View Categories

(6) Surah Yunus: Ayat 11-12

11 min read

KALAU DISEGERAKAN AZAB BINASALAH KAFIR, BILA SUSAH CARI TUHAN & WAKTU SENANG LUPA SEMUA.

Full video : https://youtu.be/eMG5JUZoDLQ?si=uSysCtjw9lHsbPlY

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 11 dan ayat 12 dalam juz kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah s.w.t bagi amaran keras kepada puak kafir yang keras kepala tak dengar kata, yang mencabar agar didatangkan azab kepada mereka! 
    Maka Allah beritahu bahawa kalau disegerakan azab binasalah kafir!!
  1. Perangai kafir ini ialah apabila susah cari Tuhan, waktu senang lupakan Tuhan & kembali kepada berhala mereka!
    YANG parah lagi pengikut ajaran sesat; ketika senang cari Husain ketika susah pun panggil Husain.
  1. Kita orang beriman ketika susah ingat Tuhan dan sabar manakala pada waktu senang kita ingat Tuhan juga dengan bersyukur! 
    Ya Allah jadikan kami dari kalangan orang yang sentiasa sabar & syukur ini.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t sifatkan puak kafir ini tidak beriman kepada bangkit semula, mereka senang dengan kehidupan dunia & lansung tidak pedulikan ayat-ayat Allah sama ada yang dapat dilihat atau yang dibaca.

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan mereka dibiarkan hidup senang itu bukan kerana Allah redha dan tak peduli kepada mereka, tetapi sama ada kerana Allah nak suruh mereka makin jahat & bertambah dosa mereka ATAU yang ada sinar dihujung hidup mereka, mereka akan bertaubat & masuk Islam seperti Abu Sufyan RA.
  1. Munasabah kedua:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah ceritakan tentang puak kafir yang merasa takjub kenapa Allah s.w.t pilih Nabi Muhammad SAW sebagai rasul, yang mereka anggap tidak layak & tidak sesuai kerana miskin dan anak yatim, mereka tidak puas hati & mempertikaikannya. 
    Mereka tidak yakin dengan kebenaran Nabi SAW lalu mencabar untuk ditimpakan azab ke atas mereka.

    ii- Maka datang ayat ini Allah beri amaran; wahai kafir jangan kamu keras kepala berani mencabar meminta azab, jika datang azab Allah pastilah akan mati binasa kamu semuanya!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 11- {DAN KALAU ALLAH MENYEGERAKAN BAGI MANUSIA AZAB SENGSARA YANG MEREKA MINTA DISEGERAKAN, SEBAGAIMANA MEREKA MINTA DISEGERAKAN NIKMAT KESENANGAN, NESCAYA BINASALAH MEREKA DAN SELESAILAH AJAL MEREKA. OLEH ITU, (KAMI TIDAK MENYEGERAKAN AZAB YANG DIMINTANYA), KAMI BIARKAN ORANG-ORANG YANG TIDAK MENARUH INGATAN MENEMUI KAMI ITU MERABA-RABA DALAM KESESATANNYA.} (YUNUS 10:11)

