View Categories

(15) Surah Al-Kahfi: Ayat 79-82

6 min read

KHADIR MENJELASKAN RAHSIA DISEBALIK TINDAKANNYA & BEBERAPA FAEDAH PENGAJARANNYA.

Full video : https://youtu.be/NYhvUQOZwYc?si=dcBVI6wtLqinneUn

MUQADDIMAH :

  1. Siri lepas sudah berakhir rehlah mencari ilmu antara Nabi Musa AS dan Khadir selepas berlaku 3 kisah yang pelik.
  1. Ini adalah kisah ke3 dalam Surah Al-Kahfi, iaitu ujian dalam menuntut ilmu, kena sabar dan tahan menghadapi ujian.
  1. Sebelum ini Kisah 7 pemuda Ashabul-Kahfi, ujian dari sudut keimanan dan kisah pemilik 2 kebun tentang ujian harta. 
  1. Dalam siri kali ini Khadir merungkai rahsia yang tersirat disebalik perbuatannya yang menjadi persoalan kepada Musa AS.

AYAT 79- {ADAPUN PERAHU ITU ADALAH IA DIPUNYAI OLEH ORANG-ORANG MISKIN YANG BEKERJA DI LAUT; OLEH ITU, AKU BOCORKAN DENGAN TUJUAN HENDAK MENCACATKANNYA, KERANA DI BELAKANG MEREKA NANTI ADA SEORANG RAJA YANG MERAMPAS TIAP-TIAP SEBUAH PERAHU YANG TIDAK CACAT.} (AL-KAHFI 18:79)

  1. Khadir menceritakan kepada Nabi Musa AS kenapa dia merosakkan dinding perahu dalam kisah pertama apabila mereka menumpang naik sebuah perahu di tepi laut.
  1. Tuan perahu itu mengenali Khadir dan mengalu-alukan kedatangan orang soleh menumpang perahunya dan memberi tambang percuma.
  1. Tiba-tiba setiba di tengah laut, Khadir mencabut sekeping dinding perahu itu sehingga boleh membahayakan mereka yang menaikinya.
  1. Sekarang Khadir menceritakan sebab perbuatannya: 
    Perahu itu adalah milik seorang miskin yang mencari rezeki di lautan, manakala di hadapan perjalanan mereka nanti ada seorang pemimpin yang zalim yang akan merampas semua perahu yang elok yang melaluinya. Maka jika dia melihat perahu yang tidak elok tidak akan dirampasnya. Maka Khadir melakukan itu untuk menyelamatkan perahu orang itu. Nanti selamat melepasi raja itu, dapat dibaiki kembali perahunya.
  1. Walaupun di sebut perkataaan ورآءهم yang bermakna di belakang mereka.
    Tetapi para ulama’ yang mengatakan: Maksudnya ialah di hadapan mereka nanti.

AYAT 80- {ADAPUN PEMUDA ITU, KEDUA IBU BAPANYA ADALAH ORANG-ORANG YANG BERIMAN, MAKA KAMI BIMBANG BAHAWA IA AKAN MENDESAK MEREKA MELAKUKAN PERBUATAN YANG ZALIM DAN KUFUR.} (AL-KAHFI 18:80)

  1. Manakala kisah kedua, Khadir membunuh seorang pemuda yang masih kecil yang sedangkan bermain di tepi jalan.
  1. Ini kerana Khadir mendapat tahu dengan ilham dan ilmu dari Allah SWT bahawa budak itu apabila besar akan menjadi kafir dan jahat, sedangkan kedua ibu bapanya adalah dua orang yang beriman dan sangat menyayanginya.
  1. Maka dibimbangi jika dibiarkan dia hidup, nanti bila dia besar akan mempengaruhi dan mendorong ibu bapanya yang beriman itu melakukan kejahatan, kezaliman dan kekufuran juga.

AYAT 81- {OLEH ITU, KAMI INGIN DAN BERHARAP, SUPAYA TUHAN MEREKA GANTIKAN BAGI MEREKA ANAK YANG LEBIH BAIK DARIPADANYA TENTANG KEBERSIHAN JIWA, DAN LEBIH MESRA KASIH SAYANGNYA.} (AL-KAHFI 18:81)

  1. Juga semoga Allah SWT menggantikan kepada ibu bapa itu anak lain yang beriman, soleh dan baik. Serta akan berbakti, menyantuni dan memberi kasih-sayang yang ikhlas kepada mereka pula. Yakni bukan mereka saja yang menyayanginya lebih-lebih.
  1. Ada ulama’ kata: Mereka mendapat anak baru seorang jariyah iaitu anak perempuan pula, wallahu a’lam.

