10 Dalil Wujud Allah S.W.T Dan Kuasa-Nya, Nikmat Allah Tidak Terhitung

Live Pagi Ahad 15/03/2026 / 25 Ramadhan 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ibrahim (11) Ayat [32-34]
Full video: https://youtu.be/RaSZPq1orgg?si=RDmEP0-8idpssAis
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ibrahim dengan ayat 32 sehingga ayat 34 dalam juzuk ketigabelas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan beberapa nikmat & anugerah-Nya yang wajib disyukuri!
Dibawa 10 dalil wujudnya Allah s.w.t yang ada dalam alam semesta ini serta yang ada pada diri manusia sendiri!
- Juga dalil akan kekuasaan-Nya, apabila kita baca ayat-ayat Allah akan terasa betapa kerdil, lemah dan amat memerlukan kepada kuasa Allah pada diri dan kehidupan kita ini.
- Kemudian Allah nyatakan jika kamu hitung nikmat Allah- tidak akan terhitung banyaknya.
Tetapi dalam masa yang sama kita kena hitung, kena ingat & bilang selalu nikmat Allah ini agar kita tidak menjadi manusia yang kufur nikmat!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang hidup orang yang bahagia yang akan dibawa ke syurga (ya Allah jadikan kami golongan ini) serta cerita orang yang jahat yang akan dicampakkan ke dalam neraka (ya Allah jauhkan kami dari sifat ini).
Serta asas yang paling unggul & alat paling canggih untuk mendapat kkebahagiaan ialah makrifat Allah; iaitu kita mengenal Allah dengan Zat-Nya, sifat-Nya, af’al-Nya yang menjadi tanda keagungan-Nya.
Sebaliknya orang yang celaka ialah orang yang tak kenal Allah, dia kenal makhluk ciptaan dan keajaiban Allah tetapi dia tak kenal Allah!
ii- maka datang ayat ini dan ayat berikutnya Allah bawa kepada kita 10 dalil tentang nikmat & bukti akan keagungan & kekuasaan Allah s.w.t!
Kerana itu jika kita nak mantapkan akdah, nak belajar tauhid kena belajar al-Quran kerana semuanya ada di dalam al-Quran.
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
للَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَخْرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزْقًا لَّكُمْ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلْفُلْكَ لِتَجْرِىَ فِى ٱلْبَحْرِ بِأَمْرِهِۦ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلْأَنْهَٰرَ ﴿٢٣﴾
Ayat 32- {Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya).} (Ibrahim 14:32)
- Allah bawa dalil tentang kekuasaan & keagungan Allah.
Kita lihat satu persatu yang disebutnya dalam ayat-ayat ini!
- Pertamanya Allah menciptakan:
i- langit-langit {ٱلسَّمَـٰوَٰتِ}- yang bertingkat tujuh lapis tanpa tiang yang dapat kita lihat!
Semua ini dicipta tanpa contoh yang ada sebelumnya!
ii- dan bumi {وَٱلْأَرْضَ} yang terhampar luas menjadi kediaman manusia, bekerja dan mencari rezeki.
iii- dan menurunkan hujan { مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ dari langit- lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan {مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ} yang pelbagai jenis untuk menjadi makanan bagi kamu; sebagai rezeki bagi kamu untuk kamu hidup dengannya.
Hujan adalah di bawah kuasa Allah dan kesannya adalah tumbuh-tumbuhan!
vi- dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal {وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلْفُلْكَ} untuk belayar di laut dengan perintahNya.
Yakni Allah permudahkan bagi kamu menggunakan kapal bahtera yang besar lagi hebat!
Yakni lihat betapa kapal yang besar lagi berat boleh terapung dan belayar atas air di lautan tanpa tenggelam, mengetahui ke arah mana nak dituju, manfaatkan angin yang bertiup serta pelbagai kehebatannya- ini adalah nikmat ilmu yang Allah beri kepada manusia dalam bab bahtera di lautan ini!
*Tetapi manusia hari ini salah guna nikmat ini dengan buat cruise yang megah yang membawa maksiat dan arak sebagainya.
v- Allah juga yang memudahkan sungai-sungai {وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلْأَنْهَـٰرَ} untuk kamu mengambil manfaat darinya.
