View Categories

(2) Surah al-Hijr: Ayat 1-5

13 min read

Kesempurnaan Al-Quran, Penyesalan Kafir Di Akhirat & Tempoh Kebinasaan Umat Yang Derhaka

Live Pagi Ahad 29/03/2026 / 09 Syawwal 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Hijr (02) Ayat [01-05]

Full video: https://youtu.be/XaQ_jlGFKcg?si=Ma838DYaqRk3L6ct

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita mulakan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Al-Hijr dengan ayat 01 sehingga ayat 05 dalam juzuk keempat-belas.
  2. Dalam ayat-ayat pertama ini Allah s.w.t nyatakan sifat Al-Quran yang sempurna & lengkap dalam segenap sudut!

Bermula dari tauhid atau aqidah, ibadat, muamalat dengan Allah juga dengan sesama manusia, jihad; semuanya disebut dalam al-Quran secara asas.

  1. Kemudian Allah nyatakan penyesalan puak kafir samada ketika mereka nak mati atau di Akhirat kelak setelah mereka lihat orang beriman selamat.

Atas dunia ini mereka tak rasa apa kerana sama-sama selamat & dok makan-minum lalu mereka ingat pegangan mereka itu betul!

  1. Kemudian Allah nyatakan setiap umat itu samada kumpulan yang baik atau tak baik ada tempohnya atas dunia ini!

Yang baik panjang umur dengan menambahkan ibadat dan meningkatkan taqwa.

Yang tak baik lagi lama hidup, lagi jahat, lagi kuat hujjah Allah ke atasnya untuk dibakar & dihumban ke dalam neraka!

Maka kita yang beriman sentiasalah buat ibadat yang terbaik, semoga kita selamat di dunia & aman di Akhirat.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

الٓر ۚ تِلْكَ ءَايَٰتُ ٱلْكِتَٰبِ وَقُرْءَانٍ مُّبِينٍ ‎﴿١﴾

Ayat 1- {Alif, Laam, Raa’.} (Al-Hijr 15:1)

  1. Surah ini dimulai dengan huruf yang dikenali sebagai huruf al-Muqatto’ah (الحروف المقطعة).
    Al-Muqatto’ah adalah huruf yang bersambung tulisannya tetapi dibaca satu-persatu sebagaimana hurufnya- {الٓر} dibaca (Alif Lam Ra)- iaitu huruf Alif dibaca alif, huruf Lam dibaca lam, dan huruf Raa dibaca raa.
    Huruf-huruf sebegini dipanggil huruf-huruf “al-Muqatto’ah”.
  2. Ada lima surah dalam Al-Qur’an yang dimulai dengan huruf-huruf (Alif, Lam, Ra- الٓر) iaitu Surah Yunus (Surah ke-10), Surah Hud (Surah ke-11), Surah Yusuf (Surah ke-12), Surah Ibrahim (Surah ke-14), dan Surah Al-Hijr (Surah ke-15).

Empat surah dinamakan sempena nama nabi cuma surah al-Hijr atau Kota Batu ini diambil sempena nama tempat nabi Soleh berdakwah iaitu al-Hijr atau di kenali sekarang sebagai Madain Soleh, dalam mantiqah al-Ula, Madinah.

  1. Allah memulai surah ini dengan huruf Muqatto’ah, sebagaimana beberapa surah lain untuk membuktikan kenabian dan wahyu.

Huruf-huruf ini tidak diketahui maknanya dan hanya Allah ‎جل جلاله lebih mengetahui maknanya.

  1. Ia menunjukkan mukjizat al-Quran yang tidak boleh dilawan dan dicabar oleh manusia & sekelian makhluk samada secara bahasa atau isi kandungan.

Ia juga melemahkan makhluk lain untuk menirunya!

Sedangkan huruf biasa al-Quran pun manusia tidak dapat nak cabar & tirunya apatah lagi huruf-huruf sebegini. [

Penjelasan lanjut boleh baca di nota: (07) pada awal surah al-Baqarah dalam Tafsir Pimpinanar-Rahman].

Ayat 1- {Ini ialah ayat-ayat Kitab (yang lengkap sempurna) dan Al-Quran yang memberi penjelasan.} (Al-Hijr 15:1)

  1. Allah nyatakan inilah adalah ayat-ayat al-Quran yang tinggi lagi besar kedudukannya, yang mengumpulkan segala kesempurnaan.
  2. Ayat-ayat al-Quran yang agung lagi jelas i’jaznya (إعجازه) iaitu al-Quran mencabar orang yang memandang lekeh & rendah terhadapnya agar bawa sesuatu yang seumpamanya!
  3. Dalam al-Quran ini ada dua keistimewaan iaitu mukjizat & i’jaz- bezanya:

i- mukjizat ialah suatu perkara yang pelik yang mencarik adat kebiasaan.
Yakni cerita-cerita dalam al-Quran adalah sesuatu yang pelik yang Allah anugerahkan kepada Nabi s.a.w.

ii- manakala i’jaz ialah al-Quran mencabar penentangnya untuk buat satu al-Quran atau satu surah saja sepertinya!

