ALLAH SWT MENGADAKAN MALAM DAN SIANG, KAFIR MEMBUAT TUDUHAN SYIRIK & AKAN DIAZAB YANG BERAT.
Full video : https://youtu.be/cyLvEhTT_hA?si=KFDIAlxKzo_5e9HU
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 67 sehingga ayat 70 dalam juzuk kesebelas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa Allah SWT yang mencipta malam dan siang.
Malam tenang untuk kita diam berehat di rumah masing-masing manakala siang sibuk untuk kita bergerak, keluar mencari rezeki & kehidupan.
- Puak kafir yang keras kepala membuat tuduhan jahat kepada Allah dengan syirik iaitu mengatakan Tuhan ada anak.
Tetapi mereka tak tahu siapa atau tak jumpa anaknya; lalu berebut yahudi mendakwa Uzair anak Allah, nasrani dakwa Isa anak Allah manakala Arab musyrikin mendakwa malaikat sebagai anak Tuhan.
- Lalu Allah beri amaran keras siapa yang buat jahat & syirik atas dunia ini, jika terlepas atas dunia yang sementara ini, akan diazab yang cukup besar & berat di Akhirat kelak.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang tuduhan puak kafir ke atas Allah seperti Tuhan ada partner, ada rakan kongsi dalam mencipta & mentadbir makhluk-Nya serta nak tolak dakwaan puak kafir bahawa berhala mereka sebagai perantara.
ii- Maka datang ayat ini mengandungi isi kandungan menolak membantah segala apa yang dituduh ke atas Allah itu.
Allah menyatakan tidak, bahkan Allah yang berkuasa penuh menjadikan malam & siang untuk kamu.
Siang cerah untuk keluar mencari rezeki manakala malam yang gelap untuk manusia berehat; tetapi sekarang manusia telah ubah jadual yang asal ini!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 67- {DIA LAH YANG MENJADIKAN MALAM BAGI KAMU SUPAYA KAMU BEREHAT PADANYA, DAN MENJADIKAN SIANG TERANG-BENDERANG (SUPAYA KAMU BERUSAHA). SESUNGGUHNYA PERUBAHAN MALAM DAN SIANG ITU MENGANDUNGI TANDA-TANDA (YANG MENUNJUKKAN KEKUASAAN ALLAH) BAGI KAUM YANG MAHU MENDENGAR (KETERANGAN-KETERANGAN YANG TERSEBUT DAN MENGAMBIL PELAJARAN DARIPADANYA).} (YUNUS 10:67)
- Allah yang Maha Kuasa yang tunggal, yang tidak ada sekutu bagi-Nya, yang berkuasa telah menciptakan untuk kamu manusia:
i- Malam yang gelap untuk kamu berehat, diam di rumah, setelah seharian kamu bekerja membanting tulang, memerah otak, Untuk berehat & beribadat kepada Allah.
ii- Siang yang cerah, terang benderang untuk kamu bergerak keluar dari rumah mencari rezeki seperti bekerja, belajar dan seumpamanya.
- Inilah rutin asal fitrah manusia sebelum ditukar & ubah oleh manusia!
Siang untuk dunia, malam untuk kita berehat & ibadat kepada Allah.
Sekarang ini siang manusia tidur tetapi malam keluar dari rumah sama ada untuk kerja, cari makan, riadah atau cari hiburan.
Kedai makan yang 24 jam itu menyalahi fitrah semulajadi manusia.
Ada setengah negara yang awal malam sudah tutup kedai-kedianya, jika ada yang buka itu hanya bar-bar tempat manusia berhibur dan mabuk-mabuk!
- Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah yang dapat dilihat (manzurah) bagi manusia yang mahu berfikir akan kekuasaan Allah, dia dengar al-Quran & dia tadabbur mengambil pelajaran darinya.
- Satu lagi yang ajaibnya- Nabi SAW ajar untuk kita balik dan masuk ke rumah pada waktu maghrib, pangil anak-anak & tutup pintu; tetapi manusia hari ini pergi healing daki bukit, daki gunung, pergi ke laut cari sunset, nak lihat matahari terbenam pula.
- Semua itu tanda & dalil bagi orang yang mendengar ayat yang dibaca (الآيات المقروءة) dan ayat-ayat yang dapat dilihat (الآيات المنظورة). Kamu ambil iktibar bahawa semua itu sebagai dalil & tanda bahawa alam ini ada Pencipta yang Maha Agung lagi berkuasa, yang mentadbirnya dengan begitu sempurna tanpa kacau & kemalangan.
