KAFIR NAK TEBUS DIRI DI AKHIRAT, JANJI ALLAH BENAR & KEPADA ALLAH AKAN KEMBALI.
Full video : https://youtu.be/gpE46ucx_vU?si=oWRKSvIYV05mRjjs
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 54 sehingga ayat 56 dalam juz kesebelas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa puak kafir di Akhirat kelak cuba mencari-cari dana yang ada untuk nak tebus dirinya dari azab Allah!
Tetapi tidak ada apa yang boleh dibuat, penyesalan yang tiada guna lagi.
Kemudian Allah nyatakan bahawa janji Allah benar & Allah akan jatuhkan hukuman ke atas mereka dengan adil!
- Allah nyatakan bahawa langit & bumi ini milik Allah, janji Allah nak beri syurga kepada orang mukmin itu benar, janji Allah nak azab orang kafir yang syirik itu benar!
Tetapi apa boleh buat kamu buat tak dengar & mahu lawan juga walaupun sudah nampak kebenaran.
- Kemudian Allah nyatakan kuasanya mematikan semua makhluk & kepada Allah mereka semua akan kembali.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang azab yang disediakan untuk puak kafir.
Allah juga ajar kepada Rasulullah SAW untuk bersumpah menyatakan bahawa janji Allah itu benar & sesiapa yang derhaka kepada Allah tidak akan terlepas walaupun sedikit.
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan penyesalan puak kafir di Akhirat yang tidak ada guna lagi!
Jika nak sesal, sesallah sekarang ketika masih hidup atas dunia; bukan setelah mati di Akhirat.
Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna!!
- Masuklah masjid sekarang dengan berjalan sendiri; bukan dengan diusung orang di atas keranda!
Nak bersedekah infaq adalah sekarang; bukan setelah akaun & harta kita menjadi pusaka milik orang lain!
Jangan dok bakhil & menjadi pengecut yang tidak memberi apa-apa manfaat, jangan menyesal apabila tiada faedah lagi!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 54- {DAN PADA MASA ITU SEKIRANYA TIAP-TIAP SEORANG YANG BERLAKU ZALIM (KEPADA DIRINYA SENDIRI ATAU KEPADA ORANG LAIN) ITU MEMPUNYAI SEGALA YANG ADA DI BUMI, TENTULAH IA RELA MENEBUS DIRINYA DENGAN SEMUANYA ITU (DARI AZAB YANG AKAN MENIMPANYA); DAN MEREKA TETAP AKAN MERASA SESAL SERTA KECEWA MANAKALA MEREKA MELIHAT AZAB ITU; DAN ALLAH PUTUSKAN HUKUM DI ANTARA MEREKA DENGAN ADIL SERTA MEREKA TIDAK AKAN DIANIAYA DENGAN KEPUTUSAN ITU.} (YUNUS 10:54)
- Allah nyatakan jika:
i- Mereka yang kafir syirik atau maksiat derhaka kepada Allah atas dunia ini apabila melihat azab yang ada di depan mata mereka di Akhirat kelak:
ii- Jika mereka mempunyai harta yang banyak & jika boleh; pastilah dia akan cuba menebus dirinya dengan menyerahkan segala harta yang ada dibumi bahkan sanggup menukar dengan anak isteri sendiri untuk menyelamatkan dirinya dari azab yang akan menimpanya.
- Tetapi apa boleh buat, sudah tidak ada jalan lagi untuk melepaskan diri, Allah berfirman dalam sebuah hadis:
إنَّ اللَّهَ يقولُ لأهْوَنِ أهْلِ النَّارِ عَذابًا: لو أنَّ لكَ ما في الأرْضِ مِن شيءٍ كُنْتَ تَفْتَدِي بهِ؟ قالَ: نَعَمْ، قالَ: فقَدْ سَأَلْتُكَ ما هو أهْوَنُ مِن هذا وأَنْتَ في صُلْبِ آدَمَ، أنْ لا تُشْرِكَ بي، فأبَيْتَ إلَّا الشِّرْكَ. الراوي : أنس بن مالك | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
Wahai hamba-Ku, aku tidak minta pun dengan kamu harta seluruh bumi; aku minta sedikit sahaja iaitu agar kamu tidak melakukan syirik kepada-Ku!
