View Categories

(16) Surah Yunus: Ayat 37-40

13 min read

AL-QURAN KALAM ALLAH, MENCABAR KAFIR BAWA SEPERTINYA & KAFIR AKAN ADA YANG BERIMAN.

Full video : https://youtu.be/i1BjT80Dsc4?si=XU9AZgpnqp4KYEHj

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 37 sehingga ayat 40 dalam juz kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa Al-Quran Kalam Allah, bukan ciptaan atau rekaan Nabi SAW. 
    Baginda tak pandai reka, Baginda hanya menerima wahyu dari Allah untuk menerimanya, membaca, menyebarkannya serta beramal dengannya.
  1. Kemudian Allah SWT mencabar puak kafir yang tidak percaya & tidak mahu terima al-Quran untuk membawa sesuatu sepertinya yang lebih baik bagi mereka. 
  1. Allah nyatakan kafir tidak beriman & tidak menerima al-Quran kerana mereka tidak ada ilmu. 
    Ini kerana manusia akan memusuhi apa yang dia tidak tahu. (“الناس أعداء ما جهلوا”).
  1. Kemudian Allah nyatakan dua golongan manusia: 
    i- Akan ada yang beriman & menerima al-Quran dan

    ii- Ada yang terus kufur ingkar dengan al-Quran sehingga ke akhirnya.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang dalil-dalil keEsaan Allah Azza wa Jalla & hujjah-hujjah yang nyata lagi jelas sama ada melalui ayat yang maqru’ah atau manzurah, dua-duanya ada & jelas.

    ii- Maka datang ayat ini mentasbitkan bahawa al-Quran itu benar, Nabi SAW itu benar.
    Al-Quran adalah bukan rekaan Nabi SAW tetapi adalah satu wahyu yang turun dari Allah SWT. Nabi terimanya, baca, ajar & amalkannya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 37- {DAN BUKANLAH AL-QURAN INI SESUATU YANG BOLEH DIADA-ADAKAN OLEH YANG LAIN DARI ALLAH; TETAPI AL-QURAN ITU DITURUNKAN OLEH ALLAH UNTUK MEMBENARKAN KITAB-KITAB YANG DITURUNKAN SEBELUMNYA, DAN UNTUK MENJELASKAN SATU PERSATU HUKUM-HUKUM SYARAK YANG DIWAJIBKAN (ATAS KAMU); TIDAK ADA SEBARANG SYAK DAN RAGU-RAGU PADA AL-QURAN ITU TENTANG DATANGNYA DARI ALLAH, TUHAN YANG MENCIPTA DAN MENTADBIRKAN SEKAMU ALAM.} (YUNUS 10:37)

  1. Allah menegaskan bahawa tidak layak al-Quran ini dikatakan rekaan makhluk lain, tidak mungkin ia berlaku kecuali ia adalah wahyu yang turun dari Allah SWT.
    Ini kerana manusia tidak akan mampu nak buat atau nak tiru al-Quran selamanya walaupun seorang nabi.
  1. Antara tugas al-Quran ialah:
    i- Untuk membenarkan {تَصْدِيقَ} Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, seperti Tertentu, Zabur & Injil. 
    Ia juga sebagai pengawal (مهيمن) akan isi kandungan kitab-kitab yang terdahulu. 
    Jika ada orang yang selewengnya maka al-Quran sebagai tempat rujukan untuk memeriksanya, al-Quran boleh kata tak betul, itu bukan Kalamullah itu rekaan manusia! 
    Maka usul Tauhid & asas kepercayaannya adalah sama iaitu beriman kepada Allah yang Esa tanpa menyekutukannya!

