- Muqaddimah Dan Intisari Surah & Munasabah Dengan Surah Ibrahim
- Muqaddimah Surah Al-Hijr - سورة الحجر :
- Nama Surah:
- Maqasid/Objektif Surah:من أهمِّ مقاصدِ السُورَةِ:
- Maudu'at- Tajuk Surah (Tafsir al-Muharrar):
- Intisari Kandungannya (Pimpinan ar-Rahman):
- Munasabah Antara Surah al-Hijr Dengan Surah Ibrahim Sebelumnya:
- Penutup:
Surah Al-Hijr – سورة الحجر
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Muqaddimah Dan Intisari Surah & Munasabah Dengan Surah Ibrahim #

Live Pagi Sabtu 28/03/2026 / 08 Syawwal 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Hijr (01) Ayat [0-0]
Full video: https://youtu.be/dTpPFs7cE24?si=TMTt17Y-g6lPq3En
Muqaddimah Surah Al-Hijr – سورة الحجر : #
- Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Hijr – سورة الحجر, surah yang kelima-belas dalam al-Quran & awal juzuk yang keempat-belas.
- Alhamdulillah bagi para jemaah & pelajar yang istiqomah dengan kuliah kita ini semakin hari semakin kita rasa jeligha (serasi) kerana kita mulai faham sedikit demi sedikit ayat-ayat Allah ini.
Walaupun ada kisah yang berulang seperti kisah para nabi dan aqidah tauhid & tawakkal kepada Allah kerana ia perlu diulang untuk penekanan.
Inilah al-Quran yang diturunkan Allah s.w.t penuh dengan hikmah & hukum-hakam yang sempurna, kisah pengajaran untuk menguatkan kefahaman & keimanan kita tentang Allah & Rasul Allah!
- Surah al-Hijr ini diturunkan di Makkah, sebelum hijrah Nabi s.a.w ke Madinah dan ijma’ ramai ulama’ tafsir mengatakan ia adalah surah Makkiyyah, mengandungi 99 ayat.
- Ada juga ulama’ yang mengatakan terdapat satu ayat yang Madaniyyah iaitu ayat ke-87.
- Ini kerana surah-surah yang mengandungi kisah & cerita nabi dan umat terdahulu biasanya Makkiyyah sebagai contoh pengajaran bagi memberi motivasi & menenangkan hati Rasulullah s.a.w dan menguatkan semangat orang Islam yang menghadapi ancaman dan tekanan pada permulaan Islam.
Nama Surah: #
- Dinamakan Surah Al-Hijr – سورة الحجر (Perihal Penduduk Negeri al-Hijr) kerana kisahnya disebut dalam surah ini – dari ayat 80 hingga ayat 84 yang menceritakan kisah kaum Thamud, iaitu kaum Nabi Soleh, penduduk al-Hijr.
Perkataan al-Hijr ini tidak disebut dalam surah lain kecuali dalam surah ini.
- Telah tersebut beberapa riwayat yang menamakan surah ini sebagai surah al-Hijr; athar riwayat dari Ibnu Abbas, Ibnu az-Zubair dan lain-lain.
- Al-Hijr sekarang telah menjadi tempat pelancongan di Arab Saudi dan dikenali dengan nama al-Ula- lebih-kurang 400km dari bandar Madinah.
Terdapat di situ Mada’in Soleh yang menjadi tempat lawatan!
Maqasid/Objektif Surah:
من أهمِّ مقاصدِ السُورَةِ: #
- Untuk menguatkan hati Nabi s.a.w dan orang yang beriman pada saat mereka diganyang oleh musyrikin Makkah pada masa itu!
Maka Allah turunkan ayat ini untuk meningkat keimanan dan semangat mereka.
- Untuk menzahirkan tabiat puak kafir yang mendustakan para rasul & sebab mereka berbuat sedemikian.
- Serta akhir pekerjaan yang sangat merbahaya yang akan menimpa puak kafir, yang Allah janjikan akan membinasakan mereka!
Maudu’at- Tajuk Surah (Tafsir al-Muharrar): #
- Menjelaskan kedudukan al-Quran yang begitu tinggi nilainya di sisi Allah s.w.t.
Ia adalah Kalamullah yang diturunkan untuk menjadi garis panduan bagi manusia!
