View Categories

(10) Surah Yunus: Ayat 21-23

17 min read

SIFAT KAFIR SUKA BUAT TIPU DAYA, KERAS KEPALA, KENA BALA CARI TUHAN & SENANG JAHAT SEMULA.

Full video : https://youtu.be/ltsyFFB9GWU?si=gpmGbwI63xP10a0r

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 21 sehingga ayat 23 dalam juz kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa sifat kafir suka buat tipu daya, keras kepala, melawan Allah & Rasulullah SAW. 
    Lalu Allah beri amaran bahawa perancangan Allah lebih cepat, lebih rapi daripada perancangan mereka untuk khianati Islam.
    Iaitu perancangan Allah untuk beri kemenangan kepada umat Islam.
  1. Mereka ini apabila kena bala cari Tuhan, baru ingat untuk berdoa kepada Tuhan agar dilepaskan dari kesusahan itu.
    Tetapi apabila senang mereka lupa Tuhan dan jahat semula, menentang, membuat rancangan jahat menjatuhkan Islam. 
    Ingatlah bahawa malaikat mencatat semua perbuatan.
  1. Allah bawa contoh gambaran analogi yang menarik apabila mereka naik kapal bahtera yang dilambung gelombang ombak terus mereka berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas dan merayu agar selamat!
    Lalu Allah selamatkan mereka; tetapi begitulah apabila selamat dan kembali ke darat terus lupa Allah & kufur kembali!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan setelah puak kafir minta dari Nabi SAW mukjizat nak tengok depan mata mereka benda pelik. 
    Allah suruh Nabi nyatakan bahawa perkara ghaib & mukjizat itu urusan Allah.

    ii- Datang ayat ini Allah nyatakan sifat puak kafir ini ketika kena ujian musibah baru ingat kepada Tuhan, tetapi apabila senang & selamat terus lari dan lupa kepada Tuhan. 
    Bukan setakat lupa tetapi buat perancangan jahat strategi untuk mengkhianti Islam & lawan orang Islam. 
    Mereka ini seumpama melepaskan anjing yang tersepit, apabila terlepas digigit pula tangan yang menolongnya itu.
  1. Tetapi rahmat Allah itu luas, mereka tidak dikenakan azab, dibinasakan terus atas dunia ini, dibiarkan lagi hidup & senang sama ada:
    i- Agar mereka mendapat peluang bertaubat & beriman.

    ii- Atau agar terus tenggelam dalam kejahatan & kekufuran mereka.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 21- {DAN APABILA KAMI BERI MANUSIA MERASAI SESUATU RAHMAT SESUDAH MEREKA DITIMPA SESUATU KESUSAHAN, MEREKA DENGAN SERTA-MERTA MELAKUKAN RANCANGAN MEREKA MENENTANG AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI DENGAN MENDUSTAKANNYA DAN MENGINGKARINYA. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “ALLAH LEBIH CEPAT MELAKUKAN RANCANGAN MENENTANGNYA!” SESUNGGUHNYA MALAIKAT-MALAIKAT UTUSAN KAMI SENTIASA MENULIS AKAN RANCANGAN TIPU DAYA YANG KAMU JALANKAN ITU.} (YUNUS 10:21)

  1. Allah nak ajar kepada kita agar istiqomah, senang atau susah, lapar atau kenyang, tetap berada di atas jalan Allah, di atas landasan yang lurus. 
    Serta sentiasa sabar & syukur kepada Allah.
  1. Allah nyatakan manusia ini apabila diberi kesenangan {رَحْمَةًۭ} selepas diuji dengan ditimpa kesusahan {مِّنۢ بَعْدِ ضَرَّآءَ} terus mereka lupa daratan tidak insaf, bahkan terus melakukan rancangan, konspirasi jahat mereka untuk menentang ayat-ayat keterangan Allah dengan mendustakannya dan mengingkarinya, dengan buat kejahatan {مَّكْرٌ}.
  1. Ayat-ayat Allah ini sama ada:
    i- Pertama ayat Maqru’ah (dibaca) iaitu ayat-ayat Al-Quran itu sendiri yang boleh dibaca dan ditadabbur.

