View Categories

(8) Surah Yunus: Ayat 15-17

13 min read

KAFIR MINTA UBAH ATAU TUKAR QURAN, NABI SAW HANYA MENERIMA WAHYU & SI ZALIM PEMBOHONG KE ATAS ALLAH SWT.

Full video : https://youtu.be/bhBBHUthO_Q?si=NcMZJU2uH7beq3zP

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 15 hingga ayat 17 dalam juz kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa kafir minta 2 perkara kepada Nabi SAW iaitu untuk:
    i- Tukar bawa al-Quran lain kepada yang menepati kehendak & nafsu mereka.

    ii- Atau ubah ayat-ayat yang menyinggung amalan, agama & sembahan mereka. 
    Buang ayat yang sebut kesesatan tentang berhala, syirik dan seumpamanya.
  1. Allah ajar kepada Nabi SAW untuk menyatakan bahawa dia hanya menerima wahyu dari Allah dan sampaikannya sebagaimana yang diterima itu! 
    Jika nak tukar tak mungkin. 
    Nabi SAW juga ungkit apakah mereka lupa tak ingat mereka sudah hidup bersama Nabi SAW selama 40 tahun selama ini tidak ada masalah atau penipuan yang dibuat.
  1. Kemudian Allah tutup ayat dengan menegaskan orang yang paling jahat, zalim dan derhaka kepada Allah ialah mereka yang buat pembohongan ke atas Allah SWT.
    Mereka reka & kata apa yang Allah tak kata, Allah kata haram mereka kata halal, maka tu dikira satu pembohongan & tuduhan jahat ke atas Allah SWT yang amat bahaya!!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang dua syubhah keraguan yang diserang oleh kafir terhadap Islam iaitu: 
    Mereka pertikaikan bagaimana al-Quran itu diturunkan kepada manusia yang miskin dan yatim, seorang pengembala kambing seperti Nabi Muhammad SAW. 
    Yang kedua mereka mencabar minta azab, kerana mereka tak percaya maka mereka minta segerakan azab jika Nabi SAW itu benar!

    ii- Datang ayat ini adalah serangan ketiga orang kafir; mereka nak serang pribadi Nabi SAW & menimbulkan keraguan terhadap al-Quran itu sendiri pula! 
    Al-Quran itu tak valid bagi mereka lalu minta tukar atau gantinya dengan ayat lain yang lebih mesra dan lunak terhadap mereka!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 15- {DAN APABILA DIBACAKAN KEPADA MEREKA AYAT-AYAT KAMI YANG JELAS NYATA, BERKATALAH ORANG-ORANG YANG TIDAK MENARUH INGATAN MENEMUI KAMI (UNTUK MENERIMA BALASAN): “BAWALAH QURAN YANG LAIN DARIPADA INI ATAU TUKARKANLAH DIA “. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “AKU TIDAK BERHAK MENUKARKANNYA DENGAN KEMAHUANKU SENDIRI, AKU HANYA TETAP MENURUT APA YANG DIWAHYUKAN KEPADAKU SAHAJA. SESUNGGUHNYA AKU TAKUT, JIKA AKU MENDERHAKA KEPADA TUHANKU, AKAN AZAB HARI YANG BESAR (SOAL JAWABNYA)”.} (YUNUS 10:15)

  1. Apabila Nabi SAW membacakan ayat-ayat al-Quran yang diturunkan kepada Baginda, puak Quraisy, iaitu orang yang tak beriman kepada Allah, yang tak percaya kepada hari Akhirat, tak takut kepada azab Allah serta tak harapkan pahala & tak percaya kepada al-Quran meminta sama ada:
    i- Nabi SAW bawa al-Quran lain, yang berlainan terus ajaran & ayat-ayatnya, yang sesuai dengan kehendak dan keadaan mereka! 
    Yang tak sebut syirik, celaan terhadap berhala mereka & tak ajar tauhid.

