View Categories

(4) Surah Al-Qasas: Ayat 18-21

6 min read

NABI MUSA MENUNGGU APAKAH TINDAKAN FIR’AUN DAN CUBAAN MEMUKUL KALI KE 2 & MUSA DINASIHATKAN KELUAR SEGERA DARI MESIR.

Full video : https://youtu.be/Gd5RHLtMW38?si=3LBveh37vTfuNFk5

MUQADDIMAH :

  1. Kisah kita kali ini bersambung dari selepas berlakunya insiden nabi Musa AS tersalah membunuh seorang Qibti (bangsa Firaun) yang sedang berkelahi dengan seorang bani Israil.
  1. Nabi Musa AS terus menyesal dan bertaubat kepada Allah SWT akan perbuatannya itu.
  1. Tidak diceritakan dalam al-Quran apa yang dibuat oleh nabi Musa AS dan bangsa Israil keaats mayat itu.
    Tetapi ada kitab Tafsir mengatakan mereka menanamnya.
  1. Nabi Musa AS juga menungu-nungu apakah tindakan dan hukuman yang akan diambil oleh Firaun ke atasnya.
  1. Kita lihat dalam siri hari ini apa yang terjadi ke atas nabi Musa AS yang dalam kecemasan ini.

AYAT 18- {SEMENJAK ITU, TINGGALAH IA DI BANDAR (MESIR) DALAM KEADAAN CEMAS SAMBIL MEMERHATIKAN (BERITA MENGENAI DIRINYA), MAKA TIBA-TIBA ORANG YANG MEMINTA PERTOLONGAN KEPADANYA SEMALAM, MEMANGGIL MEMINTA PERTOLONGANNYA LAGI. MUSA BERKATA KEPADANYA: “SESUNGGUHNYA ENGKAU INI ORANG YANG NYATA SESATNYA!” (AL-QASAS 28:18)

  1. Selepas peristiwa itu nabi Musa AS tidak balik ke istana dan diam dalam bandar itu dalam keadaan cemas sambil mendengar-dengar berita tentang peristiwa itu, tindakan pihak polis dan sikap Firaun.
  1. Dengan keadaan ini akan terserlah status dan kedudukan Musa AS sebagai seorang bani Israil. Dia amat takut dan cemas dengan perbuatannya (jenayah) yang pertama kali terjadi itu.
  1. Dalam keadaan cemas itu tiba-tiba Musa AS terserempak pula dengan lelaki bani Israil yang pernah ditolongnya kemarin sedang berkelahi lagi dengan orang Qibti lain pula. Ketika orang Israil itu nampak Musa AS, dia memekik meminta tolong lagi kepada Musa AS untuk menghadapi orang Qibti yang menjadi lawannya.
  1. Melihat itu Musa AS amat marah dan baru sedar bahawa lelaki itu memang seorang yang suka berkelahi dan nakal. Musa AS. mencela lelaki Israil itu kerana perbuatannya sekarang dan kemarin telah menjelaskan kesesatan dan keburukannya. Musa berkata kepadanya: “Sesungguhnya engkau ini orang yang nyata sesatnya!” { إِنَّكَ لَغَوِيٌّ مُبِينٌ}

AYAT 19- {MAKA KETIKA IA BERSEDIA HENDAK MENUMBUK ORANG YANG MENJADI MUSUH BAGI MEREKA BERDUA BERKATALAH ORANG ITU: “WAHAI MUSA, ADAKAH ENGKAU HENDAK MEMBUNUHKU SEBAGAIMANA ENGKAU MEMBUNUH SATU JIWA SEMALAM? SEBENARNYA ENGKAU HANYALAH HENDAK MENJADI SEORANG YANG KEJAM DI BUMI, DAN TIDAKLAH ENGKAU HENDAK MENJADI SEORANG PENDAMAI”.} (AL-QASAS 28:19)

