View Categories

(21) Surah Yunus: Ayat 57-58

16 min read

PERANAN AL-QURAN, 4 SIFAT AL-QURAN & BERGEMBIRA DENGAN NIKMAT IMAN DAN QURAN.

Full video : https://youtu.be/OflUopjrJ5o?si=Rdh90aFLp7E43XNK

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 57 dan ayat 58 dalam juzuk kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kepada kita manusia tentang peranan al-Quran, sebagai kitab hidayah, petunjuk yang wajib kita baca.
    Ada 4 tanggungjawab kita pula terhadap al-Quran iaitu: belajar, baca, faham & amal dan sebarkan.
    Jika baca saja tak faham tidak ada guna, jika faham saja tanpa amal juga tiada faedah!
    Kemudian kena sebar ajak orang pula beriman & beramal dengan al-Quran.
  1. Ada 4 sifat utama al-Quran iaitu sebagai mauizah, syifa’, huda & rahmah kepada manusia yang beriman! 
  1. Kemudian Allah nyatakan dengan limpah kurnia & rahmat Allah turunnya al-Quran ini kepada kita! 
    Maka wajib kita bergembira dengan nikmat iman dan Quran.
  1. Kata ulama’: Ini kerana tiga perkara ini terjadi bukan semata-mata kerana usaha kita tetapi kerana nikmat dari Allah iaitu; wujudnya kita, beriman kepada Allah & rasul dan ketiga nikmat syurga yang terhasil dari iman, amal, taqwa & akhlak yang mulia. 
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya, dari nota 325:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan dalil-dalil serta 3 perkara asas yang menjadi tonggak agama iaitu: Tauhid yang mengesakan Allah dari sudut Uluhiyyah & Rububiyyah, kerasulan Nabi Muhammad SAW & kebangkitan semula di Akhirat kelak untuk menerima balasan.

    ii- Maka datang ayat ini menyatakan ayat suci al-Quran ini diturunkan kepada manusia seluruhnya sebagai:
    a- yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, untuk mmebaiki akhlak dan amal perbuatan,

    b- Penawar ubat bagi penyakit batin seperti kufur, syirik nifaq, hasad dengki khianat dan lain-lain penyakit jiwa yang membinasakan.

    c- Petunjuk iaitu al-Quran menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan manusia di dunia & Akhirat.

    d- Al-Quran juga secara khusus menjadi pancaran rahmat bagi orang yang beriman! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 57- {WAHAI UMAT MANUSIA! SESUNGGUHNYA TELAH DATANG KEPADA KAMU AL-QURAN YANG MENJADI NASIHAT PENGAJARAN DARI TUHAN KAMU, DAN YANG MENJADI PENAWAR BAGI PENYAKIT-PENYAKIT BATIN YANG ADA DI DALAM DADA KAMU, DAN JUGA MENJADI HIDAYAH PETUNJUK UNTUK KESELAMATAN, SERTA MEMBAWA RAHMAT BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN.] (YUNUS 10:57)

  1. Allah SWT menyeru seluruh manusia yang ada atas dunia ini, dan menyatakan bahawa Allah telah datangkan kitab al-Quran kepada mereka sebagai panduan hidup manusia.
    Al-Quran juga mukjizat Nabi SAW yang kekal sehingga ke hari Kiamat.
  1. Boleh baca tentang mukjizat Nabi SAW dalam Kitab Tahzib Sirah susunan DDAAM.
    Kata pepatah: Tak kenal maka tak cinta.
    Kita tambahnya: Macamana nak cinta kerana tak kenal, macamana nak kenal kerana tak tahu, macamana nak tahu kerana tak baca, macamana nak baca kalau buku pun tak ada!!! 
    Maka dapatkan buku ini di: https://dartaibah.com/…/Cetakan-Baru-2024-Edisi…
  1. Al-Quran itu mempunyai 4 sifat yang dianugerahkan kepada kita iaitu:
    i- yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu,

    ii- dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu,

    iii- dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan,

    iv- serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
  1. Kita masuk kepada penjelasannya satu persatu fungsi utama al-Quran, pertamanya sebagai nasihat pengajaran dari Tuhan kamu { مَّوْعِظَةٌۭ مِّن رَّبِّكُمْ}, iaitu:
    i- Mengandungi suruhan & larangan, ini kembar siam di mana uslub al-Quran mesti ada keduanya yang positif & negatif, tegahan & perintah, seruan kepada akhlak mulia & akhlak buruk yang dilarang padanya. 
    Melembutkan hati & melemahkan nafsu, sebagai pengawal hidup kita atas dunia ini. 
    Ada watak baik & watak buruk, ada Abu Bakar ada Abu Jahal, ada Musa ada Fir’aun dan seumpamanya.