    ii- Atau al-Quran ditukar ayat-ayatnya kepada ayat lain yang lebih lunak, yang tidak menyerang aqidah & amalan mereka. 
    Sebut tauhid saja, jangan usik, kutuk tentang syirik, suruh orang solat saja jangan larang penyembahan berhala dan lain-lain permintaan yang tidak logik & tidak relevan itu! 
    Pada zaman ini pula orang kafir telah menuntut untuk orang Islam tukar beberapa istilah dalam agama seperti syirik, orang kafir dan seumpamanya. 
    Betapa golongan sebegini tidak pupus & muncul sepanjang zaman!
  1. Lalu Allah ajar kepada Nabi SAW untuk mengatakan kepada mereka bahawa: 
    i- Aku hanyalah hamba yang diperintah dan menurut perintah Allah! 
    Aku hanya seorang hamba yang menjalankan tugas dari Allah, aku tidak berhak & tidak mungkin untuknya tukar, tambah, kurangkan atau selewengkan ayat-ayat al-Quran. 

    ii- Aku takut untuk menjadi manusia yang derhaka kepada Tuhannya & akan menerima azab yang pedih! 
    Kerana jika buta seperti yang kamu pinta; aku akan cari penyakit kerana buat apa yang Tuhan tak perintah, tukar apa yang Allah turunkan, maka akan derhakalah kepada Allah.
  1. Yakni Nabi SAW membuat penegasan dan berkeras bahawa sesekali tidak akan berlaku sebagaimana permintaan mereka yang tidak logik itu! 
    Yakni ayat al-Quran lansung tidak boleh diubah!

AYAT 16- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “JIKA ALLAH KEHENDAKI (SUPAYA AKU TIDAK MEMBACAKAN AL-QURAN INI KEPADA KAMU), TENTULAH AKU TIDAK DAPAT MEMBACAKANNYA KEPADA KAMU, DAN TENTULAH IA TIDAK MEMBERITAHU KAMU AKAN AL-QURAN INI (DENGAN PERANTARAANKU); KERANA SESUNGGUHNYA AKU TELAH TINGGAL DALAM KALANGAN KAMU SATU MASA YANG LANJUT (DAN KAMU PULA MENGENAL AKU SEBAGAI SEORANG YANG AMANAH) SEBELUM TURUNNYA AL-QURAN INI; MAKA MENGAPA KAMU TIDAK MAHU MEMIKIRKANNYA?”} (YUNUS 10:16)

  1. Munasabah ayat ini:
    i- Dalam ayat lepas Allah nyatakan orang kafir menuduh & mengatakan seolah al-Quran itu haq Nabi SAW, yang direkanya sendiri kerana itu mereka memintanya menukar atau bawa al-Quran yang lain, yang sesuai dengan mereka!

