View Categories

(27) Surah Hud: Ayat 109-111

12 min read

TIDAK SYAK BATILNYA AKIDAH KAFIR, PENGIKUT TAURAT BERIKHTILAF & SEMUA AKAN DIBALAS.

Full video : https://youtu.be/wTEM5a17Ns4?si=RC6aYdh_6KI9Wkos

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 109 sehingga ayat 111 dalam juzuk kedua-belas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan beberapa perkara. 
    Jangan ada sebarang keraguan, tidak syak lagi bahawa batilnya akidah & segala sembahan orang kafir, lebih-lebih lagi perbuatan syirik kepada Allah. 
    Kebetulan hari ini adalah sambutan perayaan mereka yang mendakwa Tuhan ada anak dan meraikan kelahiran anak Tuhan! 
    Maka tak perlu kita turut sama bergembira meraikannya juga kerana ini adalah kepercayaan agama, jelas Allah nyatakan:

    i- {Bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kamu.} (Al-Kafirun 109:6)

    ii- {Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.} (Maryam 19: 90-91)
  1. Allah nyatakan bahawa Nabi Musa telah diberi Kitab tetapi bani Israil pengikut Taurat berikhtilaf, berpecah-belah selepas dapat Kitab Taurat.
  1. Allah tegaskan bahawa semua manusia akan dibalas. 
    Yang beriman akan dibalas baik dengan syurga manakala yang kafir akan mendapat pembalasannya juga iaitu azab & neraka.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang cerita umat terdahulu yang menyembah berhala. 
    Ada tujuh kisah dalam surah ini. 
    Kemudian Allah nyatakan bahawa manusia ini terbahagi kepada dua golongan iaitu ada yang celaka & ada yang bahagia!

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan kepada Nabi SAW akan keadaan kaumnya yang ikut agama tok nenek!

    Mereka dapati nenek moyang sembah batu maka mereka ikut!
    Walaupun telah dinyatakan bahawa ia tidak betul, mereka tetap degil keras kepala! 
    Tidak syak & ragu lagi dalam otak kita bahawa perbuatan mereka itu adalah sesuatu yang sesat & batil.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 109- {MAKA JANGANLAH ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) MENARUH PERASAAN RAGU-RAGU TENTANG SIA-SIANYA APA YANG DISEMBAH OLEH MEREKA YANG MUSYRIK ITU. MEREKA TIDAK MENYEMBAH MELAINKAN SAMA SEPERTI YANG DISEMBAH OLEH DATUK NENEK MEREKA YANG MUSYRIK DAHULU. DAN SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MENYEMPURNAKAN BAGI MEREKA BAHAGIAN MEREKA (DARI AZAB YANG TELAH DITENTUKAN) DENGAN TIDAK DIKURANGI.} (HUD 11:109)

  1. Allah menegaskan kepada Rasulullah SAW agar jangan syak & ragu lagi bahawa segala sembahan dan iktiqad puak kafir itu sama ada mereka sembah batu berhala, kayu, Isa, Uzair atau apa saja, semua itu jelas adalah satu perbuatan yang batil lagi sesat! 
  1. Mereka sembah semua itu kerana mengikut perbuatan nenek moyang mereka yang musyrik itu, tok nenek sembah batu mereka sembah batu, tok nenek sembah kayu mereka sembah kayu. 
    Bukan kerana ilmu atau dalil yang jelas dari wahyu Allah.
  1. Kita memang diajar bertoleransi dengan orang kafir dalam bab budaya & adat; tetapi dalam bab aqidah kita tidak boleh berkompromi kerana jelas perbuatan mereka itu adalah satu kepercayaa agama yang sesat & batil.
    Ingat jika ada sedikit kelonggaran itu hanyalah untuk mereka yang dalam keadaan terdesak seperti saudara baru yang semua ahli keluarganya masih kafir, mungkin dibolehkan untuknya ziarah atau memberi ucapan kepada mereka sebagai salah satu uslub dakwah juga. 
  1. Allah akan sempurnakan kepada puak kafir itu bahagian mereka, sama ada taqdir di dunia mereka dapat kesenangan & kekayaan!
    Jangan kita rasa pelik atau cemburu dengan keadaan kafir yang mungkin mendapat nikmat kehidupan atas dunia ini! 
  1. Ini kerana Allah telah nyatakan bagi mereka di Akhirat kelak bahagian azab yang telah ditentukan dengan tidak dikurangi
    Jika mereka kafir akan kekal selamanya di dalam neraka!
    Jika orang beriman akan dikeluarkan apabila cukup tempoh hukumannya!
  1. Ingatlah dunia ini syurga bagi orang kafir dan seolah penjara bagi orang mukmin. 
    Maka kita bersabarlah atas ketaatan dan keimanan ini! 
    Jangan kita turut bergembira dengan perayaan dan sambutan agama mereka!

