View Categories

(10) Surah Ibrahim: Ayat 28-31

11 min read

Kufur Nikmat Punca Binasa, Senang Seketika & Orang Mukmin Jaga Ibadat.

♥Live Pagi Sabtu 14/03/2026 / 24 Ramadhan 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ibrahim (10) Ayat [28-31]

Full video: https://youtu.be/W5cm0YUbSPI?si=4O-bLcoRbUDj0pZl

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ibrahim dengan ayat 28 sehingga ayat 31 dalam juzuk ketigabelas.
  2. Dalam ayat siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa kufur nikmat, melakukan syirik kepada Allah & lupa daratan apabila senang adalah punca kebinasaan.
  3. Mungkin atas dunia ini mereka hidup senang seketika tetapi di Akhirat kelak pengakhiran yang buruk bagi mereka!
  4. jakan selamat untuk orang mukmin ialah jaga ibadat, solat & sedekah ketika terang atau sembunyi- insya’ Allah dia akan aman di dunia & selamat di Akhirat.

*Tak perlu dok cari bila Lailatul Qadr berlaku; yang penting kita teruskan usaha memburunya!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang sifat puak kafir dan bandingan antara orang Islam dengan orang kafir adalah seperti pokok yang baik dengan pokok yang buruk.

ii- maka datang ayat ini Allah menyatakan punca kebinasaan puak kafir ialah syirik & kufur nikmat Allah yang menyebabkan musnah negara mereka!

*Allah-lah yang bantu kita agar sentiasa bersyukur akan nikmat Allah!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ بَدَّلُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ كُفْرًا وَأَحَلُّوا۟ قَوْمَهُمْ دَارَ ٱلْبَوَارِ ‎﴿٨٢﴾‏

Ayat 28- {Tidakkah engkau melihat (dan merasa ajaib) terhadap orang-orang kafir yang telah menukar kesyukuran nikmat Allah dengan kekufuran, dan yang telah menempatkan kaum mereka dalam kebinasaan?} (Ibrahim 14:28)

  1. Dalam ayat ini Allah nyatakan tidakkan kamu lihat wahai Muhammad s.a.w keadaan kaummu kafir Quraisy yang Allah hantar nikmat besar kepada mereka- seorang rasul utusan Allah dari kaum mereka sendiri serta mereka ada Ka’bah sebagai Baitullah!
  2. Sepatutnya mereka bangga & syukur dengan nikmat Allah ke atas mereka yang hidup di Tanah Haram menerima tetamu haji lagi menerima segala barang dagangan yang banyak dan pelbagai.
  3. Tetapi malangnya mereka kufur akan nikmat itu menolak menentang bahkan mendusta rasul mereka Muhammad Rasulullah s.a.w seorang Arab Quraisy dari kalangan mereka sendiri.

Mereka tidak beriman dengan Nabi s.a.w lalu Allah timpakan ke atas mereka azab dan kemusnahan dengan sebab kekufuran mereka itu!

  1. Allah bawa bandingan dengan firman-Nya ini:
    {Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.
    Dan demi sesungguhnya, mereka pula telah didatangi seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, lalu mereka mendustakannya; maka mereka pun ditimpa azab sedang mereka berkeadaan zalim.} (Al-Nahl 16: 112-113)

*Allah hantar rasul dari kalangan mereka sendiri, seorang Arab Quraisy; tetapi mereka mendustakannya lalu Allah musnahkan mereka dalam keadaan mereka derhaka!

جَهَنَّمَ يَصْلَوْنَهَا ۖ وَبِئْسَ ٱلْقَرَارُ ‎﴿٩٢﴾

Ayat 29- {(Iaitu) neraka Jahannam yang mereka akan menderita bakarannya; dan (ingatlah), seburuk-buruk tempat tetap ialah neraka Jahannam.} (Ibrahim 14:29)

  1. Di Akhirat pula mereka akan menderita azab, dalam neraka Jahannam!
  2. Serta ingatlah neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat tetap kembali manusia- kekal abadi di dalamnya! Na’uzu billah.
  3. Atas dunia ini Allah jaga kota Makkah tidak binasa seperti negeri kaum terdahulu (kaum Ad, Thamud dan lain-lain).
  4. Tetapi Allah binasakan kaum Quraisy yang kufur itu- seperti dalam peperangan Badar lebih 70 orang pemuka Quraisy terbunuh dengan hina di tangan orang Islam.

*Akhir zaman dekat kedatangan dajjal ini- segala perbuatan & perkataan kita orang Islam dipantau & dapat difahami oleh mereka yang mengaku sebagai polis dunia hari ini serta mereka dapat menyekat aktiviti Islam.

