Dalil Qudrat Allah S.W.T Di Langit Dan Di Bumi & Rezeki Disediakan

Live Pagi Rabu 01/04/2026 / 12 Syawwal 1447H Selepas Subuh Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Hijr (05) Ayat [16-20]
Full video: https://youtu.be/h08_HexYyy8?si=13Ld0hb-VjHqYaqG
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Hijr dengan ayat 16 sehingga ayat 20 dalam juzuk keempat-belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t bawakan beberapa dalil yang menunjukkan tentang qudrat Allah S.W.T di langit dan di bumi.
- Kemudian Allah nyatakan semua makhluk atas muka bumi ini ada rezekinya masing-masing.
Luas atau sempit, banyak atau sedikit, halal atau haram!
Yakni rezeki semuanya telah Allah sediakan. - Jadi kita orang beriman jadikan rezeki & nikmat yang Allah beri ini untuk lebih mendekatkan lagi diri kita kepada Allah dengan bersyukur dan melakukan kebaikan atas dunia ini.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang puak kafir yang keras kepala tak dengar kata hatta jika mereka dibawa naik ke langit lihat malaikat sendiri atau melihat malaikat yang turun naik ke langit- mereka tetap tidak tidak akan beriman dan mengatakan mereka disihir oleh Nabi s.a.w pula!
ii- maka untuk menjawab syubhat keraguan yang ditimbulkan kumpulan yang mengingkari dakwah & kenabian Rasulullah s.a.w Allah bawa dalil yang dapat diliat oleh mata apa yang ada di langit seperti matahari, bulan, bintang dan lain-lain di sebelah atas (dalil al-Ulwi).
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَلَقَدْ جَعَلْنَا فِي السَّمَاءِ بُرُوجًا وَزَيَّنَّاهَا لِلنَّاظِرِينَ ﴿٦١﴾
Ayat 16- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya.} (Al-Hijr 15:16)
- Allah nyatakan bahawa Dia telah mencipta langit yang berlapis tujuh tingkat dan dijadikan di langit dunia iaitu lapisan yang di bawah sekali itu:
{… bintang-bintang yang berbagai bentuk dan keadaan.} - Mengikut seorang ahli tafsir, Khozin yang ada kajian tentang bintang ini: Terdapat 12 gugusan bintang atau dikenali sebagai buruj (بُرُوج) atau (constellation).
*Bintang-bintang tunggal yang dekat antara satu sama lain membentuk corak-corak buruj, konstelasi atau gugusan yang kelihatan pada seluruh pemandangan langit di atas Bumi pada waktu malam.
- Kita bawa nama-nama buruj ini yang digunakan oleh ahli falak di dalam bahasa Arab & English termasuklah ahli falak alam Melayu seperti Syeikh Tahir Jalaluddin.
12 buruj tersebut ialah:
1) Aries – حمل (Hamal) : 21 Mac – 19 April
2) Taurus – ثور (Thaur) : 20 April – 20 May
3) Gemini – جوزاء (Jauza’) : 21 May – 21 Jun
4) Cancer – سرطان (Sarthan) : 22 Jun – 22 Julai
5) Leo – اسد (Asad) : 23 Julai – 22 Ogos
6) Virgo – سنبله (Sunbulah) : 23 Ogos – 22 September
7) Libra – ميزان (Mizan) : 23 September – 23 Oktober
Scorpio – عقراب (Akrab) : 24 Oktober – 21 November
9) Sagittarius – قوس (Qaws) : 22 November – 21 Disember
10) Capricorn – جدي (Jadi) : 22 Disember – 19 Januari
11) Aquarius – دلو (Dalwu) : 20 Januari – 18 Februari
12) Pisces – حوت (Hut) : 19 Februari – 20 Mac.
*Bintang ini pula terbahagi kepada 28 manzil atau orbit pusingannya.
