqatta’ah Alif Lam Ro (الر) iaitu: Surah Yunus (10), Surah Hud (11), Surah Yusuf (12), Surah Ibrahim (14), dan Surah Al-Hijr (15).
ii- manakala surah Ar-Ra’d tidak dinisbahkan kepada seorang nabi tetapi kepada Ar-Ra’d (Guruh) kerana ada pertambahan huruf mim {الٓمٓر} yang boleh membezakannya dengan surah {الٓر} lain.
- Telah terdapat beberapa riwayat dari salaf yang menyebut nama surah ini sebagai surah Ibrahim.
Maqasid/Objektif Surah
إبراهيم من أهمِّ مقاصدِ سُورَةِ #
- Allah galakkan kita supaya bersyukur dengan nikmat yang dianugerahkan.
Serta Allah beri amaran agar kamu jangan sesekali ingkar atau kufur nikmat Allah.
Ini kerana siapa yang syukur nikmat akan bertambah manakala siapa yang kufur nikmatnya akan disentap.
Ini kerana syukur itu menjaga nikmat yang sedia ada & akan menarik nikmat yang baru juga!
- Menyatakan hakikat kerasulan dan dakwah para rasul itu satu saja iaitu; mengajak orang tauhid kepada Allah dan menjauhkan syirik & taghut.
Juga perlawanan mereka terhadap orang yang menentang dakwah ini!
Isu-Isu Utama Dalam Surah ini:
1) Menyebut tentang al-Qur’an al-Karim sebagai kitab petunjuk dan penjelasan; menyebut tentang kekuasaan Allah سبحانه ke atas langit dan bumi; dan bahawa Dia mengutus para rasul dengan bahasa kaum mereka supaya mereka menjelaskan kepada kaum masing-masing apa yang dikehendaki Allah سبحانه.
2) Menyebut kisah Nabi Musa عليه السلام dan nikmat Allah ke atas kaumnya ketika Dia menyelamatkan mereka daripada keluarga Firaun; serta menyebut kisah sebahagian para nabi bersama kaum mereka, dan contoh dialog yang berlaku antara para rasul dengan kaum yang diutus kepada mereka; serta balasan Allah Ta‘ala terhadap orang-orang zalim yang mendustakan.
3) Perdebatan antara golongan lemah dalam kalangan ahli neraka dengan golongan yang sombong; dan perbalahan syaitan dengan mereka di dalam neraka; kemudian menyebut keadaan ahli syurga dan nikmat yang kekal bagi mereka; kemudian menyebut perumpamaan dua kalimah: iman dan kufur; kemudian keadaan orang kafir yang telah menukar nikmat Allah dengan kekufuran dan menempatkan kaum mereka ke negeri kebinasaan; serta menyebut orang beriman yang tidak menukar nikmat Allah dengan kufur, mendirikan solat dan menginfakkan rezeki yang Allah berikan kepada mereka secara sembunyi dan terang-terangan.
4) Menyebut sebahagian nikmat Allah Ta‘ala ke atas makhluk-Nya.
5) Kisah Nabi Ibrahim عليه السلام, ibadahnya kepada Allah سبحانه, penolakannya terhadap penyembahan berhala, doanya agar zuriatnya diberi keluasan rezeki, serta permohonannya yang penuh pengharapan kepada Allah سبحانه; kemudian dijelaskan tugas Nabi صلى الله عليه وسلم iaitu memberi peringatan tentang Hari Kiamat.
6) Penutup surah dengan ayat-ayat ancaman dan peringatan, serta menyebut jenis-jenis azab yang disediakan untuk orang-orang zalim; dan bahawa pada hari kiamat kelak, pembalasan akan berlaku dengan sebenar-benarnya.
Setiap orang akan dibalas dengan perbuatannya.
*Semua ayat ini sebagai penenang hati Nabi s.a.w- jika kamu ditentang oleh kaummu begitu juga Nabi Ibrahim a.s & para nabi terdahulu juga begitu.
Fakta Surah & Pecahan Ayatnya #
- Yang pertama Allah sebut tentang al-Quran & keagungannya.
- Dari ayat 5-8: Allah sebut cerita Nabi Musa a.s dan tentang dakwahnya.
- Adapun kisah nabi Ibrahim tentang dakwah & doa permohonannya bermula dari ayat 35 sehingga ayat 41.
- Dialog sesama ahli neraka- debat antara boss & pengikut pula dalam ayat 19 sehingga ayat 23.