    ii- Maka datang ayat ini Allah minta Nabi SAW mengingatkan mereka puak kafir Quraisy mengenali keperibadian Nabi Muhammad SAW sejak dari awal lagi, mereka kenal sifat & perangainya yang benar, amanah & jujur. 
    Nabi hanya menjalankan perintah, menyampaikan wahyu dari Allah. 
    Perbuatan mereka sangat tidak masuk akal.
  1. Ayat ini menjawab lagi cadangan kafir yang tidak cerdik & tidak relevant itu, permintaan yang bodoh & tidak logik. 
    Jika Allah tidak menurunkan al-Quran kepada Baginda dan memerintahkannya untuk menyampaikan kepada manusia pasti Baginda tidak akan lakukannya! 
  1. Nabi SAW sudah hidup bersama mereka selama 40 puluh tahun dan mereka tidak pernah dia berbohong & tidak bercakap benar, bukan seorang yang membaca & mengkaji tulisan atau pendapat orang lain!  
  1. Nota [313]: Ini sebagai menjawab kaum kafir musyrikin yang meminta agar Nabi SAW membawa al-Quran yang lain. 
    Ayat suci ini menerangkan bahawa al-Quran itu dibacakan, disampaikan oleh Nabi SAW dengan perintah & kehendak Allah yang maha Kuasa; supaya manusia mendapat petunjuk & berjaya dunia & Akhirat.  
    Al-Quran itu bukan dikarang oleh Nabi Muhammad SAW sendiri dan sudah tentu dia tidak melakukan apa yang mereka kehendaki.
    Jika mereka memikirkan hal ini dengan jujur pastilah mereka tidak tergamak mngingkari al-Quran. 
    Lebih-lebih lagi kerana mereka mengenali baik peribadi Nabi SAW yang telah hidup di kalangan mereka sebagai seorang yang ummiy, iaitu yang tidak pandai baca dan menulis.  
    Nabi dikenali oleh masyarakat Makkah sebagai al-Amin seorang yang berintegriti, jujur & amanah sehinggakan gelaran al-Amin itu sebati dengan Baginda SAW. 
    Selepas Baginda menerima wahyu mereka menuduhnya pula dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas!
    Takkanlah boleh berubah jadi penipu dalam masa yang sama, amat tidak munasabah. 
    Ini adalah satu kejahatan yang dibuat oleh orang kafir yang tidak boleh diterima!
  1. Kerana itu di akhir ayat Allah katakan wahai puak kafir apakan kamu tidak berfikir,
    (أفَلَا تَعْقِلُوْنَ) maksudnya apakah kamu tidak menggunakan akal untuk bertadabur dan berfikir! 
    Ayat ini adalah begitu keras & sentap terhadap puak kafir!
  1. Kisah apabila Abu Sufyan bertemu dengan Hercules, wakil kerajaan Rom di Syam: 
    Dia telah bertanya kepada Abu Sufyan sebagai wakil Quraisy Makkah tentang Nabi SAW, antara soalannya ialah:
    Hercules: “Apakah kamu menuduh dia menipu sebelum dia membawa apa yang dibawanya sekarang ?”
    Abu Sufyan: “Tidak.”
    Hercules: “Apakah dia mengkhianati perjanjian?”
    Abu Sufyan: “Tidak, tetapi sekarang kami sedang dalam tempoh perjanjian dengannya. Kami tidak tahu kali ini apakah dia akan khianat atau tidak.”
    Yakni Abu Sufyan memang mencari-cari peluang untuk memburukkan Rasulullah SAW di depan Hercules namun tiada peluang melainkan dalam jawapan ini. 
    Hercules buat kesimpulan: “Aku juga bertanya kamu, apakah kamu pernah menuduh dia sebagai penipu sebelum dia membawa dakwahnya. 
    Kamu jawab, tidak. 
    Kalaulah dia meninggalkan dusta terhadap manusia tentu dia tak akan mendustakan Allah.”
    [HR Bukhari & Muslim].

    Panjang lagi kisah di dalam hadis yang menarik ini, boleh cari & bacanya.

AYAT 17- {DENGAN YANG DEMIKIAN, TIDAKLAH ADA YANG LEBIH ZALIM DARIPADA ORANG YANG BERDUSTA TERHADAP ALLAH, ATAU YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYATNYA. SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERDOSA ITU TIDAK AKAN BERJAYA.} (YUNUS 10:17)

  1. Munasabah ayat ini: Ia melengkapkan lagi celaan, kritikan ke atas puak kafir yang beri tadi!
  1. Allah menyatakan jika Nabi SAW menukar ayat-ayat itu bererti dia telah menipu & berbohong atas nama Allah SWT! 
    Allah minta Nabi SAW mengingatkan bahawa jika dia tukar al-Quran atau ayat bererti Baginda telah menipu Tuhan. 
    Yang Allah tak kata dia kata, yang Allah turunkan dia tak sampaikan! 
  1. Tidak mungkin seorang Nabi membuat penipuan kepada Allah dan membuat rekaan & ayat palsu sendiri semata-mata kerana nak ambil hati, nak ikut kehendak puak kafir!  
    Kita kena ingatlah; Bukan begitu seorang Islam, lunak dengan kafir tetapi keras sesama muslim kerana nak jaga hati mereka.
  1. Tiada siapa yang lebih zalim dan jahat selain daripada mereka yang membuat pembohongan dan penipuan atas nama Allah SWT.
  1. Kata Ibnu Asyur: Makna zalim di sini ialah: Melampaui, mencabul & mencabar hak Allah SWT Inilah manusia yang paling zalim kerana dia berani kata apa yang Allah tak kata, dia tukar ayat-ayat al-Quran.
  1. Pada zaman kita ini orang bukan tukar al-Quran tetapi mereka tafsirkan al-Quran ikut kehendak & kepala otak mereka sendiri, mereka tukar persepsi agar orang jauh dari al-Quran. Mereka tak berani tukar kerana orang akan tahu!
  1. Di akhir ayat Allah nyatakan bahawa orang zalim & jahat ini, yang menukar atau menyeleweng kefahaman tentang ayat-ayat Allah; tidak akan mendapat kebahagiaan di dunia & apatah lagi di Akhirat.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 15- {Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): “Bawalah Quran yang lain daripada ini atau tukarkanlah dia “. Katakanlah (wahai Muhammad):… sehingga akhir}-

