JANGAN SEDIH DENGAN TUDUHAN KAFIR, KEMULIAAN HANYA BAGI ALLAH SWT & AGAMA KAFIR HANYA SANGKAAN SAHAJA.
Full video : https://youtu.be/QEVteq5Eip8?si=FUC-mjWMW0blKUiY
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 65 dan ayat 66 dalam juzuk kesebelas.
- Dalam siri ini Allah SWT Allah perintahkan kepada kita, khususnya kepada Nabi SAW agar sabar jangan sedih dengan tuduhan kafir.
Apa orang kata kita sabar jika kita tahu apa yang kita bawa itu benar!
Jika tidak kita kena muhasabah dan fikir lalu cuba baiki apa yang tak kena.
Jangan nasihat yang baik dianggap sebagai celaan atau ejekan pula!
Orang yang berfikiran waras dan terbuka akan periksa dan muhasabah apa yang tak kena.
- Ini kerana kemuliaan itu mutlak hanya bagi Allah SWT.
Jika berlawan dengan orang kafir ia mutlak untuk Allah, manakala jika berlawan dengan munafiqin yang hina Islam; maka kemuliaan itu milik Allah, Rasulullah SAW & orang mukmin semuanya!
- Allah tegaskan bahawa milik Allah langit & bumi manakala agama kafir itu hanya sangkaan sahaja, sangkaan & rekaan yang karut.
Sedangkan agama Islam adalah agama yang berpaksi kepada nas & dalil yang kukuh dari Allah SWT & dari Nabi SAW!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang aqidah puak kafir & segala syubhat keraguan yang mereka timbulkan.
Allah SWT juga telah menjawab segala yang mereka timbulkan itu, tetapi mereka masih lagi mencabar Nabi SAW.
ii- Maka datang ayat ini Allah nak tenangkan hati Nabi SAW, sabarlah wahai Rasulullah, sedangkan puak kafir itu sudah kenal kamu sejak dari awal lagi sebagai seorang yang berintegriti & akhlak mulia, bahkan mereka menggelarkan kamu dengan gelaran al-Amin, seorang yang amanah& jujur, tak pernah bohong dan tipu orang!
Tetapi setelah kamu dilantik ke jawatan rasul ini yang berlawan dengan aqidah mereka yang sesat, maka kamu kena besedialah menerima tentangan, kutukan & caci-maki kata-kata buruk mereka.
Kamu terimalah dengan sabar, jangan sedih jangan dukacita & kecewa.
- Satu-satu Allah beri nasihat agar kita tidak lagha, tidak kecewa dan stress apabila orang lawan & tolak ajaran yang kita cuba sampaikan.
Kita cubalah menyampaikan yang benar berdasarkan fakta & dalil yang ada dengan kita dari Kitab al-Quran, Sunnah Nabi SAW dan pandangan-pandangan para ulama’ yang muktabar!
Kita apabila baca al-Quran usahakan biar ada terjemahan sekali, barulah kita boleh baca dengan hati & akal.
Seperti kuliah harian kita ini, walaupun ringkas biar ada setiap hari untuk kita tadabbur & tangkap makna al-Quran.
Yang penting kita ada usaha, celik mata, buka telinga untuk faham apa yang Allah nak kata kepada kita.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 65- {DAN JANGANLAH ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) MERASA DUKACITA DISEBABKAN KATA-KATA MEREKA YANG INGKAR ITU; KERANA SESUNGGUHNYA SEGALA KEKUASAAN TERTENTU BAGI ALLAH; DIA LAH YANG MAHA MENDENGAR, LAGI YANG MAHA MENGETAHUI.} (YUNUS 10:65)
- Allah menasihati Nabi SAW agar jangan sedih & dukacita dengan perbuatan & perkataan puak kafir yang ingkar menentang ini. Perkataan mereka jangan dilayan.
- Berdasarkan dari ayat-ayat yang lepas, antara perbuatan jahat mereka ialah:
i- Mereka buat hukum sendiri seperti menghalalkan yang haram atau sebaliknya & dakwanya dari Allah. Inilah yang paling jahat.
ii- Mereka memerli dan mengata, menghina ajaran Nabi SAW dan Baginda sendiri!
iii- Tidak mahu menerima yang benar walaupun jelas di depan mata mereka!
