View Categories

(12) Surah Ibrahim: Ayat 35-37

15 min read

Doa Nabi Ibrahim A.S, Minta Aman, Jaga Tauhid Anak Cucu & Meletakkan Anaknya Di Makkah Bumi Gersang

Live Pagi Isnin 16/03/2026 / 26 Ramadhan 1447H Selepas Subuh Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ibrahim (12) Ayat [35-37]

Full video: https://youtu.be/0gmWMijhk8M?si=Adu6EyWpwupODSZD

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ibrahim dengan ayat 35 sehingga ayat 37 dalam juzuk ketigabelas.

*Malam ini malam 27 Ramadhan bagi kita di Malaysia tetapi sekarang sudah malam 28 di Tanah Haram.

Jadi kita jangan malas teruskan ibadat seolah setiap malam adalah malam witir bagi kita insya’ Allah tidak akan sia-sia amalan kita untuk mengejar Lailatul Qadr.

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang beberapa doa Nabi Ibrahim A.S.
  2. Pertamanya dia minta keamanan bagi bumi Makkah.
    Kemudian doanya agar Allah jaga tauhid anak cucu-cicit -semua zuriat keturunannya- agar jangan sesekali terjebak dengan syirik kepada Allah!
  3. Nabi Ibrahim juga berdoa ketika meletakkan anaknya Ismail a.s di Makkah bumi yang gersang, agar mereka memakmurkannya untuk mendirikan solat!
    Juga agar hati manusia tertarik dan sayang kepada Makkah.
  4. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang dalil 10 nikmat yang Allah anugerahkan kepada hamba-Nya untuk menyatakan keEsaan Allah, kekuasaan & kemulian-Nya.
Dalil ini menunjukkan tauhid kepada Allah!

ii- maka dalam ayat ini Allah bawa contoh Nabi Ibrahim a.s seorang tokoh yang keras menentang penyembahan berhala di kalangan kaumnya.
Ibrahim walaupun dia hanya seorang diri, Allah panggilnya sebagai ummah- iaitu yang gagah!

  1. Munasabah kedua:
    i- Allah juga nyatakan dalam ayat lepas betapa penduduk Makkah menukar nikmat Allah kepada mereka dengan kufur-

ii- maka datang ayat ini sekali mengingatkan Quraisy bahawa negeri Makkah ini aman & disayangi orang kerana doa nabi Ibrahim & kerana tauhid; maka jika kamu nak selamat kekalkan tauhid- tinggalkan berhala!!

iii- Nabi Ibrahim juga memohon agar Allah menjauhkan semua keturunannya dari penyembahan berhala!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

 وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا الْبَلَدَ آمِنًا وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ أَن نَّعْبُدَ الْأَصْنَامَ ‎﴿٥٣﴾

Ayat 35- {Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala.} (Ibrahim 14:35)

  1. Allah s.w.t mengingatkan Rasulullah s.a.w tentang doa Abu al-Anbiya’ iaitu datuknya nabi Ibrahim a.s.
    Bila kita mendengarnya terasa kerdil dan lemah diri kita!
  2. Doa pertamanya ialah supaya Allah menjadikan kota Makkah ini sebagai Tanah Haram yang aman bagi ahlinya, tiada keributan dan ancaman ketakutan!

Tentang kisah Nabi Ibrahim & sejarah Makkah ini boleh baca buku yang diusahakan oleh DDAAM:

Makkah Mukarramah
https://dartaibah.com/…/NEW-Makkah-Kelebihan-&-Sejarah…

  1. Rasulullah s.a.w juga ada berdoa untuk Tanah Haram Madinah:

i- Sabda Rasulullah di dalam doa Baginda:

وَإِنَّهُ دَعَاكَ لِمَكَّةَ، وَإِنِّي أَدْعُوكَ لِلْمَدِينَةِ بِمِثْلِ مَا دَعَاكَ لِمَكَّةَ

