Surah Ar-Ra’d – سورة الرعد
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Muqaddimah Dan Intisari Surah & Munasabah Dengan Surah Yusuf.

♥Live Pagi Ahad 01/02/2026 / 13 Sya’ban 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ar-Ra’d (01) Ayat [00]♥
Full video: https://youtu.be/CBoEZcluig0?si=eVeYs7rf6eGYI6SF
Muqaddimah Surah Ar-Ra’d – سورة الرعد #
- Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Ar-Ra’d – سورة الرعد, surah yang ketiga belas dalam al-Quran & awal juzuk yang ketiga-belas.
- Kita kenali dulu surah ini kerana tak kenal maka tak cinta. Tetapi jika tak baca & tak belajar macamana nak kenal dan beramal dengannya.
Kerana itu kita baca dulu muqaddimah atau pengenalan tentang setiap surah yang kita nak tadabbur. - Surah ini diturunkan di Makkah, sebelum hijrah Nabi s.a.w ke Madinah dan sebahagian ulama’ tafsir mengatakan ia adalah surah Makkiyyah, yang diturunkan secara keseluruhannya selepas Surah Yusuf pada tahun akhir di Makkah.
Ia mengandungi 43 ayat. - Surah ini menjadi perebutan antara Makkiyyah & Madaniyyah:
i- Ini adalah pendapat dari Ali bin Abu Talhah dari Ibnu Abbas bahawa surah ini Makkiyyah kecuali terdapat dua ayat Madaniyyah.
Pimpinan ar-Rahman memilih pendapat ini.
ii- Tetapi ada juga yang mendakwa ia adalah Madaniyyah- iaitu pendapat dari Ibnu Atho’ al-Khurasani dari Ibnu Abas juga yang mengatakan ia adalah Madaniyyah kecuali dua ayat sahaja Makkiyyah.
Ini adalah pendapat pilihan bagi tafsir al-Muharrar yang kita baca ini juga Tafsir al-Munir.
Wallahu a’lam.
Nama Surah #
- Dinamakan Surah Ar-Ra’d – سورة الرعد (Perihal Guruh) kerana perkataan- الرعد yang bermaksud ‘guruh’ itu ada disebut pada ayat ke-13; bahawa guruh bertasbih dengan nama Allah.
Itu baru bertasbih bukan marah atau bawa bencana lagi sebagaimana guruh itu berbunyi dengan kuat untuk memberitahu yang hujan akan turun.
- Kata ulama’ tafsir nama surah ini telah dikenali pada zaman Nabi s.a.w & para sahabat kemudian para Salafus-Soleh.
Ulama’ tafsir tidak ada yang berikhtilaf pendapat tentang namanya ini. - Hujan atau air menjadi sebab kehidupan bagi manusia & haiwan serta tumbuhan.
Manakala guruh atau petir pula mungkin sebagai sebab kemusnahan, kebinasaan atau kematian.
Apabila air & guruh petir berlawan maka berlakulah keajaiban.
Maka Allah kumpulkan kisah kedua elemen yang hebat ini di dalam surah ini yang ilmu ajaibnya hanya diketahui oleh Allah s.w.t!
Maqasid/Objektif Surah #
من أهمِّ مقاصدِ سُورَةِ هود:
- Surah ini satu penjelasan tentang tauhid & wahyu yang diturunkan kepada Nabi s.a.w serta sebab dibangkitkan Rasulullah secara umum.
- Allah sebut tentang alam ini serta tanda-tanda keagungan Allah s.w.t dengan segala keajaiban penciptaannya samada di langit bumi, bulan-bintang, logam galian, sungai lautan dan haiwan seluruhnya.
Kemudian Allah suruh lihat kepada diri kita sendiri yang begitu ajaib dan hebat sekali kejadiannya.
Penciptaan yang cukup ajaib, hebat & pelik! Inilah cara mengenali Allah dengan melihat kepada penciptaaan makhluk-Nya samada di atas di bawah & kejadian kita manusia.
Tajuk Atau Isu Utama: #
- Isyarat yang menunjukkan bahawa al-Quran ini benar dari sisi Allah s.w.t.
- Allah bawa beberapa dalil yang menunjukkan kepada kekuasaan Allah s.w.t yang jelas & keEsaan-Nya yang sangat Agung!
