Nabi Ibrahim Memuji Allah, Membesarkan Ismail Dan Ishaq & Doa Jaga Solat Dan Mohon Keampunan

Live Pagi Selasa 17/03/2026 / 27 Ramadhan 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ibrahim (13) Ayat [38-41]
Full video: https://youtu.be/5jkNvcULG0c?si=NitHlFtZUSolcZh6
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ibrahim dengan ayat 36 sehingga ayat 41 dalam juzuk ketigabelas.
*Kita sudah tiba di penghujung Ramadhan yang tinggal beberapa hari lagi semoga kita terus istiqomah berterusan melakukan ibadat memburu Lailatul Qadr dengan penuh keimanan & pengharapan.
- Siri ini adalah sambungan episod doa-doa Nabi Ibrahim a.s.
Dalam ayat yang mulia ini Allah s.w.t nyatakan Nabi Ibrahim memuji Allah s.w.t yang bersifat Maha Mengetahui segala perkara; yang zahir yang nyata, yang tersembunyi yang batin, di langit & di bumi- semuanya di bawah ilmu pengetahuan Allah s.w.t. - Kemudian Allah ceritakan nabi Ibrahim bersyukur kepada Allah s.w.t yang mengurniakan kepadanya zuriat Ismail dan Ishaq, dihujung usianya iaitu apabila dia telah tua.
- Kemudian diteruskan dengan doa Nabi Ibrahim a.s di mana dalam ayat ini dia berdoa agar dapat menjaga solat, Allah menerima doanya dan mohon keampunan untuk ibu bapanya.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang beberapa doa nabi Ibrahim a.s agar dipermudahkan urusannya dan anak cucunya.
Kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa depan walaupun mereka keturunan nabi, orang soleh atau baik.
Semuanya di bawah ilmu Allah s.w.t.
ii- maka datang ayat ini Nabi Ibrahim a.s berkata hanya Allah saja yang tahu apa yang ada dalam hati kita manusia, apa yang disembunyikan dan apa yang dizahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
رَبَّنَا إِنَّكَ تَعْلَمُ مَا نُخْفِي وَمَا نُعْلِنُ ۗ وَمَا يَخْفَىٰ عَلَى اللَّهِ مِن شَيْءٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ ﴿٨٣﴾
Ayat 38- {“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah!} (Ibrahim 14:38)
- Nabi Ibrahim bermunajat kepada Allah menyatakan bahawa dalam doanya tiada yang tersembunyi dari ilmu pengetahuan Allah.
Allah tahu segala yang dizahirkan atau apa yang disembunyikan dalam hatinya!
*Kerana itu jika kita berhajat- kita sendiri berdoa kepada Allah bukan upah orang tolong berdoa!
- Kata Ibnu Jarir: Ayat ini Allah ceritakan tentang kekasih-Nya Nabi Ibrahim berdoa menyatakan hasratnya agar Allah jaga aqidah dan selamatkan tauhid dirinya dan anak cucunya.
Ini adalah perisytiharan tauhid yang murni!
Kita kena jaga tauhid kerana jika betul tauhid yang lain akan ikut baik & betul!
- Dan juga tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah- tentang ayat ini ulama’ kata:
i- jumhir ulama’ tafsir kata ini adalah pengiktirafan Allah bahawa Ibrahim adalah seorang yang murni aqidah dan niat yang baik!
ii- ada juga ulama’ kata ini ucapan Nabi Ibrahim a.s. pengakuannya bahawa segala doanya ini Allah tahu tujuan dan maksudnya, samada yang dizahirkan atau yang batin, yang tersembunyi dalam hatinya!
Apa yang dia minta apa yang dia tidak minta tetapi tersirat dalam hatinya!
- Kerana itulah kita kata berbeza antara berdoa dengan baca doa.
Kita kena berdoa dengan hati dan memahaminya; bukan hanya “membaca’ doa saja- apa yang dihafaz atau yang dibaca tanpa difahami maksudnya.
Fiqhud-doa ini amat penting agar tidak menjadi doa buruk ke atas kepala sendiri atau ke atas orang Islam.
Nak minta Allah tolong perang Islam tetapi yang dibaca adalah minta Allah hancurkan mereka!!!!
