View Categories

(5) Surah Ibrahim: Ayat 9-12

14 min read

Cerita Umat Terdahulu, Mereka Tolak Nabi Sebagai Manusia & Sifat Rasul Sabar Dan Tawakkal.

♥Live Pagi Ahad 08/03/2026 / 18 Ramadhan 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ibrahim (05) Ayat [09-12]

Full video: https://youtu.be/LDIRV9N36Go?si=8YWMq2C1u_kPTo4B

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ibrahim dengan ayat 09 sehingga ayat 12 dalam juzuk ketigabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan berita umat terdahulu, untuk kita mengambil iktibar & pengajaran atas kebinasaan umat terdahulu kerana derhaka kepada Allah Azza wa Jalla.
  3. Kemudian Allah nyatakan salah satu punca mereka tolak nabi kerana nabi itu manusia biasa seperti mereka juga- mereka minta malaikat dihantar sebagai rasul.
  4. Allah nyatakan sifat para rasul a.s itu antaranya:

i- sentiasa sabar dalam menghadapi cabaran & tentangan dalam berdakwah mengajak kaumnya kepada Allah s.w.t.
Mengajak manusia kepada tauhid kepada Allah.

ii- sifat mereka juga tawakkal pergantungan yang tinggi kepada Allah s.w.t.

*Inilah sifat besar yang kita kena ada juga dan belajar dari para rasul ini.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang Nabi Musa memperingatkan kaumnya tentang hari-hari yang Allah berikan kepada mereka samada hari senang atau hari yang susah.

Tujuannya agar mereka bersyukur apabila menerima nikmat Allah dan bersabar apabila menghadapi ujian.

ii- kemudian datang ayat ini- sekali lagi memberi peringatan dan amaran agar manusia mengambil iktibar & pengajaran dari peristiwa yang menimpa umat terdahulu sebelum mereka!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَبَأُ الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ قَوْمِ نُوحٍ وَعَادٍ وَثَمُودَ ۛ وَالَّذِينَ مِن بَعْدِهِمْ ۛ لَا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا اللَّهُ ۚ جَاءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِالْبَيِّنَاتِ فَرَدُّوا أَيْدِيَهُمْ فِي أَفْوَاهِهِمْ وَقَالُوا إِنَّا كَفَرْنَا بِمَا أُرْسِلْتُم بِهِ وَإِنَّا لَفِي شَكٍّ مِّمَّا تَدْعُونَنَا إِلَيْهِ مُرِيبٍ ‎﴿٩﴾‏ 

Ayat 9- {(Mengapa kamu masih berdegil) bukankah telah datang kepada kamu khabar berita orang-orang yang terdahulu daripada kamu, iaitu kaum Nabi Nuh, dan Aad juga Thamud serta orang-orang yang kemudian daripada mereka ? Tiada sesiapapun yang mengetahui bilangan mereka melainkan Allah. Mereka telah didatangi oleh rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, lalu mereka meletakkan tangan mereka ke mulut mereka sambil berkata: “Sesungguhnya kami kufur ingkarkan apa yang – mengikut dakwaan kamu – kamu diutus membawanya, dan sesungguhnya kami adalah dalam keadaan yang meragukan terhadap iman dan tauhid yang kamu ajak kami kepadanya”.} (Ibrahim 14:9)

  1. Nabi Musa meneruskan nasihat & memberikan peringatan kepada kaumnya- apakah kamu tidak lihat & ambil pengajaran akan khabar berita orang-orang yang terdahulu daripada kamu, iaitu kaum Nabi Nuh, dan Aad juga Thamud serta orang-orang yang kemudian daripada mereka?
  2. Ulama’ berbeza pendapat tentang kata-kata siapakah ayat ini:

i- ada ulama’ berpendapat ayat ini masih lagi kata-kata Nabi Musa, yang menasihati & memberi peringatan kepada kaumnya.
*Ini pandangan yang dipilih oleh Imam Ibnu Jarir at-Tobari.

ii- Ada juga pendapat dari Ibnu Kathir dan dipilih oleh Ibnu Asyur dan lain-lain yang mengatakan ayat ini adalah peringatan dari Allah kepada umat nabi Muhammad s.a.w. supaya mengambil iktibar pengajaran dari kebinasaan umat terdahulu seperti kaum Nabi Nuh, dan Aad juga Thamud.

