PRINSIP PERUNDANGAN ISLAM UMMATAN-WAHIDAH, KEWAJIPAN MAKAN BENDA YANG HALAL & KAYA BUKAN TANDA ALLAH SAYANG.
Full video : https://youtu.be/PzuxV9kBh3g?si=BDRU1JawDf5FKxLI
MUQADDIMAH :
- Siri kali ini adalah tentang prinsip-prinsip perundangan Syariah dalam kehidupan manusia.
- Setelah Allah SWT ceritakan tentang nabi-nabi yang lalu serta diterangkan bahawa mereka semuanya telah diperintah agar makan dari benda-benda yang baik lagi halal sebagai mensyukuri nikmat-nikmat-Nya.
2 Juga perintah untuk mengerjakan amal soleh serta peringatan bahawa Allah SWT Maha Mengetahui akan apa yang mereka semua kerjakan.
- Peringatan juga agar orang Islam itu jangan dengki dan pertikai dengan nikmat dan kemewahan yang diberikan kepada orang kafir atas dunia ini, kerana itu bukan tanda Allah sayang dan redha kepada mereka.
- Prinsip kedua dalam siri ini ialah tentang menjaga kesatuan ummah, Ummatan-Wahidah, iaitu agama yang satu.
AYAT 51- {WAHAI RASUL-RASUL, MAKANLAH DARI BENDA-BENDA YANG BAIK LAGI HALAL DAN KERJAKANLAH AMAL-AMAL SOLEH; SESUNGGUHNYA AKU MAHA MENGETAHUI AKAN APA YANG KAMU KERJAKAN.} (AL-MU’MINUN 23:51)
- Allah SWT perintahkan supaya para rasul ((رسل -رسول pertamanya makan dari benda-benda yang baik lagi halal.
- Maksud Halalan Toyyiban: Makanan yang halal dan baik.
i- Halal itu hukum: Ikut piawai Syariah.
ii. Toyyiban itu baik: Ikut kesesuaian badan dan kesihatan tubuh badan kita.
Contoh: Daging yang disembelih HALAL tetapi mungkin tidak toyyib (baik) untuk orang yang ada penyakit tertentu.
- Kedua Allah perintah agar mereka beribadat mengerjakan amal soleh, ikut Syariah Allah dan ikut ajaran para nabi.
- Ketiga serta peringatan bahawa Allah SWT Maha Mengetahui akan apa yang mereka semua kerjakan, maka jangan sewenang-wenang langar atau cuai dari perintah-Nya.
- Firman Allah SWT: {Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.} (Al-Baqarah 2:172).
- Peringatan ini untuk semua para rasul dan umat mereka yang beriman. Termasuk juga kita ummat nabi Muhammad SAW sehingga ke akhir zaman.
- Hadis Rasulullah SAW: “Dari Abu Hurairah, bersabda Rasulullah SAW: Wahai sekalian manusia sesungguhnya Allah itu toyyib (baik). Allah tidak akan menerima sesuatu melainkan dari yang toyyib (baik). Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul.
i- Firman-Nya: {Wahai para Rasul! Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.}
ii- Dan Allah juga berfirman: {Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu.} [Al-Baqarah: 172]
Kemudian Nabi SAW menceritakan tentang seorang laki-laki yang telah menempuh perjalanan jauh, sehingga rambutnya kusut, masai dan berdebu. Orang itu mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa:
“Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.” Padahal, makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan diberi makan dari yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?” [R Muslim].
- Maksudnya antara sebab terhalangnya mustajab doa ialah makanan yang dimakan serta sumber rezeki yang tidak halal.
- Halal itu ada dua sudut:
i- Bahan-bahan makanan itu terdiri daripada benda yang halal.
ii. Sumber pendapatan untuk mendapatkan makanan itu juga adalah yang halal. Bukan duit haram seperti riba, rasuah, curian dan seumpamanya.
- Kerana itu kita wajib ada ilmu tentang halal dan haram dalam segenap kehidupan, sama ada makanan, rezeki serta sumber pendapatat atau perniagaan kita.
- Allah SWT tegaskan sekali lagi tidak ada perkara yang tersembunyi dari pengetahuan Allah SWT, yakni semua perbuatan akan dihisab dan dibals. Maka berusahalah kita buat yang terbaik.
AYAT 52- {DAN SESUNGGUHNYA AGAMA ISLAM INI IALAH AGAMA KAMU – AGAMA YANG SATU ASAS POKOKNYA, DAN AKULAH TUHAN KAMU; MAKA BERTAQWALAH KAMU KEPADAKU.} (AL-MU’MINUN 23:52)
- Kemudian Allah SWT menerangkan kepada para rasul, bahawa agama Allah itu yang satu asas pokoknya, iaitu Tauhid menyembah Allah yang Maha Esa.
- Manakala yang berbeza hanya cabang-cabang hukum yang dibawa oleh rasul-rasul, sesuai dengan zaman dan kaum rasul itu masing-masing.
- Makna perkataan ummah/umat;
i- Iaitu asalnya apabila mana-mana kaum berkumpul atas satu agama, maka dikatakan mereka satu umat yakni satu agama, contoh umat Islam.
ii- Kumpulan manusia dalam satu masa; contoh umat itu telah berlalu.
iii- Umat: Seorang lelaki pejuang, seperti Nabi Ibrahim itu ummah.
iv- Al-Umm: Dengan makna ibu atau induk, yang menjadi tempat rujukan.. dan lain-lain.