- Antara tafsir tentang ayat ini ialah firman Allah ini:
{Maha Berkat Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya matahari serta bulan yang menerangi.} (Al-Furqaan 25:61) - Allah juga jadikan bintang itu sebagai hiasan di langit itu bagi orang-orang yang melihatnya:
i- yakni siapa yang perhati tengok dan ambil iktibar kita boleh jadikannya sebagai pengajaran dan lain-lain akan kekuasaan & kebesaran Allah s.w.t.
Jangan lihat saja tanpa berfikir.
- Nota [485]- Mulai ayat suci ni & ayat-ayat berikutnya Allah menerangkan pula tentang kejadian di langit & di bumi, untuk dipandang & diperhati dan difikirkan jalan mengambil faedah darinya dan cara membuktikan tentang keEsaan, kekuasaan dan kebijaksanaan Allah dalam mentadbirkan urusan makhluk terutama sekali terhadap manusia yang sangat berhajat kepada pimpinan dan ajaran Allah melalui rasul-Nya s.a.w.
- Firman Allah s.w.t juga:
{Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang.} (Al-Mulk 67:5)
وَحَفِظْنَاهَا مِن كُلِّ شَيْطَانٍ رَّجِيمٍ ﴿٧١﴾
Ayat 17- {Dan Kami pelihara (urusan) langit itu dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang kena rejam.} (Al-Hijr 15:17)
- Allah juga telah menjaga & kawal langit dari dinaiki syaitan & jin yang jahat lagi hina dengan malaikat yang akan menghalau mereka.
Mereka cuba mengintai curi-curi mendengar rahsia di langit- apa yang Allah sampaikan kepada malaikat untuk disampaikan kepada sekutu mereka dari kalangan manusia!
- Allah telah ceritakan tentang peristiwa ini dalam firman-Nya:
{Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.
Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.} (Al-Jinn 72: 8-9) - Ini kerana sebelum ini jin & syaitan itu boleh naik ke langit lalu mereka mencuri maklumat & rahsia di langit dan turun menyampaikannya kepada para ahli sihir, dukun dan pawang yang menggunakannya pula untuk menipu sesama manusia kerana ramalan mereka akan tepat dengan apa yang berlaku!
Maka orang akan percaya kepada mereka sedangkan mereka terimanya dari syaitan iblis yang dilaknat!
- Tetapi setelah Rasulullah s.a.w dibangkitkan- mereka tidak ada access lagi untuk naik ke langit, langit telah dikawal oleh para malaikat yang menjaganya dari masuk campur tiap-tiap Syaitan yang kena rejam sebagaimana ayat dalam surah Jin di atas!
إِلَّا مَنِ اسْتَرَقَ السَّمْعَ فَأَتْبَعَهُ شِهَابٌ مُّبِينٌ ﴿٨١﴾
Ayat 18- {Kecuali Syaitan yang curi mendengar percakapan (malaikat di langit), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menyala, yang nyata kelihatan.} (Al-Hijr 15:18)
- Kemudian jika ada jin syaitan yang terlepas naik menyelinap ke langit juga- untuk curi mendengar percakapan malaikat di langit dan menyampaikannya kepada pengikut mereka di bumi dari kalangan tukang tilik, tukang nujum dan ahli sihir; yang terlepas sempat mencuri berita ini!
- Maka mereka itu akan diburu oleh para malaikat pengawal dan diikuti dengan rejaman api yang menyala, yang nyata kelihatan dari langit.
Ini adalah seperti tahi bintang atau meteor yang menyambar yang kita sering nampak di langit! - Firman Allah s.w.t juga:
{Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.} (Al-Mulk 67:5) - Ulama’ berbeza pendapat tentang maksud: {(dengan rejaman) api yang menyala,- شِهَابٌۭ مُّبِينٌۭ} ini.
Ada beberapa pandangan yang masyhurnya ia bukan bintang itu sendiri yang dilempar tetapi api yang keluar darinya, seperti yang dipanggil tahi bintang (comet, meteor dan seumpamanya!)
- Al-Qurtubi berkata ulama’ berbeza pendapat juga kesan akibat dari lontaran atau rejaman api tadi.
