Al-Quran Mengeluarkan Manusia Dari Gelap Kufur, Kecelakaan Bagi Kafir & 3 Sifat Kufur Mereka

Live Pagi Rabu 04/03/2026 / 14 Ramadhan 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ibrahim (02) Ayat [01-03]
Full video: https://youtu.be/-uXSwlyhGKE?si=sNHWW5_RT76dLEPa
Muqaddimah: #
- Alhamdulillah pada hari ini kita mulakan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ibrahim dengan ayat 01 sehingga ayat 03 dalam juzuk ketiga-belas.
- Dalam tiga ayat pertama ini Allah s.w.t nyatakan fungsi Al-Quran iaitu untuk mengeluarkan manusia dari gelap kufur kepada cahaya keimanan, dari mungkar maksiat kepada taat & baik.
- Kemudian Allah nyatakan kecelakaan besar bagi sesiapa yang kafir atas dunia ini.
Bagi mereka azab neraka yang dahsyat jika mereka tidak bertaubat & beriman kepada Allah! - Selepas itu disebut pula 3 sifat kufur orang kafir yang jahat iaitu:
i- pertama cintakan dunia, tak pedulikan Akhirat;
ii- menyekat manusia daripada jalan Allah;
iii- mereka nak pesongkan ayat-ayat Allah mengikut hawa nafsu!
*Allah jatuhkan hukuman sesiapa yang terlibat dengan sifat kafir ini maka itulah orang yang sesat, yang jauh dari jalan yang benar, orang yang tidak ikut perintah Allah Azza wa Jalla.
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
﴾﴿الر
Ayat 1- { Alif, Laam, Raa’.}
- Surah ini dimulai dengan huruf yang dikenali sebagai huruf al-Muqatto’ah (الحروف المقطعة).
Al-Muqatto’ah adalah huruf yang bersambung tulisannya tetapi dibaca dibaca satu-persatu sebagaimana hurufnya- {الٓر} dibaca (Alif Lam Ra)- iaitu huruf Alif dibaca alif, huruf Lam dibaca lam, dan huruf Raa dibaca raa.
- Ada lima surah dalam Al-Qur’an yang dimulai dengan huruf-huruf (Alif, Lam, Ra- الٓر) iaitu Surah Yunus (Surah ke-10), Surah Hud (Surah ke-11), Surah Yusuf (Surah ke-12), Surah Ibrahim (Surah ke-14), dan Surah Al-Hijr (Surah ke-15).
Huruf-huruf sebegini dipanggil huruf-huruf “al-Muqatto’ah”.
*5 surah ini dinisbahkan namanya kepada nama para Nabi a.s kecuali al-Hijr nama tempat bagi kaum Nabi Soleh a.s.
- Allah memulai surah ini dengan huruf Muqatto’ah, sebagaimana beberapa surah lain untuk membuktikan kenabian dan wahyu.
Huruf-huruf ini tidak diketahui maknanya dan hanya Allah جل جلاله lebih mengetahui maknanya.
- Ia menunjukkan mukjizat al-Quran yang tidak boleh dilawan dan dicabar oleh manusia & sekelian makhluk samada secara bahasa atau isi kandungan.
Ia juga melemahkan makhluk lain untuk menirunya!
Sedangkan huruf biasa al-Quran pun manusia tidak dapat nak cabar & tirunya apatah lagi huruf-huruf sebegini.
[Penjelasan lanjut boleh baca di nota: (07) pada awal surah al-Baqarah] dalam tafsir Pimpinan ar-Rahman.
كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَىٰ صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ ﴿١﴾
Ayat 1- {Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin Tuhan mereka – ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.}
- Allah nyatakan inilah adalah Kitab {كِتَـٰبٌ} al-Quran dan menyatakan fungsinya.
Sebagai sebuah Kitab yang agung, yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. - Peranan al-Quran supaya Nabi Muhammad s.a.w mengeluarkan umat manusia seluruhnya Arab arau bukan Arabnya, dari gelap-gelita kufur, kejahilan jahiliyyah, daripada kesesatan & maksiat kepada cahaya iman iaitu ibadat & ketaatan kepada Allah s.w.t.