Kerana itu tak pernah lagi kita dengar matahari & bulan eksiden atau tertukar jadual, malam dan siang tidak bertukar pada waktunya dan kekurangan yang seumpamanya.
AYAT 68- {MEREKA BERKATA: “ALLAH MEMPUNYAI ANAK” MAHA SUCI ALLAH (DARI APA YANG MEREKA KATAKAN ITU)! DIA LAH YANG MAHA KAYA; SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI ADALAH KEPUNYAANNYA; TIDAKLAH ADA SEBARANG KETERANGAN DI SISI KAMU YANG MEMBUKTIKAN APA YANG KAMU DAKWAKAN ITU. MENGAPA KAMU BERANI MENGATAKAN TERHADAP ALLAH, APA YANG KAMU TIDAK MENGETAHUINYA?} (YUNUS 10:68)
- Puak kafir ini membuat tuduhan bahawa Allah ada anak, tetapi dalam masa yang sama mereka nanar tak tahu di mana & siapa anak itu lalu mereka-rekanya pula:
i- Yahudi kata Uzair itu anak Tuhan
ii- Nasrani pula kata Isa itu anak Tuhan
iii- Kafir Arab pula kata malaikat itu anak Tuhan.
iv- Kafir sekarang ada yang kata tak ada Tuhan terus apatah lagi anak isteri.
- Kita alhamdulillah kita beriman dengan Allah bahawa:
{Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
“Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
“Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;
“Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.} (Al-Ikhlas 112: 1-4)
Ini aqidah kita- kita yakin, kita beriman bahawa Allah yang Esa dan Tunggal tidak beranak & tidak diperanakkan!
- Allah menafikan semua itu dengan mengatakan Maha Suci Allah dari segala tuduhan jahat yang mereka katakan itu!
Dia lah Yang Maha Kaya; segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaanNya.
- Allah terkaya tidak perlu kepada isteri, anak dan mana-mana makhluk.
Allah cipta kita ini untuk kita, bukan untuk Dia! Allah cipta dunia ini, sediakan syurga & neraka untuk manusia semuanya!
- Oleh kerana Allah terkaya tidak perlu kepada anak. Tetapi kita manusia perlu kepada anak kerana pertamanya kita perlukan pasangan, kemudian nak anak pula sebagai perhiasan hidup ketika kecil, sebagai teman apabila dewasa dan diharapkan sebagai penolong & penjaga kita semasa tua pula.
- Oleh kerana Allah itu tidak perlu kepada manusia & makhluk semua itu pastilah Allah tidak perlu kepada anak, pasangan dan seumpamanya seperti kita manusia yang lemah.
- Sedangkan tidak ada dalil & hujjah di sisi puak kafir tentang tuduhan mereka kepada Allah.
Iaitu bahawa Allah ambil anak dari kalangan makhluk sebagai anaknya sendiri atau anak angkat!
Berani puak kafir itu mengatakan kepada Allah sedangkan mereka tidak tahu hakikat sebenar!
Mereka nisbahkan kepada Allah sesuatu yang mereka sendiri jahil & tidak ada dalil & tidak pasti tentangnya!
Kata ulama’: (بل سلطان العلم اعظم من سلطان اليد) Bahkan kuasa ilmu itu lebih kuat daripada kuasa akta!
Kerana dengan ilmu kita ada fakta & boleh berhujjah, berlawan dan apabila orang terima dia akan terima dengan hati.
Manakala akta orang hanya terima kerana terpaksa!
AYAT 69- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MENGADA-ADAKAN SESUATU YANG DUSTA TERHADAP ALLAH, TIDAK AKAN BERJAYA”.} (YUNUS 10:69)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan dengan dalil bahawa dakwaan puak kafir bahawa Tuhan ada anak itu hanya satu ucapan yang batil & mengarut;
ii- Lalu datang ayat ini Allah tegaskan bahawa apa yang mereka dakwa itu tidak ada dalil sandaran & maklumat yang sahih.
Mereka hanya buat tuduhan jahat & palsu ke atas Allah dengan satu tuduhan yang amat tidak layak bagi Allah.
Maka mereka lansung tidak akan dapat kemenangan di dunia apatah lagi di Akhirat.
Kita minta perlindungan daripada dibiarkan Allah tanpa perintah bimbingan.
- Sesungguhnya kumpulan yang membuat dusta kepada Allah dengan mengatakan Tuhan ada anak; mereka tidak akan selamat, tidak akan bahagia dan aman di dunia lagi apatah lagi di Akhirat.
