View Categories

(26) Surah Yunus: Ayat 71-73

16 min read

KISAH NABI NUH DAN KAUMNYA, DAKWAH TANPA UPAH & ALLAH SWT SELAMATKAN NUH.

Full video : https://youtu.be/_kyfyBYBEFg?si=OazXFw14WBz90GO6

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 71 sehingga ayat 73 dalam juzuk kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT ceritakan kepada kita kisah Nabi Nuh bersama kaumnya.
  1. Dalam surah Yunus ini ada 3 kisah iaitu pertama kisah Nabi Nuh AS, kedua kisah Nabi Musa dan Harun berdepan dengan Fir’aun kemudian diikuti kisah Nabi Yunus sendiri sebagai tuan surah.
    Bagi setiap kisah ada iktibar & pengajaran yang boleh kita ambil.
  1. Tujuan kisah-kisah ini untuk menenangkan hati Rasulullah SAW yang ditentang oleh kaumnya. 
    Sabarlah bukan hanya kamu yang kena bala, di uji dan ditentang, dilawan oleh kaum sendiri tetapi nabi-nabi terdahulu seperti Nabi Nuh, Musa, Yunus dan semua anbiya’ lain juga mengalami ujian yang begitu dahsyat. 
  1. Maka kita sebagai pengikut jejak Nabi SAW, sebagai penerus dakwah ini juga perlu kepada kesabaran dalam menyampaikan ajaran kitab & Sunnah yang ditinggalkan Nabi SAW!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat-ayat yang lepas Allah SWT telah menyatakan tentang dalil-dalil atas keEsaan-Nya. 
    Allah juga nyatakan apa yang telah berlaku dalam pertembungan, perbalahan & perdebatan antara rasul & puak kafir.

    ii- Maka datang ayat ini Allah ceritakan kisah para anbiya’ yang lalu, dimulai dengan kisah Nabi Nuh AS. 
    Sebagaimana kita nyatakan ada 3 kisah nabi dalam surah ini iaitu Nabi Nuh, Musa & Yunus AS.
    Ini untuk menenangkan hati Nabi SAW bahawa bukan Baginda saja yang kena menghadapi ujian & tentangan ini tetapi nabi dulu pun samaa. 

    iii- Allah minta Nabi SAW baca kisah-kisah Nabi terdahulu & ikut jejak langkah mereka untuk mengurangkan tekanan perasaan Nabi SAW. 
    Sudahlah pengikutnya sedikit, tak ramai, mereka juga terdiri dari kalangan yang dhaif & lemah bukan pembesar.

    iv- Yakni apabila Nabi SAW baca kisah para nabi dahulu, Baginda akan dapati lebih kurang saja kisah mereka, pengikut yang sedikit & dari kalangan yang lemah, manakala para pemuka pembesar tak masuk Islam, berada dalam golongan kafir! 
  1. Munasabah kedua: Allah nyatakan bahawa jika Allah binasakan pengikut Nabi Nuh dengan sebab mereka derhaka; maka kamu wahai Abu Jahal, Abu Lahab dan semua Quraisy yang menghina dqn menentang Nabi SAW, kamu jangan rasa selamat, kamu juga tunggulah tempoh kebinasaaan kamu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 71- {DAN BACAKANLAH KEPADA MEREKA (WAHAI MUHAMMAD) PERIHAL NABI NUH, KETIKA IA BERKATA KEPADA KAUMNYA: “WAHAI KAUMKU! SEKIRANYA KEDUDUKAN AKU DALAM KALANGAN KAMU, DAN PERINGATAN YANG AKU BERIKAN KEPADA KAMU DENGAN AYAT-AYAT KETERANGAN ALLAH ITU, MENJADI KEBERATAN KEPADA KAMU, MAKA (BUATLAH APA YANG KAMU HENDAK BUAT, KERANA) KEPADA ALLAH JUALAH AKU BERSERAH DIRI. OLEH ITU, TETAPKANLAH KEAZAMAN KAMU SERTA SEKUTU-SEKUTU KAMU UNTUK MELAKUKAN RANCANGAN JAHAT KAMU TERHADAPKU; KEMUDIAN JANGANLAH HENDAKNYA RANCANGAN JAHAT KAMU ITU, KAMU JALANKAN SECARA TERSEMBUNYI (TETAPI BIARLAH TERBUKA); SESUDAH ITU BERTINDAKLAH TERUS TERHADAPKU DAN JANGANLAH KAMU TUNGGU-TUNGGU LAGI.} (YUNUS 10:71)