“(Ya Allah) Sesungguhnya (Nabi Ibrahim) berdoa kepadaMu kesejahteraan untuk negeri Mekah, maka aku berdoa buat Madinah sepertimana (Nabi Ibrahim) berdoa untuk Makkah.”

ii- Daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah S.A.W pernah berdoa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ بِالْمَدِينَةِ ضِعْفَيْ مَا جَعَلْتَ بِمَكَّةَ مِنَ البَرَكَةِ
Maksudnya: Ya Allah! Limpahkanlah keberkatan di Madinah ini dua kali keberkatan yang berada di Makkah. [HR al-Bukhari (1885)].

iii- Doa masyhur Baginda juga: “Ya Allah, berkatilah kami pada buah kami, berkatilah kami pada kota Madinah kami, dan berkatilah kami pada sukatan (makanan) kami” (HR Muslim).

  1. Firman Allah s.w.t:
    {Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman:” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”.} (Al-Baqarah 2:126)
  2. Kerana itu apabila sesiapa masuk ke Makkah kena berihram jadi semua perkara aman darinya hatta tubuh badannya sendiri-tak boleh kerat kuku, rambut dan lain-lain, suami-isteri pun terlarang, haiwan dan tumbuhan tak boleh diusik, hatta orang nak buat jahat pun tak boleh kena keluar dari Makkah dulu seperti kisah Khubaib bin Adi yang masyhur.

*Yakni Arab pada masa itu walaupun jahiliyyah tetapi mereka menghormati Tanah Haram Makkah.

Tetapi malangnya anak orang Islam pula yang tidak menghormati kemulian Tanah Haram dengan merokok, menonton movie yang tidak baik.

  1. Doa Nabi Ibrahim yang kedua ialah minta selamat dari kerosakan agama!

Rosak agama tak sama dengan rosak dunia- kerana rosak agama akan membawa ke neraka!

  1. Munasabah antara dua doa ini jelas:

i- doa pertama untuk keamanan Makkah dari segi fizikal seperti keamanan, harta benda & tubuh badan manusia.

ii- doa kedua ialah untuk melindungi kerosakan bagi agama!
Aman dunia & aman agama!

Doa Nabi Ibrahim ini merangkumi semua dunia & Akhirat.

  1. Nabi Ibrahim a.s sangat sayang kepada anak-cucunya- sangat prihatin akan kesucian aqidah mereka maka dia berdoa untuk semua zuriat keturunannnya agar terjaga aqidah & tauhid mereka kepada Allah!

رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ ۖ فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ‎﴿٦٣﴾

Ayat 36- {Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).} (Ibrahim 14:36)

  1. Munasabah ayat ini dengan yang sebelum:
    i- apabila nabi Ibrahim berdoa minta selamat anak cucunya daripada kesyirikan penyembahan berhala;

ii- maka dalam ayat ini nabi Ibrahim nyatakan sebab doanya itu!

Ini kerana di bumi Makkah pada masa itu penuh dengan berhala sembahan & kesyirikan yang nyata!

Berhala itu telah memesongkan ramai manusia dari jalan yang benar!!!

  1. Maka Nabi Ibrahim a.s memberi jaminan bahawa:

i- sesiapa yang menurutku dalam Islam yang menjadi peganganku meninggalkan berhala dan beramalah dengan Sunnahku maka ia adalah dari golonganku;

ii- dan sesiapa yang menderhaka kepadaku dengan menyalahi agamaku maka mereka adalah golongan kufur yang sesat!

  1. Di akhir ayat nabi Ibrahim berkata bahawa maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani sekiranya puak kafir itu insaf dan bertaubat!

*Bukan Ibrahim minta ampun untuk orang kafir- tetapi Ibrahim kata sesiapa yang bertaubat Allah akan terima & ampunkannya!