- Allah buat bandingan tentang kalimah yang baik & kalimah yang buruk seperti pokok yang baik; dalam ayat 24 sehingga ayat 27.
- Allah peringatkan huru-hara hari Kiamat & amaran keras kepada orang yang zalim dalam ayat 42 sehingga ayat 52.
- Allah nyatakan hikmah kenapa ditangguhkan azab sehingga hari Kiamat.
Ada sesetengah orang yang zalim atas dunia ini tak kena apa bahkan selamat dan kaya-raya senang lenang atas dunia ini lalu angkuh – pada penutup ayat iaitu ayat 51 sehingga ayat 52.
Intisari Kandungannya (Pimpinan ar-Rahman) #
- Menjelaskan dua perkara yang besar: soal “Tauhid” dan soal “Nikmat Allah yang tidak terhitung” yang dilimpahkan oleh Allah Ta’ala kepada sekalian makhlukNya.
- Pada mulanya diterangkan bahawa tugas Nabi Muhammad s.a.w dengan Al-Qur’an yang diturunkan kepada nya ialah untuk memimpin dan mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita kufur, syirik, dan kejahilan, kepada cahaya iman, tauhid dan ilmu pengetahuan, iaitu jalan Allah yang diredha-iNya dan membawa keselamatan.
- Dengan tujuan menerangkan hakikat inilah Allah Ta’ala telah mengutuskan Rasul-rasul-Nya pada masa yang lalu kepada kaum masing-masing silih berganti.
Oleh kerana banyak di antara manusia tetap berdegil dalam kekufurannya lalu diberi amaran bahawa mereka akan ditimpa dengan azab siksa apabila sampai tempohnya.
- Setelah itu, Allah Ta’ala memberi misal perbandingan di antara iman dan kufur:
i- Bandingan kalimah “Iman dan Tauhid” adalah ibarat sebatang pohon yang baik, yang tegak berdiri dengan gagahnya, pangkalnya bertunjang di bumi dan pucuknya menjulang ke langit.
Ia sentiasa mengeluarkan buah yang lazat dengan izin Allah.
Demikian halnya orang yang beriman, yang tetap teguh imannya dan tidak putus-putus amal kebajikannya akan mencapai kejayaan di dunia dan kebahagiaan Akhirat.
ii- Bandingan kalimah “Kufur dan Syirik” pula adalah ibarat sebatang pohon yang tidak berguna, yang terbongkas akar-akarnya, dan tidak bertapak untuk tegak hidup.
Demikian halnya orang kafir, tidak mempunyai tapak pendirian yang menjamin keselamatannya.
Dan sebagaimana pohon yang tidak berguna itu tidak mengeluarkan melainkan buah yang pahit maka demikianlah amal perbuatan orang kafir tidak mendatangkan sebarang faedah kepadanya pada hari akhirat kelak.
- Diterangkan lagi: bahawa langit dan bumi dan segala isinya yang telah dijadikan oleh Allah Ta’ala itu adalah merupakan nikmat yang dilimpahkannya kepada sekalian makhlukNya, bahkan Ia telah memberi kepada umat manusia sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang mereka berhajat kepadaNya.
Kalaulah umat manusia menghitung nikmat-nikmat Allah, sudah tetap mereka tidak akan dapat menentukan bilangannya.
Sebenarnya manusia yang ingkar, sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya – tidak bersyukur kepadaNya.
- Sebelum itu, Allah Ta’ala menegaskan, bahawa sesiapa yang bersyukur, akan ditambahi nikmat yang berganda-ganda, dan sesiapa yang kufur ingkar, akan ditimpa bala bencana dan azab sengsara.
- Surah “Ibrahim” ini diakhiri dengan menegaskan hakikat Tauhid yang dijelaskan di dalam Al-Qur’an dengan berbagai-bagai cara, supaya orang-orang yang mempunyai akal fikiran beringat dan mengambil iktibar.
Semoga kita semua yang mengikut kuliah tadabbur ini mendapat manfaat & iktibar dari kisah yang Allah sebutkan dalam Kitab yang mulia ini khususnya kisah Nabi Ibrahim a.s
Ini kerana kehidupan Nabi Ibrahim & anaknya Ismail adalah satu kehidupan yang istimewa, amat tinggi tauhid dan tawakkalnya tiada tolak bandingnya.