  1. Kita kata tidak mengapa yang penting ia adalah peringatan dari Allah untuk kita semua untuk ambil pengajaran dari umat terdahulu seperti kaum Nabi Nuh, dan Aad juga Thamud & umat lain selepas daripada mereka yang tidak kita akan tahu kecuali dengan apa yang Allah maklumkan kepada kita!
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan (demikian juga Kami telah binasakan) Aad dan Thamud serta Ashaabur-Rassyi dan banyak lagi dalam zaman-zaman di antara masa yang tersebut itu.} (Al-Furqaan 25:38)

*Dalam ayat ini ada tambahan satu lagi kaum lain yang telah binasa iaitu: {Ashaabur-Rassyi-أَصْحَـٰبَ ٱلرَّسِّ}.

  1. Begitulah ayat-ayat al-Quran ini kait-mengait, sambung-menyambung, ringkas di sini, detail di tempat lain.
    Ini semua gaya al-Quran untuk menyatakan bahawa al-Quran itu dari sumber yang satu- jika tidak pasti ia akan keliru dan bercanggah satu sama lain!
    Tetapi al-Quran tiada percanggahan atau perbezaan maklumat!

“القرآن من مشكاة واحدة”

  1. Telah datang kepada setiap umat seorang rasul mereka dengan membawa keterangan-keterangan hujjah yang jela yang nyata.

Para rasul itu pula diberi mukjizat yang zahir yang menunjukkan kepada benarnya dakwah mereka dan betulnya apa yang telah mereka bawa- tauhid kepada Allah!

  1. Apakah respon kaum mereka itu apabila mendengar dakwah & hujjah para rasul itu??? Mereka mendustakan semua itu dengan amat marah dan geram dengan menunjukkan penentangan:

i- dengan meletakkan tangan mereka ke mulut mereka, atau gigit jari menahan marah!
Benci & marah sangat akan dakwah rasul itu!

ii- sambil berkata: “Sesungguhnya kami kufur ingkarkan apa yang – mengikut dakwaan kamu – kamu diutus membawanya; semua itu hanya dongengan orang terdahulu!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {… Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.} (A-li’Imraan 3:119)
  2. Kemudian mereka berkata lagi: {.. dan sesungguhnya kami adalah dalam keadaan yang meragukan terhadap iman dan tauhid yang kamu ajak kami kepadanya.}
    Yakni dengan sebab mereka ragu inilah mereka tidak beriman & tidak percaya!!!

۞ قَالَتْ رُسُلُهُمْ أَفِي اللَّهِ شَكٌّ فَاطِرِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ يَدْعُوكُمْ لِيَغْفِرَ لَكُم مِّن ذُنُوبِكُمْ وَيُؤَخِّرَكُمْ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ قَالُوا إِنْ أَنتُمْ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُنَا تُرِيدُونَ أَن تَصُدُّونَا عَمَّا كَانَ يَعْبُدُ آبَاؤُنَا فَأْتُونَا بِسُلْطَانٍ مُّبِينٍ ‎﴿٠١﴾‏

Ayat 10- {Rasul-rasul mereka bertanya: “Patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang wujudnya Allah, yang menciptakan langit dan bumi? Ia menyeru kamu beriman kerana hendak membersih dan melepaskan kamu dari dosa-dosa kamu, dan memberi tempoh kepada kamu hingga ke suatu masa yang tertentu. Mereka menjawab: “Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami. Kamu bertujuan hendak menyekat kami daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kami. Oleh itu, bawalah kepada kami satu bukti yang jelas nyata”.} (Ibrahim 14:10)

  1. Munasabah ayat:
    i- setelah mereka menyatakan keraguan dan penolakan mereka dalam ayat yang lepas; akan dakwah dan kebenaran ajaran yang dibawa oleh nabi mereka; mereka juga meminta bukti mukjizat yang zahir.

ii- maka datang ayat rasul mereka menjawab; Apakah kamu syak akan Allah, masih ragu akan kewujudan Allah??
Sedangkan fitrah jiwa manusia mengakui adanya Allah, Tuhan yang mencipta langit & bumi!

  1. Allah s.w.t juga mengajak & memanggil manusia untuk diberi keampunan akan dosa-dosa mereka yang lepas jika beriman!

Dosa mereka dengan Allah sebelum beriman akan digugurkan semuanya!
Inilah kelebihan orang masuk Islam- inilah janji Allah!

  1. Allah juga telah memberi kepada mereka tempoh yang tertentu- kafir setara manapun selagi umur masih ada- mungkin dia akan selamat jika sempat bertaubat & beriman!

