View Categories

(14) Surah Yunus: Ayat 31-33

9 min read

KAFIR AKUI RUBUBIYYAH ALLAH SWT, TERIMALAH TAUHID ULUHIYYAH & SEMBAHAN SELAIN ALLAH SEMUANYA SESAT.

Full video : https://youtu.be/gVhPFLgsY8E?si=HLIg8StverBGWFyv

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 31, 32 dan ayat 33 dalam juz kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa orang kafir akui rububiyyah Allah SWT, iaitu apabila ditanya kepada mereka siapa yang mencipta kamu & mentadbir alam ini, siapa yang memberi kamu penglihatan & pendengaran dan beberapa soalan lagi. 
    Mereka menjawab bahawa Allah bagi semua soalan itu.
  1. Lalu Allah lipat balik, jika kamu tahu Allah yang buat semua itu, kamu terima Allah sebagai Tuan (rububiyyah); tetapi kenapa kamu tak terima Allah sebagai Tuhan, iaitu tauhid uluhiyyah.
  1. Hanya Allah SWT yang benar, siapa yang tak ikut yang benar & ambil sembahan selain dari Allah semuanya adalah sesat. 
    Kita orang Islam minta kepada Allah semoga dikurniakan jalan yang lurus, jalan yang benar. Kita mengakui Allah sebagai Rabb, Pencipta & Pentadbir alam ini serta Allah sebagai Ilah, Tuhan yang wajib disembah! 
  1. Wajib beriman dengan keduanya, jika tolak sebelah atau salah satu maka dikira tidak beriman terus, begitulah matematik iman, 6-1 = 0. 
    Tolak aje salah satu dari rukun iman terus kosong!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang jenayah kaum kafir musyrikin terhadap mereka sendiri kerana mereka sesat serta balasan buruk yang akan mereka terima di Akhirat kelak;

    ii- Maka datang ayat ini & berikutnya Allah menegakkan hujjah-hujjah ke atas golongan musyrikin itu yang membuktikan keEsaan & kekuasaan-Nya. 
  1. Yakni Allah dedahkan tembelang puak kafir penyembah berhala, rosaknya pegangan & mazhab mereka, kita asak puak kafir itu siapa-siapa; dan mereka jawab Allah. 
    Maka kenapa kamu terima Allah sebagai Pencipta kenapa kamu tak mahu terima Allah sebagai Tuhan juga? 
    Ini satu kepincangan yang besar!!! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 31- {BERTANYALAH KEPADA MEREKA (YANG MUSYRIK ITU): “SIAPAKAH YANG MEMBERI REZEKI KEPADA KAMU DARI LANGIT DAN BUMI? ATAU SIAPAKAH YANG MENGUASAI PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN? DAN SIAPAKAH YANG MENGELUARKAN MAKHLUK YANG HIDUP DARI BENDA YANG MATI, DAN MENGELUARKAN BENDA YANG MATI DARI MAKHLUK YANG HIDUP? DAN SIAPAKAH PULA YANG MENTADBIRKAN URUSAN SEKAMU ALAM? “(DENGAN PERTANYAAN-PERTANYAAN ITU) MAKA MEREKA (YANG MUSYRIK) TETAP AKAN MENJAWAB (MENGAKUI) DENGAN BERKATA: “ALLAH JUALAH YANG MENGUASAI SEGALA-GALANYA! “OLEH ITU, KATAKANLAH: “(JIKA KAMU MENGAKUI YANG DEMIKIAN), MAKA MENGAPA KAMU TIDAK MAHU BERTAQWA?} (YUNUS 10:31)

  1. Allah ajar Nabi SAW berdialog, dengan menyuruhnya katakan {قُلْ} (bertanya) kepada golongan kafir itu:
    i- Soalan pertama: Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?
    Rezeki sama ada dari langit atau dari bumi, perut bumi yang kaya dengan hasil galian & logamnya.
    Yang menjadikan manusia berebut mencarinya, sehingga ada yang lupa daratan, lupa Tuhan!

    ii- Siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan?
    Yakni siapa beri kamu mata & telinga yang normal lalu kamu boleh dengar & lihat??