    ii- Jika kita tak kawal nafsu, ia akan ikut syaitan. Kita kawal nafsu dengan belajar & tadabbur al-Quran, belajar hadis & Sunnah, lihat & kaji riwayat-riwayat orang yang soleh yang sahih, bagaimana mereka menjaga ahklak & jiwa dengan begitu baik. Kena cari lorong betul kerana kita akan melalui jalan yang sukar untuk tiba ke destinasi!

    iii- Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.} (Ali-‘Imran 3:138)
    Hanya orang yang bertaqwa akan mendapat manfaat & nikmat dari al-Quran. 
    Jangan jadi seperti Utbah, Abu al-Walid yang terkesima apabila mendengar Nabi SAW membaca al-Quran tetapi kerana dia tidak beriman & bertaqwa tidak memberi faedah kepadanya.
  1. Sifat kedua al-Quran ialah yang menjadi penawar { وَشِفَآءٌۭ لِّمَا فِى ٱلصُّدُورِ} bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu.
    i- Dua jenis penyakit hati manusia ialah: 
    a) Penyakit syak keraguan, waswas & munafiq. Semua ini boleh membawa kepada kekufuran atau kafir kerana dia syak kepada Tuhan & Nabi. Ini adalah penyakit iktiqad yang salah.

    Firman Allah SWT:
    {Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.} (Al-Isra’ 17:82)

    b) Penyakit kedua yang diubati al-Quran ialah penyakit syahwat iaitu hawa nafsu dalam diri manusia seperti sifat riya’, sombong, takabbur, hasad, dengki, marah dan seumpamanya. 
    Ini dipanggil sifat mazmumah yang wajib dikawal atau dihapuskan dalam diri kita.

    ii- Boleh baca Kitab Penawar Bagi Hati karya Syeikh Abdul Qadir al-Mandili, pengarangnya telah senaraikan 10 sifat mazmumah yang wajib kita buang dalam diri kita itu:

    iii- Kata Imam al-Ghazali: Marah tak kena tempat itu orang bodoh.
    Tak marah pada tempat kena marah itu dayus dan penakut.
    Yang betulnya marah pada tempatnya & berpada-pada.

    iv- Kita buang sifat mazmumah yang karut dari dalam hati kita kemudian kita hiasinya dengan sifat mahmudah, iaitu sifat yang terpuji seperti ikhlas, sabar, syukur, tawadhuk dan seumpamanya.
  1. Sifat ketiga al-Quran: Dan juga menjadi hidayah petunjuk { وَهُدًۭى} untuk keselamatan, seperti menunjukkan kepada manusia apakah yang halal & haram, dalil petunjuk ini amal & maksiat, ini yang soleh & toleh, ini yang baik & jahat. 
    i- Islam memimpin ke jalan yang benar, siapa yang ikutnya akan selamat. 

    ii- Al-Quran beri hidayah petunjuk untuk tunjukan kepada siratul-mustaqim yang menjamin kebahagiaan dunia & Akhirat. 
    Ikut al-Quran itu pastikan tafsir al-Quran mana yang kita ambil, jangan tafsir Quran dengan nafsu tetapi dari ulama’ yang muktabar!
  1. Sifat keempat; al-Quran membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman {وَرَحْمَةٌۭ لِّلْمُؤْمِنِينَ}- iaitu sesiapa yang berpegang dengan al-Quran dia akan keluar daripada gelap kekufuran kepada cahaya keimanan. 
    i- Al-Quran rahmatnya juga menyekat menghalang & menyelamatkan kita dari api neraka. 

    ii- Al-Quran mengangkat darjat kita kepada darjat yang tinggi iaitu dengan Allah redha & beri syurga! 

    iii- Rahmat ini hanya bagi orang mukmin saja kerana hanya orang maknanya yang akan mendapat manfaat daripada al-Quran. 
    Orang lain tidak kerana mereka tidak beriman!!!
  1. Alhamdulillah kerana Allah memilih kita untuk menjadi pencinta al-Quran, yang mengaji al-Quran & ikut hidayah petunjuknya insya’ Allah! 

