View Categories

(26) Surah Yusuf: Ayat 102-107

13 min read

Kisah Ghaib Mukjizat Nabi, Ramai Manusia Tidak Beriman & Tanda-tanda Keagungan Allah S.W.T Diabaikan.

Live Pagi Rabu 28/01/2026 / 09 Sya’ban 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (26) Ayat [102-107]

Full video: https://youtu.be/4h5SiJJleB4?si=n8QXfm9VnYry2B0m

Muqaddimah: #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 102 sehingga ayat 107 dalam juzuk ketigabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kisah ghaib mukjizat yang diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w, seorang yang tidak tahu membaca dan menulis- ini menunjukkan satu mukjizat yang sangat nyata.
  3. Kemudian Allah nyatakan bahawa kebanyakan manusia tidak beriman walaupun jelas dihadapan mereka dalil-dalil akan alam ini ada Pentadbir & Penciptanya.
  4. Tetapi manusia tetap tidak melihat tanda-tanda keagungan Allah S.W.T dan tidak memikirkan tentang kekuasaan Allah, bahkan diabaikan tanda itu, keindahan alam hanya untuk healing dan selfie saja.
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang cerita Nabi Yusuf dari awal surah sehingga ayat 101- ceritanya lengkap dan cukup- tetapi ada juga ahli tafsir yang menambah gula-garam dengan menceritakan kisah Israiliyyat, yang menokok-tambah terutama tentang kisah Yusuf bersama Zulaikha.

Juga bagaimana kejayaan syaitan yang merosakkan hugungan anak-anak nabi Ya’qub.

ii- ayat ini datang menyatakan dalil bukti akan kebenaran Rasulullah s.a.w yang dapat menceritakan kisah Nabi Yusuf dengan lengkap penuh fakta sedangkan Baginda s.a.w tidak ada lagi pada masa itu.

Tafsur Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

ذَٰلِكَ مِنْ أَنۢبَآءِ ٱلْغَيْبِ نُوحِيهِ إِلَيْكَ ۖ وَمَا كُنتَ لَدَيْهِمْ إِذْ أَجْمَعُوٓا۟ أَمْرَهُمْ وَهُمْ يَمْكُرُونَ ‎﴿٢٠١

Ayat 102- {(Kisah nabi Yusuf) yang demikian ialah dari berita-berita yang ghaib yang kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka semasa mereka sekata mengambil keputusan (hendak membuang Yusuf ke dalam perigi) dan semasa mereka menjalankan rancangan jahat (terhadapnya untuk membinasakannya).} (Yusuf 12:102)

  1. Nota [430] Mulai dari ayat ini, firman Allah Ta’ala ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Dalam ayat ini ditegaskan bahawa kisah Nabi Yusuf a.s. yang telah diceritakan dengan panjang lebar adalah dari perkara-perkara yang ghaib kerana berlakunya pada zaman yang telah lalu.

Jika kisah ini tidak diwahyukan oleh Allah Ta’ala kepada Nabi Muhammad s.a.w. tentulah ia tidak mengetahuinya; dan apa yang telah diceritakan mengenai nabi Yusuf di dalam Al-Qur’an itulah sahaja yang benar.

  1. Manakala yang lain adalah cerita tambahan dari Israiliyyat- boleh kita dengar jika tidak menyentuh maruah dan kesucian para rasul & anbiya’ a.s yang mulia lagi terpelihara di sisi Allah s.w.t.

Jika tidak, jangan sesekali kita baca & percayanya.

Nabi Yusuf a.s adalah seorang nabi yang mulia, anak & cucu kepada nabi yang mulia juga- kisahnya sebagaimana yang Allah ceritakan bukan seperti novel cinta rekaan manusia tidak bertanggung-jawab.

  1. Allah nyatakan secara jelas bahawa Nabi s.a.w tidak ada ketika itu, di tempat kejadian ketika berlakunya peristiwa yang menimpa Yusuf itu: {… sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka semasa mereka:,.}:

i- sekata mengambil keputusan (hendak membuang Yusuf ke dalam perigi)
ii- dan semasa mereka menjalankan rancangan jahat (terhadapnya untuk membinasakannya.

  1. Ayat ini adalah ayat tasliyah- ayat untuk menenangkan hati Nabi s.a.w bagi menghadapi pendustaan kaumnya!

Ayat ini juga wahyu dari Allah sebagai satu mukjizat kepada Rasulullah s.a.w- yang boleh menceritakan kisah yang berlaku ribuan tahun dulu- kisah yang benar dan berfakta!

