View Categories

(13) Surah Ar-Ra’d: Ayat: 38-40

15 min read

Jawapan Keraguan Kafir Isu Nabi Beristeri, Menukar Catatan Taqdir & Tugas Nabi Menyampaikan

♥ Live Pagi Ahad 01/03/2026 / 11 Ramadhan 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ar-Ra’d (13) Ayat [38-40] ♥

Full video: https://youtu.be/827dgQXbyjo?si=_UrbHaXp-ZK0-Ze2

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ar-Ra’d dengan ayat 38 sehingga ayat 40 dalam juzuk ketigabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan jawapan kepada keraguan yang ditimbulkan oleh kafir isu Nabi s.a.w beristeri ramai.

Allah nyatakan bahawa itu adalah Sunnah para anbiya’ sebelum ini juga yang berkahwin dan mempunyai keturunan- yang tidak berkahwin dan beranak itu adalah malaikat bukan manusia!

  1. Isu kedua ialah tentang catatan taqdir qadha’ & qadar apakah boleh bertukar?

Kita akan bincangkan apakah taqdir yang boleh bertukar dan apakah yang tidak akan bertukar.

  1. Kemudian Allah nyatakan tugas Nabi Muhammad s.a.w adalah menyampaikan dan Baginda akan melihat kemenangan yang berlaku di depan matanya dan ada kemenangan yang Baginda tidak sempat saksikan!
  2. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang puak kafir yang banyak sangat menimbulkan syubhat keraguan. Ayat ini menyatakan hujjah bagi membatalkan keraguan yang mereka timbulkan itu!

ii- dalam ayat ini Allah nyatakan iaitu pertama bahawa semua rasul dan nabi sebelum Nabi Muhammad yang Allah telah utuskan semuanya berkahwin dan mempunyai zuriat- bukan hanya Rasulullah s.a.w yang berbuat sedemikian.

Bahkan Nabi Muhammad sendiri adalah dari keturunan nabi Ibrahim a.s melalui jalur nabi Ismail serta nabi Musa & Isa yang mereka agung-agungkan itu dari keturunan Ibrahim juga melalui jalur Ishaq & Ya’qub!

Jadi pelik apanya jika Nabi Muhammad s.a.w juga berkahwin dan mempunyai zuriat???!!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَٰجًا وَذُرِّيَّةً ۚ وَمَا كَانَ لِرَسُولٍ أَن يَأْتِىَ بِـَٔايَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ لِكُلِّ أَجَلٍ كِتَابٌ ‎﴿٨٣﴾

Ayat 38- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan. Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang Rasul untuk mendatangkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah. Tiap-tiap satu tempoh dan waktu ada baginya perkara dan hukum yang telah ditentukan oleh “Suratan Azali”.} (Ar-Ra’d 13:38)

  1. Puak kafir cuba menimbulkan keraguan syubhat kepada orang yang beriman agar meragui agama mereka ini!

Pertama mereka timbulkan keraguan tentang kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai manusia biasa yang berkahwin dan beranak.

  1. Lalu Allah nyatakan bahawa Dia telah utuskan sebelum ini ramai para rasul kepada kaum mereka (313 orang dan para nabi lebih ramai lagi), dan Allah jadikan para rasul itu berkahwin ada isteri, anak, cucu-cicit sebagai zuriat keturunan yang banyak.
  2. Maka pelik apa jika Rasulullah s.a.w juga berkahwin mempunyai isteri dan anak kerana bukan dia rasul yang pertama buat begitu bahkan para rasul dan anbiya’ sebelum ini juga begitu.
  3. ini adalah isu pertama yang Allah jawab- puak kafir cuba menolak Rasulullah s.a.w dengan isu bahawa dia berkahwin maka tak layak untuk menjadi rasul.

Kita kata kahwin tak salah; yang salahnya hubungan songsang atau yang haram!
Allahu al-Musta’an.
Semoga Allah lindungi kita dari segala fitnah dunia ini!

