View Categories

(23) Surah Yunus: Ayat 61-64

13 min read

ALLAH SWT MENGETAHUI SEMUA PERKARA, SIFAT WALI ALLAH & MENERIMA KHABAR GEMBIRA.

Full video : https://youtu.be/h9jS4-4T0Cw?si=CKRy7JWb_qLgR2Lq

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 61 sehingga ayat 64 dalam juzuk kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa ilmu Allah SWT meliputi semua perkara yang di laut, bumi atau langit, kita berada di bawah pengetahuan Allah SWT.
    Kita orang Islam kena merasakan kita berada di bawah muraqobah, pengawasan Allah SWT pada setiap masa.
  1. Kemudian Allah nyatakan siapakah wali Allah dan apakah sifat mereka. 
    Allah sendiri yang menyifatkan mereka. 
  1. Wali Allah akan menerima khabar gembira ketika nak mati di dunia, dan di Akhirat di sambut untuk syurga dan mereka dapat memandang wajah Allah SWT yang mulia.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kedudukan kenabian & risalah Nabi Muhammad SAW. 
    Allah juga nyatakan betapa rosak & punahnya pegangan puak kafir yang berpegang atas syubhah keraguan & syahwat kerakusan!

    ii- Maka datang ayat ini Allah peringatkan bahawa kamu semua sama ada kafir atau Islam, semua perbuatan kamu di bawah ilmu & pengawasan Allah SWT dan akan dihitung & dihisab di Akhirat kelak!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 61- {DAN TIDAKLAH ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) DALAM MENJALANKAN SESUATU URUSAN, DAN TIDAKLAH ENGKAU DALAM MEMBACA SESUATU SURAH ATAU SESUATU AYAT DARI AL-QURAN DAN TIDAKLAH KAMU (WAHAI UMAT MANUSIA) DALAM MENGERJAKAN SESUATU AMAL USAHA, MELAINKAN ADALAH KAMI MENJADI SAKSI TERHADAP KAMU, KETIKA KAMU MENGERJAKANNYA. DAN TIDAK AKAN HILANG LENYAP DARI PENGETAHUAN TUHANMU SESUATU DARI SEHALUS-HALUS ATAU SERINGAN-RINGAN YANG ADA DI BUMI ATAU DI LANGIT, DAN TIDAK ADA YANG LEBIH KECIL DARI ITU DAN TIDAK ADA YANG LEBIH BESAR, MELAINKAN SEMUANYA TERTULIS DI DALAM KITAB YANG TERANG NYATA.} (YUNUS 10:61)

  1. Allah menyatakan dalam ayat ini bahawa ilmu-Nya meliputi segala perkara. 
    Allah mahu kita sedar bahawa kita duduk dalam ilmu & pemerhatian Allah SWT maka jangan sesekali kita berani buat mungkar & dosa maksiat.
    Walaupun khitab ayat ini ditujukan kepada Nabi SAW tetapi ia ditujukan kepada semua manusia termasuk kita semua.
  1. Semua perbuatan kita yang baik atau buruk; Allah tengok, Allah rekod tanda, Allah hitung kemudian akan dibentang, dihitung dan dikira/hisab. 
    Kita semua akan tunduk kepada hisab yang adil di hadapan Allah SWT nanti!
  1. Tidak akan luput yakni terlepas dan terlindung daripada ilmu & pengetahuan Allah sesuatu dari sehalus-halus perkara atau seringan-ringan timbangan yang ada di bumi atau di langit seperti kuman atau semut yang kecil, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar walaupun sebesar gajah!
  1. Yakni yang kecil atau besar, yang ringan atau berat melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata iaitu di Lauh Mahfuz, tidak akan terlepas atau tertinggal satupun!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.} (Al-An’am 6:59)
  1. Ayat ini jelas kepada kita: Ilmu Allah mengatasi segala-galanya! 
    Jika kita beriman dengan ilmu Allah yang meliputi ini kita tidak akan berani buat maksiat, tidak akan cuai menunaikan tanggungjawab & akan makin bersemangat untuk melakukan ibadat.

