View Categories

(2) Surah Ar-Ra’d: Ayat 1-4

16 min read

Kebenaran Al-Quran, Tanda Kekuasaan Allah Di Langit & Di Bumi

♥ Live Pagi Isnin 02/02/2026 / 14 Sya’ban 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Ar-Ra’d (02) Ayat [01-04]♥

Muqaddimah: #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita mulakan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Ar-Ra’d dengan ayat 01 sehingga ayat 04 dalam juzuk ketiga-belas.
  2. Dalam empat ayat pertama ini Allah s.w.t nyatakan tentang kebenaran Al-Quran, turunnya dari Allah s.w.t untuk menjadi hidayah, pemandu petunjuk arah untuk keredhaan Allah di dunia & Akhirat.
    Tetapi malangnya ramai manusia yang tidak mahu terima.
  3. Kemudian Allah nyatakan bahawa terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah di langit iaitu bahagian atas kemudian tanda kekuasaan di sebelah bawah iaitu bumi dan isi kandungannya.
  4. Itulah dua tanda kekuasaan & keagungan Allah s.w.t yang sangat hebat dan besar.

Di mana kita perlu mengkaji & tadabbur tanda-tanda kekuasaan Allah samada yang maqru’ah atau manzurah; barulah kita makin kenal, makin takut, makin cinta dan makin dekat dengan Allah.

Inilah kelebihan tadabbur al-Quran- kita kenal Allah, kenal Rasulullah s.a.w melalui al-Quran.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan bahawa kebanyakan manusia tidak beriman.

ii- maka dalam ayat ini juga Allah bahawa al-Quran turun bawa kebenaran tetapi manusia tetpa tidak menerimanya.

Maka dibawanya dalil-dalil aqli, nazori yang dapat kita lihat dengan mata & fikirkan.
Tetapi apa boleh buat manusia yang degil keras kepala begitulah tetap menolak dan mendustakannya- iman tak masuk dalam kepala!

Tafsir Ayat #

سورة الرعد

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

الٓمٓر ۚ تِلْكَ ءَايَٰتُ ٱلْكِتَٰبِ ۗ وَٱلَّذِىٓ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ ٱلْحَقُّ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يُؤْمِنُونَ ‎﴿١﴾

Ayat 1- {Alif, Laam, Miim, Raa’. Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran); dan apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu adalah benar; tetapi kebanyakan manusia tidak (mahu) beriman.} (Ar-Ra’d 13:1)

  1. Surah ini dimulai dengan huruf yang dikenali sebagai huruf al-Muqatto’ah (الحروف المقطعة).

Al-Muqatto’ah adalah huruf yang bersambung tulisannya tetapi dibaca dibaca satu-persatu sebagaimana hurufnya- {الٓمٓر} dibaca (Alif Lam Mim Ra)- iaitu huruf Alif dibaca alif, huruf Lam dibaca lam, huruf Mim dibaca mim dan huruf Raa dibaca raa.

  1. Surah ar-Ra’d adalah satu-satunya surah yang bermula dengan (المر) di antara 5 surah (الر).

Lima surah dalam Al-Quran yang dimulai dengan huruf-huruf (Alif, Lam, Ra- الٓر) ialah: Surah Yunus (Surah ke-10), Surah Hud (Surah ke-11), Surah Yusuf (Surah ke-12), Surah Ibrahim (Surah ke-14), dan Surah Al-Hijr (Surah ke-15).

Huruf-huruf sebegini dipanggil huruf-huruf “al-Muqatto’ah”.

  1. Allah memulai surah ini dengan huruf Muqatto’ah, sebagaimana beberapa surah lain untuk membuktikan kenabian dan wahyu.

Huruf-huruf ini tidak diketahui maknanya dan hanya Allah ‎جل جلاله lebih mengetahui maknanya.

  1. Ia menunjukkan mukjizat al-Quran yang tidak boleh dilawan dan dicabar oleh manusia & sekelian makhluk samada secara bahasa atau isi kandungan.

Ia juga melemahkan makhluk lain untuk menirunya!

Sedangkan huruf biasa al-Quran pun manusia tidak dapat nak cabar & tirunya apatah lagi huruf-huruf sebegini.
[Penjelasan lanjut boleh baca di nota: (07) pada awal surah al-Baqarah].

  1. Jelas Allah nyatakan: {تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْكِتَـٰبِ}- inilah ayat-ayat Kitab ini- samada ayat-ayat dari surah ini atau ayat-ayat dari al-Quran semuanya!

Al-Quran ini benar, penuh kebenaran & tiada keraguan padanya!