AYAT 58- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD) “KEDATANGAN AL-QURAN ITU ADALAH SEMATA-MATA DENGAN LIMPAH KURNIA ALLAH DAN KASIH SAYANGNYA, MAKA DENGAN ISI KANDUNGAN AL-QURAN ITULAH HENDAKNYA MEREKA BERSUKACITA (BUKAN DENGAN YANG LAINNYA), KERANA IA LEBIH BAIK DARIPADA APA YANG MEREKA HIMPUNKAN DARI SEGALA BENDA DAN PERKARA YANG TIDAK KEKAL)”.} (YUNUS 10:58)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa al-Quran itu ada 4 sifat. 
    Sesiapa yang berpegang dengan al-Quran dia akan mendapat manfaat darinya; maka dia kena bersyukur dan bergembira dengan anugerah Allah ini. 
    Iaitu berimannya kita dengan al-Quran serta sayang & kasih akannya.

    ii- Maka datang ayat ini dengan limpah kurnia Allah SWT bergembiralah kamu!!
  1. Allah suruh Nabi SAW menyatakan bahawa hendaklah kamu bergembira dengan limpah kurnia yang Allah kurniakan kepada kamu! 
  1. Terdapat beberapa tafsiran ulama’ tentang maksud dua perkataan ini:
    Ulama’ salaf dalam tafsirnya berkata: Kurnia itu Islam {بِفَضْلِ ٱللَّهِ} dan rahmatnya {وَبِرَحْمَتِهِ}- ialah al-Quran. 
    Maka sesiapa sudah Islam apabila kamu dapat membaca al-Quran & beramalnya maka hendaklah dia bergembira dengan kurniaan Allah SWT itu! 
    Gembira dengan al-Quran bukan dengan mata benda dunia & harta yang fana ini!
  1. Imam Abu Said al-Khudri RA berkata:
    i- Limpah kurnia Allah {بِفَضْلِ ٱللَّهِ} ialah al-Quran.

    ii- Rahmat Allah {وَبِرَحْمَتِهِ}- Allah pilih kamu menjadi pencinta al-Quran. 
  1. Kata Syeikh Hilal bin Yusar pula:
    i- Limpah kurnia Allah {بِفَضْلِ ٱللَّهِ} ialah iman & Islam yang Allah hidayahkan.

    ii- Rahmat Allah {وَبِرَحْمَتِهِ}- dengan al-Quran yang Allah ajar kepada kita!
    Yakni jika kita cari maksudnya ia tidak pergi jauh, semuanya kembali kepada Iman, Islam & al-Quran dan kecintaan, belajar & beramal dengannya.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah:
    {Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.} (Az-Zukhruf 43:32)
  1. Semua rahmat Allah itu lebih baik daripada segala harta yang kita kumpulkan dari muda sehingga tua. 
    Penat kita dok cari & dakap harta; sedangkan semua itu akan kita tinggalkan dan menjadi milik orang lain kelak!
  1. Sebagaimana kisah sedih seorang jutawan Arab yang mati:
    i- Tanpa meninggalkan pewaris terdekat seperti anak isteri, yang ada hanya dijumpai 3 orang pewaris jauh yang tidak pernah dikenali untuk menerima berjuta-juta wang pusakanya. 

    ii- Tetapi apabila diminta oleh Qadhi untuk derma sikit bagi si mati semuanya enggan mengatakan mereka perlu duit itu untuk kegunaan masing-masing.

    iii- Yang lebih sentapnya apabila ada yang berkata: Jika si mati semsa hidupnya tidak derma atau waqafkan hartanya, kenapa kami pula yang kena dermanya???? 

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 57- {Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu,…}-


    Kamu dah terima al-Quran, baca & belajar al-Quran maka ambillah manfaat daripada al-Quran melalui 4 sifatnya itu; 
    i- Menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu,

    ii- Dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu,

    iii- Dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan,

    iv- Serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
    Jika tidak kamu tidak ambilnya rugilah kerana tidak akan mendapat apa-apa manfaat darinya!

