View Categories

(14) Surah Ghafir: Ayat 51-56

9 min read

ALLAH AKAN BANTU RASUL-NYA, ALLAH ARAHKAN NABI SAW BERSABAR & GOLONGAN SOMBONG MENOLAK AYAT ALLAH.

Full video : https://youtu.be/WqfumOO8alc?si=pd8BFM0zVlT9IPI3

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah SWT memberitahu bahawa bantuan dan pertolongan Allah kepada hamba-Nya yang beriman dan berjihad menegakkan agama pasti akan datang dari-Nya.
  1. Maka Allah perintahkan Rasulullah SAW agar bersabar mengahadapi kejahatan orang kafir yang mendustakan Baginda. Juga semua pejuang dan pendakwah agar bersabar menghadapi ujian dan tentangan dari golongan yang menolak mereka!
  1. Kemudian Allah nyatakan punca kerosakan atas dunia ini datang dari manusia yang keras kepala sombong angkuh dan takabbur, tidak mahu ikut perintah Allah SWT.
  1. Susuanan ayat dengan yang sebelum ini: Setelah menerangkan tentang balasan buruk kepada mereka yang menentang agama Allah dan mereka yang menyeru kepadanya, maka dalam ayat-ayat ini dan berikutnya Allah SWT memberi semangat kepada Rasulullah SAW supaya bertahah hati menghadapi tentangan golongan yang ingkar.
  1. Ini kerana Rasulullah SAW dan orang yang beriman akan dibela dan dibantu sehingga berjaya di dunia dan Akhirat.
  1. Dalam ayat-ayat yang lepas juga Allah SWT nyatakan bahawa dia jaga Nabi Musa AS, orang yang beriman seperti lelaki dari keluarga Firaun daripada perangkap kejahatan Firaun. Maka dalam ayat ini secara tegas Allah SWT nyatakan bahawa Dia kan memberi pertolongan kepada hamba-Nya yang beriman!

AYAT 51-{SESUNGGUHNYA KAMI TETAP MEMBELA SERTA MEMPERTAHANKAN RASUL-RASUL KAMI DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN – DALAM KEHIDUPAN DUNIA INI DAN PADA SAAT BANGKITNYA SAKSI-SAKSI (PADA HARI KIAMAT)} (GHAFIR 40:51)

  1. Ini adalah janji Allah SWT untuk menolong Rasul-Nya, utusan-utusan-Nya dan mereka yang beriman atas dunia ini. Mereka yang beriman akan mendapat kemenangan dalam perjuangan dan dakwah mereka.
  1. Janji kedua ialah sekali lagi Rasul dan orang yang beriman akan mendapat pembelaan pada hari Kiamat kelak, dengan dibawa saksi yang akan menjadi saksi ke atas seseorang manusia di situ!
  1. Maka kita sebagai pendakwah dan orang yang beriman kena yakin atas kebenaran dan kemenangan Islam dan perjuangan ini. Tetapi kenapa umat Islam hari seolah tidak mendapat pertolongan dan tiada kemenangan?
  1. Jawapan: Umat Islam kadang-kadang nampak lemah dan kalah, ini kerana beberapa masalah teknikal, iaitu kesilapan dari mereka sendiri. Mereka tidak betul-betul berpegang dengan al-Quran dan Sunnah Nabi SAW, maka kita akan diuji oleh Allah SWT. Lalu akan kalah buat sementara sebagai pengajaran kepada mereka, selepas itu akan bangkit kembali selepas mereka menyedari kesalahan dan kembali berpegang dan beramal dengan al-Quran dan as-Sunnah sepenuhnya, insya’ Allah.
  1. Firman Allah SWT lagi dalam beberapa ayat lain tentang ini:
    i- {Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita Rasul-rasul itu.
    (Al-An’am 6:34)

    ii- {Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya.} (At-Taubah 9:40)

    iii- {Dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.} (Ar-Rum 30:47)

    iv- {Dan demi sesungguhnya! Telah ada semenjak dahulu lagi, ketetapan Kami, bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul –
    Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan. Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran). [As-Saffat: 171-173].

    v- {Allah telah menetapkan: “Sesungguhnya Aku dan Rasul-rasulKu tetap mengalahkan (golongan yang menentang)”. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha kuasa.} (Al-Mujadalah 58:21)