- Kata Ibnu Asyur: Walaupun ayat ini khitab kepada Nabi SAW secara peribadinya kerana ayat ini turun kepada Baginda.
Tetapi sekaligus ayat ini juga ditujukan kepada para sahabat Nabi SAW agar bersabar, jangan sedih dengan tentangan terhadap Nabi SAW, bertahan menghadapi tentangan mantapkan aqidah, lawan ancaman puak kafir!
Kerana segala kemuliaan & kekuatan {izzah} adalah milik Allah SWT.
Kita orang Islam apabila berlawan dengan orang kafir kena tunjuk izzah ini!
- Kita hari ini pun masih ada karenah & agenda jahat puak kafir yang sentiasa cuba meremeh menghina Islam, provokasi yang berterusan terhadap Islam dan umatnya!
Tetapi ingat, makin dikhianati Islam akan makin diminati & berkembang.
Orang yang tak kenal Islam sebelum itu akan cuba mengenal & mengkaji Islam dengan lebih dekat, apabila faham & kenal Islam mereka akan jatuh cinta & nampak kebenaran Islam yang mulia!
Lebih banyak buku-buku tentang Islam & Sirah Nabi SAW ditulis dan tersebar.
- Begitu juga kita yang cuba nak menyebarkan Sunnah ini akan dimomokkan dengan pelbagai tuduhan jahat untuk menakutkan & menjauhkan orang ramai dari ilmu ini!
Buatlah fitnah atas dunia ini jika kamu tak takut kepada Tuhan & tak ingat akan hari Kiamat!
Gunalah fake akaun, guna nama jin atau syaitan, malaikat tahu siapa kamu walaupun terlepas atas dunia ini.
- Sabarlah insya’ Allah, Allah angkat darjat & beri pahala kepada mereka yang dituduh dan difitnah ini.
Begitulah Sunnaatullah, kebenaran akan terbongkar juga akhirnya, orang yang dihina difitnah itu akan lebih dikenali dan dikagumi.
- Kaki fitnah ini pula biasanya mereka suka menghasut kepada pemerintah atau penguasa, sehingga orang yang difitnah boleh diambil tindakan dan dijatuhkan hukuman ke atasnya. Sama ada dipulau, disekat, digam dan seumpamanya, bahkan mungkin dipenjara dan disiksa!!
Sebagaimana berlaku kepada imam-iman besar sebelum ini; Imam Ahmad yang dipenjara & dipukul, Imam Bukhari pula terbuang dari tempatnya sendiri dengan pelbagai tuduhan, tetapi akhirnya terbilang di persada dunia.
Namanya disebut di dalam segala masjlis ilmu, buku-buku tulisan dan semuanya!
- Ini kerana segala kemuliaan & kekuatan {izzah-ٱلْعِزَّةَ} adalah milik Allah SWT.
Kita orang Islam apabila berlawan dengan orang kafir kena tunjuk izzah ini!
- Ahli tafsir kata: Allah SWT-lah yang tunggal & Esa yang memiliki kekuatan dan kekuasaan atas dunia & Akhirat, bagi Allah kekuatan yang sempurna & kemenangan yang syumul!
Maka wahai Muhammad SAW, kamu jangan bimbang, kamu ditentang kerana kamu dilantik menjadi rasul, Allah akan tolong & bantu kamu, Allah akan jaga kamu daripada disakiti oleh puak kafir!
- Tetapi kenapa pernah juga Nabi SAW disakiti seperti dipukul dan dicampak perut unta dan lain-lain.
Di manakah pertolongan Allah?
Kita kata ujian adalah untuk menngangkat darjat.
Juga jika Nabi SAW dijaga 100%, solid oleh Allah, terpijak duri pun tidak, setitik darah pun tidak pernah tumpah; jadi bagaimana para sahabat & kita semua nak meneruskan dakwah & perjuangan Baginda SAW, jalankan tugas dakwah ini tanpa jagaan mukjizat begitu???
- Maka Allah buka ruang untuk Rasulullah SAW menghadapi semua ujian itu dengan berlakunya ujian seperti patah gigi, berdarah muka, dikepung dalam gua dan lain-lain.
Ujian-ujian ini adalah siri tarbiyah Rabbaniyyah Allah didik jiwa Nabi SAW bagi mendidik umatnya pula para pendakwah agar kita tahu siapa kita, serta agar kental jiwa & sabar menghadapi cabaran dalam perjuangan ini!