  1. Dalam ayat ini juga puak kafir minta agar Nabi s.a.w ada mukjizat sebagaimana Nabi Musa & Isa ada mukjizat yang nyata seperti tongkat & tangan yang menyapu keajaiban.
  2. Lalu Allah nyatakan bahawa semua kerja itu Allah yang pilih & dengan izin-Nya- tiada rasul yang mampu membuat mukjizatnya sendiri kecuali dengan perintah Allah dan Allah kuatkan mana-mana rasul dengan mukjizat-Nya!

Nabi s.a.w sudah ada mukjizat yang diberikan & mukjizat yang kekal adalah al-Quran al-Karim.

  1. Kemudian isu yang ketiga ialah setiap benda ada ajalnya- {لِكُلِّ أَجَلٍۢ كِتَابٌۭ}- manusia ajalnya adalah kematian, benda lain habis bateri, rosak dan sebagainya.
  2. Yang pasti setiap sesuatu itu memiliki batas ketentuan yang ditetapkan sebagaimana firman Allah s.w.t:
    {Tiap-tiap khabar berita mempunyai masa yang menentukannya (yang membuktikan benarnya atau dustanya); dan kamu akan mengetahuinya.} (Al-An’aam 6:67)
  3. Yakni semuanya ada tempuh yang telah ditetapkan oleh Allah, setiap perkara yang diputuskan oleh Allah telah tertulis di Lauh Mahfuz sejak azali lagi.

Tempoh bila akan berlaku sekian-sekian tidak akan ada awal atau lewat. Tidak akan berlaku apa-apa perkara kecuali dengan ketetapan yang telah ditetapkan Allah s.w.t!

  1. Semua perkara ada tempohnya sebagaimana yang telah ditetapkan Allah s.w.t- cuma atas keimanan kita setara mana kepercayaan dan kesabaran menerima semua itu!
  2. Semua perkara yang berlaku itu telah tertulis di Lauh Mahfuz, tidak akan dipercepatkan atau diperlewatkan walaupun sesaat, inilah yang ditafsirkan oleh kebanyakan ulama’ tafsir bahawa:
    Bagi setiap benda ada ajalnya- {لِكُلِّ أَجَلٍۢ كِتَابٌۭ}.
  3. Jika kita yakin dan berpegang dengan ayat ini insya’ Allah maka kita akan tenang dan sabar, hidup tidak akan stress dan kurang tekanan jiwa kerana kita tahu semua itu berlaku dengan kehendak & ketetapan Allah.
  4. Kata Abu Hayyan: Maksudnya – {لِكُلِّ أَجَلٍۢ كِتَابٌۭ} – setiap perkara yang berlaku ada tulisan atau catatannnya- ini lafaz am dalam setiap perkara yang ada tempohnya.
  5. Setiap perkara ada awal ada akhirnya, tiada yang tetap & kekal mutlaq kecuali bagi Allah dan Zat-Nya yang mulia.
    Hatta nikmat syurga; apabila kita gunakannya pastilah dia hilang dan digantikan dengan yang lain.

يَمْحُوا۟ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ وَيُثْبِتُ ۖ وَعِندَهُۥٓ أُمُّ ٱلْكِتَٰبِ ‎﴿٩٣﴾

Ayat 39- {Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Ia juga menetapkan apa jua yang dikehendakinya. Dan (ingatlah) pada sisiNya ada “Ibu segala suratan”.} (Ar-Ra’d 13:39)

  1. Allah menyatakan bahawa Dia yang berkuasa menghapuskan apa taqdir yang dikehendaki-Nya dan menetapkan apa taqdir yang dikehendaki-Nya!!
  2. Kita berharap agar panel murajaah Terjemahan Pimpinan ar-Rahman dapat menambah dan menjelaskan & menyenaraikan apakah taqdir yang bertukar & apakah taqdir yang tidak boleh bertukar agar kita tahu dan sedar bahawa taqdir ini ada dua jenis iaitu yang boleh bertukar & yang memang tetap tidak akan boleh bertukar lagi!
  3. Taqdir atau qadha’ & qadar ini ada dua iaitu:
    i- taqdir mubram iaitu {Ibu segala suratan- أُمُّ ٱلْكِتَـٰبِ} yang telah tertulis di Lauh Mahfuz atau Ummul Kitab yang tidak akan bertukar.