Apakah ia membunuh syaitan itu atau sekadar membakarnya saja tetapi tetap hidup??
i- Ibnu Abbas berpendapat tahi bintang itu tidak membunuh syaitan itu tetapi hanya melukai, menyakiti dan membakarnya saja.
ii- kata al-Hasan al-Basri pula: Ia membakar dan membunuh jin itu yakni akan mati!
- Hadis Rasulullah S.A.W riwayat dari Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا قَضَى اللَّهُ الأَمْرَ فِي السَّمَاءِ، ضَرَبَتِ المَلاَئِكَةُ بِأَجْنِحَتِهَا خُضْعَانًا لِقَوْلِهِ، كَالسِّلْسِلَةِ عَلَى صَفْوَانٍ
Maksudnya: Apabila Allah menitahkan takdir suatu perkara di langit, para malaikat mengepakkan sayap mereka kerana tunduk takut terhadap Kalimat-Nya, yang didengari seperti gemerincing rantai di atas batu yang licin.
Apabila rasa takut telah dihilangkan dari hati mereka, mereka mengucapkan, “Apa yang telah difirmankan oleh Tunah kalian?”
Mereka menjawab, “Perkataan yang benar. Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar.”
Maka syaitan-syaitan pengintip berita itu pun mendengarkan berita itu.
Mereka berada dalam posisi yang saling bersesak-sesakan -Sufyan R.A (perawi hadis) menggambarkannya dengan mengiringkan telapak tangannya dan merenggangkan jari-jemarinya.
Jika syaitan yang di atas mendengar berita itu, maka segera disampaikan kepada syaitan yang berada di bawahnya.
Kemudian yang lain juga menyampaikan kepada syaitan yang berada di bawahnya hingga sampai kepada tukang sihir dan dukun.
Kadang-kadang syaitan pengintip berita itu terkena panahan api sebelum sempat menyampaikan berita itu.
Ada masa pula syaitan itu sempat menyampaikan berita itu sebelum terkena api. Lalu dengan berita yang didengarnya itulah tukang sihir atau dukun membuat seratus kedustaan.
Orang-orang yang mendatangi tukang sihir atau dukun pun mengatakan, “Bukankah pada hari ini dan itu, dia telah mengkhabarkan kepada kita bahawa akan terjadi demikian dan demikian?”
Akibatnya, tukang sihir dan dukun itu pun dipercayai kerana satu kalimat yang telah didengarnya dari langit. [HR al-Bukhari: 4800].
- Penjelasan hadis oleh al-Biqa’i rhm:
i- Telah diriwayatkan bagaimana sifat jin naik ke langit, iaitu mereka berdiri secara bertindan-tindan, yang satu berdiri atas yang lain sehingga sampai ke langit.
Apabila yang di atas kena panah yang lain menggantikannya.
ii- Kemudian apabila yang teratas sekali dapat mendengar berita, dia akan bisikkan kepada yang dibawahnya dan seterusnya sehingga tiba kepada yang di bumi di bawah sekali.
iii- Mereka ini pun akan menceritakan kepada para tukang tilik, ahli sihir, tukang nujum para peramal yang akan menggunakannya untuk kepentingan dan penipuan kepada orang ramai.
YANG benar hanya satu tetapi mereka akan menambahnya pula dengan 100 atau 1000 pembohongan.
- Yakni para dukun, tukang tilik & ahli sihir ini mungkin dia menyatakan yang benar sekali tetapi 99 kali lagi adalah yang tidak betul!
وَالْأَرْضَ مَدَدْنَاهَا وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَاسِيَ وَأَنبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ شَيْءٍ مَّوْزُونٍ ﴿٩١﴾
Ayat 19- {Dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya.} (Al-Hijr 15:19)
- Allah nyatakan pula dalil tentang tanda kekuasaan-Nya di bumi ini:
i- iaitu Allah jadikan bumi ini sebagai satu hamparan yang luas terbentang {وَٱلْأَرْضَ مَدَدْنَـٰهَا} untuk manusia mudah hidup di atasnya!