    ii- Atau ayat-ayat yang boleh dilihat, ayat (Manzurah) iaitu tanda-tanda yang boleh dilihat dengan pancaindera seperti kejadian alam ini. 
    Contoh: selepas kemarau Allah turunkan hujan, bumi subur menghijau semula.
    Kesimpulannya ulama’ kata: Dua-dua ayat inilah sama ada yang dibaca atau yang boleh ditengok, yang penting puak kafir ini nak mendustakan ayat-ayat, tanda keterangan Allah SWT.
  1. Nota: Yakni di antara tabiat semulajadi manusia bukan sahaja tidak bersyukur dengan rahmat Allah yang diberikan kepada mereka selepas mereka menderita kesusahan bahkan mereka tergamak menentang keterangan, perintah Allah serta menjalankan tipu daya {مكر} untuk menentangnya! 
  1. Hadis: Nabi doakan kafir agar kena kemarau kerana jahat sangat:
    عَنْ مَسْرُوقٍ قَالَ كُنَّا عِنْدَ عَبْدِ اللَّهِ فَقَالَ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا رَأَى مِنْ النَّاسِ إِدْبَارًا قَالَ اللَّهُمَّ سَبْعٌ كَسَبْعِ يُوسُفَ فَأَخَذَتْهُمْ سَنَةٌ حَصَّتْ كُلَّ شَيْءٍ حَتَّى أَكَلُوا الْجُلُودَ وَالْمَيْتَةَ وَالْجِيَفَ وَيَنْظُرَ أَحَدُهُمْ إِلَى السَّمَاءِ فَيَرَى الدُّخَانَ مِنْ الْجُوعِ فَأَتَاهُ أَبُو سُفْيَانَ فَقَالَ يَا مُحَمَّدُ إِنَّكَ تَأْمُرُ بِطَاعَةِ اللَّهِ وَبِصِلَةِ الرَّحِمِ وَإِنَّ قَوْمَكَ قَدْ هَلَكُوا فَادْعُ اللَّهَ لَهُمْ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى { فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُبِينٍ } إِلَى قَوْلِهِ { إِنَّكُمْ عَائِدُونَ يَوْمَ نَبْطِشُ الْبَطْشَةَ الْكُبْرَى إِنَّا مُنْتَقِمُونَ } فَالْبَطْشَةُ يَوْمَ بَدْرٍ وَقَدْ مَضَتْ الدُّخَانُ وَالْبَطْشَةُ وَاللِّزَامُ وَآيَةُ الرُّومِ.
    Dari [Masyruq] dia berkata, “Kami pernah bersama [‘Abdullah] ketika dia berkata, “Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda ketika melihat orang-orang berpaling (dari Islam): “Ya Allah, timpakanlah kepada mereka kemarau tujuh tahun seperti kejadian zaman Yusuf.” Maka terjadilah masa kemarau tersebut di mana tidak ada tumbuhan-tumbuhan yang tumbuh sehingga mereka memakan kulit, bangkai dan barang-barang busuk. Kemudian ada seorang dari mereka yang memandang ke langit melihat awan lantaran lapar. Lalu Abu Sufyan menemui baginda seraya berkata, “Ya Muhammad, engkau adalah orang yang memerintahkan untuk taat kepada Allah dan menyambung silaturahim, kaummu telah binasa, maka mintalah kepada Allah untuk mereka.” Allah lalu berfirman: ‘(Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata) hingga firman-Nya: ‘(Sesungguhnya kamu akan kembali (ingkar). (Ingatlah) hari (ketika) kami menghantam mereka dengan hentaman yang keras. Sesungguhnya kami adalah pemberi balasan)’ (Dukhaan:10-16). Seksaan (hentaman yang keras) adalah saat mereka terbunuh dalam perang Badar. Dan saat awan gelap sudah berlalu.” [HR Bukhari (952].