- Ini semua (mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya iman) hanya akan berlaku dengan kehendak & taufiq dari Allah yang berkuasa memberi hidayah taufiq kepada manusia.
- Tugas para rasul, para sahabat & pendakwah ulama’ selepasnya hanya memberi hidayah bimbingan mengajar manusia menunjuk ke arah jalan yang benar!
Yakni hanya jika dengan izin Allah- Nabi s.a.w dapat membawa manusia keluar dari gelap kufur kepada cahaya iman.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.} (Al-Baqarah 2:257) - Fungsi al-Quran, kerja Nabi dan para pendakwah adalah mengeluarkan manusia dari gelap kufur ini adalah jalan yang jelas lagi terang nyata- jika ikut jalan ini kamu akan sampai kepada Allah “al-Aziz” yang Maha Gagah Perkasa lagi “al-Hamid” Maha Terpuji daripada segala perkara!
- Siapa tak ikut jalan ini maka dia ikut jalan sesat, yang celaka lagi berliku bahaya, jalan yang tidak diizinkan Allah!
Maka dia akan terumbang-ambing dibiarkan Allah tanpa petunjuk & hidayah.
Allahu al-Musta’an.
- Kerana itulah kita berusaha nak didik dan nak ajak masyarakat supaya duduk di atas landasan yang Allah gariskan dengan panduan al-Quran, duduk atas landasan yang tinggalkan oleh Nabi s.a.w.
Kita tidak mahu banyak buat amal tetapi tidak bertepatan dengan ajaran al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.
- Maka kita berhati-hatilah dengan permainan atau teori-teori yang dibuat oleh orang bukan Islam atau orang Islam sendiri yang terpengaruh dengan ajaran bukan Islam lalau dibawa masuk dan ditempelkan atas nama ajaran agama sedangkan ia bukan ajaran agama Islam!
للَّهِ الَّذِي لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ وَوَيْلٌ لِّلْكَافِرِينَ مِنْ عَذَابٍ شَدِيدٍ ﴿٢﴾ا
Ayat 2- {Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit serta yang ada di bumi; dan kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran) dari azab yang amat berat (yang akan menimpa mereka kelak).} (Ibrahim 14:2)
- Allah nyatakan bahawa dia turunkan al-Quran ini kepada Nabi s.a.w untuk Baginda ajak, dakwah, panggil manusia supaya ikut jalan yang telah digariskan oleh Allah s.w.t yang gagah Perkasa kagi terpuji, Allah yang berhak dipuja dipuji, untuk ditaati dan ditujukan ibadat kepada-Nya.
- Antara sifat Allah ialah sebagai Pencipta, Pemilik, Pengatur, Pentadbir segala yang ada di langit serta yang ada di bumi.
*Semalam telah berlaku gerhana bulan- sebagai peringatan agar manusia kembali kepada Allah dengan banyak istighfar, bertaubat, bersedekah dan lain-lain ibadat.
Sesiapa yang peka dengan Sunnah pasti telah melakukan solat gerhana!
- Sesiapa yang tidak mahu ikut peraturan Allah ini maka kecelakaan besar {وَيْلٌۭ} bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Al-Quran dari azab yang amat berat yang akan menimpa mereka di Akhirat kelak.
- Munasabah ayat:
i- setelah Allah beritahu bahawa kerja Nabi & fungsi al-Quran ialah menarik manusia kepada jalan yang diredhai Allah.
Serta siapakah Allah iaitu Pemilik langit & bumi.
ii- maka datang ayat ini sebagai amaran- jika kamu tak kenal Allah, keras kepala nak lawan juga Tuhan; maka celaka besarlah {وَيْلٌۭ} bagi kamu!!!
- Bagi perkataan {وَيْلٌۭ} ini dua makna:
i- kecelakaan & kebinasaan besar {هلك}- bala bencana yang akan menimpa orang yang menentang Allah!
ii- ada juga ulama’ yang berpendapat bahawa {اسم وادي} adalah nama satu lembah dalam neraka Jahannam yang dipenuhi dengan air darah & nanah ahli neraka itu sendiri!