Kata ulama’ tafsir inilah maksudnya ayat: {Ibu segala suratan- أُمُّ ٱلْكِتَـٰبِ} bahawa setiap perkara yang berlaku adalah dengan taqdir ketetapan Allah.

ii- taqdir mu’allaq- iaitu taqdir yang boleh bertukar ialah taqdir yang bergantung dengan sesuatu perbuatan- iaitu taqdir yang ada di tangan malaikat.

  1. Kata ulama’ inilah maksudnya Allah menghapuskan apa taqdir yang dikehendaki-Nya- يَمْحُوا۟ ٱللَّهُ مَا يَشَآء – iaitu tulisan taqdir yang bertukar dengan sebab perbuatan manusia itu sendiri.
  2. Contoh seorang yang asalnya celaka kemudian menjadi beruntung:

i- seperti dulunya kafir tetapi kemudian dia menerima Islam & beriman maka dia telah menukar taqdirnya dari asal kepada kafir yang akan masuk neraka kepada seorang mukmin yang insya’ Allah akan mendapat balasan syurga!

ii- seorang yang pada masa mudanya suka buat mungkar maksiat tetapi kemudian insaf lalu bertaubat menjadi baik dengan buat banyak kebajikan dan mencintai Sunnah dan menolak khurafat dan bid’ah.

iii- atau rezeki- ada orang yang dulunya amat susah tetapi kemudian hidup senang di akhir usianya.

Atau ada orang yang dilahirkan dalam dulang emas, dalam kaya raya tetapi setelah dewasa apabila ibu bapa mati dia tak pandai uruskan harta lalu hilang dengan kena scam atau bankrupt!

iv- atau orang yang sakit kemudian menjadi sihat dan segar.

  1. Kata al-Wahidi maksudnya {وَعِندَهُۥٓ أُمُّ ٱلْكِتَـٰبِ}- iaitu di sisi Allah terdapat Ummul Kitab, yakni induk setiap kitab, Lauh Mahfuz.

Maka setiap sesuatu sudah tertulis di dalamnya 50 ribu tahun sebelum dicipta langit dan bumi, tidak satu pun di sisi-Nya yang akan berubah atau bertukar.

  1. Kata para ulama’ enam perkara ini yang tidak akan bertukar kerana ia sudah tertulis di Lauh Mahfuz sejak asal lagi, tidak boleh lari atau ubah iaitu:

i- bahagia- السعادة
ii- atau celaka- الشقاوة
iii- kematian- الموت atau umur manusia.
iv- rezeki- الرزق banyak atau sedikit.
v- penciptaan- الخلق yakni manusia ini memang akan dicipta.
vi- akhlak- الخلُق perangai atau akhlak.

  1. Kesimpulan:
    i- apa yang tak bertukar ialah apa yang telah tertulis di Lauh Mahfuz ia akan berjalan mengikut apa yang telah ditetapkan Allah s.w.t. Iaitu apa yang telah dituliskan dalam Ummul-Kitab tidak akan bertukar- inilah qadha’ mubram.

ii- apa yang boleh bertukar ialah yang ditengah jalannya, apa yang ada di tangan malaikat boleh berubah setiah tahun.

Seperti kita berdoa agar kita dan semua yang kita sayangi dibebaskan dari apa neraka dengan bertaqarrub kepada Allah dan buat amal kebaikan.

