View Categories

(21) Surah Al-Ahzab: Ayat 69-71

13 min read

LARANGAN MENYAKITI NABI DAN ORANG BERIMAN, NABI MUSA SENTIASA DIKACAU OLEH BANI ISRAEL & KELEBIHAN BERCAKAP BENAR.

Full video : https://youtu.be/Pew9Lmh9sbs?si=MWzkkh_OsxH-oqtX

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini adalah tentang larangan daripada menyakiti Nabi SAW dan orang beriman sebagaimana Nabi Musa AS telah disakiti oleh kaum bani Israil.
  1. Dalam ayat hari ini ialah menyakiti dengan perkataan atau tuduhan yang tidak baik. Ia tetap satu perbuatan mungkar dan berdosa.
  1. Allah SWT juga memerintahkan agar kita sentiasa bercakap benar dan kelebihan pahala yang besar bagi orang yang bercakap benar.
  1. Dalam siri yang lepas, sudah ada larangan daripada menyakiti Allah dan Rasul-nya segi aqidah, iaitu dengan kufur atau syirik.
    Maka laknat dan siksaan Allah SWT ke atas mereka.
  1. Juga ayat-ayat yang mengajar adab berinteraksi dengan Rasulullah SAW, sama ada menjadi tetamu Baginda atau di luar rumahnya, jangan menyusahkannya. Juga adab berinteraksi dengan para Ummahatul-Mukminin, isteri-isteri Rasulullah SAW.
  1. Ayat kita hari ini adalah seolah satu kesimpulan tentang semua adab dan perintah ini. Amaran kepada orang beriman agar jangan menyakiti Rasulullah SAW dengan kerenah, perbuatan dan kata-kata.

AYAT 69 – {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, JANGANLAH KAMU MENJADI SEPERTI ORANG-ORANG (YAHUDI) YANG TELAH MENCACI NABI MUSA, LALU ALLAH MEMBERSIHKANNYA DARI SEGALA CACIAN YANG MEREKA KATAKAN; DAN ADALAH DIA SEORANG YANG MULIA DI SISI ALLAH.} (AL-AHZAB 33:69)

