Abang-Abang Yusuf Cerita Kepada Bapa Mereka, Bunyamin Dibenarkan Pergi & Ya’qub Berserah Kepada Allah S.W.T.

♥ Live Pagi Isnin 19/01/2026 / 29 Rajab 1447H Selepas Subuh Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (18) Ayat [63-66] ♥
Full video: https://youtu.be/q670ArLlq8Y?si=P0fvNV4pqV9cPGAL
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 63 sehingga ayat 66 dalam juzuk ketigabelas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa setelah kembali dari Mesir; saudara-saudara Yusuf bercerita kepada bapa mereka, apa yang berlaku di Mesir, kebaikan Menteri dan apa yang dia pinta & janjikan untuk mereka!
- Mereka merayu kepada bapa mereka untuk membawa Bunyamin ke Mesir kerana jika tidak- mungkin mereka tidak akan mendapat bekalan makanan yang banyak lagi!
Pelbagai hujjah dan alasan mereka berikan. - Akhirnya dengan berat hati Nabi Ya’qub mengizinkan mereka bawa Bunyamin ke Mesir selepas mereka berjanji dengan nama Allah dan berserah segala urusannya kepada Allah S.W.T.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan setelah selesai abang-abang Yusuf berunding mendapatkan makanan di Mesir, Menteri Yusuf beri syarat untuk mereka bawa seorang lagi adik mereka Bunyamin dan mereka akan mendapat bekalan muatan seekor unta lagi- jika tidak, mereka tidak akan dapat bekalan makanan!
ii- maka datang ayat ini menceritakan sekembalinya saudara Yusuf dari Mesir mereka menceritakan apa yang berlaku kepada bapa mereka Ya’qub; mereka mendapat penghormatan dan bekalan makanan yang banyak dan meminta izin dari bapa mereka untuk membawa adik bongsu mereka Bunyamin.
Akhirnya Ya’qub terpaksa mendengar permintaan mereka dan mengizinkan mereka bawa adik mereka itu!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
فَلَمَّا رَجَعُوٓا۟ إِلَىٰٓ أَبِيهِمْ قَالُوا۟ يَٰٓأَبَانَا مُنِعَ مِنَّا ٱلْكَيْلُ فَأَرْسِلْ مَعَنَآ أَخَانَا نَكْتَلْ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ ﴿٣٦﴾
Ayat 63- {Maka ketika mereka kembali kepada bapa mereka, berkatalah mereka: “Wahai ayah kami! Kami (tetap diberi amaran bahawa kami) tidak akan mendapat lagi bekalan makanan (kiranya Bunyamin tidak pergi bersama). Oleh itu, hantarkanlah dia bersama-sama kami, supaya kami dapat lagi bekalan makanan; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya”.} (Yusuf 12:63)
- Apabila saudara-saudara Yusuf kembali ke Kan’an mereka menceritakan kepada bapa mereka apa yang berlaku! Iaitu:
i- mereka mendapat layanan yang baik dari menteri Mesir dan telah membawa bekalan yang banyak dan mencukupi.
ii- menteri telah memberi syarat untuk mereka membawa adik mereka Bunyamin ke Mesir jika mahu pergi mengambil bekalan makanan lagi selepas ini!
ii- jika tidak; mereka telah diberi amaran bahawa mereka tidak akan mendapat lagi bekalan makanan sekiranya Bunyamin tidak pergi bersama.
- Oleh itu, mereka merayu meminta keizinan dari bapa mereka agar membenarkan adik mereka itu pergi bersama-sama mereka, supaya mereka mendapat lagi bekalan makanan yang banyak selepas ini.
- Mereka juga berjanji dengan bersungguhnya bahawa: {..dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya”.} Yakni kali ini mereka tidak akan cuai dan lalai lagi- akan jaga adik mereka Bunyamin dengan sebaiknya!