- Allah ceritakan tentang beberapa sudut kata-kata puak kafir yang mendustakan & menolak kebangkitan semula manusia di Akhirat kelak.
Serta bagaimana untuk kita balas & tolak tuduhan buruk itu. - Menyatakan sempurnanya ilmu Allah s.w.t- meliputi dan merangkumi segala perkara & agungnya kekuasaan Allah.
Semua yang ditaqdirkan Allah, qadha’ & qadar; itu merupakan hikmah yang tersendiri yang perlu kita kaji & korek agar kita tahu betapa tingginya keagungan Allah s.w.t.
- Allah buat perbandingan antara perkara yang benar & batil- serta bandingan ke mana halatuju pengikut yang haq & pengikut yang batil.
Serta Allah nyatakan contoh perbezaan dua sifat ini secara jelas maka jangan kamu ikutnya.
- Allah ceritakan beberapa cadangan yang dibuat oleh puak kafir & tuntutan yang menunjukkan mereka keras kepala & tidak mahu terima dengan buat syarat yang pelik-pelik.
Allah kutuk (kondem) apa yang dibawa mereka itu. - Allah nyatakan indahnya akibat, akhir kesudahan orang yang bertaqwa & buruknya kesudahanan orang yang mendustakan.
- Dalam ayat ini juga Allah nak menenangkan hati Rasulullah s.a.w tentang apa yang menimpa Baginda Nabi s.a.w!
Intisari Kandungannya
(Pimpinan ar-Rahman) #
- Menegaskan tentang kebenaran Al-Quran sebagai sebuah Kitab Suci yang diturunkan oleh Allah Ta’ala kepada Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.
- Menjelaskan iktiqad kepercayaan berdasarkan tauhid yang menggambarkan keesaan Allah ‘Azza wa Jalla dan kekuasaanNya.
Sebagai buktinya ditegaskan bahawa Allah jualah yang menjadikan langit dan bumi dan segala isinya.
- Allah jualah yang mentadbirkan sekalian makhlukNya dan Dialah jua yang mengetahui segala perkara yang ghaib dan yang nyata.
Tiap-tiap seseorang sentiasa dijaga dan diawasi oleh malaikat yang bergilir-gilir siang dan malam (Malaikat Hafazah- (الملايكة الحفظة), selain dari malaikat (Kiraaman Kaatibiin – كراماً كاتبين) yang menulis amal perbuatannya yang baik dan yang jahat.
*Serta banyak lagi malaikat lain seperti malaikat rahmah yang mendoakan orang mukmin.
- Ditegaskan pula bahawa Allah Ta’ala tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan mereka sendiri. Demikianlah “Sunnatu’llah” atau “Undang-undang Peraturan Allah” yang tetap berlaku kepada sekelian makhluknya.
- Kemudian Allah Ta’ala memberi dua misal perbandingan mengenai perkara yang benar dan yang salah.
Yang salah itu akhirnya akan terbuang dan hilang lenyap ibarat buih yang dihanyutkan oleh banjir, atau ibarat kekotoran yang terbuang dari logam yang dilebur dan disepuh.
Sementara kebenaran pula adalah ibarat air yang bersih dari sampah sarap, atau logam yang bersih dari kekotoran, maka ia tetap tinggal digunakan di bumi.
- Orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan diberikan sebaik-baik balasan. Mereka akan ditempatkan di dalam syurga bersama-sama dengan ibu bapa dan anak isteri yang beramal soleh seperti mereka.
Pertemuan yang demikian makin menambahkan kegembiraan mereka dan kesyukuran mereka.
Sebaliknya orang-orang yang kufur ingkar, akan disediakan azab yang seburuk-buruknya.
- Bagi menolak dalihan kaum kafir yang masih berdegil tidak mahu beriman kepada Al-Quran lalu meminta mukjizat-mukjizat yang lain pula.