  1. Allah SWT berfirman mengingatkan hamba-hamba-Nya yang mukmin agar tidak menyakiti Rasulullah SAW seperti mana kaum bani Israil yang menyakiti Musa AS.
  1. Nabi Musa AS sering dicaci dan dihina oleh bani Israil sehingga Allah SWT membersihkannya dari segala cacian dan tuduhan mereka itu.
  1. Kisah ini: Timbul ekoran dari kisah selepas perang Hunain, Rasulullah SAW. melakukan pembahagian (harta rampasan perang). Baginda SAW bersabda kepada para sahabatnya, “Semoga tiada seorang pun yang menyampaikan suatu berita yang tidak enak kepadaku dari seseorang di antara sahabat-sahabatku. Sesungguhnya aku ingin selesai urusan dengan dari kamu, sedangkan hatiku dalam keadaan lega.”
    Kemudian Rasulullah SAW membahagi-bahagikan harta rampasan itu. Baginda mengutamakan beberapa orang. Baginda memberikan Aqra’ bin Habis seratus ekor unta, memberikan kepada ‘Uyainah seperti itu dan memberikan juga kepada beberapa pemuka Arab. (Mereka ini golongan yang baru masuk Islam).
    Abdullah ibnu Mas’ud RA melintas dekat dua orang lelaki. Salah seorangnya berkata kepada temannya, “Demi Allah, Muhammad tidak menghendaki redha Allah dengan pembahagiannya ini, tidak pula pahala akhirat (tidak adil dalam pembahagiannya).”
    Abdullah ibnu Mas’ud berkata, “Hai musuh Allah, camkanlah, sesungguhnya aku benar-benar akan menceritakan apa yang kamu katakan itu kepada Rasulullah.” Lalu Ibnu Mas’ud datang menghadap kepada Rasulullah SAW dan menceritakan hal itu.
    Maka wajah Rasulullah SAW berubah menjadi merah (kerana marah) dan kelihatan Baginda merasa tidak sedap mendengar berita itu. Baginda SAW bersabda, “Siapakah yang akan berbuat adil jika Allah dan Rasul-Nya tidak berbuat adil? Aku tidak pedulikan beritamu itu. Semoga Allah merahmati Musa. Sesungguhnya dia telah disakiti dengan yang lebih dari ini, namun dia tetap bersabar.”
    [HR Bukhari & Muslim].
  1. Hadis tentang kesinambungan ayat ini turun: Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
    عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ مُوسَى كَانَ رَجُلًا حَيِيًّا سِتِّيرًا لَا يُرَى مِنْ جِلْدِهِ شَيْءٌ اسْتِحْيَاءً مِنْهُ فَآذَاهُ مَنْ آذَاهُ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ ، فَقَالُوا : مَا يَسْتَتِرُ هَذَا التَّسَتُّرَ إِلَّا مِنْ عَيْبٍ بِجِلْدِهِ إِمَّا بَرَصٌ وَإِمَّا أُدْرَةٌ وَإِمَّا آفَةٌ وَإِنَّ اللَّهَ أَرَادَ أَنْ يُبَرِّئَهُ مِمَّا ، قَالُوا لِمُوسَى : فَخَلَا يَوْمًا وَحْدَهُ فَوَضَعَ ثِيَابَهُ عَلَى الْحَجَرِ ثُمَّ اغْتَسَلَ فَلَمَّا فَرَغَ أَقْبَلَ إِلَى ثِيَابِهِ لِيَأْخُذَهَا وَإِنَّ الْحَجَرَ عَدَا بِثَوْبِهِ فَأَخَذَ مُوسَى عَصَاهُ وَطَلَبَ الْحَجَرَ فَجَعَلَ ، يَقُولُ : ثَوْبِي حَجَرُ ثَوْبِي حَجَرُ حَتَّى انْتَهَى إِلَى مَلَإٍ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ فَرَأَوْهُ عُرْيَانًا أَحْسَنَ مَا خَلَقَ اللَّهُ وَأَبْرَأَهُ مِمَّا ، يَقُولُونَ : وَقَامَ الْحَجَرُ فَأَخَذَ ثَوْبَهُ فَلَبِسَهُ وَطَفِقَ بِالْحَجَرِ ضَرْبًا بِعَصَاهُ فَوَاللَّهِ إِنَّ بِالْحَجَرِ لَنَدَبًا مِنْ أَثَرِ ضَرْبِهِ ثَلَاثًا أَوْ أَرْبَعًا أَوْ خَمْسًا فَذَلِكَ قَوْلُهُ : يَأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَكُونُوا كَالَّذِينَ آذَوْا مُوسَى فَبَرَّأَهُ اللَّهُ مِمَّا قَالُوا وَكَانَ عِنْدَ اللَّهِ وَجِيهًا
    Maksudnya: “Bani Israil biasa mandi dengan bertelanjang, satu sama lain saling melihat anggota badan temannya. Tetapi Musa AS adalah seorang lelaki yang pemalu dan menutupi diri. Kulitnya sedikit pun tidak kelihatan kerana malu (ketika mandi). Atau dia mandi seorang diri. Di antara Bani Israil ada orang-orang yang menyakitinya, mereka mengatakan bahawa Musa AS enggan mandi bersama-sama dengan mereka atau menutup dirinya seperti itu kerana kulitnya cacat, sopak, udrah (uluran/hernia) atau kerana penyakit kulit lain. Allah SWT mahu membersihkan Musa AS dari tuduhan yang mereka lontarkan itu. Maka pada suatu hari, Musa AS bersendirian. Dia meletakkan pakaiannya di atas sebuah batu, kemudian mandi. Setelah selesai mandi, Musa AS menuju ke arah batu itu untuk mengambil pakaiannya. Tetapi batu itu berlari membawa pakaiannya, maka Musa AS mengambil tongkatnya dan mengejar batu itu seraya berkata, “Hai batu, kembalikan pakaianku! Hai batu, kembalikan pakaianku!” Sehingga Musa AS sampai di hadapan sekumpulan orang Bani Israil, dan mereka melihat Musa AS dalam keadaan telanjang bulat sebagai seorang yang bertubuh sempurna tiada cacat atau penyakitnya. Allah SWT telah membersihkannya dari apa yang dituduhkan oleh mereka. Akhirnya batu itu diam, lalu Musa AS mengambil pakaiannya dan memakainya, setelah itu Musa AS memukul batu itu dengan tongkatnya. Sesungguhnya Sungguh demi Allah, pada batu tersebut masih tampak bekas pukulan Musa, tiga, empat atau lima pukulan. Inilah di antara kisah Nabi Musa seperti yang difirmankan Allah Ta’ala: {“Wahai orang-orang beriman janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang mengolok-olok (menyakiti) Musa lalu Allah membersihkannya dari tuduhan-tuduhan yang mereka katakan”}. (HR. Al-Bukhari no. 3404)
  1. Allah SWT membersihkan Musa AS dari tuduhan jahat ini. Musa AS mempunyai kedudukan yang tinggi dan terhormat di sisi Allah SWT. Beliau adalah orang yang sentiasa dikabulkan doanya, setiap kali memohon sesuatu kepada Allah, pasti Allah memperkenankannya. Musa AS juga seorang nabi yang berkata-kata secara lansung dengan Allah SWT, dengan gelaran “Kalimullah”.
  1. Inilah maksudnya menyakiti iaitu dengan tuduhan, perkataan, fitnah dan tuduhan jahat kepada para Nabi dan orang mukmin umumnya. Sebagai contoh Musa AS dituduh berpenyakit kulit, manakala Rasulullah SAW pula dituduh tidak adil. Banyak lagi karenah mereka terhadap para nabi selain dari hadis ini.
  1. Begitu juga jika mereka-reka, mencipta sesuatu ajaran atau amalan baru yang tidak diajar oleh Rasulullah SAW, adakah kita kata ajaran dan maklumat yang Nabi SAW beri dan sampaikan kepada kita itu tidak lengkap, berat dan tidak cukup lagi? Walaupun tidak kata direct dengan mulut tetapi seolah-olah begitulah maksudnya! Maka hati-hati dan beringatlah!