  1. Rasulullah s.a.w menangis kerana umatnya:

Dari Abdullah ibn Amru, ketika Rasulullah صلى الله عليه وسلم membaca ayat berkenaan doa Nabi Ibrahim terhadap umatnya: {Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).} (Ibrahim 14:36)

Kemudian Baginda membaca ayat doa Nabi Isa tentang umatnya:
{Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (Al-Maidah:118)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم tiba-tiba menangis lalu mengangkat tangan dan berdoa:
اللهُمَّ أُمَّتِي أُمَّتِي-
“Ya Allah, umatku, umatku.”

(Doa itu ringkas tetapi sarat dengan pengharapan yang besar.)

Ketika itu, Allah memerintahkan malaikat Jibril turun menemui Rasulullah S.A.W untuk bertanya sebab tangisannya.

Sudah tentu Allah Maha Mengetahui, tetapi pertanyaan itu menjadi isyarat untuk memuliakan Baginda dan supaya malaikat juga tahu!

Rasulullah S.A.W menjawab bahawa Baginda menangis kerana bimbang terhadap umatnya. Baginda khuatir mereka akan tersesat selepas ketiadaannya.

Jibril pun kembali kepada Allah membawa jawapan itu.

Allah kemudian mengutuskan wahyu yang menenangkan hati Baginda.

Allah berfirman bahawa Dia akan menggembirakan Baginda mengenai umatnya dan tidak akan mengecewakannya. (HR Muslim)

  1. Ini adalah hadis yang sebenar tentang kisah doa Nabi s.a.w tentang umatnya:
    اللهُمَّ أُمَّتِي أُمَّتِي-
    “Ya Allah, umatku, umatku.”

Bukan seperti versi yang direka Syiah bahawa doa ini dibaca oleh Nabi s.a.w pada saat kematiannya di ata riba anaknya Sayyidah Fatimah kerana mereka nak memadamkan versi sebenar Nabi s.a.w wafat di atas pangkuan isterinya UM Aisyah r.anha.

*Al-Hafiz Ibnu Hajar yang menghukum hadis sedemikian sebagai versi Sunnah.

  1. Kita lihat betapa Nabi s.a.w amat menyayangi kita umatnya dan mengambil berat tentang kita- maka kita juga wajib membalas cintanya ini dengan beramal soleh mengikut Sunnah yang ditinggalkan Baginda.

Bukan dengan bergendang melari melompat dalam masjid atas nama cinta Nabi- sedangkan Nabi s.a.w tidak ajar & tidak buat semua itu!

*Ya Allah jadikan kami orang yang benar-benar menyintai Nabi-Mu dengan beramal dan menyebarkan Sunnahnya yang sahih!

  1. Dalam al-Quran ini terdapat beberapa ayat yang dikumpulkan oleh para pengkaji yang dinamakan ayat mabkaa assolihin
    (آيات مبكى الصالحين)-
    dikumpul oleh para ulama, ayat-ayat yang ditangisi oleh para Nabi a.s.

رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُم مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ ‎﴿٧٣﴾

Ayat 37- {“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.} (Ibrahim 14:37)

  1. Munasabah ayat:
    i- apabila Nabi Ibrahim berdoa agar Allah jaga anak cucunya daripada godaan syaitan di Tanah Haram yang aman damai ini-

ii- maka Ibrahim doakan juga Allah hidupkan bumi Makkah ini dengan tauhid & ibadat kepada Allah.

Lalu menjadikan hati manusia tertarik sayang kepadanya, juga agar diberikan kepada ahli penduduknya buah-buahan dan makanan-makanan yang baik supaya mereka bersyukur.

  1. Apabila Ibrahim berkata aku tinggalkan sebahagian dari anak-cucuku.
  2. Nota [477]- Yakni anakandanya Ismail. Sebagaimana yang diketahui Nabi Ibrahim membawa isterinya Hajar bersama anakandanya Ismail yang masih menyusu ke negeri Makkah.

Di sanalah nabi Ismail membesar dan berkahwin dengan seorang gadis Arab dari suku Jurhum yang berasal dari Yaman.