    Hadis: Akan tiba masa hilang ilmu daripada manusia:
    عن أبي الدرداء قال : كنا مع النبي صلى الله عليه وسلم فشخص ببصره إلى السماء ثم قال : 
    (( هذا أوان يختلس العلم من الناس حتى لا يقدروا منه على شيء)) 
    فقال زياد بن لبيد الأنصاري : “كيف يختلس منا وقد قرأنا القرآن ؟ فو الله لنقرأنه ولنقرئنه نساءنا وأبناءنا” ، فقال : (( ثكلتك أمك يا زياد إن كنت لأعدك من فقهاء المدينة هذه التوراة والإنجيل عند اليهود والنصارى فماذا تغني عنهم؟)) رواه الترمذي وقال : حسن غريب
    Maksudnya: Kami bersama Nabi SAW, lalu Baginda menengadah ke langit dan berkata:
    ((Sudah hampir masa di mana ilmu akan hilang daripada manusia sehingga mereka tidak dapat memperoleh apa-apa daripadanya))
    Ziyad ibn Labid al-Ansari berkata: 
    Bagaimana ia boleh hilang daripada kita apabila kita telah membaca Al-Quran?
    Demi Allah, kami akan membacanya dan menjadikan wanita dan anak-anak kami membacanya,” 
    Sabda Nabi SAW: Susahlah ibumu jika begini wahai, Ziyad. 
    Sesungguhnya aku mengira kamu di kalangan ulama Madinah.
    Lihatlah Taurat dan Injil ini ada pada orang Yahudi dan Nasrani, tetapi apakah faedahnya bagi mereka?
    [HR at-Tirmizi].

    Yakninya walaupun ada di tangan kita; tetapi jika kita tidak beramal dengannya, tidak ambil apa yang Allah tunjukkan dengannya; maka ketika itu tidak ada faedahnya lagi, sebagaimana puak yahudi & nasrani itu!
    Kita minta berlindung dengan Allah dari termasuk dalam golongan yang tidak mendapat manfaat dari al-Quran!
  1. Ayat 57- {… dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu,..}-

    Al-Quran adalah penawar bagi penyakit hati dalam diri manusia.
    Sebagaimana yang telah disebut tadi al-Quran adalah penawar bagi dua penyakit hati ini:
    i- Penyakit ragu syak & syubhat, ini adalah penyakit orang kafir & munafiq.

    ii- Penyakit nafsu syahwat, hasad dengki suka makan banyak, suka wanita, sombong takabbur dan semuanya!

    Kata para ulama’:
    i- Penyakit syak kita kena cari keyakinan dengan tadabbur al-Quran, ubat keraguan kita cari kekuatan al-Quran.

    ii- Penyakit jahil diubati dengan belajar al-Quran, ubat kepada segala akhlak yang buruk & nafsu syahwat juga ada dalam al-Quran.
    Khulasah untuk semua ini boleh kita baca dalam kitab Penawar Bagi Hati tadi juga.

    Persoalan: 
    Apakah al-Quran juga boleh menyembuhkan penyakit fizikal? 
    Kita jawab bahkan, boleh juga sebagaimana kisah dalam sebuah hadis sahabat yang membaca surah al-Fatihah & meniupnya pada tempat sakit.

