View Categories

(7) Surah Yunus: Ayat 13-14

10 min read

KEBINASAAN UMAT TERDAHULU, DERHAKA KEPADA RASUL & ALLAH SWT SERAHKAN KUASA KEPADA UMAT ISLAM.

Full video : https://youtu.be/6P9WzZX8G88?si=SFf8knyVGjrYwO4e

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 13 dan ayat 14 dalam juz kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT beri amaran kepada puak kafir yang degil, tak mahu beriman, kamu lihatlah kepada umat terdahulu yang telah dibinasakan. 
  1. Itulah akibat dari mereka tak terima, menentang & derhaka kepada Rasul dan tak mahu beriman kepada Allah, lalu Allah musnahkan mereka semuanya. 
  1. Selepas kemusnahan puak kafir, Allah SWT serahkan kuasa kepada umat Islam serta Allah beri amaran bahawa Allah nak lihat apa yang kamu buat apabila kamu dapat kuasa.
    Begitulah setiap orang akan di pertanggungjawab dengan kerja buatnya atas dunia ini di Akhirat kelak!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas sebelum ini Allah SWT nyatakan bahawa Allah yang mencipta langit & bumi lalu dibawa ayat-ayat keterangan tentang kekuasaan Allah seperti matahari dan bulan, pertukaran siang & malam dan lain-lain.
    Lalu manusia terpedaya dengan kehidupan dunia.

    ii- Ayat ini Allah undur balik tujukan kepada puak kafir musyrikin Makkah. 
    Amaran keras kepada mana-mana kaum tidak mahu beriman kepada Allah, ingkar kepada ajaran rasul, sedangkan kamu sudah lihat tanda-tanda yang Allah tinggalkan tetapi tetap tidak mahu beriman, maka lihatlah kepada kaum terdahulu yang telah dibinasakan.
    Mereka juga mencabar agar diturunkan azab kepada mereka tetapi Allah tak layan, biarkan mereka hidup sementara atas dunia ini.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 13- {DAN SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MEMBINASAKAN UMAT-UMAT YANG TERDAHULU DARIPADA KAMU SEMASA MEREKA BERLAKU ZALIM PADAHAL TELAH DATANG KEPADA MEREKA RASUL-RASUL MEREKA MEMBAWA KETERANGAN-KETERANGAN, DAN MEREKA MASIH JUGA TIDAK BERIMAN. DEMIKIANLAH KAMI MEMBALAS KAUM YANG MELAKUKAN KESALAHAN.} (YUNUS 10:13)

  1. Ayat ini adalah amaran keras dari Allah SWT kepada mana-mana kaum manusia yang tak dengar kata keras kepala maka mereka akan binasalah! 
    Kata ulama’: Ayat ini pada peringkat awalnya adalah ditujukan (khitab) kepada musyrikin Makkah kemudian terpakai untuk semua kafir & musyrikin yang ingkar di dunia ini sepanjang zaman sehingga Kiamat!
  1. Allah nyatakan umat terdahulu yang zalim ke atas diri mereka dengan syirik kepada Allah & mendustakan rasul-rasul-Nya, mereka menyalahi perintah & larangan selepas dibawa dalil-dalil dan bukti yang nyata: maka ketika itu turunlah bala, datanglah azab Allah! 
    Allah binasakan mereka keseluruhannya, total lost, tak tertinggal baka!!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu): bahawa Kami telah binasakan berapa banyak dari kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar); oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)?} (As-Sajdah 32:26)

    Kerana itu pada setiap pagi Jumaat sunat dibaca Surah As-Sajdah ini dalam solat subuh agar kita mendengar seminggu sekali sekurang-kurangnya peringatan & tazkirah ini. 
  1. Allah SWT juga memberikan kepada setiap rasul itu mukjizat yang sesuai dengan zamannya. 
    Mukjizat itu adalah tanda-tanda nyata yang jelas yang menunjukkan kebenaran mereka!
  1. Contoh mukjizat seperti:
    i- Pada zaman Nabi Musa: Manusia sedang gila & memuja sihir, Allah beri mukjizat seolah sihir tetapi lebih hebat lagi tongkat Nabi Musa, yang menyebabkan para ahli sihir tahu itu adalah bukan sihir & sesuatu yang benar, lalu mereka terus beriman kerana nampak dalil itu.