Serta Allah jamin Dia turunkan al-Quran & Dia akan jaganya walaupun manusia tak dapat menjaganya!
*Kita kena beringat kerana Allah uji manusia ini dengan pelbagai cara! Baru sikit Allah uji terus kita nampak bahawa betapa banyak nikmat Allah yang kita pandang ringan, betapa kita sombong & angkuh selama ini!
- Allah nyatakan juga buruknya akibat akhir orang kafir yang menentang kebenaran!
Kamu keras kepala tak dengar kata maka tunggulah balasanya!
- Allah bawa beberapa dalil yang menunjukkan keEsaan dan kekuasaan-Nya serta limpahan kurnia nikmat Allah ke atas hamba-Nya.
- Allah sebut hikayat penciptaan manusia pertama Adam A.S & Allah perintahkan malaikat untuk sujud kepada Adam dan bagaimana malaikat patuh akur kepada perintah Allah itu!
Manakala iblis angkuh sombong berasa dia besar dan lebih sempurna telah ingkar dan dilaknat Allah!
- Dalam surah ini akan disebut beberapa sudut kisah tentang beberapa orang nabi seperti Ibrahim, Ismail, Lut & Soleh a.s.
- Untuk menenangkan hati Nabi s.a.w untuk bersabar dan meneguhkan kedudukan Nabi s.a.w dalam berhadapan cabaran yang dihadapinya agar Baginda teguh kedudukan, tetap pendirian tak lari dari ancaman & cabaran.
- Surah ini juga bertepatan dengan surah Makkiyah itu iaitu mengisbatkan keEsaan Allah, kenabian Rasulullah s.a.w, kebangkitan semula, hisab & pembalasan.
- Mengingatkan bahawa semua taghut dan kafir akan dimusnahkan, semua kumpulan yang jahat atas dunia ini akan dibinasakan, semua kumpulan yang mendustakan rasul akan hancur!
- Kerana itulah Allah mulakan surah ini dengan amaran dan peringatan, menakutkan dan mencela!
Orang kafir di Akhirat kelak akan berfikir penuh penyesalan kenapalah aku tak jadi Islam dulu!!
Kenapa dulu semasa hidup atas dunia kamu tak fikir????
- Allah telah kata biarkan mereka atas dunia ini hidup bersenang-lenang bersuka-ria, makan-minum mewah-mewah; kemudian akhir nanti kamu akan tahu hujung jatuhnya kelak di mana!!!
Intisari Kandungannya (Pimpinan ar-Rahman): #
- Menegaskan tentang kebenaran al-Quran serta balasan buruk yang akan menimpa ke atas orang yang kufur ingkar!
Pada saat mereka menyesal dan berkata kalaulah di dunia dulu mereka tunduk patuh dan menjadi orang yang beriman!
Tetapi semua penyesalan itu tidak berguna lagi!
- Menerangkan tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah pada kejadian langit & bumi serta segala isi kandungannya!
Serta bahawa tiada segala sesuatu kecuali pada sisi Allah jua perbendaharaanya!
Juga bahawa Allah tidak menurunkkanya kecuali pada kadar & masa yang tertentu.
*Semua gedung & rezeki dunia itu di bawah kuasa Allah.
Seperti hujan yang turun atau tak turun- semua di bawah kuasa Allah- kerana itu kita kena minta dengan Allah.
Selain ikhtiar manusia yang tidak seberapa- kita tembakkanlah doa kita kepada Allah!
*Hujan yang turun juga ada sukatannya- jika sedikit tak cukup, jika banyak pula akan menjadi banjir yang membawa musibah pula.
Apatah lagi banjir kilat sekarang ini tak tahu waktu dan musim akan terjadi tanpa jangkaan!
*Setiap kali nak keluar rumah jangan lupa baca doa yang diajar oleh Nabi s.a.w.
Kita dengan musibah amat dekat, kadang-kadang walaupun kita dah cukup berhemah dan patuh peraturan jalan raya sebaiknya- ada orang mari langgar pula!
Hanya Allah pelindung & penjaga kita, baca & beramallah dengan doa-doa yang diajar oleh Nabi s.a.w ini dalam apa saja kerja buat kita, nak keluar rumah nak mulakan perjalanan dan sebagainya.