AYAT 62- {KETAHUILAH! SESUNGGUHNYA WALI-WALI ALLAH, TIDAK ADA KEBIMBANGAN (DARI SESUATU YANG TIDAK BAIK) TERHADAP MEREKA, DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN BERDUKACITA.} (YUNUS 10:62)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan ilmu & pengetahuan-Nya yang meliputi segala perkara.

    ii- Maka datang ayat ini menyatakan orang yang betul-betul takut kepada Allah & mendapat manfaat dari pengetahuan Allah ini adalah para wali Allah.
    Apabila disebut wali, masyarakat kita akan membayangkan seseorang yang pelik & ganjil, biasanya yang tidak terurus penampilannya.
    Yang pelik lagi dari segi amalannya, tidak solat, merokok atas minbar, berpakaian tidak menutup aurat dan seumpamanya yang karut marut.
    Terdapat sebuah buku menarik bertajuk: Perbezaan antara Wali Allah & Wali syaitan.
  1. Maka dalam ayat ini Allah nyatakan siapakah wali Allah & apakah sifat mereka; 
    i- Iaitu mereka yang mendapat kasih sayang Allah, pertolongan & penjagaan Allah.

    ii- Mereka tidak takut untuk menghadapi peristiwa yang akan dihadapi, sama ada semasa mati atau selepas kematian di Akhirat nanti!
    Saat kematian lagi malaikat datang turun tunjukkan tempat mereka yang baik di Akhirat kelak!

    iii- Mereka tidak akan dukacita dengan kesusahan & ujian dalam peristiwa yang lepas atau meninggalkan orang yang tersayang.
    Yakni mereka tidak runsing untuk meninggalkan anak cucu mereka atas dunia ini selepas kematian mereka kerana tahu Allah akan jaga mereka.
  1. Ada seorang ulama’ salaf yang kuat ibadatnya dan apabila ditanya kenapa, katanya kerana dia ingat akan anak cucunya. 
    Dia mahu menjadi orang yang soleh agar Allah menjaga anak cucunya selepas dia tiada nanti, sebagaimana sebuah kisah anak yatim dalam Surah Al-Kahfi:
    {Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh…. } (Al-Kahfi 18:82)
  1. Kita hari ini hanya memikirkan akan masa depan anak cucu kita nak suruh cemerlang dalam pelajaran, pekerjaan dan masa depan yang mana semua yang duniawi, tak ingat akan masa depan Akhirat.
    Maka nak suruh anak cucu kita baik & soleh, datuk nenek apatah lagi ibu bapa kena jadi orang soleh terlebih dulu! 

AYAT 63- { (WALI-WALI ALLAH ITU IALAH) ORANG-ORANG YANG BERIMAN SERTA MEREKA PULA SENTIASA BERTAQWA.} (YUNUS 10:63)

  1. Allah nyatakan lagi sifat utama wali Allah iaitu orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
  1. Nota 328: Ayat suci ini memberi definisi atau ta’rif pengertian untuk mengenal wali-wali Allah iaitu:
    i- Orang yang dikasihi Allah, yang disayangi & dicintai Allah!  

    ii- Mereka ialah orang yang beriman dengan sebenarnya dan bertaqwa dengan sedaya usahanya dan beramal dengan Syari’ah & Sunnah Nabi SAW semampunya. 

    iii- Ini kerana iman itu ialah apa yang tersemat dalam hati & dibuktikan dengan amal perbuatan. 

    iv- Amal perbuatan itu pula ialah melaksana & mengerjakan perintah Allah serta mengikut Sunnah Nabi SAW & berusaha menjauhi larangan Allah.
  1. Kata Imam Syafei RHM: Jika kamu lihat ada orang boleh terbang di udara atau berjalan di atas air; tetapi jika dia tidak berpegang dengan Syari’ah Allah & ajaran Nabi SAW, maka dia bukan wali Allah tetapi wali syaitan! 
  1. Begitulah jika kita cari yang pelik pasti kita akan berjumpa yang pelik, begitu juga jika kita berusaha mencari yang sahih pasti akan berjumpa juga dengan yang sahih!

AYAT 64- {UNTUK MEREKA SAHAJALAH KEBAHAGIAAN YANG MENGEMBIRAKAN DI DUNIA DAN DI AKHIRAT; TIDAK ADA (SEBARANG PERUBAHAN PADA JANJI-JANJI ALLAH YANG DEMIKIAN ITULAH KEJAYAAN YANG BESAR.} (YUNUS 10:64)

  1. Sesiapa nak berjaya, nak selamat maka jadilah wali Allah; iaitu mereka yang memunyai iman yang mantap & jitu, yang hanya bergantung kepada Allah bukan bergantung kepada khurafat & bid’ah. 
    Serta bertaqwa dengan melakukan amal soleh & menjauhi larangan Allah.
  1. Kata Sheikh Al-Fudhail bin ‘Iyadh: Amalan untuk menjadi soleh itu mesti ada dua kriteria:
    i- Ikhlas kepada Allah SWT.