Allah jadikan luas bumi ini untuk makhluk berjalan, buat bangunan dan pelbagai binaan.
*Kata ulama’: Luas atau terhampar terbentang ini tidak menafikan bahawa bumi ini bulat kerana terdapa banyak lagi dalil-dalil lain tentang itu.
- Firman Allah juga:
{Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan} (Al-Baqarah 2:22) - Kemudian dalil kedua tentang kekuasaan Allah: {Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri- وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَٰسِىَ}
Allah jadikan gunung-ganang & bukit-bukau itu sebagai pengimbang bagi bumi ini agat tidak bergoncang dan mudah bergegar tanpa sebab.
Jika tidak gempa bumi akan selalu berlaku- kita dalam bahaya selalu runtuh bangunan.
- Firman Allah juga tentang ini:
{Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka;} (Al-Anbiyaa’ 21:31) - Kemudian dalil ketiga tentang kekuasaan Allah di bumi ini juga: {.. serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya-
وَأَنۢبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ شَىْءٍۢ مَّوْزُونٍۢ}-
yakni Allah jadikan atas bukit dan bumi ini pokok-pokok- ada tujuan dan kerjanya yang bermacam-macam.
*Maka hati-hati jangan kita kacau apa yang Tuhan telah buat ini dengan menggondolkan bukit gunung serta hutan yang ada lalu merosakkan ekosistem bumi!
وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَايِشَ وَمَن لَّسْتُمْ لَهُ بِرَازِقِينَ ﴿٠٢﴾
Ayat 20- {Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan hidup, juga Kami jadikan makhluk-makhluk yang kamu bukanlah orang yang sebenar menyediakan rezekinya.} (Al-Hijr 15:20)
- Dalil keempat tentang kekuasaan Allah: Allah jadikan dan sediakan keperluan bagi kita atas muka bumi ini sedemikian makanan & minuman, pakaian dan lain-lain.
- Allah menyediakan pekerjaan serta segala kerja buat bagi setiap makhluk-Nya.
Manusia boleh kerja, berusaha cari makan untuk kehidupannya! - Dalil kelima tentang kekuasaan Allah: Kemudian apabila kita ada anak, haiwan ternakan dan haiwan peliharaan- semua itu Allah juga yang menyediakan rezeki bagi mereka semua- bukan kita.
Tugas kita hanya berusaha untuk mencari dan medapatkannya!
- Beberapa ayat al-Quran yang menceritakan tentang nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita melalui haiwan dan tumbuhan:
{Dan binatang-binatang ternak itu, Ia juga menciptakannya untuk kamu; terdapat padanya benda-benda yang memanaskan tubuh dari sejuk dan beberapa faedah yang lain; dan daripadanya juga kamu makan.
Dan bagi kamu pada binatang-binatang ternak itu, keindahan (yang menarik hati) ketika kamu membawanya balik untuk berihat (pada waktu petang), dan ketika kamu membawanya keluar (pada waktu pagi).
Dan binatang-binatang itu pula membawa barang-barang kamu ke mana-mana negeri yang kamu tidak dapat sampai kepadanya melainkan dengan menanggung susah payah. Sesungguhnya Tuhan kamu Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya.
Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan; dan Ia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya.} (Al-Nahl 16: 5-8)
Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan orang yang bersyukur dengan nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita!
Penutup & Faedah #
- Ayat 16- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya.}
Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini menjadi asal bagi ilmu mengkaji bintang iaitu ilmu falak, ilmu bintang atau astronomi.
Ilmu Falak dan Astronomi ialah bidang kajian jasad samawi (bintang, planet, komet) yang menggunakan kaedah saintifik dan matematik untuk memahami pergerakan serta kedudukannya:
i- Falak lebih berfokus kepada aplikasi praktikal dalam ibadah (arah kiblat, waktu solat, takwim hijriyah).
ii- manakala Astronomi mencakupi kajian kosmologi yang lebih luas- bintang yang besar & langit yang luas!