قَالَ هَلْ ءَامَنُكُمْ عَلَيْهِ إِلَّا كَمَآ أَمِنتُكُمْ عَلَىٰٓ أَخِيهِ مِن قَبْلُ ۖ فَٱللَّهُ خَيْرٌ حَٰفِظًا ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ ﴿٤٦﴾
Ayat 64- {Bapa mereka berkata: “(Jika aku lepaskan dia pergi bersama-sama kamu), aku tidak menaruh kepercayaan kepada kamu menjaganya melainkan seperti kepercayaanku kepada kamu menjaga saudaranya dahulu (yang telah kamu hampakan. Oleh itu aku hanya menaruh kepercayaan kepada Allah), kerana Allah jualah Penjaga yang sebaik-baiknya, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan”.} (Yusuf 12:64)
- Bapa mereka Ya’qub menjawab dan mengungkit mereka akan apa yang telah berlaku kepada adik mereka sebelum ini Yusuf.
Dia telah memberikan mereka kepercayaan untuk menjaga Yusuf tetapi apa yang berlaku- Yusuf hilang sehingga ke hari ini!
Mereka telah menghampakan kepercayaannya!!
- Dalam keadaan ini; pastilah Ya’qub serba-salah juga:
i- jika dia tidak benarkan mereka bawa Bunyamin, nanti mereka tidak akan mendapat bekalan makanan yang diperlukan.
ii- nak beri pergi hatinya bimbang dan runsing, tidak percayakan kepada anak-anaknya yang besar itu berdasarkan apa yang telah terjadi terhadap Yusuf.
- Tetapi nabi Ya’qub menyerahkan urusannya kepada Allah dengan berkata: Oleh itu aku hanya menaruh kepercayaan kepada Allah!
Ini kerana Allah jualah Penjaga yang sebaik-baiknya!
*Yakni nabi Ya’qub sudah lembut hatinya untuk membenarkan mereka bawa Bunyamin pergi ke Mesir.
- Allah juakah Yang Maha Mengasihani dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan!
Nabi Ya’qub masih tidak putus harap akan berjumpa dengan anak kesayangannya Yusuf dan berharap semoga Allah menjaganya dengan sebaik-baik jagaan!!!
وَلَمَّا فَتَحُوا۟ مَتَٰعَهُمْ وَجَدُوا۟ بِضَٰعَتَهُمْ رُدَّتْ إِلَيْهِمْ ۖ قَالُوا۟ يَٰٓأَبَانَا مَا نَبْغِى ۖ هَٰذِهِۦ بِضَٰعَتُنَا رُدَّتْ إِلَيْنَا ۖ وَنَمِيرُ أَهْلَنَا وَنَحْفَظُ أَخَانَا وَنَزْدَادُ كَيْلَ بَعِيرٍ ۖ ذَٰلِكَ كَيْلٌ يَسِيرٌ ﴿٥٦﴾
Ayat 65- {Dan semasa mereka membuka barang-barang mereka, mereka dapati barang-barang dagangan mereka telah dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata dengan gembiranya: “Wahai ayah kami! Apa yang kita kehendaki lagi? Ini dia barang-barang dagangan yang kita jadikan tukaran (bagi mendapat gandum) itu telah dikembalikan kepada kita. Dan (dengan kemurahan hati menteri yang berbudi itu) akan dapatlah kami membawa lagi bekalan makanan kepada keluarga kami, dan kami pula akan dapat menjaga saudara kami, serta akan dapat tambahan benda-benda makanan sebanyak muatan seekor unta lagi. Pemberian tambahan yang sebanyak itu mudah sekali ditunaikannya”.} (Yusuf 12:65)
- Kemudian apabila mereka membuka bekalan makanan yang mereka bawa balik dari Mesir- mereka mendapati duit atau barang yang digunakan untuk membayar bekalan makanan itu ada dihantar balik, dibubuh kembali dalam bekas mereka!
- Mereka begitu gembira dan teruja melihatnya, kerana mereka telah mendapat keuntungan dan kebaikan yang besar!