Boleh rujuk: https://dartaibah.com/store/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan-Baru-p20192005
- Menerangkan kisah kejadian manusia & kederhakaan iblis yang angkuh takabbur dan pertentangan antara kebaikan & kejahatan yang akan sentiasa berlaku terus menerus sehingga berakhirnya dunia ini!
Kita yang mempertahankan kebenaran mesti bercakap dan menyampaikan yang benar!
- Balasan kebaikan & kejahatan- masing-masing akan menerimanya pada hari Kiamat.
Apa yang kita yakin dengan pengajian kita; kita pegang- kita tak boleh paksa orang lain begitu juga orang lain tak boleh paksa kita!
Kerja kita hanya menyampaikan- kita boleh menjelaskan yang baik & yang benar; orang terima alhamdulillah- orang menolak- alhamdulillah juga kita telah menjalankan tugas dan dakwah!
Masing-masing akan terima di Akhirat kelak!
Maka jangan berani-berani mengata & membuat fitnah kepada orang kerana tak tahu bila kamu akan dapat minta maaf kepada mereka sebelum mati!
- Untuk memberi kesedaran & keinsafan; Allah s.w.t menerangkan setakat mana buruknya bala-bencana dan azab siksa yang telah menimpa kaum terdahulu yang derhaka dan tenggelam dalam kekufuran & maksiat.
Dalam surah ini diceritakan secara khusus perihal kaum Nabi Lut, dan penduduk kampung Aikah di negeri Madyan dan penduduk al-Hijr iaitu kaum Thamud.
*Tetapi malangnya sekarang ini- tempat-tempat ini telah menjadi tempat pelancongan- manusia telah lupa sejarah.
Kita kena ingat sekali Allah buat turun bala akan hancur lebur semuanya!
- Oleh kerana itu- pada suatu masa semasa zaman Nabi s.a.w, orang Islam di Madinah tidak senang hati melihat barang dagangan yang banyak yang dibawa oleh orang kafir; maka turunlah firman Allah s.w.t ayat 88 dan ayat-ayat berikutnya yang ditujukan kepada Nabi s.a.w tetapi bertujuan untuk mengajar umatnya agar mereka janganlah terharap-harap dan menaruh hati akan kehebatan dan kekayaan seperti orang kafir itu!
- Kerana Allah s.w.t telah mengurniakan kepada umat Islam Kitab suci al-Quranul-Karim yang lebih besar dari segala harta & kesenangan- oleh itu hendaklah orang Islam menurut ajaran al-Quran dengan sepenuhnya barulah mereka akan mendapat kebahagiaan yang sepenuhnya di dunia & Akhirat.
Kadang-kadang kita kagum dengan sesuatu tempat atau negara, healing situ healing sini, dengan salji, bukit-bukau, bunga-bungaan dan sebagainya; tetapi hakikatnya hanya indah khabar dari rupa!!!
Ada sesetengah negara kita begitu kagum dari jauh tetapi apabila kita pergi dan lihat sendiri tempatnya tak kagum mana rupanya.
Contoh yang paling mudah adalah Jepun- betapa kita mengagungkan dan bangga dengan segala produk dari Jepun- dapat beli kereta made in Japan yang ori bangga sekali!
Teknologi dan kemajuan pencapaiannya disanjung dunia!
Tetapi realitinya apabila kita lihat sendiri kehidupan orang Jepun- memang dia buat semua kemewahan itu untuk orang lain- kebanyakan rumah dan kereta mereka sendiri adalah kecil dan sempit seperti kotak saja!
Mereka juga miskin jiwa tiada agama yang dapat menghidupkan spiritual mereka- jalan pintas paling mudah untuk keluar dari masalah adalah bunuh diri!
Begitulah rakyat Jepun miskin jiwa miskin harta; walaupun mereka gah di persada dunia. Itulah hakikat sebenar dunia ini.
Kata-kata pepatah Arab:
تسمع بالمعيدي خير من أن تراه
Kamu mendengar saja tentang panglima bernama Mu’aidi yang hebat;
lebih baik daripada kamu melihatnya sendiri!
*Yakni penampilannya tidak sehebat yang dibayangkan.
Kita bukan kata tidak baik teknologi negara-negara maju- cuma kita berpadalah dalam memuja-memujinya, jangan terlalu kagum sehingga seolah tidak ada kekurangannya!