    ii- Bertepatan dengan ajaran Nabi SAW.
  1. Bagi wali Allah ini mereka dapat khabar gembira di dunia sebagaimana janji Allah dalam al-Quran & Sunnah serta khabar gembira dengan beberapa isyarat yang Allah tunjukkan kepada mereka, sama ada melaui mimpi dan seumpamanya. 
  1. Yang paling bahagia ialah ketika mereka nak mati malaikat rahmat turun datang tunjukkan tempat yang baik untuk mereka di Akhirat nanti. Mereka juga mendapat pujian baik dari malaikat dan juga manusia. 
  1. Sebagaimana firman Allah:
    {Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
    “Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh, pada hari akhirat, apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh, pada hari itu, apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.} (Fussilat 41: 30- 31)
  1. Di akhir ayat Allah kata jika Allah berjanji, janji Allah semuanya benar, tidak akan ada perubahan dan tidak akan dimungkiri. 
    Tiada siapa boleh mengubahnya, pasti akan terjadi janji Allah kepada kita.
  1. Semua khabar gembira yang Allah berikan kepada para wali-Nya itu; itulah kejayaan yang besar, kemenangan yang agung, selamat daripada segala yang ditakuti apabila kita sudah menjadi wali Allah! 

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 61- {Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan, dan tidaklah engkau dalam membaca sesuatu surah atau sesuatu ayat dari Al-Quran dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan….}-

    Sehingga akhir ayatnya.
    Allah kata apa saja keadaan kamu, apa yang kamu buat, semuanya di bawah ilmu Allah Azza wa Jalla.
    Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini menjadi pengubat, penawar & penguat kepada orang beriman, kepada wali-wali Allah, bahawa sifat takut kita kepada Allah SWT sama ada ketika kita bersendirian atau di hadapan orang ramai, ketika zahir atau tersembunyi; sama saja.
    Kerana kita yakin bahawa Allah SWT saksikan, tengok & tahu apa yang kita buat setiap masa.

    Kita nak tau kita baik atau tidak, lihat apakah kita melakukan perkara yang baik atau tidak, caranya:
    i- Jika kita suka & mahu orang lihatnya maka itu tandanya kita buat kebaikan, perkara baik.

    ii- Tetapi jika kita malu dan tak mahu orang tahu & lihatnya maka pastilah ia sesuatu perkara yang tidak baik!
    Yang utama sekali Allah SWT nyatakan kepada kita bahawa kita kena sentiasa rasakan kita berada di bawah pemerhatian dan pemantauan Allah barulah penguatkuasaan ini akan berjaya. Jika tidak tidak akan berfungis!
    Penguatkuasa yang paling utama & besar sekali ialah takut kepada Allah al-Khauf dan muraqabah Allah iaitu menyedari dan sentiasa rasa diri duduk dalam pemerhatian-Nya. 
  1. Ayat 61- {…dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah Kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu mengerjakannya.}-

    Dalam ayat ini Allah menyatakan wahai manusia bahawa Allah akan menjadi saksi kepada kamu ketika kamu mencurahkan tenaga & usaha untuk melakukan amal kebaikan.
    Dalam ayat ini Allah menggunakan perkataan {إِذْ تُفِيضُونَ فِيهِ} yang bererti jika kamu mengerah tenaga, curahkan usaha, kerah kekuatan dan seumpamanya untuk beramal kepada Allah, bukan sekadar buat biasa saja.
    Kata para ulama’: Jika dikatakan kami mencurah tenaga untuk melakukan amal; bermakna dilakukan dengan teliti dan bersungguh. 
    Maka jika nak buat amal buatlah betul, ingatlah Allah perhatikan dan lihat semua apa yang kita buat, maka buatlah dengan bersungguh sehingga puas hati jangan maian-main & cincau-cincau!
    Walaupun ayat ini khitabnya kepada Nabi SAW {وَمَا تَكُونُ} tetapi maksudnya untuk kita semua jangan salah faham!
  1. Ayat 61- {… Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar,}-