    iii- Siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, iaitu manusia dulu tidak ada, tidak wujud, selepas berlaku proses persenyawaan, wujud & hiduplah manusia.
    Begitu juga haiwan yang lahir dari ibunya atau telurnya, pokok-pokok tumbuhan yang berasal dari biji benih yang mati, serta berapa ramai orang Islam yang lahir dari ibu bapa yang kafir.
    Ini jelas dari sudut fizikal & maknawinya, dari mati kepada hidup.

    iv- Dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup,
    Dengan kuasanya Allah mengeluarkan air mani (yang mati) daripada manusia yang hidup, biji (yang mati) daripada pokok yang hidup, tetapi daripada semua itu akan keluar pula benda hidup.
    Begitulah kuasa Allah.

    v- Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekamu alam?
    Iaitu yang menyusun atur perjalanan manusia & dunia ini, tadbir di langit & bumi, siang malam, hujan kemarau, perjalanan bulan bintang & matahari semuanya.
  1. Ajaibnya bagi semua pertanyaan-pertanyaan itu kaum musyrik tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: Allah jualah yang menguasai segala-galanya!
    Tuhan Pencipta alam ini & Pentadbirnya, semuanya di bawah kuasa Allah! 
  1. Ini adalah tauhid Rububiyyah iaitu di mana orang kafir mengakui Ketuanan Allah SWT, Allah Tuannya, Allah yang mencipta segalanya.
    Mereka tak kata berhala mereka yang buat & cipta semua itu, kerana mereka yang buat & ukir berhala!!!
  1. Apabila mereka mengakui ini; Lalu Allah SWT ajar lagi kepada Nabi SAW untuk menjawab, balas & lipat balik akuan mereka itu:
    “Oleh itu; Jika kamu mengakui yang demikian, maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa & beriman dan takut kepada Allah???
    Allah yang menguasai semua itu maka Dia saja yang berhak disembah dipuja & dipuji! 
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Tanyakanlah lagi: “Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?”
    Mereka akan menjawab: “(Semuanya) kepunyaan Allah”. Katakanlah: “Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?”} (Al-Mu’minun 23: 86-87)
    Mereka mengakui Allah tetapi mereka tolaknya juga! 

AYAT 32- {MAKA YANG DEMIKIAN (SIFATNYA DAN KEKUASAANNYA) IALAH ALLAH, TUHAN KAMU YANG SEBENAR-BENARNYA; SESUDAH NYATANYA SESUATU YANG BETUL DAN BENAR, MAKA TIDAKKAH YANG LAIN DARIPADA ITU SALAH DAN KARUT SAHAJA? OLEH ITU, BAGAIMANA KAMU DAPAT DIPESONGKAN DARI KEBENARAN?} (YUNUS 10:32)

  1. Munasabah ayat:
    i- Apabila ditanya dan mereka mengaku Allah sebagai Rabb, Tuhan yang mencipta & mentadbir.

    ii- Maka datang ayat ini, jika kamu akui tentang Rububiyyah Allah, maka kamu kena akui juga Ketuhanan (Uluhiyyah) sebagai Tuhan yang wajib disembah!
  1. Yakni hanya Allah Tuhan yang berhak dipuja-dipuji, jika menyembah selain daripada Allah yang berhak disembah maka dia dikira sesat!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Bersifatnya Allah dengan kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah, Dia lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang mereka sembah selain dari Allah itulah yang nyata palsunya. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar (kekuasaanNya)} (Al-Hajj 22:62)
  1. Siapa yang tak ikut yang benar dia sesat, tak ikut yang betul dia salah, tidak ada pertemuan antara yang haq & batil.
  1. Bagaimana kamu dapat dipesongkan dari kebenaran, setelah nyata yang benar, setelah kamu akui & akur bahawa Allah yang mencipta alam ini, Tuan Pemilik kepada segalanya, maka adalah satu kepincangan apabila kamu lari kepada yang lain & tidak menyembah Allah!

