View Categories

(7) Surah Ar-Ra’d: Ayat 19-24

14 min read

Ulul Albab Ingat Allah S.W.T, 9 Sifat Ulul Albab & Ahli Syurga Berkumpul Sama Keluarga

Live Pagi Ahad 08/02/2026 / 20 Sya’ban 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ar-Ra’d (07) Ayat [19-24]

Full video: https://youtu.be/YHU0MhSPLxo?si=q3mp-KamUwNBE3bA

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ar-Ra’d dengan ayat 19 sehingga ayat 24 dalam juzuk ketigabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang sekumpulan hamba-Nya yang digelar ulul Albab iaitu orang yang bijak & cerdik, yang sentiasa ingat Allah s.w.t.

Kita calonkan diri kita agar termasuk dalam golongan ini agar tidak menjadi manusia yang celaka kerugian di Akhirat kelak.

  1. Kemudian Allah nyatakan 9 sifat atau ciri-ciri ulul Albab yang terdapat dalam surah ini.

Insya’ Allah kita akan mampu termasuk dalam golongan ini.

  1. Kemudian di akhir ayat Allah nyatakan betapa ahli syurga begitu gembira dapat berkumpul bersama ahli keluarga yang disayangi di dalam syurga kelak!

Malaikat pula datang mengucapkan salam sejahtera ke atas mereka yang akan kekal abadi selamanya di dalam syurga.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang dua kumpulan manusia- kumpulan yang dengar perintah Allah itulah ahli syurga manakala kumpulan yang lari itulah ahli neraka.

ii- maka dalam ayat ini Allah buat bandingan bahawa tak sama orang yang tahu iaitu ulul Albab dengan orang buta mata hatinya.

Ulul Albab ialah sekumpulan manusia yang cerdik, yang ada akal & gunakannya iaitu yang tahu dan ada ilmu.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

۞ أَفَمَن يَعْلَمُ أَنَّمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ ٱلْحَقُّ كَمَنْ هُوَ أَعْمَىٰٓ ۚ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَٰبِ ‎﴿٩١﴾‏

Ayat 19- {Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.} (Ar-Ra’d 13:19)

  1. Allah bawa pertanyaan apakah sama antara dua golongan iaitu:

i- kumpulan yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad adalah dari Tuhan itu perkara yang benar.
Dia beriman dengan al-Quran, dia baca tersebut al-Quran & beramal dengannya.

ii- kumpulan yang yang buta matahatinya, tidak berakal kerana tidak nampak kebenaran.
Tak fahan apa satu dengar al-Quran pun tidak beri kefahaman dan faedah.

  1. Allah terus jawab- tidak akan sama sesekali! Allah kata orang yang takut dan ingat kepada Allah itulah ulul- Albab iaitu orang yang ada akal orang yang cerdik menggunakan akalnya untuk berfikir

ٱلَّذِينَ يُوفُونَ بِعَهْدِ ٱللَّهِ وَلَا يَنقُضُونَ ٱلْمِيثَٰقَ ‎﴿٠٢﴾

Ayat 20- {Orang-orang yang menyempurnakan perjanjian Allah dan tidak merombak (mencabuli) perjanjian yang telah diperteguhkan itu; -} (Ar-Ra’d 13:20)

  1. Bermula dari ayat ini Allah nyatakan antara sifat ulul Albab orang yang bijak.
  2. Sifat pertama mereka ialah:
    i- yang menyempurnakan perjanjian dengan Allah .
    Nota [450] “Perjanjian Allah” yakni meliputi perjanjian yang berhubung dengan Allah Ta’ala iaitu beriman kepadaNya dan mematuhi perintahNya dan perjanjian yang berhubung dengan manusia dalam segala lapangan hidup. Semuanya itu wajib disempurnakan dan ditepati.

ii- dan tidak merombak (mencabuli) perjanjian yang telah diperteguhkan!

*Samada janji dengan Allah atau dengan manusia, amanah yang dipertanggung jawab kepada kita ialah janji yang mesti di tepati.

  1. Ini kerana yang menyempurnakan janji ialah orang mukmin manakala yang khianat janji ialah sifat munafiq!
  2. Sebagaimana hadis Nabi s.a.w:
    Sabda Nabi s.a.w:

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ.

Ertinya: ada empat tanda, jika seseorang memiliki empat tanda ini, maka ia disebut munafik tulen.
Jika ia memiliki salah satu tandanya, maka dalam dirinya ada tanda kemunafikan sampai ia meninggalkan perilaku tersebut, yaitu: jika diberi amanat, khianat; jika berbicara, dusta; jika membuat perjanjian, tidak dipenuhi; jika berselisih, dia akan berbuat zalim. [HR Muslim].