Iaitu melemahkan orang lain daripada mencabarnya!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Alif, Laam, Raa’. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran.} (Yusuf 12:1)

رُّبَمَا يَوَدُّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَوْ كَانُوا۟ مُسْلِمِينَ ‎﴿٢﴾

Ayat 2- {Ada masanya orang-orang yang kafir merasa ingin kalaulah mereka telah menjadi orang-orang Islam.} (Al-Hijr 15:2)

  1. Puak yang kufur dan kafir & syirik terhadap Allah serta mati dalam kekufuran mereka itu; setelah mati dan melihat azab di depan mata mereka baru menyesal akan kekufuran dan berharap dan berangan sangatlah kalaulah mereka beriman dan telah menjadi orang Islam.
  2. Ini adalah satu angan-angan yang tiada guna, bukan angan-angan mat Jenin lagi tetapi angan-angan mat kafir yang tidak membawa manfaat apa lagi!

Betapa ramai manusia yang begini (termasuk diri kita juga)- nak selamat tetapi tidak beriman, nak syurga tetapi tak buat amalan banyak, nak keredhaan Allah tetapi tak buat apa yang Tuhan suruh, dakwa sayangkan Nabi tetapi tidak beramal dengan Sunnah Nabi!

*Jika disebut begini ramailah watak mat jenin atas dunia ini- tinggi anggan-angan tetapi tidak membuat persiapan yang sepatutnya!

  1. Puak kafir dok berangan-angn kalaulah mereka beriman atas dunia dulu, menjadi ahli tauhid yang tunduk akur kepada perintah Allah dan menerima hukuman perundangannya- maka gembiralan mereka pada hari itu!
  2. Bilakah penyesalan puak kafir ini berlaku??
    Ayat ini ditafsirkan dengan beberapa ayat ini bahawa:

i- penyesalan itu berlaku di Akhirat- apabila mereka sudah melihat neraka tempat kembali mereka:

{Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman”.} (Al-An’aam 6:27)

ii- apabila berlaku Kiamat- samada kematian atau Kiamat sebenar: {Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; “Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!” Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.} (Al-An’aam 6:31)

  1. Kata ulama’ tafsir pula tentang bilakah peristiwa ini berlaku:

i- ulama’ tafsir seperti asy-Syaukani berkata penyesalan ini berlaku ketika mereka nak mati;

ii- dan juga ketika hari Kiamat kelak.
Iaitu apabila terserlah di depan mata mereka kebenaran Islam & sesatnya puak kufur.

iii- ada juga ulama’ yang kata peristiwa ini berlaku apabila mereka melihat orang yang beriman tenangn berada di bawah bayangan Arasy manakala mereka dalam kepanasan dan berdebu-katu!

iv- apabila berlakunya azab di dalam neraka di Akhirat kelak dan kemudiannya dikeluarkan orang Islam yang ada iman dari neraka setelah selesai tempoh hukuman mereka- maka kafir bertempik menyesal berkata ruginya mereka- jika beriman pasti akan keluar juga!!!!

Sebagaimana firman Allah ini:
{Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul?} (Al-Furqaan 25:27)

  • Ayat ini merujuk kepada penyesalan orang kafir yang akan berlaku di akhirat kelak.
    Tetapi tiada guna lagi penyesalan pada waktu itu tidak memberi manfaat!
  1. Jadi jelaslah sebagaimana penjelasan para ulama’ tadi penyesalan orang kafir ini berlaku pada setiap masa, nak mati menyesal, masuk kubur menyesal, bangkit pada hari Kiamat menyesal, di dalam neraka pun menyesal!!!!!

Tetapi semua penyesalan ini tiada guna lagi- kalau nak menyesal sekarangr jangan tunggu nak mati.

  1. Menurut ahli tafsir (seperti Ibn Kathir dan Al-Qurtubi), penyesalan ini memuncak pada dua keadaan:

i- Apabila melihat orang Islam dikeluarkan dari neraka: Apabila orang kafir melihat umat Islam yang berdosa (ahli tauhid) dikeluarkan daripada neraka setelah selesai hukuman mereka, orang kafir akan merasa amat menyesal dan berharap mereka dahulu Islam.

ii- Melihat nasib orang beriman: Ketika mereka melihat orang beriman masuk syurga dan mereka kekal dalam neraka.