Tetapi apa boleh buat kamu pilih jalan yang salah, jalan yang songsang, maka kosong & kerugianlah kamu!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun ia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun.} (Ali-‘Imran 3:91)
- Jelas dalam kedua-dua ayat ini menafikan bahawa manusia boleh menebus & menyelamatkan dirinya di Akhirat kelak dengan apa jua sekalipun!
- Maka pada ketika itu setelah melihat azab di depan mata itu, barulah mereka kesal, yakin & percaya apa yang dijanjikan dulu, bahawa mereka akan dihumbankan ke dalam neraka!
Tetapi apa guna penyesalan pada waktu itu tidak ada guna lagi walaupun sekelumit!
- Semua hukuman ke atas mereka itu Allah putuskan hukum di antara mereka dengan adil serta mereka tidak akan dianiaya dengan keputusan itu.
Yakni tiada siapa yang akan dizalimi walaupun orang kafir, Allah akan putuskan dengan adil; apatah lagi orang mukmin.
- Mereka mendapat azab siksa itu akibat kedegilan keras kepala mereka sendiri yang tidak mahu beriman, menolak kebenaran yang telah disampaikan kepada mereka!
AYAT 55- {INGATLAH! SESUNGGUHNYA SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN DI BUMI ADALAH KEPUNYAAN ALLAH. AWASLAH! SESUNGGUHNYA JANJI ALLAH ITU ADALAH BENAR, TETAPI KEBANYAKAN MANUSIA TIDAK MENGETAHUI.{ (YUNUS 10:55)
- Munasabah ayat;
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa puak zalim itu jika mampu mereka nak tebus diri mereka!
Jika mereka ada sepenuh bumi emas pun mereka akan sanggup bayarnya!
ii- Maka dalam ayat ini Allah balas balik dengan sentap kepada mereka, kamu mahu tebus diri kamu dengan harta emas perak; sedangkan langit & bumi dan seluruh isi kandungannya adalah milik Allah, Allah tidak berhajat kepada semua itu!!
- Ingatlah!!! Allah memperingatkan: Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah SWT Yang Esa. Tidak ada apa yang dapat menghalang apa yang Allah telah tetapkan & kehendaki!
- Jika Allah kata orang ini akan dapat azab, maka kena azablah dia.
Jika Allah akan kata orang ini akan dapat nikmat & syurga, maka syurga-lah baginya!
Kerja kita orang beriman adalah mencari syurga dengan ikhlas, dengan tauhid & ibdat kita, serta dengan berpegang dengan Sunnah Nabi SAW, teguh bersamanya.
- Kata al-Qurtubi RHM: Kalimah {أَلَآ} ini dengan maksud ingatlah, agar manusia buka mata telinga beri perhatian kepada apa yang Allah nak sampaikan ini!!
- Kemudian sekali lagi Allah mengingatkan: Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, janji Allah untuk beri kemenangan kepada umat Islam itu benar, janji Allah untuk menghapuskan puak kafir itu benar, tetapi ada tempoh dan waktunya yang telah Allah tetapkan!
- Bila sampai waktunya tiada siapa boleh halang apa yang Allah nak beri, tiada siapa boleh beri apa yang Allah nak halang!
Maka dalam semua perkara kita jangan lupa kepada kuasa Allah yang mengatasi segala-galanya!
- Cuma kadang-kadang kita nampak sahabat-sahabat, saudara-saudara kita yang sedang ditimpa ujian yang sudah lama.
Sebagaimana keadaan saudara kita di Pls.. yang dibawah kezaliman rejim Isr… tetapi mereka tetap tidak boleh dihapuskan walaupun Isr mempunyai senjata yang canggih & tentera yang ramai dan kuat.
Ingat kuasa Allah dapat mengatasi segala kuasa atas dunia ini, jika sudah sampai masanya Allah nak beri pertolongan maka umat Islam akan menang.
- Ketika inilah kita kembali kepada ayat kita ini bahawa kita kena yakin dengan janji & luas Allah SWT!
Kita bedoa semoga Allah memberikan bantuan segera kepada para saudara Islam di mana saja mereka berada; pertolongan yang tidak bertangguh lagi!
Allah berkuasa nak hapuskan mana-mana penguasa zalim atas dunia ini, lihat saja contoh kepada Fir’aun.
- Di akhir ayat Allah nyatakan janji Allah itu benar tetapi kebanyakan manusia itu tidak mengetahui, kerana itu puak kafir mendustakan ayat-ayat Allah kerana mereka tidak percaya! Maka tunggulah akibatnya di Akhirat kelak!