  1. Jika Allah luluskan permintaan kafir yang cabar Nabi SAW minta turunkan segera azab ke atas mereka; sebagaimana mereka cabar Nabi SAW minta keajaiban sebagai tanda untuk mereka beriman.
  1. Allah jawab jika Allah segerakan azab sebagaimana yang mereka minta itu pastilah akan mati binasa semua puak kafir itu.
  1. Nota 311: Ayat ini menyatakan salah satu daripada tabiat semulajadi manusia yang mesti diperbetulkan iaitu tabiat bergopoh-gapah (belorat) semuanya suka nak cepat dapat hasil segalanya sehingga lupa memikirkan akibat barang yang hendak disegerakan itu! 
    Manusia juga ketika marah atau putus-asanya berdoa minta dibinaskaan dirinya, atau anak buahnya atau hartanya. 
    Padahal ketika sihat akal fikirannya pastilah dia menyedari bahawa dia tidak layak, tidak seputnya untuk berbuat demikian.
  1. Hadis melarang minta doa yang buruk:
    i- Nabi ﷺ bersabda: لا تَدْعُوا عَلَى أنْفُسِكُمْ وَلَا تَدْعُوْا عَلَى أَوْلَادِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا عَلَى أمْوَالِكُمْ، لَا تُوافِقُوا مِنَ اللَّهِ تَعالى ساعَةً يُسأَلُ فِيْهَا عطاءٌ فَيَسْتَجِيبَ لكم
    Bermaksud : “Jangan kamu semua meminta keburukan untuk diri sendiri, anak-anak dan harta kamu, tidak bertepatan satu masa yang dimustajabkan oleh Allah, melainkan akan diperkenankan untuk kamu (apa yang kamu minta tersebut).” (Sahih Muslim, Kitab az-Zuhd No. 3006)

    ii- Hadis riwayat dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Janganlah kamu berdoa agar kamu celaka, dan janganlah kamu berdoa agar mati, dan janganlah kamu berdoa untuk mendatangkan mudarat atas dirimu sendiri, ketika kamu tidak mampu melakukannya”. [HR Muslim].
  1. Kata ulama’ tafsir: Kamu jangan gopoh mendoakan keburukan ke atas anak, keluarga dan harta kamu, nak marah setara mana doakan yang baik-baik!
  1. Kata Ibnu Juzai: Ayat ini Allah s.w.t tegur kaum yang suka mendoakan buruk ke atas diri sendiri, keluarga atau harta mereka.
  1. Maka Allah tak layan permohonan mereka ini Allah biarkan mereka hidup untuk terus berdosa atau untuk beri peluang mereka bertaubat. 
    Yakni Allah tidak segera turunkan azab ke atas mereka tetapi membiarkan mereka terus tenggelam dalam kesesatan dan bertambah keburukan & dosa mereka.
    Sama seperti orang yang soleh; lagi panjang dia dalam ibadat makin banyak pahalanya!
  1. Lalu Allah biarkan puak kafir yang tidak percaya kepada hari Akhirat, yang tidak takut kepada azab Allah & tidak mengharapkan pahala; Allah tinggalkan mereka lalu sesatlah mereka buat sementara meraba-raba dalam kesesatannya sehingga tiba ajal mereka!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Sesungguhnya orang-orang yang tidak percaya kepada hari akhirat, Kami jadikan perbuatan-perbuatan buruk mereka kelihatan baik kepada mereka; oleh itu, tinggalah mereka meraba-raba dalam kesesatan.} (An-Naml 27:4)
  1. Yakni puak musyrikin yang kufur & syirik merasakan perbuatan yang mereka lakukan itu baik dan betul. 
    Ini kerana syaitan menghiasi sikap itu kepada mereka menjadi indah sesuatu yang sebenarnya buruk.  
  1. Biasanya apabila puak kafir ini menentang, bertembung dan berlawan dengan Nabi SAW, maka Allah akan turunkan kebinasaan ke atas mereka dengan lebih cepat. 
    Sebagaimana yang berlaku ke atas Abu Jahal dalam Perang Badar.
  1. Maka nasihat kita kepada anak-anak orang Islam yang sekular sekarang berani mempermainkan agama; jangan sombong & berasa kuat dengan hukum Allah, apabila datang azab Allah tidak ada tempat untuk lari lagi! 
    Apabila Allah s.w.t ambil tindakan tak habis nak makan!

