Allah Tangguhkan Hukuman, Berilah Amaran Kepada Penzalim & Perancangan Kafir Gagal

♥Live Pagi Rabu 18/03/2026 / 28 Ramadhan 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ibrahim (14) Ayat [42-46]
Full video: https://youtu.be/X2VnyIQbcqo?si=QZZlS2hhdqVkg7gI
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ibrahim dengan ayat 42 sehingga ayat 46 dalam juzuk ketigabelas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kepada manusia kamu jangan sangka bahawa Allah terlupa kepada orang zaim sehingga tidak diambil tindakan terhadap mereka!
Allah tidak sesekali lupa cuma Allah tangguhkan hukuman ke atas mereka!
Bila azab Allah datang barulah terbeliak biji mata, tercabut jantung menghadapinya tidak akan terlepas lagi!!
- Kemudian Allah kata berilah amaran kepada penzalim jangan sedap hati & rasa besar kerana apabila datang azab Allah semuanya akan binasa!
- Puak kafir telah merancang untuk membunuh Nabi s.a.w tetapi perancangan kafir gagal- Nabi s.a.w selamat tiba di Madinah.
Mereka yang akan binasa pada bulan Ramadhan tahun ke-2 H selepas itu!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang 10 dalil tauhid, juga tentang nabi Allah Ibrahim a.s yang berdoa minta selamat dirinya, anak cucunya dari Syirik kepada Allah serta agar dapat mendirikan solat dengan sempurna!
ii- maka datang ayat ini Allah menyatakan ada ada suatu hari nanti akan ada hari Perhitungan & Pembalasan- apa saja yang kamu kerjakan baik atau buruk akan ada pembalasannya!!
Yakni Allah memperingatkan manusia tentang hari Kiamat.
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ ﴿٢٤﴾
Ayat 42- {Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).} (Ibrahim 14:42)
- Jangan kamu sangka Allah tak ingat lalai atau lupa akan orang yang zalim, dibiarkan hidup bebas dengan kezalimannya atas dunia ini!
Jangan kamu pertikaikan hukum & hikmah Allah yang Allah telah tentukan!
- Bukan sesekali Allah tidak ingat atau biarkan mereka; cuma Allah bagi tempoh kepada mereka- samada beri peluang untuk mereka bertaubat atau sebagai satu istidraj agar mereka bertambah banyak dosa kejahatan mereka!
Allah hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang ditetapkan.
- Sekali Allah ambil tindakan ke atas mereka- Allah tidak akan lepaskannya- semua orang zalim itu akan- terbalik-kuang, menungging-yor- bergelimpangan binasa.
Pada hari itu terbeliak kaku pemandangan mereka, kerana terlalu gerun gementar melihat keadaan yang berlaku!!!
- Hadis Nabi s.a.w: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah selalu memberi tempoh (mencatat/menangguhkan) kepada orang yang zalim, sehingga apabila Dia mengazabnya, maka ia tidak dapat luput daripada-Nya.”
Kemudian Rasulullah s.a.w. membacakan ayat 102 dari surah Hud ini:
{Dan begitulah azab Tuhanmu (wahai Muhammad), apabila Ia mengazab penduduk negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu adalah sangat pedih, lagi keras.} [HR Bukhari & Muslim]. - Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t:
{Dan hampirlah datangnya janji hari kiamat yang benar, maka dengan serta-merta pandangan mata orang-orang yang kufur ingkar terbeliak (sambil berkata dengan cemas): “Aduhai celakanya Kami. Sesungguhnya kami telah tinggal dalam keadaan yang melalaikan kami daripada memikirkan perkara ini, bahkan kami telah menjadi orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.} (Al-Anbiyaa’ 21:97)
*Ini adalah penyesalan yang tiada guna lagi- nasi sudah basi- kalau jadi bubur masih boleh dimakan!!!
مُهْطِعِينَ مُقْنِعِي رُءُوسِهِمْ لَا يَرْتَدُّ إِلَيْهِمْ طَرْفُهُمْ ۖ وَأَفْئِدَتُهُمْ هَوَاءٌ ﴿٣٤﴾
Ayat 43- {(Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).} (Ibrahim 14:43)
- Pada hari Kiamat itu apabila mereka dibangkitkan semula- mereka akan keluar dari kubur dalam keadaan terburu-buru
{ مُهْطِعِينَ مُقْنِعِى}
menuju ke padang mahsyar- tak tengok kiri-kanan terus berjalan ke depan sambil mendongak kepala- menuju ke tempat yang telah Allah ditetapkan! - Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t:
{Iaitu hari mereka segera keluar dari kubur masing-masing menuju (ke Padang Mahsyar) dengan keadaan seolah-olah mereka berkejaran ke (tempat) berhala-berhala (yang mereka sembah dahulu),} (Al-Ma’aarij 70:43) - Digambarkan dalam huru-hara & menakutkan itu keadaan mereka:
i- bersegera sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip
{مُهْطِعِينَ مُقْنِعِى رُءُوسِهِمْ},
kerana terlalu kaget dan gerun takut!
ii- dan hati mereka tidak bersemangat kerana bingung dan cemas {وَأَفْـِٔدَتُهُمْ هَوَآءٌۭ }
akan nasib keadaan mereka nanti!
