View Categories

(3) Surah Al-Hijr: Ayat 6-9

12 min read

Penyangak Quraisy Hina Nabi S.A.W, Minta Bawa Malaikat & Allah S.W.T Jamin Jaga Al-Quran

Live Pagi Isnin 30/03/2026 / 10 Syawwal 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Hijr (03) Ayat [06-09]

Full video: https://youtu.be/B-hXig1rAU8?si=SzK7FwHlcq3oaMYY

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ibrahim dengan ayat 06 sehingga ayat 09 dalam juzuk ketigabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa puak kafir, penyangak Quraisy telah menghina Nabi S.A.W dan mengatakan Nabi seorang yang gila (majnun).
  3. Kemudian mereka mencabar minta bawa Malaikat bersama Nabi l, baru mereka nak percaya.
    Serta pelbagai hinaan, tuduhan dan cercaan yang mereka lemparkan kepada Nabi s.a.w.
  4. Allah S.W.T beritahu bahawa Dia yang turunkan al-Quran & Dia jamin untuk menjaga al-Quran.

Tiada manusia yang akan boleh selewengkan al-Quran kecuali dia akan terpelanting atau tunduk patuh kepada al-Quran apabila mendapat hidayah Allah.

*Kita sentiasa berdoa kepada Allah agar Allah tetapkan hati kita atas landasan Islam.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah memberi amaran kepada puak kafir Quraisy jika mereka buat perangai sama seperti puak dulu yang telah dibinasakan Allah; maka mereka juga akan dibinasakan!

ii- maka datang ayat ini Allah ceritakan beberapa isu berbentuk syubhat atau keraguan yang mereka timbulkan untuk menolak dakwah Nabi s.a.w.

Iaitu tuduhan jahat dan penghinaan untuk menjauhkan orang ramai seperti orang gila, ahli sihir, anak pengembala kambing dan sebagainya.

  1. Inilah modal kafir Quraisy dalam menentang dakwah Nabi s.a.w iaitu dengan menggunakan tuduhan & kata-kata buruk!

Ini kerana jika nak berlawan hujjah orang kafir akan kalah kerana sembahan mereka hanyalah batu kayu yang tidak berkuasa!

Tetapi jika menggunakan kata-kata buruk, cecaan dan penghinaan mereka akan menang kerana Nabi s.a.w tidak pernah berkata kesat dan buruk seperti mereka!

  1. Sebagaimana kata para ulama’:
    Jika kemenangan itu diukur dengan tempikan dan sorakan pastilah orang jahil yang akan menang.

*Ini kerana orang alim tidak akan berbuat begitu kerana mereka akan berfikir panjang sebelum mengeluarkan kata-kata yang tidak perlu & buruk.

Para ulama’ akan fikir tentang dosa-pahala, tentang kesannya kepada masyarakat dan masa depannya sendiri akibat dari perkataan atau perbuatannya.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَقَالُوا۟ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِى نُزِّلَ عَلَيْهِ ٱلذِّكْرُ إِنَّكَ لَمَجْنُونٌ ‎﴿٦﴾

Ayat 6- {Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): “Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang gila”.} (Al-Hijr 15:6)

  1. Puak kafir Quraisy yang menentang berkata dengan penuh peghinaan dan cercaan kepada Nabi s.a.w, seorang yang baik, berakhlak mulia & tinggi integritinya.
  2. Mereka memerli dengan menyerunya:
    i- wahai orang yang mengaku kepadanya diturunkan al-Quran yang digunakan untuk berlawan dengan kami!!

ii- sesungguhnya engkau adalah seorang yang gila- yang tidak betul dan sesat!!!

Engkau membawa ajaran baru, menyuruh kami meninggalkan ajaran dan sembahan berhala tok nenek kami!

