View Categories

(19) Surah Yunus: Ayat 48-53

13 min read

TEMPOH AJAL TELAH TETAP, KAFIR MINTA SEGERA AZAB & BILA TURUN AZAB AKAN BINASA.

Full video : https://youtu.be/x_KRvv6o8ns?si=wf9YLutiIUbvVIDq

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 48 sehingga ayat 53 dalam juz kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa kafir tak puas hati, dia mari cabar Nabi SAW untuk datangkan azab yang dijanjikan. 
    Inilah akibat tak percaya & tak beriman.
  1. Nabi SAW menjawab apabila kafir minta segera azab bahawa Baginda tidak memiliki kuasa untuk memberi mudharat atau manfaat.
    Semua itu di bawah kuasa Allah SWT dan tempoh ajal telah tetap, hanya Allah yang berkuasa datangkannya kamu tak perlu cabar & minta!
  1. Tetapi ingat apabila turun azab tiada siapa akan boleh lepas & kamu akan dibinasakan.
    Kafir juga diberi ancaman akan azab neraka yang berkekalan menanti mereka di Akhirat kelak.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa boleh jadi Allah akan tunjukkan kepada Nabi SAW semasa hidupnya akan sebahagian azab yang dikenakan ke atas puak kafir seperti dalam peperangan Badar, Hunain & bagi yahudi dalam peperangan Khaibar.

    ii. Maka datang ayat ini puak kafir masih tak puas hati & datang cabar Nabi SAW minta bilakah azab yang kamu janjikan itu, tak datang-datang!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 48- {DAN MEREKA (YANG KAFIR) BERTANYA: “BILAKAH BERLAKUNYA AZAB YANG TELAH DIJANJIKAN ITU, JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR?”} (YUNUS 10:48)

  1. Puak kafir datang bertanya kepada Nabi SAW: Bilakah akan datang azab Allah yang kamu sudah janjikan lama itu!
  1. Ini jika betul apa kamu cakap wahai Muhammad SAW, jika sungguh kamu adalah orang yang benar dan janjimu itu bukan palsu!!! 

AYAT 49- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “AKU TIDAK BERKUASA MENOLAK MUDARAT DAN TIDAK JUGA BERKUASA MENDATANGKAN MANFAAT BAGI DIRIKU KECUALI APA YANG DIKEHENDAKI ALLAH. BAGI TIAP-TIAP UMAT ADA TEMPOH YANG DITETAPKAN; MAKA APABILA TEMPOHNYA, TIDAK DAPAT MEREKA MELAMBATKANNYA SESAATPUN, DAN TIDAK DAPAT MEREKA MENYEGERAKANNYA”.} (YUNUS 10:49)

  1. Munasabah ayat:
    i- Apabila puak kafir datang mencabar meminta azab yang dijanjikan dari Nabi SAW;

    ii- Datang ayat ini Allah ajar Nabi SAW untuk menjawab bahawa semua itu, azab dan lain-lain bukan di bawah kuasa Nabi SAW tetapi semua itu di bawah kuasa Allah & bila-bila masa saja Allah boleh bawanya. 
  1. Allah SWT ajar kepada Nabi SAW untuk berkata kepada puak kafir bahawa: Aku hanya melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah SWT. 
    Baginda hanya seorang rasul yang menurut perintah bukan yang membuat perintah atau keputusan! 
    Nabi SAW sendiri tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah.
  1. Sebagaimana yang terjadi dalam perang Badar, Nabi SAW hanya keluar dengan niat menyekat kafilah dagangan Abu Sufyan, bukan untuk berperang, tetapi taqdir & ketetapan Allah telah menentukan akan berlaku satu peperangan pertama dalam Islam yang membawa kemenangan besar kepada Islam & membinasakan ramai para penyangak pembesar Quraisy Makkah termasuk ketua mereka Abu Jahal.
  1. Bagi setiap umat itu ada tempoh waktu atau ajal yang telah ditetapkan! 
    Apabila tiba waktu itu yang dikehendaki Allah tiada siapa yang boleh segerakan atau tangguhkannya! 
    Serta azab itu adalah sesuatu yang tetap akan terjadi dan apabila ia terjadi kamu semua akan binasa!!!! 