Iaitu suratan yang diberikan kepada malaikat yang bersifat harian, mingguan, bulanan atau tahunan.

Sakit kepada sihat, sikit kepada banyak, baik kepada jahat dan seumpamanya.

  1. Hadis:
    i- Ibnu Umar r.a. berkata:
    “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Allah s.w.t menghapus dan menetapkan apa yang dikehendaki-Nya kecuali ketetapan bahagia dan beruntung, celaka dan sengsara, dan kematian.”

ii- Ibnu Abbas berkata: “Allah S.W.T menghapus dan menetapkan apa yang dikehendaki-Nya kecuali beberapa hal; penciptaan, ajal, rezeki, bahagia, dan celaka.”

وَإِن مَّا نُرِيَنَّكَ بَعْضَ ٱلَّذِى نَعِدُهُمْ أَوْ نَتَوَفَّيَنَّكَ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ ٱلْبَلَٰغُ وَعَلَيْنَا ٱلْحِسَابُ ‎﴿٠٤﴾

Ayat 40- {Sama ada Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari azab yang Kami janjikan untuk mereka (yang ingkar) atau kami wafatkanmu sebelum melihatnya maka tidaklah menjadi hal kerana tanggunganmu hanyalah menyampaikan hukum-hukum yang kami turunkan kepadamu; dan urusan Kami menghitung dan membalas amal mereka.} (Ar-Ra’d 13:40)

  1. Ayat ini jelas munasabahnya:

i- dalam ayat sebelumnya Allah nyatakan bahawa Dia boleh tukarkan keadaan manusia dari aman kepada perang, dari susah kepada senang, dari kalah kepada menang- semuanya boleh berlaku!

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan kepada Nabi s.a.w- sekarang ini kamu ditentang diganyang dan dihina oleh musyrikin Quraisy- semua ini akan bertukar Nabi s.a.w akan menangn & mereka akan masuk kubur!

  1. Sebagaimana keadaan Rasulullah s.a.w dan kaum Muslimin yang sebelum ini ditekan ditindas oleh kaum Quraisy beroleh kemenangan ke atas mereka di Badar dan selepasnya.
  2. Kemenangan ini umat Islam samada:
    i- Allah perlihatkan kepada Nabi s.a.w semasa Baginda masih ada hidup seperti kekalahan dan kematian puak pembesar Quraisy dalam peperangan Badar dan semua peperangan yang sempat disertai oleh Baginda s.a.w sendiri.

ii- atau kemenangan dan kejayaan umat Islam yang tidak sempat dilihat oleh Nabi s.a.w kerana berlaku selepas kewafatannya.

Seperti pembukaan & penaklukan banyak negara di bawah pemerintahan kerajaan Islam pada zaman Khulafa’ Ar-Rashidin, Turki, Uthmaniyyah dan seumpamanya!

  1. Allah nyatakan semua ini tidak menjadi hal samada Nabi s.a.w melihatnya atau tidak kerana kerja & tugas Nabi s.a.w hanya menyampaikan!

Jika dapat kemenangan itu adalah kegembiraan yang segera jika tidak tidak dapat lihat tidak mengapa- kamu telah menjalankan tugas kamu!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t:
    {Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan;} (Al-Ghaasyiyah 88:21)

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 38- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.}– Allah nyatakan bahawa Dia telah mengutus berapa banyak rasul-rasul sebelum Nabi Muhammad s.a.w dan mereka semua telah berkahwin dan ada zuriatnya.

Kata ulama’ ayat ini menjadi dalil bahawa perkahwinan itu adalah Sunnah para rasul & disyari’atkan perkahwinan.
Ia adalah galakan untuk bernikah serta larangan untuk membujang dengan pilihan!

Yakni jika ada peluang dan ruang untuk berkahwin tetapi memilih untuk tidak mahu berkahwin- ini yang salahnya!
Perkahwinan itu Sunnah para nabi & rasul.

