View Categories

(10) Surah Ar-Ra’d: Ayat 31-32

12 min read

Kehebatan Al-Quran, Kuasa Allah S.W.T Memberi Hidayah & Kafir Perli Islam Akan Binasa.

Live Pagi Rabu 11/02/2026 / 23 Sya’ban 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ar-Ra’d (10) Ayat [31-32]

Full video: https://youtu.be/e40xLPeEKmc?si=RwAq8GwiU-Z-P9Hg

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ar-Ra’d dengan ayat 31 sehingga ayat 32 dalam juzuk ketigabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kepada kita kehebatan Al-Quran yang Allah berikan lebih daripada kitab-kitab lain yang boleh goncang bukit, boleh menghidupkan orang mati dan seumpamanya!
    Al-Quran adalah satu mukjizat yang boleh menghidupkan hati yang mati.
  3. Semua urusan kembali kepada Allah, duduk di bawah kuasa Allah S.W.T semua perkara, juga kuasa memberi hidayah.
    Tiada siapa halang boleh sekatnya!
  4. Sebagai penenang hati Nabi s.a.w- Allah ceritakan bahawa kaum terdahulu juga begitu menentang para nabinya!
    Akhirnya Allah tegaskan bahawa kafir perli Islam akan binasa, tiada siapa yang akan selamat setelah diazab oleh Allah Azza wa Jalla.

Semoga Allah beri kita kefahaman yang baik, makrifat yang jelas serta cintakan kepada al-Quran dan Sunnah serta beramal dengan kedua sumber utama Islam ini!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang bahawa tujuan Dia mengutuskan para rasul adalah untuk menyampaikan risalah dakwah-Nya.
Allah telah perintahkan kepada Nabi s.a.w untuk menyampaikan wahyu & kitab yang mereka terima, tak boleh sembunyikan walaupun sekelumit!

ii- datang ayat ini Allah nyatakan agungnya apa yang disampaikan oleh Nabi s.a.w.
Betapa al-Quran itu boleh membelah bumi menggoncangkan bukit dan menghidupkan hati manusia- itulah al-Quran Kalamullah sebagai Kitab terakhir yang diturunkan, yang mempunyai kekuatan mukjizat tidak dapat ditiru, diseleweng, atau dilemahkan!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

ولَوْ أَنَّ قُرْءَانًا سُيِّرَتْ بِهِ ٱلْجِبَالُ أَوْ قُطِّعَتْ بِهِ ٱلْأَرْضُ أَوْ كُلِّمَ بِهِ ٱلْمَوْتَىٰ ۗ بَل لِّلَّهِ ٱلْأَمْرُ جَمِيعًا ۗ أَفَلَمْ يَا۟يْـَٔسِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَن لَّوْ يَشَآءُ ٱللَّهُ لَهَدَى ٱلنَّاسَ جَمِيعًا ۗ وَلَا يَزَالُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ تُصِيبُهُم بِمَا صَنَعُوا۟ قَارِعَةٌ أَوْ تَحُلُّ قَرِيبًا مِّن دَارِهِمْ حَتَّىٰ يَأْتِىَ وَعْدُ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُخْلِفُ ٱلْمِيعَادَ ‎﴿١٣﴾

Ayat 31- Dan kalaulah ada mana-mana Kitab Suci yang dengan sebabnya gunung-ganang terbongkar bergerak dari tempatnya, atau dengan sebabnya bumi dipecah-belah mengeluarkan isi kandungannya, atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat menjawab kata-kata yang dihadapkan kepadanya, maka Al-Quran ialah Kitab Suci yang mengandungi mukjizat. (Tetapi lahirnya sesuatu mukjizat itu adalah menurut kehendak Allah), bahkan segala urusan tertentu bagi Allah. Maka tidakkah orang-orang yang beriman mengetahui bahawa kalaulah Allah menghendaki tentulah Ia memberi petunjuk kepada umat manusia seluruhnya, (lalu menjadikan mereka semuanya beriman). Dan orang-orang yang kafir itu (dengan sebab kekufuran mereka) sentiasa ditimpa bala bencana (ke atas diri atau harta benda mereka); atau pun bala bencana itu turun menimpa tempat-tempat yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka (lalu menjadikan mereka gempar kecemasan), sehinggalah datang janji Allah (hari kiamat dan azabnya); Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya. (Ar-Ra’d 13:31)