- Setelah itu Allah menerangkan tentang nikmat-Nya yang besar itu yang diberikan kepada Nabi s.a.w dan umatnya:
i- tujuh ayat- as-Sab’u al-Mathani (السَّبْعُ الْمَثَانِي) iaitu surah al-Fatihah yang terdiri daripada tujuh ayat yang menjadi intisari al-Quran dan diulang-ulang bacaannya dalam setiap rakaat solat fardu serta sunat.
ii- serta diberikan al-Quran seluruhnya yang amat besar faedah & kemuliaannya sebagai panduan hidup.
Yang Allah jamin bahawa Dia yang turunkan al-Quran & Dia yang akan menjaganya!
Maka jangan kamu cabar & main-main dengan al-Quran.
- Serta diperintahkan kepada Baginda agar janganlah dia menghiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrikan yang tidak putus-putus melawannya!
- Bagi menghapuskan perasaan dukacita Rasulullah s.a.w disebabkan gangguan musuh-musuh Islam; maka Allah perintahkan Baginda untuk sentiasa merayu kepada Allah serta mendirikan solat dan lain-lain amal kebajikan selagi hayat dikandung badan!
Ini kerana Allah jualah yang berkuasa untuk menyelamatakannya dan membalas kejahatan golongan yang ingkar itu!
*Kamu sabarlah- lawan mereka jangan takut; pada suatu masa mereka akan tunduk akur kepada Islam.
Munasabah Antara Surah al-Hijr Dengan Surah Ibrahim Sebelumnya: #
- Surah Al-Hijr datang selepas Surah Ibrahim dan terdapat satu munasabah yang menarik untuk kita kaji & fikir iaitu pada permulaan, penutup & isi surah!
- Pada permulaan surah- keduanya bermula dengan menyatakan sifat al-Quran:
i- surah Ibrahim: {Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin Tuhan mereka – ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.}
ii- surah al-Hijr: {Alif, Laam, Raa’. Ini ialah ayat-ayat Kitab (yang lengkap sempurna) dan Al-Quran yang memberi penjelasan.}
- Isi kandungan kedua surah ini adalah menceritakan tentang tanda-tanda kekuasaan Allah & keEsaan-Nya, sifat langit dan bumi!
Serta secebis kisah Nabi Ibrahim dan lain-lain nabi yang terdahulu untuk menenangkan hati Nabi s.a.w. ketika pertembung & berlawan dengan kaumnya yang kafir.
Sebagaimana Baginda berlawan dengan kaumnya yang ingkar dan keras kepala- begitulah nabi-nabi terdahulu.
Kemudian pertolongan dari Allah untuk semua para nabi dan kebinasaan bagi puak kafir yang menentang!
- Manakala penutup surah pula:
i- dalam surah Ibrahim Allah nyatakan tentang kedudukan puak kafir pada hari Kiamat:
{(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia semuanya keluar berhimpun mengadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa. Dan engkau akan melihat orang-orang yang berdosa pada ketika itu diberkas dengan belenggu…..} sehingga akhir surah.
ii- dalam surah al-Hijr ini Allah mulakan dengan: {Ada masanya orang-orang yang kafir merasa ingin kalaulah mereka telah menjadi orang-orang Islam.}
Iaitu sebagai sambungan kepada kafir yang dibelenggu tadi mereka berharap kalaulah mereka beriman dulu!
Ini kerana mereka melihat ahli neraka yang beriman; apabila tamat tempoh hukuman mereka- mereka dibawa keluar dari neraka untuk masuk syurga pula akhirnya.
Ketika ahli neraka yang kafir bertempik penuh penyesalan!!!
*Kita minta berlindung dengan Allah dari berada di dalam neraka walaupun sesaat!!!!
Inilah antara hikmah kita belajar munasabah antara susunan surah dan susunan ayat; untuk membuka minda & melapang dada serta menambahkan kefahaman!
Penutup: #
- Alhamdulillah inilah muqaddimah, intisari kandungan dan pengenalan kepada surah Al-Hijr ini.
- Insya’ Allah besok dalam siri berikutnya kita akan mula baca ayat & tafsirannya bermula dari ayat 1.
Tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Sabtu 28/03/2026 / 08 Syawwal 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota:
https://www.facebook.com/profile.php?id=100085215893583&sk=photos
Semoga Bermanfaat!