 وَجَعَلُوا۟ لِلَّهِ أَندَادًا لِّيُضِلُّوا۟ عَن سَبِيلِهِۦ ۗ قُلْ تَمَتَّعُوا۟ فَإِنَّ مَصِيرَكُمْ إِلَى ٱلنَّارِ ‎﴿٠٣﴾

Ayat 30- {Dan mereka mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan manusia dari jalanNya. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara di dunia), kerana sesungguhnya kesudahan kamu ke neraka”.} (Ibrahim 14:30)

  1. Munasabah ayat:

i- apabila Allah ceritakan tentang puak kafir yang ubah nikmat Allah lalu menjadi kufur- sepatutnya mereka terima Islam.

ii- dalam ayat ini Allah nyatakan bukan sekadar kufur mereka juga menambah sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan manusia.
Yakni bertambah kejahatan yang mereka buat- tanah telah menjadi selut!!

  1. Puak kafir mengadakan sekutu bagi Allah- iaitu menyembah perkara lain bersama Allah. Iaitu mereka menambahkan lagi kesalahan & kejahatan mereka terhadap Allah!
  2. Sekutu ini dibuat untuk disembah selain dari Allah- tujuanyan untuk menyesatkan orang lain juga- seolah mereka sembah Allah cuma tambahan berhala-berhala itu hanya seolah perantaraan mereka dengan Allah!

Ini permaianan bahaya untuk mengelirukan masyarakat akan perbuatan syirik mereka itu.

  1. Kerana itu sebagai ahli Sunnah kita kata pemurnian aqidah dalam masyarakat amat penting!!
    Jangan bermudah-mudah dengan perkara yang boleh merosakkan aqidah.

Walaupun nampak simple minta izin dengan wali, tunggul kayu apa tetapi amat bahaya boleh tergelicir aqidah!

  1. Allah suruh Nabi s.a.w katakan kepada puak kafir itu:
    i- Bersenang-senanglah kamu buat sementara atas dunia ini yang fana ini-

ii- kerana sesungguhnya kesudahan kamu di Akhirat kelak adalah ke neraka menjadi tempat kembali yang kekal!

  1. Ayat ditafsirkan dengan firman Allah:
    {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya”.
    (Apa yang mereka beroleh hanya) kesenangan di dunia, kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya mereka. Kemudian Kami akan rasakan mereka azab yang berat disebabkan perbuatan kufur yang mereka lakukan.} (Yunus 10:70)
  2. Demikian Allah nyatakan dalam ayat ini kisah & sifat orang kafir yang binasa kerana kufur nikmat & kufur kepada Allah serta lagha dengan kehidupan dunia yang sementara!

قُل لِّعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ يُقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُنفِقُوا۟ مِمَّا رَزَقْنَٰهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِىَ يَوْمٌ لَّا بَيْعٌ فِيهِ وَلَا خِلَٰلٌ ‎﴿١٣

Ayat 31- {Katakanlah kepada hamba-hambaKu yang beriman hendaklah mereka mendirikan sembahyang dan mendermakan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka, sama ada dengan merahsiakan pemberiannya itu atau dengan terbuka; sebelum datangnya hari yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada sahabat handai (yang dapat memberikan pertolongan).} (Ibrahim 14:31)

  1. Munasabah ayat:
    ii- maka datang ini wahai orang beriman jika kamu nak selamat jangan ikut orang kafir!
    Dirikan solat & beri sedekah- dan sedekah yang paling afdhal sekali ialah zakat kerana ia wajib!!!!
  2. Kemudian datang ayat ini Allah perintahkan Rasulullah s.a.w untuk menyatakan kepada hamba-Nya yang beriman, galakan agar mereka berbuat kebajikan dengan:

i- mendirikan sembahyang, dengan jaga waktunya dengan baik serta lakukannya dengan sempurna.

*Peringatan mesra untuk kaum muslimat- jangan ralit sehingga melewatkan solat mghrib dengan kesibukan kerja dapur dan makanan selepas berbuka!

ii- dan mendermakan nafkahkan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka, sama ada dengan merahsiakan pemberiannya itu atau dengan terbuka;

  1. Bilakah sedekah itu afdhal dengan cara merahsiakan pemberiannya itu atau dengan terbuka;

i- jika hanya sedekah peribadi dan personal hanya kita dengan penerima asnaf- tak perlu kita umumkan kerana tiada kemaslahatan bahkan rahsia lebih baik bagi penerima.