  1. Allah perintahkan Nabi SAW untuk bacakan kepada puak kafir Makkah akan cerita kaum Nabi Nuh AS yang menderhaka kepada Nabi mereka; lalu mereka dibinasakan!
  1. Beberapa ucapan Nabi Nuh AS kepada kaumnya pertama: 
    i- “Wahai kaumku! Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu, dan peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat keterangan Allah itu, menjadi keberatan kepada kamu, yakni dakwahnya membuat mereka rasa terbeban, Nuh telah berdakwah kepada kaumnya selama 950 tahun iaitu hampir 1000 tahun.

    ii- Kita yang baru 4-5 tahun berdakwah ini pun orang dah rasa jemu & terbeban!
    Ustaz ni pagi petang siap asyik suruh jaga solat, jaga tauhid, jaga aurat, jaga diri & jaga anak-anak daripada keburukan dan hawa nafsu. 

    iii- Betapa masyarakat sekarang amat sakit & tidak terkawal, anak-anak terdedah kepada internet dengan bebas, lalu terpengaruh otak pemikiran & perangainya dengan perkara syirik, jenayah atau seks yang salah dan kesannya berlakulah apa yang tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat kita hari ini.
    Allahu al-Musta’an!

    iv- Jika Nabi Nuh pun dibenci kaumnya & mereka berasa berat dengannya, maka kita penyambung Nabi SAW ini jangan jemulah, beritahulah bab syirik, khurafat, perjuangan kita adalah tauhid, jaga ibadat, hidupkan Sunnah, supaya tutup aurat dan jauhi dosa & maksiat. 

    v- Inilah yang dapat kita ambil pengajaran bahawa tiada nabi, rasul atau pendakwah yang mengajak manusia kepada agama pasti akan ditentang dan dimusuhi oleh manusia yang menolaknya!
  1. Nabi Nuh berkata lagi kepada kaumnya: 
    i- Maka jika kamu masih tak mahu terima juga dakwah aku, rasa berat apa yang aku ajar & bawa dalil-dalil tentang keEsaan Allah SWT, kamu nak bunuh aku, nak hapuskan aku juga; maka buatlah apa yang kamu hendak buat, kerana kepada Allah jualah aku berserah diri.

    ii- Ayat ini begitu besar sekali pengajarannya kepada kita sebagai pengikut para anbiya’ AS, betapa kita kena belajar, letak tawakkal yang tinggi kepada Allah! 
    Ini kerana jika apa saja kita buat untuk selamat jika Allah kata tak kena maka akan selamat!
    Tetapi jika Allah telah tulis kita akan kena, buatlah apa saja pun tidak akan terlepas dari taqdir itu!

    iii- Orang baik difitnah, orang jujur dikhianti & orang sabar akan diganyang; semua itu ujian Tuhan. 
    Allah nak angkat darjat seseorang bukan percuma, Dia akan beri ujian yang akan dilalui, maka laluilah dengan sabar & tabah.
    Ya Allah selamatkan kita & keluarga kita daripada fitnah & kejahatan manusia, sedangkan tujuan kita hanyalah nak menyampaikan apa yang ditinggalkan oleh Nabi SAW! 

    iii- Jika kita nak selamat dok diam-diam di rumah, jangan bercakap & berdakwah! 
    Tetapi Allah ajar kepada kita tiada nabi & rasul dan pendakwah yang nak ajak orang kepada Allah kecuali mereka akan ditentang & disakiti!