 وَمَآ أَكْثَرُ ٱلنَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ ‎﴿٣٠١﴾‏

Ayat 103- {Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin (supaya mereka beriman).} (Yusuf 12:103)

  1. Munasabah ayat:

Walaupun jelas dalil-dalil tanda kekuasaan Allah s.w.t & bukti kebenaran Nabi s.a.w di bawa sebelum ini tetapi; ayat ini jelas menyatakan kaum musyrikin itu adalah kaum yang keras kepala tetapa tidak berganjak tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w. walaupun dengan dalil dan bukti yang jelas.

  1. Iaitu mereka tidak akan beriman kerana keras kepala dan kedegilan yang sebati dalam diri mereka- bukan kerana mereka tidak tahu atau tidak nampak akan kebenaran Nabi s.a.w.
  2. Kata ahli tafsir, asy-Syaukani- maksudnya: {Dan kebanyakan manusia- وَمَآ أَكْثَرُ ٱلنَّاسِ}- ialah kebanyakan kaum Arab yang semasa dengan Nabi s.a.w yang degil keras kepala!

Atau umum kebanyakan manusia selepas itu juga sehingga ke hari Kiamat!

  1. Nabi s.a.w sangat loba, gemar dan tamak, sangat bersemangat untuk memberi hidayah kepada mereka agar mereka beriman kepada Allah s.w.t- apa saja maklumat yang Baginda bawa dari Allah tetapi kebanyakan manusia tetap tidak beriman.
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t ini:
    {Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.} (Al-An’aam 6:116)

*Mereka sesat kerana hanya ikut sangkaan tok nenek mereka & tidak beriman.

Hatta dalam negara kita atas kertasnya ramai yang beragama Islam tetapi dari sudut amali sepenuhnya sukar juga nak pastikan bilangannya.

وَمَا تَسْـَٔلُهُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ ۚ إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ لِّلْعَٰلَمِينَ ‎﴿٤٠١﴾‏

Ayat 104- {Padahal engkau tidak meminta kepada mereka sebarang upah tentang ajaran Al-Quran, sedang Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan dan pengajaran dari Allah bagi umat manusia seluruhnya.} (Yusuf 12:104)

  1. Allah nyatakan bahawa Nabi s.a.w berjuang menyampaikan al-Quran dan dakwahnya tanpa meminta upah dari kaumnya dan semua mereka yang didakwahnya!!!
  2. Jika Nabi s.a.w minta upah orang akan kata dia cari makan, menunggang agama untuk cari habuan. Nabi kata hanya balasan & upah dari Allah yang diharapkan.
  3. Semua dakwah dan ajaran hanyalah untuk mengingatkan manusia yakni Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan dan pengajaran dari Allah bagi umat manusia seluruhnya untuk beriman dan mengenal Allah- tetapi tetap tidak memberi kesan juga, ramai manusia tetap menolaknya!

كَأَيِّن مِّنْ ءَايَةٍ فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ يَمُرُّونَ عَلَيْهَا وَهُمْ عَنْهَا مُعْرِضُونَ ‎﴿٥٠١

Ayat 105- {Dan berapa banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pergi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.} (Yusuf 12:105)

  1. Betapa banyak tanda-tanda kekuasaan & keagungan Allah di langit dan di bumi yang menunjukkan hanya Allah saja yang boleh disembah, dipuja dipuji; yang telah mereka nampak dan lihat sebelum ini.

Seperti kaum kafir Quraisy yang melihat kesan tinggalan kaum Ad di Yaman & kaum Thamud setiap tahun dalam rehlah musafir mereka!

  1. Tetapi malangnya mereka hanya lihatnya dengan pandangan mata biasa tidak ambil iktibar & pengajaran.

Tidak lihat dengan ainul-basiroh, dengan hati yang memikirkan, sehingga boleh menimbulkan keinsafan & keimanan!

Itulah punca kerosakan atas dunia ini- lihat saja tanpa beriman!