- Kita nasihatkan dengan keadaan perang Teluk pula sekarang ini- imam-imam & khatib dinasihatkan untuk tambah berdoa agar Allah jaga dua Tanah Haram, amankan rantau kita ini dan jaga para ahli Sunnah
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَهَبَ لِي عَلَى الْكِبَرِ إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ ۚ إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ الدُّعَاءِ ﴿٩٣﴾
Ayat 39- {“Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan.} (Ibrahim 14:39)
- Munasabah ayat:
i- apabila Nabi Ibrahim berdoa minta Allah bersihkan jiwanya dan keturunannya dari segala kotoran syirik & maksiat.
Maka antara yang penting bagi hidup seorang Muslimin ialah anak-anak yang soleh yang akan meneruskan legasi dakwah dan agama ini, yang akan mendoakan kita selepas kita mati dan menguruskan harta yang ditinggalkan oleh ibubapa dengan sebaiknya!
ii- maka datang ayat ini nabi Ibrahim melahirkan kesyukurannya atas anugerah Allah kepadanya dua orang Putera yang soleh yang akan meneruskan legasi dakwah dan kerasulannya!
- Yakni Nabi Ibrahim mengucapkan kesyukuran kepada Allah yang Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonannya lalu mengurniakan kepadanya anak ketika dia sudah tua & tiada harapan untuk dapat anak lagi.
- Di mana isterinya Sarah juga terkejut apabila malaikat datang membawa berita gembira mereka akan dapat anak- dek kerana sudah tua benar usia mereka ketika itu!
- Kata para ulama’: Dikatakan ketika Ismail lahir umur nabi Ibrahim ialah 99 tahun dan ketika dapat Ishaq pula umurnya 112 tahun. Kerana itu dikatakan Ismail adalah abang yang lebih tua daripada Ishaq dengan jarak 13 tahun.
- Ibrahim mengucapkan syukur kepada Allah kerana dikurniakan zuriat bagi menyambung legasi dakwah tauhidnya!
Dari Ibrahim lahir keturunan Arab sehingga kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Manakala dari sebelum Ishaq lahir keturunan bani Israil – bermula dari Ya’qub, Yusuf dan seterusnya.
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٠٤﴾
Ayat 40- {“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.} (Ibrahim 14:40)
- Nabi Ibrahim berdoa lagi kepada Allah agar taufiqkan kepadanya untuk menjadi orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunannya!
- Maka doa nabi Ibrahim mengajar kita para ibu bapa tok nenek agar cakna & peka akan keadaan anak cucu kita! Ajar, didik ajaklah anak cucu kita- pegang dan bimbing tangan ajaklah untuk buat amal kebaikan, bawa ke masjid, ajak dengar kuliah dan seumpamanya!
- Kata ulama’ Islam seperti Imam ar-Razi:
Kita kena banyakkan puji Allah s.w.t. Ini kerana dikatakan sesiapa yang sibuk berzikir memuji kepada Allah itu lebih baik daripada berdoa meminta apa yang kita nak! - Bahkan diriwayatkan siapa yang sibuk berzikir memuji Allah tetapi tidak meminta; maka Allah kata Dia akan pilih doa orang yang meminta apa yang terbaik- akan diberikan kepada orang yang berzikir tetapi tak minta itu!!!
[Sanadnya Dhaif]
يقولُ اللهُ عز وجل: منْ شغلهُ ذِكري عنْ مسألَتي، أعطيتُهُ أفضلَ ما أُعطي السائلينَ.
الراوي: عمر بن الخطاب • الألباني، السلسلة الضعيفة (٤٩٨٩) • ضعيف • أخرجه البخاري في ((خلق أفعال العباد)) (ص١٠٩) واللفظ له، والبزار (١٣٧)، وابن حبان في ((المجروحين)) (١/٤١٣)
- Itulah gaya nabi Ibrahim a.s dia sentiasa tak lupa berdoa agar dianugerahkan anak cucu yang baik & menjaga tauhid!
رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ ﴿١٤﴾
Ayat 41- {“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”} (Ibrahim 14:41)
- Nabi Ibrahim berdoa lagi: Meminta keampunan bagi dirinya dan bagi kedua ibu bapanya serta bagi orang-orang yang beriman semuanya!