    Daripada Abu Sa`id RA, beliau bercerita:
    انْطَلَقَ نَفَرٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي سَفْرَةٍ سَافَرُوهَا حَتَّى نَزَلُوا عَلَى حَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ فَاسْتَضَافُوهُمْ فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمْ فَلُدِغَ سَيِّدُ ذَلِكَ الْحَىِّ فَسَعَوْا لَهُ بِكُلِّ شَيْءٍ لاَ يَنْفَعُهُ شَيْءٌ فَقَالَ بَعْضُهُمْ لَوْ أَتَيْتُمْ هَؤُلاَءِ الرَّهْطَ الَّذِينَ نَزَلُوا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ عِنْدَ بَعْضِهِمْ شَيْءٌ
    Sebahagian sahabat Nabi SAW telah keluar bermusafir. Sehinggalah mereka sampai di suatu kawasan pendalaman. Para sahabat meminta kepada orang kawasan itu untuk menjadikan mereka sebagai tetamu. Namun permintaan mereka ditolak dengan keras. Tiba-tiba pemimpin orang Arab kawasan tersebut telah digigit (oleh kala jengking). Mereka pun melakukan berbagai cara perubatan tetapi tetap juga tidak dapat mengubatinya. Lalu di kalangan mereka ada yang berkata: ‘Bagaimana kalau kita bawakan pemimpin kita kepada kumpulan yang datang tadi. Barangkali mereka mempunyai sesuatu yang dapat mengubati pemimpin kita ini’.
    فَأَتَوْهُمْ فَقَالُوا يَا أَيُّهَا الرَّهْطُ إِنَّ سَيِّدَنَا لُدِغَ وَسَعَيْنَا لَهُ بِكُلِّ شَيْءٍ لاَ يَنْفَعُهُ فَهَلْ عِنْدَ أَحَدٍ مِنْكُمْ مِنْ شَيْءٍ فَقَالَ بَعْضُهُمْ نَعَمْ وَاللَّهِ إِنِّي لأَرْقِي وَلَكِنْ وَاللَّهِ لَقَدِ اسْتَضَفْنَاكُمْ فَلَمْ تُضِيِّفُونَا فَمَا أَنَا بِرَاقٍ لَكُمْ حَتَّى تَجْعَلُوا لَنَا جُعْلاً فَصَالَحُوهُمْ عَلَى قَطِيعٍ مِنَ الْغَنَم
    Lantas mereka pun membawa dia kepada para sahabat, seraya mereka berkata: “Wahai kafilah, pemimpin kami telah digigit (oleh kala jengking). Kami telah berusaha mengubatinya, tetapi tidak berkesan. Adakah kamu mempunyai sesuatu yang dapat mengubatinya?” Salah seorang sahabat Nabi telah berkata: “Ya! Demi Allah aku akan menjampi pemimpin kamu itu. Tetapi demi Allah, sebelum ini kami telah meminta kamu menerima kami sebagai tetamu tetapi kamu benar-benar tidak mahu menerima permintaan kami. Aku tidak akan menolong kamu sehinggalah kamu berjanji memberikan kami sesuatu.”Mereka pun bersetuju untuk memberikan sekumpulan kambing.
    فَانْطَلَقَ يَتْفِلُ عَلَيْهِ وَيَقْرَأُ {الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ} فَكَأَنَّمَا نُشِطَ مِنْ عِقَالٍ فَانْطَلَقَ يَمْشِي وَمَا بِهِ قَلَبَةٌ قَالَ فَأَوْفَوْهُمْ جُعْلَهُمُ الَّذِي صَالَحُوهُمْ عَلَيْهِ
    Sahabat Nabi tersebut pun menghembus pemimpin mereka, dan membaca Surah Al-Fatihah. Seketika kemudian, nampaklah dia sihat kembali. Seakan-akan terbebas dari ikatan tali. Dia bangun dan berjalan, tidak menunjukkan tanda-tanda kesakitan lagi. Lalu mereka pun memberikan barang yang telah dipersetujui tadi.
    فَقَالَ بَعْضُهُمُ اقْسِمُوا فَقَالَ الَّذِي رَقَى لاَ تَفْعَلُوا حَتَّى نَأْتِيَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَنَذْكُرَ لَهُ الَّذِي كَانَ فَنَنْظُرَ مَا يَأْمُرُنَا فَقَدِمُوا عَلَى رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرُوا لَهُ فَقَالَ وَمَا يُدْرِيكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ ، ثُمَّ قَالَ – قَدْ أَصَبْتُمُ اقْسِمُوا وَاضْرِبُوا لِي مَعَكُمْ سَهْمًا فَضَحِكَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم.
    Sebahagian dari sahabat berkata: ‘Bahagikanlah ia’. Namun sahabat nabi yang menjampi tadi berkata: ‘Janganlah dibahagikan lagi, sehinggalah kita telah menemui Nabi SAW, dan kita ceritakan apa yang telah berlaku kepada baginda. Lalu kita lihatlah apa yang akan diperintahkan baginda kepada kita.’Mereka pun bertemu Rasulullah SAW lantas menceritakan kisah yang berlaku. Rasulullah pun bertanya: ‘Bagaimana kamu tahu bahawa al-Fatihah itu boleh dijadikan jampi?’ kemudian Rasulullah berkata lagi: ‘Benarlah apa yang kamu lakukan. Bahagikanlah pemberian itu, dan berikanlah kepadaku sedikit’ lalu Rasulullah SAW pun ketawa”.
    [HR Al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari: 2276]

    Tetapi kena ingat al-Quran ini bukan kitab perbomohan, jangan djadikan ayat-ayat al-Quran sebagai jampi kepada penyakit-penyakit.
    Ada sebahagian orang yang membahagikan ayat-ayat al-Quran tertentu kepada penyakit-penyakit tertentu dan diajar kepada orang ramai, jangan main-main!
    Ubat kejahilan dengan belajar, ubar keraguan cari kekuatan al-Quran, ubat akhlak yang buruk kita baca al-Quran bahawa dunia ini sementara kita tidak perlu kejarnya. 