  1. Jika projek untuk kepentingan umum seperti untuk waqaf untuk masjid sekolah dan lain-lain elok kita buat secara terbuka untuk menggalakkan orang lain sedekah dengan banyak juga-dengan syarat bukan bertujuan riya’ dan seumpamanya!
  2. Amal ibadat ini pula hendaklah dibuat:

i- sebelum datangnya hari yang tidak ada jual beli padanya, iaitu sebelum hari kematian atau hari Kiamat yang besar kelak!
Pada waktu itu tiada guna apa harta lagi!

ii- dan tidak ada sahabat handai yang dapat memberikan pertolongan.

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh “.
    Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.} (Al-Munaafiquun 63: 10-11)
  2. Semoga Allah jaga kita daripada sifat bakhil sayang harta yang buruk ini, tak reti nak bersedekah sehinggalah malaikat datang nak menyentap nyawa.
    Ketika itu tiada tangguh lagi walaupun sesaat!
  3. Kita orang beriman buatlah infaq sedekah walaupun sedikit tetapi istiqomah- ikut kemampuan dan keikhlasan kita!
    Ini kata orang sedikit-sendikit lama-lama akan jadi bukit.
  4. Kita kena fikirkan bagaimana agar harta kita akan menjadi milik kita dengan sebenarnya.

Bukan harta yang akan ditinggalkan kepada orang lain!

Sebagaimana kempen AAM #hartakumilikku! & #ingatJumaatingatsedekah di tempat-tempat yang kita akui.

Penutup & Faedah: #

  1. Ayat 28- {Tidakkah engkau melihat (dan merasa ajaib) terhadap orang-orang kafir yang telah menukar kesyukuran nikmat Allah dengan kekufuran,..}- amaran keras kepada orang yang tukar nikmat kepada kekufuran.

Kata ulama’: Ayat ini membawa peringatan jelas agar jangan sesekali kamu kufur nikmat yang Allah telah berikan kepada kamu!

Nikmat yang paling jelas ialah nikmat Islam & nikmat Rasulullah s.a.w yang diutuskan!

Mereka telah menukar jalan yang diredhai Allah kepada jalan yang lain!

Itulah manusia yang kecundang kecewa kerugian kerana dia telah lari dari landasan tauhid dan menempatkan dirinya & keluarganya dalam tempat yang cukup berisiko iaitu lembah kebinasaan.

  1. Ayat 30- {Dan mereka mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan manusia dari jalanNya…}- dalam ayat ini dua jenayah besar yang dibuat oleh puak kafir!

Iaitu:
i- mereka syirik mengadakan sekutu bagi Allah.
ii- mereka menyesatkan orang lain dari jalan tauhid juga.

Mereka telah mengubah perjalanan yang sepatutnya iaitu apabila rasul datang kepada mereka- mereka pakat beriman tetapi sebaliknya mereka kufur & mengadakan sekutu bagi Allah pula!

Maka mereka akan dicampakkan ke dalam neraka!

Ayat ini juga memberi peluang & tawaran kepada puak kafir untuk bertaubat- iaitu Allah kata: {“Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara di dunia), kerana sesungguhnya kesudahan kamu ke neraka”.}
Agar mereka sedar dan takut lalu bertaubat beriman!

  1. Ayat 31- {Katakanlah kepada hamba-hambaKu yang beriman hendaklah mereka mendirikan sembahyang dan mendermakan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka,…}-

Allah menyeru hamba-hamba-Nya yang beriman agar mereka mendirikan solat & infaq fi-sabilillah dengan mengeluarakn zakat & sedekah.

Jika kita lihat dalam ayat-ayat al-Quran- Allah selalu kembarkan solat dengan zakat atau sedekah.

Ini kerana:
i- solat adalah zakat anggota badan- kita solat seumpama kitab bayar zakat dengan badan kita.

ii- manakala zakat harta dengan membayarnya apabila cukup nisab.

Maka dua perkara ini sinonim- setiap orang kena bayar zakat jiwanya dengan zakat dan bayar zakat hartanya apabila cukup nisab!

  1. Ayat 31- {… dan mendermakan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka, sama ada dengan merahsiakan pemberiannya itu atau dengan terbuka..}-

Allah perintahkan agar kita infaq dengan dua dimensi samada secara terang-terangan atau sembunyi.

Maka persoalannya mana yang lebih afdhal secara terang-terangan atau sembunyi?

Kata ulama’:
i- Secara mutlaq atau umumnya, yang afdhalnya sedekah secara rahsia.

Dalilnya hadis Nabi s.a.w: yang menyebutkan tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di Padang Mahsyar, ketika tiada naungan lain, iaitu: pemimpin adil, pemuda taat, orang yang hatinya terpaut pada masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, lelaki menolak zina kerana takutkan Allah, bersedekah secara rahsia, dan yang berzikir dalam kesendirian hingga menangis. [HR Bukhari dan Muslim].