AYAT 70 – {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, BERTAQWALAH KEPADA ALLAH, DAN KATAKANLAH PERKATAAN YANG TEPAT, BENAR (DALAM SEGALA PERKARA),} (AL-AHZAB 33:70)

  1. Selepas melarang dari menyakiti Nabi dan orang mukmin, Allah SWT menyeru pula orang yang beriman agar menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah SWT. Taqwa ialah melakukan segala perkara yang baik yang disuruh dan meninggalkan segala buruk yang dilarang.
  1. Inilah yang dikatakan dari segi ilmu tasauf: التخلية والتحلية
    i- Kosongkan dulu: التخلية hati/diri daripada segala sifat buruk seperti menyakiti Nabi dan orang beriman, kemudian;

    ii- Hiasi dan mengisinya التحلية dengan sifat yang baik iaitu taqwa dan bersifat benar dalam segala perkara.
  1. Allah SWT memerintahkan agar kita berkata yang benar, yang haq dalam semua perkara, yang lurus tiada bengkok sana sini.
  1. Kata Imam al-Hafiz Ibnu Kathir RHM: Yang menukilkan dari ulama’ tafsir Ikrimah akan maksud perkataan yang benar قَوْلًا سَدِيدًا ini:
    i- Yang paling tinggi sekali ialah mengucapkan kalimah syahadah.
    لا إله إلا الله

    ii- Benar & betul dalam semua keadaan.

    iii- Membaca al-Quran

    iv- Membaca zikir seperti 4 kalimah سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ

    v- Amar ma’ruf.

    vi- Nahi/melarang perbuatan munkar.

    vii- Mempelajari ilmu dan mengajarkannya,

    viii- Ambil perhatian dalam masalah ilmiah, berusaha sesuai dengan kebenaran dalam berbagai masalah ilmiah, periksa dulu sebelum bercakap atau menyampaikan sesuatu ilmu, kena teliti dan muraj’ah dulu. Jika tersalah betulkan balik, jangan keras kepala.

    ix- Juga semua perbuatan yang membawa kebaikan ialah kebenaran yang dipuji.
  1. Wajib kita benar dalam semua perkara, lebih-lebih lagi yang utamanya:
    i- Benar kepada Allah SWT, seperti menafsirkan ayat-ayat al-Quran, jangan pandai-pandai tanpa merujuk kitab atau ulama’ yang muktabar.

    ii- Benar kepada Rasulullah seperti dalam menyandarkan sesuatu hadis atau amalan kepada Baginda SAW! Wajib rujuk dulu kepada kitab dan ulama’ yang muktabar.

    iii- Benar dalam muamalah kepada sesama manusia. yang benar kita nyatakan yang buruk pun kita nyatakan serta baiki.
  1. Bagi penuntut ilmu pula wajib belajar menilai dulu sebelum menerima dan beramal dengan sesuatu ilmu yang didengar! Menjadi tanggungjawab kita sebelum menerima dan jangan taksub dengan sebab sosok bukan sebab ilmu! Dalam hidup kita ini kena ada timbang tara!