- Manakala yang dikehendaki dalam ayat ini ialah umat yang satu agama, iaitu Islam.
- Islam itu sumbernya satu dari al-Quran dan sunnah Nabi SAW., maka janganlah kamu berpecah dan bertaqwalah kepada Allah SWT.
AYAT 53- {KEMUDIAN UMAT RASUL-RASUL ITU BERPECAH-BELAH DALAM URUSAN AGAMA MEREKA KEPADA BEBERAPA PECAHAN, TIAP-TIAP GOLONGAN BERGEMBIRA DENGAN APA YANG ADA PADA MEREKA.} (AL-MU’MINUN 23:53)
- Tiap-tiap umat ni berpecah dengan pegangan agama masing-masing kepada beberapa kumpulan. Sama ada seperti yahudi dengan Nasrani dan Islam, atau berpecah sesama Islam!
- Setiap golongan berasa merekalah yang benar dan bergembira dengan apa yang ada pada mereka!
- Maka kita sebagai muslim, perpecahan ini mesti ditangani dengan baik, jangan dicurahkan minyak di atas api. Jangan besarkan yang kecil dan tidak lihat kepada yang lebih besar lagi.
- Tugas kita adalah untuk menyatukan ummah bukan memecah-belahkannya.
AYAT 54- {MAKA BIARKANLAH MEREKA TENGGELAM DALAM KESESATANNYA ITU HINGGA KE SUATU MASA.} (AL-MU’MINUN 23:54)
- Allah sebut semula keadaan umat terdahulu yang telah binasa akibat kekufuran mereka, sebagai peringatan kepada kaum Quraisy di depan nabi itu.
- Jadi Allah SWT minta agar Rasulullah SAW sabar dan jangan bersedih, apabila sudah berdakwah kepada mereka dengan sebaiknya tetapi mereka tetap mendustakannya.
- Maka biarkan mereka dalam kesesatannya itu hingga ke suatu masa yang ditetapkan, iaitu sama ada datang azab atau mereka mati.
AYAT 55- {ADAKAH MEREKA MENYANGKA BAHAWA APA YANG KAMI BERIKAN KEPADA MEREKA DARI HARTA BENDA DAN ANAK-PINAK ITU.} (AL-MU’MINUN 23:55)
- Lalu Allah SWT tanya apakah mereka menyangka bahawa dengan apa yang diberikan kepada mereka dari harta benda dan anak pinak itu adalah satu tanda kebenaran bagi mereka?
AYAT 56- {(BERMAKNA BAHAWA DENGAN YANG DEMIKIAN) KAMI MENYEGERAKAN UNTUK MEREKA PEMBERIAN KEBAIKAN? (TIDAK!) BAHKAN MEREKA TIDAK MENYEDARI (HAKIKATNYA YANG SEBENAR).} (AL-MU’MINUN 23:56)
- Apakah mereka sangka Allah SWT redha dan suka dengan keadaan mereka itu? Lalu memberi harta kekayaan dan keluarga yang ramai, pangkat kebesaran dan pengaruh.
- Bahkan tidak sekali-kali, semua pemberian itu sebagai satu ujian kepada mereka, apakah mereka insaf dan bersyukur lalu bertaubat dan beriman.
- Beberapa ayat al-Quran yang melarang agar umat Islam jangan kagum dan takjub dengan kekaaan dan kemewahan kaum kafir:
i- Ali-‘Imran: 178.
ii- At-Taubah: 55
iii- Saba’: 34-37.
Hadis Uqbah bin Amir. hadis yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir RA, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ
Maksudnya: “Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT.” [HR Ahmad]. Riwayat Ahmad (17311)
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:
- Allah SWT memerintahkan kepada semua para Rasulullah AS agar mengambil makan minum yang halal dan baik. Mereka juga diajar agar berusaha dan bekerja.
- Masyhur tentang Nabi Daud AS yang membuat baju besi sebagai hasil pendapatannya.
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ، وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ، وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ، أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ
Maksudnya: “Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu”. [Riwayat Muslim (995)]
- Rasulullah SAW bersabda : “Tidaklah Allah mengutus seorang Nabi kecuali dia memelihara kambing.” Para sahabat bertanya “Dan engkau?” Rasulullah SAW menjawab “Benar, aku pernah memeliharanya dengan upah beberapa qirath bagi penduduk Makkah.” [HR Ibnu Majah].
- Peringatan agar kita jangan kagum dengan kekayaan orang kafir, bukan beretti Allah sayang dan redha kepada mereka.
- Ini kerana Allah SWT memberikan nikmat-Nya di atas dunia kepada semua hamba-Nya, tetapi Dia tidak akan memberikan nikmat akhirat-Nya KECUALI kepada hamba yang disayanginya.
- Dikatakan rasul-rasul itu ummatan-wahidan agama yang sama, tetapi kenapa berbeza Syariahnya para nabi itu?
i- Maksudnya agama yang satu ialah dari segi Tauhid, hanya menyembah Allah SWT.
ii- Yang berbeza hanya cabang-cabang hukum yang dibawa oleh mereka, sesuai dengan zaman dan kaum masing-masing. Contoh umat nabi Muhammad SAW banyak keringanan dan kemudahah yang diberi berbanding dengan umat terdahulu, kerana kita lebih lemah dari segi fizikal dan kekuatan.
Tetapi dalam ringan dan mudah ini pun masih ramai juga yang melanggar hukum-hakam dan meninggalkan perintah Allah SWT الله المستعان
Wallahu a’lam.