Bukan hanya laut tetapi sungai yang jernih airnya yang mengalir- Allah permudahkan urusan kamu untuk mengambil manfaat darinya, naik perahu, memancing dan sebagainya.
- Perbezaan sungai & laut: sungai biasa mengalir di dalam kampung dan dekat penempatan manusia- manakala laut jauh dari kampung. Ini kerana air sungai yang tawar menjadi kegunaan manusia maka mudah untuk manusia mengambil airnya sebagai kegunaan.
- Sungai adalah nikmat yang besar dari Allah kepada kita manusia- maka jagalah ia jangan dicemari dan dikotori!
Banyak kilang-kilang yang buang kekotoran mereka hatta yang beracun ke dalam sungai!
وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ دَآئِبَيْنِ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ ﴿٣٣﴾
Ayat 33- {Dan Ia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu.} (Ibrahim 14:33)
- Antara tanda kekuasaan Allah lagi ialah:
vi & vii- menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar bergerak silih berganti.
Ia untuk kehidupan manusia yang memerlukan cahaya matahari untuk pelbagai guna serta lembab malam.
Juga bagi tumbuhan berbunga & berbuah lalu masak buah dengan cahaya matahari itu.
*Kerana itu di dalam syurga umur manusia tidak bertambah kerana tiada matahari & siang-malam di dalam syurga!
viii & ix- dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu.
Malam yang gelap untuk kita tidur & berehat di rumah bersama keluarga.
Manakala siang yang cerah untuk keluar rumah mencari rezeki, menuntut ilmu dan pelbagai perkerjaan lagi. Kita perlukan kedua-duanya!
- Akan tetapi apa boleh buat dunia hari ini telah berubah, dunia sudah nak Kiamat.
Manusia mengubahnya mengikut kehendak dan nafsu mereka sendiri – lari dari fitrah asal kejadian manusia!
Siang menjadi malam- malam menjadi siang!!!!
Zaman dulu sebelum maghrib lagi manusia dah balik ke rumah dan haiwan masuk kandang- bersedia untuk ke masjid pula.
Sekarang kedai-kedai makan 24 jam- pusat hiburan apatah lagi!
ءَاتَىٰكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ ۚ وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَآ ۗ إِنَّ ٱلْإِنسَٰنَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ ﴿٤٣﴾
Ayat 34- {Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.} (Ibrahim 14:34)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang lepas Allah sebut kepada kita 9 nikmat yang Allah sediakan kepada kita!
ii- maka dalam ayat ini Allah nyatakan nikmat yang kesepuluh ini ialah kamu tak tahupun apa yang kamu guna dan dapat itu ialah nikmat Allah!!
Kamu hidup atas dunia ini menggunakan segala nikmat yang Allah sediakan tanpa kamu sedari!
- Iaitu cuba kita periksa dalam hidup kita ini mana lebih banyak: antara yang kita nak dan kita dapatnya dengan sesuatu yang kita nak tapi tak dapatnya??
Pastilah rasanya sikit aje yang kita tak dapat- tetapi yang itulah yang dibesarkan seolah tak ada nikmat yang Allah berikan kepadanya!!!!
- Allah nyatakan nikmat kesepuluh dan yang terbesar ialah Allah berikan kepada kamu apa yang kamu nak, Allah sediakan bagi kamu apa yang kamu perlukan samada yang kamu minta atau yang kamu tak minta tetapi tetap dapatnya!
*Contohnya kita minta rezeki dan makanan tetapi kita tak minta pun udara atau oksigen untuk bernafas tetapi Allah tetap sediakannya!
- Kerana itu jika kamu nak menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya- yakni kerana terlalu banyak kamu tak terhitung tak terbilang! apatah lagi nak membayar atau membalasnya!
Kerana itu kita kena banyak bersyukur!!!!
- Antara tanda syukur ialah solat dhuha- daripada Abi Zar r.a, bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
“Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (Subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (Allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat dhuha.” (HR Muslim)
*Manusia yang normal diciptakan dengan 360 sendi tulang yang perlu diberikan sedekah setiap hari sebagai tanda syukur.
Sendi-sendi ini merangkumi tulang belakang (147), dada (24), serta bahagian atas dan bawah tubuh, yang semuanya memerlukan sedekah harian.