    iv- Kita para pendakwah, da’ei dan murabbi & semua muslim, wajib kita meletakkan tawakkal sepenuhnya kepada Allah, bukan bergantung kepada makhluk lain! 
    Percaya kepada makhluk kita akan dikhianati & kecewa, percaya kepada orang kita akan ditinggalkan, percaya kepada kawan, mereka akan lari bila dapat pangkat & jawatan atau bila kita diuji! 
    Jika berharap kepada manusia kita akan kecewa apabila ditinggalkan dalam ujian, itulah hakikat kehidupan.
  1. Nabi Nuh mencabar kaumnya lagi jika kamu tak puas hati dengan aku maka kita berlawanlah: 
    i- Tetapkanlah keazaman kamu serta panggillah sekutu-sekutu kamu untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku;

    ii- Tetapi dengan satu syarat janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu, kamu jalankan secara tersembunyi!
    Jika nak lawan biarlah terbuka secara berdepan!!
    Iaitu Nabi Nuh beri syarat mesti berlawan secara berdepan, jangan secara sembunyi atau berselindung disebalik tipu helah yang palsu. 
    Begitulah juga kita katakan kepada orang yang nak lawan atau buat tuduhan fitnah kepada orang; berdepanlah, tunjukkan muka & identiti kamu jangan bersembunyi di sebalik fake akaun!!! 

    iii- Akhirnya Nabi Nuh dengan begitu berani mencabar kaumnya lagi;
    Sesudah itu bertindaklah terus terhadapku dan janganlah kamu tunggu-tunggu lagi.
    Bertindak dan buatlah rancangan apa yang kamu nak buat, jangan tangguh-tangguh lagi!

AYAT 72- {“OLEH ITU, JIKA KAMU BERPALING MEMBELAKANGKAN PERINGATANKU, MAKA TIDAKLAH MENJADI HAL KEPADAKU, KERANA AKU TIDAK MEMINTA SEBARANG BALASAN DARIPADA KAMU (MENGENAI AJARAN AGAMA ALLAH YANG AKU SAMPAIKAN ITU); BALASANKU HANYALAH DARI ALLAH SEMATA-MATA (SAMA ADA KAMU BERIMAN ATAUPUN KAMU INGKAR); DAN AKU PULA DIPERINTAHKAN SUPAYA MENJADI DARI ORANG-ORANG ISLAM (YANG BERSERAH DIRI BULAT-BULAT KEPADA ALLAH)”.} (YUNUS 10:72)

  1. Nabi Nuh berhujjah lagi dengan kaumnya:
    Jika kamu nak bertindak melawan aku, mahu lari tak mahu beriman dan tauhid kepada Allah; maka aku tidak kisah kerana bukan aku mengambil upah atau dapat bayaran daripada puak kamu!!!
    Balasanku sama ada pahala, pertolongan atau rezeki hanyalah dari Allah SWT semata-mata!
  1. Yakni Nabi Nuh ajar kepada kita satu kekuatan jiwa apabila kita tidak bergantung kepada orang tetapi berserah & yakin kepada Allah SWT semata-mata! 
    {إِنْ أَجْرِىَ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ} 
    Jika tidak, kita akan jadi penakut & pengecut apabila kita rasa rezeki kita di tangan manusia!
    Jika tidak, kita tidak akan takut kerana kita yakin rezeki kita di bawah kuasa Allah.
  1. Nabi Nuh akhiri ayat ini dengan menegaskan prinsipnya yang teguh iaitu sebagai seorang muslim yang berserah diri kepada Allah sepenuhnya, mengesakan Allah, akur, patuh & taat kepada Allah & segala perintah-Nya!
  1. Begitulah sebagai seorang muslim yang mantap imannya, teguh jiwanya, tiada apa yang dapat mengoncangan keimanan, keyakinan, tawakkal & berserah dirinya kepada Allah SWT.

AYAT 73- {MEREKA TETAP JUGA MENDUSTAKAN NABI NUH, LALU KAMI SELAMATKAN DIA BERSAMA-SAMA PENGIKUT-PENGIKUTNYA YANG BERIMAN DI DALAM BAHTERA, DAN KAMI JADIKAN MEREKA PENGGANTI-PENGGANTI (YANG MEMAKMURKAN BUMI) SERTA KAMI TENGGELAMKAN ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KAMI (DENGAN BANJIR DAN TAUFAN SEHINGGA PUNAH-RANAH SEMUANYA). MAKA LIHATLAH BAGAIMANA KESUDAHAN ORANG-ORANG (YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KAMI) SETELAH DIBERI AMARAN.} (YUNUS 10:73)