    ii- Dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum Syarak yang diwajibkan atas manusia seperti dari segi hukum feqah, faraidh, aqidah dan khabar-khabar yang ada dalam al-Quran.
    Yakni hukumnya dengan Kitab terdahulu ada perbezaan kerana mengikut suasana & gaya hidup umat. 
    Contoh ada yang halal bagi mereka mungkin tidak bagi kita. 
    Yakni ada hukum yang sama ada yang tidak, maka kita tidak boleh lagi pakai undang-undang Taurat atau Injil.
  1. Semua nabi dan rasul AS menyeru manusia kepada menyembah Allah Yang Esa dan menolak semua ibadat yang lain, walaupun berbeza dari segi syariat (perundangan) dan hukum, tetapi sama pada asasnya iaitu Tauhid kepada Tuhan Yang Esa. 
    Sebagaimana Hadis: Sabda Nabi SAW: الأنبياء إخوة لعلات . [ رواه البخاري ]
    Bermaksud: “Semua nabi adalah adik beradik tiri (sebapa tapi berlainan ibu)”. (HR Al-Bukhari). 
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    {Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.} (Yusuf 12:111)
  1. Allah tegaskan lagi bahawa tidak ada sebarang syak dan keraguan pada Al-Quran itu tentang datangnya dari Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekelian alam.
    Yakni al-Quran datang dari sisi Allah SWT tanpa ragu & syak lagi.
  1. Allah kata ia datang Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekamu alam, kerana Allah nak menunjukkan bahawa Allah adalah Pendidik, Pentadbir, Pengatur perjalanan alam ini.
    Maka kamu manusia; jangan nak tunjuk pandai dengan Allah, reka buat undang-undang sendiri yang tak menjadi kerja. 
    Undang-undang yang sepatutnya manusia terima & pakai adalah undang-undang Syari’ah yang diturunkan Allah SWT!
  1. Tetapi apabila datang penjajah kafir yang memesongkan otak orang beriman sehingga boleh mengatakan undang-undang Islam ini lapuk, ketinggalan zaman dan seumpamanya manakala yang betulnya adalah undang-undang ciptaan manusia.
    Inilah kekacauan yang berlaku dalam dunia sekarang. 
  1. Al-Quran bukan rekaan atau kata-kata orang lain tetapi adalah kata-kata Allah yang sifatnya adalah Mutakalliman (متكلما).

AYAT 38- {(ORANG-ORANG KAFIR TIDAK MENGAKUI HAKIKAT YANG DEMIKIAN ITU) BAHKAN MEREKA MENGATAKAN: “DIA LAH (MUHAMMAD) YANG MENGADA-ADAKAN AL-QURAN MENURUT REKAANNYA”. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “KALAU DEMIKIAN, DATANGKANLAH SATU SURAH YANG SEBANDING DENGAN AL-QURAN ITU, DAN PANGGILAH SIAPA SAHAJA YANG KAMU DAPAT MEMANGGILNYA, YANG LAIN DARI ALLAH (UNTUK MEMBANTU KAMU), JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR!”.} (YUNUS 10:38)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nafikan sekerasnya bahawa al-Quran ini rekaan Nabi SAW. 
    Bahkan Allah nyatakan fungsi al-Quran datang untuk mengawal isi kandungan kitab yang terdahulu & menjelaskan isi kandungan & hukum-hakam yang terdapat di dalam kitab sekarang.
    Serta di antara I’jazu al-Quran, iaitu melemahkan orang daripada melawan dan mencabarnya; 

    ii- Maka dalam ayat ini Allah cabar puak kafir yang mendakwa al-Quran sebagai rekaan Nabi SAW itu, maka kamu buat & bawalah satu surah atau ayat saja seperti al-Quran ini! 
    Jika kamu kata Nabi yang reka, maka kamu pun rekalah juga yang seumpamanya!  
    Maka terbatallah tuduhan itu!
  1. Puak kafir masih tak puas hati & mendakwa menuduh bahawa al-Quran adalah rekaan Nabi Muhammad SAW. Sedangkan mereka semua tahu Baginda adalah seorang yang tidak membaca & menulis, bagaimana boleh dia reka sebuah kitab yang begitu indah & tinggi ilmunya.
  1. Lalu Allah mencabar mereka untuk membawa satu ayat atau satu surah saja yang serupa dengan al-Quran, kerana mereka kata Nabi yang rekanya maka takkan mereka pun tak dapat reka juga seperti al-Quran!
  1. Jika tak mampu, Allah cabar lagi mereka untuk memanggil dan meminta pertolongan dari sesiapa saja. 
    Cari & panggil semua pakar bahasa, ahli syair sasterawan dan sesiapa yang mereka ada untuk tolong mereka buat seperti al-Quran, jika benar dakwaan kamu itu!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”.} (Al-Isra’ 17:88)
  1. Nota 322: 
    Al-Quran al-Karim yang mengandungi ilmu pengetahuan yang tinggi, undang-undang Syara’ yang adil, adab peraturan masyarakat yang rapi, berita-berita ghaib yang telah lepas & yang akan datang; sudah tentu tidak ada siapa yang dapat membuatnya selain daripada Allah SWT. 
    Dengan ini jelaslah bahawa golongan kafir yang mengatakan bahawa al-Quran itu adalah rekaan & karangan Nabi SAW, tidak patut, tidak logik sekali dan tidak dapat diterima oleh akal yang siuman & murni.
  1. Diceritakan bahawa puak Quraisy telah cuba buat satu surah tentang al-fil (gajah) yang mengandungi cerita tentang gajah yang besar, ada belalai dan lain-lain yang telah diketahui oleh semua orang! Satu kegagalan yang nyata!!!