*Kita lihat betapa ramai orang kafir yang kaya senang & panjang umur!

  1. Puak kafir itu juga berkata kepada rasul mereka dengan mendusta dan mengingkarinya:
    i- kamu hanya manusia biasa seperti kami bagaimana kami nak beriman kepada kamu!

ii- kamu telah mengacau kami dengan cuba menyekat sembahan & ikutan kami akan kepercayaan tok nenek kami!

iii- maka jika kamu benar bawalah kepada kami satu bukti mukjizat yang jelas & hujjah yang nyata- baru kami boleh percaya!!!

قَالَتْ لَهُمْ رُسُلُهُمْ إِن نَّحْنُ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَمُنُّ عَلَىٰ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۖ وَمَا كَانَ لَنَا أَن نَّأْتِيَكُم بِسُلْطَانٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ‎﴿١١﴾

Ayat 11- {Rasul-rasul mereka berkata kepada mereka: “Kami ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu juga, tetapi Allah melimpahkan kurniaNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kami tiadalah berkuasa membawa kepada kamu sebarang bukti (mukjizat) melainkan dengan izin Allah. Dan dengan yang demikian maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.} (Ibrahim 14:11)

  1. Para rasul itu respon kepada tuduhan puak kafir itu dengan mengaku:
    i- bahawa mereka memang manusia biasa seperti kaumnya itu juga- yang hidup makan-minum dan berkahwin.

ii- tetapi mereka adalah rasul yang dilantik Allah!

Para rasul itu adalah manusia mulia yang terpilih kerana ada wahyu dari Allah, iaitu kelebihan dilantik sebagai rasul-Nya.
Yakni Allah limpahkan kurnia-Nya ke atas mereka dengan Risalah & Kenabian- ini adalah satu kelebihan ke atas makhluk-Nya yang lain.

  1. Para rasul juga berkata: Kami juga tidak mampu & tidak berkuasa untuk membawa atau mengadakan apa-apa keajaiban atau sebarang bukti mukjizat melainkan dengan izin Allah!
  2. Dengan yang demikian maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.
    Rasul menyuruh orang yang beriman agar bertawakkal kepada Allah juga!

وَمَا لَنَا أَلَّا نَتَوَكَّلَ عَلَى اللَّهِ وَقَدْ هَدَانَا سُبُلَنَا ۚ وَلَنَصْبِرَنَّ عَلَىٰ مَا آذَيْتُمُونَا ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُتَوَكِّلُونَ ‎﴿٢١﴾‏

Ayat 12- {“Dan mengapa pula kami tidak berserah diri kepada Allah padahal Ia telah menunjukkan jalan untuk tiap-tiap seorang dari kami menjalaninya? Dan demi sesungguhnya, kami akan bersabar terhadap segala perbuatan kamu menyakiti kami. Dan dengan yang demikian, maka kepada Allah jualah hendaknya berserah diri orang-orang yang mahu berserah”.} (Ibrahim 14:12)

  1. Jelaslah dari ayat ini para rasul & anbiyai’ itu telah dididik oleh Allah s.w.t dengan sifat sabar & tawakkal yang tinggi!
  2. Para rasul itu berkata lagi kepada kaumnya: Apa lagi alasan kami jika kami tidak yakin dengan pertolongan Allah.

Padahal Allah telah memberikan kepada kami segala perkara yang menyebabkan kami bertawakkal kepada Allah.

Allah juga telah menunjukkan kepada kami jalan yang benar yang dapat melepaskan kami dari kemurkaan Allah!

  1. Allah juga telah memberikan kepada kami kesabaran dalam menjalakan tugas dakwah ini walaupun diancam, ditentang & dituduh dengan segala momokan dan fitnah jahat!
  2. Maka kamu semua orang beriman marilah kita bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya!

Apabila kita berpegang dengan Allah- Allah Yang Maha Hidup yang Tidak Mati, Yang Maha Kuat lagi Perkasa!

Bukan kepada sesama manusia atau makhluk lain yang lemah dan akan musnah.

  1. Yakni jika kita nak bergantung atau berlindung; carilah tembok yang kukuh & benteng yang kuat barulah kita selamat!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 9- {(Mengapa kamu masih berdegil) bukankah telah datang kepada kamu khabar berita orang-orang yang terdahulu daripada kamu, iaitu kaum Nabi Nuh, dan Aad juga Thamud serta orang-orang yang kemudian daripada mereka?}-

Rasul berkata kepada para pengikutnya: Apakah kamu tidak ingat akan cerita tiga kaum yang besar ini: iaitu kaum Nabi Nuh, dan Aad juga Thamud!?