AYAT 12- {DAN APABILA SESEORANG MANUSIA DITIMPA KESUSAHAN, MERAYULAH IA DITIMPA KAMI (DALAM SEGALA KEADAAN), SAMA ADA IA SEDANG BERBARING ATAU DUDUK ATAUPUN BERDIRI; DAN MANAKALA KAMI HAPUSKAN KESUSAHAN ITU DARIPADANYA, IA TERUS MEMBAWA CARA LAMANYA SEOLAH-OLAH DIA TIDAK PERNAH MERAYU KEPADA KAMI MEMOHON HAPUSKAN SEBARANG KESUSAHAN YANG MENIMPANYA (SEBAGAIMANA IA MEMANDANG ELOKNYA BAWAAN ITU) DEMIKIANLAH DIPERELOKKAN PADA PANDANGAN ORANG-ORANG YANG MELAMPAU APA YANG MEREKA LAKUKAN.} (YUNUS 10:12)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan puak kafir ini gopoh & belorat dengan minta didatangkan azab ke atas mereka jika benar apa yang dibawa oleh Baginda SAW.
    Sebagaimana juga mereka minta bukti kesenangan. 
    Mereka ini amat gopoh dan tidak sabar untuk melihat kebenaran.

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan jika Aku beri kamu susah & azab, kamu akan merengek-rengek pula ingat kepada Tuhan, berdoa kepada Tuhan minta dilepaskan azab ini dan berjanji akan beriman & taat jika lepas.
    Allah kata jika aku lepaskan kamu dari azab ini; kamu akan kembali seperti asal juga.
    Ini kerana manusia ini mudah lupa, hari ini bersumpah esok sudah nak tukar janjinya! 
    Kita hidup ini kena ada prinsip! 
  1. Tabiat manusia apabila Allah timpakan kesusahan & ujian musibah dan sebagainya; akan gelisah dan cemaslah dia. 
    Maka dia akan banyak berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Allah dalam setiap keadaannya sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; agar Allah S.W.T menyingkirkan bahaya itu.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.} (Luqman 31:32) 
  1. Tetapi apabila Allah S.W.T menghapuskan bahaya yang menimpanya itu darinya dan menolongnya, maka dengan serta merta ia berpaling semula, kembali melalui jalannya yang sesat dan ikut cara asalnya. 
  1. Yakni apabila Allah lepaskan mereka dari kesusahan mereka itu, mereka sambung balik kekufuran & syirik bagi yang kafir. 
    Yang Islam pula sambung balik buat dosa & maksiat mereka. 
    Mereka lupa atau buat-buat lupa pula akan kekuasaan Tuhan! Seakan-akan tidak pernah terjadi sesuatu pun sebelumnya. 
    Seolah-olah dia tidak pernah berdoa meminta pertolongan kepada Allah S.W.T untuk menghilangkan bahaya yang telah menimpanya.
  1. Nota: [312] Satu lagi tabiat yang wajib diperbaiki ialah tabiat ingatkan kekuasaan Tuhan, rajin beribadat, dan merayu bersungguh-sungguh kepadaNya pada waktu kesusahan dan kesempitan sahaja; kemudian apabila rayuannya diterima dan perkara yang menimpanya dihapuskan, ia berpaling tadah memuja hawa nafsu dan Syaitannya.
  1. Kata Ibnu Atiyah: Makna kesusahan {ٱلضُّرُّ} ialah satu lafaz yang menunjukkan kemudharatan, seperti bahaya kegundahan, kebimbangan, penyakit, malapetaka, musibah, kesusahan, kemiskinan dan sebagainya yang menimpa diri, keluarga atau harta seseorang.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t ini:
    {Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya.} (Al-‘Ankabut 29:65)
    Allahu al-Musta’an, Allah yang dapat membantu kita dari suasana yang gawat, suasana yang tidak baik ini mudah-mudahan kita selamat di dunia & aman di Akhirat.
  1. Di akhir ayat Allah nyatakan bahawa manusia ini suka berdoa apabila ditimpa bala & lupa kembali kepada Tuhan apabila senang, berterusan dalam kufur yang kafir, berterusan dalam maksiat yang kaki maksiat!
    Begitulah permainan sifat manusia, lupa diri, lupa daratan, lupa segalanya apabila hilang dia punya bala! 
  1. Orang beriman tidak begitu! 
    Ditimpa bala ujian kita sabar, apabila diberi kesenangan kita syukur. 
    Keduanya kita ingat kepada Tuhan & akan memberi kebaikan & pahala.
  1. Kata Ibnu Atiyah RHM: Perkataan dihiaskan {زُيِّنَ} yang digunakan dalam al-Quran membawa dua makna:
    i- Dari apa yang Allah buat. Yakni begitulah perangai manusia apabila susah cari Tuhan apabila senang lupa Tuhan, maka Allah biarkan mereka terumbang-ambing begitu saja.