AYAT 52-{(IAITU) PADA HARI YANG TIDAK BERGUNA BAGI ORANG-ORANG YANG ZALIM DALIHAN-DALIHAN MEREKA UNTUK MELEPASKAN DIRI, DAN MEREKA AKAN BEROLEH LAKNAT, SERTA MEREKA BEROLEH SEBURUK-BURUK TEMPAT TINGGAL.} (GHAFIR 40:52)

  1. Dalam ayat ini Allah SWT nafikan terus bahawa tiada peluang untuk orang kafir memberi alasan dan dalih untuk mereka melepaskan diri.
  1. Inilah keadaan yang berbeza-beza dari sudut keadaan dan episod, hari Kiamat esok panjang dan lama perjalanannya. Ada ketika orang kafir seolah diberi peluang untuk berhujjah, ada ketika dikunci mulutnya dan lain-lain keadaan yang kita tidak perlu persoalkan.
  1. Keadaan orang kafir pada hari akhirat akan kena 3 perkara:
    i- Tiada manfaat dalih dan hujjah mereka. Ini kerana hujjah mereka batil dan tiada fakta.

    ii- Mereka akan mendapat laknat Allah SWT.

    iii- Tempat kembali mereka yang amat buruk iaitu neraka!
  1. Inilah akibat ke atas orang yang tidak dengar kata dan keras kepala, lalu mendustakan tidak beriman!

AYAT 53-{DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MEMBERIKAN NABI MUSA HIDAYAH PETUNJUK DAN KAMI BERIKAN KAUM BANI ISRAIL MEWARISI KITAB TAURAT,} (GHAFIR 40:53)

  1. Munasabah ayat: Allah SWT telah janjikan untuk membantu orang yang beriman di dunia & Akhirat.
  1. Maka dalam ayat ini Allah SWT bawa contoh hamba-Nya yang beriman yang mendapat pertolongan ini. Iaitu Nabi Musa bin Imran AS, seorang nabi yang masyhur berkata-kata dengan Allah SWT dan dipanggil Kalimullah.
  1. Nabi Musa AS diutus kepada kaumnya iaitu Bani Israil dan mereka mewarisi Kitab Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa AS.

AYAT 54-{SEBAGAI HIDAYAH PETUNJUK DAN PERINGATAN BAGI ORANG-ORANG YANG BERAKAL SEMPURNA.} (GHAFIR 40:54)

  1. Anugerah Allah SWT kepada nabi Musa AS ialah:
    i- Allah SWT beri petunjuk hidayah kepadanya.

    ii- Kemudian dia dilantik menjadi nabi & rasul.

    iii- Nabi Musa AS juga dianugerahkan Kitab iaitu Taurat.
  1. Taurat adalah kitab yang memberi hidayah, menyatakan kebenaran dan peringatan bagi orang yang berakal sempurna. Manusia yang ada otak saja tapi tidak berakal samalah macam lembu kambing dan lain-lain haiwan.
  1. Kitab-kitab lain yang diturunkan kepada rasul lain- Zabur kepada Nabi Daud, Injil kepada Nabi Isa dan al-Quran kepada Nabi kita Muhammad SAW, kitab yang kita dapat baca sehingga ke hari ini.
  1. Jika kita mahu jadi golongan yang mulia maka jadilah ahlul-Quran yang mencintai al-Quran, mengaji, membaca dan mengamalkan al-Quran serta orang yang ada akal apabila menerima al-Quran.

AYAT 55-{(SETELAH ENGKAU MENGETAHUI PERIHAL NABI MUSA DAN UMATNYA) MAKA BERSABARLAH (WAHAI MUHAMMAD, DALAM PERJUANGAN MENEGAKKAN ISLAM); SESUNGGUHNYA JANJI ALLAH (UNTUK MENJAYAKANMU) ADALAH BENAR. DAN POHONLAH AMPUN BAGI SALAH SILAPMU, SERTA BERTASBIHLAH DENGAN MEMUJI TUHANMU PADA WAKTU PETANG DAN PAGI.} (GHAFIR 40:55)