Keturunan Nabi Ismail telah bekembang dan antaranya ialah kaum Arab Quraisy- suku keturunan Nabi Muhammad s.a.w.

  1. Menurut ulama’ tafsir seperti Ibnu Kathir rhm: Doa nabi Ibrahim ini- {di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya} adalah doanya ketika datang ke Makkah buat kali kedua kerana kali pertama datang dulu masih belum ada Ka’bah atau Baitullah.

Doa pertama adalah ketika tinggalkan Ismail yang masih bayi!

  1. Tetapi ulama’ sejarah kata ini adalah doa nabi Ibrahim ketika pertama kali meninggalkan anaknya Ismail & isterinya Hajar:
    i- di lembah yang gersang, yang tidak ada tanaman padanya iaitu Makkah;

ii- Tanah Suci Makkah, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya- yakni walaupun Ka’bah tak ada lagi pada waktu itu tetapi tapak atau asasnya sudah ada!

  1. Kemudian nabi Ibrahim nyatakan sebabnya mereka ditempatkan di situ ialah supaya mereka mendirikan sembahyang dan memakmurkan Makkah dengan ibadat.
  2. Nabi Ibrahim berdoa lagi agar Allah menjadikan hati manusia sayang & rindukan Makkah dan Ka’bah khasnya!

Ini terbukti walaupun ramai manusia yang telah berkali pergi ke Makkah, tetapi tidak pernah jemu atau puas untuk kembali lagi.

Allah jadikan hati manusia sentiasa rindu dan teringat untuk pergi lagi, habis duit pun tidak mengapa.

*Kecuali hati yang sakit lain ceritanya!

**Kerana itu juga kita ajar kepada imam untuk baca dalam doa qunut selain agar Allah jaga Palestin, Ghazzah dan lain-lain- agar Allah jaga dua Tanah Haram ini dan jiran-jirannya negara teluk yang lain agar selamat daripada ancaman yang dibuat oleh yahudi & nasrani dan penentang ahli Sunnah.

  1. Nabi Ibrahim berdoa lagi: Agar Allah kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman yang subur & banyak!

Ini adalah keajaiban doa nabi Ibrahim yang telah terbukti di Tanah Haram Makkah sekarang- walaupun tiada air yang banyak tetapi pelbagai buah ada kerana kebunnya di Taif yang cuacanya sejuk seperti bumi Syam yang subur.

  1. Rezeki pemberian Allah ini semoga mereka bersyukur!!!
    Tetapi kebanyakan manusia tak tahu tak bersykur!!!!
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur).} (Al-Qasas 28:57)

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 35- {Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala.} – doa nabi Ibrahim untuk Tanah Haram- menunjukkan perihatinnya sebelum meninggalkan anak isterinya!

Doa ini menunjukkan bahawa jika kita nak letakkan anak kita di mana-mana; kena pastikan ia adalah satu tempat yang aman atau tak aman.

Contoh jika nak hantar anak belajar ke luar negara- periksa dulu apakah negara itu aman dari segenap segi!

Bukan hanya dari sudut keselamatan dan sosiologi tetapi aman juga dari sudut agama, aqidah & akhlak!!!

Apakah ia tidak akan menganggu atau merosakkan aqidah & akhlak anak kita??

Jangan bangga untuk hantar anak kita ke negara yang tidak aman dari sudut aqidah dan tidak mesra dari sudut agama!

Inilah contoh doa yang komprensif yang ditunjukkan oleh nabi Ibrahim a.s-minta keamanan dan keselamatan juga keamanan dari sudut tauhid!

Begitu juga jika nak pilih sekolah untuk anak- aman dari sudut pengajian dan aman dari pembuli juga!

Hatta sekolah agama atau tahfiz kita kena tengok juga cara didikan dan silibus pengajiannya!