Ulama’ tadabbur cuba mengorek kenapa Allah sentiasa menyebut dan membawa contoh dengan 3 kaum ini?

Kata ulama’, Sheikh al-Biqa’i, ini kerana:
i- mereka mempunya jisim fizikal yang kuat & besar serta gagah perkasa.
Mereka pula duduk dalam bukit yang besar.

ii- mereka mempunyai pengikut yang ramai.

iii- peninggalan mereka banyak.
Contoh bukit yang mereka korek sebagai kediaman amat besar & teguh.

iv- umur mereka panjang!

Contoh Nabi Nuh berdakwah saja hampir 1000 tahun- itu belum umurnya lagi!

Maka apabila disebut nama mereka yang hebat ini; orang akan kagum dan celik mata akan kehebatan mereka.
Inilah rahsianya kenapa 3 kaum ini sering diulang sebutannya di dalam al-Quran.

Allah juga menyatakan: {Tiada sesiapapun yang mengetahui bilangan mereka melainkan Allah.}- yakni cerita para rasul & orang terdahulu ini kita tidak boleh reka dan carinya daripada sumber yang lain selain dari wahyu al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.

Malangnya manusia ini suka cerita-cerita yang pelik dan karut marut, yang tak masuk diakal!

Maka kita carilah kitab-kitab tafsir yang sahih dan bertapis, yang mempunyai sanad yang boleh dipercayai agar kita tidak terjebak dengan cerita yang tidak sahih apatah lagi yang boleh menjatuhkan maruah seorang rasul seperti cerita Israiliyyat!

Orang beriman mencari yang sahih bukan yang pelik!!!

  1. Ayat 9- {… lalu mereka meletakkan tangan mereka ke mulut mereka sambil berkata: “Sesungguhnya kami kufur ingkarkan apa yang – mengikut dakwaan kamu – kamu diutus membawanya, dan sesungguhnya kami adalah dalam keadaan yang meragukan terhadap iman dan tauhid yang kamu ajak kami kepadanya”.}- pada mulanya mereka berkata mereka kufur dengan apa yang dibawa oleh rasul itu.

Kemudian dihujung ayat mereka berkata pula bahawa mereka syak & ragu dengan apa yang dibawa oleh para rasul ini!

Kenapa begitu? Sekali kufur sekali syak??

Ulama’ tadabbur cuba membahaskannya dengan memberi jawapan ini:

i- mereka kata mereka kufur kerana mereka syak dan keraguan!

Jika mereka tak syak pasti mereka percaya! Jika mereka yakin pastilah mereka beriman!!

ii- pendapat kedua: puak kafir pada awalnya memang menolak kufur terus dengan dakwah Nabi s.a.w.
Kemudian setelah mendengarnya mereka mula ragu-ragu- nak percaya atau tidak, boleh jadi betul.
Sudah tidak menolak 100% tetapi ada keraguan tentang penolakan mereka!

iii- kafir itu banyak kumpulannnya.
Kumpulan pertama total kufur- manakala ada juga kumpulan yang tarik tali- masih syak ragu-ragu!

Begitulah ayat-ayat ini sebenarnya tidak bercanggah sama sekali antara satu sama- lain cuma para ulama’ tafsir & tadabbur cuba membawa penjelasannya agar kita tidak keliru dan tertanya-tanya.

  1. Ayat 11- {Rasul-rasul mereka berkata kepada mereka: “Kami ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu juga, tetapi Allah melimpahkan kurniaNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya;}- setelah menghadapi tentangan kaumnya yang menolak mereka dengan mendakwa mereka hanyalah manusia biasa seperti kami!

Para rasul itu menjawab penolakan kaum mereka:

i- dengan mengiakan dakwaan bahawa mereka memang benar hanyalah manusia biasa seperti kaumnya juga.

ii- tetapi mereka adalah manusia yang terpilih, yang diberikan limpah kurnia Allah dengan melantik mereka sebagai rasul kepada manusia.

Yakni kamu tak perlu pertikaikan kerana jawatan nabi dan rasul anugerah dari Allah- hanya yang terpilih akan menerima anugerah ini & hanya Allah yang tahu hikmah disebalik pemilihan-Nya.