Solat Dhuha ialah cara terbaik untuk memenuhi kewajipan ini.
- Allah nyatakan bahawa manusia itu kufur nikmat serta zalim iaitu manusia yang ingkar sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya. Iaitu betapa sikit manusia yang bersyukur akan segala nikmat yang Allah beri kepada kita!
- Ayat ini boleh dijadikan motivasi & peringatan untuk kita fikirkan betapa banyak nikmat Allah yang kita dapat tetapi kita lupa dan tidak hargai, tidak mensyukurinya!!!
Penutup & Faedah #
- Kesimpulannya dari ayat-ayat yang ada ini Allah bawa 10 nikmat yang besar yang diperlukan oleh manusia.
Ini sebagai peringatan agar manusia syukur & ingat kepada Allah!
Allah galakkan kita bersyukur dan sentiasa berdoa kepada Allah sebagaimana yang diajar oleh Nabi s.a.w kepada sahabatnya Muaz r.a agar jangan tinggalkan doa ini setiap kali selepas solat:
“اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ”
“Ya Allah, bantulah aku dalam berzikir mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan ibadah yang baik kepada-Mu”.
Jangan lupa kita membacanya- imam baca atau tidak kita baca sendiri- agar kita boleh berdikari hafazla doa ini.
Ada dalam buku zikir & doa selepas solat ini: https://dartaibah.com/…/Zikir-Pagi-Petang-dan-Selepas…
- Ayat 32- {… dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu;}-
Allah beri nikmat dengan turunnya air hujan dari langit yang dengannya tumbuh pokok-pokok yang mengeluarkan buah-buahan bagi kegunaan manusia & haiwan!
Ayat ini menunjukkan setiap sesuatu itu ada sebab- Allah yang buat sebab itu dan ia tidak memberi kesan jika bukan dengan izin Allah!
Allah nak buat sesuatu tanpa sebab boleh aje tetapi Allah tak buat begitu – setiap sesuatu itu ada sebab & penyebabnya!
Seperti nak anak kena kahwin, nak tumbuh pokok kena air!
*Kecuali mukjizat yang Allah beri kepada ibu Nabi Isa a.s- Sayyidah Maryam yang diberi anak tanpa bapa. Kuasa Allah boleh beri anak tanpa bapa!
Tetapi tidak manusia lain- jika ada orang dakwa dia beranak tanpa bapa- pejabat agama boleh tangkap & siasat!!!
Atas dunia ini tiada perbezaan Allah beri semua nikmat-Nya kepada seluruh manusia yang kafir atau yang beriman, manusia atau haiwan semuanya boleh makan!
Tetapi di Akhirat kelak lain ceritanya- tunggulah!
- Ayat 32- {… dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya,}-
Allah sebut kapal di sini sebagai salah satu nikmat yang besar kepada manusia.
Kerana apabila kita mendapat nikmat hasil bumi yang banyak; dengan apa manusia nak bawa buah-buahan dan semua hasil galian itu nak hantar ke negara-negara luar.
Lihat saja realiti hari ini betapa banyak kita terima hasil dari negara lain dengan kapal-kapal kargo & kapal tangki minyak yang besar yang tidak dapat diganti dengan kenderaan lain!
Kata para ulama’: Allah susun dengan cantiknya, hasil dari rezeki tumbuhan dan galian dari laut itu kamu nak nak bawa ke mana jika tiada kapal yang Allah beri ilmu kepada manusia untuk menciptanya!!
Fakta dunia hari ini- Medan konflik AS-Israel-Iran:
Dalam ketegangan perang Iran- Amerika hari ini Selat Hormuz menjadi satu selat yang terpenting hari ini.
Ia dikenali sebagai koridor tenaga terpenting di dunia, terletak di antara Iran dan Oman, menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman dan Laut Arab.
Kira-kira 167 kilometer panjang dan hanya 33 kilometer lebar pada titik paling sempit serta kedalaman 200 meter, selat itu berfungsi sebagai satu-satunya laluan laut bagi pengeluar Teluk mengeksport minyak dan gas dalam jumlah besar ke pasaran antarabangsa.
Trafik penghantaran melalui Selat Hormuz menurun dengan mendadak sejak konflik meletus pada 28 Februari, apabila Tehran, yang mengawal selat itu, telah menyekat jalan air tersebut dan mengancam untuk menyasarkan kapal yang dikaitkan dengan AS dan Israel.