AYAT 50- {KATAKANLAH: “SUDAHKAH KAMU NAMPAK JALAN KELUAR JIKA DATANG KEPADA KAMU AZAB TUHAN ITU, PADA WAKTU MALAM ATAU PADA WAKTU SIANG? “AZAB MANAKAH YANG ORANG-ORANG BERDOSA ITU MINTA DISEGERAKAN (SEDANG SEBARANG AZAB WAJIB DITAKUTI)?} (YUNUS 10:50)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas kafir memperli dan mencabar minta azab dari Nabi SAW dan mengatakan Baginda hanya berjanji saja.

    ii- Maka datang ayat ini Allah beri amaran peringatan, bahawa puak kafir, jika datang azab sungguh apa yang kamu lakukan???
  1. Allah SWT perintahkan Nabi SAW untuk bertanya kepada mereka: Jika azab itu datang kepada kamu pada waktu siang atau malam apakah kamu yakin akan selamat darinya???
    Apakah ada jalan keluar untuk kamu??? 
  1. Kerana itu Allah selalu sebut tentang rehlah mereka pada musim panasa & musim sejuk, di mana mereka dapat lihat tanda-tanda kesan kebinasaan kaum terdahulu agar mereka sedar & dapat ambil pengajaran!!! 
  1. Tetapi apa boleh buat mereka tetap degil keras kepala & terus memerli minta azab dari Nabi SAW. 
    Sedangkan azab itu adalah sesuatu yang membinasakan & wajib ditakuti!!!!! 
    Mereka berani minta azab iaitu sesuatu yang buruk dan mudharat ke atas diri mereka sendiri!

AYAT 51- {PATUTKAH (KAMU MENGINGKARI AZAB ITU), KEMUDIAN APABILA IA MENIMPA KAMU, KAMU MENGAKUI BENARNYA? (SEDANG PENGAKUAN PADA MASA ITU TIDAK DITERIMA BAHKAN DIKATAKAN KEPADA KAMU): “SEKARANGKAH BAHARU KAMU MENGAKUI BENARNYA, PADAHAL SEBELUM INI KAMU TELAH MENUNJUKKAN KEINGKARAN DENGAN MEMINTA DISEGERAKAN KEDATANGANNYA?”} (YUNUS 10:51)

  1. Allah nyatakan puak kafir ini apabila azab tiba di depan mata mereka, apabila nyawa sudah di halkum baru mereka insaf & bertaubat nak beriman dan mengakui kebenaran! 
  1. Sedangkan pada waktu itu, apabila nyawa sudah di halkum; pintu taubat sudah tertutup, tidak akan diterima lagi segala taubat & penyesalan yang tiada guna lagi. 
  1. Lalu Allah berkata kepada mereka: Apakah sekarang baru kamu nak beriman?? 
    Padahal sebelum ini kamu angkuh sombong, menunjukkan keingkaran dengan meminta disegerakan kedatangan azab ke atas kamu!
  1. Kisah ini ditafsirkan dengan kisah Fir’aun sebagaimana dalam firman Allah SWT ini:
    {Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)”.
    (Allah berfirman): “Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?.} (Yunus 10: 90-91)
  1. Inilah yang dikatakan sudah terantuk baru nak terngadah! 
    Apabila sudah nak mati & nampak neraka di depan mata baru nak percaya dan mengaku nak beriman, nak bertaubat! 
    Penyesalan & keinsafan yang tidak membawa faedah lansung!