Allah Ta’ala menegaskan, maksudnya:
{“Dan kalau ada mana-mana Kitab Suci yang dengan sebabnya gunung-ganang terbongkar bergerak dari tempatnya, atau dengan sebabnya bumi dipecahbelah menerbitkan isi kandungannya, atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat menjawab kata-kata yang dihadapkan kepadanya, (maka Kitab itu ialah Al-Quran yang mengandungi mukjizat), tetapi lahirnya sesuatu mukjizat itu adalah menurut kehendak Allah, bahkan segala urusan tertentu bagi Allah …….”} (Ar-Ra’d 13:31)
- Surah “Ar-Ra’d – ٱلرَّعْدِ” ini disudahi dengan menegaskan: bahawa sikap orang-orang kafir tidak mahu mengakui Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang rasul, tidaklah menjadi hal, kerana cukuplah Allah Ta’ala menjadi Saksi yang membenarkan kerasulannya, sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Quran dan Kitab-kitab Taurat dan Injil, serta diakui oleh orang-orang yang jujur, yang ada pengetahuan mengenai Kitab-kitab Allah yang tersebut.
Munasabah Antara Surah Ar-Ra’d ini Dengan Surah Yusuf Sebelumnya #
Surah Ar-Ra’d datang selepas Surah Yusuf dan terdapat kesinambungan yang tertib antara keduanya:
- Tajuk atau topik surah yang mengandungi cerita para nabi terdahulu dengan kaum mereka!
i- Surah Ar-Ra’d banyak cerita nabi-nabi lain.
ii- manakala surah Yusuf tentang nabi Yusuf & bapanya nabi Ya’qub dan ada kaitan dengan datuk moyangnya Nabi Ibrahim & Ishaq.
Bagaimana Allah selamatkan orang beriman & bertaqwa dan Allah binasakan puak kafir.
- Adapun maqasid atau objektifnya kedua surah ini nak mengisbatkan tauhid atau keEsaan Allah, ketuhanan Allah Azza wa Jalla & kewujudan Allah yang mencipta alam ini mentadbirnya- kita kena belajar, perhati & tadabbur.
i- dalam surah Yusuf ayat 39, Allah cerita bagaimana Nabi Yusuf berdakwah: {“Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?} (Yusuf 12:39)
ii- dalam surah Ar-Ra’d pula bermula dari ayat ini:
{Bertanyalah (wahai Muhammad): “Siapakah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan langit dan bumi?” Jawablah: “Allah”. Bertanyalah lagi: “Kalau demikian, patutkah kamu menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai Pelindung dan Penolong, yang tidak dapat mendatangkan sebarang manfaat bagi dirinya sendiri, dan tidak dapat menolak sesuatu bahaya?”} (Ar-Ra’d 13:16)
iii- dalam kedua surah dibawa dalil yang menunjukkan adanya Pencipta yang menyusun dunia ini dengan cukup teliti dengan kuasa sepenuh-Nya, serta dengan ilmu & kebijaksanaan yang menunjukkan tentang kekuasaan & keagungan Allah s.w.t.
Contoh:
a- dari surah Yusuf:
{Dan berapa banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pergi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.} (Yusuf 12:105)
*Yakni betapa ramai orang yang tengok sana tengok sini tetapi tidak berfikir dengan otak untuk mecari keagungan Allah!
b- dari surah Ar-Ra’d juga terdapat beberapa ayat yang menyebut tentang keagungan & kekuasaan Allah seperti ayat: ayat 2-4, ayat 8-11, ayat 12-16, ayat 30 & ayat 33.
- Persamaaan tentang sifat al-Quran:
i- Allah akhiri surah Yusuf dengan ayat ini: {(Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.} (Yusuf 12:111)
ii- tamat surah Yusuf, datang permulaan surah Ar-Ra’d:
{Alif, Laam, Miim, Raa’. Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran); dan apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu adalah benar; tetapi kebanyakan manusia tidak (mahu) beriman.} (Ar-Ra’d 13:1)
*Ini beberapa kesinambungan dua surah ini yang dikorek ulama’ agar kita makin hari makin mengenali al-Quran & makin mantap iman kita.
Al-Quran ini ibarat seperti buah kurma; yang makin dikunyah makin terasa kemanisannya!
Penutup #
- Alhamdulillah tamatlah muqaddimah, intisari kandungan dan pengenalan kepada surah ar-Ra’d ini secara ringkas.
- Insya’ Allah besok dalam siri berikutnya kita akan mula baca ayat & tafsirannya bermula dari ayat 1.
Tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM ✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 01/02/2026 / 13 Sya’ban 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/share/p/17usVDVLGC/
Semoga Bermanfaat!