  1. Kita orang beriman jauhkan diri dari sifat munafiq amali ini kerana amat buruk dan dicela Allah & Rasulullah s.a.w.

وَٱلَّذِينَ يَصِلُونَ مَآ أَمَرَ ٱللَّهُ بِهِۦٓ أَن يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوٓءَ ٱلْحِسَابِ ‎﴿١٢﴾

Ayat 21- {Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat);} (Ar-Ra’d 13:21)

  1. Sifat ketiga ulul Albab:
    i- orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, iaitu segala perkara yang baik seperti beriman kepada Allah yang Esa.
    Serta menghubungkan silaturrahim- ini pertalian kekeluargaan (yakni hubungan kekerabatan) dan ukhuwwah (tali persaudaraan) yang tiada hubungan kerabat, bukan keluarga.

*Ramai yang keliru istilah, orang Melayu biasanya guna perkataan silaturrahim untuk keduanya walaupun sebenarnya ia berbeza.

  1. Nota (451) Yakni segala perkara yang baik iaitu beriman kepada Allah & beribadat kepada-Nya yang Esa.
    Juga silaturrahim dengan kaum kerabat serta membantu orang yang memerlukan pertolongan.
  2. Kata para ulama’: Menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, ada dua dimensi iaitu secara agama (hubungan dengan Allah Azza wa Jalla) dan duniawi hubungan kita sesama manusia.
  3. Sifat keempat ialah mereka takut bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka.
    Maka jangan kita putuskan hubungan dengan Allah yakni jangan ingkar derhaka kepada Allah dengan buat apa yang Allah larang & tidak suruh.
    Bila derhaka tiada hubungan dengan Allah tetapi ada hubungan dengan syaitan pula!

*Takut kepada Allah dengan ingat kepada mati lalu buat persediaan dan belakan untuknya- bukan setakat takut mati dengan jaga kesihatan dan beli ubat-ubatan.

  1. Sifat Ulul Albab yang kelima ialah takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soal-jawab dan hitungan amal pada hari Kiamat kelak.
    Yakni yakin kita akan dihitung dan dihisab oleh Allah di Akhirat kelak.
  2. Sebagaimana hadis Nabi s.a.w: “Sesiapa yang dihisab dengan teliti, nescaya dia akan diazab.” (HR Muslim)

*Yakni siapa kena tanya sudah dikira azab- siapa yang hanya lalu saja baru dikira hisab yang mudah!

وَٱلَّذِينَ صَبَرُوا۟ ٱبْتِغَآءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُوا۟ مِمَّا رَزَقْنَٰهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِٱلْحَسَنَةِ ٱلسَّيِّئَةَ أُو۟لَٰٓئِكَ لَهُمْ عُقْبَى ٱلدَّارِ ‎﴿٢٢﴾

Ayat 22- {Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; -} (Ar-Ra’d 13:22)

  1. Sifat Ulul Albab keenam: orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata.
    Jika kena ujian atau musibah- besar atau kecil kita sabar dan redha kepada Allah maka itu akan menjadi kaffarah penghapus dosa selain mendapat pahala dari Allah.
  2. Sabar ini ada 3 kategori:
    i- sabar dalam melakukan ketaatan atau ibadat kepada Allah.

ii- sabar dalam meninggalkan maksiat.

iii- sabar apabila ditimpa ujian!

  1. Sifat yang seterusnya ialah Allah kata: orang yang mendirikan sembahyang, dengan sempurna rukun dan syarat, serta ikhlas dan jaga waktunya.
  2. Sifat kelapan: Serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; yakni ada ketika elok infaq secara sembunyi; ada ketika elok kita iklankan untuk menjadi galakan buat yang lain, yakni tengok keadaan kesesuaian suasana.

Kempen kita #hartakumilikku- orang yang Allah sayang Dia beri harta untuk orang itu infaq- orang yang malang dapat harta untuk dihisab.

  1. Rasulullah s.a.w sendiri adalah seorang yang sangat pemuarah dan Baginda pada bulan Ramadhan lebih pemurah daripada angin yang bertiup kencang- yakni cepat pantas bersedeqah.

*Pemurah bukan hanya sejenis tetapi ada 10 kategori yang boleh kita buat.