AYAT 39- {BAHKAN MEREKA PULA TERBURU-BURU MENDUSTAKAN AL-QURAN YANG FAHAMAN MEREKA TIDAK DAPAT MELIPUTI SEGALA ISI PENGETAHUANNYA, DAN BELUM DATANG KEPADA MEREKA KENYATAAN YANG MENJELASKAN KEBENARANNYA. DEMIKIANLAH JUGA ORANG-ORANG SEBELUM MEREKA MENDUSTAKAN (KITAB-KITAB ALLAH YANG DITURUNKAN KEPADA MEREKA). MAKA LIHATLAH BAGAIMANA AKIBAT ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU (BERAKHIR DENGAN BERBAGAI BENCANA YANG MEMBINASAKAN MEREKA).} (YUNUS 10:39)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan mukjizat al-Quran. 
    Antaranya ialah bahasanya yang mantap & maklumatnya yang lengkap, sehingga segala pakar bahasa Arab yang ada di Makkah tidak dapat lansung mencabar al-Quran. 

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan sebab kenapa kafir Quraisy menolak al-Quran, bukan kerana mereka tak fahamnya & tak tahu bahawa ia adalah sesuatu yang benar. 
    Al-Quran adalah dalam bahasa mereka sendiri yang boleh difahami hanya dengan mendengarnya sahaja.
  1. Punca puak kafir terburu-buru menolak al-Quran adalah kerana mereka tak dapat menguasai ilmu al-Quran iaitu ilmu tentang tauhid. 
    Mereka sebenarnya faham apa yang dibawa & diseru oleh al-Quran tetapi kerana bercanggah dengan pegangan mereka selama ini mereka tidak dapat menerimanya!! 
    Yang mana mereka ada sembahan yang banyak, sembah batu, kayu dan sebagainya; ini bercanggah dengan ajaran tauhid yang dibawa oleh al-Quran.
  1. Mereka juga tak faham dengan apa yang dijanjikan oleh al-Quran. 
    Iaitu jika mereka derhaka kepada Nabi SAW & kufur kepada Allah; maka Allah akan turunkan azab & bencana ke atas mereka di atas dunia ini sebelum Akhirat!

    Sedangkan jika mereka lihat saja contoh kebinasaan umat-umat terdahulu mereka akan faham & tahu! 
    Mereka akan takut dan tak kan berani lawan al-Quran & derhaka kepada Nabi SAW.
  1. Kaum terdahulu telah binasa dan dimusnahkan Allah SWT kerana mereka juga menolak untuk beriman & mendustakan nabi-nabi mereka! 
    Umat terdahulu telah binasa dengan bencana yang Allah hantar seperti air banjir, angin kencang, ditelan bumi dan seumpamanya. 
  1. Maka kamu Quraisy Makkah berhati-hatilah juga!
    Bagaimana binasanya orang terdahulu, Allah akan membinasakan juga mereka yang zalim, yang mendustakan nabi-nabi dari kalangan umat ini! 
    Jangan sangka kamu akan selamat dan terlepas; Jika kamu lawan nabi, lawan rasul; kamu juga akan menerima nasib yang sama seperti mereka.

    Jika umat dahulu binasa dengan bencana yang Allah hantar ke atas mereka, umat Nabi Muhammad SAW ini biasanya mati di mata pedang dalam peperangan jihad dengan orang Islam.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Maka tidakkah mereka telah mengembara di muka bumi, serta mereka memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Allah telah menghancurkan orang-orang itu; dan orang-orang kafir (yang menurut jejak mereka) akan beroleh akibat-akibat buruk yang seperti itu.} (Muhammad 47:10)

AYAT 40- {DAN DI ANTARA MEREKA ADA YANG BERIMAN KEPADA AL-QURAN, DAN ADA DI ANTARANYA YANG TIDAK BERIMAN LANGSUNG KEPADANYA; DAN (INGATLAH), TUHANMU LEBIH MENGETAHUI AKAN ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KEROSAKAN.} (YUNUS 10:40)