وَمَا يُؤْمِنُ أَكْثَرُهُم بِٱللَّهِ إِلَّا وَهُم مُّشْرِكُونَ ‎﴿٦٠١﴾‏

Ayat 106- {Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.} (Yusuf 12:106)

  1. Orang-orang musyrikin itu mereka beriman, percaya kepada Allah sebagai Tuhan yang mencipta langit dan bumi ini; tetapi mereka tidak sunyi dengan syirik kepada Allah dengan menyembah yang lain selain dari-Nya!!
  2. Yakni manusia ini ramai di kalangan mereka yang tahu Allah itu Tuhan mereka- yang mencipta mereka & mencipta alam ini; tetapi dalam bab ibadat mereka campur- syirik kepada Allah dengan menyembah dan meminta kepada selain dari Allah s.w.t seperti patung berhala kayu batu!
  3. Kata Ibnu Jarir at-Tobari: Ramai kalangan puak kafir ini beriman kepada Allah- apabila ditanya siapa yang cipta alam ini mereka akan ikrar mengatakan Allah tetapi dalam bab ibadat mereka syirik!
  4. Kata Syeikh Syanqiti  (ini tafsir ulama’ salaf): kata Ibnu Abbas, al-Hasan al-Basri, Mujahid dan Amir asy-Sya’bi dan lain-lain:
    Makna ayat ini ialah:
    Ramai di kalangan manusia kafir- yang mengakui Rububiyyah Allah sebagai ada Tuhan Pencipta alam ini tetapi dalam bab ibadat mereka syirik kepada Allah dengan menyembah selain dari-Nya seperti patung-patung berhala dan seumpama!

Yakni mereka terima Rububiyyah Allah tetapi dari segi Uluhiyyah Allah mereka tidak percaya!!!!

  1. Sebagaimana riwayat Ibnu Abbas r.a:
    Adalah puak kafir musyrik ketika tawaf mereka berkata:
    لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ
    لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْكَ –
    “Aku sahut panggilan-Mu ya Allah, aku sahut panggilan-Mu”
    kemudian menambah sendiri pada akhirnya kecuali apa mereka syirikkan kepada Allah. [HR Muslim]

Talbiyah kaum kafir Quraisy pada zaman jahiliyah berbunyi:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ، إِلاَّ شَرِيْكًا هُوَ لَكَ، تَمْلِكُهُ وَمَا مَلَكَ
Labbaykallahumma labbayk, labbayka laa syariika laka, illaa syariikan huwa laka, tamlikuhu wamaa malak.
Artinya:
“Aku penuhi panggilan-Mu ya Allah, aku penuhi panggilan-Mu. Aku penuhi panggilan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu, aku penuhi panggilan-Mu. Kecuali sekutu bagi-Mu yang memang Engkau kuasai dan ia tidak menguasai.” [HR. Muslim no. 1185]

  1. Ini adalah syirik Akbar- syirik yang besar kerana menyembah selain Allah secara terang-terangan!

Banyak lagi syirik lain yang tersembuyi, kecil atau tidak nampak seperti riya’, nak pujian & glamour.

  1. Hadis mengenai syirik lebih halus daripada tapak semut (atau perjalanan semut)- sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W kepada Abu Bakar As-Siddiq r.a, bahawa perbuatan syirik tersembunyi (terutamanya syirik kecil/riya’) sangat halus dan sukar dikesan, seperti semut hitam merayap di atas batu hitam pada malam gelap.

يَا أَبَا بَكْرٍ الشِّرْكُ فِيْكُمْ أَخْفَى مِنْ دَبِيْبِ النَّمْلِ
“Wahai Abu Bakar, syirik dalam dirimu lebih halus daripada perjalanan semut.”

Doa yang diajar oleh Nabi s.a.w untuk terhindar dari perkara ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ، وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada menyekutukan-Mu sedangkan aku mengetahuinya, dan aku memohon ampun kepada-Mu daripada apa yang aku tidak mengetahuinya.” [HR Bukhari].

أَفَأَمِنُوٓا۟ أَن تَأْتِيَهُمْ غَٰشِيَةٌ مِّنْ عَذَابِ ٱللَّهِ أَوْ تَأْتِيَهُمُ ٱلسَّاعَةُ بَغْتَةً وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ ‎﴿٧٠١

Ayat 107- {(Mengapa mereka bersikap demikian?) Adakah mereka merasa aman dari didatangi azab Allah yang meliputi mereka, atau didatangi hari kiamat secara mengejut, sedang mereka tidak menyedarinya?} (Yusuf 12:107)

  1. Allah menegur puak kafir yang degil keras kepala tak dengar kata ini- tidakkah kamu lihat apa yang telah terjadi kepada puak kafir terdahulu yang binasa ditimpa azab Allah???
  2. Maka kamu tidak takutkan akan ancaman dan azab Allah ini- masihkah kamu berani untuk mendustakan kebenaran Rasulullah kerana kamu juga akan dibinasakan nanti!
  3. Apakah orang yang beriman & orang tidak beriman itu berasa sedap hati & yakin untuk berada atas dunia ini, tidak takutkah, kerana azab Allah akan datang tiba-tiba!