    Yakni apabila Nabi berdoa untuk hilangkan kemarau dan kesusahan atas mereka, apabila senang mereka dengan segera kembali bangkit menentang Nabi SAW dan Islam. 
    Inilah yang dikatakan seperti melepas anjing tersepit tadi!!!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan irman Allah SWT juga:
    {Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberi mereka merasai sesuatu rahmat daripadaNya, tiba-tiba sebahagian dari mereka mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhannya;} (Ar-Rum 30:33)
  1. Munasabah ayat ini: Tiga perkara Allah tunjukkan perangai puak kafir:
    i- Apabila Allah timpakan atas mereka, merasa kesusahan pada permulaannya {وَإِذَآ أَذَقْنَاۭ}.

    ii- Apabila mereka diberi kesenangan selepas kesusahan {مِّنۢ بَعْدِ ضَرَّآءَ}

    iii- Tiba-tiba mereka sangat laju menentang balik apabila senang {إِذَا لَهُم مَّكْرٌۭ}
    Cepat lupa & tak kenang budi.
    iv- Lalu datang ayat ini Allah nyatakan bahawa Allah lebih cepat perancangannya daripada puak kafir!
  1. Allah suruh Nabi SAW katakan kepada puak kafir itu bahawa: Perancangan Allah lebih cepat, lebih rapi dan kemas daripada perancangan mereka untuk melawan Islam.
    Jika Allah mahu Allah boleh timpakan azab yang membinasakan mereka semuanya !
    Tetapi Allah bagi peluang kepada mereka untuk menambah kejahatan (istidraj); atau peluang untuk bertaubat. 
  1. Serta ingatlah sesungguhnya malaikat-malaikat utusan Tuhan, malaikat penjaga, sentiasa menulis akan rancangan tipu daya yang mereka jalankan itu.
    Satupun tidak terlepas darinya yang kecil atau besar, yang zahir atau ghaib!
  1. Begitulah perangai manusia yang tidak bersyukur, tidak insaf, mudah lupa daratan, lupa janji & sumpah, mudah lupa ujian yang menimpa mereka apabila mereka senang & mendapat kuasa.

AYAT 22- {DIA LAH YANG MENJALANKAN KAMU DI DARAT DAN DI LAUT (DENGAN DIBERI KEMUDAHAN MENGGUNAKAN BERBAGAI JENIS KENDERAAN); SEHINGGA APABILA KAMU BERADA DI DALAM BAHTERA, DAN BAHTERA ITU PULA BERGERAK LAJU MEMBAWA PENUMPANG-PENUMPANGNYA DENGAN TIUPAN ANGIN YANG BAIK, DAN MEREKA PUN BERSUKACITA DENGANNYA; TIBA-TIBA DATANGLAH KEPADANYA ANGIN RIBUT YANG KENCANG, DAN MEREKA PULA DIDATANGI OMBAK MENIMPA DARI SEGALA PENJURU, SERTA MEREKA PERCAYA BAHAWA MEREKA DILIPUTI OLEH BAHAYA; PADA SAAT ITU MEREKA SEMUA BERDOA KEPADA ALLAH DENGAN MENGIKHLASKAN KEPERCAYAAN MEREKA KEPADANYA SEMATA-MATA (SAMBIL MERAYU DENGAN BERKATA): “DEMI SESUNGGUHNYA! JIKA ENGKAU (YA ALLAH) SELAMATKAN KAMI DARI BAHAYA INI, KAMI TETAP MENJADI ORANG-ORANG YANG BERSYUKUR”.} (YUNUS 10:22)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah ceritakan tentang puak kafir ini yang apabila mereka senang terus lupa daratan & lawan Tuhan.

    ii- Lalu datang ayat ini Allah nyatakan keadaan, bagaimana apabila mereka susah, iaitu mereka u-turn balik pergi cari Tuhan! 
  1. Ayat ini satu analogi bandingan yang mantap Allah buat supaya kita nampak dengan jelas suasana itu. 
    Allah SWT yang menjalankan kamu di darat & di laut dengan diberi kemudahan menggunakan pelbagai kenderaan bermula dari zaman Nabi SAW sehingga ke hari Kiamat.
    i- Kenderaan darat seperti naik unta, kuda, bas kereta basikal dan seumpamanya.

    ii- Di laut pula naik kapal besar yang beribu jemaahnya seperti cruise atau perahu kecil nelayan, semuanya terapung berjalan menuju ke destinasi dengan lambungan ombak & tiupan angin.