Ayat ini juga mengajar kepada para ibu bapa tok nenek semua pentingnya untuk sentiasa berdoa akan keselamatan diri kita sendiri & anak cucu kita dari segala bala ancaman fizikal dan juga mental iaitu kerohanian dan agama!

Ini kerana pada zaman dulu jika anak ada di rumah kita senang hati tak bimbang lagi!

Tetapi zaman sekarang jika anak terperap dalam bilik adalah sesuatu yang merunsingkan; apa yang dibuatnya mengadap gajet dari pagi sampai gelap- dok main game kah, chat atau menonton sesuatu yang tidak sepatutnya!!!!

Ingat kita kena belajar dengan nabi Ibrahim bahawa kita kena berdoa untuk diri kita sendiri kemudian untuk anak cucu cicit ciyat semuanya jangan lepas!

Seorang tokoh ulama’ Syeikh Ibrahim at-Taimi berkata: Setelah aku baca kisah doa nabi Ibrahim ini {وَٱجْنُبْنِى وَبَنِىَّ أَن نَّعْبُدَ ٱلْأَصْنَامَ}- siapakah akan berasa aman akan anak cucunya selepas nabi Ibrahim ini!

Ibrahim seorang nabi runsing akan anak cucunya jika terpesong dari jalan Allah apatah lagi kita manusia biasa yang banyak dosa!

Para sahabat Nabi s.a.w dulu amat bimbang & takut jika ada sifat munafiq dalam diri mereka!

Kata ulama’ salaf 30 orang sahabat yang aku jumpa mereka amat takut jika ada sifat munafiq ada dalam diri mereka & sentiasa berdoa minta perlindungan dari Allah!

Jadi bagaimana dengan kita??
Kita minta Allah selamatkan kita, anak cucu cicit kita daripada segala perkara yang tidak baik!

  1. Ayat 36- {… dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).}

Perhatian:
Ayat ini bukan menunjukkan bahawa nabi Ibrahim meminta ampun kepada orang yang kufur & derhaka!

TIDAK- ia menunjukkan keperihatinan seorang nabi, seorang bapa, seorang datuk untuk umat dan anak cucunya- iaitu dia minta agar Allah buka pintu hati orang kufur itu untuk bertaubat!

Dalam ayat ini nabi Ibrahim a.s telah menyatakan bahawa punca kerosakan maanusia ini adalah bermula dari penyembahan berhala!

Punca manusia mula menyembah berhala atas dunia ini adalah melampaui dalam memuja & memuliakan orang soleh dari kalangan mereka!
Boleh baca artikel ini:

Punca Berlaku Syirik Di Atas Muka Bumi.
https://abuanasmadani.blogspot.com/…/sebab-berlakunya…

Hati-hatilah dengan perangkap syaitan yang cukup berbahaya ini!

  1. Ayat 35- {Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman…]- nabi Ibrahim berdoa agar negeri Makkah aman!

Tetapi kenapa kita lihat Makkah tidak aman pun- ada berlaku bermacam perbalahan dan perkelahian sesama mereka?

Jawapan:
i- ini kerana maksudnya aman itu ialah negeri Makkah ada berlaku perselihan dan perbalahan tetapi dia tidak runtuh atau hancur seperti kaum nabi lain.
Seperti kebinasaan kaum Ad, Thamud dan seumpamanya.
Makkah tidak hancur yang binasanya ialah Abu Jahal, Abu Lahab dan lain-lain.

Kecuali kata Khazin dalam tafsir dalam riwayat yang sahih: di akhir zaman dekat hari Kiamat nanti, sebagaimana hadis Nabi s.a.w Makkah & Ka’bah akan di runtuhkan.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:
يُخَرِّبُ الكَعْبَةَ ذُو السُّوَيْقَتَيْنِ مِنَ الحَبَشَةِ
Maksudnya: “Ka’bah akan dimusnahkan oleh Zu al-Suwaqatain (seseorang yang mempunyai dua betis yang kecil) dari Habsyah (Ethiopia).” [Riwayat al-Bukhari (1596)]

Yakni peristiwa ini akan berlaku dekat dengan Kiamat dengan izin Allah!

ii- maksudnya penduduk Makkah akan hidup dalam aman.