AYAT 52- {KEMUDIAN DIKATAKAN LAGI KEPADA ORANG-ORANG YANG BERLAKU ZALIM ITU: “RASAKANLAH AZAB YANG KEKAL. TIDAKLAH KAMU DIBALAS MELAINKAN DENGAN APA YANG KAMU USAHAKAN (DI DUNIA)”.} (YUNUS 10:52)

  1. Lalu pada hari Kiamat kelak akan dikatakan kepada kaum kafir yang zalim ke atas diri mereka sendiri itu: 
    i- Rasakanlah azab yang kekal yakni bagi kafir yang tiada iman dalam hati mereka akan kekal selamanya di dalam neraka. 
    Manakala bagi orang beriman yang melakukan dosa maksiat akan diazab bagi tempoh yang ditetapkan Allah kemudian akan dikeluarkan dan masuk syurga! 
    Mereka ini akan dipanggil Jahannamiyyun, na’uzu billah!
    Kita orang beriman jangan sesekali kata nak rasa masuk neraka sekejap, kerana ia bukan seperti penjara atas dunia ini, jauh sekali! 
    Hatta atas dunia ini pun kita minta selamat dari masuk penjara!

    ii- Tidaklah kamu dibalas melainkan dengan apa yang kamu usahakan atas dunia dulu!
    Jika kamu kafir & syirik maka kamu akan kekal di dalam neraka. 
    Jika kamu orang yang beriman kamu akan diazab di dalam neraka sehingga tempoh yang dikehendaki Allah.
  1. Ingatlah jangan sesekali kita bermain-main dengan azab neraka ini!

AYAT 53- {DAN MEREKA (YANG MEMINTA DISEGERAKAN AZAB) ITU AKAN BERTANYA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD): “ADAKAH KEDATANGAN AZAB YANG DIJANJIKAN ITU BENAR? “JAWABLAH: “YA, DEMI TUHANKU! SESUNGGUHNYA ADALAH IA BENAR! DAN KAMU TIDAK SEKALI-KALI BERKUASA MENAHAN KEDATANGANNYA”.} (YUNUS 10:53)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat-ayat yang lepas puak kafir itu masih lagi datang mencabar meminta azab seperti yang dijanjikan oleh Nabi SAW. 
    Sekali lagi Allah nyatakan kepada puak kafir bahawa apa yang dijanjikan Allah itu akan datang sungguh! 
    Cuma Allah bagi tempoh agar kamu dapat berfikir, mungkin insaf terbuka pintu hati untuk menerima dakwah ini dan memilih jalan yang baik agar selamat di Akhirat.

    ii- Datang ayat ini menunjukkan puak kafir masih lagi kepada Nabi SAW meminta-minta azab yang dijanjikan dengan penuh keperlian!!!
    Lalu Allah SWT suruh Nabi SAW jawab dengan bersumpah dengan nama Allah: {Jawablah: “Ya, demi Tuhanku! Sesungguhnya adalah ia benar! قُلْ إِى وَرَبِّىٓ إِنَّهُۥ لَحَقٌّۭ} 
  1. Yakni Nabi SAW bersumpah dengan nama Allah bahawa sesungguhnya apa yang Baginda janjikan azab itu adalah benar belaka & apabila ia datang kamu semua tidak akan terlepas dari kena azab itu!!  
    Tidak akan berkuasa menahan kedatangannya.
  1. Ayat ini mendidik & mengajar kita agar tak perlu degil, keras kepala, kita dengan Allah SWT hendaklah sentiasa bersifat tawadhuk, akur dan merendah diri supaya kita selamat di dunia & aman di Akhirat. 
  1. Bukan kerja manusia untuk mencabar undang-undang & kekuasaan Allah SWT! 
    Puak kafir kerana mereka tak beriman & tak percaya kerana itu mereka berani cabar. 
    Tetapi jika undang-undang dunia ciptaan manusia itu boleh dicabar. 
  1. Ingatan kepada semua sahabat jika kita becakap tentang hukum & undang-undang Islam:
    i- Ingatlah Syari’ah Islam ini sempurna & menyeluruh symi & kamil (شمولية)- ada hukum ketika perang & aman, hukum ketika bermukim & musafir, ada hukum jika kita nak pergi ke tempat mudharat dan seumpamanya, ada hukum umum untuk semua, ada hukum & peraturan khas untuk wanita juga. 