AYAT 56- {DIA LAH YANG MENGHIDUPKAN DAN YANG MEMATIKAN, DAN KEPADANYALAH KAMU AKAN DIKEMBALIKAN UNTUK MENERIMA BALASAN.} (YUNUS 10:56)
- Allah SWT berkuasa nak menghidupkan balik puak kafir itu di Akhirat kelak & apabila Allah nak matikan mereka atas dunia ini tiada siapa boleh sekat & halang juga!
- Kita orang Islam yang penting cara nak memilih kematian itu yang baik!
Kita nak mati dalam husnul-khatimah maka jangan buat maksiat – takut nanti kita mati dalam maksiat itu pula, na’uzu billah!
Maka perbanyakkan amal ibadat & kebaikan – kerana jika mati dalam keadaan itu, ada tanda-tanda kebaikannya walaupun kita tak boleh nak jamin lagi!
- Di akhir ayat Allah kata: ..dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan, yakni tiada siapa yang lepas, kepada Allah jualah tempat kita kembali untuk menerima pembalasan!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 54- {Dan pada masa itu sekiranya tiap-tiap seorang yang berlaku zalim (kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain) itu mempunyai segala yang ada di bumi,..}-
Yakni Allah kata: jika orang kafir itu ada harta sebutir bumi ini semuanya miliknya, bukan hanya sekeping dua saja, mereka tetap tak akan dapat nak menebus diri mereka untuk bebas dari azab Allah!
Kata ulama’ tadabbur: Untuk memberi manfaat atau mudharat kepada kita, memberi pahala atau dosa kepada kita; bergantung kepada amalan yang kita buat.
Sesiapa yang buat amalan baik, alhamdulillah maka selamatlah dia.
Sesiapa yang buat amalan buruk, maka celakalah dia walaupun dia berasal dari keturunan yang mulia & baik.
Semua itu harta atau pangkat keturunan, tidak akan memberi manfaat & pulangan yang baik jika dia buat amal tak baik!
Allah sebut di sini setiap jiwa {لِكُلِّ نَفْسٍۢ}- tiap-tiap seorang asalkan berlaku zalim kepada dirinya sendiri (kufur & syirik) atau zalim kepada orang lain serta buat lain-lain dosa & maksiat, jika ada harta yang boleh tebus diri mereka- mereka akan menebusnya, tetapi tak akan boleh tebus sesekali!!!
Ayat ini menyatakan kepada kita bahawa mereka tak mampu lagi menghadapi suasana yang begitu gawat, tak mampu lagi untuk menyelesaikan masalah, maka kita yang beriman, faham, sedar & insaf ini, yang yakin, buatlah yang terbaik atas dunia sebelum kita dimatikan dan kembali kepada Allah!
Jika kita tak dengar kata tak hirau juga, maka ketika itu penyesalan yang tidak berfaedah akan menimpa kepada orang-orang yang tidak melakukan kebaikan atas dunia ini!
- Ayat 54- {… dan mereka tetap akan merasa sesal serta kecewa manakala mereka melihat azab itu;..}–
Orang kafir menyembunyikan kesedihan & penyesalan mereka, apabila mereka lihat azab di depan mata mereka!
Kata ulama’ tadabbur seperti al-Wahidi: Apa yang mereka sembunyikan dalam hati ini apabila mereka keluar daripada kubur mereka & sebelum dicampakkan ke dalam neraka!
Ini tahap kedua.
Tetapi apabila mereka dicampakkan ke dalam neraka; tidak ada apa lagi, mereka akan lupakan segalanya nikmat atas dunia dulu lansung tidak faedah, tidak ada guna lagi penyesalan & keinsafan!
Ini adalah tahap ketiga!
Tahap pertama ialah:
Orang kafir ini apabila nak mati diperlihatkan tempat ke mana dia akan pergi iaitu neraka, malaikat buka hijab.
Apabila melihat itu rohnya akan lari masuk ke dalam badannya sehingga malaikat terpaksa menyentap rohnya keluar dengan kasar dan menyakiti, maka menggelupurlah kesakitan tetapi Allah tutup rahsia itu daripada kita manusia yang masih hidup!
Hadis Nabi SAW riwayat Muslim.
Maka jika nak menyesal, menyesallah sekarang ketika masih hidup bukan pada hari tidak memberi faedah lagi!
