Syurga Bagi Muttaqin, Ahli Kitab Ada Yang Terima Al-Quran & Rasul Diutuskan Dengan Lidah Kaumnya.

Live Pagi Sabtu 28/02/2026 / 10 Ramadhan 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ar-Ra’d (12) Ayat [35-37]
Full video: https://youtu.be/827dgQXbyjo?si=lX3-6Ua-8MMBd2G2
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ar-Ra’d dengan ayat 35 sehingga ayat 37 dalam juzuk ketigabelas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan Dia sediakan syurga bagi orang yang muttaqin.
Ya Allah jadikan kami dari golongan mutaqqin yang layak ke syurga-Mu!
- Kemudian Allah nyatakan ahli kitab ada dua kategori- ada yang terima al-Quran lalu beriman serta ada juga yang menolak terus melawannya walaupun tahu al-Quran adalah benar.
- Semua rasul diutuskan dengan lidah atau bahasa kaumnya masing-masing kecuali Rasulullah s.a.w yang diutuskan kepada semua bangsa manusia walaupun menggunakan bahasa Arab sebagai pengantarnya kerana bahasa Arab adalah bahasa yang yang dipilih Allah untuk menyatukan manusia.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat-ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang azab yang ditimpakan ke atas orang kafir di dunia & Akhirat.
ii- maka datang ayat ini menyebut tentang pahala bagi orang bertaqwa dan apa yang disediakan bagi mereka iaitu syurga yang penuh dengan nikmat!
*Inilah uslub al-Quran yang akan menyebut keduanya yang baik & yang tidak baik supaya kita tahu & memilih yang baik, jangan memilih yang tidak baik!!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
مَّثَلُ ٱلْجَنَّةِ ٱلَّتِى وُعِدَ ٱلْمُتَّقُونَ ۖ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ ۖ أُكُلُهَا دَآئِمٌ وَظِلُّهَا ۚ تِلْكَ عُقْبَى ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوا۟ ۖ وَّعُقْبَى ٱلْكَٰفِرِينَ ٱلنَّارُ ﴿٥٣﴾
Ayat 35- {Sifat Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa itu ialah air sungai-sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya; makanannya kekal tidak putus-putus dan naungannya sentiasa teduh. Itulah kesudahan usaha orang-orang yang bertaqwa, sedang kesudahan usaha orang-orang yang kafir pula ialah neraka.} (Ar-Ra’d 13:35)
- Dalam ayat ini Allah sifatkan syurga {مَّثَلُ ٱلْجَنَّةِ} yang Allah janjikan kepada orang yang bertaqwa di Akhirat ada tiga sifat istimewanya:
i- air sungai-sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya; di dalam kebun-kebun dan di bawah bangunan syurga itu terdapat air sungai yang mengalir indah.
Sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih.} (Muhammad 47:15)
ii- makanannya kekal tidak putus-putus- sentiasa ada tersedia dan tidak akan habis-habis samada buahan, makanan atau minuman.
*Manusia cuba menirunya atas dunia ini dengan buffet spread dengan pelbagai jenis makanan tetapi sayang bukan semua manusia boleh makan semuanya itu.
Ada yang kena pantang, ada yang allergik dan lain-lain.
iii- dan naungannya sentiasa teduh- yakni selesa tidak panas tidak sejuk, ada bayang yang meneduhkan.
- Tiga sifat ini sebagaimana firman Allah s.w.t dalam ayat ini juga:
{Dan naungan yang tetap terbentang, Dan air yang sentiasa mengalir, Serta buah-buahan yang banyak, Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,} (Al-Waaqi’ah 56: 30- 33) - Syurga yang tinggi nilai & sifatnya yang begitu hebat ini adalah untuk orang bertaqwa dan beriman!
Ia hanya untuk orang yang bertaqwa; yang ikut larangan & perintah Allah! - Orang yang tidak beriman, yang pemalas dan tidak ada amal yang baik- jangan bermimpi untuk ke syurga!
Sedangkan akhir kesudahan usaha orang-orang yang kafir pula ialah neraka.