    ii- Maka apabila orang bercakap tentang hukum & undang-undang Islam; jangan guna emosi & sentimen semasa dan mudah nak mengata menuduh orang yang menyebut & mengingatkan sesuatu hukum itu sebagai tidak peka, sempit, allergik, tidak menunjukkan solidariti dan seumpamanya! 
    Ingatlah Islam ini hukum & etikanya yang perlu kita ikut & patuhi.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 48- {Dan mereka (yang kafir) bertanya: “Bilakah berlakunya azab yang telah dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?”}-

    Allah kata puak kafir datang bertanya, mencabar Nabi SAW bilakah akan datang azab yang dijanjikan!
    Dalam ayat ini Allah SWT gunakan sighah sedang berlaku (مضارع- present tense) iaitu {وَيَقُولُونَ- Dan mereka (yang kafir) bertanya}- sedangkan perkara ini telah berlaku, puak kafir itu telah berkata kepada Nabi SAW lama dahulu, jadi kenapa Allah tak guna sighah yang telah lepas { ماضي- past tense)??
    Ini kerana Allah nak suruh kita nampak peristiwa ini yang berlaku & Allah nak nyatakan bahawa cabaran ini akan berulang & berterusan sehingga ke hari ini dan Kiamat. 
    Puak kafir akan sentiasa mencabar hukum Allah kerana mereka tidak percaya & tidak akan beriman sebagaimana puak yahudi yang menzlaimi orang Islam di Palestin! 
    Maka kita orang beriman sabarlah & jangan layan puak yang tidak betul itu!
  1. Ayat 49- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah…}-

    Ayat ini menjadi sebesar-besar nasihat & sedalam-dalam tegahan yang amat tegas kepada sesiapa yang ada apa-apa urusan menyeru meminta bantuan dari Nabi SAW, para wali, tok syeikh mereka, yang telah mati!!! 
    Bahawa jika kepada Nabi SAW pun kamu tidak boleh minta pertolongan selepas kewafatan Baginda; apatah lagi orang lain!!!  
    Hati-hatilah para jemaah sekelian Allah letak teguran ini supaya kita yakin bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa menentukan segala ini!
    Manakala syafa’at Nabi di Akhirat kelak itu adalah cerita lain, ini berlaku dengan izin & kuasa Allah SWT.
    Kita beriman & berdoa kepada Allah agar kita layak mendapatnya.
    Dalam ayat ini dimulakan perkataan mudharat dulu untuk menunjukkan bahawa jika mudharat pun tak boleh beri maka manfaat pun tak boleh beri juga. 
    Ini kerana mereka datang minta azab minta bala iaitu satu mudharat maka Allah mulakan mudharat dulu.

    Tetapi dalam firman Allah ini Allah menyebut manfaat dulu:
    {Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”.} (Al-A’raf 7:188)
    Ini kerana ayat ini membincangkan tentang manfaat maka Allah mulakan manfaat dulu! 
    Susunan ayat al-Quran ini kita belajar secara ringkas dalam ilmu tadabbur.
  1. Ayat 49- {Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan;)}-

    Setiap umat itu ada tempohnya.
    Mati & ajal ada waktunya, azab pun ada waktunya yang telah ditetapkan juga!!! 

    Kata-kata hikmah:
    i- Orang bakhil tidak menambahkan kekayaannya! 
    Dia kaya itu hanya kerana Allah beri bukan kaya kerana sifat bakhilnya itu! 
    Betapa ramai orang kaya yang pemurah.

    ii- Orang penakut, takut itu tidak akan memanjangkan umurnya. 
    Walaupun seseorang itu pergi berperang apa tetapi jika belum ajalnya dia tidak akan mati.
    Tetapi jika sudah ajal walaupun hanya berada di rumah akan mati juga.
    Maka kamu tak perlu cabar & mintalah azab itu kerana Apabila sampai masanya pastilah kamu akan di azab & akan dibinasakan! 
    Maka marilah kita berjuang dan banyakkan infaq fi-sabilillah, semua itu akan selamat dengan izin Allah. 
  1. Ayat 50- {Katakanlah: “Sudahkah kamu nampak jalan keluar jika datang kepada kamu azab Tuhan itu, pada waktu malam atau pada waktu siang?”…}-
     