  1. Inilah tuduhan pertama yang dilemparkan kafir Quraisy kepada Nabi s.a.w ialah majnun atau gila!!!
  2. Kata seorang ulama’ tafsir iaitu Qatadah rhm: Orang-orang yang mengeluarkan perkataan buruk ini kepada Nabi s.a.w ialah: Abdullah bin Abi Umayyah & An-Nadhar bin al-Haris, Naufal bin Khuwailid dan Al-Walid bin Mughirah- dari kalangan pembesar Quraisy atau penyangaknya!

لَّوْ مَا تَأْتِينَا بِٱلْمَلَٰٓئِكَةِ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّٰدِقِينَ ‎﴿٧﴾

Ayat 7- {“Sepatutnya engkau membawakan malaikat kepada kami (untuk menjadi saksi tentang kerasulanmu), jika betul engkau dari orang-orang yang benar!”} (Al-Hijr 15:7)

  1. Kemudian syubhah kedua yang ditimbulkan oleh mereka ialah menuntut agar Nabi s.a.w menurunkan malaikat untuk menjadi saksi tentang kerasulannya.

Mereka mencabar jika betul Baginda adalah orang yang benar maka bawalah apa yang mereka tuntut ini!!!

  1. Ayat ini telah disebut banyak kali dalam al-Quran tentang cabaran puak kafir terhadap nabi mereka meminta datang malaikat ini:

i- {Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? ” padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara itu (kerana mereka tetap berdegil dan tidak akan beriman), kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut).} (Al-An’aam 6:8)

ii- {Dan berkatalah pula orang-orang yang tidak percaya akan menemui Kami: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepada kita, atau kita dapat melihat Tuhan kita?” Demi sesungguhnya, mereka telah bersikap sombong angkuh dalam diri mereka sendiri, dan telah melampaui batas dengan cara yang sebesar-besarnya.} (Al-Furqaan 25:21)

iii- { “(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?”} (Az-Zukhruf 43:53)

  1. Begitulah banyak lagi tuduhan & hinaan puak kafir ini terhadap Nabi s.a.w.

Tetapi Baginda bersabar dan tidak layan atau hiraukannya!

Tetapi jika tuduhan atau penghinaan ke atas agama Islam- Baginda sesekali tidak akan biarkan dan akan bangun membela dan menjawabnya!!

  1. Allah sajalah yang dapat bantu kita untuk berpegang dan beramal dengan al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.

Jika kita tidak berpegang teguh dengan tali yang besar ini ini maka kita akan hanyut seperti kapal-kapal yang tercabut talinya di lautan!!

مَا نُنَزِّلُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةَ إِلَّا بِٱلْحَقِّ وَمَا كَانُوٓا۟ إِذًا مُّنظَرِينَ ‎﴿٨﴾

Ayat 8- {Tiadalah Kami menurunkan Malaikat melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, dan pada ketika itu mereka (yang ingkar) tidak akan diberi tempoh lagi.} (Al-Hijr 15:8)

  1. Allah nyatakan bahawa malaikat hanya Allah akan hantar jika ada tugasan khas yang diperlukan dengan cara yang selayaknya dan dengan hikmah Allah s.w.t!
  2. Malaikat turun mesti dengan agenda besar yang diutuskan Allah!

i-Seperti Jibril yang Allah hantar turun untuk bawa wahyu kepada Rasulullah s.a.w dan para anbiya’ sebelumnya seperti Musa, Isa, nabi Ibrahim dan semuanya!

ii- atau malaikat yang turun membawa bala bencana sebagai azab ke atas orang kafir- maka siapa yang derhaka tak dengar kata akan binasa semuanya!

  1. Allah hantar malaikat turun dengan hikmah, dengan keperluan dan apa saja yang Allah kehendaki.

Malaikat tidak akan turun saja-saja hanya kerana dengan permintaan para kafir Quraisy atau cadangan mana-mana kaum yang menentang nabi mereka!

  1. Ulama’ membincangkan apakah maksudnya Allah kata malaikat itu turun dengan kebenaran {بِٱلْحَقِّ}- kata Abu Hayyan kebenaran itu dengan makna:

i- (العذاب) malaikat turun membawa azab.
ii- (الرسالة) membawa risalah wahyu- melantik mana-mana manusia terpilih untuk menjadi rasul.
iii- (قبض الأرواح) malaikat datang untuk mengambil nyawa manusia.
iv- malaikat datang membawa al-Quran kepada Nabi s.a.w.