  1. Allah pendekkan kisah Nabi Nuh dalam surah ini kerana sudah terdapat banyak kisah Nabi Nuh & kaumnya dalam surah-surah lain.
    Apabila Nabi Nuh cabar kaumnya & mereka terus ingkar lalu Allah datangkan azab taufan, banjir besar yang memusnahkan semua orang kafir yang tidak beriman!
  1. Munasabah ayat:
    i- Setelah Allah nyatakan dalam ayat lepas beberapa dialog cabaran antara Nabi Nuh AS dan kaumnya yang kafir dan mereka tetap menolaknya;

    ii- Lalu Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa Dia selamatkan Nabi Nuh & mereka yang beriman, manakala kafir yang ingkar musnah tenggelam ghaib habis.
    Kemudian Allah beri peluang kepada Nabi Nuh & mereka yang beriman untuk menjadi penguasa memakmurkan bumi ini. 
  1. Yakni kaum nabi Nuh tetap menolak dan mendustakannya. 
    Lalu nabi Nuh kepada Allah: 
    {Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!
    “Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar.} (Nuh 71: 26-27) 
  1. Selepas Nabi Nuh berdoa mohon Allah memberi pertolongan kepadanya, Allah perintahkan Nabi Nuh supaya buat sebuah bahtera di atas bukit.
    Sekali lagi nabi Nuh menjadi bahan perlian & ejekan kaumnya. 
    Nuh tidak hiraukan mereka & meneruskan perintah Tuhan.
  1. Apabila tiba masanya Allah perintahkan Nabi Nuh untuk memuatkan semua pengikutnya yang beriman (tidak ramai hanya sedikit) dan bagi setiap jenis haiwan sepasang ke atas bahtera itu!
  1. Apabila datang azab yang Allah janjikan dalam bentuk banjir besar dengan air turun dari langit & keluar dari bumi yang menengelamkan segala bukit & gunung, membinasakan semua manusia yang kufur & syirik.
  1. Setelah banjir berhenti, Nabi Nuh dan orang beriman yang selamat, turun dari bahtera mereka & Allah jadikan mereka sebagai khalifah, penguasa yang memakmurkan bumi ini dengan tauhid kepada Allah.
  1. Tetapi tidak lama selepas itu datang kembali syaitan menggoda, menghasut dan mengacau manusia pengikut Nabi Nuh yang menghidupkan kembali syirik! 
  1. Maka hati-hatilah kita dengan perbuatan mungkar, maksiat & syirik, ia tak akan habis, betapa bahayanya. 
    Akan hidup kembali dalam generasi yang akan datang. 
    Sebagaimana kaum homoseksual, kaum Nabi Lut yang telah dibinasakan secara total dengan Allah balikkan bumi kediaman mereka serta dihujani dengan batu api.
    Tetapi lihatlah betapa hari ini geng LGBT diberi ruang & mendapat sokongan dari banyak masyarakat dunia, perkahwinan sejenis diiktiraf & menjadi satu kebiasaan! 
  1. Di akhir ayat kata bahawa: Kami telah tenggelamkan semua orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, habis semuanya tidak tinggal baka, yang selamat hanya orang beriman yang duduk atas kapal.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Mereka terus mendustakannya (Nuh), lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (matahatinya daripada melihat kebenaran)} (Al-A’raf 7:64)
  1. Allah tutup ayat ini dengan menyuruh Nabi SAW melihat bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Tuhan setelah diberi amaran- iaitu kebinasaanlah bagi mereka!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).} (Ali-‘Imran 3:137)

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 71- {Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) perihal Nabi Nuh,…}-