    iii. Di zaman kita ini pula tambah lagi kapal terbang, yang terbang di udara.
  1. Kemudian Allah gambarkan keadaan di atas bahtera yang berjalan tenang ditiup angin & penumpangnya gembira dan senang. 
    Tetapi tiba-tiba laut bergelora, datang angin taufan bertiup kencang dan bahtera mereka dalam keadaan bahaya! 
    Mereka pun berasa yakin mereka akan mati & binasa pada hari itu!!!
  1. Ketika itu juga mereka menukar pegangan, terus meninggalkan segala patung berhala, batu kayu segala sembahan mereka dulu & mereka hanya berdoa kepada Allah SWT dengan penuh ikhlas, sepenuh hati memohon pertolongan dari Allah! 
  1. Bahkan mereka merayu, bersumpah dan berjanji dengan mengatakan: {… jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur”.}
    Yakni berjanji jika selamat pada hari itu, mereka akan jadi orang bersyukur, nak beriman & taat kepada Allah, nak ikut Nabi SAW.
  1. Kisah pada hari pembukaan kota Makkah:
    – لمَّا كان يَومُ فَتحِ مَكَّةَ أمَّنَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ الناسَ إلَّا أربَعةَ نَفَرٍ وامرأتينِ، وقال: اقتُلوهم وإنْ وَجَدتُموهم مُعَلَّقينَ بأستارِ الكَعبةِ: عِكرِمةُ بنُ أبي جَهلٍ، وعبدُ اللهِ بنُ خَطَلٍ، ومَقيسُ بنُ صُبابةَ، وعبدُ اللهِ بنُ أبي سَرحٍ.
    فأمَّا عبدُ اللهِ بنُ خَطَلٍ فأُدرِكَ وهو مُتَعلِّقٌ بأستارِ الكَعبةِ، فاستَبَقَ إليه سَعيدُ بنُ حُرَيثٍ وعَمَّارُ بنُ ياسِرٍ، فسَبَقَ سَعيدٌ عَمَّارًا، وكان أشَبَّ الرجُلينِ، فقتَلَه، وأمَّا مَقيسُ بنُ صُبابةَ فأدرَكَه الناسُ في السُّوقِ فقَتَلوه،
    وأمَّا عِكرِمةُ بنُ أبي جَهلٍ فرَكِبَ البَحرَ، فأصابَتهم عاصِفٌ، فقال أهلُ السَّفينةِ: أخلِصوا؛ فإنَّ آلِهَتَكم لا تُغني عنكم شَيئًا ههنا.
    فقال عِكرِمةُ: وَاللهِ لَئنْ لم يُنجِني في البَحرِ إلَّا الإخلاصُ، لا يُنجِني في البَرِّ غَيرُه، اللَّهمَّ إنَّ لكَ عَهدًا إنْ أنتَ عافَيْتَني ممَّا أنا فيه أنْ آتيَ محمَّدًا حتى أضَعَ يَدي في يَدِه، فلَأجِدَنَّه عَفُوًّا غَفورًا كَريمًا، فجاءَ وأسلَمَ،
    وأمَّا عبدُ اللهِ بنُ سَعدِ بنِ أبي سَرحٍ فإنَّه اختَبأ عِندَ عُثمانَ، فلمَّا دَعا رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ الناسَ إلى البَيعةِ جاء حتى أوقَفَه على النَّبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، فقال: يا رسولَ اللهِ، بايِعْ عبدَ اللهِ. قال: فرَفَعَ رأْسَه فنَظَرَ إليه ثلاثًا، كلُّ ذلكَ يأبَى، فبايَعَه بعدَ ثلاثٍ، ثمَّ أقبَلَ على أصحابِه فقال: أمَا كان فيكم رجُلٌ رَشيدٌ يَقومُ إلى هذا حيثُ رآني كَفَفتُ يَدي عن مُبايَعَتِه، فيَقتُلُه؟ فقالوا: يا رسولَ اللهِ، ما نَدري ما في نَفْسِكَ، ألَا أوْمأْتَ إلينا بعَينِكَ. قال: إنَّه لا يَنبَغي لنَبيٍّ أنْ تَكونَ له خائنةُ الأعيُنِ.
    Maksudnya: Pada hari Pembukaan Kota Makkah, Rasulullah SAW. telah memberikan keselamatan kepada semua manusia kecuali empat lelaki dan dua perempuan. Dia berkata: Bunuhlah mereka walaupun kamu dapati mereka bergantung pada tirai Kaabah: Ikrimah bin Abi Jahal, Abdullah bin Khatal, Maqis bin Subaba, dan Abdullah bin Abi Sarh. Adapun Abdullah bin Khatal, dia tertangkap sedang berpaut pada tirai Kaabah. Said bin Huraith dan Ammar bin Yasir berlari ke arahnya. Said mengalahkan Ammar, dan dia adalah yang lebih muda dari dua lelaki itu, dan membunuhnya. Adapun Maqis bin Subaba, orang ramai mengejarnya di pasar dan membunuhnya. Adapun Ikrimah ibn Abi Jahal, dia lari & berlayar menaiki kapal, lalu mereka ditimpa badai. Orang-orang di kapal itu berkata: “Selamatkan diri kamu, kerana tuhan-tuhan kamu tidak akan menolong kamu sama sekali di sini.” Ikrimah berkata: Demi Allah, jika tidak ada yang menyelamatkanku di lautan kecuali keikhlasan, tidak ada yang lain yang menyelamatkanku di darat. Ya Allah, aku berjanji kepada-Mu bahawa jika Engkau menghindarkanku dari keadaanku: Saya akan datang kepada Muhammad dan meletakkan tangan saya di tangannya, dan saya akan mendapati dia seorang yang pemaaf dan pemurah. Jadi dia datang dan masuk Islam. Apabila Ikrimah bin Abu Jahal melarikan diri; isterinya (yang sudah Islam) meminta keamanan bagi pihaknya lalu Rasulullah SAW menjamin keselamatannya. Setelah itu, isteri Ikrimah pun keluar mengikutnya dan membawanya pulang semula ke Makkah. Akhirnya, dia memeluk Islam dan menjadi seorang muslim yang baik. (Lihat Sirah Nabawiyyah al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 702-704) 