الَّذِينَ يَسْتَحِبُّونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا عَلَى الْآخِرَةِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ وَيَبْغُونَهَا عِوَجًا ۚ أُولَٰئِكَ فِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ ﴿٣﴾
Ayat 3- {Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat, dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya.} (Ibrahim 14:3)
- Munasabah ayat:
i- setelah Allah nyatakan kecelakaan {وَيْلٌۭ} bagi orang kafir;
ii- maka datang ayat ini menafsirkan apakah sifat orang kafir yang celaka itu!
Apakah sifat kufur yang berat itu??? - Sifat orang kafir yang celaka yang Allah sebut dalam ayat ini ialah:
i- orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat, orang yang tidak mahu beriman kerana mereka tidak percaya pada dosa pahala, tiada Akhirat bagi mereka!
Apa yang mereka kejar hanya dunia.
Tetapi mereka takut kepada undang-undang & peraturan dunia.
Sedangkan undang-undang dunia ini boleh dibeli dan diselewengkan selagi manusia bernama manusia- rasuah riba tidak akan pernah terhenti!
Orang yang buat akta itu sendiri langgarnya juga!
Ini kerana mereka tidak ada iman & tidak takut akan pembalasan Allah kelak!
Mereka tidak kira apa lagi- mereka tak fikir akan Akhirat asalkan dapat mereka akan ambil kerana mereka nakkan kesenangan & habuan dunia semata-mata!
ii- dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, iaitu mereka pesongkan manusia dari jalan Allah.
Mereka cuba usaha agar orang tak dengar dakwah Nabi s.a.w.
Jika ada yang dengar & ikut- mereka akan diazab dan disiksa!!!
Kita baca dalam Kitab Sirah bagaimana puak kafir ini setiap kali musim haji mereka akan melakukan strategi.
Mereka membuat & menyebar dakyah buruk tentang Nabi Muhammad s.a.w untuk menakutkan manusia dari mendekatinya!
Mereka tuduhnya sebagai seorang gila, ahli sihir & penyair!
Masalahnya manusia ini lagi dihalang lagi dilarang- lagi terbuka rasa ingin tahu mereka lalu dicarinya Nabi s.a.w. maka apabila orang beriman mereka akan disiksa pula- sebagaimana sebahagian sahabat Nabi s.a.w!
Zaman kita hari ini umat Islam dilaghakan dengan hiburan dan gajet-gajet, media sosial dan grup-grup chatting.
Orang kafir telah berjaya menjadikan orang Islam lalai dan alpa dari agama mereka!
iii- serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong- yakni mereka nak kefahaman Islam ini terpesong daripada jalan yang benar.
Nak Syari’ah ini mengikut nafsu dan akal logik mereka!
Lalu penjajah kafir menjalankan serangan pemikiran kepada umat Islam yang dijajah agar takut dengan Syari’ah Islam sendiri terutamanya undang-undang hudud!!!
Hudud dianggap keras dan tidak berperikemanusian, mundur & kejam!
Maka terjadilah apa yang telah terjadi- undang-undang Islam ditakuti oleh anak-anak orang Islam sendiri sedangkan undang-undang inilah yang sepatutnya menjaga keamanan & melindungi mereka!
- Di akhir ayat Allah nyatakan bahawa mereka itulah orang-orang yang terjerumus kedalam kesesatan yang jauh terpesongnya daripada kebenaran.
- Itulah puak kafir yang disifatkan dengan 3 sifat tadi- mereka jauh menyimpang dan terseleweng dari jalan yang benar!
Ini samada kafir tulen atau anak-anak orang Islam yang terpedaya dengan mainan kafir tadi lalu mereka terpelanting daripada jalan yang benar!!
- Kita berdoa agar Allah membantu kita semua agar dapat mencari yang sahih dan yang benar dalam kehidupan ini; jika tidak entah ke mana kita akan hanyut terbiar & terpesong dari landasan yang Allah redhai!
Penutup & Faedah #
- Ayat 1- {.. supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin Tuhan mereka -}-
Allah nyatakan fungsi al-Quran untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan yang banyak kepada cahaya iman yang satu!