    Allah perintahkan supaya Nabi SAW baca kisah Nabi Nuh AS.
    Nuh adalah rasul pertama selepas Nabi Adam AS. 
    Kemudian datang Nabi Musa & Yunus.
    Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini menyatakan kekuatan para nabi; yang amat yakin dengan pertolongan Allah SWT! 
    Ini kerana pada waktu Nabi Nuh cabar kaumnya ini, pengikutnya tidak ramai pun hanya beberapa orang sahaja!
    Tetapi kerana dia yakin dengan pertolongan & bantuan dari Allah, Nuh berani cabar mereka untuk zahirkan dirii mereka, buat apa saja yang mereka nak buat ke atasnya. 
    Kerana Nuh yakin dengan perolongan Allah & kepadanya dia bertawakkal!!
    Kata al-Wahidi juga: Ini adalah antara ayat yang paling power tentang kebenaran nubuwwah, keberanian para nabi AS. 
    Nabi Nuh berani cabar walaupun musuhnya ramai kerana dia yakin dengan pertolongan Allah.
    Ayat ini walaupun cerita tentang Nabi Nuh tetapi ia memberi motivasi besar kepada Nabi SAW.
    Kamu ikut jejak langkan Nabi Nuh, teruskan berdakwah sabar menghadapi ujian & pertolongan Allah pasti datang! 
    Inilah yang paling besar apabila kita yakin dengan pertolongan Allah, sabar dalam ujian & meletakkan pergantungan pada Allah sepenuhnya!
  1. Ayat 71- {… maka (buatlah apa yang kamu hendak buat, kerana) kepada Allah jualah aku berserah diri. }-

    Nabi Nuh yakin akan pertolongan Allah maka dia berani cabar & berdepan dengan kaumnya walaupun dia tidak ramai. 
    Tawakkalnya kepada Allah amat tinggi dan sepenuhnya!
    Kata ulama’: Maka para pendakwah, para pencinta Sunnah sabarlah, letakkan kepercayaan kita kepada Allah SWT, betempurlah dengan taghut di mana saja mereka berada. 
    Serta yakinlah mana-mana taghut tidak akan dapat beri mudharat kepada kita jika Allah tidak izinkannya. 
    Tetapi dengan syarat tawakkal kita kepada Allah mesti yakin sepenuhnya!
    Jangan dok main on off, tidak akan berjaya! 
    Kita lihat betapa pendakwah yang berani mereka pergi berhujjah berdepan dengan bukan Islam, alhamdulillah selamat tidak mati.
    Kita letakkan keyakinan kita kepada Allah sepenuhnya bukan kepada selain-Nya. 
    Jika kita percaya kepada orang- orang akan tinggalkan, percaya kepada kawan kadang-kadang mereka akan jadi lawan! 
    Kita kena ada kawan tetapi jangan berharap & bergantung sepenuhnya kepada orang!
    Yang penting para pendakwah kena ikut jejak sirah para Nabi AS dan yang paling dekat dengan kita adalah jejak langkah Rasulullah SAW yang ditentang kaumnya. 
    Dalam sirah direkodkan bahawa Baginda SAW berperang saja dalam masa 10 tahun lebih daripada 60 kali!
  1. Ayat 72- {“Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran agama Allah yang aku sampaikan itu); balasanku hanyalah dari Allah semata-mata.}-

    Jika kamu berpaling lari, tidak mahu ikut & menerima dakwahku ini, aku tidak mendapat kerugian apa kerana bukan kamu yang membayar upahku.
    Aku menyampaikan ilmu & dakwah ini kerana Allah; jika kamu tak setuju, kamu lawan, kamu lari, tidak akan memberi kesan kepadaku.
    Jika seorang pendakwah atau ulama’ itu tidak tamak untuk mendapat habuan dunia seperti pangkat, gaji, upah dan seumpamanya tetapi dia berani menyampaikan ilmu kerana Allah semata-mata, berani menyampaikan kebenaran walaupun dimarahi manusia, berani menyatakan yang betul walaupun disekat sana-sini;
    Maka kata-kata & penyampaiannya akan lebih berkesan dan kuat sampai pada hati para pendengar. 
    Kerana dari hati yang ikhlas akan lebih mudah sampai kepada hati-hati yang lain.
    Tetapi jika dia bercakap kerana sesuatu yang lain, mencari di sebalik sampul yang ada, tidak ikhlas, ramai orang mendengarnya tetapi tidak memberi kesan ke hati. 
    Tidak ada kesan dari segi amalan yang disampaikannya.

    Ya Allah jadikan kami pendakwah yang ikhlas, yang jujur menyampaikan ilmu kepada masyarakat, jadikan apa yang kami ucapkan dari hati yang ikhlas ini sampai kepada hati orang lain untuk menerima ajaran Islam & beramal dengan Sunnah Nabi SAW.

    Kata Syeikh ar-Razi: Dalam ayat ini menerangkan bahawa kita kena ikhlas berdakwah kepada Allah, jangan dok kejar gaji atau habuan, kena letakkan keikhlasan barulah kita berani menyatakan kebenaran.