Ini kerana mereka tuduh tanpa bukti, mengata kepada Allah dalam perkara yang Allah tidak suruh & tidak izinkan.
Ini adalah jenayah yang cukup jahat!
AYAT 70- {(APA YANG MEREKA BEROLEH HANYA) KESENANGAN DI DUNIA, KEMUDIAN KEPADA KAMILAH TEMPAT KEMBALINYA MEREKA. KEMUDIAN KAMI AKAN RASAKAN MEREKA AZAB YANG BERAT DISEBABKAN PERBUATAN KUFUR YANG MEREKA LAKUKAN.} (YUNUS 10:70)
- Jika mereka beroleh kesenangan dan selamat di dunia pun itu hanya sementara sahaja!
Bagi mereka peluang untuk hidup atas dunia ini buat sementara, berseronok berhibur lagha & lalai sahaja sehingga ajal mereka.
- Kemudian mereka akan kembali kepada Allah selepas mati, ketika itu baru mereka tahu ke mana hala tuju & ke manan nak pergi, jawapannya ke nerakalah tempat mereka akan pergi.
- Dalam ayat ini Allah beri peringatan keras kepada kita orang beriman agar jangan terpedaya, terpengaruh dengan kemewahan semetara yang diberikan kepada orang kafir!
Ini kerana dunia ini seolah penjara bagi orang mukmin & syurga bagi orang kafir!
Kita ada halal haram mereka bebas tiada undang-undang Syari’ah.
- Maka dunia ini seolah syurga sementara bagi mereka & di Akhirat nanti mereka akan dicampak ke dalam neraka dan diazab dengan azab yang pedih!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 67- {Dia lah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha).}-
Allah ciptakan malam untuk kamu supaya kamu tenang & siang yang terang benderang.
Ulama’ tadabbur kata: Allah sebut satu munasabah yang pelik dalam ayat ini iaitu Allah sebut cahaya.
Cahaya itu adalah satu perkara yang wujud, kita dapat lihat cerah apabila ia datang.
Kerana itu Allah menjelaskan kepada manusia satu hakikat, kepada orang yang cerdik & berakal, untuk jalan yang betul Allah katakan cahaya!
Sebagaimana perbandingan Allah keluarkan orang beriman dari kegelapan jahil & sesat kepada cahaya hidayah & iman.
Firman Allah: {Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita kufur kepada cahaya iman, dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.} (Ibrahim 14:1).
Cahaya ini lambang kepada kebenaran, kecantikan & kepada orang yang berakal.
Cahaya untuk hidayah dan kegelapan itu kejahilan.
Manakala malam itu gelap & tiada, yakni apabila tiada matahari jadi malam yang gelaplah.
Kerana itu Allah hanya sebut hanya sahaja, Allah jadikan malam itu tenang untuk kamu berehat di rumah kamu.
Yakni cahaya dirumuskan untuk perkara yang baik.
Sama seperti orang jadikan malaikat sebagai lambang kebaikan atau kecantikan & hantu atau syaitan sebagai lambang keburukan!
Sedangkan kita ni tak pernah lihatpun malaikat mahupun hantu syaitan!
Yang ada hanya cerita karut & viral yang tidak pasti kesahihannya!
Nur atau cahaya adalah lambang petunjuk kebenaran manakala gelap sebagai lambang kesesatan.
- Ayat 67- {Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya).}-
Allah nyatakan fungsi siang dan malam ini. Siang malam ini silih berganti tidak pernah tertukar atau tersilap jadualnya.
Semua ini adalah sebagai dalil-dalil & tanda akan adanya Pencipta yang Maha Agung & Yang maha Besar yang maha bijaksana menyusun atur dunia ini, untuk menyatakan kekuasaan Allah SWT bagi orang yang mendengar dan berakal dia tadabbur ayat-ayat Allah.
Apabila kita nak kenal Allah kita kena belajar 3 perkara ini:
i- Nama-nama-Nya yang indah.
ii- Sifat-sifat-Nya yang tinggi
iii- Memerhati dan mentadabbur ayat-ayat Allah sama ada ayat-ayat yang dibaca atau ayat yang dilihat, termasuk dengar.
Cara untuk mengenali Allah ialah dihayati nama 8 sifat-Nya ini, bukan belajar & hafal saja.
- Ayat 68- {Mereka berkata: “Allah mempunyai anak” Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu)!}-
Puak kafir kata Allah ada anak & Allah terus nafikannya!