    ii- Pada zaman Nabi Isa pula: Allah nak uji kaumnya yang sesat & mendakwa Isa Tuhan atau anak Tuhan, maka Isa diberi mukjizat menghidupkan orang mati, menyembuhkan orang buta & beberapa penyakit yang seolah ada kuasa ghaib dengan sapuan tangannya.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Bukankah telah datang kepada mereka berita orang-orang yang terdahulu daripada mereka, iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim, dan penduduk negeri Madyan serta negeri-negeri yang telah dibinasakan? (Semuanya) telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan yang jelas nyata, (lalu mereka mendustakannya dan Tuhan pula membinasakan mereka); Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.} (At-Taubah 9:70)
  1. Tetapi walaupun telah datang ayat Allah; tanda-tanda dalil & mukjizat yang ajaib ini: mereka tetap tidak mahu beriman dan menolak kebenaran yang telah dilihat dengan mata kepala mereka sendiri!! 
    Mereka telah menzalimi diri mereka sendiri.
  1. Ini kerana mereka menolak kebenaran walaupun tahu; maka hati mereka tetap tertutup tak masuk hidayah & iman.
    Lalu Allah cop ke atas hati mereka tidak masuk petunjuk hidayah yang dapat membawa mereka kepada iman & kebenaran! 
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Negeri-negeri (yang telah Kami binasakan) itu, Kami ceritakan sebahagian dari khabar beritanya kepadamu (wahai Muhammad); dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan yang nyata (mukjizat), sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya dahulu. Demikianlah Allah meteraikan di atas hati orang-orang yang kafir.} (Al-A’raf 7:101)
  1. Maka dengarlah puak kafir, sebagaimana Kami binasakan umat dahulu, kamu juga akan dibinasakan jika tidak beriman & bertaubat, degil keras kepala menolak kebenaran, tak kira kafir dari zaman mana, maka tunggulah kebinasaan & kehancuran! 
  1. Di akhir ayat Allah tegaskan: Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan-yakni semua kafir & musyrikin sepanjang zaman, sesiapa saja yang melakukan kesalahan akan dibinasakan & diberi balasan yang setimpal!!! 

AYAT 14- {KEMUDIAN KAMI JADIKAN KAMU (WAHAI UMAT MUHAMMAD) KHALIFAH-KHALIFAH DI BUMI MENGGANTIKAN MEREKA YANG TELAH DIBINASAKAN ITU, SUPAYA KAMI MELIHAT APA PULA CORAK DAN BENTUK KELAKUAN YANG KAMU AKAN LAKUKAN.} (YUNUS 10:14)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan Dia akan binasakan semua umat yang tidak beriman & derhaka kepada Nabi SAW. 

    ii- Allah akan jadikan kamu pemimpin untuk memakmurkan bumi ini setelah ditinggalkan oleh kaum terdahulu yang telah dibinasakan!
  1. Ayat ini khabar gembira bahawa kita umat Islam tidak akan sentiasa lemah & kalah, ada waktunya kita akan menang & kuat, menjadi khalifah atas muka bumi ini!
    Ini adalah janji Allah yang benar!!
  1. Tetapi jika menang & berkuasa ingat baik, baik jangan lupa diri, Allah bagi kuasa nak tengok apa corak pentadbiran yang kamu buat atas muka bumi ini. 
    Ini janji Allah kepada para pejuang Islam, kamu tunggu & sabar insya’ Allah kemenangan akan tiba. 
    Jangan pula bila menang lupa diri dan matlamat asal perjuangan.
  1. Kata ulama’ tafsir {al-Khazin}:
    Perkataan {جَعَلْنَـٰكُمْ} Kami jadikan kamu, dan kamu di sini ditujukan percakapan kepada penduduk Makkah, yakni selepas puak kafir dikalahkan kamu yang akan naik menggantikan mereka menjadi pemimpin yang berkuasa!
  1. Tetapi ingat kamu diberi kuasa menjadi khalifah pengganti umat terdahulu ini untuk memakmurkan bumi ini dengan Syari’ah Allah!
    Allah nak tengok kamu buat baik atau tidak. Jika kamu terpesong lari dari lamdasan Syari’ah ini, Allah akan jatuhkan kamu dan gantikan dengan umat lain pula untuk meneruskan perjuangan ini.
  1. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri RA, Nabi SAW bersabda:
    إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ، وَإِنَّ اللهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا، فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلُونَ، فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ، فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ
    Maksudnya: “Sesungguhnya dunia ini manis lagi menghijau dan sesungguhnya Allah SWT menyerahkan urusan dunia ini kepada kamu semua. Lalu Dia akan melihat bagaimana kamu melakukannya. Berhati-hatilah dengan dunia dan juga wanita. Sesungguhnya ujian pertama yang berlaku ke atas Bani Israel adalah berkaitan wanita.” [HR Muslim (2742)].
  1. Hadis ini mengingatkan tentang godaan duniawi yang memikat dan mengajak umat Islam untuk berhati-hati dalam kehidupan dunia, terutama dalam menjaga diri daripada terperangkap oleh nafsu, godaan wanita dan angan-angan dunia yang melalaikan tujuan utama kehidupan, iaitu akhirat.
  1. Yakni Allah nak tengok, nak nilai apa yang kamu buat apabila kamu dapat kuasa.
    Kemudian jika berkuasa kamu jangan zalim kepada orang di bawah, kerana setiap kita akan dihitung dan diadili di Akhirat kelak!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 13- {Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu semasa mereka berlaku zalim…}-