وَٱلَّذِينَ ءَاتَيْنَٰهُمُ ٱلْكِتَٰبَ يَفْرَحُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ ۖ وَمِنَ ٱلْأَحْزَابِ مَن يُنكِرُ بَعْضَهُۥ ۚ قُلْ إِنَّمَآ أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ ٱللَّهَ وَلَآ أُشْرِكَ بِهِۦٓ ۚ إِلَيْهِ أَدْعُوا۟ وَإِلَيْهِ مَـَٔابِ ﴿٦٣﴾
Ayat 36- {Dan orang-orang yang Kami berikan Kitab, mereka bersukacita dengan apa yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) dan di antara beberapa kumpulan dari orang-orang itu ada yang mengingkari sebahagiannya. Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya diperintahkan supaya menyembah Allah, dan supaya aku tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain: kepadaNyalah aku menyeru (manusia semuanya untuk menyembahNya), dan kepadaNyalah tempat kembaliku (dan kamu semuanya untuk menerima balasan)”.} (Ar-Ra’d 13:36)
- Munasabah ayat:
i- setelah Allah sebut keadaan puak kafir yang ingkar akan kedatangan rasul, iaitu ahli kitab yang ingkar dan menolak Rasulullah s.a.w.
ii- maka datang ayat ini Allah ajar kepada kita untuk bersifat adil dalam menilai orang.
Yakni bukan semua ahli kitab itu kafir atau jahat- ada juga yang baik dan beriman.
- Allah nyatakan ada di kalangan ahli kitab yang bergembira dengan al-Quran yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. walaupun tak ramai tetapi ada yang baik ini.
- Nota [460]- Golongan Ahli Kitab yahudi & nasrani yang gembira dengan al-Quran ini ialah mereka yang jujur antara mereka yang telah menyelidik al-Quran dan mendapati kandungannya amat benar sebagaimana yang tersebut dalam kitab mereka Taurat & Injil.
- Kata ulama’ tafsir- mereka yang dimaksudkan dalam firman Allah:
﴿يَفْرَحُونَ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ﴾-
mereka membenarkan baginda serta bergembira dengan wahyu yang diturunkan ini ialah:
i- Mereka yang masuk Islam daripada kalangan Yahudi seperti ‘Abdullah bin Salam, Ka‘ab al-Ahbar dan para sahabatnya;
ii- dan daripada kalangan Nasrani pula — jumlah mereka seramai lapan puluh orang lelaki — empat puluh dari Najran, tiga puluh dua dari Habsyah, dan lapan dari Yaman.
(Rujuk: Tafsir al-Zamakhsyari 2/533)
- Terdapat juga kumpulan (al-Ahzab- ٱلْأَحْزَابِ) kafir yang besar yang melawan dan menyatakan permusuhan kepada Nabi s.a.w di Madinah seperti ketua yahudi Ka’ab bin al-Asyraf dan lain-lain.
Boleh baca buku Madinah; Kelebihan & Sejarah tentang kisah yahudi ini:
https://dartaibah.com/…/NEW-Madinah-Kelebihan-&-Sejarah…
- Mereka mengingkari sebahagian daripada cerita dalam al-Quran- menolak hukum dan undang-undangnya serta menolak sifat Nabi s.a.w. kerana itu tidak beriman dan menolak dakwah Nabi s.a.w.
Kita orang Islam jangan tiru perangai yahudi ini yang mengambil sebahagian hukum al-Quran dan menolak sebahagian yang lainnya yang bertentangan dengan kehendak & nafsu mereka.
- Penjajah telah berjaya menyekat jalan-jalan agar orang Islam tidak beramal dengan undang-undang al-Quran sepenuhnya; hanya dimusabaqahkan & ditahfizkan tanpa menjunjung hukum-hakam dan perundangannya!
- Allah perintahkan Rasulullah s.a.w untuk menyatakan bahawa: “Sesungguhnya aku hanya diperintahkan supaya menyembah Allah, dan supaya aku tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain!”.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.} (A-li’Imraan 3:64) - Yakni semua kitab Taurat & Injil itu mengajak untuk tauhid kepada Allah yang Esa, untuk beribadat hanya kepada Allah yang satu!
Tetapi tiba-tiba yahudi dakwa Uzair anak Tuhan, nasrani dakwa Isa anak Tuhan- dari mana datang ajaran ini????