  1. Allah nyatakan jika ada kitab terdahulu yang boleh menjadikan gunung-ganang terbongkar bergerak dari tempatnya, atau dengan sebabnya bumi dipecah-belah mengeluarkan isi kandungannya, atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat bercakap; maka pastilah al-Quran lebih hebat dan agung kerana ia adalah sebuah Kitab yang mengandungi mukjizat.
  2. Al-Quran dipangil begitu kerana ia adalah kitab yang dibaca!
    Kata Ibnu Kathir rhm: Kitab-kitab sebelum al-Quran inipun mungkin dipanggil al-Quran kerana ia bermaksud kitab yang terkumpul dan dibaca walaupun nama khasnya Taurat atau Injila atau Zabur.
  3. Sebagaimana hadis dari Abu Hurairah r.a ini bahawa Nabi s.a.w telah bersabda:
    خُفِّفَ عَلَى دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلَام الْقُرْآنُ فَكَانَ يَأْمُرُ بِدَوَابِّهِ
    فَتُسْرَجُ فَيَقْرَأُ الْقُرْآنَ قَبْلَ أَنْ تُسْرَجَ دَوَابُّهُ وَلَا يَأْكُلُ إِلَّا مِنْ عَمَلِ يَدِهِ
    “Telah dimudahkan bagi Nabi Daud a.s membaca Al-Qur’an (Kitab Zabur).
    Dia pernah memerintahkan agar pelana haiwan-haiwan tunggangannya disiapkan, maka dia selesai membaca Kitab sebelum pelana haiwan tunggangannya selesai disiapkan, dan dia tidak memakan sesuatu kecuali dari hasil usaha tangannya sendiri.” [HR Bukhari].

*Maksudnya al-Quran di sini ialah Kitab Zabur!

  1. Semua kitab ini sebagai sumber untuk membawa hidayah kepada manusia.
    Serta ia juga sebagai satu tanda bukti yang boleh dilihat.

Sifatnya:
i- apabila dibaca atas bukit- bukit akan bergoncang.
ii- apabila dibaca atas bumi- bumi akan terbelah.
ii- jika dibaca atas orang mati, mereka boleh mendengarnya!

*tetapi dengar al-Quran setelah mati tidak ada faedah, tak boleh buat apa dah!
Dengar yang beri faedah adalah atas dunia ini sebelum mati!

Maka jika kitab lain begitu powernya maka al-Quran lebih utama dan lebih hebat daripada semua kitab yang lain!

Mukjizat al-Quran juga berpanjangan dan berterusan tiada siapa yang boleh halangnya!

Orang kafir telah berjaya untuk menjauhkan umat Islam dari al-Quran dan menyelewengkan pemahaman umat Islam tentang al-Quran.

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.} (Al-Hasy-r 59:21)
  2. Ingatlah semua urusan dan perkerjaan atas dunia ini semuanya dibawah kehendak & kekuasaan Allah!

Allah nak beri hidayah kepada seseorang atau tidak, Allah nak beri rezeki seseorang itu luas atau sempit semuanya dengan kehendak-Nya tiada siapa yang boleh halang sekat atau ubah!

  1. Jika Allah mahu dia hanya buat satu saluran sahaja- semua orang beriman!

Tak perlu bawa dalil atau bukti apa- Allah berkuasa untuk beri hidayah kepada semua orang untuk beriman!

  1. Tetapi Allah tak buat begitu kerana Dia nak melihat manusia ini akan pilih jalan mana!

Segala hidayah itu milik Allah manakala kerja para Nabi & pendakwah semuanya hanya untuk memberi bimbingan ilmu, ajaran dan maklumat untuk mereka berfikir dan mencari kebenaran!

Manakala orang kafir pula dengan sebab kekufuran mereka dan mendustakan ayat-ayat Allah; berterusan kena azab dan sentiasa ditimpa bala bencana ke atas diri atau harta benda mereka semasa atas dunia lagi.