    Khulasahnya: Ubat kepada segala akhlak yang buruk ada dalam al-Quran sebagaimana yang dihuraikan dalam Kitab Penawar bagi Hati. 
  1. Ayat 57- {… dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan,}-

    Al-Quran ini sifatnya sebagai hidayah petunjuk & rahmat kepada orang beriman!
    Maka jika kamu nak selamat, naik ikut jalan yang betul, maka carilah melalui hidayah petunjuk dalam al-Quran bukan cari undang-undang & peraturan ciptaan manusia.
    Ini yang sepatutnya kita amalkan & apabila beramal dengan al-Quran kita akan dapat rahmat dari Allah!  
    Apabila kita beramal dengan al-Quran kita akan dapat rahmat dari Allah kerana Dia akan beri hidayah petunjuk untuk kita berjalan di atas jalan yang benar yang diredhai Allah! 
  1. Ayat 58- {Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya,…}-

    Sebagaimana kita bincang di atas tadi; limpah kurnia Allah ini ulama’ kata berbagai maksudnya-ada kata iman, Islam, rahmat, al-Quran dan seumpamanya.
    Alhamdulillah kita telah dapat limpah kurnia Allah dengan kita dapat belajar al-Quran & dengan kita sudah ada iman dalam hati kita alhamdulillah.
    Maka peganglah al-Quran, gigitlah dengan kemas selagi hayat di kandung badan, al-Quran wajib dipelajari, dihayati & diamalkan, bukan sekadar untuk musabaqah & pertandingan.

    Wasiat Syeikh Ibrahim bin Abdul Wahid al-Maqdisi kepada muridnya ad- Dhiya’ al-Maqdisi yang mahu pergi musafir:
    “Perbanyaklah membaca Al-Quran jangan pernah kau tinggalkan, kerana sesungguhnya setiap yang kamu inginkan akan dimudahkan setara dengan yang kamu baca.” Dhiya’ memberitahu: Aku pun menyaksikan kebenarannya dan telah mencubanya berkali-kali. Setiap kali aku banyak membaca Al-Quran, aku dimudahkan untuk mendengar dan menulis banyak riwayat hadis. Namun ketika aku tidak membaca Al-Quran, semua itu terasa sulit bagiku.”  [Kisah nukilan Ibnu Rajab]. 
    Masya’ Allah itulah keberkatan al-Quran maka perbanyakkan mengaji al-Quran supaya kita mendapat manfaatnya.
  1. Ayat 58- {… maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya),…}-

    Kerana itu kita kena gembira dengan apa yang kita miliki sekarang! 
    Aku gembira aku Islam & beriman, aku gembira Allah pilih aku untuk belajar agama dan belajar al-Quran, aku gembira Allah pilih aku di pondok untuk belajar agama! 
    Tiada apa yang kita cuba sampaikan kepada jemaah kecuali yang terbaik! 
    Jangan kurang bersemangat dengan sebab tiada yang menarik dan pelik yang tidak menepati Sunnah Nabi SAW.
    Ayat ini juga biasanya dibaca pada akhir Ramadhan menunjukkan kegembiraan kita kerana berjaya menyelesaikan ibadat yang besar seperti puasa, ibadat solat tarawih, tadabbur, sedekah & tahajjud.
    Juga dibaca selepas selesai ibadat yang besar seperti haji juga.
    Secara umumnya kita bergembira dengan iman & Islam yang kita miliki, dengan al-Quran dengan Sunnah yang kita pelajari, kita bergembira dengan apa yang kita ada dari anugerah Allah, alhamdulillah.
    Ini kerana orang yang gembira menunjukkan dia redha, apabila dia redha dia akan gembira dengan apa yang dia ada.
    Ketika itulah kita akan naik darjat mendapat keredhaan & mahabbah Allah SWT.  
    Redha & mahabbah seiring, setakat maka kita cintakan Allah, setakat mana kita cintakan al-Quran, maka setakat itulah kita akan redha dengan apa yang kita ada!

    Pada akhir ayat Allah kata dapat iman, seperti Islam & dapat al-Quran ini lebih baik daripada mengumpul & mendapat harta yang banyak, kerana akhirnya harta akan ditinggalkan dan akan menjadi milik orang lain! 
    Semoga Allah beri taufiq kepada kita semua kepada jalan yang diredhai-Nya!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top