  1. Begitulah peranan & tugasan malaikat ini banyak sekali dan penuh dengan hikmah sebagaimana yang diperintahkan Allah s.w.t!!!

Malaikat bukan hanya untuk memenuhi cabaran atau tuntutan puak kafir yang ingkar!

  1. Kemudian Allah katakan lagi jika Allah hantar sungguh malaikat sebagaimana permintaan mereka dan mereka masih tidak beriman; maka pada ketika itu mereka yang ingkar tidak akan diberi tempoh lagi, azab akan datang dan mereka akan dibinasakan semuanya!!!
  2. Puak kafir ini beginilah kerjanya menentang dan menimbulkan syubhat keraguan terhadap para rasul a.s.
    Sabarlah dulu- jika sudah tiba tempohnya mereka tidak akan diberi tangguh lagi!!!
  3. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah:
    {Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? ” padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara itu (kerana mereka tetap berdegil dan tidak akan beriman), kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut).} (Al-An’aam 6:8)
  4. Permintaan kita agar pemerintah ambil tindakan yang keras dan hukuman yang berat ke atas pemandu yang mabuk sehingga mengakibatkan kemalangan dan membunuh orang lain yang tidak bersalah!

Sudah sampai masanya digubal akta yang keras bagi mereka ini!

  1. Seruan kita juga kepada kerajaan yang berkuasa; selain dari hukuman sewajar ke atas pemabuk ini, juga peringatan agar jangan membazir sehingga menggalakan rakyat ikut membazir dengan permainan bunga api sampai berpuluh ribu ringgit.

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا ٱلذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ ‎﴿٩﴾

Ayat 9- {Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.} (Al-Hijr 15:9)

  1. Munasabah ayat ini jelas-
    i- ayat ini nak membatalkan tuduhan orang kafir tadi bahawa Nabi s.a.w adalah seorang gila dan cabaran mereka meminta diturunkan malaikat!

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa Dia yang menurunkan al-Quran dan Allah jualah yang akan menjaganya!!!

  1. Persoalan kenapa al-Quran ini disebut dengan nama az-Zikr {ٱلذِّكْرَ} mengikut ar-Razi , ini kerana:

i- kerana al-Quran itu adalah sebuah Kitab yang mengandungi seluruh perkara yang diperlukan manusia samada untuk urusan agama atau urusan dunianya!

ii- dalam al-Quran penuh peringatan tentang nikmat yang Allah anugerahkan untuk hamba. Juga peringatan dan nasihat yang ada yang telah disebut oleh Allah Azza wa Jalla kepada kita.

iii- sesiapa yang baca al-Quran- Allah akan beri kemuliaan kepada kita & kaum kita!
Maka sesiapa yang nak jadi orang hebat jadilah ahli al-Quran!

  1. Allah kata Dia yang menurunkan al-Quran dan yang memelihara dan menjaganya.
    Bilakah al-Quran ini dijaga?

i- ketika pertama kali al-Quran diturunkan kepada Nabi s.a.w selama 23 tahun, Allah sudah jaganya dari dicuri dengar oleh syaitan! Syaitan tak boleh tembus naik ke langait untuk mencuri mendengaranya!

ii- apabila al-Quran turun – Allah jaga lafaz al-Quran, Nabi s.a.w hafaznya dari malaikat, Nabi meminta para sahabat hafaz dan menulisnya juga.

iii- lafaz & makna al-Quran juga Allah jaga tidak boleh diselewengkan- tidak boleh ditambah & dikurangkan!

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap Al-Quran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang Al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi,
    Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.} (Fussilat 41: 41-42)
  2. Begitulah walaupun Allah jaga al-Quran ini dijaga & tidak boleh diseleweng lafaznya tetapi puak kafir & penjajah berjaya selewengkan tugas sebenar al-Quran dalam hidup orang Islam.:

i- tak boleh diamalkan perundangan & hukum-hakam al-Quran.