AYAT 110- {(JANGANLAH ENGKAU MERASA BIMBANG WAHAI MUHAMMAD TENTANG KEINGKARAN KAUMMU) KERANA SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MEMBERIKAN KEPADA NABI MUSA KITAB TAURAT, LALU BERLAKU PERTENTANGAN MENGENAINYA. DAN KALAU TIDAKLAH KERANA TELAH TERDAHULU KALIMAH KETETAPAN DARI TUHANMU (UNTUK MENANGGUHKAN HUKUMAN HINGGA KE SUATU MASA YANG TERTENTU), TENTULAH DIJATUHKAN HUKUMAN AZAB DENGAN SERTA-MERTA KEPADA MEREKA. DAN SESUNGGUHNYA MEREKA MASIH MENARUH PERASAAN RAGU-RAGU TENTANG (KEBENARAN AL-QURAN) ITU.} (HUD 11:110)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan keras kepala & penentangan berterusan puak kafir Quraisy yang musyrik, terhadap Nabi SAW.

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan ingkar mereka sama sebagaimana pengikut Nabi Musa AS yang telah diberikan kitab Taurat kepada mereka tetapi tetap ingkar dan berbalah tentangnya!
    Watak sama cuma pelakonnya saja yang berbeza. 
    Nabi Musa berlawan Fir’aun, Nabi Muhammad SAW berlawan dengan Abu Jahal & kaumnya.
  1. Allah nyatakan kepada Nabi SAW agar jangan sedih & bimbang akan kaumnya yang ingkar & tidak terima dakwahnya! 
    Jangan kecewa dengan karenah yang dibuat oleh Abu Jahal, Abu Lahab dan semuanya!
  1. Ini kerana Allah telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, lalu berlaku pertentangan mengenainya.
    Kaumnya juga menentang & ingkar akan ajaran Nabi Musa AS. 
    Mereka terima Taurat tetap tidak menerima semua ajarannya, mereka pilih ambil apa yang nafsu mereka nak!
  1. [374] Yakni ada di antara kaum Nabi Musa yang beriman kepada Kitab Taurat itu dan ada pula yang mengingkarinya. 
    Demikianlah keadaan manusia dari zaman ke zaman, bukanlah terhad kepada sesuatu kaum sahaja.
    Inilah watak manusia; ada yang terima total ada yang terima separuh-separuh atau ada yang tolak terus.
  1. Kemudian Allah nyatakan jika Allah mahu tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka yang ingkar derhaka itu! 
  1. Tetapi kerana Allah sudah berjanji, telah ada sebelum ini kalimah ketetapan dari Tuhan untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu maka Allah tangguhkannya.
  1. Jika kita lihat kronologi sirah perjuangan & dakwah Rasulullah SAW kita dapat lihat selama 10 tahun di Makkah ada yang beriman awal & ada yang beriman pada akhirnya! 
    Juga betapa umat Islam ditindas dianiayai.
    Orang kafir terus menentang Islam, kemudian selepas hijrah ke Madinah, ada yang beriman ada yang mati dalam kekufuran. 
    Dua contoh utama: Abu Jahal & Abu Sufyan yang mengalami pengakhiran yang berbeza.
    Amalan manusia ini dikira apa yang terakhir dalam kehidupannya sama ada beriman atau kafir!
  1. Boleh baca Kitab sirah ini untuk mendapat lebih pengetahuan tentang Sirah Rasulullah SAW secara tersusun:
    Tahzib Sirah.
    https://dartaibah.com/…/Cetakan-Baru-2024-Edisi…
  1. Tetapi malangnya walaupun telah didakwah dan diberi penjelasan oleh Rasulullah SAW; mereka masih menaruh perasaan ragu-ragu tentang kebenaran Al-Quran itu.
    Puak kafir Quraisy tak terima al-Quran, kaum nabi Musa tak teriam Taurat.
  1. Kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah agar menetapkan hati atas landasan iman & sentiasa istiqomah.