AYAT 33- {(SEBAGAIMANA BENARNYA KETUHANAN ITU BAGI ALLAH SAHAJA) DEMIKIANLAH BENARNYA KALIMAH KETETAPAN HUKUM TUHANMU, TERHADAP ORANG-ORANG YANG FASIK KERANA BAHAWASANYA MEREKA TIDAK BERIMAN.} (YUNUS 10:33)

  1. Dalam ayat ini Allah nyatakan sebagaimana Allah palingkan hati kaum musyrikin daripada menerima kebenaran yang menyebabkan mereka terus atas kesyirikan.
  1. Demikian Allah taqdirkan dengan hikmah & kebijaksanaan-Nya orang yang keluar daripada jalan yang benar tidak mahu ikut hak, maka dia akan terbabas terpesong daripada jalan yang benar ke jalan yang sesat, maka selayaknya dia dihukum & timpakan azab oleh Allah SWT.
    Ini yang kita takut & bimbang; Tahu yang benar tetapi tidak mahu ikut kerana sudah ditaqdirkan Allah dari azali lagi tergolong dalam kumpulan kafir & fasiq yang jahat! 
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini: 
    {Sesungguhnya orang-orang yang telah ditetapkan atas mereka hukuman Tuhanmu (dengan azab), mereka tidak akan beriman:
    Walaupun datang kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran Rasul-rasulNya), sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.} (Yunus 10:97)

    Di Akhirat adalah waktu menerima balasan, bukan lagi waktu mengikut arahan. 
    Penyesalan pada waktu itu tidak ada guna lagi.
  1. Kita kena banyak berdoa kepada Allah agar diberi petunjuk hidayah untuk ikut jalan yang benar, ikut kitab al-Quran & Sunnah Nabi SAW. Kerana jika keluar dari dua lorong ini kita akan tersasar & sesat, keluar dari Siratul-Mustaqim! 

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 31- {Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu):…}-

    Dalam ayat ini Allah perintahkan Nabi SAW bertanya kepada puak kafir 5 soalan.
    Daripada 5 soalan ini kita dapati bahawa puak kafir itu mengakui bahawa ada Tuhan sebagai Pencipta & Pentadbir. 
    Inilah pembahagian tauhid Rububiyyah & Uluhiyyah yang kita boleh dapati melalui kajian terperinci (istiqra’) daripada al-Quran & Sunnah Nabi SAW bahawa kita boleh mengenali Allah melalui tiga: Tauhid Uluhiyyah, Rububiyyah & Asma’ was Sifat, bukan Tuhan tiga tetapi cara pendekatan & metod. 

    Kata Syeikh ar-Razi: Ayat ini menunjukkan bahawa apabila ditanya 5 soalan ini mereka jewab “Allah”. 
    Ini menunjukkan mereka tahu ada Allah Pencipta alam ini & mereka menerimanya.
    Mereka menyatakan bahawa tujuan mereka menyembah berhala bukan sebagai Tuhan, tetapi hanya sebagai perantara mereka dengan Tuhan serta untuk memberi mereka syafaat/sokongan di sisi Allah. 

    Kata ulama’: Sesiapa yang hanya terima tauhid Rububiyyah saja tetapi tidak Uluhiyyah maka imannya tidak sah! 
    Sebagaimana puak kafir yang memisahkan antara dua tauhid ini, di mana mereka akui ktuanan Allah tetapi tidak terima ketuhanan-Nya!
    Maka kita orang beriman jangan dok ikut perangai kafir ini jika tidak kita akan sesat seperti mereka juga!
  1. Ayat 31- {Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?}-

    Allah sebut rezeki itu dari dua sumber iaitu dari langit & bumi!
    Kata ulama’ tadabbur: Allah tidak mengatakan rezeki itu dari satu tempat saja bahkan dari dua dimensi iaitu:
    i- Dari langit yang menurunkan hujan sebagai pembawa rezeki, segala benda yang hidup itu datang dari air semuanya!

    ii- Bumi menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang pelbagai serta hasil buminya.