    ii- Perhiasan daripada syaitan, yang menghiaskan perbuatan buruk manusia menjadi seolah sesuatu yang baik & tidak perlu diubah lagi! 
  1. Syaitan ini susah tau, terutama syaitan manusia.
    Apabila kita nak ajar masyarakat dengan ibadat yang baik, amalan Sunnah yang sahih dari Nabi SAW, kita pula akan kena tindakan & dikecam kerana tak ikut yang orang ramai buat!
    Itulah peraturan apabila kita ikut disiplin ilmu kita akan dimarah tetapi ikut yang orang suka, itu yang betul! 
  1. Maka jika perjalanan agama ini kita ikut yang orang suka sahaja maka banyaklah amalan yang pelik-pelik akan masuk! 
    Berhati-hatilah kerana syaitan ini ia akan hiaskan bagi manusia untuk buat amalan yang menyalahi Sunnah terasa hebat. 
    Yang ikut Sunnah itu yang tak kena!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 11- {Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka.}-

    Ayat ini secara umum menyatakan cara Allah melayani hamba-Nya dengan penuh kasihan belas.
    Begitulah kita lihat kadang-kadang orang kafir ini panjang umur mereka & sihat pula tu.

    Hikmah panjang umur orang kafir ini dua:
    i- Oleh kerana mereka tidak beriman maka dunia ini syurga bagi mereka, maka jika dikeluarkan dari syurga awal nyayalah juga kerana selepas itu nerakalah tempat mereka. 

    ii- Mungkin jika berkesempatan masuk Islam di akhir usianya insya’ Allah.
    Allah beri banyak peluang kepada manusia supaya mereka berfikir, mengambil peluang untuk mengenali Allah agar mereka mati dalam keadaan beriman walaupun di akhir hayat.
    Alhamdulillah itulah manusia yang bahagia, ada peluang untuk ke syurga.
    Maka peluang yang Allah berikan ini jangan disia-siakan.
  1. Ayat 12- {Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), ..}-

    Manusia ini apabila Allah ujinya dengan kesusahan, dia akan cari Tuhan & apabila senang, kembali semula kepada syaitan.
    Ayat ini menunjukkan manusia ini biasanya tidak sabar apabila ditimpa bala & kurang bersyukur apabila dia diberi nikmat dan kesenangan! 
    Kerana itu apabila kena uji baru ingat kepada Tuhan.
    Bukan hanya orang kafir yang cari Tuhan ketika susah; orang Islam pun ada juga yang bersikap begini. 
    Tidak pernah jejak kaki di masjid tetapi apabila ada kesusahan cari imam & masjid kerana nak minta tolong solat hajat!
    Ini adalah satu sifat & jalan yang dikeji pada Syara’ kerana kita orang Islam kena ingat kepada Allah pada setiap waktu, senang atau susah.
  1. Ayat 12- {Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan),…}-

    Allah kata apabila manusia ditimpa kesusahan, kemudharatan atau apa saja bala bencana- {ٱلضُّرُّ}.
    Kata Syeikh Atiyah: Perkataan ini menunjukkan kepada semua perkara yang buruk & susah.
    Lafaznya sama dengan {الشر}.