  1. Mereka telah lihat segala bukti tanda kebinasaan yang telah menimpa umat terdahulu yang dekat dengan mereka seperti kaum Thamud dan kaum Ad!
    Mereka tahu dan berasa cemas melihtanya!
  2. Tetapi apa boleh buat walaupun mata mereka nampak semua itu- tetapi hati mereka buta dan mati daripada melihat dan menerima kebenaran yang di depan mata!
    Mereka tetap kekal dengan kekufuran mereka.
  3. Maka mereka terus dalam kesesatan dan kekufuran sehinggalah datang janji Allah (hari kiamat dan azabnya)!
    Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.

Orang kafir tidak sedar betapa dahsyatnya bala dan azab siksa yang akan menimpa mereka!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).} (Ar-Ruum 30:6)

وَلَقَدِ ٱسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبْلِكَ فَأَمْلَيْتُ لِلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ثُمَّ أَخَذْتُهُمْ ۖ فَكَيْفَ كَانَ عِقَابِ ‎﴿٢٣﴾

Ayat 32- {Dan sesungguhnya telahpun diejek-ejekkan Rasul-rasul yang diutus sebelummu (wahai Muhammad), lalu aku biarkan orang-orang yang tidak percayakan Rasul-rasul itu ke suatu masa yang tertentu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab; maka tidaklah terperi seksanya azabKu itu.} (Ar-Ra’d 13:32)

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    i- apabila puak kafir datang meminta mukjizat dari Nabi s.a.w dengan cara perli dan main-main yang menyebabkan Nabi s.a.w berasa susah hati dan seolah mahu menunaikan permintaan mereka itu agar mereka beriman seperti janji mereka.

ii- maka datang ayat ini Allah s.w.t menenangkan hati Baginda s.a.w dan mengajarnya agar jangan dilayan permintaan puak kafir yang bukannya ikhlas mahu beriman itu!

Sedangkan jika mereka sungguh nak beriman- telah cukup banyak tanda-tanda ayat Allah yang telah ada!

  1. Dalam ayat ini Allah nyatakan untuk menenangkan hari Nabi s.a.w bahawa bukan hanya Baginda saja yang didustakan & diejek perli oleh kaumnya!

Bahkan sesungguhnya telahpun diejek-ejekkan Rasul-rasul yang diutus sebelummu (wahai Muhammad), lalu aku biarkan orang-orang yang tidak percayakan Rasul-rasul itu ke suatu masa yang tertentu.

  1. Yakni Allah biarkan dulu mereka terus tenggelam dalam kekufuran dan kesombongan mereka tiba ke suatu masa yang tertentu.
    Maka ketika itu apabila datang azab Allah tiada siapa yang dapat menghalang atau menyelamatkannya! Umat dahulu apabila Allah datangkan azab mereka akan binasa kesemuanya!

*Tetapi tidak begitu umat Nabi Muhammad s.a.w- Allah tidak akan membinasakan mereka secara menyeluruh (total) tetapi secara berdikit.

  1. Ibnu Asyur rhm bawa beberapa ayat al-Quran yang menyenaraikan bagaimana rasul-rasul terdahulu telah diejek-perli oleh kaum mereka:

i- Nabi Nuh diperli kaumnya:
{Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu, dan tiap-tiap kali sepuak dari kaumnya melalui tempat ia membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya. Nabi Nuh pun menjawab: “Jika kamu memandang kami bodoh (kerana membuat bahtera ini), maka sesungguhnya kami juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran kamu), sebagai (balasan) ejekan kamu.} (Hud 11:38)

ii- kaum Ad memerli Nabi Hud a.s:
{Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami (wahai Hud) nampakmu berada dalam kebodohan, dan sesungguhnya kami fikir engkau adalah dari orang-orang yang berdusta”.} (Al-A’raaf 7:66)

iii- kaum Thamud memerli Nabi Soleh:
{Datangkanlah kepada kami apa yang engkau janjikan kepada kami, jika engkau termasuk orang-orang yang benar.} (Surah al-A‘raf: 77)

iv- puak Madyan perli Nabi Syua’ib:
{“Wahai Shu‘aib, adakah solatmu yang menyuruh kami meninggalkan apa yang disembah oleh nenek moyang kami, atau melarang kami berbuat terhadap harta kami apa yang kami kehendaki?”} (Surah Hud: 87)

v- Dan Firaun memperolok-olok Nabi Musa عليه السلام dengan berkata:
{Bukankah kerajaan Mesir ini milikku, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah kekuasaanku?} (Surah al-Zukhruf: 51)
Dan
{Bahkan aku lebih baik daripada orang ini yang hina dan hampir tidak dapat berbicara dengan jelas.} (Surah al-Zukhruf: 52)