Maha Suci Allah daripada segala kekurangan & daripada segala tuduhan yang kamu buat itu!!!
Allah kata Dia Maha Suci – Dia yang kaya pemilik langit & bumi!
Ayat ini menunjukkan sifat kehambaan yang menafikan sifat ‘Keanakan”.
Kerana malaikat itu hamba Allah bagaimana dia boleh jadi anak Tuhan pula?
Isa & Uzair itu juga hamba Allah jadi bagaimana dia boleh jadi anak Tuhan pula?
Kerana itu kata ulama’ Feqah: Dalam Islam hukumnya seorang anak tidak boleh menjadi hamba kepada ayahnya.
Contoh: Apabila seorang lelaki mempunyai hamba perempuan yang sah dan menggaulinya (halal dalam Islam) lalu mendapat anak.
Anak itu automatik akan menjadi seorang yang merdeka, bukan hamba kepada bapanya!
Ibunya apabila tiada bapanya akan merdeka juga jika tidak dibebaskan dari awal.
Jadi Allah menafikan semua itu, Aku ini Tuhan bagaimana boleh ada anak dari kalangan hamba Aku sendiri!
Manusia pula memerlukan anak dengan harapan untuk menumpangnya pada hari tua dan lemah mereka.
Anak adalah anugerah Allah yang mempunyai kelebihan & keistimewaan yang berbeza, tetapi ingat; kita tidak tahu siapa yang akan memberi manfaat & berkhidmat kepada kita dengan sebenarnya kelak.
Kerana itu jangan pertikaikan hukum faraidh, harta pusaka yang Allah sendiri putuskannya.
Jangan hina dan benci anak-anak yang kurang cemerlang dalam pelajaran, yang tidak ada kerja hebat atau bergaji besar;
kerana kita tidak tahu apa yang akan jadi di depan hari & siapa yang akan memberi manfaat & berkhidmat kepada kita dengan sebenarnya kelak sama ada di dunia lagi atau di Akhirat.
Kerana itu kita jangan hina atau kutuk orang & jangan pertikai hukum-hukuman yang Allah telah tetapkan.
Percaya & yakinlah bahawa undang-undang Allah adalah yang terbaik untuk manusia!
- Ayat 68- {… tidaklah ada sebarang keterangan di sisi kamu yang membuktikan apa yang kamu dakwakan itu. Mengapa kamu berani mengatakan terhadap Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya?}-
Allah tanya cabar puak kafir apakah kamu ada dalil, hujjah & bukti dalam tuduhan & dakwaan kamu itu?
Kerana itu Allah namakan hujjah ilmiah itu sebagai {sultan- سُلْطَـٰن}- iaitu bukti, sebagai kuasa yang boleh menghilangkan kejahilan, menolak keraguan & membantah segala kejahatan.
Seperti kata-kata hikmah seperti di atas tadi:
Kuasa ilmu mengatasi kuasa tangan!
Hujjah lebih kuat daripada akta!
Iaitu orang yang ada kuasa boleh buat akta ini peraturan itu dan dia boleh kekang dan kawal manusia tetapi tidak dapat membuat hati mereka menerimanya dengan baik.
Tetapi jika mereka terima hujjah mereka boleh terima akta!
Sebagaimana keadaan ahli sihir yang beriman apabila melihat tongkat Nabi Musa yang menelan sihir mereka, ini hujjah dan dalil yang jelas bagi mereka!
Mereka tidak takut lagi kepada akta Fir’aun kerana yakin dengan hujjah yang dibawa oleh Nabi Musa AS.
Kuasa & akta tak boleh tawan hati manusia, tetapi hujjah & ilmu yang mantap boleh menarik & mengikat hati manusia.
- Ayat 69- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya”.}-
Allah bagi amaran keras sesiapa yang buat rekaan terhadap Allah mereka tidak akan dapat kemenangan di dunia & di Akhirat juga!
Tetapi rahmat Allah yang maha kaya kepada hamba-Nya luas; Duduklah sekejap atas dunia, nikmatilah apa yang Allah beri sementara ini.
Ada orang kafir yang panjang umurnya kufur syirik tetapi Allah nak beri peluang kepada mereka untuk menikmati dunia ini sebelum kembali ke Akhirat dan kena azab.
Atau mungkin Allah nak beri mereka peluang untuk beriman di akhir usia, datang rahmat Allah mereka menerima kebenaran nanti!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