Begitulah kadang-kadang manusia ini tak boleh menerima kenyataan sanak saudara, orang kampungnya atau anak tempatan menjadi orang besar atau berjaya.

Kadang-kadang kerana hasad dengki atau merasa diri mereka lebih layak mendapat keistimewaan itu.

Telah banyak terbukti betapa anak kampung yang susah dulu sewaktu kecilnya telah berjaya dalam kehidupan akhir mereka, menjadi orang besar & berpangkat tinggi.
Terbang ke sana sini sehingga orang kata: Tak lekat abu di dapur-maknanya amat sibuk dan keluar rumah selalu!

Sebagaimana kata Sayyidina Umar : Betapa Allah angkat beberapa kaum dengan sebab al-Quran dan menjatuhkannya juga.

Ya Allah jadikan ahli al-Quran yang mendapat kebaikan & keredhaan-Mu.

  1. Ayat 10- {Rasul-rasul mereka bertanya: “Patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang wujudnya Allah, yang menciptakan langit dan bumi?- dalam ayat ini Allah nyatakan gaya atau cara dakwah Nabi s.a.w berlawan dengan kaumnya.

Iaitu:
i- pertama menggunakan hujjah- berdebat. Seperti dalam ayat ini tanya kepada mereka: Patutkan kamu ragu akan Allah yang mencipta langit & bumi ini???

Lihatlah kenapa kamu tak perhati kepada alam ciptaan Allah ini, setiap sesuatu pasti ada tuan atau Pencipta yang mengaturnya!

ii- kemudian guna uslub pujuk rayu dengan beri galakan (Kelate kata kecek) & nyatakan keistimewaan- dakwah kita ini nak ajak orang beriman dan memberi harapan kepada manusia.

Yakni: Jika kamu beriman Allah akan ampunkan segala dosa kamu sebelum ini!
Kecuali dosa dengan manusia kena minta maaf dari mereka sendiri.

Tetapi jika kamu masih tidak beriman tidak mengapa- Allah beri tempoh selagi kamu tak mati kamu berfikirlah dan bertaubat segera!

Tetapi ingat tempoh akan berjalan- umur semakin hari semakin pendek tempoh berakhirnya!

Maka jangan sesekali menangguh untuk bertaubat & berbuat kebaikan seperti sedekah!
Begitulah uslub dakwah Nabi s.a.w; hujjah & galakan.

  1. Ayat 12- {“Dan mengapa pula kami tidak berserah diri kepada Allah padahal Ia telah menunjukkan jalan untuk tiap-tiap seorang dari kami menjalaninya?}- dalam ayat ini menyatakan bahawa para nabi itu bertawakkal kepada Allah.

Kemudian datang ayat ini dibujungnya: Ayat 12- {Dan dengan yang demikian maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.} – kemudian Nabi menyuruh umatnya supaya bertawakkal juga kepada Allah!

Yakni dalam ayat yang pertama Nabi s.a.w menyatakan bahawa dia bertawakkal kepada Allah Yang Esa; manakala ayat yang kedua Nabi mengajak orang lain juga agar bertawakkal kepada Allah s.w.t.

Tawakal ada dua asas atau komponennya, iaitu:
i- ilmu.
Iaitu ilmu tentang Allah Azza wa Jalla- kita tahu bahawa Allah cipta kita, jaga kita & beri rezeki kepada kita; kemudian tiba-tiba kita nak minta dengan orang lain?? Pelik!!

ii- dan amal. Daripada segi amal kita kena berbuat sesuatu yang menunjukkan pergantungan kita kepada Allah s.w.t.

Dalam ayat ini disebut dua kali tawakkal- tetapi ayat ini tidak berulang bahkan ia mempunyai maksudnya tersendiri & berbeza.

Iaitu jelas dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa Nabi s.a.w bertawakkal kepada Allah kemudian dia juga mengajak orang lain untuk bertawakal kepada Allah.

Pengajarannya sebagaimana yang dibuat oleh Nabi s.a.w;
i- pertama kita kena nyatakan bahawa kita bertawakkal kepada Allah.

ii- keduanya kita ajak & suruh orang juga untuk bertawakkal kepada Allah!

Ya Allah jadikan kami orang yang sabar & orang yang bertawakkal kepada Allah.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 08/03/2026 / 18 Ramadhan 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] & Surah Ibrahim (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:YouTube AbuAnasMadani

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top