*Di mana salah satu golongannya ialah seorang lelaki (atau wanita) yang bersedekah secara rahsia, tangan kanan memberi tangan kiri tak tahu!

Sedekah secara rahsia juga memadamkan kemurkaan Allah.

ii- manakala secara khas atau terperinci ada perbincangan khas pula!

Sebagaimana yang kita nyatakan tadi jika projek umum dan memerlukan sumbangan orang ramai- elok ditunjukkan untuk memberi galakan dan motivasi kepada orang lain untuk turut bersedekah juga.
Wallahu a’lam.

  1. Ayat 31- {… sebelum datangnya hari yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada sahabat handai (yang dapat memberikan pertolongan).}-

Allah kata kamu bersedekahlah sebelum tibanya hari yang tiada jual beli & tidak ada kawan yang boleh membantu.

Bagaimana kita nak faham ayat ini?
Dalam ayat lain ada yang Allah nyatakan ada kawan seperti firman Allah ini:
{Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).} (Az-Zukhruf 43:67)

Kawan-kawan rapat akan berkelahi pada hari Kiamat kelak saling tuduh-menuduh- kamulah yang ajak aku buat maksiat, ajak pergi tempat tak baik dan seumpamanya.

Kecuali orang yang bertaqwa mereka tidak akan berkelahi masing-masing gembira, terima kasihlah dulu kerana ajak saya pergi masjid, ajak dengar kuliah, beri link kuliah dan seumpamanya!

Jadi bagaimana kita nak gabungkan dua ayat ini- jawapannya:

i- ayat ini menunjukkan tidak ada kawan sejati jika berkawan kerana nafsu- di Akhirat kelak semua akan lari!

ii- tetapi jika berkawan kerana Allah- akan berkawan sehingga ke syurga insya’ Allah!

*Begitulah ayat al-Quran itu saling lengkap-melengkap satu sama lain tidak ada pertembungan.

Kata Qatadah rhm: Allah tahu atas dunia ini kita berinteraksi, bermua’malah, berniaga dan berbisnes sesama kita dan kita ada kawan-kawan maka:

i- kamu tengok perniagaan itu yang halal atau haram.
Tengok saham-saham itu patuh Syari’ah atau tidak jangan paka gomol saja!

ii- kedua kena pilih dengan siapa kamu nak berniaga itu, siapa kawan kamu- jika kamu berkawan kerana Allah, insya’ Allah akan selamat.

Jika tidak, jika berkawan kerana nafsu, kamu akan berkelahi di Akhirat kelak.

Jika berkawan kerana Allah, kita akan tenang di dunia dan bahagia di Akhirat!

Semoga kita layak ke syurga, kita berkawan dengan sahabat yang baik orang-orang soleh yang mengingatkan kepada kita masjid, kuliah agama & pelbagai kebajikan lagi!

Peringatan:
Jangan tafsir al-Quran ikut kefahaman dan bahasa kita.

Ingatlah Allah turunkan al-Quran dalam bahasa Arab- kita belajar dan baca terjemahannya ke dalam pelbagai bahasa masing-masing untuk kefahaman.

Jika tak faham kita belajar tafsir dan tadabbur dengan guru yang berkelayaklan!

Bukan menafsir ikut suka hati dan otak sendiri!
Jangan salah guna ayat al-Quran dan membacanya dengan bacaan yang tidak tepat dan tidak betul samada untuk tujuan perbomohan atau main-main, saja suka-suka.

Ayat al-Quran ini Kalamullah yang mempunyai kemuliaannya, jangan kita tidak beradab dan tidak menghormati al-Quran.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.


Infaq #

Jangan lupa Tabung Infaq kita sempena 10 Akhir Ramadhan:

Peluang Infaq Akhir Ramadhan / Malam 10 Akhir Ramadhan!

Untuk aktiviti ilmu dan dakwah serta kebajikan Yayasan Pondok Sungai Durian yang dikendalikan oleh al-Faqir ila-Llah Dr Abu Anas Madani.

No akaun YPSD:

  1. Maybank- 553029619714
  2. Bank Islam- 03072010136461
    Atas nama: Yayasan Pondok Sungai Durian.
    “Jazakumullahu Khaira”.
    Akhukum,
    Dr. Abu Anas Madani, PSD.
    Jumaat 23 Ramadhan 1447H / 13 Mac 2026.

Lihat Penjelasan Di;
https://www.facebook.com/share/1C81jdZHhH/
جَزًاكُمُ الله خَيْرًا!


Wallahu a’lam.

#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Sabtu 14/03/2026 / 24 Ramadhan 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] & Surah Ibrahim (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top