  1. Yakni Allah nyatakan inilah adalah ayat-ayat al-Quran yang diturunkan kepadamu Nabi s.a.w dari Tuhanmu, Allah s.w.t dengan kebenaran- Allah sendiri yang nyatakan bahawa adalah yang haq & penuh kebenaran.

Maka berpeganglah dengannya dan beramal dengan apa yang ada padanya!

Semua manusia kena beriman bahawa al-Quran ini betul, benar tanpa keraguan padanya!

  1. Tetapi apa boleh buat ramai manusia yang menolaknya walaupun telah jelas nyata dan sabit akan kebenarannya- mereka tetap menolaknya!

Samada kerana jahil atau keras kepala atau kerana zalim & hasad dengki.

Mereka bertemu dengan Rasulullah s.a.w dan tahu kebenarannya tetapi mereka tetap tidak beriman kerana hasad.

Ini punca besarnya kerana hasad- angkara qalbu kotor maka terpalit semuanya!!

Inilah punca atau sumber segala kekotoran & kegelapan- apabila hati sudah kotor segalanya akan gelap kerana hati sumber menerima cahaya!

ٱللَّهُ ٱلَّذِى رَفَعَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا ۖ ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ ۖ وَسَخَّرَ ٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ ۖ كُلٌّ يَجْرِى لِأَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ يُدَبِّرُ ٱلْأَمْرَ يُفَصِّلُ ٱلْـَٔايَٰتِ لَعَلَّكُم بِلِقَآءِ رَبِّكُمْ تُوقِنُونَ ‎﴿٢﴾

Ayat 2- {Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).} (Ar-Ra’d 13:2)

  1. Munasabah ayat:
    i- apabila Allah nyatakan bahawa ramai di kalangan manusia tidak beriman:

ii- maka datang ayat ini Allah bawakan tanda-tanda dalil kekuasaan Allah di langit. Bermula dari atas.

  1. Iaitu bagaimana Allah jadikan langit itu terbentang tinggi di atas bumi tanpa tiang!
    Menunjukkan kehebatan ciptaan & kekuasaan Allah s.w.t.

*Ada juga ulama’ kata sebenarnya ada tiang- kita saja yang tak nampak.
Tetapi yang sahihnya langit itu tanpa tiang sebagaimana yang Allah sendiri nyatakan!

  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa Dia bersemayam di atas Arasy;

i- kita beriman sebagaimana yang Allah sendiri nyatakan ini tanpa kita tafsirkan, gambarkan atau tasybih (menyerupai atau bawa contoh).

Yakni kita beriman bahawa Allah beristiwa’ di atas ‘Arasy-Nya dengan cara yang layak dengan keagungan dan kesempurnaan-Nya, tanpa menyerupai makhluk dan tanpa membayangkan kaifiyat (bagaimana).

ii- datang ulama’ terkemudian takut orang keliru; mereka menafsirkannya sebagai: Allah menguasai Arasy.
Wallahu a’lam!

*Tak perlu berkelahi dan berdebat dalam masalah ini- kita beriman sebagaimana yang Allah & Rasulullah s.a.w sebutkannya.

Tak perlu berbalah dan saling menuduh sehingga saling mengkafirkan!

Begitulah apabila kita dan lari dari saliran yang asli kita akan banyak terseleweng!

  1. Nota [436] Allah ‘Azza wa Jalla “bersemayam di atas ‘Arasy”, yakni menurut cara yang layak bagiNya.
  2. Allah juga mencipta matahari dan bulan bagi kemudahan & kegunaan makhluk.

Keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan di atas orbit masing-masing.

Kita perlukan kepada cahaya untuk cerah & haba, kita juga perlukan kegelapan untuk berehat.

Bulan dan matahari saling melengkapkan satu sama lain untuk melengkapkan pula hidup kita!

  1. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan ini; Alam ini di bawah kuasa Allah yang mutlak- tiada siapa yang boleh halang atau sekatnya.
  2. Allah menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, iaitu pertamanya tentang kejadian langit dan isinya kemudian bumi dalam ayat selepas ini pula.

Iaitu dijelaskan satu persatu untuk kefahaman manusia dan keyakinan kepada Allah sebagai Pencipta yang Agung!

Juga supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu untuk menerima balasan!

  1. Nota [437]: Langit dan bumi dan segala yang ada padanya membuktikan kekuasaan Allah yang menjadikannya dan mentadbirkannya.

Hakikat ini dijelaskan bukti kebenarannya satu-persatu supaya umat manusia yaqin bahawa mereka akan kembali kepada Allah yang menciptakan seluruh alam, untuk menerima balasan.
Baik dibalas baik, dan buruk dibalas buruk.