AYAT 111- {DAN SESUNGGUHNYA TIAP-TIAP SEORANG AKAN DISEMPURNAKAN OLEH TUHANMU BALASAN AMAL MEREKA; SESUNGGUHNYA ALLAH AMAT MENDALAM PENGETAHUANNYA TENTANG APA YANG MEREKA KERJAKAN.} (HUD 11:111)

  1. Allah akan membalas setiap perbuatan dan amalan manusia dengan sempurna dan setepat-tepat balasan.
    Siapa yang beriman dan buat baik akan dapat balasan syurga & siapa kufur dan derhaka akan dibalas neraka!
  1. Allah SWT amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang manusia kerjaka; tiada suatu pun yang tersembunyi daripada ilmu-Nya.
    Maka kita berhati-hatilah tentang apa yang kita nak buat kerana kita tahu kita di bawah pengawasan Allah Azza wa Jalla. 
  1. Kita belajar nama-nama & sifat Allah mulia serta menghayatinya. 
    Apabila kita tahu & yakin bahawa Allah itu sifat-Nya maha mengetahui, maha melihat & mendengar dan lain-lain; maka kita takut, malu dan tidak akan buat perkara yang dilarang oleh Allah dan akan rajin untuk melakukan perintah-Nya!
  1. Hanya Allah yang dapat membantu kita untuk terus beribadat dengan penuh ikhlas dan ikut Nabi SAW. 
  1. Kerana itu kata ulama’ : Kamu kena sembah Allah mengikut apa yang Dia suka bukan ikut apa yang kamu suka!
    إنما تُعبدُ اللهَ بما يُحِبُّ، لا بما تُحِب
    “Beribadah kepada Allah berdasarkan apa yang Dia sukai, bukan berdasarkan apa yang engkau suka.”
  1. Sebagaimana firman Allah:
    {Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (A-li’Imran 3:31)
  1. Jika kamu sayangkan Allah maka ikutlah ajaran Nabi SAW.
    Bukan hanya dakwa cinta Nabi tetapi tidak ikut ajaran & amalannya! 
  1. Kita minta Allah selamatkan kita daripada segala perkara yang tidak baik! 
    Apa yang kita belajar ini ikhlas, apa ilmu yang kita terima ini bermanfaat untuk meningkatkan taqwa & mendekatkan kita Allah & menjauhi kita dari kemurkaan Allah. 
    Kita terima & kita akur barulah akan menjadi manusia mukmin yang sebenar!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 109- {Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) menaruh perasaan ragu-ragu tentang sia-sianya apa yang disembah oleh mereka yang musyrik itu.}-

    Wahai Muhammad SAW, kamu jangan ragu dan syak sedikitpun bahawa apa yang mereka sembah itu sesat & batil!
    Mereka sembah berhala sebagaimana yang disembah oleh nenek moyang mereka maka mereka sama-sama dalam kejahilan. 
    Bagi mereka agama itu ikut tok nenek saja, bukan ada ilmu ada dalil yang boleh disandarkan sebagai bukti!

    Ini mengajar kepada kita bahawa: Agama ini perlu kepada ilmu bukan sekadar ikutan sahaja!
    Jangan orang lain buat maka kita buat juga!
    Kita kena cari & tanya dari mana sumber ajaran atau sesuatu amalan itu, dari mana datang & di mana dalilnya!

    Jika dari al-Quran & dari hadis Nabi SAW, maka alhamdulillah kita terima & amalkannya! 
    Jika tidak, tidak syak lagi semua selain daripada itu adalah sesat & batil!
  1. Ayat 109- {… Dan sesungguhnya Kami akan menyempurnakan bagi mereka bahagian mereka (dari azab yang telah ditentukan) dengan tidak dikurangi.}-

    Allah tegaskan bahawa Dia akan sempurnakan apa yang dijanjikan-Nya, tidak kurang sedikitpun.
    Janji Allah itu ada dua iaitu:
    i- Janji di dunia, orang buat baik atas dunia lagi Allah balas, dengan beri kemudahan dan kesenangan hidup atas dunia ini.

    ii- Janji di Akhirat, ini balasan bagi orang beriman, syurga yang tidak dapat kita bayangkan nikmat & rahmatnya.
    Jika orang beriman dia akan dapat dua-dua janji kebaikan ini, dunia & Akhirat. 
    Orang tidak beriman mungkin hanya akan dapat di dunia saja, di Akhirat hanya akan dapat azab!