Boleh baca tilawah, musabaqah al-Quran peringkat antarabangsa sekalipun tetapi tidak boleh mengamalkannya.

ii- kafir juga berjaya laghakan manusia daripada membaca al-Quran! Dengan pelbagai gajet, permainan games, apps yang pelbagainya.

  1. Maka dengan jaminan Allah s.w.t ini terjagalah Kitab suci al-Quran dari sebarang perubahan dan bersinarlah cahanya ke seluruh dunia.

Cuma cahaya perlaksanaannya tidak kesampain kerana disekat oleh puak kafir & disokong pula oleh anak-anak orang Islam sendiri!

  1. Sehingga keluar kata-kata kecewa dari AAM:
    Jika atas dunia ini ada 7 perkara yang ajaib; maka keajaiban dunia yang kelapan ia adalah anak-anak orang Islam sendiri yang menentang undang-undang & hukum yang ada dalam al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.!

Tiada orang kafir yang menolak kitabnya sendiri kecuali orang Islam!

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 6- {Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): “Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang gila”.}– puak kafir Quraisy mengatakan Nabi s.a.w yang membaca al-Quran itu sebagai seorang gila!

Mereka cuba menjauhkan orang ramai dari Nabi s.a.w dengan cara perli, kutuk & penghinaan.

Kadang-kadang mereka kata Baginda seorang ahli sihir, kadang-kadang sebagai orang gila atau penyair, sebagai orang yang hina iaitu anak pengembala kambing dan sebagainya untuk menjatuhkan kredibiliti Baginda di mata manusia!

Maka Allah palingkan tuduhan itu, menjadikan orang tak terima & tak dengarnya!

Bahkan mereka bukan memaki menghina Nabi s.a.w tetapi memaki orang lain yang hina itu!

Rasulullah S.A.W pernah bersabda:
“Tidakkah kamu hairan bagaimana Allah memalingkan laknat dan cacian orang Quraisy daripadaku?
Mereka mencela ‘Muzammam’ (yang tercela) dan melaknat ‘Muzammam’, padahal aku adalah Muhammad (yang terpuji).” [HR Bukhari (No. 3533)].

*Jadi Rasulullah yang mulia terselamat dari laknatan puak musyrikin.

Allah jaga al-Quran Allah juga jaga Nabi s.a.w daripada gangguan dan penghinaan orang kafir!

Sebelum ini para sahabat bergilir berkawal di luar rumah Nabi s.a.w untuk menjaga Baginda dari gangguan orang kafir.

Sehingga terdapat sebuah tiang di dalam masjid Nabi s.a.w hari ini yang dinamakan tiang pengawal sebagai tanda tempat para sahabat itu berkawal.

Kemudian Allah menurunkan wahyu bahawa Dia yang akan menjaga Nabi s.a.w maka tidak perlu mereka berkawal lagi.

Untuk cerita lanjut boleh baca buku Madinah & Sejarah ini:
https://dartaibah.com/…/NEW-Madinah-Kelebihan-&-Sejarah…

  1. Ayat 6- {Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): “Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang gila”.}– puak yang khianat dan zalim kepada Nabi s.a.w ini menuduhnya gila!

Kata ulama’ antara kezaliman dan kejahatan yang terbesar dan berat ialah kezaliman yang dibuat oleh kaum Quraisy terhadap Nabi s.a.w.
Kezaliman Quraisy ini sangat jelas:

i- mereka buat pelbagai tuduhan jahat- kata Nabi gilalah, ahli sihir dan pelbagai lagi.

ii- mereka jahil akan akibat meminta malaikat turun itu!

Jika Allah hantar malaikat turun dan mereka masih ingkar tidak beriman- maka mereka akan dibinasakan seluruhnya seperti umat terdahulu!!!!

Tetapi puak kafir ini tidak tahu apa kerana mereka tidak percaya & tidak beriman!