- Yakinlah, pertolongan & jagaan Allah itu sentiasa ada cuma Allah nak didik & tarbiyah kita agar tabah & sabar menghadapi ujian!
Biasanya selepas ujian kita akan dapat lihat kesan kebaikannya.
Setelah hujan turun akan tumbuhnya tumbuhan yang indah & bermanfaat!
Yakni selepas ujian pasti ada nikmat yang datang.
- Allah tutup ayat ini dengan firman-Nya:
i- Dia lah Yang Maha Mendengar, segala yang hamba-Nya kata, dalam kes ini apa yang puak kafir kata kepada Nabi SAW.
ii- Lagi Yang Maha Mengetahui semua keadaan hamba-Nya, apa yang puak kafir buat terhadap Nabi SAW dan apa yang ada dalam hati mereka!
- Sabarlah para pencinta Sunnah, kita akan bertemu nanti dengan orang yang khianat dan menentang kita di dunia ini.
AYAT 66- {INGATLAH! SESUNGGUHNYA BAGI ALLAH JUALAH SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI DAN BAHAWA MEREKA YANG MENYEMBAH SESUATU YANG LAIN ALLAH SEBAGAI SEKUTUNYA, MEREKA TIDAK MENURUT (SESUATU KEYAKINAN), MEREKA HANYA MENURUT SANGKAAN SEMATA-MATA, DAN MEREKA HANYALAH ORANG-ORANG YANG SENTIASA BERDUSTA.} (YUNUS 10:66)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat 65 yang lepas Allah nyatakan bahawa kemuliaan, kekuasaan, kekuatan & kemenangan itu hanya bagi Allah!
ii- Maka dalam ayat ini Allah jelaskan siapakah Allah itu?
Iaitu Pemilik langit & bumi dan segala yang ada di antara keduanya.
Allah mampu buat apa yang Dia nak, bukan apa yang kita nak!
Allah sahajalah yang kita berhak untuk tujukan ibadat kepada-Nya!
- Ayat ini tempelak & celaan pada puak musyrik yang menyekutukan Allah, tiada dalil & hidup mereka hanya dalam sangkaan semata-mata.
Apakah dalil, sandaran dan tempat berpaut wahai puak kafir apabila kamu menuduh Allah itu ada sekutu, partner & syarik????
Tiada sandarannya kecuali diambil dari syaitan!
- Apa yang diikuti oleh puak kafir dalam tuduhan & dakwaan mereka itu hanyalah dakwaan & sangkaan tanpa dalil.
Mereka kata hanya ikut nafsu & syaitan!
- Mereka hanya mencipta pembohongan terhadap Allah tanpa ilmu, penilaian dan dakwaan tanpa sandaran {يَخْرُصُونَ}, mereka hanya ikut otak & nafsu mereka berdasarkan ajaran syaitan.
Kita minta perlindungan Allah daripada dibiarkan terumbang tanpa petunjuk & bimbingan Allah SWT!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 65- {Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu;…}-
Kamu jangan sedih wahai Nabi SAW dengan kata-kata buruk mereka!
Puak kafir itu kata Nabi bukan rasul, mereka juga serang peribadi Nabi SAW dengan mengatakannya anak yatim & pengembala kambing!
Mereka tidak sebut & tak mahu ingat pula bahawa Baginda adalah dari keturunan yang mulia juga, datuknya Abdul Mutalib & bapa saudaranya Abu Talib adalah penguasa Makkah dan antara pemuka Quraisy yang terhormat di Makkah.
Apatah lagi Abu Lahab yang juga bapa saudaranya, penentang Islam & Rasulullah SAW yang amat jahat!
Jangan sedih & terkesan dengan kata-kata mereka yang mengatakan kamu Nabi, tak layak jadi & atau al-Quran hanyalah dongengan orang dahulu kala!
Kita telah baca dalam kitab-kitab Sirah betapa banyak tuduhan jahat yang mereka buat ke atas Nabi SAW & Baginda hanya bersabat!
Yang lebih jahat lagi mereka menuduh Tuhan ada rakan sekutu, partner atau syarik!
Ayat ini menjadi pedoman, garis panduan kepada kita sebagai pendakwah!
Apabila kita memilih jalan ini, jalan untuk berdakwah dan mengajak orang kepada al-Quran & Sunnah Nabi SAW, tak mahu khurafat & karut-karut maka kita kena sabar!