  1. Munasabah ayat ini:
    i- Dalam ayat yang lepas apabila menelihat penentangan Quraisy yang begitu dahsyat, melawan Nabi SAW habis-habisan, pasti akan ada rasa kecewa dan sedih dalam hati Nabi SAW yang amat menginginkan keselamatan umatnya, amat tamak agar mereka beriman!

    ii- Maka Allah bawa ayat ini memberitahu Nabi SAW agar jangan sedih kerana akan ada dari kalangan musyrikin ini yang akan bertaubat dan beriman! 
    Jika bukan bapanya mungkin anak-anak mereka!
    Contoh yang selalu kita sebut adalah Abu Sufyan yang sepanjang hidupnya menentang & melawan nak bunuh Nabi SAW, tetapi diakhir hayatnya pada tahun ke-8H, beriman & menjadi sahabat yang mulia!
  1. Maka Allah menenangkan hati Nabi SAW, kamu jangan kecewa kerana akan akan ada di kalangan orang kafir ini yang akan masuk Islam. 
    Allah tahu siapa yang jahat, siapa yang akan menentang sehingga mati, Allah tahu semuanya. 
    Maka kamu jangan runsing Islam akan berkembang & mereka yang menentangnya akan hancur & musnah!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Kemudian kalau mereka berpaling (enggan menurut), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang berbuat kerosakan.} (Ali-‘Imran 3:63)

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 37- {Dan bukanlah Al-Quran ini sesuatu yang boleh diada-adakan oleh yang lain dari Allah;…}-

    Tiada siapa boleh cabar al-Quran atau reka yang seumpamanya.
    Jika al-Quran bukan dari Allah; kamu akan dapati ia mempunyai banyak kepincangan, kesalahan & percanggahan yang cukup banyak!
    Tetapi kerana al-Quran datang dari sumber yang satu, dari Allah SWT; maka walaupun dalam masa 23 tahun, tidak ada ada satu ayat yang bercanggah atau satu kesilapan pun. 
    Ini kerana al-Quran adalah dari sisi Allah SWT & bukan dari makhluk. 
    Al-Quran juga adalah Kalamullah iaitu perkataan dari Allah! 
    Sifat Allah adalah berkata-kata (متكلما) apabila Dia kehendaki.
    Yakni ini adalah jaminan dari Allah bahawa al-Quran datang dari-Nya bukan dari makhluk lain.
  1. Ayat 37- {… tetapi Al-Quran itu diturunkan oleh Allah untuk membenarkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum Syarak yang diwajibkan (atas kamu);..}-

    Ini adalah fungsi & kerja al-Quran.
    Antara tanggungjawab al-Quran ialah:
    i- Membenarkan kitab-kitab yang terdahulu dengan menafikan, menolak & membetulkan penyelewengan dan pemesongan yang dibuat oleh puak-puak kafir.
    Kafir cuba nak pesongkan ayat-ayat Taurat & Injil, maka al-Quran perbetulkannya balik! 
    Ini fungsi al-Quran sebagai al-Muhaimin; pengawal-selia kitab terdahulu.

    ii- Menjelaskan semua perkara yang Allah syariatkan kepada hamba-Nya, maka jangan sesekali kamu cuba nak menyeleweng al-Quran, nak tukar fakta dan seumpamanya! 
    Allah jamin nak jaga al-Quran, tetapi Allah uji umat ini dengan beri ruang kepada puak kafir, jadikan mereka boleh untuk pesong & selewengkan sebahagian dari maksud al-Quran ini dengan makna lain. 
    Ini yang menjadi rosak, amalan bahawa al-Quran itu hanya untuk dibaca, untuk dipertandingkan, musabaqah, tilawah kebangsaan hatta antarabangsa. 
    Tetapi tidak ada duduk bersama bermuzakarah, bermusabaqah, berbincang, berkonvensyen untuk melaksanakan undang-undang al-Quran. 
    Jika ada segelintir orang Islam yang nak buatpun, akan mendapat amaran dan ancaman agar jangan buat, jika tidak akan diambil tindakan!  
    Begitu sekali sayang mereka kepada perundangan ciptaan kafir!
    Yakni walaupun mereka tidak dapat ubah & tukar ayat-ayat al-Quran, mereka ubah & tukar fungsi al-Quran sebagai bukan menjadi perundangan dan cara hidup orang Islam yang sepenuhnya.
  1. Ayat 38- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu),}-