  1. Terdapat hadis marfu’ (disandarkan kepada Nabi S.A.W) yang memperincikan keadaan yang digambarkan dalam ayat ini:

“Apabila ahli neraka berkumpul di dalam neraka, dan bersama mereka (umat Islam) yang Allah kehendaki daripada ahli qiblah (orang Islam) yang derhaka.

Orang kafir berkata kepada orang Islam:
“Bukankah kamu dulu Muslim?”
Mereka menjawab: “Ya.”
Orang kafir berkata: “Mengapa Islam kamu tidak berguna, sedangkan kamu bersama kami di neraka?”
Orang Islam menjawab: “Kami mempunyai dosa-dosa dan kami dihukum kerananya.”

Maka Allah murka untuk mereka yang kufur dan (dengan rahmat-Nya) lalu memerintahkan setiap ahli qiblah dalam neraka untuk dikeluarkan.

Pada waktu itulah orang kafir berharap kalaulah mereka dahulu Muslim.”
(Tafsir Al-Baghawi, merujuk hadis riwayat Tabarani).

*Inilah maksudnya puak kafir berharap benar kalaulah mereka telah menjadi Islam atas dunia dulu!

  1. Sebuah lagi hadis Nabi s.a.w menjelaskan bahawa Allah akan mengeluarkan orang Islam yang berdosa/durhaka dari neraka melalui syafaat setelah mereka disiksa.

Mereka dikeluarkan dalam keadaan hangus, kemudian dicelup ke dalam “Sungai Kehidupan” (Nahrul Hayat) sehingga tumbuh semula seperti benih di tebing sungai, lalu dimasukkan ke syurga. [HR. Muslim no. 183 dan Bukhari].

  1. Kita berdoa kepada Allah, kita tidak mahu disentuh api neraka walaupun sesaat!

Maka jauhkan dari segala dosa dan perbuatan derhaka kepada Allah, tertentu sekali syirik dan menzalimi sesama manusia & semua maksiat samada dosa besar atau dosa kecuali!

  1. Dosa kecil perlu dihindari juga kerana hujan bermula dengan titian air yang kecil, bukit bermula dari timbunan pasir yang kecil.

Ingatlah jangan pandang dosa itu kecil atau besar tetapi lihatlah kepada siapa kita derhaka atau buat dosa itu!

ذَرْهُمْ يَأْكُلُوا۟ وَيَتَمَتَّعُوا۟ وَيُلْهِهِمُ ٱلْأَمَلُ ۖ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ ‎﴿٣﴾

Ayat 3- {Biarkanlah mereka makan dan bersenang-lenang dengan kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan (daripada bertaubat dan insaf); kemudian mereka akan mengetahui kelak (bencana perbuatan mereka).} (Al-Hijr 15:3)

  1. Allah katakan kepada Nabi s.a.w- biarkan puak kafir itu:
    i- biarkan mereka makan-minum dan bersenang-lenang ikut syahwat dan kelazatan- makan babi, minum arak dan segala yang haram!

ii- biarkan mereka tenggelam dengan kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan itu daripada bertaubat dan insaf lalu terus berakhir dalam kekufuran, mati tidak beriman!

  1. Setelah itu di Akhirat kelak kamu akan melihat mereka ini akan berada dalam penyesalan yang tiada guna lagi kerana mati tidak beriman!!!

Kerana itu, kita kena usahalah kempen dan dakwah- sekiranya mereka terima alhamdulillah- tak terima na’uzubillah!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan mereka mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan manusia dari jalanNya. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara di dunia), kerana sesungguhnya kesudahan kamu ke neraka”.} (Ibrahim 14:30)

وَمَآ أَهْلَكْنَا مِن قَرْيَةٍ إِلَّا وَلَهَا كِتَابٌ مَّعْلُومٌ ‎﴿٤﴾

Ayat 4- {Dan tiadalah Kami binasakan (penduduk) sesebuah negeri melainkan ada baginya tempoh yang tertentu dan termaklum.} (Al-Hijr 15:4)

  1. Allah nyatakan ahli maksiat ini diberi tempohnya untuk mereka hidup bersenang-lenang, ikut hawa nafsu mereka atas dunia ini.

Kita lihat seseorang diktator atau orang yang zalim berkuasa atas dunia bertahun-tahun sebelum jatuh atau mati!