Dalam ayat ini kita dapati bahawa Allah menyebut:
i- jalan yang sesat & gelap gelita kufur disebut {ٱلظُّلُمَـٰتِ} dengan sighah jamak (plural) kerana jalan yang sesat dan kufur itu banyak dan pelbagai.
Syaitan itu walaupun diikat pada bulan Ramadhan tetapi panjang akal dan tipu dayanya!
ii- manakala cahaya iman {ٱلنُّورِ} disebut dengan sighah mufrad (singular) kerana jalan yang berani itu hanya satu iaitu jalan Islam dan iman kepada Allah!
Kata ar-Razi dalam tafsirnya:
i- Ayat ini menunjukkan bahawa jalan kufur itu banyak- jalan syirik, jalan maksiat, lorong bid’ah banyak- apa yang Nabi tak ajar itulah yang manusia suka buat!
ii- Manakala jalan yang betul (Nur) itu satu saja!
Kerana itulah Allah sebut kegelapan itu dengan sighah jamak manakala cahaya jalan kebenaran hanya satu sahaja yang lain semuanya menyeleweng.
Syaitan ini walaupun ia telah diikat pada bulan Ramadhan tetapi ia masih berfungsi menyesatkan manusia dengan pelbagai cara lain lagi!
Peringatan kepada umat Islam semua yang tua yang muda:
Jangan terpengaruh dengan budaya viral atau ikut trend yang muncul pada bulan Ramadhan & dekat raya ni- apatah lagi yang menyalahi ajaran agama Islam dan adat budaya kita sebagai muslim seperti nyanian, tarian dan seumpamanya!
Berhati-hatilah dengan perangkap syaitan atau talbis iblis, berhentilah main perkara karut, tumpukan perhatian kita kepada ibadat pada buln Ramadhan ini!
Syaitan sudah kena ikat jangan pula kita menjadi pengganti syaitan.
Allah juga sebut dalam ayat ini: {.. supaya engkau mengeluarkan umat manusia..}- yakni Allah sandarkan usaha dan kerja untuk mengeluarkan manusia ini kepada Nabi s.a.w.
Ini kerana hidayah irsyad memberi bimbingan adalah tugas Nabi s.a.w & semua pendakwah selepasnya manakala hidayah taufiq adalah milik Allah semata-mata!
- Ayat 1- {dengan izin Tuhan mereka – ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.}- setelah Allah sebut jalan- Allah sandarkan jalan ini kepada Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.
Yakni jika kamu nak jadi mulia ikutlah jalan yang mulia, jalan yang diredhai oleh Allah yang Maha Agung lagi Maha Berkuasa.
Jika kamu ikut jalan ini walaupun jalan ini tidak diikuti oleh ramai orang; tetapi tidak mengapa kerana kamu akan mendapat pertolongan Allah yang terpuji lagi gagah perkasa.
Jika kamu nak jadi mulia & terpuji- ikutlah jalan Allah, jalan yang diredhai-Nya.
Ulama’ tadabbur seperti al-Baidhawi berkata: Allah sebut ini jalan aku untuk memberi motivasi kepada manusia bahawa sesiapa yang ikut jalan Islam dia tak akan kecewa dan akan selamat kerana dia ikut jalan yang mulia, jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.
Ulama’ tadabbur membincangkan kenapa Allah sebut sifat-Nya Yang Maha Kuasa dulu kemudian lagi Maha Terpuji.
Jawapan:
Ini kerana yang pertama sekali dalam hidup kita ini; kita kena kenal & tahu bahawa Allah s.w.t itu sifat-Nya, Allah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.
Allah Maha Gagah Berkuasa tetapi kuasa-Nya Maha Adil, telus, bersifat kasihan belas terhadap hamba-Nya dan penuh hikmah kerana itu Dia Terpuji.
*Ini kerana ada manusia yang berkuasa & gagah berkuasa tetapi dia tidak terpuji atau dipuji kerana salah guna kuasanya atau zalim!
- Ayat 1- {… supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman..}- di sini Allah sebut untuk mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman.