  1. Sifat ini juga ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t ini:
    {Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.(Al-Baqarah 2:274)
  2. Sifat Ulul Albab yang kesembilan: dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik. Yakni apabila mereka tersalah buat kesilapan mereka qadha’ atau hapuskannya dengan buat kebaikan!!
  3. Contoh menolak kejahatan dengan cara buat baik seperti:
    i- para penjual- Qadha’ balik jika ada jualannya yang tidak kena dengan cara banyak bersedekah.
    Untuk cover yang tidak cukup, terkurang, barang buruk, tersalah baki dan lain-lain.

ii- orang tersilap buat maksiat terus istighfar bertaubat kepada Allah.

iii- zaman kita kerja dulu banyak ponteng atau tersalah guna waktu kerja- bila insaf kita ambil sedikit duit gaji dermakan niat atas majikan kita dulu/ Ini semua pembersihan harta daripada benda yang buruk.

iv- jika kita tersalah keji atau kutuk orang- kita covernya dengan puji atau ceritakan kebaikannya pula di tempat yang sama.
Selain wajib meminta maaf dari tuan badan sendiri!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah:
    {Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.} (Hud 11:114)
  2. Orang yang bersifat dengan semua sifat Ulul Albab ini; semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat kelak!!

جَنَّٰتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَن صَلَحَ مِنْ ءَابَآئِهِمْ وَأَزْوَٰجِهِمْ وَذُرِّيَّٰتِهِمْ ۖ وَٱلْمَلَٰٓئِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِم مِّن كُلِّ بَابٍ ‎﴿٣٢﴾

Ayat 23- {Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu;} (Ar-Ra’d 13:23)

  1. Balasannya ialah:
    i- Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya;
    ii- bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka!

Yakni mereka berkumpul; balik bersama keluarga yang dikasihi di dalam syurga kelak!

  1. Nota [452] Yakni mereka dapat berhimpun pula di dalam syurga yang penuh dengan kesenangan iaitu bersama ibu bapa, suami atau isteri juga anak-anak mereka yang beramal soleh yang sama-sama masuk syurga.

Pertemuan ini akan menambahkan kegembiraan dan kesyukuran mereka!

*Seolah hari keluarga atau reunion di dalam syurga!

سَلَٰمٌ عَلَيْكُم بِمَا صَبَرْتُمْ ۚ فَنِعْمَ عُقْبَى ٱلدَّارِ ‎﴿٤٢﴾‏

Ayat 24- {(Memberi hormat dengan berkata): “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.} (Ar-Ra’d 13:24)

  1. Malaikat pun datang memberi salam dengan hormat kepada mereka ahli syurga, dari setiap pintu malaikat menunggu.
  2. Malaikat mengucapkan kepada mereka:
    i- “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu atas dunia dulu, sabar atas segalanya!

ii- Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu!

Ya Allah jadikan kami dan ahli keluarga kami, serta semua orang yang kami sayangi sebagai orang yang layak untuk berkumpul di syurga-Mu sebagaimana kami berkumpul atas dunia dulu!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 19- {Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya?}-
    Allah bertanya wahai ulul-Albab, wahai orang yang bijak mempunyai akal; kamu fikirkanlah baik-baik dan sedarlah bahawa:

Tidak sama orang yang buta dengan orang yang celik, orang yang baik dengan orang yang tidak baik, orang yang beriman dengan yang tidak beriman, tidak akan sama orang yang ikut Nabi & beramal dengan Sunnah dengan orang tidak ikut Nabi s.a.w!

Maka kita cubalah, usahalah untuk berada di atas landasan yang benar menjadi ulul albab yang sentiasa berfikir, bertadabbur, berta’ammul kepada ayat-ayat Allah yang dilihat & yang dibaca!

  1. Dalam ayat-ayat yang mulia ini Allah nyatalan 9 sifat Ulul Albab iaitu:

i- orang yang menunaikan janji- dia mukmin bukan munafiq!

ii- mereka tidak batalkan perjanjian. Janji sana sini buatnya tidak!

iii- orang yang sentiasa menghubungkan apa yang Allah suruh hubungi.
Hubungan yang paling besar sekali ialah hubungan kita dengan Allah.

Jika kita baik dengan Allah kemudian hubungan kita dengan sesama makhluk juga baik.
Jaga hubungan kita dengan manusia & haiwan juga hubungan dengan alam sekitar.
Insya’ Allah kita akan jadi manusia yang baik, manusia yang elok akhlaknya.

Tiga perkara ini adalah sinonim- tunai janji, tidak membatalkan janji tanpa sebab serta baik hubungan dengan Allah dan sesama makhluk.