Peringatan sekali lagi:
Para pendakwah jika nak ulas isu tentang peperangan ini silakan tetapi jangan lupa bahawa pegangan Syiah & Rafidhah jangan kita agungkan dan sucikan!
Ini pegangan kita, tidak akan mengangkat & mengagungkan orang yang mencerca menghina sahabat!
Tetapi dalam masa yang sama kita simpati dan memberi sokongan kepada umat Islam yang ditindas oleh kafir!
- Dalam Ayat-ayat ini Allah sebut- { dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu- وَسَخَّرَ لَكُمُ}- yakni semua nikmat itu Allah beri untuk memberi kemudahan dan memudahkan urusan kehidupan manusia atas dunia ini!
Kenapa Allah sebut semua perkara itu Dia permudahkan bagi kamu:
{وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلْفُلْك},
{وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلْأَنْهَـٰرَ},
{وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ}
{وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ}
Jawapan:
Ini kerana Allah nak nyatakan bahawa semua perkara ini asalnya sesuatu yang susah & payah- tetapi Allah permudahkan dan jadikan semua itu mudah bagi kamu!
Bagi Allah semua benda itu mudah!
Kerana itu Allah ajar apabila kamu nak naik kenderaan bacalah doa ini:
سُبْحَانَ الَّذِى سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ.
{Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali.} (al-Zukhruf 13-14)
Contoh: Kita lihat gembala gajah- manusia yang kecil dan lemah boleh naik atas gajah dan mengawalnya sedangkan jika gajah itu mahu melanyaknya dan tak ikut arahan melawannya boleh saja.
Tetapi semua perkara itu menjadi mudah & senang dengan kehendak Allah- yang penting kita syukur nikmat Allah.
- Ayat 34- {Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.}-
Allah kata Dia beri semua perkara yang kita minta dan nak!!
Kata ulama’ tadabbur: Tiada siapa yang lebih ihsan selain ihsannya Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya!
Dia beri apa yang kamu minta & beri juga apa yang kamu tak minta!
Dia beri kepada semua hamba-Nya yang mukmin atau yang kafir keperluan atas dunia ini.
*Seperti ibu bapa yang beri kepada anaknya semua-apa yang anaknya minta atau tidak- ini hanya contoh tak boleh nak dibandingkan dengan Allah.
Kata ulama’ lagi: Antara nikmat yang kita tak perasan dan ambil mudah ialah nikmat kita bernafas (نِعْمَةُ التَّنَفُّس) – setiap hari kita tarik nafas 24,000 helaan- tetapi kita tidak terasa kerana ia percuma!!!
Itu baru bernafas yang lain nyk lagi!
Apabila kita sakit dan tidak dapat bernafas tanpa bantuan oksigen dan alat bantuan pernafasan; baru kita sedar dan perasan akan nikmat itu!
Betapa semua tidak percuma atas dunia ini jika bukan dari Allah!
Begitu juga buah pinggang kita yang memproses dalam badan kita 24 jam setiap hari dengan percuma selama ini- sekali dia jem dan Allah tarik nikmat itu baru kita sedar akannya dan terpaksa mencari alat bantuan & dialisis yang bukan percuma!!!!
Betapa anggota badan & semua organ kita yang berfungsi dengan kuasa Allahh ini adalah nikmat yang besar dari Allah s.w.t!
Beberapa ayat al-Quran yang menyebut bahawa manusia ini ramai yang kufur nikmat Allah:
i- ayat kita ini: {Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.}
ii- {Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian} (Al-‘Asr 103:2)
iii- { Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya.} (Al-‘Aadiyaat 100:6) |
Dengan ayat-ayat yang sentap jiwa ini marilah kita sentiasa bersyukur akan nikmat Allah yang banyak ini.
Iaitu jika:
i- kita sihat banyakkkan beribadat kepada Allah;
ii- ada ilmu sampaikan biar memberi manfaat;
iii- ada harta infaq fi-sabilillah agar harat kita menjadi milik kita yang sebenarnya!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 15/03/2026 / 25 Ramadhan 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] & Surah Ibrahim (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Semoga Bermanfaat!