Jika kamu betul-betul beriman- mari kita duduk bersama buka Taurat buka Injil dan bandingkannya dengan al-Quran.
- Tugas kita para pendakwah murnikan aqidah manusia, ajak orang menyembah Allah yang Esa, berdasarkan dalil al-Quran & Sunnah serta huraian para ulama’ Salafus-Soleh juga penjelasan yang dibuat oleh ulama’ terkemudian!
- Kita kena ingat juga bahawa kepada Allah-lah tempat kembali semua manusia dan urusan kita.
Maka jika kita buat baik- baiklah tempat kembali kita dan juga sebaliknya!
وَكَذَٰلِكَ أَنزَلْنَٰهُ حُكْمًا عَرَبِيًّا ۚ وَلَئِنِ ٱتَّبَعْتَ أَهْوَآءَهُم بَعْدَ مَا جَآءَكَ مِنَ ٱلْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّ وَلَا وَاقٍ ﴿٧٣﴾
Ayat 37- {Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab. Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya kepadamu wahyu pengetahuan (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau peroleh dari Allah sesuatupun yang dapat mengawal dan memberi perlindungan kepadamu (dari perkara-perkara yang tidak diingini).} (Ar-Ra’d 13:37)
- Munasabah ayat ini jelas iaitu Allah s.w.t perintahkan Nabi s.a.w untuk iklankan manhajnya apabila berdepan dengan puak kafir yang menentang Islam dengan menerima al-Quran separuh dan menolak separuh lagi daripada ajarannya.
Ini kerana matematik aqidah atau iman ialah 6-1 = 0 apatah lagi apabila ditolak lebih banyak!
*Yakni kita orang beriman kena jelaskan matlamat kita kepada puak kafir jangan dok main ikut bontot mereka saja!
- Sebagaimana Allah turunkan kitab-kitab terdahulu kepada setiap rasul itu dengan bahasa mereka; demikian Al-Quran diturunkan kepada Nabi s.a.w dalam bahasa Arab sebagai ayat yang teguh dan mantap untuk menjadi rujukan hukum-hakam kepada manusia seluruhnya!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.} (Hud 11:1) - Di akhir ayat Allah tegaskan agar Nabi s.a.w ikut al-Quran sepenunya jangan sesekali ikut hawa nafsu puak kafir iaitu jangan ikut kehendak & permintaan mereka!
- Yakni Allah beri amaran agar jangan ikut puak kafir itu selepas datang kepada kamu al-Quran wahyu yang membawa segala ilmu dan maklumat!
- Jika kamu ikut juga nafsu mereka puak kafir; tiada siapa dapat menolong dan menghalang kamu daripada azab Allah yang datang!
Maka hati-hatilah jangan ikut feel perangai tingkah laku puak kafir!!!
- Firman Allah s.w.t:
{Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar”.
Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.} (Al-Baqarah 2:120) - Maka sesiapa inginkan pertolongan Allah maka syaratnya wajib beriman dan taat kepada Allah s.w.t- barulah cukuplah syaratnya.
Penutup & Faedah #
- Ayat 35- {Sifat Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa itu ialah….}-
Allah bawa misal bandingan tentang sifat syurga.
Pertamanya jelas dari ayat in bahawa orang yang layak ke syurga ialah orang yang bertaqwa-
Ya Allah, jadikan kami dari golongan orang yang bertaqwa yang layak ke syurga-Mu!
Maka dalam ayat ini Allah bawa kepada kita tiga sifat syurga:
i- air sungai-sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya; begitu indah dan tenang.
ii- makanannya kekal tidak putus-putus dan habis.
iii- dan naungannya sentiasa teduh dan damai.
Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini menjadi dalil bahawa nikmat syurga itu kekal.
Cuma bertukar-tukar tetapi tidak putus dan terhenti!!
Yang kekal pastilah hanya Allah Azza wa Jalla.
- Ayat 36- {Dan orang-orang yang Kami berikan Kitab, mereka bersukacita dengan apa yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad)….}- yakni ada dari kalangan ahli kitab itu yang beriman dan suka dengan al-Quran yang diturunkan kepada Nabi s.a.w.