*Yakni suasana hari Kiamat itu amat menakutkan dan membingungkan manusia semuanya!
وَأَنذِرِ النَّاسَ يَوْمَ يَأْتِيهِمُ الْعَذَابُ فَيَقُولُ الَّذِينَ ظَلَمُوا رَبَّنَا أَخِّرْنَا إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ نُّجِبْ دَعْوَتَكَ وَنَتَّبِعِ الرُّسُلَ ۗ أَوَلَمْ تَكُونُوا أَقْسَمْتُم مِّن قَبْلُ مَا لَكُم مِّن زَوَالٍ ﴿٤٤﴾
Ayat 44- {Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada manusia yang ingkar itu jangan mereka lupakan hari kiamat yang padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang-orang yang berlaku zalim akan merayu dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, (kembalikanlah kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada kami hingga ke suatu masa yang dekat, supaya kami menyahut seruanMu (untuk mengesakanMu dan mentaati perintahMu), dan supaya kami menurut agama yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu”. Dan (rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada mereka): “Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian, dan bukankah kamu telah bersumpah (semasa kamu dalam dunia) dahulu, bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan?} (Ibrahim 14:44)
- Munasabah ayat:
i- ayat ini dikaitkan dengan firman Allah sebelum ini- {Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim;}- kamu jangan sangka Allah lupa untuk ambil tindakan ke atas orang zlaim.
ii- lalu datang ayat ini Allah suruh Nabi s.a.w beri amaran kepada manusia agar jangan berani-berani lawan hukum Allah & menyalahi Syari’ah!
Allah s.w.t Allah memerintahkan Nabi s.a.w untuk mmeberi amaran & peringatan kepada manusia akan hari turunnya azab iaitu hari Kiamat agar mereka jagn berani melakukan perbuatan yang boleh mengundang kemurkaan Allah s.w.t.
- Dalam ayat ini Allah ceritakan keadaan orang yang zalim dengan sebab kufur atau mendustakan ayat Allah- mereka minta tangguh jangan dibinasakan lagi mereka, minta dihidupkan semula atas dunia untuk menyahut seruan Allah lalu mereka akan beriman & mengikut ajaran rasul, buat kebaikan & ketaatan kepada Allah.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.} (As-Sajdah 32:12) - Tetapi pastilah permintaan & rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada mereka untuk menambah kesiksaan:
i- Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian yakni untuk menyahut seruan nabi dan beriman kepada Allah tetapi mereka tidak lakukannya!
ii- dan bukankah kamu telah bersumpah semasa kamu dalam dunia dahulu, bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan.
- Yakni mereka ini juga telah bersumpah di dunia dulu bahawa hidup mereka hanya setakat di dunia saja- tidak akan ada kebangkitan semula & tiada ada hari pembalasan- lalu mereka hidup seperti mana yang mereka mahu- ikut nafsu mereka!
*Yakni mereka percaya segi fikiran tetapi dari segi tindakan seperti tidak percaya kerana itu mereka ingkar & lawan hukum Allah!
وَسَكَنتُمْ فِي مَسَاكِنِ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ وَتَبَيَّنَ لَكُمْ كَيْفَ فَعَلْنَا بِهِمْ وَضَرَبْنَا لَكُمُ الْأَمْثَالَ ﴿٥٤﴾
Ayat 45- {“Padahal kamu telah mendiami tempat-tempat tinggal orang-orang yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri, serta telah ternyata kepada kamu dengan bukti-buKti yang jelas bagaimana Kami telah mengubah keadaan mereka (dengan menimpakan mereka berbagai bencana), dan Kami pula telah nyatakan kepada kamu berbagai contoh perbandingan (di dalam Al-Quran dan melalui sabda Rasul)”.} (Ibrahim 14:45)|
- Allah peringatkan puak kafir Quraisy- tidakkah atas dunia dulu kamu telah lihat kesan kebinasaan orang terdahulu yang kufur kepada Allah s.w.t- apa yang terjadi dengan hidup mereka- hancur binasa semuanya!