  1. Musa AS sangat marah lalu ketika bersedia untuk menumbuk orang Qibti yang menjadi musuh bani Israil itu, orang itu berkata: {Wahai Musa AS adakan kamu mahu membunuh aku seperti kamu bunuh orang semalam?}
  1. Sebagai tadabbur, menjadi perbincangan ulama’ tafsir siapakah yang berkata ini, adakah orang Qibti itu ada orang Israil yang semalam itu?
    i- Pandangan pertama: Yang berkata itu adalah lelaki bani Israil.
    Ini adalah pendapat ulama’ salaf seperti Ibnu Abbas, Qatadah, Ibnu Juraih dan lain-lain.
    Ibnu Jauzi RHM: Selepas mengkaji pendapat ulama’ salaf ini berkata: Ini adalah kata-kata Israili itu apabila dia melihat Musa AS marah dan mencelanya, lalu menggangkat tangannya untuk memukul, dia berasa takut dan menyangka Musa AS mahu memukulnya lalu dia berkata begitu.
    Ramai ijma’ ulama’ tafsir kata: Pada asalnya tiada siapa yang tahu kes Qibti itu semalam dibunuh oleh Musa AS, sekarang terbukalah rahsia bahawa Musa AS yang bunuh Qibti itu, dibuka oleh bani Israil yang tersepit itu!!

    ii- Pandangan yang kedua: Qibti itu yang berkata. Inilah pendapat Ar-Razi & Asy-Syaukani dan lain-lain. Yang zahirnya mereka sudah tahu Musa AS yang membunuh Qibti semalam. Ini kerana ayat al-Quran itu jelas, tiada putus antara ayat perbuatan Musa AS (bersedia mahu menumbuk orang itu} dengan ayat- {berkatalah orang itu).
  1. Lalu orang itu berkata lagi: Adakah engkau hendak menjadi seorang yang kejam di bumi ini, sedangkan sepatutnya engkau menjadi seorang pendamai. الْمُصْلِحِينَ
  1. Jadi sekarang maklumat telah dibocorkan, tersebarlah berita bahawa Musa AS adalah pembunuh Qibti semalam! Berita itu juga telah sampai kepada Firaun.

AYAT 20- {DAN DATANGLAH SEORANG LELAKI DARI HUJUNG BANDAR ITU DENGAN BERLARI, (LALU MENYAMPAIKAN BERITA) DENGAN BERKATA: “WAHAI MUSA, SESUNGGUHNYA PEGAWAI-PEGAWAI FIRAUN SEDANG MENGADAKAN PAKATAN TERHADAPMU, MEREKA HENDAK MEMBUNUHMU; OLEH ITU PERGILAH DARI SINI, SESUNGGUHNYA AKU ADALAH PEMBERI NASIHAT SECARA IKHLAS KEPADAMU”.} (AL-QASAS 28:20)

  1. Bila keputusan telah diambil untuk menangkap dan menghukum Musa AS, datang seorang lelaki dari hujung bandar (istana biasanya dibina dipingir bandar) berlari cepat datang melalui jalan pintas mahu memberi amaran kepada Musa AS.
  1. Dikatakan lelaki soleh itu adalah sepupu Firaun yang telah beriman. Biasalah dalam mana-mana kumpulan pasti ada pro (penyokong) dan kontranya (penentang).
  1. Dia memberitahu Musa AS bahawa pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan untuk membunuhnya. Nasihatnya yang ikhlas kepada Musa AS agar keluar dari Mesir dengan segera jangan teragak-agak lagi!

AYAT 21- {MUSA PUN KELUARLAH DARI NEGERI ITU DALAM KEADAAN CEMAS SAMBIL MEMERHATIKAN (BERITA MENGENAI DIRINYA) SERTA BERDOA DENGAN BERKATA: “WAHAI TUHANKU, SELAMATKANLAH DAKU DARI KAUM YANG ZALIM”.} (AL-QASAS 28:21)

  1. Lalu Musa AS pun segera keluar dari Mesir dalam keadaan cemas sambil berhati-hati memerhatikan suasana sekelilingnya kerana bimbang kalau ada yang menyusul dan menangkapnya.
  1. Musa AS tidak lupa kepada Tuhannya, dia terus berdoa: {: “Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim”.}
  1. Musa AS mengatakan Firaun adalah kaum yang zalim kerana:
    i- Syirik kepada Allah SWT.