Sesiapa yang gembira dengan al-Quran, gembira apabila belajar dan menerima Sunnah Nabi s.a.w- semua ini menjadi dalil bahawa kita mengagungkan Allah, mencintai Rasulullah s.a.w.
Bagaimana mungkin kita dakwa cinta Nabi tetapi tidak mengamalkan Sunnah dan ajarannya!
Wajib kita kenal Allah & ingat Nabi s.a.w., ingat dan amalkan Sunnah Nabi s.a.w serta bergembira dengan al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.
- Ayat 36- { Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya diperintahkan supaya menyembah Allah, dan supaya aku tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain…}- ayat ini menjadi dalil ayat yang lengkap tentang taklif atau tanggung-jawab seorang hamba!
Dalam ayat ini Allah menyatakan dengan komprehensif:
i- aku diperintahkan wajib sembah Allah sahaja tanpa syirik kepada-Nya.
ii- sesiapa yang sembah Allah bermakna dia telah mengagungkan Allah s.w.t, sesiapa yang mengamalkan Sunnah bererti dia telah mencintai Nabi s.a.w. bukan sekadar membesarkan Kitab-kitab hadis dengan membuat majlis sama’ dan seumpamanya tetapi tidak pula mengamalkan apa yang ada di dalam kitab tetapi cari yang pelik-pelik.
Sekadar acara menghabiskan masa dan duit- bukan baca untuk faham dan amalkannya!
iii- ibadat hanya kepada Allah jangan campurkannya dengan syirik kepada yang lain!
iv- larangan daripada melakukan syirik kepada Allah samada secara zahir atau batin.
v- apabila kita yakin dengan ilmu ini- kita wajib berdakwah.
Bukan hanya beramal untuk kita sendiri sahaja tetapi membiarkan keluarga dan orang sekeliling dalam kesesatan atau hanyut tanpa bimbingan.
Amal & dakwah- itu penting!
vi- kita kena ingat kita semua akan kembali kepada Allah Azza wa Jalla!
- Ayat 37- {Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya kepadamu wahyu pengetahuan (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau peroleh dari Allah sesuatupun…}- jika kamu ikut juga orang kafir walaupun selepas kamu tahu & ada ilmu- maka Allah tidak akan beri pertolongan kepada kamu!
Dalam ayat ini Allah beri amaran kepada Nabi s.a.w sedangkan Baginda s.a.w adalah seorang ma’sum tidak akan melakukan apa yang menyalahi perintah Allah!
Tetapi Allah beri amaran kepada Nabi s.a.w kerana Allah mahu Nabi s.a.w memberi amaran dan mengingatkan umatnya akan perkara ini!
Ayat ini larangan daripada mengikut kehendak hawa nafsu serta ikut kehendak semua adat yang menyalahi dengan undang-undang Syari’ah Allah!
Serta ketahuilah bahawa semua kehendak yang bersalahan dengan al-Quran dan perintah Allah dikira ikut hawa nafsu!
Tak kira ia adalah enakmen rang undang-undang atau perlembagaan parlimen apa semuanya- hati-hati jangan sampai menyalahi dan berlawan dengan al-Quran kerana membesarkan perlembagaan apa sekalipun- ia akan dikira ikut hawa nafsu.
Kita wajib bertegas dalam perkara agama- jangan kita main-main!
Dustur atau perlembagaan kita al-Quran- jalan kita adalah Sunnah Nabi s.a.w.
Sesiapa yang lari tergelincir daripada dua lorong ini maka dia telah sesat dan ikut hawa nafsu.
Dalam konteks ayat ini adalah bagaimana Nabi s.a.w terpaksa menghadapkan wajah (berkiblat) ke arah Batul-Maqdis sedangkan Baginda s.a.w mahu menghadap ke arah Ka’bah di Makkah.
Setelah menunggu wahyu dari Allah selama 17-18 bulan barulah turun wahyu dari Allah untuk menukar kiblat menghadap ke arah Ka’bah.
Maka ketika itu kaum yahudi mula resah dan mengata orang Islam tak istiqamah.
Kita wajib bertegas dalam perkara agama jangan biarkan ia dipijak dan dipermainkan!