- Allah telah bawa kepada mereka bukti-bukti yang jelas bagaimana Kami telah mengubah keadaan mereka dengan menimpakan mereka berbagai bencana.
- Yakni apabila mereka mengembara ke Yaman- mereka dapat lihat kesan kaum Ad dan apabila ke Syam mereka dapat lihat kesan kemusnahan kaum Thamud- kamu dengar cerita mereka tetapi apa boleh buat semua itu tidak memberi kesan dan keinsafan dalam jiwa mereka!
- Allah s.w.t juga telah bawa pelbagai lagi contoh perbandingan kepada mereka samada yang di dalam Al-Quran dan melalui sabda Rasulullah s.a.w.- agar mereka mengambil contoh iktibar & pengajaran!
- Tetapi dengan segala contoh dan bukti-bukti yang jelas itu:
i- kamu tetap tidak mahu beriman bahkan menolak menentang rasul yang diutuskan!
ii- apakah sekarang kamu minta tangguh, minta hidup semula untuk beriman???
Pastilah tidak akan terjadi sama sekali- peluang kamu sudah habis, tempoh kamu sudah tamat!!!
وَقَدْ مَكَرُوا مَكْرَهُمْ وَعِندَ اللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِن كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ الْجِبَالُ ﴿٦٤﴾
Ayat 46- {Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun.} (Ibrahim 14:46)
- Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bagaimana Allah binasakan kaum kafir sebelum ini;
ii- maka dalam ayat ini Allah sebut macamana perancangan jahat mereka, konspirasi mereka untuk menjatuhkan orang Islam gagal tak menjadi- itulah kuasa Allah Azza wa Jalla!!!
- Mereka telah membuat perancangan jahat- antaranya ialah kata ulama’:
i- syirik kepada Allah.
ii- menuduh pelbagai tuduhan jahat ke atas Nabi s.a.w seperti gila, sihir, penyair dan seumpamanya.
iv- parlimen Quraisy an-Nadwah telah memutuskan hukuman untuk membunuh Nabi s.a.w!
*Tetapi semua perancangan jahat mereka itu Allah gagalkan!!!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.} (Al-Anfaal 8:30)
*Tak perlu kita kagum dengan plan & strategi orang kafir untuk muslim atau Palestin- cukuplah kita yakin dengan pertolongan Allah yang pasti akan datang!
Kita orang Islam ada Syari’ah kita!
- Di akhir ayat Allah nyatakan sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun, untuk pindah bukit sekalipun;
- Mereka tidak akan dapat melawan umat Islam yang mendapat bantuan & pertolongan Allah, mereka tidak akan berjaya menghapuskan agama Islam atas muka bumi ini, mereka tidak akan dapat membunuh semua umat Islam seperti yang mereka rancang dan mahu!!!
- Kita yakin dan percaya akan kuasa Allah & perancangan syaitan itu lemah- cukuplah dengan firman Allah ini:
{… kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah.} (An-Nisaa’ 4:76) - Maka para jemaah sekelian kita hati-hatilah akan perancangan syaitan yang jahat walaupun lemah tetapi ada yang berjaya ada yang tidak berjaya!
Penutup & Faedah #
- Ayat 42- {Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim;}– kamu jangan sangka Allah lupa untuk ambil tindakan ke atas orang yang zalim!
Kata ulama’ ayat ini:
i- sebagai satu amaran keras kepada orang zalim. Bahawa orang yang kuat dan zalim tak selamanya akan kekal di atas!
ii- memberi ketenangan hati kepada orang yang dizalimi- bahawa mereka akan terbela samada mati dan akhir kezaliman itu atau dia akan kuat selepas itu dan membalas kezaliman itu!
Itu adalah Sunnatullah bahawa yang kuat tak selamanya kuat, yang lemah tak selamanya lemah- dunia ini berputar seperti roda sekali di atas sekali di bawah!
Allah berjanji bahawa tindakan akan diambil ke atas orang jahat & zalim walaupun mungkin tertangguh seketika atas dunia ini!
- Ayat 42- {Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim;..}– kamu jangan sangka Tuhan itu lupa!
Maka apakah Nabi s.a.w menyangka Tuhan itu lupa????
Ayat ini menerangkan bahawa:
i- Nabi s.a.w sesekali tidak menyangka bahawa Allah lupa untuk ambil tindakan.
ii- jangan terlalu berani ambil tindakan sedangkan ia bukan sesuatu yang baik atau diizinkan Allah.
iii- kamu jangan sangka Allah berinteraksi dengan orang zalim itu seolah Allah lupa- tetapi Allah sentiasa mengawas dan akan ambil tindakan keatas mereka.
iv- ucapan ini walaupun untuk Nabi s.a.w tetapi ia juga peringatan untuk kita semua.