    Syurga dimasuki dengan rahmat Allah kerana kita taat kepada Allah & ikut ajaran Nabi SAW!
    Orang kafir pula segala perbuatan kufur & syirik mereka Allah akan balas dengan azab di Akhirat kelak
    Bukan hanya mereka bahkan sembahan mereka pun akan dihumban ke dalam neraka juga!
    Kerana itu orang jahat ini tidak susah diri saja, bahkan menyusahkan habis orang lain juga!
  1. Ayat 110- {(Janganlah engkau merasa bimbang wahai Muhammad tentang keingkaran kaummu) kerana sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, lalu berlaku pertentangan mengenainya.}-

    Apabila Allah berikan kepada mereka Kitab, Bani Israil mula berbalah, berikhtilaf, berbeza pandangan dan sebagainya.
    Adat & watak manusia ini sama saja, sejak dari zaman Nuh dulu sehingga ke zamana Nabi Muhammad SAW, sama saja! 

    i- Ada yang terima solid dengan sepenuhnya seperti Sayyidina Abu Bakar yang tidak pernah mempertikaikan apa yang Rasulullah SAW sampaikan! 
    Apa yang Rasulullah SAW sampaikan semuanya benar!
    Sahabat lain begitu juga cuma pada peringkat awal mungkin ada yang masih belum kurang faham.

    ii- Ada manusia yang terima separuh atau sebahagian saja, terima musabaqah, terima bab ibadat; tetapi bab hukum tolak belaka anak orang Islam atau tidak!

    iii- Ada yang kafir terus, langsung tak terima, tolak terus kesemuanya!
    Begitulah perangai kaum nabi-nabi terdahulu, maka kita tak mahu & jangan ikutlah perangai mereka ini!
    Kita kena terima al-Quran ini dengan sepernuhnya, dengan bacaan, tadabbur dan amalan. 

    Jika kita tak mampu amal sepenuhnya kerana kekangan kuasa & tak ada kemampuan, maka pihak pemerintah & penguasa yang akan bertanggungjawab! 
    Kita kena cuba amalkan setakat yang kita mampu dan berkuasa ke atas diri kita sendiri.

    Betapa tanggungjawab sebagai pemimpin dunia ini berat kerana kita akan disoal & dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.
    Alhamdulillah Allah selamatkan kita daripada jawatan-jawatan besar atas dunia ini yang akan menjadi beban dipersoalkan di hadapan Allah!
  1. Ayat 110- {Dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka.}-

    Jika tidak kerana ketetapan Allah SWT, pasti semua yang kafir itu akan binasa awal lagi!
    Tetapi inilah rahmat Allah SWT ke atas hamba-Nya, diberi masa tempoh!
    Hikmah Allah melewatkan hukuman ke atas mana-mana kaum:

    i- Untuk beri peluang mendapat hidayah menerima Islam dan selamatlah di Akhirat kelak.

    ii- Sebagai istidraj, agar dia makin jahat, bertambah lagha dan lalai dalam kejahatannya maka makin besar dosa dan teruk azabnya di Akhirat.
    Jangan sesekali kita terpedaya, ingat Allah tak ambil tindakan itu kerana Allah sayang & redha kepada kita!
  1. Ayat 111- {… sesungguhnya Allah Amat Mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.}-

    Allah tahu semua perbuatan kita!
    Kita orang beriman yakin & percaya semuanya di dalam ilmu Allah SWT, kita berada di bawah pengawasan (muraqabah) Allah SWT sentiasa!
    Inilah hand-brake yang paling power.

    Alangkah malunya kepada Allah jika kita sihat tetapi mulut tidak bergerak untuk berzikir & beristighfar kepada Allah!
    Tanda iman kita kuat ialah kita sentiasa rasa malu & takut kepada Allah, signal iman itu ada, jika tidak tandanya bateri iman kita lemah!
    Kita minta Allah selamatkan kita daripada lalai & lagha, kita duduk dibawah penguasaan Allah, mantapkan hati kita. 

    Ibadat kita ialah untuk ingat kepada Allah, belajar nama Allah untuk kita takut & sayang kepada Allah bukan sebagai polemik untuk berbalah sesama kita! 
    Jika sifat Allah sudah terpahat dalam hati kita; kita tak akan buat maksiat ingkar kepada Allah, kita tidak akan mengata dan hina perli orang sebagaimana yang berlaku sekarang!

    Tambahan:
    Peringatan sempena hari 25hb Disember kita baca dan hayati firman Allah ini:
    {Dan mereka yang kafir berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.”
    Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!
    Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap,

    Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.
    Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Ia mempunyai anak.} 
    (Maryam 19: 88-92) 

    Firman Allah lagi:
    {Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.
    Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu.
    Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.} (Maryam 19: 93-95) 

    Kenapa kita nak bergembira turut happy dengan perbuatan mereka ini sedangkan bumi dan gunung-ganang hampir pecah kerana nak marah & benci dengan dakwaan mereka ini!
    Allah sendiri telah menafikan dan mengecam dakwaan mereka itu! 

    Kita orang beriman jangan sesekali bersekongkol dengan mereka itu sedangkan Allah, langit & bumi semuanya murka!!!!

Alhamdulillah tamatlah tafsir kita secara ringkas, semoga bertambah kefahaman dan keimanan.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top