*Jika tak kahwin kerana tak ada jodoh- tak ada orang nak maka apa nak buat!

Ayat ini juga menjadi dalil bahawa berkahwin dan beribadat itu lebih baik daripada berseorangan dan beribadat sunat bersendirian.

Orang soleh yang berkahwin akan dapat melahirkan zuriat yang ramai untuk meneruskan legasi pejuang Islam, penegak al-Quran & Sunnah.

Manakala orang bujang yang soleh dan warak hanya soleh dan baik seorang dia saja.

Contoh: Nabi Musa a.s memilih untuk mengembala kambing selama 10 tahun di Madyan sebagai mahar (maskahwin) untuk mengahwini isterinya.

Sedangkan jika dikira logik akal dalam masa 10 tahun itu berapa banyak ibadat wajib & sunat yang dapat dilakukannya!

Rasulullah s.a.w sendiri Allah pilih Baginda untuk mempunyai 9 orang isteri dalam satu masa.

  1. Ayat 38- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.}-

Allah bawa ayat ini untuk menolak keraguan karut yang ditimbulkan oleh puak kafir yang mengatakan bahawa Nabi s.a.w tidak layak menjadi nabi kerana dia ada anak isteri dan berkahwin ramai!

Maka Allah menolak hujjah mereka itu dengan menyatakan bahawa bukan hanya Rasulullah s.a.w seorang manusia dan berkahwin tetapi para rasul dan nabi sebelum ini semuanya berkahwin dan bekerja mencari rezeki, berjalan di pasar-pasar bercampur dan bermuamalah dengan manusia seperti biasa.

Contoh nabi yang bekerja mencari rezeki ialah Nabi Daud a.s.

Sabda Nabi s.a.w:
“Demi Allah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan paling bertakwa kepada-Nya di antara kamu.
Akan tetapi, aku berpuasa dan aku berbuka, aku solat dan aku tidur, dan aku juga menikahi wanita.
Sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukan daripada golonganku.” (HR Bukhari dan Muslim).

  1. Ayat 38- {Tiap-tiap satu tempoh dan waktu ada baginya perkara dan hukum yang telah ditentukan oleh “Suratan Azali”.}-

Allah nyatakan bahawa bagi setiap perkara itu ada tempoh masanya yang telah ditetapkan.

Manusia ada tempoh expirednya iaitu kematian- begitu juga segala perkara dan alat gajet kita!

Contoh mudah juga setiap alat yang kita beli atas dunia ini juga ada tempoh (warranty atau guarantee) jaminannya.

Pada awal Islam tempoh berpuasa adalah 23 jam kemudian Allah tukar mejadi puasa jkita hanya 14 atau 15 jam!

Seperti Syariat Nabi Musa & Taurat berakhir dengan kedatangan dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.

Perhatian- sedikit perbahasan- lihat kepada perbezaan tulisan perkataan kitab ini:

i- ada yang tidak ditulis alifnya hanya ditulis {ٱلْكِتَـٰبِ} iaitu mahzuf huruf alifnya di dalam Mashaf:

Contoh seperti dalam ayat pertama surah Ar-Ra’d ini {الٓمٓر ۚ تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْكِتَـٰبِ ۗ} dan pada awal surah al-Baqarah:
{ ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ}

ii- ada yang ditulis huruf alifnya {كِتَابٌۭ} seperti dalam empat ayat iaitu:

Ar-Ra’d: 38, al-Hijr: 4, al-Kahfi: 27 & surah ah-Namli: 1.

Perbahasan ini panjang, sebuah kitab yang bertajuk “Unwan al-Dalil min Marsum al-Khat al-Tanzil” (عنوان الدليل من مرسوم الخط التنزيل)
membincangkan bahawa perbezaan ini kerana:

i- jika ditulis dengan tiada alif {ٱلْكِتَـٰبِ} ia bermakna Kitab yang tinggi iaitu Kitab al-Quran atau Kitab Samawi yang lain atau kitab di Lauh Mahfuz.

ii- jika ditulis tanpa alif {كِتَابٌۭ} ia bermakna kitab amali iaitu kitab yang ditulis.