Allah sebut buruj- merujuk kepada bintang yang bergerak & gugusan bintang yang banyak.
Allah cipta bintang sebagai perhiasan bagi manusia yang melihatnya juga sebagai panduan & kawalan di langit.
- Ayat 16- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya.}-
Allah kata Dia jadikan bintang-bintangn itu sebagai perhiasan langit dunia.
Apabila kita melihat langit pada waktu malam ia tidak kosong atau gelap sahaja tetapi bersinar dan bercahaya dengan bintang-bintang yang seolah berkelipan indah!
Jika tiada bintang sunyi sepi dan tiada panduan.
Ini kerana bintang juga menjadi panduan dan sebagai Kompas bagi kapal & bahtera di lautan bagi pelayar zaman dulu sebelum adanya alat-alat dan gajet modern seperti hari ini.
*Sebagaimana angin menolak layar menggerakkan kapal sebelum enjin tercipta- bintang menjadi penganti Kompas untuk navigasi dan orientasi.
- Ayat 17- {Dan Kami pelihara (urusan) langit itu dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang kena rejam.} –
Allah kata Dia jaga langit dari syaitan yang cuba mencari naik dengan merejamnya dengan bintang!
Syaitan yang keras kepala yang cuba naik juga walaupun dihalang!
Ayat ini menunjukkan bahawa wahyu dari Allah tidak boleh berubah- tidak ada tambahan dan pengurangan kerana ia telah dijaga dari gangguan syaitan!
Apabila malaikat bawa turun kepada Nabi s.a.w- syaitan tak dapat nak usiknya lagi.
Ini menunjukkan bahawa langit itu dikawal dari dinaiki oleh syaitan & jin yang direjam!!!
Mengikut ceritanya dinuqilkan dari pandangan Ibnu Abbas r.a:
Dulu para syaitan iblis bebas naik ke langit, kemudian apabila Nabi Isa lahir- 3 lapis langit ditutup kepada mereka.
Akhirnya apabila Rasulullah s.a.w dibangkitkan seluruh lapisan langir ditutup kepada syaitan-
Kisah zaman Nabi s.a.w ini riwayat yang sahih! Wallahu a’lam!
- Ayat 19- {Dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya.}-
Allah kata Dia lebar bentangkan bumi ini, pasakkannya dengan gunung, tumbuhkan tanaman ikut keperluannya!
Beberapa analisia yang dibuat oleh ulama’ tentang bumi.
Dalil tentang kuasa Allah atas bumi ini ada 7:
i- bumi itu luas.
ii- bukit-bukau yang teguh tidak bergoncang.
iii- tumbuh-tumbuhan yang subur.
iv- Allah turunkan rezeki dari Gedung rezekinya.
v- Allah hantar awan untuk pendebungaan.
v- haiwan ada yang hidup & ada yang mati.
vii- penciptaan manusia!
Kita akan bincangkan dalil yang lain dalam ayat-ayat berikutnya insya’ Allah.
- Ayat 20- {Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan hidup…}-
Allah jadkan atas dunia ini dengan rezeki yang Allah telah sediakan!
Kerana itu kita kena cari rezeki yang halal.
Siapa yang hidup atas dunia ini buatlah kerja dengan ikhlas jangan malas dan curi tulang dan khianat.
Jangan tipu kelentong orang, hutang sana sini, berjanji sana sini, berniaga sana sini tetapi duit tak ada!!!!
Ini kerana tiada keberkatan dari Allah s.w.t dalam kehidupan!
Jika pekerja kena amanah jangan khianat & menipu, ambil harta orang tanpa haq dan seumpamanya- ini semua punca kerosakan atas dunia ini.
Kita minta Allah selamatkan kita di dunia & Akhirat.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 01/04/2026 / 12 Syawwal 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 [14 Siri] Surah Ibrahim [15 Siri] & Surah Al-Hijr (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=917240587793129&set=pb.100085215893583.-2207520000&type=3
Semoga Bermanfaat!
