View Categories

(12) Surah Al-Hajj: Ayat 55-62

7 min read

GOLONGAN RAGU KEBENARAN NABI SAW, KELEBIHAN MATI PADA JALAN ALLAH & KUASA ALLAH SILIH BERGANTI MALAM DAN SIANG.

Full video : https://youtu.be/iSY4KbYlJZA?si=njWKiIgIEJa2dYCJ

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang lepas kita telah bincangkan tentang beberapa sifat orang kafir yang hatinya telah keras dan mati dari menerima kebenaran.
  1. Dinyatakan bahawa salah satu tugas Rasulullah SAW adalah sebagai pemberi amaran (nazir –( نَذِيرٌ yang menjelaskan keterangan-keterangan tanpa keraguan.
  1. Kemudian diceritakan pula tentang keadaan orang mukmin dan nikmat balasan pahala yang menanti mereka di akhirat.
  1. Kemudian dalam ayat 55 dalam siri ini kembali menceritakan tentang sifat orang kafir yang keras kepala dan masih ragu-ragu tentang kebenaran al-Quran.

AYAT 55- {DAN ORANG-ORANG KAFIR TETAP DI DALAM KERAGUAN TERHADAP AL-QURAN HINGGA DATANG KEPADA MEREKA SAAT KIAMAT SECARA MENGEJUT, ATAU DATANG KEPADA MEREKA AZAB HARI YANG TIDAK ADA KEBAIKAN UNTUK MEREKA.} (AL-HAJJ 22:55) 

  1. Allah SWT menyatakan bahawa orang kafir tetap dalam keraguan tentang al-Quran, kerana itu mereka tidak beriman. Walaupun sudah dibawa pelbagai dalil dan bukti, bila hati sudah tertutup tiada gunanya.
  1. Maka kita mesti minta pedoman dan petunjuk dari Allah SWT agar kita dapat melihat kebenaran dan memilih yang terbaik lalu menjadi baik, insya’ Allah.
    Doa yang diajar oleh Rasulullah SAW:
    ،اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ. ،وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً، وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ
    ‘’Ya Allah, perlihatkanlah kepada kami kebenaran sebagai kebenaran dan kuatkanlah kami untuk mengikutinya. Serta tunjukkanlah kepada kami kesalahan sebagai kesalahan dan berikanlah kekuatan untuk menjauininya.’‘ (HR Imam Ahmad).
  1. Jangan seperti kafir yang sombong dan keras kepala, عناداً واستكباراً walaupun sudah nampak kebenaran. Jika ada dua sifat ini rosak binasalah manusia.
  1. Sampai bila mereka mahu menjadi begini? Sehinggalah tiba hari Kiamat yang datang secara mengejut. Sama ada Kiamat dunia yang hakiki atau Kiamat individu iaitu mati. Pada hari ini banyak sekali berlaku mati mengejut & gempa bumi antara tanda-tanda Kiamat.
  1. Jika mati mengejut sedang buat kebaikan maka itu husnul-khatimah, alhamdulillah. Tetapi jika sebaliknya amat malang sekali.
  1. Allah SWT sebut: {… azab hari yang tidak ada kebaikan ((عقيم untuk mereka.}
    Ulama’ berselisih pendapat tentang makna ((عقيم ‘aqim ini:
    i- Di sini diterjemah: Hari yang tidak ada kebaikan, iaitu bagi orang tidak beriman.

    ii- Ada juga kata ‘aqim: Dengan makna mandul atau terputus keturunan.

    iii- Kerana itu ada kata hari peperangan Badar sebagai hari ‘aqim. Kerana selepas kekalahan mereka orang kafir itu sudah terputus/kosong kerana ramai ketua-ketua mereka yang mati terbunuh.

    v- Majoriti ulama’ kata: Yang dikehendaki ialah Hari berlakunya Kiamat. Ia dikatakan hari yang mandul kerana pada hari itu tiada lagi pertukaran waktu siang dan malam kerana matahari & bulan sudah musnah. Hari itu begitu saja, panjang dan statik, lamanya terasa seperti 1000 tahun. 

AYAT 56- {KUASA PEMERINTAHAN PADA HARI KIAMAT ITU TERTENTU BAGI ALLAH. IA AKAN MENGHUKUM DI ANTARA MEREKA. MAKA ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH DITEMPATKAN DI DALAM SYURGA YANG PENUH DENGAN SEGALA NIKMAT DAN KESENANGAN;} (AL-HAJJ 22:56)

  1. Kuasa pemerintahan pada hari Kiamat itu tertentu yakni khas bagi Allah SWT.
  1. Itulah janji Allah SWT, setiap orang akan diadili, dipersoal dan dipertanggungjawabkan dengan perbuatannya.
  1. Maka orang yang beriman dan beramal soleh ditempatkan di dalam Syurga yang penuh dengan segala nikmat dan kesenangan.
  1. Amal soleh itu hanya akan diterima jika seseorang itu beriman, jika tidak sia-sia sahaja.