Duit itu boleh digunakan sebagai modal untuk mereka beli lagi bekalan makanan selepas ini!
Mereka bertambah rasa terhutang budi dengan kebaikan menteri Yusuf!!!
*Inilah tujuan Yusuf apabila mengembalikan barang/duit mereka itu!
- Mereka pun terus memujuk-rayu bapa mereka- apa lagi yang mereka mahu- mereka berkata:
i-..dengan kemurahan hati menteri yang berbudi itu akan dapatlah kami membawa lagi bekalan makanan kepada keluarga kami,
ii- dan kami pula akan dapat menjaga saudara kami, jika kami bawanya.
iii- serta akan dapat tambahan benda-benda makanan sebanyak muatan seekor unta lagi.
- Mereka yakin mereka akan dapat pemberian tambahan yang sebanyak itu dengan mudah sekali jika permintaan menteri itu untuk membawa adik mereka ditunaikan!!!
قَالَ لَنْ أُرْسِلَهُۥ مَعَكُمْ حَتَّىٰ تُؤْتُونِ مَوْثِقًا مِّنَ ٱللَّهِ لَتَأْتُنَّنِى بِهِۦٓ إِلَّآ أَن يُحَاطَ بِكُمْ ۖ فَلَمَّآ ءَاتَوْهُ مَوْثِقَهُمْ قَالَ ٱللَّهُ عَلَىٰ مَا نَقُولُ وَكِيلٌ ﴿٦٦﴾
Ayat 66- {Bapa mereka berkata:” Aku tidak sekali-kali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, sehingga kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat, kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh”. Maka ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, berkatalah ia: “Allah jualah yang menjadi Saksi dan Pengawas atas apa yang kita semua katakan itu.”} (Yusuf 12:66)
- Akhirnya nabi Ya’qub sanggup melepaskan adik mereka itu dengan syarat mereka bersumpah iaitu:
i- sehingga kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah,
ii- bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat,
iii- kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh.
- Maka ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, berkatalah ia: “Allah jualah yang menjadi Saksi dan Pengawas atas apa yang kita semua katakan itu.
- Sumpah ini adalah satu janji yang benar bagi orang yang beriman!!
Kerana kita beriman dan yakin dengan Allah. - Tetapi bagi orang munafiq adalah satu jalan untuk menyelamatkan diri & harta mereka!
Tidak ada apa yang perlu mereka pegang kerana mereka tidak takut kepada Allah!
Penutup & Faedah #
- Ayat 63- {Maka ketika mereka kembali kepada bapa mereka, berkatalah mereka: “Wahai ayah kami!…}- apabila kembali dari Mesir saudara-saudara Yusuf terus menceritakan kepada bapa mereka apa yang berlaku terhadap mereka di Mesir!
Antara apa yang berlaku ialah:
i- mereka dilayan dengan baik dan mendapat penghormatan dari menteri ekonomi Mesir.
ii- mereka mendapat bekalan makanan yang banyak serta dijanjikan lagi selepas ini.
iii- menteri meminta mereka untuk membawa adik mereka Bunyamin yang tidak pergi untuk tahun itu!
iv- Jika bawa Bunyamin, nanti mereka akan mendapat tambahan bekalan makanan lagi!
v- menteri bertegas jika tidak bawa Bunyamin mereka tidak akan mendapat bekalan makanan & layanan yang istimewa dari menteri lagi!
Begitulah cara dan adabnya- apabila seseorang ahli keluarga bermusafir, suami, bapa atau anak-anak- jangan lupa untuk melaporkan apa yang berlaku kepada ibu bapa atau keluarga yang menunggu-nunggu cerita dan kepulangan kita!
Bukan buat diam, moody tak tahu apa cerita!!
Agar tenang hati & lapang jiwa mereka- jangan sampai ibu bapa tertanya-tanya, memikirkan tentang anak- yang ditanya sepatah jawab sepatah!