Sabarlah mengahadapi kejahatan si zalim kerana pada suatu hari ia akan terhenti juga & mereka akan menerima pembalasannya!
- Ayat 42- {… sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya…}– berilah amaran kepada manusia bahawa di depan kita nanti ada hari Pembalasan ada azab!
Begitulah manusia apabila kita tahu di depan kita ada juru audit, ada pemantau dan pengawas yang akan melihat segala perbuatan dan kelakuan kita pasti kita akan beringat dan hati-hati menjaga segala tindak-tanduk dan perbelanjaan kita!
Dulu kita ada maqam muraqobah- iaitu terasa dirinya di bawah pengawasan Allah.
Pada zaman kita hari ini maqam pemantauan yang paling tiggi ialah camera- CCTV, lampu di trafik light dan seumpamanya!
Maka kita akan berhati-hati kerana kita yakin di depan sana pemantau yang akan menyekat kita!!
Allah nak ajar sifat muraqobah; Kita kena menjiwai berilah amaran kepada manusia bahawa hidup atas dunia ini walaupun kita lupakan Allah- Allah tetap tidak akan lupakan kita!
Atas dunia pun begitu- walaupun kita lupa segala camera & CCTV itu- mereka semua tidak lupakan kita.
Langgarlah api merah sekali- tak lama surat saman akan datang mencari kamu.
Jika kena saman atau denda akibat kelalaian kita atas dunia ini masih lagi boleh bayar dan cari yang lain.
Tetapi akibat kelapaan di Akhirat- cctv pasang balik di Akhirat ini dosa kamu- apa lagi yang kita boleh buat kecuali penyesalan yang tiada faedah!
Allah-lah yang boleh bantu kita untuk menguatkan balik signal iman kita!
- Ayat 45- {“Padahal kamu telah mendiami tempat-tempat tinggal orang-orang yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri…}– kamu berjalan sana sini, pergi tengok kaum Ad, kaum Thamud, di Petra, Laut Mati dan apa saja atas dunia ini:
Maka apakah perasaan kamu melihat semua itu?
i-jika tiada apa rasa maka itu tanda tiada Iman!!
ii- jika kamu rasa takut & gerun kepada Allah, jika rasa betapa bahayanya manusia yang lawan Tuhan, kesan itu mendatangkan keinsafan; maka itu menunjukkan signal iman masih kuat!
Allah mahu apabila kita melihat tempat-tempat kaum yang dilaknat Allah yang telah binasa, kita tengok tempat maksiat & sejarah; hendaklah kita mengambil iktibar dan pengajaran panduan supaya kita selamat atas dunia ini & aman di Akhirat!
- Ayat 46- {Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka,}– orang kafir telah membuat perancangan rapi, cukup teliti & cukup jahat!
Tetapi ingatlah perancangan Allah mengatasi strategi mereka itu!
Sebagaimana kedatangan covid yang datang menyerang dunia dulu- ada orang kata ianya adalah konspirasi dajjal atau kafir kerana ia berjaya menutup masjid dan menghilangkan Sunnah Nabi s.a.w dalam aturan jarak saf dan sebagainya!
Semua kena SOP yang telah ditetapkan.
Walau bagaimanapun Allah kata Dia akan balas balik dan akan menggagalkan rancangan jahat orang kafir!
Tetapi kita jangan sedap hati dan berasa tidak mengapa kafir tidak akan menang- kerana pertolongan Allah bersyarat!
Kita yakin dan percaya dengan perancangan Allah- rancangan tetap akan gagal!
Tinggal beberapa hari Ramadhan akan berakhir- kita tingkatkan ibadat- tambahkan amalan melakukan amal yang terbaik.
Ramadhan masih menjadi tetamu kita; kenapa kita sudah sibuk nak cari yang lain!
Berada di masjid resah gelisah, tak boleh nak habiskan solat terawih bersama iman!
Sibuk nak beraya tetapi tak sibuk & berasa sedih untuk berpisah dengan Ramadhan!
Tapi ingat sibuk atau tak sibuk ingat malaikat tidak cuti & atau beraya!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
*Sempena Ramadhan juga kita perbanyakkan sedekah.
Jangan lupa tabung-tabung yang telah dilancarkan oleh Abu Anas yang telah kita pilih dan percayai insya’ Allah.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 18/03/2026 / 28 Ramadhan 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] & Surah Ibrahim (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Semoga Bermanfaat!