AYAT 57- {DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR SERTA MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI, MAKA MEREKA BEROLEH AZAB SEKSA YANG MENGHINA.} (AL-HAJJ 22:57)

  1. Manakala orang yang tidak beriman dan mendustakan walaupun mereka tahu semua itu benar, maka bagi mereka azab yang hina dan pedih tidak terperi sakitnya.

BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Allah SWT sebut: {..orang-orang yang beriman dan beramal soleh}.
    Inilah asas atau tapak untuk bina amal soleh, kerana jika tidak sama seperti orang munafik yang buat banyak kebaikan, tetapi mereka tidak beriman.
  1. Pengakuan beriman sahaja tidak cukup, mesti diikuti dengan amal soleh.
  1. Kesimpulannya: Apabila seseorang itu beramal tetapi tidak beriman maka tidak ada nilai amalnya di sisi Allah, begitu juga jika beriman sahaja tanpa beramal.
  1. Hikmah kenapa Allah SWT sentiasa menyebut bersama dua perkara atau cerita yang berkembar serta ada ada yang sebaliknya? Seperti tentang Nabi & penentangnya, orang kafir & orang mukmin, tentang syurga dan neraka, wali Allah dan wali syaitan dan lain-lain.
    Kata ulama’ dalam al-Quran itu ada kisah berkembar (Mathani):
    i- Supaya manusia tidak jemu dan bosan mendengar kisah pengajaran dari al-Quran.

    ii- Manusia ini sedang berjalan kepada Allah SWT mesti berada dalam dua keadaan, al-khauf iaitu takut apabila mendengar kisah orang jahat neraka dan lain-lain. Yang buruk manakala apabila mendengar tentang kisah nabi-nabi dan orang soleh, tentang nikmat syurga; maka kita menjadi berharap, ar-Raja’: Agar kita termasuk dalam golongan ini.

AYAT 58- {DAN ORANG-ORANG YANG BERHIJRAH PADA JALAN ALLAH, KEMUDIAN MEREKA TERBUNUH ATAU MATI, SUDAH TENTU ALLAH AKAN MENGURNIAKAN KEPADA MEREKA LIMPAH KURNIA YANG BAIK. DAN (INGATLAH) SESUNGGUHNYA ALLAH ADALAH SEBAIK-BAIK PEMBERI LIMPAH KURNIA.} (AL-HAJJ 22:58)

  1. Allah sebut pula tentang orang yang berhijrah pada jalan Allah, keluar dari rumahnya semata-mata untuk berjuang di jalan Allah lalu terbunuh atau mati.
  1. Sama ada mati terbunuh atau mati biasa, maka Allah SWT akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik, yakni balasan rezeki yang baik-baik. Jika tidak dapat di atas dunia ini, di akhirat esok insya’ Allah, di dalam syurga yang abadi. 
  1. Sebelum ini Allah SWT sebut balasan rezeki (limpah kurnia) dari Tuhan Yang Pemurah, yakni unlimited, tidak terbatas.
  1. Hijrah ada dua:
    i- Secara fizikal seperti keluar berhijrah meninggalkan tanah air seperti Rasulullah SAW dan para sahabat, dari makhluk ke Madinah, demi agama.

    ii- Hijrah dengan hati: Yakni meninggalkan segala perbuatan syirik, mungkar dan maksiat. Kita sekarang ini hanya berpeluang untuk melakukan hijrah hati, tinggalkan dan buang.
  1. Hadis: Sabda Rasulullah SAW :
    رباط يوم وليلة خير من صيام شهر وقيامه وإن مات أجزى عليه عمله الذي كان يعمله وأجري عليه رزقه وأمن الفتان
    Maksudnya : ”Berjaga satu hari dan satu malam (kerana menjaga sempadan negara) adalah terlebih baik daripada puasa sunat sebulan dan Qiyammullail pada malamnya, dan jikalau dia mati akan diberikan kepadanya pahala amalan ( berkawal tersebut ) yang dilakukannya dan juga dikurniakan rezeki padanya dan di selamatkan daripada fitnah.” [HR Muslim].
  1. Firman Allah SWT: {“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;}. [Al-Baqarah: 154].
  1. Allah sudahi ayat ini dengan mengingtakan bahawa sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia.
  1. Kata Imam Sayuthi: Kematian yang terbaik adalah mati syahid di medan peperangan, kerana itu Rasulullah beritahu tidak perlu dimandikan. 

AYAT 59- {SUDAH TENTU ALLAH AKAN MEMASUKKAN MEREKA (YANG TERSEBUT ITU) KE TEMPAT YANG MEREKA SUKAI (SYURGA), DAN SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA PENYABAR.} (AL-HAJJ 22:59) 

  1. Yakni mereka diberi balasan syurga yang amat diingini oleh semua manusia.
  1. Allah SWT itu yang Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar, semasa di atas dunia ini semua hamba-Nya yang beriman atau tidak semuanya mendapat rezeki nikmat hidup.