- Doa Nabi Ibrahim untuk bapanya ini adalah sebelum Allah menyatakan bahawa bapanya tetap tidak akan beriman dan mati dalam kafir!
Selepas itu Nabi Ibrahim tidak lagi berdoa minta ampun kepada bapanya! - Kata Ibnu Jarir at-Tobari ; Nabi Ibrahim a.s berdoa meminta ampun kepada ibu bapa ini sebelum turunnya ayat larangan berdoa kepada orang kafir.
Apabila jelas bapanya musuh Allah tidak mahu beriman lalu dia berlepas diri dari bapanya!
- Perhatian: Isu tentang ibu bapa nabi ini tak perlu kita panjangkan & campur.
Jangan kata kita nak hina para nabi tentang ibu bapa mereka- tetapi kita nyatakan apa yang jelas Allah nyatakan dalam al-Quran.
- Inilah uslub atau cara berdoa yang tersusun indah yang diajar oleh Nabi Ibrahim a.s- kita berdoa minta kebaikan & keampuan untuk diri kita, anak cucu, ibu bapa kita dan bagi semua orang mukmin & mukminat!
- Untuk maklumat yang lebih lanjut tentang kisah Nabi Ibrahim & anaknya ini di Malkah boleh baca buku susunan DDAAM ini:
Makkah Mukarramah
https://dartaibah.com/store/NEW-Makkah-Kelebihan-&-Sejarah-Cetakan-Baru-2025-p30016004
Penutup & Faedah #
- Ayat 38- {“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan..}– ayat ini menjadi satu didikan dan ajaran nabi Ibrahim a.s untuk anak cucunya dan orang mukmin semua bahawa Allah itu sifat-Nya mempunyai ilmu yang mengetahui segala perkara!
Allah s.w.t akan memerhati dan tengok semua keadaan kita: Waktu kita beribadat, apa yang kita buat, waktu kita makan minum, berinteraksi semuanya- itu semua di bawah ilmu Allah!
Maka rugi besar jika kita tahu kita berada di bawah ilmu & pemantauan Allah tetapi kita tak ubah hati kita, kita tidak didik diri kita untuk ikhlaskan segala amalan kepada Allah tetapi kita buat perkara yang boleh menghilangkan pahala kita!
Kita kena jaga hati, jaga niat, jaga iman, jaga akhlak dan jaga ibadat kita kerana kita berada di bawah muraqobah Allah.
Kita tidak berani buat maksiat & mungkar!
Samalah seperti atas dunia ini sebagaimana kita takut kepada camera dan cctv yang dipasang oleh penguasa atau polis seumpamanya- begitulah juga kita kena takut & terasa sentiasa akan pengawasan dan pengetahun Allah s.w.t dan tak berani buat maksiat mungkar!
- Ayat 39- {“Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishak.}–
Kenapa nabi Ibrahim sebut- {Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua}– ketika dia sudah tua??
Jawapan- kerana ini menunjukkan besarnya nikmat ada anak apabila sudah tua.
Kerana hidup kita sudah sunyi & tidak sibuk lagi, lemah dan tiada daya tenaga yang kuat!
Bukan seperti waktu muda & bertenaga tak perlu kepada bantuan orang lain.
Jadi apabila dalam keadaan sunyi & tua apabila Allah anugerahkan nikmat anak cucu ini- maka ia pastilah satu nikmat yang besar.
Kata ulama’:
i- Orang tua biasanya apabila tiada anak tidak akan dapat anak lagi kerana faktor usia.
ii- jadi apabila kita dapat nikmat pada masa kita sudah tua atau tiada harapan dapat lagi sesuatu nikmat itu; maka pastilah dapat menambahkan kegembiraan dan keindahan dan keceriaan hidup!
Maka ada ketikanya kita perlu beri penghargaan atau anugerah kepada seseorang untuk mengembirakannya.
- Ayat 40- {“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku.}– ayat ini menunjukkan besarnya kedudukan solat dalam Islam sehingga Nabi Ibrahim sebutnya secara khas!