Samada azab kematian mengejut yang merupakan Kiamat kecil bagi setiap individu atau Kiamat besar yang akan mematikan semua manusia kelak!

  1. Ayat ditafsirkan dengan firman Allah:
    {Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?
    Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?
    Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.} (Al-A’raaf 7: 97-99)
  2. Begitulah rugi dan malangnya mereka yang degil ini- sudah bertemu sendiri dengan Nabi s.a.w tetapi tetap kafir tidak beriman!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 102- {(Kisah nabi Yusuf) yang demikian ialah dari berita-berita yang ghaib yang kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad),…}- ini adalah mukjizat kerana maklumat dan kisah yang Allah sampaikan kepada Nabi s.a.w ini begitu detail dan terperinci, sedangkan Baginda tidak hadir pada waktu itu dan tiada orang yang memberitahunya!

Tidak akan dapat diketahui semua ini kecuali melalui wahyu Allah s.w.t- begitu juga kisah-kisah anbiya’ yang lain, yang menunjukkan bahawa al-Quran ini kata-kata Allah!

Ayat ini menjadi tanda kesahihan dan kebenaran kenabian Rasulullah s.a.w kerana Baginda boleh menceritakan kisah-kisah nabi terdahulu dengan begitu jelas!

Seperti kisah Yusuf ini, serta banyak lagi kisah lain seperti kisah Maryam, kisah nabi Musa dan banyak cerita-cerita ghaib yang nabi s.a.w boleh ceritakan dengan tepat & Allah sebut sedangkan kamu tidak ada!

Jadi cerita ini Rasulullah s.a.w hanya menyampaikan apa yang diceritakan Allah kepadanya!

Sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Dan engkau pula tidak pernah tinggal bersama-sama penduduk negeri Madyan membaca dan mempelajari dari mereka ayat-ayat keterangan Kami (tentang hal Nabi Musa di sana), tetapi Kamilah yang mengutusmu (menjadi Rasul dan memberi wahyu kepadamu mengenai hal itu).} (Al-Qasas 28:45)

Ayat ini menjadi dalil & tanda yang besar bahawa Nabi s.a.w amat benar dalam dakwaan dan dakwahnya!

  1. Ayat 102- {… sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka semasa mereka sekata mengambil keputusan (hendak membuang Yusuf ke dalam perigi) dan semasa mereka menjalankan rancangan jahat (terhadapnya untuk membinasakannya).}-

Allah nyatakan bahawa Rasulullah s.a.w tiada sendiri bersama mereka semasa semua kejadian itu.

Ini menunjukkan kepentingan kesahihan dan detailnya sesuatu cerita yang disampaikan!

Sesuatu cerita menjadi bernilai tinggi; apabila kita boleh menceritakan dengan detail seolah kita berada di tempat itu walaupun kita sebenarnya tiada di situ!

Sebagaimana yang dilakukan oleh para wartawan.

Tetapi apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w adalah jelas dan penuh fakta- Baginda sendiri tidak bergoyang, tidak tertukar, yakin dan teguh dengan apa yang disampaikannnya!

Kalimat {… sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka- وَمَا كُنتَ لَدَيْهِمْ} adalah sebagai dalil dari hal yang ghaib.

Nabi Muhammad s.a.w tidak hadir dan ada bersama mereka dan tidak pula menyaksikan ketika mereka membuat semua itu- tetapi dia dapat menceritakannya dengan detail- maka tiada siapa yang dapat pertikaikan!

  1. Ayat 103- {Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin (supaya mereka beriman).}- tidak ramai orang yang beriman walaupun Nabi s.a.w amat inginkannya!

Nabi s.a.w amat ingin agar orang kafir itu beriman tetapi mereka tetap tidak beriman!

Maka ayat ini adalah penenang kepada Nabi s.a.w- kamu ceritalah apa sekalipun- puak kafir tetap tidak mahu beriman!