  1. Dalam ayat ini Allah SWT beri contoh kepada Rasulullah SAW satu cara untuk meningkatkan keteguhan dan kesabarannya, iaitu apabila mengetahui kisah nabi Musa AS.
  1. Kita umat Rasulullah SAW juga wajib bersabar dan yakin dengan bantuan Allah SWT di dunia dan Akhirat kelak sebagaimana Allah memberi bantuan kepada nabi Musa AS dengan menenggelamkan Firaun & tenteranya di dalam laut.
  1. Seorang pendakwah itu wajib mempunyai sifat-sifat ini:
    i- Sabar.

    ii- Banyakkan beristighfar minta ampun selalu kepada Allah SWT.
    Rasulullah SAW memberi motivasi kepada kita dengan sabdanya ini:
    a- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
    وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

    Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali“. [HR al-Bukhari]

    b- Dari Abu Hamzah Anas bin Malik al-Anshari, Rasulullah bersabda:
    Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah dan beristighfarlah (memohon) ampun kepada-Nya, kerana sesungguhnya aku bertaubat sebanyak seratus kali dalam satu hari.” [HR Muslim].

    iii- Sifat pendakwah yang ketiga ialah sentiasa berzikir kepada Allah SWT pada waktu pagi & petang. Allah SWT perintahkan kepada Rasulullah SAW dalam ayat ini, maka kita amalkannya juga sepenuhnya sebagai mengikut perintah Allah SWT dan Sunnah Nabi SAW!
  1. Kata ulama’ tadabbur: Zikir pagi petang bagi seorang muslim seumpama perisai dan baju besi bagi seorang pejuang perang.
    Juga jangan lupa banyakkan zikir Mutlaq iaitu zikir 4 kalimah:
    سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر

AYAT 56-{SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MEMBANTAH MENGENAI MAKSUD AYAT-AYAT TUHANMU DENGAN TIDAK BERDASARKAN SEBARANG BUKTI YANG SAMPAI KEPADA MEREKA (DARI PIHAK YANG DIAKUI BENARNYA), TIDAK ADA DALAM DADA MEREKA MELAINKAN PERASAAN MAHUKAN KEBESARAN (UNTUK MENGATASIMU), KEMAHUAN YANG MEREKA TIDAK SEKALI-KALI AKAN DAPAT MENCAPAINYA. OLEH ITU MINTALAH PERLINDUNGAN KEPADA ALLAH (DARI ANGKARA MEREKA); SESUNGGUHNYA DIA LAH JUA YANG MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MELIHAT.} (GHAFIR 40:56)

  1. Dalam ayat ini tentang orang yang membantah ayat-ayat Tuhan. Orang bawa al-Quran dia bantah, dustakan dan ingkarinya dengan hujjah yang tanpa bukti yang diakui benar. mereka menolak hukum-hukum yang dibawa oleh al-Quran.
  1. Dalam hati dan diri mereka hanyalah perasaan kebesaran, angkuh sombong dan takabbur, dan inilah punca kerosakan manusia di atas dunia ini.
  1. Mereka juga mahu mengatasi Rasulullah SAW & orang Islam dalam kebesaran dan pencapaian tetapi sekali-kali mereka tidak akan dapat mengatasinya. Kerana itu mintalah perlindungan dengan Allah dari angkara mereka, iaitu puak kafir yang menentang Islam, yang tidak mahu melaksanakan hukum Islam, kita kata:
    أعوذ بالله من الشيطان ومن أهل السياسة العلمانية
  1. Sesungguhnya Allah SWT itu juga jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
  1. Munasabah ayat: dari awal surah sehingga ke sekarang masih lagi dalam isu mengkritik orang kafir yang keras kepala dalam pelbagai keadaan mahu melawan Islam dan menentang hujjah-hujjah Allah SWT tanpa fakta dan kebenaran.
    Selepas kita bawa segala dalil, hujjah kebenaran mereka masih lagi berdegil maka kita ucapkan:
    أعوذ بالله من الشيطان ومن أهل السياسة العلمانية
    iaitu minta berlindung dengan Allah SWT daripada syaitan dan ahli politik yang sekular.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 51-{Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman}-

    Ayat ini menjadi penenag jiwa dan pengeras semangat untuk orang yang beriman bahawa Allah SWT akan tolong mereka lambat bangat nanti.
    Kata ulama’ juga: Siapa yang mantap kuat imannya maka akan kuat dan besar pertolongan dari Allah SWT, begitu juga sebaliknya siapa yang imannya lemah dan berkurang, akan kecil dan berkurangan juga pertolongan dari Allah SWT.