  1. Kemudian di akhir ayat Allah nyatakan; kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab; maka tidaklah terperi seksanya azabKu itu.

Kemudian Aku akan jadikan mereka sebagai ibrah & pengajaran.
Wahai kafir Quraisy ambillah peringatan jangan sampai kena azab seperti mereka itu!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh dan puak-puak yang bergabung – sesudah kaum Nabi Nuh itu – telah mendustakan (Rasul-rasulnya), dan tiap-tiap umat di antaranya telah merancangkan rancangan jahat terhadap Rasul mereka untuk menawannya (dan membinasakannya); dan mereka pula telah membantah dengan perkara yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan perkara yang salah itu; sebab itu Aku binasakan mereka. Maka (lihatlah) bagaimana kesan azabKu!} (Ghaafir 40:5)

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 31- {Dan kalaulah ada mana-mana Kitab Suci yang dengan sebabnya gunung-ganang terbongkar bergerak dari tempatnya, atau dengan sebabnya bumi dipecah-belah mengeluarkan isi kandungannya,….}-

Allah kata jika ada kitab lain yang boleh melakukan semua ini maka al-Quran lebih lagi- kerana ia lebih besar & lebih agung!

Ayat ini menunjukkan kepada keagungan dan kelebihan al-Quran yang tidak dapat dicabar oleh sesiapa sekalipun!

Ini adalah perkara fizikal yang kita boleh nampak- apatah lagi perkara yang kecil- maka jangan sesekali kamu mencabar kekuasaan Allah s.w.t.

Nota [458] Dalam ayat suci ini, Allah Ta’ala menggambarkan kelebihan Al-Qur’an-ul-Karim dan mendedahkan kesesatan kaum kafir yang masih degil tidak mahu beriman kepada Al-Qur’an dan tidak mengakui sebagai mukjizat, lalu mereka meminta mukjizat-mukjizat yang lain pula.

Al-Quran bukan hanya setakat mempunyai kehebatan secara fizikal- al-Quran juga mempunyai mukjizat ruhiyyah: {… dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat menjawab kata-kata yang dihadapkan kepadanya}- kata ulama’ ini semasa di dalam kubur.

Orang mati tak dapat manfaat lagi daripada al-Quran yang didengarnya!-
Orang hidup yang akan dapat manfaat jika hati mereka tidak mati!
Tetapi jika hati sudah mati- tak jadi apa walaupun dengar al-Quran sepanjang hari tak dapat manfaat juga!!

Betapa ramai orang bukan Islam yang rumahnya berdekatan dengan masjid dan mereka dapat mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran setiap hari tetapi tidak memberi apa kesan atas mereka jika tak dapat hidayah dari Allah!

Kata penyair:
Saudaramu Isa dapat menghidupkan orang mati;
Tetapi engkau ya Muhammad- dengan al-Quran ini- telah dapat menghidupkan orang yang mati hatinya beberapa generasi!!

Ini menunjukkan kehebatan Nabi s.a.w berbanding dengan mukjizat nabi lain!

Semuanya hebat tetapi itu adalah satu perbandingan!

  1. Ayat 31- {… bahkan segala urusan tertentu bagi Allah.}- ingatlah segala urusan kita akan dikembalikan kepada Allah!

Bila kita ingat dan yakin hal ini- kita tahu kita akan bertemu dengan Allah maka kita akan takut kepada Allah & tidak akan berani buat dosa maksiat & langgar segala perintah Allah!

Ini kerana yang halal akan dihisab, yang haram akan diazab maka bagaimana kita berani main-main akan hukum Allah ini!
Tak cukup juga hanya baik dengan Tuhan kita juga wajib baik & jaga hubungan sesama manusia.