    Di mana orang kafir minta ukar al-Quran atau ubah ayatnya.
    Maka dalam ayat ini Allah SWT ajar kepada Nabi SAW untuk menjawab dengan tegas dan mantap jika ada orang yang meminta untuk tukar ayat al-Quran; Bahawa aku hanya menurut perintah, apa yang Allah suruh & sampaikan aku terima & sampaikan.
    Ayat ini membawa amaran & pengajaran yang cukup besar agar kita sebagai muslim jangan berani-berani seleweng atau tukar ayat al-Quran.
    Betapa ramai setengah orang sanggup seleweng & tukar tafsir ayat-ayat al-Quran untuk selari dengan nafsunya! 
    Kita orang Islam bukan begitu, kita wajib selarikan nafsu & kehidupan kita dengan al-Quran!
    Banyak hadis palsu yang direka untuk membenarkan dan melariskan ibadat yang mereka cipta, untuk menepati kehendak nafsu mereka, atau untuk menghalalkan tindakan yang mereka buat, ada hadis ada hadis sedangkan ia adalah hadis palsu!
    Ingat hadis palsu tak sama dengan gigi palsu yang memberi kemudahan!
  1. Ayat 15- {Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): “Bawalah Quran yang lain daripada ini atau tukarkanlah dia “.}-

    Ayat ini menunjukkan betapa takutnya puak kafir itu terhadap al-Quran sehingga mereka membawa cadangan untuk tukar al-Quran dengan kitab lain atau tukar sebahagian ayatnya yang tidak kena dengan mereka! 
    Ini kerana mukjizat al-Quran adalah mukjizat yang paling agung= mereka sangat takut & tak suka dengannya!
    Jadi Rasulullah SAW menjawabnya bahawa tidak mungkin untuk menukarnya, bagaimana nak tukar ayat azab kepada rahmat, yang kata syirik kepada tidak syirik, ayat kafir kepada tidak kafir! 
    Hakikat terdapat orang yang menukar menjadikan perbuatan syirik sebagai sesuatu yang harus & tidak syirik, seperti berselindung di sebalik nama istigathah atau tawasul; untuk semata-mata nak minta dengan makhluk! 
    Allah mengatakan bahawa tidak mungkin nak tukar al-Quran dengan kitab lain atau tukar ayatnya kepada ayat yang lain kerana Al-Quran ini adalah satu kitab yang lengkap paling sempurna. 
    Juga kerana al-Quran adalah wahyu dari Allah bukan rekaan manusia semata-mata, nak tukar apa laginya.
    Inilah dua cadangan yang tak relevan dari puak kafir, Allah tolak terusnya, tak mungkin akan ditukar.
    Jika undang-undang buatan manusia yang bukan wahyu; memang akan mengalami pelbagai perubahan, pertukaran, penambahan, pembatalan dan lain-lain yang seumpamanya bagi sesuatu yang tidak sempurna!
  1. Ayat 15- {“Bawalah Quran yang lain daripada ini atau tukarkanlah dia “…}-

    Ulama’ mengatakan permintaan kafir ini mungkin mereka minta tukarnya sungguh atau hanya perli mempermain-mainkan (istihza’) kepada Nabi SAW!
    Mengikut dalam kitab sejarah terdapat 5 orang yang begitu jahat yang selalu menyakiti memerli Nabi SAW & mempermaikan ayat-ayat al-Quran iaitu: 
    i-Al-Walid bin al-Mughirah al-Makhzumi. 

    ii- Al-‘As bin Wail as-Sahmi.

    iii-al-Aswad bin Muttalib.

    iv-Aswad bin Abi Yaghus.

    v- al-Harith bin Hanzalah. 

    Allah SWT telah musnahkan puak jahat ini dengan kematian yang amat mengerikan hati!
    Mereka ini kerjanya perli Nabi SAW datang minta tukar ayat, minta al-Quran dan lain-lain.