Kerana itu ulama’ kata ibadat yang paling afdhal ialah solat!
Ayat ini juga menunjukkan solat di Makkah lebih afdhal daripada solat di tempat lain.
Kerana itu apabila nabi Ibrahim mendirikan Ka’bah dia mengatakan supaya mereka solat di sini- dekat Baitullah ini!
Hadis: Sabda Nabi s.a.w:
“Solat di masjidku (Nabawi) lebih utama daripada 1,000 solat di tempat lain kecuali Masjidil Haram, dan solat di Masjidil Haram lebih utama daripada 100,000 solat di tempat lain” (HR Ahmad/Ibnu Majah).
Kerana itu apabila ke Makkah & Madinah jangan malas nak mendirikan solat sebanyak mungkin!
Boleh baca juga buku tentang Madinah:
https://dartaibah.com/store/NEW-Madinah-Kelebihan-&-Sejarah-Cetakan-baru-2025-p11408199
- Ayat 41- {“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman..}– nabi Ibrahim berdoa kepada anak cucu sekaligus kepada kedua ibu bapanya!
Nabi Ibrahim juga berdoa kepada kedua ibu bapanya juga bukan hanya untuk diri sendiri & anak cucu sahaja!
Yakni jangan lupa semua orang-orang yang kita sayangi dalam doa kita.
Cuma timbul persoalan bolehkah kita berdoa untuk orang kafir?
Jawapannya sebagaimana yang diperjelaskan oleh para ulama’ tadi:
Doa nabi Ibrahim untuk bapanya ini sebelum dia tahu kedudukan bapanya sebagai penentang Islam dan mati dalam kafir!
Apabila Nabi Ibrahim tahu bahawa ayahnya adalah musuh Allah, dia terus berlepas diri darinya!
Ini kerana kita tidak boleh berdoa memohon keampunan untuk orang kafir tetapi kita boleh berdoa agar mereka diberi hidayah!
Seperti sahabat non-muslim yang kita sayang dan orang baik suka buat kebajikan maka kita doakan semoga mereka mendapat hidayah Allah, terbuka hati mereka menerima Islam dan selamat di Akhirat kelak!
Ayat ini juga menjadi dalil bahawa kita kena berdoa kepada kedua ibu bapa kita
{رَبَّنَا ٱغْفِرْ لِى وَلِوَٰلِدَىَّ}- jangan malas dan tinggalkannya sesekali!
Ini kerana tanpa mereka kita tidak akan wujud atas dunia ini!
- Ayat 41- {“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman.}-doa kita juga mesti merangkumi semua orang Islam- mukmin & mukminat.
Kita jangan lupakan semua orang Islam dalam doa kita- bermula dari nabi Adam sehingga sekarang- semua orang mukmin atas dunia ini masuk dalam doa kita!
Banyak kelebihan berdoa kepada orang lain terutamanya doa secara ghaib- insya’ Allah akan diaminkan malaikat & Allah akan berikan kepadanya kebaikan sebagaimana yang dipinta untuk sahabatnya juga!!
Sebagaimana kita katakan tadi bagi para imam, khatib dan anak-anak tahfiz kena belajar fiqhud-doa.
Hafaz doa yang tepat serta sesuai dengan keadaan- kerana ia sangat penting!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Ifaq #
Insya’ Allah sedeqah Akhir Ramadhan 1447H kita penuhkan tabung khairat kebajikan untuk membantu golongan yang memerlukan. Pertubuhan ini juga dibawah seliaan Abu Anas Madani.

No. Akaun Bank Islam. BIMB: 03072010143270
Nama Akaun: PERTUBUHAN BADAN KEBAJIKAN MASJID AR-RAHMAN SUNGAI DURIAN KUALA KRAI.
Semoga Allah s.w.t berkati segala infaq yang diberikan.
جَزًاكُمُ الله خَيْرًا.
Poster: https://www.facebook.com/share/1EALdb5v8Z/
peluanginfaq #hartakumilikku
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 17/03/2026 / 27 Ramadhan 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] & Surah Ibrahim (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist?list=PLC16EIfOI4LBba3yoistp_nDBPsgOpwdR
Semoga Bermanfaat!