    Allah tegaskan dalam ayat ini bahawa semua perkara dalam ilmu pengetahuan Allah. 
    Tiada akan ada sesuatu pun yang akan terlepas dari ilmu-Nya yang meliputi sekelian alam ini dan setiap makhluk-Nya.
    Allah jadikan sesuatu yang kecil seperti zarrah atau atom timbangan, sesuatu yang lebih kecil daripada semut yang paling kecil sebagai ukuran. 
    Para ulama’ tadabbur kata: Ayat ini menunjukkan satu kecanggihan & mukjizat ilmu kerana pada waktu itu belun ada lagi teknologi moden seperti mikroskop dan seumpamanya; tetapi Nabi SAW telah bercakap (dengan wahyu dari Allah), membuat bandingan tentang mikro atau atom yang kecil-kecil, yang zaman sekarang ini tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
    Begitu juga sebagaimana Allah buat bandingan dengan nyamuk dalam al-Quran, nampak seolah hanya seekor binatang yang biasa tetapi hakikatnya pada hari ini terdapat pusat kajian khas tentang nyamuk di universiti-universiti terkemuka di dunia seperti: 
    Beberapa universiti di Amerika Syarikat seperti Universiti Auburn dan Universiti California mempunyai penyelidik yang mengkaji nyamuk, sama ada dalam membangunkan fabrik anti nyamuk atau mendalami cara penularan virus seperti Zika. 
    Selain itu, universiti-universiti seperti Yale dan Harvard juga menyumbang kepada kajian dan perbincangan global berkaitan kawalan nyamuk dan isu kesihatan awam. 
    Universiti Monash, Australia pula mempunyai inisiatif World Mosquito Program yang bekerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk di Amerika, untuk mengurangkan penyakit yang dibawa nyamuk.
    Ini menunjukkan betapa nyamuk itu satu haiwan yang mempunyai kesan yang besar dalam kehidupan manusia.
  1. Ayat 62- {Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.}-

    Allah nyatakan siapakah mereka wali Allah yang sebenar.
    Iaitu mereka yang mengumpulkan iman yang jitu & murni kepada Allah, dengan taqwa & amal kepada Allah.
    Iaitu sama ada amalan yang zahir & batin, semuanya ikhlas kepada Allah SWT.

    Awas sebahagian ajaran sesat membezakan maksud amalan zahir & batin- mereka kata:
    i- Yang zahir ialah orang Islam biasa yang wajib solat dan buat lain-lain ibadat dengan zahir.

    ii- Manakala yang batinnya ialah mereka puak hakikat yang tidak perlu solat & buat lain-lain ibadat lagi dengan amali tetapi cukup dengan niat saja kerana sudah tinggi maqam mereka. 

    Begitulah doktrin karut, ajaran sesat agar taksub & fanatik kepada tok guru masing-masing, mengangkat syeikh atau guru mereka sebagai wali, bahkan ada sesetengah syeikh yang tak solat pun dipuja dipuji, dianggap sudah solat di Makkah atau di atas arasy!
    Inilah tahap mengarut & pembodohan yang melampaui!!!
    Sesiapa yang sangka atau anggap ada orang yang mampu & boleh keluar dari Syari’ah Allah ajaran Nabi SAW, seperti tak perlu solat, puasa dan seumpamanya DAN boleh buat benda haram seperti bersalam lelaki perempuan apatah lagi anak murid kena serah diri kepada tok Syeikh atas nama berkat dan seumpamanya, maka itulah ajaran sesat!
    Dia telah keluar daripada ajaran Syari’ah Islam yang sebenar.
    Nabi SAW sendiri pun orang yang paling dekat dengan Allah SWT pun beramal ibadat sehingga bengkak kakinya! 
    Sesiapa yang menyalahi Syari’ah Allah, menyalahi ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW itu bukan wali tetapi wolo!!! 
    Sesiapa yang ikut juga orang yang tidak betul!
    Wali Allah ialah mereka ini tidak takut untuk bertemu dengan Allah & tidak sedih untuk melepaskan nikmat dunia dengan meninggalkan harta & keluarga, kerana apa yang ada di sisi Allah itulah yang terbaik.
  1. Ayat 64- {Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat;}-

    Bagi orang yang beriman & beramal soleh; bagi mereka khabar gembira di dunia & Akhirat.
    Di dunia ini khabar gembira dengan dapat kebaikan, hidup dengan tenang, solet, beribadat, beramal dengan Sunnah, anak murid pula tidak melampau dan fanatik, dengar kata dengan mengikut Syari’ah.
    Apabila nak mati malaikat datang membawa khabar gembira, seperti dalam ayat Fussilat tadi, tidak sedih dan takut meninggalkan dunia selamat berangkat bertemu Allah.
    Kita mengharapkan Allah masukkan kita dalam golongan ini, jadilah kita wali Allah yang beriman & bertaqwa.
    Ketika atas dunia lagi kita mendapat khabar gembira, ketika nak mati dapat khabar gembira, di dalam kubur pun gembira, nak keluar dari kubur pun mendapat khabar gembira & bergembira dengan keluarga & orang yang kita sayangi di dalam syurga nanti!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top