Tiada komunikasi dan kemesraan dengan orang tua!!
Lihatlah bagaimana anak-anak nabi Ya’qub memberi laporan penuh kepada bapa mereka setelah selesai tugas dan kembali dari musafir!
Tambahan:
Firman Allah: {فَأَرْسِلْ مَعَنَآ أَخَانَا نَكْتَلْ- Oleh itu, hantarkanlah dia bersama-sama kami, supaya kami dapat lagi bekalan makanan;}- ada orang menyangka naktal adalah nama saudara Yusuf- maka dia nak letak nama anaknya!
Ingat baik-baik- bukan semua perkataan dalam al-Quran boleh dibuat nama anak!
Seperti perkataan naktal {نَكْتَلْ} dalam ayat ini yang maksudnya sukatan atau timbangan bagi bekalan makanan!
Pilihlah nama untuk anak-anak yang ada makna yang baik dalam bahasa Arab, yang ringkas dan mudah- jangan menyusahkan anak di dunia lagi (susah nak isi borang dan sebagainya) & Akhirat jua apabila dipanggil nama dengan makna yang buruk.
- Ayat 64- {Bapa mereka berkata: “(Jika aku lepaskan dia pergi bersama-sama kamu), aku tidak menaruh kepercayaan kepada kamu menjaganya melainkan seperti kepercayaanku kepada kamu menjaga saudaranya dahulu (yang telah kamu hampakan.}- nabi Ya’qub masih tidak lupa apa yang telah berlaku kepada Yusuf a.s yang telah diberi kepercayaan kepada mereka untuk menjaganya!
Nabi Ya’qub sentiasa bersedih apabila mengenang Yusuf, sehingga matanya berselaput menangis teringatkan Yusuf yang hilang entah ke mana.
Itulah peristiwa hitam yang mengguriskan perasaannya selama-lama!
Manusia ini suka ingat perkara yang tidak baik- maka jaga diri jaga langkah agar jangan sumbang!
Jangan sesekali kita melakukan apa yang tidak baik atau keburukan terhadap orang lain.
Kita tidak mahu orang mengenang kita dengan ingatan yang tidak baik & buruk!
Tetapi tetap ada orang yang mengenang kebaikan kita walaupun sedikit.
Kenangan itu dianggap besar dan begitu berharga- itulah orang yang mengenang budi.
Keburukan orang akan kenang, kebaikan juga orang akan kenang!
Maka kita buatlah kebaikan agar kita meninggalkan legasi & kenangan yang baik!
Nabi Ya’qub berkata: {Oleh itu aku hanya menaruh kepercayaan kepada Allah), kerana Allah jualah Penjaga yang sebaik-baiknya,}-
Kita jangan letakkan kepercayaan dan pergantungan hati sepenuhnya kepada sesama manusia!
Kita percaya kepada janjinya tetapi kita wajib letakkan pergantungan kepada Allah s.w.t sepenuhnya kerana Allah jualah Penjaga yang sebaik-baiknya!
- Ayat 65- {Dan semasa mereka membuka barang-barang mereka, mereka dapati barang-barang dagangan mereka telah dikembalikan kepada mereka…}- apabila mereka buka bekalan makanan mereka; mereka dapati bayaran mereka dikembalikan semula kepada mereka!
Kata ulama’: Akad jual-beli itu sah apabila jelas adanya tanda-tanda keredhaan antara penjual & pembeli.
Tidak kiralah akad jual-beli atau seumpamanya!
Dalam kes ini Yusuf a.s memberi barang-barang yang mereka beli tetapi dia hantar balik modal atau bayaran mereka!
Ini menunjukkan kadang-kadang akad itu sudah memadai dengan tanda-tanda keredhaan.
Tetapi ada setengah ulama’ kata ada muamalat yang perlu kepada akad yang jelas seperti akad-akad yang besar- perlu kepada janji dan akad yang jelas dan rasmi supaya tidak tertipu!