Tidak akan berlaku kecurian dan jenayah yang besar dan terang-terangan!

Bukan tidak ada tetapi tidak ketara sangat seperti di negara lain yang kadar jenayah amat berat!
Yakni nampak keamanannya!

  1. Ayat 35- {… dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala.}– para Nabi a.s tidak akan sembah berhala!

Tetapi kenapa nabi Ibrahim susah hati sangat, bersungguh berdoa kepada anak cucunya sehingga begitu.

Nabi Ibrahim nak ajar kepada kita: Bahawa baik, soleh atau warak setara mana kita pun tidak menjamin akan kesolehan & kewarakan anak cucu kita.
Kerosakan & kepunahan akan berlaku.

Sekarang ini ramai orang pendakwah & orang mengaku keturunan tok guru, syeikh ini bahkan keturunan nabi pun ada- tetapi malang perbuatan dan amalan mereka tak selari dengan Nabi s.a.w atau orang soleh!

Maka nabi Ibrahim a.s menunjukkan pergantungannya kepada Allah s.w.t maka dia sentiasa berdoa untuk diri dia dan anak cucunya juga!

Maka Allah nak sentap puak Quraisy juga- mereka itu Arab keturunan nabi Ibrahim a.s tetapi jikakamu tak ikut ajaran nabi Ibrahim ikut agama Islam yang lurus & tauhid kepada Allah; maka tiada faedahnya!

  1. Ayat 37- {Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat).}- kata ulama’ tafsir ayat ini menunjukkan bahawa para pendakwah, imam, tuan guru- kita kena letakkan agenda besar dalam hidup kita- untuk menegakkan Syi’ar Islam di mana saja kita berada!

Kita lihat para pendakwah zaman dulu- apabila mereka duduk setempat di mana-mana kampung, pasti akan didirikan surau atau balaisah berdekatan rumahnya!

Ini akan menjadi tempat berkumpul jemaah untuk solat dan menimba ilmu mendengar kuliah dan tazkirah!

Para pendakwah kena sibukkan diri dengan menegakkan Syi’ar Islam- jika mampu mengajar atau kuliah sila mengajar- jika tak dapat mengajar boleh bantu melalui sumbangan dan pertolongan setakat yang kita mampu, tolong sediakan bekas untuk orang lain menghidupkan Islam, untuk berdakwah menegakkan agama!


Infaq #

Maka sempena 10 terakhir Ramadhan ini jangan lupa nombor-nombor akaun yang telah kita pilih dan akuinya terutamanya untuk akaun YPSD.

Malam ni 27hb Ramadhan di Malaysia janganlah kita terlepas peluang untuk meraih peluang dan tawaran untuk membuat kebajikan & infaq fi-sabilillah!

Peluang Infaq Akhir Ramadhan / Malam 10 Akhir Ramadhan!

Untuk aktiviti ilmu dan dakwah serta kebajikan Yayasan Pondok Sungai Durian
yang dikendalikan oleh al-Faqir ila-Llah
Dr Abu Anas Madani

No akaun YPSD:

  1. Maybank- 553029619714
  2. Bank Islam- 03072010136461

Atas nama: Yayasan Pondok Sungai Durian.

“Jazakumullahu Khaira”.

Akhukum,
Dr. Abu Anas Madani, PSD.
Jumaat 23 Ramadhan 1447H / 13 Mac 2026.
Lihat Penjelasan Di;
https://www.facebook.com/share/1C81jdZHhH/

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Kita akan sambung lagi kisah tentang doa nabi Ibrahim ini besok insya’ Allah!

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 16/03/2026 / 26 Ramadhan 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] & Surah Ibrahim (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top