AYAT 23- {KEMUDIAN BILA SAHAJA ALLAH SELAMATKAN MEREKA, MEREKA DENGAN SERTA-MERTA MEREBAKKAN PERBUATAN DERHAKA DI BUMI DENGAN TIDAK ADA SEBARANG ALASAN YANG BENAR. WAHAI MANUSIA! SESUNGGUHNYA PERBUATAN KAMU MENDERHAKA ITU HANYALAH BALA BENCANA TERHADAP DIRI KAMU SENDIRI. (DENGAN ITU KAMU HANYA DAPAT MERASAI) KESENANGAN HIDUP DI DUNIA (BAGI SEMENTARA); KEMUDIAN KEPADA KAMILAH TEMPAT KEMBALINYA KAMU, MAKA KAMI AKAN MEMBERITAHU APA YANG KAMU TELAH LAKUKAN.} (YUNUS 10:23)

  1. Munasabah ayat:
    i- Allah ceritakan kepada kita cerita yang lengkap, analogi yang menarik. 
    Apabila susah cari Tuhan apabila senang lawan balik.

    ii- Maka Allah beri amaran bahawa kejahatan kamu itu akan balik ke atas kamu sendiri. 
    Hidup atas dunia ini hanya sementara, kamu semua akan kembali kepada Allah! 
  1. Hadis: DOSA YANG DIPERCEPATKAN BALASAN:
    عَنْ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرُ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ لِصَاحِبِهِ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا مَعَ مَا يَدَّخِرُ لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ الْبَغْيِ وَقَطِيعَةِ الرَّحِمِ
    Daripada Abi Bakrah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada suatu dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya didunia oleh Allah kepada pelakunya di samping (azab) yang disimpan baginya di akhirat daripada berlaku zalim (atau keluar daripada pemerintahan Islam atau sombong/angkuh) dan memutuskan silaturahim. (Sunan Tirmizi No: 2511) [HR Abu Daud & at-Tirmizi].
  1. Allah bagi amaran bahawa dunia ini hanya sementara kemudian kita semua akan kembali kepada Allah. 
    Kelak Allah akan tayang & dedahkan balik apa yang kamu lakukan atas dunia ini dulu untuk perhitungan dan balasan.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 21- {Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat sesudah mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka dengan serta-merta melakukan rancangan mereka menentang ayat-ayat keterangan Kami.}-

    Allah namakan rancangan jahat & pendustaan mereka kepada Allah itu sebagai {مَّكْرٌ} tipu daya, plot jahat dan seumpamanya:
    i- Melemparkan syubhah keraguan terhadap agama Islam & Nabi SAW.