*Dua inilah yang kita ada atas dunia ini- baik & buruk, soleh & toleh, dan akhirnya di Akhirat kita ada syurga & neraka!

وَهُوَ ٱلَّذِى مَدَّ ٱلْأَرْضَ وَجَعَلَ فِيهَا رَوَٰسِىَ وَأَنْهَٰرًا ۖ وَمِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ جَعَلَ فِيهَا زَوْجَيْنِ ٱثْنَيْنِ ۖ يُغْشِى ٱلَّيْلَ ٱلنَّهَارَ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ‎﴿٣﴾

Ayat 3- {Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.} (Ar-Ra’d 13:3)

  1. Munasabah ayat ini jelas:
    i- setelah Allah nyatakan tanda kekuasaan-Nya di langit al-ulwi iaitu di atas- serta dengan hikmah penciptan-Nya semua itu;

ii- maka dalam ayat ini Allah bawa kita turun ke bumi pula; tentang dalil-dalil tanda kekuasaan Allah di bumi- untuk lengkapkan bukti tanda kekuasaan Allah!

Kamu boleh lihatlah semuanya ada di depan mata kamu untuk kamu lihat & fikirkan!

  1. Bumi ini Allah jadikan terbentang luas untuk manusia hidup meneruskan kehidupan, kita manusia ini silih berganti sejak dari zaman Adam a.s lagi- apabila ada yang mati- pastu ada yang hidup menyambung kehidupannya.

Jika semua manusia hidup tanpa mati- pastilah penuh dunia ini!

  1. Nota (438)- Walaupun bumi kita ini bulat, tetapi muka bumi terbentang luas supaya sekalian makhluk yang mendiaminya mudah bergerak ke mana-mana dan dapat menikmati segala yang ada padanya atau yang terpendam di perut buminya.
  2. Allah juga menjadikan atas bumi ini gunung-ganang yang terdiri kukuh sebagai pasak bumi serta sungai-sungai yang mengalir untuk kemudahan dan kegunaan manusia juga!

*Sungai mengalir pula berbeza dengan laut yang yang tidak mengalir tetapi hanya berombak.

Telah ada perbincangan tentang hikmah dua kejadian ini dalam surah yang sebelumnya!

  1. Allah juga mencipta dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua- kata ulama’:

i- dua jenis dari sudut jantan betina bagi tujuan pendebungaan.

ii- Ada juga ulama’ kata dua jenis dari sudut rasa- ada manis ada masam.

Buah-Buahan ini ada pelbagai jenis dan rasa- tamar saja mengikut kata ulama’nya ada 200 jenis tamar Madinah saja!

  1. Nota [439] “Sepasang” di sini maksudnya: jantan dan betina.

Kerana telah sabit menurut ilmu pengetahuan bahawa lahirnya buah ialah hasil pertemuan debu jantan dengan debu betina yang terdapat pada bunga.

  1. Allah juga mencipta siang dengan malam silih berganti- malam datang dikuti siang begitulah setiap hari silih berganti tanpa gagal!
  2. Allah tegaskan sekali lagi bahawa sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang mahu berfikir.

Yakni keajaiban makhluk yang Allah cipta ini menjadi tanda akan keagungan & kekuasaan Allah s.w.t serta kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

 وَفِى ٱلْأَرْضِ قِطَعٌ مُّتَجَٰوِرَٰتٌ وَجَنَّٰتٌ مِّنْ أَعْنَٰبٍ وَزَرْعٌ وَنَخِيلٌ صِنْوَانٌ وَغَيْرُ صِنْوَانٍ يُسْقَىٰ بِمَآءٍ وَٰحِدٍ وَنُفَضِّلُ بَعْضَهَا عَلَىٰ بَعْضٍ فِى ٱلْأُكُلِ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَٰتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ ‎﴿٤﴾

Ayat 4- {Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.} (Ar-Ra’d 13:4)

  1. Antara tanda-tanda kesempurnaan kekuasaan Allah, keindahan ciptaan-Nya dan keunikan perbuatan-Nya; Allah menjadikan di bumi ini kawasan-kawasan yang bersebelahan, namun berbeza-beza dari segi warna, rasa, jenis, sifat, dan hasilnya.
  2. Bumi itu juga tidak sama- ada sebahagiannya subur lagi baik, menumbuhkan apa yang memberi manfaat kepada manusia; dan sebahagiannya tandus atau masin, tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun kawasan-kawasan tersebut saling berdekatan dan berjiran.
  3. Dari bumi yang sama berbeza juga tumbuhannya dengan berjenis-jenis tanaman seperti anggur dan pelbagai buah-buahan lain.

Serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; sedang semuanya disiram dengan air yang sama!

Tak sama dari segi jenis, kualiti dan rasanya walaupun datang dari bumi yang sama & air yang sama!

*Sejenis buah itu sendiri juga berbeza jenis rasa & kualitinya!

Contoh seperti durian atau tamar yang mempunyai pelbagai jenis dan variasi.

  1. Allah nyatakan semua perkara yang kita bincangkan ini dan contoh yang diberi ini mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.

*Manusia yang ada otak tetapi tidak gunakannnya tidak sama dengan orang yang berakal!

Penutup & Faedah #

  1. Dan apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu adalah benar; tetapi kebanyakan manusia tidak (mahu) beriman.}- dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa al-Quran ini diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dari Allah s.w.t Pencipta & Pentadbir alam ini!

Kata ulama’ lughah: Sighah ayat ini {Al-Quran yang diturunkan} menunjukkan betapa tinginya kedudukan al-Quran kerana ia turun dari Allah yang Maha Agung dan mulianya juga orang yang menerima al-Quran iaitu Rasulullah s.a.w.

Kata ahli fikir semua yang berkait dengan al-Quran adalah mulia:

i- diturunkan pada bulan Ramadan, bulan yang paling mulia;
ii- pada malam Lailatul Qadar, malam yang paling mulia.
iii- dibawa turun oleh Malaikat Jibril- malaikat yang paling mulia.
iv- diturunkan kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم sebagai penghulu nabi, nabi yang paling mulia.
v- kepada umat Islam- umat yang terbaik.

*Maka jika kita nak jadi orang mulia marilah kita menjadi ahli al-Quran!

Semua tentang al-Quran adalah benar- tiada siapa boleh cabar & lawannya.

Jika kamu meragui tentang al-Quran maka masuk cari & kajilah tentangnya kamu akan dapati keagungan al-Quran!

  1. Ayat 2- {… Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).} –

Allah nyatakan dalam ayat ini tentang pelbagai penjelasan- kamu nak tahu tentang apa- semua itu Allah jelaskan satu persatu dalam al-Quran.

Allah turunkan Al-Quran sebagai dalil ayatul-maqru’ah- dalil yang dibaca kemudian dilengkapkan pula dengan dalil ayatul- manzuroh- dalil yang dapat dilihat dengan mata kepala kita sendiri.

Jadi kita gabungkan keduanya- ayat yang kita baca (ayat maqru’ah) dan ayat yang kita nampak (ayat manzuroh).

Maka dalam ayat ini menyatakan terdapat banyak dalil-dalil yang menunjukkan akan kekuasaan, keagungan kehebatan dan kekuasaan Allah s.w.t.

Ini akan menjadi sebab untuk kita semua yakin bahawa kita ini; hamba Allah yang wajib taat kepada Allah, kita akan mati dan kemudian dibangkitkan keluar semula dari kubur untuk kembali bertemu dengan Allah dan menerima pembalasan!

Di akhir ayat Allah kata: {… supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).}

Sebagai ahli Sunnah wal Jamaah, kita yakin sebagai orang beriman dan ahli syurga; akan bertemu dan dapat melihat Allah s.w.t.

Kita sebagai orang beriman yakin dengan pertemuan Allah ini- kita beriman dengan apa yang disebut Allah & Nabi s.a.w- bahawa orang yang bercahaya mukanya dengan iman akan dapat melihat Allah di dalam syurga kelak!!!

*Jangan terpengaruh dengan orang yang menolaknya kerana mereka berpegang dengan logik akal dan guna otal sendiri untuk menafsirkan perkara ini!

  1. Ayat 3- {Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas…… Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti.}-

Allah sebut tentang bumi yang terhampar terbentang luas kemudian tentang malam yang meliputi siang dengan silih berganti.

Kenapa Allah sebut tentang malam & siang bersama ayat tanda kekuasaan Allah di bumi?

Sepatutmnya jika ikut logik akal kita patut sebut dalam ayat kedua iaitu tentang tanda kekuasaan Allah di langit.

Kerana malam & siang berlaku di atas langit bagi kita.

Ini menunjukkan ketelitian dan kehalusan ayat al-Quran.

Ini kerana yang memberi kesan dan menjadi siang & malam ialah yang berada di bawah matahari.

Manakala yang berada di atas matahari seperti alam cakerawala lain-lain planet dan bintang tidak terasa pun malam atau siang kerana cahaya matahari tidak memberi kesan kepada mereka.

Alam di bawah, iaitu bumi ini tiada cahaya sendiri tetapi menerima cahaya dari atas iaitu cahaya matahari yang menyinarinya lalu bumi mejadi siang.