    Allah suruh Nabi SAW tanya kepada kafir apakah kamu akan boleh selamat jika azab itu datang pada waktu kamu sedang tidur??
    Dalam ayat ini Allah katakan jika azab itu datang pada waktu malam dan digunakan perkataan {بَيَـٰتًا} untuk malam dalam ayat ini bukan perkataan {ليلا}.  
    Perkataan {بَيَـٰتًا} ini seperti mabit yang membawa erti bermalam atau tidur.
    Ini kerana biasanya apabila nak tunjukkan azab yang datang pada waktu malam, Allah gunakan perkataan ini {بَيَـٰتًا} walaupun ada siang selepas itu, untuk menunjukkan azab itu datang pada waktu malam yang kamu sedang nyenyak tidur pada waktu itu. 
    Azab datang pada waktu malam itu lebih kuat dan mengejutkan kerana manusia sedang tidur & tidak bersedia.
    Begitulah azab itu datang pada waktu malam ketika manusia sedang tidur lena atau ada juga pada waktu subuh seperti dalam kes kaum Nabi Lut! 
    Betapa kalimah dalam al-Quran tidak ada yang disebut kecuali ada maknanya yang tersendiri.
    Marilah kita mengaji al-Quran & menambah ilmu kita!
  1. Ayat 53- {Dan mereka (yang meminta disegerakan azab) itu akan bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Adakah kedatangan azab yang dijanjikan itu benar? “Jawablah: “Ya, demi Tuhanku! Sesungguhnya adalah ia benar!?}-

    Dalam ayat ini Allah SWT ajar kepada Nabi SAW untuk bersumpah bagi menguatkan jawapan & hujjahnya apabila ditanya oleh puak kafir. {قُلْ إِى وَرَبِّىٓ إِنَّهُۥ لَحَقٌّۭ}
    Kenapa Allah suruh Rasulullah bersumpah sedangkan sumpah ini tidak digalakkan dalam Islam. 
    Orang yang suka bersumpah dan mengambil ringan dengannya adalah spesis sesumpah!!
    Serta yang suka bersumpah paslu pula ialah orang munafiq!

    Faedah bersumpah ini ada beberapa:
    i- Supaya jawapan Nabi SAW itu nampak mantap dan kesungguhan serta kebenarannya! Demi Allah! Janji Allah iaitu azab pasti akan datang!

    ii- Manusia ini banyak peringkat, ada yang kita kata ya saja mereka boleh terima, tetapi ada manusia yang susah terima & percaya kena bersumpah dulu baru nak terima.
    Kerana itu ada pemimpin yang suka bersumpah di hadapan pengikutnya untuk mengikat kepercayaan mereka! 
    Tetapi ingatlah sumpah itu tidak digalakkan dalam Islam kecuali jika ada keperluan & maslahah Syar’iyyah. 
    Allah ajar Nabi SAW untuk bersumpah untuk menguatkan hujjahnya ke atas puak kafir! 

    Beberapa firman Allah yang menyuruh Nabi SAW bersumpah:
    i- {Katakanlah: “Bahkan, demi Tuhanku, kamu akan dibangkitkan, kemudian kamu akan diberitahu tentang segala yang kamu telah kerjakan. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.} (At-Taghabun 64:7) 

    ii- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Bahkan (tetap datang). Demi Tuhanku yang mengetahui segala perkara yang ghaib, hari kiamat itu sesungguhnya akan datang kepada kamu”.} (Saba’ 34: 3)
    Dalam ketiga-tiga ayat ini; Semua sumpah Nabi SAW ini untuk menguatkan hujjah bahawa janji Allah SWT itu pasti akan datang! 

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top