  1. Ayat 8- {Tiadalah Kami menurunkan Malaikat melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, dan pada ketika itu mereka (yang ingkar) tidak akan diberi tempoh lagi.}

Ini menunjukkan Allah beri tempoh kepada puak kafir dengan penuh hikmah sedangkan jika Allah nak terus binasakan mereka semua secara total boleh saja!

Tetapi Allah Maha kaya dan Maha Pengasih- beri tempoh & peluang jika pada masa depan ada antara mereka yang akan masuk Islam.

Ini kita dapat lihat beberapa sahabat besar yang awalnya adalah penentang dan musuh utama Islam & Nabi s.a.w- seperti Abu Sufyan & Khalid al-Walid r.a.

Ketika dakwah Nabi s.a.w ke Taif gagal & ditolak- Allah hantar malaikat penjaga gunung untuk menerima perintah Nabi s.a.w mahu dihempap gunung mana ke atas kepala Bani Thaqif di Taif ini!

Tetapi Rasulullah s.a.w- rahmatan lil-‘Alamin menolaknya dengan harapan akan ada pada suatu hari nanti dari anak cucu keturuan mereka yang akan masuk Islam.

Harapan Nabi s.a.w ini tidak sia-sia- 10 tahun kemudian selepas Pembukaan Kota Makkah pada tahun ke-8H- penduduk Taif juga berduyun-duyun masuk Islam.

Maka sabarlah, dakwah kita ini kena sabar, tak boleh gopoh-gopoh, kita koho-koho, moga ada telinga yang mendengar, ada hati yang bergetar!

  1. Ayat 9- {Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.}– dalam ayat ini Allah kata kami yang menurunkan al-Quran { إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا}.
    Dari ayat ini timbul persoalan puak kafir- kamu kata Allah Tuhan kamu Esa & tunggal- tetapi kenapa digunakan perkataan Kami {نَحْنُ} yang menunjukkan kepada ramai (جمع) di sini???

Jawapan:
Ini kerana penggunaan kalimah Kami dalam bahasa Arab menunjukkan kemuliaan atau ketinggian bukan dengan makna ramai!

Adat raja-raja dan para pembesar apabila mereka membahasakan diri mereka guna perkataan kami.

Seperti kami buat- padahal arahan dari seorang raja saja- sama juga dengan bahasa Melayu juga begitu adat raja-raja menggunakan perkataan kami untuk menunjukkan ketinggian kedudukan bukan kata ramai- seorang saja!

  1. Ayat 9- {Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.}-

Allah bagi jamin bahawa Dia yang akan jaga al-Quran.

Ayat ini menjadi dalil bahawa ilmu yang diberikan kepada Nabi s.a.w itu terkawal duduk bawah kawalannya dan tidak akan ada penyelewengan- tidak ada siapa yang boleh tambah atau kurangkan!

Seperti yang dinyatakan di seluruh dunia ada pusat atau akademi permeriksaan al-Quran dan sebagainya- alhamdulillah.

Tetapi jangan lupa penjajah kafir telah berjaya menjauhkan orang Islam dari mengaji al-Quran, lagha dari belajar & tadabbur al-Quran.

Atau dibenarkan baca al-Quran taranum berlagu tetapi melemahkan orang Islam tidak boleh melaksanakan peraturan dan undang-undang yang ada dalam al-Quran.

Tetapi walaubagaimanapun ayat ini memberi jaminan bahawa al-Quran ini akan berterusan sehingga ke hari Kiamat di bawah jagaan Allah!

Kita orang beriman yakin dengan janji ini serta dalam masa yang sama kita berusahalah memahami al-Quran dengan tadabbur & tafsirnya serta berusaha juga untuk beramal dengan isi kandungan al-Quran.

Ya Allah jadikan kami dari ahli al-Quran yang sentiasa membaca, tadabbur & mengamalkannya!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 30/03/2026 / 10 Syawwal 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=915659191284602&set=pb.100085215893583.-2207520000&type=3

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top