    ii- Mahu terus membunuh Musa AS tanpa bicara, sedangkan dia tidak sengaja membunuhnya.
  1. Bagaimanakah keadaan Musa AS seterusnya? Adakah dia selamat atau tertangkap? Kita akan lihat dalam ayat dan siri seterusnya insya’ Allah.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Menjadi batu api atau pelapor itu asalnya haram, tetapi dalam kes lelaki yang datang kepada Musa AS, itu dibolehkan untuk maslahah. Ini kerana dia mahu menyelamatkan Musa AS dari kezaliman Firaun bukan untuk memporak-perandakan kerajaan atau melagakan orang. Maslahah untuk menolong orang yang teraniaya serta niat ikhlas mahu menolong.
  1. Ayat 20- {Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari,}-
    Kata ulama’: Ini menunjukkan kita kena cepat dalam isu untuk menyelamatkan akidah atau orang yang teraniaya dari kezaliman. Kena cepat dalam tindakan untuk keselamatan.
  1. Ayat 19- {“Wahai Musa, adakah engkau hendak membunuhku sebagaimana engkau membunuh satu jiwa semalam?} Sesiapa yang membunuh orang tanpa hak dengan alasan menyelamatkan dunia adalah alasan yang bohong dan tidak dapat diterima. Kecuali benda itu benar-benar berlaku. Maka kena lapor dengan cepat benda-benda yang rosak dan mungkar, jangan tahu saja kena ingkarinya.
  1. Ayat 20- {Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar..} Allah SWT gambarkan sebagai seorang lelaki yang berani kerana dia melalui jalan pintas yang lebih dekat untuk sampai kepada Musa AS berbanding jalan yang dilalui oleh orang-orang yang mengejar Musa AS, sehingga dia mendahului mereka. Sama ada dia berjalan atau naik tunggangan.
  1. Ayat 21- {Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas}- apabila kita takutkan akan keselamatan kita, kena keluar dari satu tempat itu jangan tungggu sehingga cedera atau terbunuh.
    Dari ayat ini juga menunjukkan jika bertembung dua kerosakan, kena pilih yang lebih ringan, seperti Musa AS, jika duduk di Mesir akan dibunuh, maka dia kena pilih keluar dari Mesir untuk menyelamatkan dirinya.
  1. Ayat 21- {Selamatkanlah daku dari kaum yang zalim”.} Nabi Musa AS berani mengatakan mereka adalah kaum yang zalim kerana mereka kaum yang syirik dan kafir, Juga kerana mahu terus membunuh Musa AS tanpa siasat dan bicara dulu. Kita juga jangan mudah-mudah menjatuhkan hukuman terhadap orang.
  1. Dalam ayat ini Allah SWT bezakan dua cara panggilan orang Israil yang berkelahi itu kepada Musa AS. Hari pertama hanya minta tolong sahaja: { فَاسْتَغَاثَه} sebab tak tahu lagi akan tolong atau tidak. Manakala pada hari ini kedua memanggilnya dengan kuat pula kerana dia tahu Musa AS ini orang yang gagah dan akan menolongnya.
    Hari kedua- ayat 18 – { memanggilnya lagi (dengan kuat)} يَسْتَصْرِخُهُ
  1. Ayat 18 – {hendak menjadi seorang yang kejam di bumi,} أَنْ تَكُونَ جَبَّارًا Dia mengatakan begitu kepada Musa AS kerana seorang manusia itu tidak akan jadi seorang yang ganas dan kejam selagi dia tidak membunuh orang lebih dari sekali dengan sengaja. Yang pertama Musa AS tidak sengaja dan tidak tahu akan mati. Hanya لَغَوِيٌّ مُبِينٌ sesat.
  1. Ayat 22- {Sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu”.} Ikatan iman adalah ikatan yang paling kukuh sesama mukmin, seperti lelaki mukmin keluarga Firaun yang datang cepat-cepat untuk menolong Musa AS tadi. Walaupun dia sedar jika Firaun tahu perbuatannya itu pasti dia akan dihukum bunuh atau seumpamanya. Ini kerana dia sayangkan Musa AS sebagai ketua orang mukmin serta dia yakin Musa AS tidak bersalah dan tidak sengaja membunuh.
  1. Ayat 21- {Serta berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim”.} Maka seperti contoh yang ditunjukkan oleh nabi Musa AS, walaupun dalam keadaan cemas dan takut keluar dari Mesir, dia tetap ingatkan Allah swt. Maka kita orang mukmin dalam apa keadaan gawat cemas sekalipun jangan lalai dan lupa kepada Allah SWT. Sentiasalah berdoa memohon pertolongan kepada Allah SWT bukan selain dari-Nya. Inilah sifat orang mukmin, jangan lupa kepada Allah SWT., pergantungan hanya kepada Allah.
    Kata ulama’ salaf: Iman kamu ialah apa yang mula-mula keluar dari mulut kamu!” Maka kita orang mukmin pastilah Allah yang kena keluar dari mulut kita dulu!

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top