    Nabi Nuh AS berani berdepan & berlawan dengan kaumnya kerana:
    i- Kerana dia yakin dengan pertolongan Allah.

    ii- Kerana dia tidak terikat dengan gaji atau habuan dari mereka!
    Jika kita terikat dengan orang, mulut akan terkunci daripada menyatakan kebenaran!
  1. Ayat 71- {Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu, dan peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat keterangan Allah itu, menjadi keberatan kepada kamu, maka (buatlah apa yang kamu hendak buat, kerana) kepada Allah jualah aku berserah diri.}-

    Nabi Nuh berkata kepada kaumnya: jika kamu berasa berat dakwahku ini kepada kamu dan rasa terbeban dengan kewujudanku di kalangan kamu; 
    Kata ulama’ tafsir kenapa Nabi Nuh kata berat keadaannya itu:
    i- Kerana terlalu lama dia berdakwah & berada di kalangan kaumnya iaitu selama 950 tahun.
    Kerana itu dalam peraturan ada usia pencen dan konsep pindah tempat kerja, untuk mengelakkan kejemuan & kebuntuan idea.

    ii- Berat ke atas telinga mereka untuk mendengar & menerima dakwah kerana bertentangan dengan ajaran & pegangan mereka sebelum ini.
    Kata ulama’: Mana-mana orang yang sudah terbiasa dengan adat istiadat, agamanya akan rasa berat, akan rasa terbeban untuk menerima kebenaran, satu realiti besar hingga kini. 
    Inilah realiti yang disebut oleh Nabi Nuh AS. Dia seorang yang sangat berani, untuk berlawan dengan kaumnya secara berdepan & terang-terangan kerana dia yakin & bertawakkal kepada Allah sepenuhnya!
    Begitu jika kita kata kepada orang yang suka buat provokasi, menfitnah tuduh orang ini tetapi bersembunyi di sebalik fake akaun! 
    Jika kamu benar & berani zahirkan diri kamu.
    Tak mengapalah jika kamu bersembunyi atas dunia ini, malaikat tetap akan kenal & tahu siapa kamu dan akan didedahkan di Akhirat kelak! 
  1. Ayat 73- {Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami selamatkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman di dalam bahtera,….. serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami (dengan banjir dan taufan sehingga punah-ranah semuanya). }-

    Apabila mereka tetap derhaka lawan Nabi Nuh AS, Allah perintahkan Nabi Nuh untuk buat kapal bahtera dan bila tiba saatnya air datang, naiklah pengikutnya yang hanya sedikit maka selamatlah yang beriman. 
    Manakala yang kafir mati habis semuanya.

    Allah selamatkan Nabi Nuh dengan dua perkara di sini:
    i- Selamatkan daripada tenggelam dan binasakan puak kafir.

    ii- Allah jadikan mereka sebagai penguasa di bumi buat sementara.
    Melalui ayat ini Allah mahu Nabi SAW sampaikan kepada puak kafir di Makkah itu, bahawa mereka juga akan menerima nasib yang sama jika terus berlawan & menentang Nabi SAW dan mendustakan hukum Allah.
    Ini memang terjadi, Abu Jahal & gengnya terbunuh dalam peperangan Badar, Abu Lahab mati tak lama selepas itu di Makkah serta ramai lagi kafir Quraisy lain yang terbunuh dalam peperangan menentang Nabi SAW & orang Islam. 

    Dalam ayat ini Allah kata: {..Kami selamatkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman di dalam bahtera,….. serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami..}


    Ulama’ tadabbur kata: Allah mulakan dengan sebut mereka yang selamat dulu dalam ayat ini baru kata tenggelamkan.
    Jawapan:
    i- Ayat ini memberi isyarat bahawa para pendakwah yang yakin pada pertolongan Allah, Allah akan selamatkan nya! 
    Ayat ini menunjukkan penjagaan Allah (inayah Rabbaniyyah) kepada para pendakwahnya.
    Manakala orang yang jahat, ingkar tetap akan tenggelam, tidak akan selamat! 

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Insya’ Allah kita akan sambung dalam siri seterusnya pada hari Sabtu nanti.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top