Boleh baca tentang kisha mereka ini yang berkait dengan pembangunan Makkah & kehidupan mereka dalam buku ini:
Makkah al Mukarramah https://dartaibah.com/…/NEW-Makkah-Kelebihan-&-Sejarah…
Munasabah Antara Surah Ibrahim ini Dengan Surah Ar-Ra’d Sebelumnya #
- Surah Ibrahim datang selepas Surah Ar-Ra’d dan beberapa isu dalam surah ini adalah kesinambungan kepada isu dalam surah Ar-Ra’d.
Apa yang disebut secara umum dalam surah Ar-Ra’d dijelaskan dalam surah ini.
- Keduanya menjelaskan tentang al-Quran:
i- dalam surah Ar-Ra’d Allah menyebut al-Quran sebagai satu hukum yang tegas dalam bahasa Arab.
ii- dalam surah Ibrahim ini disebut hikmah diturunkan al-Quran adalah untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kufur & syirik kepada cahaya iman.
- Kedua surah menyebut tentang perkara yang berlaku dalam dunia ini adalah dengan izin Allah Azza wa Jalla semuanya:
i- Surah Ar-Ra’d: {… Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang Rasul untuk mendatangkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah.
Tiap-tiap satu tempoh dan waktu ada baginya perkara dan hukum yang telah ditentukan oleh “Suratan Azali”.} (Ar-Ra’d 13:38)
ii- Surah Ibrahim: {…dan kami tiadalah berkuasa membawa kepada kamu sebarang bukti (mukjizat) melainkan dengan izin Allah.
Dan dengan yang demikian maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.} (Ibrahim 14:11)
- Kedua-dua surah ini menyebut ayat kauniyah tentang alam ini:
i- Allah angkat langit tanpa tiang, bumi terbentang luas, Allah atur perjalanan matahari & bulan tanpa kemalangan, pengimbang bumi ini dengan bukit-bukau serta Allah sebut buah-buahan yang pelbagai jenis rasa & bentuknya!
- Kedua surah ini juga menyebut tentang kebangkitan semula- semua manusia akan mati kemudian akan hidup dibangkitkan semula di Akhirat untuk pembalasan, syurga neraka dan semuanya.
Ini untuk menguatkan asas aqidah- beriman kepada Allah & Rasul serta bangkit semula di Akhirat.
- Allah juga buat perbandingan yang haq & yang batil seperti pokok yang baik & pokok yang buruk.
- Allah juga nyatakan tentang tipu-daya puak kafir tentang konspirasi & perancangan mereka untuk khianat menjahanamkan Islam tetapi mereka tidak akan berjaya kerana Allah akan menggagal & membatalkannya.
- Kedua surah mengajar kita supaya bertawakkal kepada Allah s.w.t!
Keistimewaan Surah #
- Adapun keistimewaan khas tentang surah ini tidak ada disebut dalam Kitab yang kita baca ini.
- Yang pasti kelebihan membaca al-Quran secara umum sebagaimana ayat-ayat al-Quran yang lain iaitu bagi setiap huruf yang dibaca akan mendapat 10 pahala kebaikan.
3.Siapa yang tadabbur surah Ibrahim akan mantap aqidahnya.
Penutup #
- Alhamdulillah inilah muqaddimah, intisari kandungan dan pengenalan kepada surah Ibrahim ini.
- Insya’ Allah besok dalam siri berikutnya kita akan mula baca ayat & tafsirannya bermula dari ayat 1.
Tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Peringatan & maklumat:
Pada hari ini akan berlaku gerhana bulan ada waktu maghrib.
Bermula pada jam 6.42 petang ini masih belum nampak dengan mata & waktu maksimumnya ialah 8:02 pm yang dapat dilihat dengan mata kasar manusia.
Maka sebagai mengikut Sunnah Nabi s.a.w kita akan solat gerhana bulan di Masjid Ar-Rahman Pondok Sg Durian- yang akan diadakan selepas waktu maghrib sebelum solat Isya’ malam ini.
Kaifiyyat cara solatnya boleh rujuk & belajar di FB Abu Anas Madani.
Kita cuba ihya’kan amalan ini dengan menghidupkan Sunnah dan mendapat pahala insya’ Allah.
Antara amalan yang sunat apabila berlaku gerhana ialah selain solat sunat gerhana dan mengingati Allah ialah bersedekah.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 03/03/2026 / 13 Ramadhan 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] & Surah Ibrahim (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link Youtube:
Link Nota:
Semoga Bermanfaat!