    Mudharat ini adalah bala bencana kepada manusia dalam bentuk apa saja sama ada:
    i- Atas tubuh badannya, sakit, kemalangan dan seumpamanya.

    ii- Atas anak atau keluarganya seperti mati, hilang, kena culik, sakit juga dan seumpamanya.

    iii- Ke atas hartanya, kena curi, rompak, kerugian, bankrap dan seumpamanya juga.
    Perangai orang kafir ini apabila kena sesuah barulah terhegeh-hegeh mencari Tuhan; inilah perangai manusia yang tidak baik!
  1. Ayat 12- {Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri;…}-

    Orang kafir ini walaupun dia kafir; tetapi apabila dalam keadaan susah & ditimpa ujiaan, mereka berdoa meminta kepada Tuhan dalam semua keadaan dan posisi tanpa jemu.
    Jika sakit, apabila tak larat sambil duduk atau berbaring tak kira dalam apa keadaan berdoa kepada Tuhan agar hilangkan sakit & kesusahan itu!
    seperti dalam bahtera yang dilambung ombak tadi berdoa dengan ikhlas kepada Allah, apabila selamat & kembali ke darat, kembali lupa kepada Allah! 
    Ayat ini sekaligus menunjukkan berdoa itu boleh dalam semua keadaan, sambil berdiri atau duduk, cuma ada tempat yang dilarang untuk berdoa seperti dalam tandas dan lain-lain. 
    Berdoa ini boleh dilakukan dalam keadaan sambil kita tidur, tersedar pada waktu tengah malam di pembaringan, boleh saja tak perlu pergi cari kubur dan tempat keramat!
    Mudah saja untuk kita berdoa nak berinteraksi dengan Allah, tetapi manusia ini tetap mahu yang pelik & karut!
  1. Ayat 12- {… demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.}-

    Allah kata demikianlah Kami hiaskan kepada manusia perangai melampaui batas.
    Sama ada melampaui batas dalam kekufuran atau dalam dosa maksiat kepada Allah, apa yang dia buat itu dia rasa sudah elok dan baik!

    Ulama’ tafsir sheikh asy-Syaukani berkata: Menghiaskan atau diperelokkan {زُيِّنَ} ini ada dua dimensi:
    i- Sama ada Allah biarkan mereka dalam maksiat & dosa sehingga mereka berasakan mereka betul- sangka Allah sayang kerana Allah berikan kesenangan kepada mereka.

    ii- Ataupun diperelokkan dari bisikan waswas syaitan, yang menjadikan perbuatan mereka itu seolah benar & elok! 
    Atas dunia ini, malangnya jika orang yang diharapkan itu sendiri yang khianat dan pecah amanan.
    Sesama manusia jaga harta & kuasa begitulah, orang yang diharapkan jaga rasuah tetapi mereka pula yang rasuah!  
    Tetapi jika orang yang beriman menjaga amanah insya’ Allah akan selamat dan terjaga.
    Begitulah orang kafir itu dibiarkan dalam maksiat & dalam mungkar dan mereka berasa ianya adalah sesuatu yang baik kerana telah diperhiaskan oleh syaitan perbuatan mereka itu.

    Muhasabah: Kita orang yang belajar agama, para ustaz & pendakwah, janganlah sampai kita dikaburi oleh perhiasan dari syaitan. 
    Peliknya jika ada orang nak beramal ikut Syari’ah & Sunnah Nabi SAW, dianggap salah & tidak betul, kena repot dan dipanggil untuk menghadapi soal-siasat & tindakan. 
    Allahu al-Musta’an.

    Sebagaimana kata Imam Bukhari yang dia sendiri pernah dihina padahal beliau adalah pejuang Sunnah yang besar: 
    Bersabarlah wahai para pejuang Sunnah, kerana bilangan kamu sedikit kamu akan ditentang orang yang ramai!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top