    Ini kerana Allah nak nyatakan bahawa nikmatnya besar & luasnya rahmat Allah Azza wa Jalla. Kerana itu kita orang beriman hendaklah sentiasa bersyukur kepada Allah SWT.
    Apabila turun hujan kita bacalah doa ini agar hujan itu membawa rahmat bukan kemusnahan:
    “اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا” “Ya Allah, turunkanlah pada kami hujan yang bermanfaat”. [HR Bukhari].
    Kita jadilah manusia yang bersyukur.
  1. Ayat 31- {Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah Yang…..} Sehingga akhir ayat-

    Dalam ayat ini Allah bawa uslub hiwar, dialog iaitu perbualan tanya & jawab.
    Dalam kesemua 5 soalan yang ditanya itu kafir menjawabnya: Allah, sebagai Tuhan yang mencipta yang mentadbir memberi rezeki semuanya! 
    Lalu datang ayat penutup, jika kamu kata Allah yang berkuasa atas semua itu kenapa kamu tidak beriman????
    Maka apabila orang dengar atau baca dialog ini menjadikan ia satu hujjah yang amat mantap dan dapat memberi impak yang berkesan. 
    Kamu mengakui Allah sebagai Tuhan yang mencipta & mentadbir semua ini tetapi apabila mahu menyembah & meminta dan memohon kamu cari Tuhan lain!

    Kata ulama’ dalam ayat ini ada munasabahnya juga:
    i- Nabi SAW bertanya 5 soalan kepada puak kafir musyrikin.

    ii- Selepas 5 soalan tadi kafir itu sendiri menjawab: Allah!

    Ia berbeza sikit dengan satu lagi ayat iaitu firman Allah ini:
    {Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): “Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?”
    Terangkanlah jawabnya: “Ialah Allah”.} (Saba’ 34:24)
    Yakni dalam ayat ini Allah suruh Nabi SAW yang jawab memberitahu kepada kafir itu bahawa Allah yang memberi rezeki itu!
    Kenapa berbeza???

    Jawapannya:
    i- Ini kerana dalam Surah Yunus ini dibawa dalam uslub hiwar, di mana apabila di soal, pastilah puak kafir itu sendiri jawab.{فَسَيَقُولُونَ ٱللَّهُ}

    ii- Manakala dalam Surah Saba’ tidak ada ayat dialog, kerana itu Allah suruh Nabi SAW sendiri yang jawab! {قُلِ ٱللَّهُ} 
    Begitulah uslub al-Quran yang cukup menarik, setiap kalimah & ayatnya pasti ada sebab dan hikmahnya yang jelas.
  1. Ayat 32- {… sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka tidakkah yang lain daripada itu salah dan karut sahaja?}-

    Allah nyatakan bahawa hanya Dia yang benar & sesiapa ikut selain dari Allah maka dia sesat!! 
    Ulama’ tadabbur seperti Ibnu Asyur kata: Allah nyatakan di sini mereka sebagai orang yang sesat {ٱلضَّلَـٰلُ}- bukan batil biasa, ini kerana sesat itu lebih luas kebatilannya & lebih dahsyat!
    Maka sesiapa yang mengambil yang lain daripada Allah sama ada sebagai sembahan, berhala atau perantara, orang tengah, syafaat atau apa saja; maka semua itu syirik 
    Kaedah tauhid & aqidah: Benar & batil tidak akan bertemu sampai bila-bila, hidayah & sesat tidak akan ada titik pertembungan, maka kita kena pilih satu saja nak ikut Allah atau selain dari-Nya!!!
  1. Ayat 33- {(Sebagaimana benarnya ketuhanan itu bagi Allah sahaja) demikianlah benarnya kalimah ketetapan hukum Tuhanmu, terhadap orang-orang yang fasik kerana bahawasanya mereka tidak beriman.}-

    Demikianlah Allah telah tetapkan kalimah-Nya {كَلِمَتُ رَبِّكَ}.
    Kalimah Allah di sini bermakna ketetapan Allah (qadar kauniyyah) dari segi asal lagi, seperti ketetapan bahawa mereka itu adalah kafir yang tidak akan mendapat hidayah, tidak akan berubah & bertukar lagi walaupun.
    Manakala satu lagi Kalamullah, kalam agama & Syar’i adalah dengan maksud al-Quran.
    Marilah kita berdoa kepada Allah agar Allah beri kepada kita yang terbaik, agar Allah sayang & rahmati kita selalu. 

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Sama-sama kita berdoa agar para sukarelawan Protila Sumud yang dalam misi menyampaikan bantuan ke Gazzah agar selamat & dilindungi Allah semuanya!

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top