Sebagaimana yang telah kita bincangkan di atas tadi bahawa beza antara yang gelap & yang cerah:
i- jalan kegelapan itu yang menyesatkan itu banyak {ٱلظُّلُمَـٰتِ}.
ii- manakala jalan yang benar atau cahaya {ٱلنُّورِ} itu hanya satu!
Jalan yang benar ikut Allah & Rasulullah s.a.w manakala jalan yang sesat ikut syaitan, ikut hawa nafsu., ikit taghut, ikut penjajah dan macam-macam!
Kita kena ikut jalan yang benar bukan jalan yang diikuti orang ramai semata!
Ini kerana tak semestinya orang ramai itu yang betul & yang sedikit itu salah.
Cuba lihat orang mana ramai di masjid atau di stadium!
- Ayat 2- {Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit serta yang ada di bumi; dan kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar…}-
Allah perkenalkan dirinya iaitu Pemilik segala yang ada di langit serta yang ada di bumi.
Setelah Allah perkenalkan Zat-Nya sebagai Pemilik Langit & bumi yang mesti kamu ikuti- bukan saja pemeberi rezeki dan kasih sayang tetapi;
Allah juga beri amaran yang keras- sesiapa yang langgar, yang lawan tak ikut jalan Allah tak ikut peraturan maka dia akan diazab oleh Allah dengan azab yang begitu dahsyat.
Maka jangan ada sesiapa yang cuba, yang berani-berani lawan peraturan Allah.
- Ayat 3- {Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat, dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong,…}-
Allah sebut tiga sifat orang kafir- kamu orang beriman jauhi sifat ini jika kamu nak selamat!
Allah s.w.t tiga sifat orang kafir dalam ayat ini:
i- orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat,
ii- dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah.
Nak sekat jalan ke arah kebaikan ini banyak lorong-lorongnya yang diajar oleh syaitan!
Orang kafir dengan caranya, sesama orang Islam dengan caranya!
Zaman kita hari ini; sama-sama jalan Allah belaka tetapi berbeza pendekatan & metod.
Apabila ada orang mengajar agama bawa al-Quran & bawa Sunnah akan ada orang yang cuba bawa di’ayah dengan kata tuduhan sesat cuba sekatnya- jangan belajar dengan orang ini kerana dia sesat kerana dia hanya pakai al-Quran & Sunnah tak mahu ambil huraian ulama’!!
Kita kata bukan begitu- tapak kita memang al-Quran & Sunnah tetapi huraiannya pastilah berpandukan kepada para ulama’ Islam.
Kita tak main mimpi-mimpi cerita yang pelik dan segala yang khurafat!
Tetapi dimomokkan sebagai kumpulan ini kumpulan yang tak mahu pakai ulama’ pula!!
Untuk nak sekat jalan & lorong kebaikan ini banyak jalan yang boleh digunakan oleh syaitan.
Orang kafir & musuh Islam dengan caranya juga sesama anak orang Islam dengan caranya!!!! Maka kita hati-hatilah
iii- serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, iaitu mereka cuba nak pesongkan pemikiran & kefahaman umat Islam untuk ikut acuan yang dibawa oleh penjajah kafir ke dalam negara umat Islam!
Kerana itu banyak kita lihat tentang agama ini perkara yang sepatutnya difahami dengan maksudnya lain; tetapi difahami dengan cara lain oleh manusia.
Tentang isu hari ini iaitu peperangan antara Iran Syiah dengan Amerika; kita umat Islam serba-salah, terumbang-ambing tak tahu nak sokong yang mana!
Maka kita jangan over jangan lebih- mengangkat lebih-lebih apa yang tidak sepatutnya- jangan sokong yang membawa rebah, kita kata wallahu a’lam!
Kita kata: Perbuatan mencari jalan yang bengkok, kemudian membetulkan apa yang sebenarnya bengkok & tak betul; inilah permainan syaitan!
Hati-hati dengan perangkap syaitan & talbis iblis yang sentiasa mahu manusia terpesong dari jalan Allah.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 04/03/2026 / 14 Ramadhan 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] & Surah Ibrahim (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
Semoga Bermanfaat!