Umat Islam diberi hak & tugas untuk menjaga kemuliaan dan kesucian agama ini!
Pihak yang berkuasa kena tegas- tangkas dan beri amaran kepada mereka yang menghina dan mempermainkan agama Islam.
Kisah viral sekarang- seorang pelajar bukan Islam di Malaysia memijak al-Quran dan mengepostnya di sosial media- yang menyebabkan rakyat berasa resah dan tertekan!
Pihak kerajaan pula menjaganya & tidak diambil tindakan keras terhadapnya atas dasar toleransi antara kaum!
Sedangkan jika perkara ini terjadi di luar negara kita seperti di negara-negara kafir pasti rakyat Islam dari seluruh dunia akan bangkit menuntut agar dia ditangkap dan memerima hukuman yang sepatutnya!
Pihak pemerintah atau penguat-kuasa kena tunjukkan ketegasan kita menjalankan undang-undang yang ada- jangan sampai rakyat bangkit berdemonstrasi di jalanan pula memberontak membuat undang-undang sendiri!.
- Ayat 37- {Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab.}- Allah turunkan al-Quran kepada kamu wahai Muhammad sebuah Kitab dalam bahasa Arab!
Tetapi dalam ayat lain Allah berfirman:
{Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.} (Ibrahim 14:4)
*Yakni setiap kitab & rasul terdahulu diutuskan kepada kaum mereka dengan bahasa khas bagi mereka masing-masing.
Tetapi tidak al-Quran; ia diturunkan dalam bahasa Arab sebagai hukum yang jelas, kenapa begitu???
Jawapan:
i- ini kerana al-Quran itu turun kepada orang Arab dan bahasa Arab bahasa yang menyatukan manusia sejagat seluruhnya.
Contoh jika setiap bangsa membaca al-Quran ikut bahasanya sendiri bagaimana kita tahu untuk tegur jika salah atau tak kena!
ii- al-Quran yang mulia turun dalam bahasa Arab yang menyatukan seluruh manusia dari seluruh dunia.
Kita lihat di Makkah pelbagai jenis bahasa dan bangsa manusia datang- tetapi sekali azan dilaungkan dan sekali imam bangun untuk memulakan solat – Allahu Akbar- semua tahu dan faham!
Imam menangis apabila baca ayat-ayat azab kita semua ikut menangis!
Maka jelaslah al-Quran dalam bahasa Arab {حُكْمًا عَرَبِيًّۭا} adalah mukjizat yang mulia anugerah Allah kepada manusia seluruhnya, tanda penyatuan umat.
Jika tidak- jika al-Quran dalam bahasa masing-masing, maka tiada siapa boleh tegur siapa dan tiada siapa yang faham cara ibadat yang lain!
Alhamdulillah jom kita belajar bahasa Arab, jangan malu dan segan, bahasa Arab bahasa Nabi s.a.w, bahasa Arab bahasa al-Quran dan dikatakan bahasa ahli syurga juga nanti- wallahu a’lam.
Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: “Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab?”} (Fussilat 41:44)
Pemandangan yang indah dalam Masjid Nabi s.a.w di Madinah- seorang ustaz juga ustazah akan berada dekat satu tiang bersedia untuk mengajar atau menegur bacaan al-Quran sesiapa saja murid yang sudi belajar dari pelbagai negara- walaupun mereka berbeza bahasa tak dapat bercakap tetapi mereka dapat berkomunikasi melalui al-Quran- satu bahasa satu kitab satu cita-cita, semua kita mahu ke syurga- insya’ Allah!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Maklumat tambahan:
Sesiapa yang mulai berpuasa di Makkah lebih awal sehari dari Malaysia dan apabila kembali nanti jika Malaysia puasa penuh sebulan 30 hari- puasa mereka akan jadi lebih.
Maka dicadangkan untuk berbuka sehari semasa dalam perjalanan kembali agar puasa Ramadhan mereka tidak lebih menjadi 31 hari.
Ini kerana semasa musafir memang ada rukhsah untuk tidak puasa kerana musafir jika tidak lebih hari pun- wallahu a’lam!
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Sabtu 28/02/2026 / 10 Ramadhan 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=892746326909222&set=pb.100085215893583.-2207520000
Semoga Bermanfaat!