    Antara punca lemahnya kita untuk menerima pertolongan Allah SWT adalah dengan sebab dosa dan maksiat yang dilakukan, maka pertolongan Allah juga tidak kuat.

    Firman Allah SWT: {Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat; dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman. (An-Nisa’ 4:141).

    Tetapi kenapa keadaan sekarang seolah orang mukmin lemah dan dikuasai oleh orang kafir?
    Kata ulama’ jawapannya ada tiga:
    i- Di akhirat esok kita dapat mengalahkan orang kafir, mereka tidak dapat mengatasi orang yang beriman.

    ii- Orang kafir tidak dapat mengalahkan orang beriman dari sudut hujjah, tetapi dari sudut kuasa dan tentera mungkin mereka menang!

    iii- Orang kafir tidak akan dapat menguasai seluruhnya, cuma sebahagian orang mukmin yang lemah imannya akan dikuasai oleh orang kafir. Tetapi bukan semua menjadi murtad cuma lemah dan dijajah.
  1. Ayat 55-{Maka bersabarlah (wahai Muhammad, dalam perjuangan menegakkan Islam); sesungguhnya janji Allah (untuk menjayakanmu) adalah benar. Dan pohonlah ampun bagi salah silapmu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.}-

    Dalam ayat ini Allah SWT suruh Nabi bersabar juga para pendakwah semua untuk bersabar.

    Bukan bersabar sambil duduk saja tetapi sambil:
    i- Beristighfar untuk menolak benda yang tidak baik.

    ii- Bertasbih setiap pagi & petang untuk mengangkat darjat kita
    Ikan tidak boleh hidup tanpa air begitu juga hati manusia tidak akan dapat hidup tanpa zikir. Berzikirlah dengan zikir yang sohih, yang ma’tahur dari Rasulullah SAW.
  1. Ayat 52-{ (Iaitu) pada hari yang tidak berguna bagi orang-orang yang zalim dalihan-dalihan mereka untuk melepaskan diri}-

    Ayat ini menunjukkan seolah tiada peluang lansung bagi orang kafir untuk minta keuzuran.

    Macamana kita nak satukan dengan ayat ini:
    {Dan tidak pula diizinkan mereka bercakap, maka mereka tidak dapat meminta maaf.} (Al-Mursalat 77:36)

    Ada ketika mereka boleh bercakap dan minta keuzuran, serta beri dalil dan hujjah minta maaf, cuma segalanya tiada faedah dan manfaat lagi, kerana sudah terlambat!!
  1. Ayat 52-{dan mereka akan beroleh laknat, serta mereka beroleh seburuk-buruk tempat tinggal.}-

    Jika kita nak laknat jangan laknat atas kepala/badan. Tidak diajar oleh Islam mengutuk dan mengeji orang walaupun bukan Islam. Tetapi kita boleh melaknat akidah dan pegangan mereka secara umum, bukan secara personal atau peribadi!
  1. Ayat 54-{Sebagai hidayah petunjuk dan peringatan bagi orang-orang yang berakal sempurna.}-

    Dalam ayat ini Allah SWT memuji orang yang berfikir dan menggunakan akal yang waras.
    Maka jika kita nak menjadi orang yang dipuji Allah, marilah kita guna akal kita untuk berfikir mencari dalil dan bukti untuk menguatkan keimanan kita. Kita belajar dalil dan aqidah yang jelas maka kita kuatkan pegangan dan perjuangan kita! Jangan kuat aqidah saja tetapi lemah perjuangan; juga kuat perjuangan tetapi tidak betul aqidah!

Kesimpulannya, orang yang cerdik ialah orang akan patuh akur kepada perintah Allah SWT, manakala orang yang tak cerdik ialah orang yang takabbur menentang & menolak Syari’ah Allah SWT sebagaimana dalam ayat 56.

Wallahu A’lam.

Rujukan: (Catatan Tafsir Anas Madani – By NZNY) – LINK

Powered by BetterDocs

Scroll to Top