    Kerana itu Allah SWT telah nyatakan dalam firman-Nya ini:
    { إِنَّا كَفَيْنَـٰكَ ٱلْمُسْتَهْزِءِينَ} – {Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu,} (Al-Hijr 15:95)
    Kerana itu ulama’ tafsir kata: Ayat ini cadangnya ini hanya dalam bentuk istihza’ kepada Nabi SAW nak perli Nabi, nak hina al-Quran.
  1. Ayat 16- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika Allah kehendaki (supaya aku tidak membacakan Al-Quran ini kepada kamu), tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, ..}-

    Dalam ayat ini Allah nyatakan kepada kita bahawa al-Quran ini satu mukjizat dari Allah bukan dari rekaan Nabi SAW sendiri.
    Allah ajar Nabi SAW untuk katakan bahawa jika al-Quran ini bukan dari Allah dan bukan perintah Allah, Baginda tidak akan membacakannya kepada mereka.
    Nabi SAW ungkit dan ingatkan kaum kafir Quraisy bahawa mereka sudah lama mengenali Baginda SAW, lahir dan membesar di kalangan mereka.
    Selama 40 tahun bersama, mereka kenal dan tahu sifat & perangainya yang amat benar, jujur & amanah, tidak membaca & menulis apatah lagi belajar sihir! 
    Tidak mungkin sekarang baru Baginda nak menipu, setelah datang al-Quran mereka terus menuduhnya dengan macam-macam tuduhan yang jahat & tidak logik kepada Baginda!
    Mereka kenal Nabi SAW tetapi mereka tetap menuduhnya!

    Ayat ini sama dengan realiti kita hari ini:
    Ada yang bersahabat dengan sesama pendakwah, kerja sekali, berusrah sekali, makan minum sekali, tiba-tiba bila ada orang menuduh sahabatnya dengan tuduhan yang buruk & gelaran tidak baik; yang dia tahu sahabatnya tu tak buat, dia kenal bukan begitu perangai sahabatnya itu, bukan begitu aqidah & pegangan sahabatnya, tetapi bukan hanya tidak membela dan membersihkan nama sahabatnya, tetapi lebih dahsyat dia sokong sekali pula tuduhan dan label itu! 

    Semata-mata kerana nak play safe, nak menyelamatkan dirinya, takut dia terpalit sama dituduh sekali dengan sahabatnya yang benar itu!
    Kita hidup kena ada prinsip, jika kita tahu tuduhan yang dibuat kepada sahabat kita itu tidak benar, sahabat kita tidak salah & tuduhan itu adalah tuduhan jahat; kenapa sanggup diam tidak membelanya???

    Kata ulama’: Jika kita ada kawan tetapi waktu kita dihina dan dituduh tetapi kawan itu diam, tidak membela dan menyokong kita; maka lebih baik kita berkawan dengan orang yang telah mati. 
    Ini kerana apa guna kawan yang hidup jika tidak dapat membela kita ketika dizalimi??
    Kerana itu Nabi SAW mengungkit bahawa Baginda telah hidup bersama mereka kaum Quraisy selama 40 tahun, bukan mereka tidak kenalnya. 
    Tetapi apabila datang al-Quran mereka buat tuduhan bermcama-macam semata-mata kerana enggan menerima & beriman!
    Kerana itu itu ingatlah waktu ada jawatan ini jangan sombong & agah, nanti bila dah pencen, tak ada pangkat jawatan, tak ada orang nak berkawan lagi!
  1. Ayat 17- {Dengan yang demikian, tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayatNya.}-

    Tidak ada manusia yang lebih zalim, lebih jahat, yang mencabul hak Allah selain daripada manusia yang mereka-reka tuduhan terhadap Allah, yang kata apa yang Allah tidak kata! 
    Kerana itu besarnya peranan para ulama’ & para pendakwah mesti mempertahankan yang hak & kebenaran. 
    Manusia marah hanya sekejap saja atas dunia ini, tetapi jika Tuhan marah, nerakalah tempatnya!!! 
    Marilah kita selamatkan diri kita dengan mengatakan yang benar, mempertahankan al-Quran & menegakkan Sunnah Nabi SAW, melawan khurafat & bid’ah, apa-apa yang tidak ikut Sunnah kita lawan! 
    Insya’ Allah selagi hayat dikandung badan!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top