Begitulah perbincangan dan analisa yang dibuat oleh para ulama’ ia mempunyai hikmah dan kelebihannya, bukan salah tulis atau salah cetak tetapi ia mengandungi maksudnya yang khas dan tersendiri!

Maka makin kita belajar, makin kita faham; maka makin kita cinta kepada al-Quran yang istimewa ini!

  1. Ayat 39- {Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Ia juga menetapkan apa jua yang dikehendakinya. Dan (ingatlah) pada sisiNya ada “Ibu segala suratan”.}-

Allah hapuskan apa yang dia kehendaki dan kekalkan apa yang Dia kehendaki!

Sebagaimana yang telah kita bincangkan dengan panjang lebar di atas tadi, kesimpulannya ialah bahawa:

i- taqdir yang tidak akan bertukar & berubah adalah yang telah tertulis di Lauh Mahfuz.

Kata ulama’ ada taqdir boleh bertukar kecuali yang tidak berubah ialah: Kebahagiaan, kecelakaan, ajal maut, rezeki, kejadian penciptaan dan akhlak.

ii- manakala ada taqdir yang bertukar ialah yang dalam perjalanan tadi.

Seperti kerana kamu baik umur kamu panjang, kerana kamu khidmat ibu bapa umur kamu panjang!

Juga yang bersebab yang dikehendaki Allah seperti pengakhiran seseorang samada mati dalam husnul khatimah atau su’ul khatimah dengan sebab amal ibadatnya serta doa kita.

  1. Ayat 40- {… maka tidaklah menjadi hal kerana tanggunganmu hanyalah menyampaikan hukum-hukum yang kami turunkan kepadamu; dan urusan Kami menghitung dan membalas amal mereka.}- kerja Nabi adalah menyampaikan bukan tugasnya selain daripada itu seperti menghitung dan membalas perbuatan manusia.

Kata ulama’: Kerja Nabi s.a.w adalah menyampaikan, membimbing, mendidik dan mengajak manusia ke arah kebaikan.

Manakala hidayah taufiq adalah kuasa milik Allah seperti yang sering kita nyatakan.

Maka kerja para pendakwah penerus dakwah Nabi s.a.w meti menjalankan tugas di mana ada ruang, selagi ada peluang adalah berdakwah menyampaikan.

Orang terima alhamdulillah, orang tak terima alhamdulillah juga kerana kita telah menyampaikan dan selesai tugas kita.

Ya Allah, anugerahkanlah kesabaran kepada para pendakwah Islam yang mengajak manusia kepada al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w kerana ia perlukan ksesabaran yang tinggi.

Apa saja tuduhan orang serang kita- kita teruskan kerana kita tahu masyarakat dan orang ramai ada akal, ada ilmu maklumat untuk timbang menilai dan menimbang apa yang boleh dipercayai dan diterima serta apa yang perlu ditolak dan ditepis.

Timbangkan dengan apa yang kita belajar & dengan apa yang kita kenal- takkanlah asal yang orang kata & sebar itu kita terima belaka!

Kita terima setelah kita teliti & setelah kita kaji apakah betul tuduhan itu!

Yang mana betul perjalanan hidup kita; apakah yang berdasarkan al-Quran & Sunnah atau apa yang diambil berdasakan falsafah sana-sini!

Kita bersyukur, Allah s.w.t-lah yang pilih dan beri kepada kita yang terbaik!

Kita berdoa kepada Allah agar kita semua aman di dunia & selamat di Akhirat.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

DOA untuk Tanah Haram dan semua umat Islam yang berada di dalamnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 01/03/2026 / 11 Ramadhan 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota: https://www.facebook.com/photo/?fbid=893108476873007&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top