    Ayat ini amaran keras dari Allah, bahawa kebinasaan umat dahulu kerana mereka melakukan zalim, syirik dan kufur terhadap Allah, menindas dan kejam sesama manusia. 
    Jauhkan diri dari sifat yang dimurkai Allah dan ingatlah bahawa doa orang dizalimi mustajab.

    Zalim itu boleh jadi dalam 2 keadaan ini:
    i- Zalim yang terbesar adalah melakukan syirik & kufur terhadap Allah Azza wa Jalla.

    ii- Zalim kepada sesama manusia, menindas, memukul, merampas, zalim terhadap rakyat iaitu sesama makhluk juga adalah satu perbuatan zalim.

    Satu syair yang menarik:
    Kamu jangan zalim jika kamu berkuasa;
    Dua matamu tidur lena;
    Tetapi orang yang kena zalim itu tidak tidur berdoa kepada Allah.
    Jadi kita tidak tahu bilakan panahan kezaliman itu akan kembali mengenai!
  1. Ayat 13- {Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu…}-

    Ayat ini Allah bercakap dengan kita manusia semuanya, umat dakwah.
    Umat Nabi Muhammad SAW ini terbahagi kepada dua:
    i- Umat yang didakwah (أمة الدعوة), iaitu seluruh manusia muslim atau kafir, Arab Melayu timur barat hitam putih semuanya!

    ii- Umat yang menerima dakwah Nabi SAW (أمة الإجابة), iaitu umat yang beriman. 
    Alhamdulillah kita termasuk dalam umat yang menerima dakwah Nabi SAW, dan termasuk umat Nabi SAW yang terkini.
    Ayat ini Allah tak bercakap dengan orang lain tetapi kita. 
    Ayat sebagai satu amaran untuk menakutkan orang yang bukan Islam & orang Islam yang derhaka juga supaya mereka menjauhkan diri daripada perkara yang buruk itu.
  1. Ayat 13- {… dan mereka masih juga tidak beriman. Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan.}-

    Allah SWT menyatakan sebab mereka diazab iaitu kerana:
    {dan mereka masih juga tidak beriman-وَمَا كَانُوا۟ لِيُؤْمِنُوا۟}
    Jika kamu masih tidak mahu beriman & melawan, maka tunggulah kebinasaan yang akan datang! 
    Tak kiralah sama ada kamu ahli Makkah atau ahli mana sekalipun!

    Dalam ayat 74 akan datang, Allah sebut:
    {mereka tetap juga tidak mahu beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya sebelum itu.- فَمَا كَانُوا۟ لِيُؤْمِنُوا۟ بِمَا كَذَّبُوا۟ بِهِۦ}
    Maka Allah kata jika tidak bersedia untuk beriman, setelah datang kepada mereka dalil-dalil yang nyata & bukti yang jelas tentang kebenaran Nabi SAW, maka bersedialah untuk dibinasakan. 