    ii- Berlawan dengan memutar-belit fakta, orang tak kata dia kata!

    iii- Melakukan kerosakan atas muka bumi ini. Macam-macamlah perbuatan melempakan pelbagai tuduhan jahat ke atas Nabi SAW.
    Ayat ini menggambarkan keadaan orang kafir ini tidak menggunakan peluang & nikmat yang Allah beri lalu kerugian.
    Kita umat Islam pun jika berperangai begini, nikmat Islam tidak disyukuri, pasti akan kerugian juga dan kehilangan banyak peluang yang Allah berikan! 
    Kita umat Islam dalam negara kita sekarang ini walaupun ada kelemahan tetapi masih lagi banyak peluang yang Allah berikan kepada kita.
    Tetapi jika peluang ini tidak diambil, kita tiada kesatuan sesama umat Islam, kita akan ditindas. 
    Contoh: Apabila ada orang tegur orang kafir yang mencampuri urusan agama kita yang tidak sepatutnya; ada sesama Islam yang marah & melenting balik seolah terpijak ekor, marah balik kepada yang menegur, maka kita tidak tahu apa yang akan terjadi nanti!
  1. Ayat 22- {Dia lah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan);…}-

    Kita umat Islam kena bersyukur, betapa banyak kemudahan & kesenangan yang Allah SWT beri kepada manusia.
    Kita lihat kepada kenderaan yang Allah beri kepada kita di darat atau di atas laut. 
    Betapa ajaib dan nikmatnya, terutama bahtera atau kapal besar yang belayar di lautan tanpa tenggelam walaupun dilambung ombak yang besar! 
    Kuasa Allah nak suruh kita berfikir jika Allah kata tak tenggelam, datanglah ombak setinggi gunungpun tetap selamat. 
    Tetapi apabila Allah nak buat tenggelam, tiada angin tiada ribut pun boleh terjadi kemalangan!!! 
    Kita sebagai seorang muslim sentiasalah kita balik kepada Allah, ingat kepada Tuhan, agar kita hidup di mana sajapun, hati kita & pergantungan kita sentiasa bersama Allah SWT.

    Hadis: Nabi tengok umatnya di atas kapal pergi berperang: Suatu hari, Rasulullah SAW mengunjungi rumah keluarga Ummu Haram dan suaminya, Ubadah bin Somit. Mereka pun makan bersama & setelah itu, Rasulullah SAW tertidur. Beberapa waktu kemudian, tiba-tiba Baginda terbangun dan tertawa. Ummu Haram pun bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang membuatmu tertawa?” Nabi SAW lantas bersabda bahawa dia bermimpi melihat sekelompok umatnya mengharungi lautan. Dalam mimpi itu, mereka kelihatan bagaikan para raja di atas singgasana. Mendengar itu, Ummu Haram memohon kepada Rasulullah SAW untuk mendoakannya supaya dirinya termasuk dalam kelompok tersebut. Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya engkau akan ada di antara mereka.” [HR Bukhari].

    Kata para ahli sejarah: Ummu Haram adalah wanita terawal yang naik kapal di lautan untuk pergi berperang.
  1. Ayat 22- {… pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur”.}-

    Apabila dalam kesusahan, puak kafir ini akan berdoa dengan doa yang penuh keikhlasan dan betul-betul merayu mengharapkan pertolongan dari Allah SWT.
    Al-Qurtubi dalam tafsirnya berkata: Ayat ini menjadi dalil menunjukkan jika orang yang dalam keadaan terdesak, yang tiada jalan atau lubang keluar lain untuk selamat; jika dia betul-betul berdoa dengan penuh ikhlas kepada Allah, meminta merayu dapat kafir dalam ayat ini, maka apa yang akan terjadi???
    Orang yang terdesak pastilah Allah akan menerima dan memperkenankan doanya. 