Jika manusia tahu mereka semua akan berdiri di hadapan Allah dan akan dihisab semua perbuatannya: sepatutnya tidak ada manusia yang berani langgar perintah Allah dan buat maksiat!

Tetapi apa boleh buat; yang membuatkan manusia berani langgar perintah Allah ini adalah kerana mereka antara yakin & tak yakin- antara kaba & tak kaba!

  1. Ayat 31- {Maka tidakkah orang-orang yang beriman mengetahui bahawa kalaulah Allah menghendaki tentulah Ia memberi petunjuk kepada umat manusia seluruhnya, (lalu menjadikan mereka semuanya beriman).}- jika Allah mahu Dia boleh buat semua manusia atas dunia ini beriman kepada-Nya seluruhnya; tak perlu lagi bawa dalil bukti apa!

Tetapi tidak begitu- kerana itulah hikmah dan kehendak Allah- mahu melihat hamba-Nya siapa yang pilih jalan yang mana!

Maka kita kena tangani dengan penuh bijak dan baik masalah khilaf agar umat Islam ini tidak berpecah lebih daripada sepatutnya!

Dapatkan buku kecil Rahmat Dalam Perbezaan ini tentang cara nak raikan dan hadapi khilaf- kemudian dibesarkan buku ini dengan tajuk lain pula- Islam Cara Hidup.

Boleh dapatkan buku-buku ini di:
https://dartaibah.com/…/Rahmat-Dalam-Perbezaan-Buku…

Kita hidup sebagai orang muslim kita kena sedar bukan kita sorang hidup atas dunia ini!

Kerana itu kita kena belajar cara hidup dalam masyarakat agar harmoni.
Jika kita rasa kita pandai ramai lagi orang lebih pandai dari kita, jika kita rasa kita kaya, soleh dan sebagainya- ramai lagi manusia di luar sana yang lebih segalanya daripada kita!

Maka kita kena belajar adab bagaimana cara nak berikhtilaf, berbeza pendapat sesama Islam pula!

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W bersabda:
“Tidak ada seorang nabi pun dari nabi-nabi melainkan diberikan kepadanya mukjizat yang seumpamanya manusia beriman kepadanya. Dan sesungguhnya yang diberikan kepadaku adalah wahyu (Al-Qur’an) yang diwahyukan Allah kepadaku. Maka aku berharap menjadi nabi yang paling banyak pengikutnya pada hari kiamat.” (HR. Bukhari & Muslim)

*Dalam hadis lain ada disebut bahawa separuh dari ahli syurga itu adalah umat Nabi Muhammad s.a.w. alhamdulillah!

Hadis ini jelas menunjukkan al-Quran adalah satu-satunya mukjizat yang jekal sehingga ke hari Kiamat- mukjizat yang lain telah habis dan luput!

  1. Ayat 32- {Dan sesungguhnya telahpun diejek-ejekkan Rasul-rasul yang diutus sebelummu (wahai Muhammad),}-

Allah menyatakan kepada Nabi s.a.w- jangan kamu rasa sedih kerana semua rasul-rasul sebelum kamu telah dihina, didustakan, dikhianati diperli-main, disakiti bahkan ada yang telah dibunuh!

Jadi kata ulama’ ayat ini Allah s.w.t nak menenangkan hati Nabi Muhammad s.a.w.: Kamu jangan susah hati wahai Muhammad s.a.w dengan sebab ini kerana nabi-nabi terdahulu pun sudah melalui semua ujian ini!

Kita jangan lari, kita teruskan perjuangan di atas landasan Siratul-Mustaqim, kita berpegang dengan al-Kitab dan Sunnah Nabi s.a.w.
Insya’ Allah kita yakin dengan apa yang kita pegang, kita bawanya untuk bertemu dengan Allah s.w.t.

Akhirnya Allah kata kerja hidayah taufiq ini di bawah kuasa Allah s.w.t manakala hidayah irsyad bimbingan tunjuk ajar itu tugas semua orang yang ada ilmu untuk mengajar dan menyampaikan.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 11/02/2026 / 23 Sya’ban 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=877742545076267&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top