AYAT 60- {DEMIKIANLAH (JANJI BALASAN ALLAH YANG MELIMPAH-LIMPAH ITU). DAN SESIAPA YANG MEMBALAS KEJAHATAN ORANG, SAMA SEPERTI YANG DILAKUKAN KEPADANYA, KEMUDIAN IA DIANIAYA LAGI, DEMI SESUNGGUHNYA ALLAH AKAN MENOLONGNYA. (DALAM PADA ITU INGATLAH) SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PEMAAF, LAGI MAHA PENGAMPUN.}(AL-HAJJ 22:60)

  1. Janji Allah SWT untuk memberi segala pahala kebaikan kepada hamba-Nya adalah melimpah-limpah yakni tidak terbatas.
  1. Sesiapa yang membalas kejahatan orang ke atasnya dengan ikut hukum qisas (balasan setimpal mengikut hukum Syariah), kemudian dia dianiayai lagi, sama ada oleh orang jahat itu sendiri atau keluarganya, pasti Allah SWT akan menolongnya untuk mendapatkan keadilan semula.
  1. Dalam masa yang sama ingatlah Allah itu Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun, selagi ada ruang, sebelum mati jika seseorang itu bertaubat Allah akan terima!!

AYAT 61- { (PERTOLONGAN YANG DIJANJIKAN ALLAH TETAP BERLAKU) KERANA ALLAH BERKUASA MENUKAR GANTIKAN SESUATU KEADAAN SEBAGAIMANA KUASANYA MEMASUKKAN MALAM PADA SIANG DAN MEMASUKKAN SIANG PADA MALAM (SILIH BERGANTI); DAN (INGATLAH) SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MELIHAT.} (AL-HAJJ 22:61) 

  1. Apa saja yang Allah SWT janjikan akan berlaku, kerana Allah SWT itu Maha Berkuasa untuk membuat dan menukar semua keadaan sebagaimana pertukaran siang dan malam yang silih berganti.
  1. Allah SWT itu Maha Mendengar lagi Maha Melihat . سميع بصير
    Inilah dua sifat Allah yang amat besar, jika kita yakin dengan dua sifat ini maka kita tidak akan berani untuk melakukan dosa dan maksiat.

AYAT 62- {BERSIFATNYA ALLAH DENGAN KEKUASAAN DAN LUAS ILMU PENGETAHUAN ITU KERANA BAHAWASANYA ALLAH, DIA LAH SAHAJA TUHAN YANG SEBENAR-BENARNYA, DAN BAHAWA SEGALA YANG MEREKA SEMBAH SELAIN DARI ALLAH ITULAH YANG NYATA PALSUNYA. DAN (INGATLAH) SESUNGGUHNYA ALLAH JUALAH YANG MAHA TINGGI KEADAANNYA, LAGI MAHA BESAR (KEKUASAANNYA)} (AL-HAJJ 22:62)

  1. Sifat Allah SWT itu juga Maha Berkuasa dan luas ilmu pengetahuan-Nya, kerana itu dalam ayat sebelum ini dinyatakan Allah akan menunaikan segala janji-Nya.
  1. Tuhan yang berhak disembah dan dipuji hanya Allah, segala yang disembah selain Allah SWT itu jelas palsu dan batil. 
  1. Di akhir ayat ini disebut pula sifat Allah Yang Maha Tinggi keadaan-Nya, lagi Maha Besar kekuasaan-Nya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Dari sudut pendidikannya Allah SWT sebut nama-Nya- Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat . سميع بصير :
    i- Bahawa tiada apa yang tersembunyi dari penglihatan Allah SWT walaupun seumpama semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang gelap gelita.

    ii- Begitu juga pendengaran Allah SWT itu merangkumi semua suara, sama ada kita bercakap waktu terang atau gelap, secara rahsia atau terang-terangan.
  1. Jika ada manusia yang merasa dia selamat dari dua sifat Allah SWT ini maka dia akan berani melakukan dosa dan melanggar perintah Allah.
  1. Kata ulama’ salafus-soleh: Kami dididik oleh datuk nenek kami dengan 3 sifat Allah SWT ini maka kami menjadi manusia yang baik. Iaitu Allah SWT Maha Mendengar lagi Maha Melihat & Maha Mengetahui. سميع , بصير,عليم 
  1. Maka kita perlu beriman dan memahami sifat-sifat Allah SWT ini dengan sebenarnya, sebagai satu pelajaran dan ilmu, bukan dijadikan polemik dan isu untuk berselisih pendapat. Berlainan pemahaman itu normal.
  1. Ini kerana akal manusia itu berbeza dalam memahami dalil dan maklumat yang disampaikan oleh al-Quran maka perlu kepada penjelasan dari orang yang alim kepada orang awam.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top