    Contoh: Kisah Dr Laurence Brown yang asalnya kafir atheis memeluk Islam kerana keajaiban doanya: https://www.facebook.com/share/v/1f4Kc4BeBJ/
    Orang kafir ini apabila dia dalam keadaan susah dia tak ingat lagi kepada berhala dan lain-lain sembahannya tetapi ingt kepada Tuhan yang Esa. 
    Maka jangan pula kita orang Islam menjadi sebaliknya, apabila susah cari benda lain selain Allah pula untuk berdoa minta tolong!!!!! 
    Seperti cari kubur, cari orang mati, pusu keramat apa yang pelik, semua itu khurafat & syirik!
  1. Ayat 22- {… dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang,…}-

    Dalam ayat ini Allah menyebut angin sebanyak dua kali dengan nama yang sama iaitu:
    i- Angin yang baik {بِرِيحٍۢ طَيِّبَةٍۢ} 

    ii- Dan angin ribut yang kencang {رِيحٌ عَاصِفٌۭ}.

    Sedangkan para ulama’ yang telah mengkaji ayat-ayat Allah mengatakan:
    Biasanya apabila disebut angin dalam al-Quran, Allah bezakan antara dua jenis angin dengan sebut secara mufrad (singular) & jamak (plural).
    i- Perkataan angin dalam Al-Quran yang datang dengan lafaz jamak (الرِّيَاحَ) Al-Riyah; membawa erti angin yang baik beserta rahmat, tiupan angin perlahan sepoi-sepoi bahasa yang membawa kebaikan.

    ii- Sementara lafaz angin yang datang dalam bentuk mufrad iaitu Al-Rih (رِيحٌ) membawa maksud tiupan angin azab yang memusnahkan manusia, iaitu angin yang kencang dan kuat. 

    Tetapi dalam ayat ini Allah gunakan lafaz mufrad (رِيحٌ) untuk kedua keadaan angin sama ada yang baik & yang buruk:
    i- Angin yang baik {بِرِيحٍۢ طَيِّبَةٍۢ} dan mereka bergembira dengannya.

    ii- Dan angin ribut yang kencang {رِيحٌ عَاصِفٌۭ} dan mereka diliputi oleh bahaya;
    Kenapa??
    Jawapan:
    Allah gunakan lafaz mufrad (رِيحٌ) untuk kedua keadaan itu untuk menunjukkan angin yang kencang kerana kapal itu tidak akan bergerak jika angin perlahan & sepoi-sepoi sahaja. 

    Perlu angin kuat untuk tolak layar kapal:
    i- Dalam keadaan pertama anging kencang mengerakkan kapal sebagaimana yang mereka kehendaki, tidak membahayakan dan memberi manfaat; kerana itu Allah kata angin kencang yang baik!

    ii- Manakala dalam keadaan kedua angin kencang itu sudah tidak terkawal lagi membawa bencana yang membahayakan; kerana itu Allah kata angin ribut yang kencang!
    Yang penting keduanya adalah angin yang kencang (رِيحٌ) yang boleh menggerakkan kapal, wallahu a’lam.
  1. Ayat 23- {Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri.}-

    Allah nyatakan orang kafir tadi yang dalam kesusahan tadi ingat Allah tetapi apabila mereka selamat terus kembali derhaka buat kejahatan & lupa Tuhan.
    Maka Allah beri amaran peringatan: jangan kamu berani-berani buat kejahatan kerana kejahatan itu akan balik menimpa ke atas kepala diri kamu sendiri.

    Sebagaimana hadis: DOSA YANG DIPERCEPATKAN BALASAN ini:
    عَنْ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرُ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ لِصَاحِبِهِ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا مَعَ مَا يَدَّخِرُ لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ الْبَغْيِ وَقَطِيعَةِ الرَّحِمِ
    Daripada Abi Bakrah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada suatu dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya didunia oleh Allah kepada pelakunya di samping (azab) yang disimpan baginya di akhirat daripada berlaku zalim (atau keluar daripada pemerintahan Islam atau sombong/angkuh) dan memutuskan silaturahim” [HR Abu Daud & at-Tirmizi].

    Jangan zalim atas dunia ini, siapa yang berkuasa lupa diri dan menzalimi orang, tunggulah sekali Allah sentap kamu akan kehilangan segalanya! 
    Mata kamu tidur tetapi mata orang dizalimi tidak tidur kerana merintih berdoa kepada Allah!
    Kamu tidur tetapi mata Allah tak tidur, kerana Allah mendengar rintihan & doa orang yang dizalimi.  
    Jika terlepas di dunia pun, pembalasan & azab di Akhirat tetap menanti!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top