AYAT 71 – {SUPAYA IA MEMBERI TAUFIQ DENGAN MENJAYAKAN AMAL-AMAL KAMU, DAN MENGAMPUNKAN DOSA-DOSA KAMU. DAN (INGATLAH) SESIAPA YANG TAAT KEPADA ALLAH DAN RASULNYA, MAKA SESUNGGUHNYA IA TELAH BERJAYA MENCAPAI SEBESAR-BESAR KEJAYAAN.} (AL-AHZAB 33:71)

  1. Apabila kita bersifat benar dalam semua perkara di atas; apa yang akan kita akan dapat? Allah memberikan balasan dan kelebihan yang sebaik-baiknya.
  1. Pertamanya Allah SWT akan memberi kita taufiq untuk memperbaikkan amalan kita, menjadi amalan soleh yang diqabul oleh-Nya. Bila kita telus dan benar inilah yang kita dapat.
  1. Begitu banyak kelebihan taqwa dan benar sebagaimana firman Allah SWT ini:
    i- {(Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;} (Al-Ma’idah 5:27)

    ii- {Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.} (At-Talaq 65:4)

    iii- {Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya, dan akan membesarkan pahala balasannya.} (At-Talaq 65:5) Iaitu orang yang benar; Allah SWT akan ampunkan dosa dan kesalahannya.
  1. Allah tegaskan bahawa: {Sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.}
  1. Yakni sesiapa yang mentaati Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar, sebesar-sebesar kejayaan dengan selamat dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan yang kekal.
  1. Kembar ayat ini ialah firman Allah SWT:
    {Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.} (Ali-‘Imran 3:185)
  1. Ingatlah sebagaimana kata ulama’ salafus-soleh: Kejayaan yang hakiki dan kerehatan yang abadi ialah apabila kita menjejakkan kaki dalam syurga nanti, insya’ Allah. Atas dunia ini kita ada tugas, tanggungjawab dan taklif yang perlu ditunaikan.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 69 – {Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi..}-

    Allah SWT menyeru orang yang beriman kerana hanya orang yang beriman akan dengar, taat, patuh dan ikut arahan yang akan dibawa ini.
    Bukan yang kafir, ingkar lagi mendustakan.
  1. Ayat 69 – {Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa,}-

    Haram menyakiti Rasulullah SAW sama ada dengan perkataan, perbuatan dan semuanya, begitu juga kepada orang mukmin lain. Selepas kewafatan Baginda kena jaga terutamanya jangan sandarkan apa yang Nabi tak kata dan buat kepada Baginda SAW, jangan menyakit dan mencela keluarga Baginda selepas kewafatannya.
  1. Ayat 69 – {Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa}-

    Wajib memuliakan kedudukan Rasulullah sesuai dengan kemuliaan yang Allah bagi kepadanya, sebagaimana yang Baginda sendiri ajar.
  1. Ayat 70 – {Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah}-

    Maka selepas mengetahui kedudukan Nabi SAW ini, maka hendaklah kamu menjadi orang yang bertaqwa dan patuh.
  1. Ayat 69 – {Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa,}-

    Kenapa Allah SWT membuat bandingan dengan Nabi Musa AS di sini? Kerana Allah SWT mahu kita nampak betapa buruknya perbuatan dan perangai kaum yahudi bani Israil yang menyakiti nabi mereka, mereka adalah satu kaum yang dilaknat, maka kita jangan ikut perbuatan mereka dan jadi seperti mereka!
  1. Ayat 69 – { lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah.}-

    Nabi Musa AS ini adalah seorang yang mulia dan ada kedudukan di sisi Allah SWT. Musa AS adalah seorang nabi yang Allah SWT berikan kelebihan, ceritanya banyak sekali dalam al-Quran. Dia juga yang berkata-kata dengan Allah “Kalimullah”.
  1. Ayat 70 – {Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat, benar (dalam segala perkara),}-