- Ayat 66- {Bapa mereka berkata:”…. kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh”.}-
Kata ulama’: Ini mengajar kita agar jangan meletakkan kata-kata negatif- yang kita tidak mahu terjadi jangan kata- nanti akan menjadi seolah satu doa dan akan terjadi apa kita tidak mahu itu!!
Kata ulama’: (إن البلاء موكل بالمنطق) Sesungguhnya bala itu akan datang mengikut apa yang keluar dari mulut kita!
Dalam kes nabi Ya’qub ini sudah dua kali berlaku peristiwa tidak baik, yang mengikut ucapan atau pesanannya sendiri!
Kita lihat:
i- pertama dalam kes nabi Yusuf- nabi Ya’qub kata dia takut nanti Yusuf dimakan serigala ketika abang-abangnya lalai untuk menjaganya: {dan aku pula bimbang ia akan dimakan oleh serigala, ketika kamu lalai dari mengawalnya “- وَأَخَافُ أَن يَأْكُلَهُ ٱلذِّئْبُ وَأَنتُمْ عَنْهُ غَـٰفِلُونَ}
Akhirnya anak-anaknya bawa balik baju Yusuf yang berlumuran darah dan mengatakan Yusuf dimakan serigala.
ii- kedua dalam kes Bunyamin ini, katanya pula: { إِلَّآ أَن يُحَاطَ بِكُمْ – kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh”.}
Maka benar terjadi kerana Bunyamin tidak dibenarkan balik kerana dia ditahan oleh abangnya Yusuf!
Maka jangan pesan yang pelik, sesuatu yang negatif & tidak baik terutama sekali kepada anak-anak kita- dikhuatiri akan berlaku sungguh!!!!
Jika nak pesan kepada anak-anak; berpesan dengan baik dan tidak melampaui sehingga berlaku kerosakan!
- Ayat 66- {Bapa mereka berkata:” Aku tidak sekali-kali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, sehingga kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat.}-
Ya’qub berkata dia takkan lepaskan anaknya sehingga mereka berjanji dengan nama Allah untuk menjaganya dengan baik, sehingga Allah-lah yang akan tentukan apa yang terjadi!
Yakni, alhamdulillah apabila anaknya berjanji & bersumpah, nabi Ya’qub yakin dengan nama Allah yang disebut!
Kita sebagai orang beriman kita usaha percaya apabila orang sudah bersumpah dengan nama Allah- kecuali ada tanda-tanda keburukan atau bukti orang itu penipu atau seorang yang tidak amanah.
Kisah Ibnu Umar yang dikelentong oleh hambanya dengan sumpah:
Pada suatu hari dia memberi tawaran kepada para hambanya: Siapa yang dapat bersumpah dengan nama Allah bahawa dia jaga solat akan dibebaskan.
Maka ada beberapa orang yang mengaku dan dibebaskan.
Kemudian ada orang yang menasihatinya bahawa ada antara hambanya itu yang menipu dan bersumpah palsu.
Ibnu Umar r.a hanya menjawab: Siapa yang tipu kita dengan nama Allah- maka akan tertipulah kita!
*Yakni apabila orang bersumpah kepada kita dengan nama Allah- kita kena percaya sebagai sesama Islam.
Tetapi ingat tuan-puan, zaman kita ini zaman scammer- orang tak takut kepada Allah!
Mereka boleh bersumpah siang malam untuk menipu orang atau untuk menjaga pangkat kedudukan.
Maka kita kena berhati-hati, siasat dulu, jangan kita mudah-mudah percaya kepada golongan sesumpah ini!
Juga jangan sesekali kita buat perkara tidak baik jika tidak mahu meninggalkan kenangan buruk kepada orang!
Alhamdulillah tamatlah dulu siri tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat manfaat dan kefahaman yang baik.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 19/01/2026 / 29 Rajab 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/share/p/1AKLkfLXos/
Semoga Bermanfaat!