Jika kita tak sabar kita akan hilang keduanya; pahala untuk Akhirat tak dapat & peluang atau pangkat untuk naik atas dunia ini juga terlepas!
Menarik kitab (Terbuang tetapi Terbilang) iaitu buku tentang para imam & ulama’ yang tertuduh & terfitnah.
Biarlah kita terbuang,jika benar kerana Allah, berpegang dengan Sunnah, insya’ Allah suatu hari nanti kita akan menjadi orang yang terbilang di sisi Allah & orang mukmin.
- Ayat 65- {… kerana sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi Allah;}-
Segala kemulian itu milik Allah {لِلَّهِ}.
Dalam ayat ini Allah SWT menyatakan mutlak kemulian, kekuasaan & kekuatan itu semata-mata milik Allah.
Yakni bagi Allah kuasa untuk Dia beri kemenangan kepada sesiapa yang Dia mahu beri kemenangan dan tidak akan beri kepada siapa yang tidak dikehendaki-Nya!
Contoh terdekat: Peperangan Badar: Bilangan tentera Islam hanya 313 orang tetapi bagaimana mereka boleh menang mengalahkan tentera Abu Jahal yang mempunyai kekuatan tentera & senjata yang lengkap, bekalan yang cukup, siap dengan arak & penyanyi lagi, tetapi mereka telah dikalahkan dengan hina!
Kerana itu kata ulama’: Kemenangan itu bukan sentiasa duduk dengan bilangan yang ramai.
Betapa banyak golongan sedikit mendapat kemenangan dengan izin Allah.
Tetapi nak dapatkan kemenangan & pertolongan Allah itu perlukan SOP & syaratnya juga, bukan mudah-mudah, bukan kata asal atas nama Islam boleh menang!
Tetapi apabila cukup syarat, cukup masanya & tiba tempohnya, insya’ Allah kemenangan itu akan datang!
Maka sabarlah, Allah akan beri kemenangan kepada siapa yang Dia nak beri.
Dalam ayat ini Allah kata bahawa sesungguhnya kemuliaan itu semata-mata milik Allah.
Maka jika kita nak mulia duduklah di bawah arahan Allah, ikutlah Sunnah Nabi SAW.
Jika nak kemenangan perlu menghadapi pahit maung, susah payah dalam perjuangan itu lumrah hidup.
Jika Nabi pun diuji kenapa kita tidak boleh diuji?
Maka sabarlah insya’ Allah kemenangan akan terserlah, dari sehari ke sehari, orang yang ikut Sunnah makin ramai!
- Ayat 65- {… kerana sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi Allah;}-
Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa kemuliaan itu mutlak bagi Allah SWT! {إِنَّ ٱلْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا}
Tetapi dalam ayat ini pula Allah berfirman:
{Mereka berkata lagi: “Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)”. Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).} (Al-Munafiqun 63)
Macamana kita nak faham, dua ayat ini berbeza dari sudut maknanya!
Jawapan:
i- Dalam Surah Yunus Ayat 65 ini kerana nak lawan dengan puak musyrikin yang kata Allah ada sekutu, ada partner, maka nak batalkan, nak kondem dakwaan syirik itu, Allah tegaskan segala kemuliaan itu milik Allah tiada sekutu baginya, mutlak!!!
ii- Manakala dalam Surah Munafiqin Ayat 6-
Allah kata kemuliaan itu disertai juga oleh Allah, Nabi SAW & orang mukmin semuanya.
Ini kerana nak lawan puak munafiqin yang mengatakan orang Islam adalah orang yang hina manakala mereka munafiq adalah orang yang mulia.
{Mereka berkata lagi: ” Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)”.}
Lalu Allah terus menjawabnya untuk menolak & membatalkan dakwaan batil mereka itu dengan berfirman:
{Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).}
Yakni kemuliaan mutlaknya adalah bagi Allah tetapi Rasulullah SAW pun mulia, orang mukmin pun mulia; manakala yang hinanya ialah puak munafiq!
Kata para ulama’:
i- Kemuliaan bagi hak Allah ialah kekuasaan-Nya yang mutlak!
ii- Kemulian bagi Rasul SAW, agamanya dipilih & dihantar oleh Allah.