  1. Munasabah ayat ini jelas:

i- apabila Allah sebut kepada Nabi s.a.w agar biarkan puak kafir itu mereka makan minum bersenang-lenang atas dunia ini,

ii- maka datang ayat ini sebagai amaran dan peringatan bahawa semua itu hanyalah tempoh yang Allah berikan kepada mereka, kepada suatu waktu yang pasti akan berakhir!

Jika mereka panjang umur dan berkuasa pun akhirnya mereka akan berpecah-belah mati dalam kezaliman dan akan mendapat pembalasan Allah!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan; maka apabila tempohnya, tidak dapat mereka melambatkannya sesaatpun, dan tidak dapat mereka menyegerakannya”.} (Yunus 10:49)
  2. Ayat ini sebagai amaran kepada puak kafir pada zaman Nabi s.a.w agar mereka jangan keras kepala menentang dan melawan, kerana kamu akan dibinasakan Allah juga akhirnya jika tidak beriman!

 مَّا تَسْبِقُ مِنْ أُمَّةٍ أَجَلَهَا وَمَا يَسْتَـْٔخِرُونَ ‎﴿٥﴾‏

Ayat 5- {Sesuatu umat itu tidak dapat mendahului tempohnya yang telah ditentukan, dan mereka juga tidak dapat mengundurkannya.} (Al-Hijr 15:5)

  1. Setiap umat dan manusia ini ada tempohnya- Allah telah taqdirkannya berlaku!

Kita nak percepatkan tak boleh nak tangguhkan juga tak boleh!

  1. Maka jangan sesekali kita menangguhkan kebaikan & taubat agar tidak menyesal di kemudian hari!

Kita buat kerja kita, mereka buat kerja mereka- masing-masing akan bertemu di hadapan Allah s.w.t nanti!

Penutup & Faedah: #

  1. Ayat 1- {Alif, Laam, Raa’. Ini ialah ayat-ayat Kitab (yang lengkap sempurna) dan Al-Quran yang memberi penjelasan.}
    Allah kata ini adalah ayat-ayat Kitab.
    Makna Kitab ialah sebuah buku yang lengkap.

Persoalan: Kenapa Allah kata Kitab sedangkan al-Quran turun secara berperingkat bukan turun sebagai satu kitab yang lengkap???

Jawapan:
i- Allah perintahkan Nabi s.a.w minta para sahabat yang dapat menulis untuk menulis setiap ayat al-Quran yang turun ini di atas apa saja medium yang ada pada masa itu seperti kertas, belulang, kayu dan lain-lain serta jaga penulisannya itu.

Al-Quran pada waktu itu ditulis oleh para sahabat yang berlainan dan terpisah lembaran-lembarannya!

ii- ini adalah mukjizat kepada Nabi s.a.w- Allah memberitahu bahawa al-Quran yang terpisah ini suatu hari nanti akan menjadi sebuah kitab yang lengkap (mushaf).

*Al-Quran mula dikumpul pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq dan terkumpul dengan lengkap pada zaman Khalifah Uthman kerana itu dipanggil Mushaf Uthmani iaitu mushaf Al-Quran yang diseragamkan penulisannya (rasm) pada masa Khalifah Uthman bin Affan (sekitar tahun 25H/646 M).

  1. Ayat 2- {Ada masanya orang-orang yang kafir merasa ingin kalaulah mereka telah menjadi orang-orang Islam.} – puak kafir akan menyesal di Akhirat kelak atau ketika mereka nak mati & melihat kebenaran!

Orang kafir ini di Akhirat kelak akan sentiasa menyesal pada setiap peringkat akhir kehidupan mereka; apabila nak mati, apabila di dalam neraka melihat orang mukmin keluar dari neraka yakni keadaan mereka penuh dengan penyesalan yang tiada guna!!!

Ayat ini juga menjadi hujjah ke atas puak muktazilah yang mengatakan semua manusia yang berdosa akan kekal di dalam neraka tidak kira kafir atau beriman!

Tetapi kita ahli Sunnah berpegang bahawa orang beriman yang masuk dalam kerana dosa mereka akan dikeluarkan dari neraka apabila habis tempoh azab & hukumannya!

Berbeza dengan kafir tulen yang akan kekal di dalam neraka selama-lamanya!

  1. Ayat 3- {Biarkanlah mereka makan dan bersenang-lenang dengan kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan (daripada bertaubat dan insaf);…}– biarkan puak kafir itu bersenang-lenang makan minum ikut hawa nafsu mereka!

Ayat ini menggambarkan bahawa orang yang berfoya-foya, bersuka-suka saja, tak ingat mati, tak buat persiapan untuk mati tak takut kepada Allah; ini bukanlah akhlak orang yang betul-betul takut kepada Allah, tidak inginkan keselamatan dunia Akhirat!