    Al-Quran melemahkan orang lain daripada menirunya, inilah i’jazu al-Quran, iaitu melemahkan orang lain daripada mencabarnya!
    Maka dalam ayat Allah cabar puak kafir agar bawa satu surah saja yang menyamai atau serupa dengan al-Quran! 
    Nak tengok bijak setara mana mereka!
    Ayat ini turut mencabar puak kafir kerana mereka puak Arab ketika itu masyhur dengan kepakaran bahasa mereka, mereka mahir dalam bahasa & syair dan mengadakan pertandingan atau sayembara sayir, sajak yang hebat, siapa yang menang hasil karyanya digantung di kelambu Ka’bah.
    Tetapi apabila al-Quran datang semua itu tiada nilainya & tidak boleh lawan al-Quran.
  1. Ayat 39- {Bahkan mereka pula terburu-buru mendustakan Al-Quran yang fahaman mereka tidak dapat meliputi segala isi pengetahuannya,…}-

    Mereka mendustakan apa yang mereka tidak tahu.
    Ayat ini menjadi dalil kepada kita bahawa sebelum kita bercakap atau bertindak pastikan maklumat yang kita ada itu sahih & benar agar bila kita becakap; orang boleh terima dengan baik, orang boleh ambil maklumat yang benar & tidak mengelirukan! 
    Jika tidak akan menjadi susah & kacau jika orang bukan pakar bercakap dalam bukan bidangnya. 
    Perlunya kita ada ilmu dalam bidang yang kita nak bercakap atau hurai & kupas! 
    Contoh seperti nak bercakap atau menyampaikan kuliah tentang tafsir, kena study & baca dulu, pilih kitab rujukan yang sesuai dengan pendengar atau khalayak kita.
    Ayat ini Allah SWT cela puak kafir yang menentang al-Quran yang benar sedangkan mereka tidak ada ilmu tentangnya.

    Kata ahli fikir seperti Ibnu Jauzi : 
    Sesiapa yang tidak tahu, tidak kenal akan sesuatu perkara, dia akan memusuhi benda itu! (“مَنْ جَهِلَ شيئاً عاداه”)
    Atau: Manusia akan memusuhi apa yang dia tidak tahu!
    Sedangkan jika dia belajar & buka minda, dia akan tahu ada ilmu, maka dia akan nampak sama ada benar atau tidak yang ditentangnya itu.

    Manusia ini sama ada intelek atau incelik:
    i- Intelek orang yang kaji research cari maklumat. 

    ii- Celik mata tetapi tutup mata hatinya daripada menerima kebenaran & teguran.
  1. Ayat 40- {Dan di antara mereka ada yang beriman kepada Al-Quran, dan ada di antaranya yang tidak beriman langsung kepadanya;…}-

    Antara orang kafir itu ada yang akan beriman & ada yang tidak beriman lansung!
    Dalam ayat ini Allah nyatakan dua kategori manusia & dua dimensi iman.
    Iaitu manusia terbahagi kepada dua:
    i- Iaitu ada orang yang tahu & sedar dalam hatinya dengan apa yang dibawa oleh Nabi SAW.
    Tetapi dia ingkar secara luaran kerana degil dan keras kepala, nak jaga hati kawan, nak jaga kedudukan & tak mahu tinggalkan ajaran tok nenek! 
    Yakni mereka tahu ia benar tetapi kerana ada kepentingan duniawi tetap menolak!!! 
    Ini kumpulan yang tahu tapi ingkar!

    ii- Ada di kalangan kafir itu yang akan beriman selepas ini walaupun menentang pada awalnya.
    Yakni terbuka pintu hatinya untuk menerima kebenaran pada akhirnya!
    Contoh mereka ini anak-anak kepada penentang Islam yang paling jahat tetapi anak-anak mereka beriman seperti Ikrimah bin Abu Jahal & Hanzalah bin Abu Amir al-Fasiq (bapanya bapa kejahatan yang menggali lubang & Nabi SAW jatuh ke dalamnya). 
    Nabi SAW diberi khabar gembira oleh Allah bahawa akan ada pasa masa datang orang kafir itu yang akan beriman kepada Allah SWT. 
    Ini satu mukjizat dari al-Quran & penenang hati bagi Nabi SAW. 

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga kita mendapat kefahaman yang bail lalu mendapat faedah & berkatnya. 

Berita terkini: 
Alhamdulillah 23 orang tahanan dari Sumud Fotilla yang ditahan Isxxx telah dibebaskan dan dibawa ke Turki sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing, insya’ Allah.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top