AYAT 82- {ADAPUN TEMBOK ITU PULA, ADALAH IA DIPUNYAI OLEH DUA ORANG ANAK YATIM DI BANDAR ITU; DAN DI BAWAHNYA ADA “HARTA TERPENDAM” KEPUNYAAN MEREKA; DAN BAPA MEREKA PULA ADALAH ORANG YANG SOLEH. MAKA TUHANMU MENGHENDAKI SUPAYA MEREKA CUKUP UMUR DAN DAPAT MENGELUARKAN HARTA MEREKA YANG TERPENDAM ITU, SEBAGAI SATU RAHMAT DARI TUHANMU (KEPADA MEREKA). DAN (INGATLAH) AKU TIDAK MELAKUKANNYA MENURUT FIKIRANKU SENDIRI. DEMIKIANLAH PENJELASAN TENTANG MAKSUD DAN TUJUAN PERKARA-PERKARA YANG ENGKAU TIDAK DAPAT BERSABAR MENGENAINYA”.} (AL-KAHFI 18:82)

  1. Tentang tembok ini pula adalah sebagai satu ujian juga kepada Musa AS, jika orang kampung itu menerima mereka pasti Musa AS tidak membantah perbuatan Khadir membaikinya.
  1. Khadir menerangkan bahawa tembok/dinding itu kepunyaan dua orang anak yatim penduduk kampung itu. Di bawah tembok itu simpanan harta karun yang ditanam oleh bapa mereka untuk kegunaan mereka apabila besar nanti.
  1. Sedangkan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا .
    Ada juga pandangan ulama’ yang mengatakan: Bapa yang soleh itu adalah datuk mereka yang ketujuh dulu, maka dengan berkat kesolehan moyang mereka yang soleh itu Allah jaga mereka. Senangnya cerita semuanya bapa dan datuk moyang mereka adalah keturunan orang-orang soleh.
  1. Maka harta itu akan terjaga sehinggalah mereka besar dan berakal, pandai untuk menguruskan harta mereka nanti, maka Allah SWT akan ilhamkan kepada mereka tentangnya. Itulag sebagai satu rahmat dari Tuhan kepada mereka. 
  1. Khadir menjelaskan bahawa segala yang dilakukannya itu bukan kerana menurut hawa-nafsunya semata tetapi adalah kerana menurut perintah Allah SWT.
  1. Inilah segala kisah yang tersirat di sebalik apa yang kamu tidak dapat bersabar mengenainya.
  1. Perbezaan antara perkataan; لَمْ تَسْتَطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا dalam ayat 72 dan perkataan لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا dalam ayat 82, menunjukkan kurang satu huruf, inilah penjelasannya:
    i- Kaedah Bahasa Arab, bertambah huruf bermakna bertambah maknanya, yakni yang pertama amat tidak dapat bersabar, yang kedua sudah ringan sikit kerana Musa AS sudah mengetahui sebabnya selepas diceritakan alasannya oleh Khadir. 

    ii- Kaedah kedua apabila tahu sebab maka hilanglah pelik.

    iii- Kaedah ketiga, siapa yang banyak mengkaji atau meneliti, maka kuranglah bantahannya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Kena sabar dan tahan ujian dalam menuntut ilmu.
  1. Keturunan bapa dan datuk moyang yang soleh dapat menyelamatkan anak cucu keturunanya yang soleh juga. وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا , maka dua anak yatim itu Allah SWT jaga dan hantar seorang nabi dan orang soleh untuk melindungi hak mereka.
    Beginilah prinsip Umar bin Abdul Aziz apabila ditanya tentang apa yang ditinggalakn kepada anak-anaknya yang masih kecil, dia yakin Allah SWT akan jaga orang-orang yang soleh. Umar adalah seorang khalifah yang mati tanpa meninggalkan harta yang banyak kepada anak-anaknya bahkan dalam keadaan miskin. Tetapi mereka kemudiannya membesar menjadi orang berilmu dan soleh, serta hidup senang dengan hasil usaha mereka.
    Maka para ibu bapa sekelian marilah kita solehkan diri kita dulu, agar anak cucu keturunan kita juga akan soleh dan terjaga dari sudut dunia dan akhirat mereka juga.
  1. Setiap yang berlaku adalah dengan takdir dan kehendak Allah SWT.
  1. Kenal dan hormat akan orang soleh sebagaimana pemilik perahu itu maka Allah jaga miliknya.
  1. Hendaklah beradab dengan Allah SWT, seperti mana kita kata yang buruk itu datang dari diri kita dan syaitan, manakala yang baik itu datang dari Allah SWT. 
  1. Beza antara miskin dan fakir:
    i- Orang miskin dia alat seperti kenderaaan perahu, basikal atau kereta untuk kegunaanya mencari rezeki tetapi pendapatannya masih tidak mencukupi untuk nafkah keluarganya.

    ii- Manakala orang fakir adalah orang yang tidak memilik apa-apa peketjaan atau harta, lebih teruk dari miskin.
  1. Allah SWT menggalakkan manusia untuk mencari rezeki, tidak kira di mana saja, di laut atau di darat.
  1. Berdasarkan kisah Khadir memecahkan perahu tanpa minta izin tuannya dulu, menunjukkan; Harus seseorang melakukan sesuatu ke atas harta orang lain tanpa meminta izin kerana maslahah untuk menyelamatkan daripada bahaya. Seperti memecahkan kereta yang ada bayi terkurung, memecahkan pintu rumah orang yang terbakar untuk memadamkan api dan lain-lain.
  1. Utamakan maslahah yang besar daripada yang kecil, seperti terpaksa dibunuh budak itu untuk menjaga iman kedua ibu bapanya.
  1. Ibu bapa kena sabar jika ada kehilangan anak, sama ada mati atau apa yang belaku, boleh jadi ada hikmah yang lebih baik kepadanya. Ingatlah Allah SWT lebih sayang kepadanya, mahu memeliharanya daripada keburukan dan kejahatan.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top