Antara perkara yang bahaya dalam hidup manusia atas dunia ini ialah:

i-cintakan dunia- adalah penyakit kronik yang berpanjangan susah untuk diubati kerana seseorang yang cintakan dunia tak takut mati, tak kira halal haram semuanya mahu dikaut!
Ia boleh merosakkan hati & pemikiran!

ii- panjang angan-angan- ia adalah orang yang cintakan dunia tak mahu mati, halal haram dia tak peduli yang penting masuk duit!

Kata al-Imam al-Hasan Basri :
قَالَ الْحَسَنُ الْبَصْرِيُّ: مَا أَطَالَ عَبْدٌ الْأَمَلَ إِلَّا أَسَاءَ الْعَمَلَ
“Tidaklah seseorang hamba itu memanjangkan angan-angannya, melainkan dia akan memburukkan amal perbuatannya.” [Tafsir al-Qurtubi: 10/2-3]

Apabila seseorang terlalu banyak berangan atau terlalu panjang berharap tentang masa depan (seolah-olah akan hidup lama), dia cenderung:

i- Menangguhkan taubat
ii- Melengah-lengahkan ibadah.

Yakni sesiapa yang memanjangkan angan-angannya; dia tak akan banyak beramal!

Dia akan malas beramal dan sentiasa menangguhkan amal kebaikan- nanti dulu, nanti dulu.

  1. Ayat 4- {Dan tiadalah Kami binasakan (penduduk) sesebuah negeri melainkan ada baginya tempoh yang tertentu dan termaklum.} – satu-satu kebinasaan yang berlaku itu telah tertulis di Lauh Mahfuz!

Inilah aqidah kita, bahawa; semua yang berlaku yang baik atau yang buruk semua sudah tertulis!

Tetapi kita kena berusaha agar tidak termasuk dalam taqdir yang buruk, tidak binasa dalam keadaan kita derhaka kepada Allah!

Kita kena berusaha untuk menjadi baik, usaha agar mendapat husnul-khatimah, mati & berakhir dengan kebaikan!

Banyakkan berdoa kepada Allah, jangan dok main panjang angan-angan merasakan lambat lagi mati!

Allah kata semua yang berlaku, mati secara natural, mati eksiden atau apa saja kematian telah ditetapkan Allah; tidak ada siapa yang boleh lari dan elak!

Semua musibah dan ujian yang berlaku kita tak boleh lari & elak- tempoh kita sudah ditetapkan Allah cuma kita saja yang tak tahu!

Maka kerana kita tak tahu bila kita akan mati; maka kita kena buat persiapan seolah kita nak mati esok atau bila-bila masa saja!

  1. Ayat 5- {Sesuatu umat itu tidak dapat mendahului tempohnya yang telah ditentukan, dan mereka juga tidak dapat mengundurkannya.}– setiap orang itu ajalnya tidak akan ke depan atau ditangguh!

Orang yang berani dalam menegakkan kebenaran dia tidak akan takut untuk berjuang kerana dia tahu ajalnya telah ditetapkan Allah!

Contoh Sayyidina Khalid bin al-Walid r.a yang berjuang di medan perang semenjak sebelum Islam lagi melawan Nabi s.a.w selama beberapa tahun.

Kemudian setelah masuk Islam menjadi panglima perang tentera Islam pula- berperang sana sini akhirnya dia mati diperbaringan di dalam rumahnya!

Orang yang berani tak semestinya mati awal manakala orang yang penakut tak semestinya panjang umur- kerana kamu takut atau berani apabila Allah telah tetapkan sesuatu perkara ia akan berlaku!

Maka tak perlulah kamu play safe untuk mendapat kedudukan, tak kira dalam bidang dakwah, politik atau apa saja!
Jika Allah telah tetapkan kamu tak dapat kedudukan itu kamu tak akan dapat!

Kerana kita tak tahu bila kita akan mati- tetapi kita tahu mati itu pasti akan datang- maka jom kita kembali kepada Allah, buat persiapan awal tingkatkan amal ibadat.

Mencari keredhaan Allah dengan tauhid yang murni dengan akhlak yang mulia dan cita-cita yang besar agar Allah jadikan kita ahli syurga!

Moga Allah jadikan kita orang yang pendek angan-angan atas dunia ini tetapi tinggi cita-cita di Akhirat kelak!!!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 29/03/2026 / 09 Syawwal 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo/?fbid=915133924670462&set=pb.100085215893583.-2207520000

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top