    Firman Allah SWT:
    {Sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya dahulu. Demikianlah Allah meteraikan di atas hati orang-orang yang kafir.} (Al-A’raf 7:101)
  1. Ayat 14- {Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi…}-

    Allah kata selepas ini Aku akan beri kamu kuasa tugas memakmurkan bumi ini selepas dibinasakan umat terdahulu yang zalim.
    Jadi orang beriman kena berjuang, berusaha menghapuskan syirik, mungkar & maksiat. Ketika itu jika mereka ikhlas pertolongan Allah akan datang!
    Ayat ini menjelaskan bahawa umat Islam akan menjadi penguasa atas muka bumi dengan syarat apabila mereka taat & ikut arahan Nabi SAW,

    Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.} (An-Nur 24:55)
    Sebagaimana pada zaman Khalifah Umar RA umat Islam telah berjaya menawan istana Kisra di Parsi (Persia).
    Penaklukan Kekaisaran Persia bermula pada masa Khalifah Abu Bakar dan berlanjut di bawah Umar bin Khattab, dan kekuasaan Kisra berakhir pada masa Khalifah Uthman bin Affan. 
    Kisra: Gelaran bagi raja Kekaisaran Persia.

    Ayat ini juga ditafsirkan dengan Hadis di atas tadi bahawa dunia ini manis & hijau maka berhati-hatilah manusia semua dengan godaan dunia. terutamanya godaan melalui fitnah wanita!
    Hadis ini adalah janji Allah kepada kita bahawa kamu orang beriman akan diberi kuasa, tetapi kuasa itu adalah merupakan ujian bagi kamu, maka hati-hatilah!
  1. Ayat 14- {Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi…. supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.}-

    Allah kata Dia beri kuasa kerana nak tengok bagaimana gaya kamu memimpin, bagaimana gaya kamu urus negeri-negeri ini, bagaimana gaya kamu setelah mendapat kuasa!
    Allah tegaskan bahawa kamu umat Islam diberi kuasa untuk Allah lihat & tengok apa yang kamu buat, bagaimana kamu menjaga & menunaikan kuasa itu!
    Kata ahli fikir: Kadang-kadang Allah angkat seseorang itu naik dan beri kuasa bukan kerana kehebatannya; tetapi untuk menunjukkan tembelang & perangai sebenarnya, agar orang ramai, rakyat boleh kenal & nilainya! 
    Sebelum ini banyak teori & komen orang lain, maka bagaimana kamu akan buat jika kamu yang dapat kuasa!
    Kerana itu kita orang Islam berhati-hati dalam ucapan kita. 
    Nak kritik orang, nak menjanjikan sesuatu lihat dulu setakat mana kemampuan kita! 
    Contoh terdekat: Kita lihat dalam negeri kita saja, apabila Allahyarham TG Nik Aziz dapat kuasa, naik memegang tampuk negeri Kelantan dulu; apa yang dia buat?
    Dihapuskan premis judi, penjualan arak dihadkan, riba cuba diperkecilkan skalanya walaupun tidak dapat dihapuskan terus, budaya yang menyalahi Syari’ah disekat, amalan yang tidak ikut Syari’ah diperbetulkan. 
    Kemudian kita lihat mereka yang datang selepasnya apa yang mereka buat juga, apakah yang disekat dulu sudah ada kembali dan seumpamanya.
    Maka kita kata Allah nak tengok apa yang kamu buat!
    Maka kita yang cintakan keamanan & kedamaian, yang cintakan al-Quran & Sunnah ini; apabila benda yang menyalahi Sunnah diperbesarkan dan dijadikan sebagai budaya bahkan diangap sebagai agenda keagamaan; kita kata “Allahu al-Musta’an”. 
    Siapa yang ubah dialah yang bertanggungjawab!
    Kita tetap duduk bersama Kitab & Sunnah Nabi SAW, kita tidak redha dengan apa yang berlaku, kita tidak ada kuasa untuk menolaknya.
    Semoga Allah tidak mengira kesalahan itu ke atas kita.
    Kita hanya boleh tegur & nasihat sampaikan pendapat, orang terima alhamdulillah, orang tak terima kita teruskan perjuangan dan minta bantuan Allah.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top