    Sifat taqwa akan membawa kepada perbuatan, sifat dan perkataan benar. Betulkan hati dan keimanan dulu, barulah sifat benar akan datang. Sebagai orang yang bertanggungjawab dan jika diikuti ramai, para pendakwah kena perbaiki dirinya dulu untuk menjadi contoh ikutan yang baik untuk orang di bawahnya sama ada anak isteri, keluarga, murid dan pengikut yang ada.
  1. Ayat 70 – {Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat, benar (dalam segala perkara),}-

    Bagi orang mukmin semua kena benar sama ada perbuatan atau percakapan. Allah akan anugerah hidayah dan perbaikkan urusannaya.
  1. Ayat 71 – {Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu.}-

    Ayat ini menjadi dalil bahawa sifat taqwa dan benar akan membawa kebaikan di sisi Allah SWT sama ada di dunia dan akhirat.
  1. Ayat 70 & Ayat 71:

    Ini adalah termasuk dalam ayat yang dibaca oleh Rasulullah SAW dalam Khutbah Hajat خطبة الحاجة (khutbah permulaan) sebelum memulakan sesuatu majlis, ucapan atau ceramah, ia terdiri daripada ayat-ayat al-Quran ini sebagai yang diajar oleh Rasulullah SAW di dalam hadisnya:
    Abdullah bin Mas’ud RA berkata : Rasulullah SAW telah mengajarkan kami tentang Khutbah Hajat :
    عَلَّمَنا رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم خُطْبَةَ الحاجةِ الْحَمْدُ للهِ نَحْمَدُه ونستعينُه ، ونستغفرُه ، ونعوذُ باللهِ من شرورِ أنفسِنا ، ومن سيئاتِ أعمالِنا ، مَن يَهْدِهِ اللهُ فلا مُضِلَّ له ، ومَن يُضْلِلْ فلا هادِيَ له ، وأشهدُ أن لا إله إلا اللهُ وحدَه لا شريكَ له ، وأشهدُ أنَّ مُحَمَّدًا عبدُه ورسولُه . يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًاكَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا. (النساء : 1 .) يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ. (آل عمران : 102 ). يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا. ( الأحزاب ( 70 ، 71) .] المصدر : صحيح ابن ماجه, الراوي : عبدالله بن مسعود خلاصة حكم المحدث : صحيح
    Bermaksud: “Segala puji-pujian bagi Allah, yang pada-Nya-lah kita meminta pertolongan, keampunan dan juga perlindungan dari kejahatan-kejahatan diri-diri kita. Siapa yang diberi hidayah oleh Allah, dia tidak akan sekali-kali akan sesat, dan siapa yang dikehendaki kesesatan oleh Allah, nescaya tidak akan mendapat hidayah petunjuk. Aku bersaksi bahawa tiada sembahan melainkan Allah, dan aku juga bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba-Nya dan utusan-Nya. Wahai orang-orang beriman:
    Firman Allah: {Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhatikan (mengawasi) kamu.} [Surah An-Nisa’: 1]
    Firman Allah: {Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.} [Surah Ali-‘Imran: 102]
    Firman Allah: {Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara). [Surah Al-Ahzab: 70].
    [HR Sahih Ibnu Majah, Isnad hadis ini sahih mengikut syarat Imam Muslim].

    Khutbah Hajat Untuk Memulakan Majlis; adalah suatu sunnah yang telah diajarkan oleh Rasulullah kepada umatnya ketika memulakan setiap ucapan. Walaupun pada dasarnya, hadis yang menunjukkan ucapan ini bermula ketika menyampaikan hajat bertunang, tetapi ia umum kepada semua jenis hajat seperti memulakan forum, ucapan pidato, perasmian, tazkirah, pengajian, pengajaran, memberikan fatwa dan pendapat, dan sebagainya.
    Ia bukanlah suatu ucapan yang wajib dibaca, tetapi ia telah menjadi kebiasaan para ulama, guru-guru, penulis buku ilmiah, dan umat Islam selainnya.
    Semoga dengan penyebaran sunnah ini, akan menjadikan kita semua mendapat ganjaran pahala dari Allah Taala. Ia perlu dihafal, diamalkan dan disebarkan.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top