- Ayat 54- {… dan Allah putuskan hukum di antara mereka dengan adil serta mereka tidak akan dianiaya dengan keputusan itu.}-
Dalam ayat ini & ayat 47 Allah nyatakan bahawa diputuskan hukuman antara mereka dengan adil! {وَقُضِىَ بَيْنَهُم بِٱلْقِسْطِ}
Maka jangan rasa hukum Allah ini tidak adil, zalim atau berat sebelah!
Kerana itu Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa hukuman-Nya adil kepada:
i- Orang yang telah diberi peringatan, amaran & ancaman bahawa: mereka kena beriman kepada Allah, kena taat jangan kufur jangan syirik dan buat dosa maksiat kepada Allah.
ii- Jika kamu buat juga yang dilarang, tak ikut perintah & larangan ini; maka Allah akan jatuhkan hukuman ke atas kamu dengan adil! Kamu sesekali tidak akan dizalimi.
Ini dalam Surah Yunus.
Manakala dalam Surah Az-Zumar dalam ayat 69 & 75, Allah gunakan perkataan lain sedikit iaitu:
{وَقُضِىَ بَيْنَهُم بِٱلْحَقِّ } – {… dan akan dihakimi di antara mereka dengan benar.}
Yakni dalam dua ayat Surah Yunus Allah kata Allah SWT jatuhkan hukuman dengan adil {بِٱلْقِسْطِ}- manakala dalam dua ayat surah Az-Zumar Allah kata Allah SWT jatuhkan hukuman dengan benar {بِٱلْحَقِّ}.
Kata ulama’ bezanya kerana:
i- Kerana Allah nak suruh orang beramal.
Allah sebut dengan adil kerana balasan adalah mengikut timbangan amalan yang kamu amalkan.
Ukuran atau sukatannya adalah dengan zarrah atau atom yang paling kecil, maka menunjukkan betapa keadilan Allah SWT.
ii- Allah sebut dengan benar pula kerana kedua ayat itu menunjukkan kepada saksi; iaitu Nabi SAW akan menjadi saksi kepada kita, maka benar sekali janji Allah kepada kita, ia pasti akan terjadi!
Jom kita tadabbur ayat-ayat al-Quran untuk memberi manfaat kepada kita, menguatkan keimanan dan meninggikan darjat di sisi Allah!
- Ayat 55- {Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah.}-
Ingatlah! Allah guna perkataan { أَلَآ- ingatlah} kerana Allah nak suruh kita yang dengar celik mata buka telinga, dengar baik-baik, beri perhatian!
Allah beri peringatan ini kerana ramai manusia yang tidak mendengarnya, yang dengar hanya sedikit!
Sesama Islam pun ramai yang tidak mahu dengar, tidak mahu tadabbur al-Quran untuk menambahkan kefahaman apatah lagi di kalangan orang kafir!
Kita berdoa moga Allah beri pertolongan segera kepada rakyat Falestin dan dalam masa yang sama semoga Allah beri hidayah taufiq kepada mereka yang masih bukan Islam, yang bersimpati & turut berjuang membela membantu umat Islam Palestin daripada kekejaman zionis yahudi!
Ya Allah beri taufiq dan hidayah kepada kami semua kepada jalan yang kamu redhai!
Marilah kita masuk dalam kumpulan yang haq walaupun sedikit tapi berada di atas jalan yang benar!
- Ayat 56- {Dia lah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan.}-
Hanya Allah yang berkuasa menghidupkan dan yang mematikan manusia & semua makhluk.
Yang paling kita takuti ialah kepada Allah kita akan dikembalikan untuk menerima balasan!!!
Nabi SAW sendiri sentiasa menggalakkan kita supaya ingat kepada mati & kepada Akhirat, kerana ingat kepada mati kita tak berani nak buat maksiat & mungkar.
Sebagaimana kita baca doa apabila bangun tidur tadi: اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُوْرُ
Maksud: Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepada-Nya lah tempat kembali. (HR. Bukhari: 5837)
Di mana kita bersyukur kerana kita hidup selepas tidur dan bangun pagi ini tetapi dalam masa yang sama jangan lupa bahawa kita akan kembali kepada Allah jua akhirnya!
Ayat ini sentap kerana apabila kita tahu kita akan kembali kepada Allah, kita tahu di hadapan kita dosa & pahala, ada hisab & balasan, di hadapan kita ada syurga & neraka maka kita akan muhasabah diri tak berani buat maksiat insya’ Allah.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam,