Manakala malam pula terjadi di bumi apabila ia gelap tak menerima cahaya matahari tetapi terkena bayangan daripada siangnya.
Apa yang di atasnya tidak menerima cahaya matahari maka tiada malam atau siang di langit atau alam atas daripada bumi.

Siang dan malam ini menjadi keperluan dan berkait dengan bumi kerana:

i- bumi ini perlu kepada malam yang sejuk dan tanpa matahari kerana ia ada kehidupan manusia, haiwan dan tumbuhan!

Tumbuhan tidak akan dapat hidup dengan panas saja perlu kepada kesejukan dan keteduhan juga.

Manusia perlu kepada malam untuk berehat dan membina tenaga.

ii- bumi juga perlu kepada siang dan haba panas dari matahari kerana jika bumi ini sejuk dan gelap saja tanpa cahaya & haba kepanasan- manusia & haiwan tidak akan dapat buat urusan yang diperlukan dan tidak akan masak pula buah-buahan!

Masya Allah betapa hebatnya ciptaan Allah & ayat al-Quran di mana sains kajian manusia modern membenarkan semua fakta & maklumat dari al-Quran ini!

  1. Ayat 3- {Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua.}-
    Allah nyatakan bahawa setiap buah atau pokok itu ada dua jenis.

Ada pokok yang ada jantan atau betina, ada buah yang manis atau masam serta pelbagai jenis & rasa!

Jenis buah pula ada bermacam jenis manakala setiap jenis buah itu sendiri pula ada bermacam variasi dan rasa.

Seperti yang dikatakan tadi buah tamar itu saja mempunyai hampir 200 jenis.

Jika di tempat kita buah durian juga ada pelbagai jenis- durian kunyit, musang king, black thorn dan pelbagai lagi!
Begitu juga buah-buahan lain!

Jadi timbul persoalan kenapa Allah sebut dua jenis saja sedang buah-buahan itu ada beratus jenis dan pelbagai rasanya?

Jawapan:
Allah sebut yang paling minimum saja ada dua jenis- jantan betina atau masam & manis!
Yang selebih daripada itu kamu cari dan fikirkan sendiri!

  1. Ayat 4- {Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.}-
    Allah menyatakan semua ini menjadi dalil bagi orang berakal!

Ayat ini untuk menolak kefahaman karut puak-puak yang mengatakan semua yang berlaku dalam alam ini adalah dengan sebab tabi’e- kejadian alam semula jadi- nature.

Itulah orang yang mandul akal, mandul pemikiran dan mandul segala-galanya.

Kerana mereka orang yang tak tahu apa, hanya tahu bercakap, tidak berfikir- dia dengan haiwan sama atau mungkin haiwan lebih cerdik lagi kerana haiwan takut kepada Allah!

Itulah manusia yang tidak kenal Tuhan maka celakalah dia!

Berkata Imam al-Hasan al-Basri r.h apabila dia menafsirkan ayat 3 & 4 ini- tentang bumi buah-buahan dan air ini:

i- begitulah Allah buat bandingan bumi dan isi kandungannya ini seperti hati manusia.
Bumi ini satu saja tetapi berbeza jenisnya- ada bumi yang subur ada bumi yang kering tidak menumbuhkan apa-apa.

ii- begitu juga Allah turunkan dari langit satu jenis air hujan saja tetapi tumbuhan yang keluar pelbagai jenisnya!
Ada yang menjalar ada yang berbatang ada yang berpelepah dan sebagainya!

Begitulah hati manusia- datang dari satu jenis manusia saja iaitu Adam tetapi hati mereka berbeza:

i- ada hati yang lembut apabila mendengar ayat al-Quran terus gementar takut kepada Allah!

ii- ada hati yang keras kkekong (keras kejong seperti batu)- seperti tanah liat yang tidak meresap air.
Hati ini apabila melihat segala dalil tidak memberi kesan- baca al-Quran baca hadis tidak memberi kesan!

Ada hati sekali dengan ayat al-Quran terus mengigil- yang asal kafir tidak beriman menjadi beriman!!!

Inilah kata-kata Imam al-Hasan al-Basri  tentang hati yang dinukilkan oleh Ibnu Jarir dalam tafsirnya.

Allah-lah yang bagi rahmat & petunjuk kepada semua ulama’ dan pencinta ilmu.

Semoga semua ini menambahkan ilmu kita & menambahkan kecintaan kita kepada al-Quran & Sunnah serta memantapkan lagi keimanan kita!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini.

Semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 02/02/2026 / 14 Sya’ban 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Ar-Ra’d 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top