Ayat ini menunjukkan bahawa hidayah itu ada dua:
i- hidayah irsyad- untuk memberi bimbingan & mengajar manusia itu tugas para Nabi dan para ulama!

ii- manakala hidayah taufiq untuk manusia menerimanya- hanya dari kuasa Allah s.w.t!

Maka tak kira teknik atau jenis apa dakwah yang kamu bawa- secara kasih-sayang, melalui perkahwinan atau hadiah apa saja; jika tak masuk hidayah dari Allah- tak akan jadi!

Yakni walaupun ramai orang tidak beriman; tidak mengapa kerana kerja & tugasmu hanya menyampaikan dakwah dan bimbingan!

  1. Ayat 104- {Padahal engkau tidak meminta kepada mereka sebarang upah tentang ajaran Al-Quran, sedang Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan dan pengajaran dari Allah bagi umat manusia seluruhnya.}- padahal engkau wahai Nabi s.a.w, tidak sesekali meminta upah dari mereka atas kerja-kerja dakwah mengajak dan mengajar & membimbing manusia kepada kebaikan ini!

Nabi s.a.w tidak meminta upah- begitu juga para nabi-nabi & anbiya’ yang lain tidak minta upah dalam keja dakwah mereka!

Kerja para nabi hanyalah menyampaikan dakwah agar tidak ditunggang agama ini dengan habuan dunia.

Maka ayat ini memberi peringatan kepada kita semua para murabbi, imam, bilal, dai’e, ustaz para tok lebai, kiyai, baba semua: kita kena letak di depan mata kita, dihadapan kita ikhlas dalam berdakwah!

Jika niat nak cari duit, kamu nak balasan atau habuan dunia- maka lebih baik kamu pergi berkerja atau buat kilang jual roti!

Hari ini pula betapa ramai pendakwah instant yang dilahirkan oleh program-program realiti atau TV- dengan bermacam istilah PU, IM, Dae’i dan sebagainya- para pendakwah yang dilahirkan TV bukan madrasah atau pondok universiti agama.

Dai’e bermakna orang yang berdakwah mengajak orang kepada jalan Allah bukan orang yang menggunakan agama untuk kepentingan dunia!

Begitu juga bahayanya suasana hari ini di mana menormalisasikan maksiat menjadi kebiasaan yang berleluasa!

Ajarlah ilmu yang benar lagi bermanfaat kepada masyarakat, jangan jadikan dakwah medan untuk mengaut duit sebanyak mungkin tetapi sebagai medan untuk menyampaikan ilmu dan bimbingan kepada masyarakat dan umat semuanya.

Inilah yang diajar oleh para anbiya’.

  1. Ayat 105- {Dan berapa banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pergi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.}- berapa banyak sudah ayat- dalil & bukti yang Allah telah tunjukkan kepada mereka tentang kekuasaan-Nya; tetapi puak kafir tetap buat tak reti bahasa buat tak faham!

Tengok dalil tetapi tidak memberi kesan kepada mereka- kerana mereka tidak beriman- ini adalah sesuatu yang amat merugikan.

Betapa banyak dalil-dalil yang Allah beri samada:

i- dalil atau ayat Maqru’ah (الأيات المقروءة)- yang boleh dibaca- iaitu ayat-ayat al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W untuk dibaca dan difahami.

ii- dan dalil Manzurah (الأيات المنظورة)- yang boleh di lihat dalam alam ini.

Merujuk kepada tanda-tanda kebesaran Allah yang dapat dilihat, dikaji, dan difikirkan pada alam semesta dan diri manusia sendiri.

Tetapi apa boleh buat manusia tidak memanfaatkannya, ia tidak menjadi asset, sumber untuk mendapat hidayah sebagaimana sepatutnya!

Kerana itu Allah s.w.t memberi peringatan yang terakhir: Apakah kamu tidak berasa takut jika tiba-tiba Allah turunkan bala membinasakan kaum yang tidak beriman kepada Allah Azza wa Jalla????

Kita minta Allah selamatkan kita, amankan kita, letakkan dalam hati kita benci kepada mungkar & maksiat, istiqomah berpegang dengan al-Quran & Sunnah, mudah-mudahan kita selamat di dunia & aman di Akhirat.

Alhamdulillah tamatlah dulu siri tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat manfaat dan kefahaman yang baik.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 28/01/2026 / 09 Sya’ban 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top