  1. Ayat 21- {dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat);}- yakni mereka bimbang akan kemurkaan Allah & takut kepada kesukaran yang kan dihadapi jika iengkar kepada Allah! {وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ}

Dalam ayat ini Allah sebut dua-dua perkataan untuk takut {وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ } & {وَيَخَافُونَ}- ulama’ tadabbur kata ada perbezaan antara dua perkataan ini:

i- takut dengan perkataan {وَيَخَافُونَ} ini adalah takut naluri manusia; seperti kita takutkan sesuatu yang bahaya dan menyakitkan seperti kita takut kepada harimau, lebah dan lain-lain binatang, takut kepada gelap dan seumpamanya.
Inilah takut naluri manusia yang biasa (خوف)

ii- manakala takut dengan perkataan {خشية- وَيَخْشَوْنَ} apabila kita takut akan sesuatu dengan hormat dan tak berani nak lawan atau langgar perintahnya.

Seperti kita takut kepada Allah- kita tidak akan buat maksiat sesekali serta takut akan hari pembalasan.

Kita nak buat apa saja atas dunia ini kita kena ingat dan berfikir dulu sebagaimana kata AAM:
Suratan amalan yang kita nak baca di Akhirat kelak kita sendirilah penulisnya!
Maka berhati-hatilah dalam setiap tindak-tanduk kita!

Maka orang yang ulul Albab akan takut dan bimbang akan hari perhitungan dan pembalasan ini!

  1. Ayat 22- {Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka;..}- sifat ulul albab juga mereka sabar apabila menghadapi ketentuan Allah!

Bagaimana mereka sabar? Iaitu:
i- Mereka bersabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah seperti sabar mendirikan solat dan menjaganya dengan sempurna.
Dia sedekah dan infaq fi-sabilillah- sedekah ini memerlukan kesabaran yang tinggi.

*Sabar dan solat ini sinonim dan Allah sentiasa sebutnya secar berkembar bersama.

Firman Allah s.w.t:
i- {Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;} (Al-Baqarah 2:45)

ii- {Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.} (Al-Baqarah 2:153)

Rasulullah s.a.w juga apabila menghadapi apa-apa masalah terus solat!

Daripada Huzaifah R.A, beliau berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا حَزَبَهُ أَمْرٌ، صَلَّى.
“Adalah kebiasaan Nabi S.A.W apabila ditimpa sesuatu kesulitan, Baginda mengerjakan solat. [HR Abu Daud].

ii- juga sabar dalam meninggalkan perbuatan maksiat dan ikut nafsu.
Memerlukan kesabaran yang tinggi juga untuk melawan hawa-nafsu dan meniggalkan apa yang nafsu suka!

iii- dia juga bersabar apabila ditimpa ujian Allah kerana mengharapkan pahala & keredhaan Allah.

Nabi s.a.w telah menyatakan kita tak akan dapat masuk syurga tanpa rahmat Allah!
Tetapi kena tahu & ingat; Nak dapat rahmat Allah kena ada iman & amal!

  1. Ayat 23- {Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu;}- akhirnya Allah kata orang yang yang mempunyai kesemua sifat ini akan memasuki Syurga yang kekal abadi.

Di dalam syurga pula dia bertemu kembali dengan orang yang disayanginya.
Dia akan bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka.

Inilah kegembiraan dan kebahagiaan yang paling besar bagi orang yang beriman iaitu masuk syurga bersama orang yang disayangi semasa atas dunia dulu.

Ayat 24- {(Memberi hormat dengan berkata): “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.}- malaikat pula memberi salam hormat dan mengucapkan tahniah atas kejayaan mereka itu atas kesabaran mereka atas dunia dulu.

Timbul persoalan dari ayat ini apakah boleh kita beri salam dengan menggunakan lafaz (سَلَـٰمٌ عَلَيْكُم) bukan (السَلَـٰم عَلَيْكُم) seperti biasa?
Jawapannya:
Boleh saja tetapi yang lebih baiknya ada alif lam iaitu:
(السَلَـٰم عَلَيْكُم) serta cara nak jawabnya sama saja.

Cuma perbezaannya sedikit:
i- jika benda yang baik atau doa yang baik kita mulakan dengan benda atau doa itu dulu seperti: (سَلَـٰمٌ عَلَيْكُم)- salam sejahtera ke atas kamu.

ii- tetapi jika untuk doa yang buruk kita mulakan dengan orang itu dahulu seperti: (عليك اللعنة)- ke atas kamu laknat Allah s.w.t.

*Ini perbahasan yang menarik dari sudut bahasa.

Salam sejahtera ini juga disyari’atkan ke atas orang yang hidup dan mati.
Kerana itu apabila kita menziarahi atau melalui kubur disunatkan apabila tiba di kubur untuk memberi salam dan mendoakan mereka terlebih dahulu.

Mereka ahli kubur yang akan berada di alam barzakh akan menjawab salam itu- cuma kita saja tak dapat mendengarnya!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 08/02/2026 / 20 Sya’ban 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top