Nabi SAW membawa ajaran yang mulia maka Baginda adalah seorang yang mulia.
iii- Kemuliaan orang mukmin; mereka akan mendapat pertolongan Allah SWT.
Sebagaimana dalam ayat sebelum ini Allah kata Dia akan jaga para wali-Nya, iaitu Allah yang Maha Agung, Pemilik bumi & langit; maka wali Allah jangan takut!
Kita hari ini jangan sibuk & kalut dok cari siapakah wali Allah.
Kerana telah jelas Allah nyatakan bahawa wali adalah orang yang beriman, yang bertaqwa!
Tetapi kita tidak nafikan antara wali Allah itu ada yang tinggi darjatnya & yang rendah.
Ada yang lebih alim & hebat, serta ada sebahagian mereka Allah beri kepada mereka kemuliaan dan karamah!
Ini ada dan kita percaya serta beriman dengannya.
Masalahnya kita nak menyedarkan masyarakat & apa yang kita nak tolak ialah orang yang mengaku wali, asalkan tok gurunya, para pengikut yang taksub terus menabalkan mereka sebagai wali!
Kita jangan terpengaruh kerana kita sudah tahu sifat wali yang Allah nyatakan.
- Ayat 66- {Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi…- أَلَآ إِنَّ لِلَّهِ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَن فِى ٱلْأَرْضِ}-
Dalam ayat ini Allah gunakan perkataan {من} yang bererti siapa iaitu untuk makhluk yang berakal bukan guna perkataan {ما} yang bererti apa.
Kenapa guna siapa sedangkan di langit dan di bumi ada semuanya makhluk yang berakal dan tidak berakal juga seperti matahari bulan bintang dan segala planet cakerawala serta ada malaikat jin syaitan dan manusia semuanya???
Jawapannya:
i- Atas dunia ini tidak kiralah di langit atau di bumi, ada batu atau kayu; tetapi kerana manusia ini yang mukallaf, iaitu yang ada tanggungjawab Syari’ah, malaikat yang berakal pula makhluk yang mulia, manakala jin syaitan juga ada akal;
ii- Maka digunakan perkataan {من} untuk menunjukkan kemuliaan Allah yang memiliki semua makhluk sama ada yang berakal atau tidak.
Juga sebagai untuk memuliakan kita makhluk yang berakal daripada yang tidak berakal.
Disebut kita yang berakal kerana kitalah yang akan mendapat faedah daripada ayat-ayat Allah & apabila kita beriman dengan Allah SWT!
- Ayat 66- {… dan bahawa mereka yang menyembah sesuatu yang lain Allah sebagai sekutuNya, mereka tidak menurut (sesuatu keyakinan), mereka hanya menurut sangkaan semata-mata,…}-
Puak kafir itu, yang syirik & yang buat tuduhan bermacam-macam terhadap Allah, agama mereka adalah agama sangkaan & agakan semata-mata bukan agama yang berpaksi kepada dalil & bukti yang nyata!
Maka kita orang beriman bersyukur kepada Allah di atas nikmat akal yang Allah berikan kepada kita.
Bila ada akal kita boleh berfikir & apabila kita tadabbur al-Quran kita nampak ayat-ayat Allah; sama ada ayat al-Quran yang kita baca atau kepada ayat manzuroh yang boleh kita lihat!
Maka akan terserlah dalam hati kita bahawa adanya Allah, Pencipta yang Maha Agung Maha Mulia.
Kita realisasikan keagungan Allah dalam hati kita dengan mempelajari nama-nama Allah yang indah & sifat-sifat Allah yang Maha Tinggi.
Penghayatan itu penting iaitu bukan belajar sahaja, wajib menghayatinya barulah kita akan ada benteng iman yang akan menyekat kita daripada melakukan segala perbuatan & perkataan yang tidak baik!
Sekarang bukan waktu polemik atau berkelahi, tetapi waktu kita nak menghayati sifat-sifat Allah dalam kehidupan kita dan kehidupan anak-anak kita, barulah hilang segala penyakit atas dunia ini dengan izin Allah.
Agama kafir hanya agama agakan manakala agama Islam adalah agama berpaksikan kepada al-Quran & Sunnah.
Semoga kita termasuk dalam pencinta al-Quran & Sunnah.
Sabarlah wahai para pencinta Sunnah walaupun orang buat tuduhan & tohmahan; insya’ Allah yang terbuang akan jadi terbilang akhirnya.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
